Thursday, October 19, 2006

Kongsi perayaan tak bercanggah Islam - Pemimpin Islam Hadhari.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini pemimpin sebuah kerajaan Islam Hadhari, seorang lulusan sarjana muda Pengajian Islam, cucu kepada ulama' iaitu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengeluarkan 'fatwa' bahawa amalan menyambut perayaan secara berkongsi antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini, tidak bercanggah dengan tuntutan agama atau mencemarkan kesucian Islam.

Perdana Menteri berkata, tidak menjadi masalah untuk umat Islam meraikan kongsi Aidilfitri bersama dengan penganut agama lain asalkan tidak mencampuradukkan soal adat dengan agama masing-masing.“Bila sebut kongsi raya, ada orang sebut raya bersama. Bukan bermakna adat atau hukum agama Islam dan India nak dicampurkan. Ini tidak bermakna orang Islam kena pergi ke candi (kuil) atau orang Hindu pergi ke masjid.“Apabila Hari Raya, kita umat Islam dengan cara kita. Jadi hubungan sosial antara kaum ini tidak ada masalah. Dulu kita pergi juga untuk sama-sama sambut Deepavali atau dia datang rumah kita yang sedang sambut Aidilfitri. Berita Harian - 19 Oktober 2006.

Nampaknya di sini Pak Lah lupa bahawa akidah seseorang muslim boleh terjejas bukan sahaja oleh kerana perlakuannya secara zahir seperti pergi ke kuil ataupun rumah ibadat penganut agama lain untuk melakukan acara keagamaan. Tetapi akidah seseorang juga boleh terjejas dengan kata-kata dan pengakuan hatinya. Persoalan yang timbul sekarang bukanlah masalah orang islam pergi ke kuil untuk bersama-sama merayakan Deepavali, tetapi adalah tindakan kebanyakan mereka yang sedar atau tidak sedar cuba menyamakan agama islam dengan agama hindu dari segi perayaan melalui istilah 'deeparaya.'

Sedangkan Islam adalah agama Allah yang memiliki perayaannya sendiri iaitu aidulfitri yang tidak sama dengan perayaan Deepavali yang disambut oleh mereka. Saya juga pernah dijelaskan oleh seorang ustaz bahawa perayaan aidulfitri adalah kurniaan Allah kepada umat islam ketika itu agar mereka ada perayaannya sendiri dan tidak menyambut perayaan kaum atau agama yang lain. Memang kita tidak dinafikan lebih-lebih sebagai masyarakat yang hidup dengan masyarakat penganut agama yang lain perlu wujud sikap menghormati kepercayaan penganut agama lain sebagai masyarakat yang berlindung di negara umat islam yang juga jiran tetangga. Tetapi ianya setakat itu, bukannya kita terus mengiktiraf bahawa raya mereka adalah raya kita.

Contoh yang terbaik yang pernah ditunjukkan kepada kita ialah menteri besar Kelantan sendiri yang juga mursyidul am Pas, Tok Guru Nik Aziz. Bagaimana sikap beliau terhadap penganut-penganut Buddha serta masyarakat Tiong Hwa di negeri bawah pentadbiran beliau. Namun begitu tidak pula beliau menyebut tentang kongsi raya. Sepatutnya sebagai seorang pemimpin kepada umat islam di negara ini, Pak Lah sepatutnya memberi peringatan kepada rakyatnya dalam menyambut perayaan ini agar berhati-hati dan tidak sampai menjejaskan akidah. Sekarang ini bukan sahaja isu kongsi raya ataupun deeparaya malahan dalam masa yang sama ialah masalah sambutan aidulfitri itu sendiri yang dicampur adukkan dengan unsur-unsur hiburan melalaikan yang bercanggah dengan Islam hingga tidak menampakkan bahawa ianya adalah sambutan kesyukuran bagi umat Islam setelah selesai menjalani ibadah puasa. Namun adalah sesuatu yang dikesalkan apabila perkara-perkara sedemikian tidakpun diperingatkan oleh Pak Lah kepada rakyat sebaliknya isu-isu kongsi raya pula yang cuba diputarbelitkan oleh beliau.

posted by Lidah Penghunus @ 3:50 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter