Thursday, August 31, 2006

Merdeka yang tidak merdeka

Assalamualaikum.

Semalam telah pun berlalu sambutan ambang merdeka iaitu satu detik yang di nantikan oleh kebanyakan anak-anak muda di negara ini kerana kemeriahannya. Seperti kebiasaannya bila menjelang sahaja ambang merdeka, konsert dan persembahan artis adalah sesuatu wajib bagi mengisi acara tersebut sementara menanti detik 12 malam. Nampaknya sia-sia sahajalah saranan beberapa tokoh ulama’ dan NGO sebelum ini agar hari ulangtahun kemerdekaan ini tidak di isi dengan konsert-konsert yang jelas menjadi penyebab kepada keruntuhan akhlak dan moral masyarakat.

Sebelum ini ibu kota Kuching, Serawak yang terpilih menjadi tuan rumah acara sambutan hari kebangsaan telah dilanda jerebu yang agak teruk hinggakan kedudukan kota tersebut sebagai tuan rumah hampir dibatalkan jika jerebu terus berlarutan. Namun begitu melalui teknologi pembenihan awan, jerebu telah beransur reda, maka Serawak pasti menjadi tuan rumah acara sambutan kemerdekaan peringkat kebangsaan. Sepatutnya dalam keadaan Serawak yang telah bebas daripada jerebu ini, mereka seharusnya lebih memanjatkan syukur mereka kerana dengan izin-Nya ikhtiar melalui pembenihan awan tersebut berjaya menurunkan hujan, seterusnya meredakan jerebu yang agak teruk. Tetapi nampak seolah-olahnya mereka ini begitu angkuh mencabar kuasa Allah melalui pembenihan awan apabila meneruskan pesta sambutan kemerdekaan di bumi kenyalang itu dengan perkara-perkara mungkar.

Dalam perutusan khas sempena kemerdekaan oleh perdana menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, yang disentuh hanyalah soal perpaduan, pembangunan dan wawasan 2020. Tidak pun perdana menteri ini menyatakan kerisauannya tentang tentang keruntuhan akhlak yang begitu dahsyat berlaku di kalangan anak-anak muda generasi merdeka lebih-lebih lagi pada hari sambutan kemerdekaan yang suatu hari nanti boleh menghancurkan kemerdekaan yang sedang dikecapi. Semalam kelihatan anak-anak generasi muda merdeka ini seolah-seolah menunjukkan patriotisme mereka dengan membawa bendera Malaysia, memasang bendera kebanggaan di kenderaan, tetapi dengan jelas mempamirkan akhlak dan sikap mereka yang terjajah minda oleh unsur-unsur negatif dari barat. Itulah dia generasi merdeka kebanggaan kerajaan Barisan Nasional yang hanya tahu memasang bendera tetapi tidak menghayati apakah kemerdekaan yang sebenar.

Semalam juga seperti kebiasaan pertubuhan-pertubuhan islam termasuk Dewan Pemuda Pas akan turun ke lautan anak muda generasi yang menyambut merdeka ini menyampai risalah da’wah kepada mereka yang sedang hanyut dengan sambutan kemerdekaan yang sebenarnya membawa mereka kepada kehancuran. Memang tidak dinafikan ianya adalah salah satu usaha dan ikhtiar bagi para da’ie dan gerakan islam dalam mengajak golongan sasaran mereka kembali kepada islam yang sebenar, meninggalkan maksiat. Walau pun ianya mungkin adalah sesuatu yang agak mustahil tetapi kita percaya Allah berkuasa untuk mengubah hati-hati mereka melalui risalah da’wah yang dihulur. Namun begitu sampai bila kita hanya mahu berda’wah dengan cara terbatas ini? Maka sebab itulah Pas menggunakan pendekatan pilihanraya bagi menggantikan kepemimpinan negara yang ada agar usaha-usaha mencegah kemungkaran ini dapat dilakukan dengan lebih berkesan dengan kuasa politik yang ada.

posted by Lidah Penghunus @ 5:03 PM   1 comments

Tuesday, August 29, 2006

Percubaan untuk menghalalkan tindakan ganas anggota polis.

Assalamualaikum.

Semalam dalam blog ini saya ada menyentuh tentang kes tahanan lokap polis yang disepak dan diterajang secara melampau oleh anggota-anggota polis yang bertugas di lokap balai polis berkenaan. Ekoran daripada isu tersebut, akhbar siang tadi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri atau KKDN mengkaji untuk mengehadkan penggunaan telefon bimbit berkamera di kawasan tertentu dan sensitif, termasuk di lokap balai polis;

"Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata langkah itu dibuat berikutan kegiatan merakamkan perbuatan memukul tahanan di dalam lokap menggunakan telefon bimbit berkamera sehingga menjejaskan kewibawaan pasukan keselamatan itu." Utusan Malaysia - 29 Ogos 2006.

Nampaknya cadangan KKDN ini seolah-seolah cuba menutup keganasan yang berlaku di lokap balai polis daripada diperlihatkan ke pengetahuan umum dan sekaligus menggambarkan bahawa aksi memukul tahanan di lokap balai polis seperti yang dipaparkan beberapa hari lalu bukanlah kes yang pertama malahan boleh dikatakan bahawa tindakan memukul tahanan di lokap balai polis ini adalah perkara yang biasa berlaku di kebanyakan balai polis.

Sepatutnya dalam menangani insiden yang memalukan jabatan polis dan KKDN sendiri ini, mereka sepatutnya mengambil langkah yang tegas dalam memastikan tidak berlaku lagi tindakan-tindakan yang memalukan oleh anggota-anggota di bawah mereka ini tidak kira dalam proses penyiasatan mahupun dalam menangani penunjuk perasaan. Namun sebaliknya mereka lebih berminat untuk mengadakan peraturan yang bertujuan untuk menyembunyikan kecurangan yang dilakukan oleh anggota mereka sendiri.

Laporan berita malam ini pula media arus perdana seolah-olah cuba menghalalkan dan membenarkan tindakan anggota-anggota polis yang menyepak dan menerajang tahanan di lokap yang didakwa melakukan rompakan apabila menyiarkan temuramah mangsa rompakan yang menyokong tindakan anggota polis menyepak dan menerajang suspek yang merompak mereka. Dalam temuramah yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3 itu, suami isteri mangsa kepada perompak berkenaan, menceritakan bagaimana mereka suami isteri dan seluruh ahli keluarga mengalami trauma akibat kejadian tersebut apabila mereka suami isteri nyaris-nyaris menjadi korban perompak-perompak yang kini merengkok di lokap balai polis.

Oleh kerana itu mereka menganggap tindakan menyepak dan menerajang perompak-perompak yang telah pun ditahan itu adalah wajar dan setimpal dengan apa yang telah dilakukan terhadap keluarga mereka . Malahan anggota-anggota polis ini dianggap wira oleh pasangan suami isteri ini. Di sini saya amat-amat memahami perasaan trauma dan marah yang dialami oleh pasangan suami isteri berkenaan. Namun seperti yang saya sebutkan dalam penulisan sebelum ini, adalah tidak wajar kerana mengikutkan perasaan marah, dendam dan trauma, kita membenarkan sesuatu yang di luar batas hak asasi manusia, di luar norma peradaban manusia dan bertentangan dengan hukum islam. Lebih-lebih lagi mangsa adalah seorang imam yang saya percaya sedikit sebanyak tahu tentang larangan islam melakukan kekasaran terhadap tahanan lebih-lebih lagi yang belum disabitkan bersalah oleh mahkamah yang adil.

Kita akui bahawa apa yang dilakukan oleh perompak-perompak tersebut terhadap pasangan suami isteri berkenaan adalah tindakan yang zalim dan melampau yang perlu dikenakan hukuman setimpal, namun begitu tindakan polis menyepak dan menerajang perompak-perompak yang ditahan di lokap balai yang belum disabitkan bersalah juga adalah satu tindakan yang zalim dan melampau. Di sini juga saya ingin menegaskan kembali pendapat saya pada penulisan sebelum ini bahawa insiden-insiden ini berlaku kerana undang-undang islam tidak dilaksanakan di negara ini. Kerana jika hukum islam itu berjalan di negara kita, maka saya percaya dengan hukuman hudud iaitu potong tangan terhadap perompak-perompak yang telah disabitkan bersalah melalui mahkamah yang adil, maka tidak akan timbul rasa tidak puas hati oleh suami isteri yang menjadi mangsa rompakan itu tadi.

posted by Lidah Penghunus @ 10:43 PM   0 comments

Monday, August 28, 2006

Isu tahanan lokap polis dipukul.

Assalamualaikum.

Menyentuh tentang kes tahanan lokap polis yang didakwa dipukul, diterajang dan diperlakukan sewenang-wenangnya yang tersebar melalui internet dan disiarkan melalui Buletin Utama TV3 baru-baru ini, sebenarnya ianya bukanlah lagi rahsia bagi kita orang awam sekalipun tidak pernah masuk lokap tidak pernah merasai bagaimana keadaan dikurung di lokap balai polis. Cumanya isu ini tidak berapa ketara kerana masih kurang lagi kesedaran di kalangan rakyat kita tentang hak asasi mereka, terutama tentang kewujudan Suhakam yang melindungi hak-hak tahanan lokap untuk tidak dikasari.

Ini bukanlah bermaksud saya hendak membela penjenayah, memang penjenayah patut dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka. Tetapi adalah tidak patut untuk memperlakukan tahanan-tahanan ini dengan sewenang-wenangnya, iaitu dengan disepak, diterajang, dipaksa menjilat air ludah sendiri, sedangkan mereka hanya tahanan lokap yang belum lagi disabit bersalah oleh mahkamah dan mereka masih dalam peringkat penyiasatan. Jika benar pun mereka ini terbukti bersalah, adalah tidak patut mereka diperlakukan sebegitu.

Di sini saya memahami tentang perasaan marah anggota-anggota polis terhadap penjenayah ini, lebih-lebih lagi penjenayah yang melibat pembunuhan kejam, rogol dan sebagainya. Ada seorang ustaz bercerita semasa dia memberi kuliah agama di balai polis, dia diceritakan oleh seorang anggota polis di situ tentang bagaimana geramnya mereka terhadap seorang pesalah rogol yang telah berumur tetapi tergamak merogol cucunya sendiri hinggakah orang tua itu mereka terajang hingga tersungkur ke lubang tandas. Malahan saya akui saya sendiri pun belum tentu dapat menahan marah jika bertemu dengan pesalah-pesalah jenis ini yang jelas tidak berhati perut.

Namun apapun alasan dan sebabnya, hakikatnya ianya tetap tidak patut dilakukan oleh kita yang dianggap bertamadun, apalagi ajaran islam yang jelas melarang perbuatan sedemikian selagi orang itu belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah yang adil. Kerana jika benar-benar orang itu terbukti bersalah, maka dia akan menerima juga hukuman yang setimpal daripada kesalahannya. Saya berpendapat perkara-perkara sebegini terjadi kerana negara kita sendiri tidak mengamalkan undang-undang yang ditetapkan oleh al quran, kita menggunakan hukum ciptaan manusia, maka hukuman yang diberikan untuk beberapa kesalahan adalah tidak setimpal.

Misalnya hukuman kesalahan rogol hanya dipenjara dan beberapa sebatan sahaja. Ini samalah dengan hukuman untuk kesalahan mencuri dan merompak yang hanya dipenjara sahaja. Maka tidak mustahillah dengan hukuman yang tidak setimpal ini maka pihak polis akan melepaskan geram mereka terlebih dahulu terhadap pesalah-pesalah ini di lokap. Jika hukum islam dilaksanakan insya-Allah saya percaya perkara sebegini tidak akan berlaku kerana dengan terlaksananya hukum islam juga selain keberkatan daripada melaksanakan perintah Allah, anggota polis juga akan terdidik dengan akhlak islam.

