Wednesday, October 18, 2006

Mufti terus diperlekehkan di sepuluh akhir Ramadan.

Assalamualaikum.

Berita 1.30 TV3 siang tadi, ada satu berita yang permulaannya memetik kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menyebut soal sama ada acara program hiburan menyambut Aidilfitri bercanggah atau tidak dengan Islam perlu diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan bukannya oleh mana-mana individu. Bila sahaja disebut tentang mana-mana individu saya menyangka ianya ditujukan kepada orang-orang kebanyakan yang tidak arif tentang ilmu agama dan tidak mempunyai autoriti berkenaan dengan agama Islam. Rupa-rupanya kenyataan Dr Rais itu merujuk kepada Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria yang menegur tentang hiburan berunsur maksiat termasuk menggabung nama Aidilfitri dengan konsert telah mencemar kesucian Ramadan.

Saya kira kenyataan Rais ini adalah satu lagi bentuk penghinaan terhadap mufti apabila cuba menyamakan mufti Perak dengan individu-individu yang lain yang tidak tidak arif tentang Islam dan tidak mempunyai kuasa dalam memperkatakan tentang agama Islam. Ini ditambah lagi apabila beliau mempersoalkan tarian dan lagu mana yang bercanggah seperti yang diperkatakan oleh Datuk Seri Harussani itu. Rasanya bagi kita yang mempunyai akal yang waras ini, tidak dengan penjelasan daripada mufti pun kita dapat lihat betapa melampaunya bentuk-bentuk hiburan yang sekian lama menghiasi kaca TV negara kita setiap kali menjelang hari perayaan. Saat-saat akhir Ramadan kini pun stesyen TV telah pun menyusun beberapa rancangan hiburan untuk tatapan umat Islam bagi menyambut Aidulfitri tanpa mengambil kira adakah bentuk hiburan berkenaan dibolehkan atau tidak oleh Islam.

Contoh yang paling jelas yang boleh saya sebutkan ialah rancangan roadshow Syoknya raya terbitan TV3 yang memaparkan peserta-peserta yang menari di khalayak umum tanpa rasa segan silu. Apakah relevannya dengan sambutan Aidulfitri? Adakah itu tanda kesyukuran kita umat islam selepas sebulan berjaya menjalani ibadah puasa? Dan adakah perkara-perkara sebegini yang jelas berunsur maksiat perlu lagi diperjelaskan oleh Mufti? Apakah Datuk Seri Harussani Zakaria yang dilantik sebagai Mufti Perak oleh sultan itu tiada hak untuk menegur tentang kepincangan yang berlaku? Jika hendak menunggu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan teguran jawabnya tiada apalah yang boleh diharapkan kerana mereka yang sepatutnya menjadi pembela kepada usaha amal maaruf nahi mungkar selama ini hanya diam membisu kerana kepentingan duniawi.

Di sini bukanlah bermaksud Islam menolak terus hiburan. Malahan sempena menyambut perayaan bagi umat islam ini, hiburan adalah sesuatu yang diperlukan untuk memberikan kegembiraan kepada umat islam setelah sebulan diuji dengan ibadah puasa. Cumanya masyarakat Islam di negara ini setiap masa terlalu disajikan dengan hiburan termasuk hiburan yang jelas bercanggah dengan Islam hingga tidak nampak akan keperibadian Islam yang sepatutnya di bawa. Akibat daripada terlampau dengan budaya hedonisme ini jugalah masyarakat kita telah ditimpa dengan pelbagai penyakit sosial dan pelbagai lagi permasalahan yang melanda umat Islam masa kini. Apatah lagi dalam masa yang sama pandangan ulama' dikesampingkan.

posted by Lidah Penghunus @ 10:34 PM   1 comments

1 Comments:

At 1:52 PM, Anonymous Anonymous said...

Malaysia yang diperkatakan sebuah negara Islam dan sepatutnya menjadi contoh kepada anggota OIC lain hanyalah sebuah pendapat yang tiada bukti yang sahih mengatakan Malaysia sebuah negara Islam.Sedia maklum, sebuah negara Islam hendaklah turut menjalankan dasar-dasar yang telah digariskan dalam Kitab Suci Al Quran, dan bukannya menolak mentah-mentah dengan mengatakan dasar Islam sudah ketinggalan zaman. Dalam sebuah negara Islam juga, Ulama' disanjung dan segala pendapatnya di ambil kira kerana ilmunya tinggi bukannya 'menggam' Ulama' disebabkan menjelaskan perkara yang sebenarnya.Sebuah negara Islam juga tidak akan menggalakkan MAKSIAT berleluasa bahkan membanteras... Adakah Malaysiaku terbilang negara ISLAM? tepuk dada, tanya Iman...

 

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter