Tuesday, October 17, 2006

Isu tuntutan Gerakan - Kenyataan Pak Lah mengiyakan kenyataan menantunya dahulu.

Assalamualaikum.

Nampaknya pergolakan dalam BN yang selama ini diwar-warkan sebuah pakatan politik yang kukuh dan harmoni masih lagi tidak kesudahan. Selesai satu isu, timbul pula isu yang baru. Yang terkini gesaan Lim Keng yaik daripada Gerakan yang mahu Unit Perancang Ekonomi mendedahkan kaedah kajian yang merekodkan bahawa penguasaan Bumiputera dalam ekuiti ekonomi negara hanya sebanyak 18.9 peratus.

Hinggakan dalam berita TV3 tadi memapar E-mel daripada penonton yang kecewa dengan tindakan parti-parti komponen BN yang telah mengambil alih peranan pembangkang sebagai pengkritik kerajaan. Bagi saya apa salahnya jika parti-parti komponen BN ingin jadi pengkritik bagi sesebuah kerajaan yang tujuannya untuk memperbetulkan segala kesilapan serta mewujudkan ketelusan dalam pentadbiran. Adalah tidak patut jika sesebuah parti komponen yang sepatutnya bertanggungjawab dalam usaha pengukuhan parti dan kerajaan hanya menjadi pak turut dan hanya mendiamkan segala kepincangan yang berlaku. Berkenaan dengan isu ini juga saya tertarik dengan salah satu kenyataan perdana menteri dalam memberikan reaksi kepada isu ini;

Sambil menyifatkan memang lumrah manusia gemar mengambil kesempatan, beliau berkata kerajaan sekarang perlu bersedia menghadapi semua kritikan, cabaran dan pertikaian yang diketengahkan pelbagai pihak. Berita Harian - 17 Oktober 2006.

Jika dahulu menantunya Khairy pernah mengeluarkan kenyataan tentang sikap parti komponen BN yang suka mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan apabila Umno dilanda pergolakan. Kenyataan Khairy ini telah menimbulkan kemarahan di kalangan parti-parti komponen BN khususnya MCA dan Gerakan. Namun begitu hari ini Pak Lah melalui kenyataannya itu telah mengiyakan kenyataan menantunya ketika dahulu yang telah menimbulkan kontroversi.

posted by Lidah Penghunus @ 10:53 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter