Monday, October 09, 2006

Berikan peringatan kepada rakyat dan laksanakan Islam sepenuhnya.

Assalamualaikum.

Sempena Ramadhan yang penuh keberkatan ini kita sebagai rakyat Malaysia teramatlah beruntung kerana berpeluang mendengar pemimpin negara kita iaitu perdana menteri sendiri menyampaikan tazkirah Ramadhannya di Masjid Putrajaya. Sememangnya itulah yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang pemimpin bagi umat islam iaitu memberi tazkirah atau peringatan kepada rakyat tentang perkara-perkara kebaikan yang diajarkan oleh Allah dan rasulNya dalam menuju kehidupan abadi di negeri akhirat. Jangan asyik-asyik bercerita tentang perkara-perkara keduniaan semata-mata sahaja kepada rakyat.

Namun begitu sebagai seorang pemimpin dan pemerintah bagi sebuah kerajaan yang mempunyai autoriti dalam membuat serta mengubah dasar ianya tidak sepatutnyalah terhenti setakat memberi tazkirah serta peringatan di mimbar-mimbar masjid. Lebih daripada itu dengan kuasa yang ada maka mereka sebagai kerajaan wajiblah melaksanakan Islam sepenuhnya dalam pemerintahan serta mengingatkan kepada rakyat agar patuh kepada Islam yang dilaksanakan. Jika yang memberi tazkirah itu hanya seorang ustaz atau penda'wah maka kemampuannya hanyalah memnyampaikan ilmu serta memberikan peringatan kepada rakyat termasuklah kepada kerajaan yang memerintah. Tetapi ini adalah seorang pemimpin yang mampu untuk menterjemahkan apa yang ditazkirahkannya dalam bentuk pemerintahan.

Dalam tazkirahnya, antara lain, Abdullah mahu umat Islam menjadikan al-Quran sebagai inspirasi untuk menimba ilmu sebagaimana umat terdahulu hingga membuatkan mereka mampu membangunkan hadharah atau tamadun.
‘‘Kita dibekalkan ilmu dalam bentuk al-Quran yang menjadi panduan kepada manusia, jadi kita wajib menuntut ilmu pengetahuan dan wajib juga mengajar ilmu.
Perdana Menteri berkata, umat Nabi Muhammad s.a.w mendapat banyak rahmat dan manfaat berbanding umat terdahulu kerana diturunkan al-Quran sebagai mukjizat.
‘‘Ia merupakan panduan dan ada ilmu daripada Allah sendiri. Juga banyak ayat yang mengisahkan tentang para anbia dalam menyebarkan agama Islam dan mengatasi pelbagai cabaran dengan sabar dan istiqamah.
Abdullah mengingatkan bahawa dengan ilmu membolehkan ibadah seorang muslim itu menjadi lebih sempurna dan dapat membezakan antara perkara yang baik dan tidak baik. Utusan Malaysia - 9 Oktober 2006.

Berdasarkan isi tazkirah yang disampaikan oleh perdana menteri ini, sama-samalah kita teliti sejauh manakah ianya dilaksanakan sepenuhnya dalam pemerintahan beliau. Atau adakah ianya hanya semata-mata tazkirah tanpa diamalkan sepenuhnya.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter