Thursday, October 05, 2006

DBP akan jadi penguatkuasa bahasa.

Assalamualaikum.

Laporan akhbar hari ini memaparkan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka atau DBP akan diberi kuasa untuk mendenda pihak yang didapati bersalah mencemar bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu sebaik sahaja peruntukan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda oleh pejabat Peguam Negara dan diluluskan Parlimen.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Kabinet bersetuju supaya ‘pencemar bahasa kebangsaan’ itu didenda RM1,000.
“Bagaimanapun denda itu akan hanya dikenakan selepas pihak terbabit gagal membuat pembetulan setelah teguran dibuat oleh Ketua Pengarah DBP.
“Tindakan (denda) tersebut boleh dikenakan kepada mereka yang enggan membetulkan kesalahan penggunaan bahasa pada papan tanda, notis, papan kenyataan dan juga kandungan bahan-bahan penyiaran. Utusan Malaysia - 5 Oktober 2006.


Sebagai seorang graduan dalam bidang Linguistik dan Bahasa Melayu, saya amat-amat menyambut baiklah perlaksanaan tersebut kerana selama ini kita hanya menyaksikan bahasa kebangsaan kita diperlakukan sesuka hati tanpa pembelaan yang sewajarnya oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya daripada DBP sendiri. Lebih malang lagi penghinaan sebegini dilakukan sendiri oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada rakyat dalam soal memartabatkan bahasa Kebangsaan.

Jadi diharapkan juga penguatkuasaannya kelak akan dilakukan secara menyeluruh tanpa mengira kedudukan seseorang itu. Jangan nanti hanya 'ikan bilis' sahaja yang didakwa sedangkan 'si jerung' yang selama ini begitu rajin mencemarkan bahasa terlepas begitu sahaja. Sebut juga tentang penguatkuasaan bahasa kebangsaan, saya masih tetap dengan pendirian saya bahawa hak Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi subjek sains dan matematik mestilah dikembalikan. Jika tidak hanya sia-sia sahajalah kenyataan menteri berkenaan dalam perenggan di bawah ini;

“Dalam jangka masa panjang, kita mahu melihat bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu, bukannya sekadar bahasa sampingan sahaja. Utusan Malaysia - 5 Oktober 2006.

Seperti yang pernah saya sebutkan dahulu bahawa sejak dari dahulu lagi Bahasa Melayu telah terbukti kemampuannya dalam mengungkap pelbagai bidang ilmu termasuk ilmu yang teknikal seperti sains dan matematik. Tetapi jika dalam menyampaikan kedua-kedua bidang ilmu yang penting ini pun peranannya dinafikan, maka tidak perlulah sebut tentang penguatkuasaan bahasa.

posted by Lidah Penghunus @ 11:29 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter