Merdeka 318
Assalamualaikum.
Esok kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-56. Jika kita singkap kembali sambutan ulang tahun kemerdekaan tahun lepas, timbul kontroversi apabila kerajaan pusat menggunakan “janji ditepati” sebagai tema dan lambang 1Malaysia sebagai logo untuk sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-55.
Tambahan pula pada masa itu negara menghampiri Pilihanaya Umum ke-13,
maka tindakan kerajaan pusat ini dilihat sebagai kempen politik mereka untuk
menghadapi PRU13. Ekoran daripada itu Pakatan Rakyat telah mengambil keputusan
untuk membuat logo dan tema sendiri iaitu “Sebangsa, senegara, sejiwa.”
Lihat kepada logo merdeka pada tahun ini saya melihat bahawa
logo merdeka versi Pakatan Rakyat tahun lepas telah membuka mata pemimpin BN
yang selama ini logo-logo merdeka mereka agak statik dari segi bentuk dan tidak
kreatif.
Maka pada tahun ini mereka cuba memperkenalkan pula logo kemerdekaan
yang dilihat lebih berseni abstrak daripada yang sebelumnya. Namun apa yang
saya nampak logo berkenaan agak bercelaru. Sekali pandang macam siput pun ada. Kartunis Zunar pula dalam karya terbarunya menggambarkan logo merdeka ini macam rambut Rosmah isteri kepada Najib. Menggambarkan bercelarunya
pemikiran merdeka mereka hingga ada yang kata negara kita tidak pernah dijajah. Apapun yang penting ianya bukan bertujuan kempen politik mereka dan kita Pakatan Rakyat menerimanya sebagai logo dan tema hari merdeka pada tahun ini.
Sentuh pula tentang isu merdeka yang dikatakan disambut
hambar oleh rakyat Malaysia berdasarkan kurangnya kibaran bendera. Saya
teringat alasan mereka yang tidak memakai tudung mengatakan yang penting bukan
apa yang kita pakai, tetapi hati kita. Barangkali itulah agaknya alasan kebanyakan masyarakat kita pada hari ini mengapa mereka tidak mengibarkan bendera kebangsaan. Yang penting dalam hati mereka tersemat perasaan cintakan negara. Tak guna kenderaan penuh dengan bendera Malaysia tetapi memandu macam mat rempit.
Cumanya di sini saya tidak setuju mengaitkan tindakan menaikkan bendera Malaysia di kediaman sebagai meyokong Umno. Malahan masih ada lagi ahli parti semasa kempen PRU13 yang lalu mengecop mereka penyokong Umno hanya berdasarkan bendera Malaysia di rumah mereka. Sepatutnya mereka daripada Pakatan Rakyat yang berjuang untuk membebaskan Malaysia daripada korupsi inilah yang lebih bersemangat untuk naikkan bendera kebangsaan sebagai tanda semangat patriotik mereka yang sebenar.
Akhir sekali berkenaan persoalan yang timbul setiap kali tibanya sambutan ulang tahun kemerdekaan iaitu adakah negara kita ini benar-benar merdeka. Mari kita ikuti isu semasa yang melanda negara akhir-akhir ini iaitu peningkatan kes jenayah pembunuhan yang melibatkan senjata api yang didakwa berlaku sebaik sahaja kerajaan memansuhkan Ordinan Darurat. Hingga ada yang mencadangkan agar dikembalikan Ordinan Darurat sebagai jalan penyelesaian.
Merdekakah namanya itu sehingga terpaksa bergantung kembali kepada undang-undang yang dibawa oleh bekas penjajah kerana buntu untuk menangani kes jenayah berat yang semakin menular? Sedangkan kita ada al-Quran dan Sunnah serta alim ulama' sebagai panduan dalam menyelesaikan masalah jenayah.
Sekian, salam kemerdekaan yang ke-56.
