Sedikit perihal pertemuan Pak Lah - Tun Dr M.
Assalamualaikum.
Memandangkan bahawa hari minggu ini adalah penghujung puasa maka ramai yang telah mula cuti dan pulang ke kampung untuk berhari raya, tidak ketinggalan para bloggers juga sudah mula meninggalkan notis di blog tentang penutupan aktiviti blog mereka sempena musim perayaan. Namun begitu mungkin ramai diantara kita tidak menyedari bahawa hari ahad ini juga ada satu detik yang tidak kurang pentingnya dalam lakaran sejarah politik negara iaitu pertemuan empat mata (walaupun sepatutnya enam mata kerana Tun berkacamata) antara perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir.
Menurut akhbar hari ini, pertemuan antara Pak Lah dan Tun ini kemungkinan diadakan di ibu pejabat Umno di Menara Datuk Onn, PWTC yang hanya dihadiri oleh Pak Lah dan Tun tanpa pihak ketiga. Pada pukul lapan malam tadi saya tidak berkesempatan untuk mengikuti perkembangan berita tentangnya kerana sudah hampir masuk waktu solat Isya' seterusnya Terawikh di surau. Namun begitu selepas sahaja selesai solat sunat terawikh saya sempat bertanyakan kepada adik kepada rakan yang kebetulan mengikuti berita jam 8 malam. Apa yang dimaklumkan kepada saya Pak Lah tidak mengulas tentang hasil pertemuan tersebut dan hanya Tun sahaja yang memberikan ulasan. Dalam ulasan tersebut Tun menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan pertemuan tersebut tetapi tidak gembira.
Di sini kita tidak pasti apakah maksud di sebalik kata-kata Tun itu. Jika beliau mengatakan bahawa beliau berpuas hati mungkin kerana melalui pertemuan itu beliau dapat meluahkan segala ketidakpuasan hatinya terhadap pentadbiran Pak Lah selama ini terus kepada Pak Lah sendiri. Namun begitu persoalannya di sini apa sebenarnya yang menyebabkan Tun masih lagi tidak gembira sedangkan pertemuan ini kita sedia maklum adalah sesuatu yang disambut baik oleh seluruh pimpinan serta ahli Umno di segenap peringkat dengan harapan agar Pak Lah dan Tun akan berbaik-baik semula.
Kunjungan saya ke laman web BERNAMA juga mendapati belum lagi dikemaskini berita berkenaannya. Nampaknya untuk memberi ulasan lanjut tentang isu ini kita tunggu sahajalah sejurus selepas raya nanti. Sama-samalah kita nantikan adakah pertemuan siang tadi detik permulaan kepada pemulihan hubungan antara PM dan bekas PM atau sebaliknya. Di sini saya tidak boleh mengulas lebih lama lagi kerana blog ini akan dihentikan operasinya tepat jam 12 malam nanti sempena cuti aidilfitri.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home