Muhasabah - Wujudkah keberkatan dalam negara?
Assalamualaikum.
Sempena seruan perdana menteri pada akhbar hari ini yang meminta umat islam di negara ini mengambil kesempatan bulan Ramadhan untuk bermuhasabah dan berusaha membaiki kelemahan diri, saya ingin mengajak tuan-tuan untuk kita bermuhasabah pula tentang keadaan di negara kita. Adakah ianya dilimpahi keberkatan dan rahmat seperti yang didakwa oleh perdana menteri tidak lama dahulu.
Sebagaimana yang telah diberitahu oleh ustaz-ustaz bahawa kelebihan Ramadhan ini salah satunya adalah rahmat. Namun begitu pada bulan Ramadhan inilah di negara kita terjadinya kejadian jerebu yang sekarang ini masih lagi tidak menentu tentang tahapnya. Malahan ekoran daripada jerebu ini pula dijangkakan harga barangan sayuran akan naik 20 peratus dan ianya juga akan menjejaskan kempen tahun melawat Malaysia 2007. Ketika umat Islam negara ini menjalankan ibadah puasa juga terjadinya tanah runtuh di flet kos rendah Seksyen 10 Wangsa Maju yang membabitkan seramai 700 penduduk. Tidak setakat itu bulan Ramadhan ini juga kita telah menyaksikan semakin melampaunya kelakuan kumpulan mat rempit yang sedang ditarbiah oleh Putera Umno ini hingga ke tahap berbunuhan serta bertikaman sesama mereka.
Kita juga tertanya-tanya mengapakan perkara-perkara yang tidak diingini ini boleh berlaku di negara kita pada bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini. Kembali kepada muhasabah yang disebutkan oleh perdana menteri itu tadi, sama-sama kita renungi kembali adakah kedatangan Ramadhan ini penghayatan dan pengamalan Islam semakin bertambah dikalangan rakyat. Adakah terdapatnya usaha yang bersungguh-sungguh terutamanya daripada media di negara ini dalam usaha menyuburkan penghayatan Islam kepada rakyat. Dan adakah segala kemungkaran dan maksiat termasuk perkara-perkara yang melalaikan yang semakin subur sebelum ini dikurangkan di bulan yang mulia ini. Atau adakah ianya sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain. Saya rasa tidak perlu untuk saya sebutkan jawapannya kerana tuan-tuan juga sudah sedia maklum tentang hal ini. Oleh itu sebagai penyelesaiannya kita ikutilah seperti apa yang disarankan oleh mufti dalam akhbar yang sama pada hari ini;
Umat Islam diingatkan tidak membazir ketika membuat persiapan Aidilfitri serta terlalu ghairah menyambutnya selepas mendengar lagu raya hingga melalaikan mereka daripada mencapai matlamat sebenar ibadat puasa yang diwajibkan.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata mereka seharusnya meningkatkan ibadat sepanjang bulan mulia ini dan mengelak ianya dirosakkan dengan perkara atau tindakan dilarang.“Bulan puasa adalah bulan ibadat dan kita mesti berpuasa bersama lima perkara iaitu mata, telinga, lidah serta anggota badan iaitu tangan dan kaki seperti disebut dalam Hadis Rasulullah.“Jadi dalam konteks telinga ini, kita tidak boleh mendengar perkara yang boleh melalaikan kita daripada melakukan ibadat. Utusan Malaysia - 11 Oktober 2006.
Selama ini pun salah satu penyebab masalah di negara kita adalah kerana kita sendiri yang tidak mengikut nasihat serta panduan daripada mufti malahan mencabar dan mempersendakan apa yang mereka perkatakan. Jadi bermula dengan bulan Ramadhan yang berkat ini adalah elok agar kita umat islam terutama pemerintah sendiri mengambil berat dengan apa sahaja yang dinasihat oleh para mufti yang sudah tentu nasihat yang dikeluarkan oleh mereka itu adalah untuk kesejahteraan ummah.
1 Comments:
Assalamualaikum,
Berkongsi pengalaman, di sini di tempat saya diami, bertali arus gelombang frekuensi memapar wajah-wajah seredup tenang wajah Tuk-Tuk dari Pantai Timur, berkhutbah tidak pada hari Jumaat sahaja, setiap hari dengan kupasan ilmu berhujjah menerang yang hak, menyubur jiwa insan terhadap tuntutan kewajipan, mengimbangi makna tujuan hidup di dunia selaras
tuaian hasil di akhirat, kemajuan teknologi memperkasa diri, penuh hikmah dengan kesederhanaan tetapi tegas menghurai prinsip kebenaran.
Amat mengesankan di saluran pemerintah dibawa Tuk Guru yang tidak sealiran...berkongsi ruang memapar aktiviti atas dasar interaksi...menghormati pendirian kerana penguasa di sini tidak memandang siapa yang berkata tetapi kepada isi tutur bicara.
Di sini ulamak amat dikasihi.
Wajah mereka memberi tenang belum lagi kupasan bicara...hinggakan berat masalah menjadi ringan oleh tutur ulamak yang jujur...
Memang tidak sama di sini dengan di sana...
Post a Comment
<< Home