Friday, October 20, 2006

Tindakan diambil hanya setelah rakyat tahu.

Assalamualaikum.

Berita akhbar semalam mnteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil tindakan maksimum terhadap Adun Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Deros kerana membina banglo tanpa kebenaran. Akhbar hari ini pula perdana menteri pula mahu tindakan undang-undang dikenakan terhadap terhadap Datuk Zakaria.

Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo untuk mengambil tindakan setimpal terhadap Zakaria mengikut peruntukan undang-undang.Katanya, perbuatan Zakaria yang juga Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), membina banglo tanpa kelulusan menimbulkan kemarahan rakyat yang memilihnya sebagai pemimpin, apa lagi memegang jawatan dalam parti yang memerintah. Berita Harian - 20 Oktober 2006.

Nampak begitu beriya-iya pemimpin Barisan Nasional mahu memastikan ahli-ahli mereka yang terlibat dengan salahlaku diambil tindakan yang sewajarnya. Itupun selepas perihal Datuk Zakaria membina 'mahligai' tanpa kebenaran MPK ini didedahkan sendiri oleh Adun pembangkang daripada DAP hingga menyebabkan isu ini menjadi panas. Andaikan isu ini tidak sampai ke pengetahuan wakil rakyat pembangkang dan tidak sampai ke pengetahuan rakyat. Mungkinkah Khir Toyo akan mengarahkan PBT mengambil tindakan terhadap salah laku Datuk Zakaria itu dan adakah PM juga akan mengumumkan di media meminta Datuk Zakaria didakwa?

Saya percaya andaikata perkara tersebut hanya oleh menteri besar dan perdana menteri sekalipun, paling kuat mereka hanya akan menasihatkan Datuk Zakaria agar berhati-hati dengan tindakannya kerana takut nanti rakyat akan tahu dan nama baik BN akan terjejas. Dalam kata lainnya "nak buat jahat pun pandai-pandailah cover." Ini mungkin ada kebenarannya berdasarkan kenyataan PM pada akhbar Utusan hari ini;

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, masyarakat tidak akan dapat menerima pemimpin yang didapati melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan.
Tegas Perdana Menteri, kesalahan seperti yang didakwa dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md. Deros sudah tentu boleh membangkitkan kemarahan rakyat. Utusan Malaysia - 20 Oktober 2006.


Di sini bolehlah kita tafsirkan bahawa Pak Lah hanya tidak mahu wakil-wakil rakyat bawahannya berbuat salah laku yang rakyat nampak kerana takut partinya akan ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya. Dalam erti kata yang lain hanya rakyat sahaja yang menolak pemimpin yang korup sedangkan bagi kalangan mereka yang berada dalam BN perkara sedemikian masih boleh diterima kerana memang sudah menjadi amalan mereka dari pimpinan peringkat akar umbi hingga ke peringkat tertinggi.

Bagi kita sebagai rakyat pula isu ini sebenarnya telah menjelaskan kepada kita betapa perlunya ada beberapa wakil pembangkang yang terdiri daripada Pas, PKR dan DAP dalam Dewan Undangan Negeri kerana wakil-wakil pembangkang inilah yang akan menyuarakan segala hasrat rakyat dan mendedahkan segala kepincangan yang berlaku. Maka dengan adanya barisan pembangkang yang kuat ini jugalah kerajaan negeri yang diperintah oleh BN tidak akan berani berbuat sesuka hati mereka seperti yang terjadi sekarang ini sejak mereka hampir berjaya merealisasikan matlamat pembangkang sifar dalam pilihanraya umum 2004.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

0 Comments:

Post a Comment

<< Home


Free Hit Counter