Akhbar hari ini juga ada memaparkan ulasan timbalan menteri keselamatan dalam negeri berhubung isu berkenaan;

"Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom menyifatkan kaedah siasatan polis sebagaimana yang dipaparkan oleh sebuah stesen televisyen malam tadi sebagai keterlaluan. Ia tak patut dilakukan sedemikian rupa (umpamanya) dengan menendang. Saya tak setuju,” katanya kepada para pemberita semasa diminta mengulas laporan itu hari ini." Utusan Malaysia - 28 Ogos 2006.

Apa yang ingin saya persoalkan di sini ialah apabila beberapa peserta demonstrasi membantah kenaikan harga minyak beberapa bulan lalu disepak dan diterajang oleh sepasukan FRU hingga ada antara mereka yang dikejarkan ke hospital kerana mengalami pendarahan di kepala, tidak ada pun ulasan menteri berkenaan berhubung kelakuan pasukan polis yang jelas keterlaluan itu. Jika di tempat terbuka seperti dataran KLCC itu pihak polis berani memperlihat keganasan mereka terhadap orang awam, apatah lagi di lokap-lokap balai polis yang jauh daripada pandangan mata orang awam dan media.

posted by Lidah Penghunus @ 10:54 PM   0 comments

Sunday, August 27, 2006

Reformis atau modenis?

Assalamualaikum.

Akhbar hari memaparkan kenyataan Dato' Seri Najib di Sabah semasa berucapkan merasmikan mesyuarat agung bahawa Umno adalah parti reformis yang mencetuskan banyak perubahan bagi meningkatkan status hidup rakyat. Bila sebut tentang perkataan reformis ini, semasa zaman meledaknya kebangkitan rakyat era reformasi Anwar Ibrahim dahulu, perkataan reformasi ini menjadi alergik kepada pemimpin-pemimpin Umno sendiri. Pantang bila sebut reformasi maka mereka akan mengaitkannya dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi kini mereka tidak lagi menganggap Anwar Ibrahim sebagai ancaman yang amat besar kepada mereka. Bagi mereka ancaman yang besar bagi mereka sekarang ini ialah bekas presiden mereka sendiri iaitu Tun Dr Mahathir. Maka tidak hairanlah perkataan 'reformis' dan 'agen perubahan' yang selama ini dilaung-laungkan oleh gerakan anti establish berkumandang di bibir timbalan presiden Umno sendiri.

Di sini juga ingin saya persoalkan benarkah Umno layak digelar reformis? Lebih-lebih lagi kurang seminggu lagi kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-49. Adakah Umno sudah benar-benar melakukan perubahan dalam sistem pemerintahan negara dengan membuang jauh sistem dan undang-undang warisan penjajah dan melaksanakan sepenuhnya sistem islam? Jika maksud reformis oleh Najib itu itu berdasarkan perenggan di bawah ini;

"Kita bukan bangga dengan kuasa tetapi kita berjaya mengubah suasana dari negara miskin menjadi kaya, daripada mundur menjadi berjaya dan itulah Umno sebagai reformis dan sebagai ejen perubahan,"

Benarkah keseluruhan rakyat Malaysia ini sudah mengecapi ni'mat kekayaan yang melimpah ruah di negara ini? Sedangkan kekayaan ini hanya berlegar di sekeliling golongan tertentu yang hanya ada kaitan dengan pemerintah sahaja dan rakyat bawahan terus dihimpit dengan peningkatan kos hidup melalui kenaikan harga minyak, kenaikan tarif elektrik, ancaman kenaikan harga gula akibat kekurangan bekalan di pasaran, kenaikan pelbagai jenis cukai dan pelbagai lagi himpitan ekonomi terhadap rakyat.

Minda dan pemikiran masyarakat kita juga terus di sekat dengan pelbagai akta bertujuan untuk melindungi kelangsungan politik pemerintah. Masyarakat hanya diajar agar terus patuh dan taat kepada pemerintah walaupun segala kecurangan terus berlaku. Yang terbaru minda kritis rakyat terus disekat apabila laman-laman blog mula hendak di'kacau' Akibatnya lahirlah masyarakat yang mindanya dihanyutkan dengan hiburan, isu-isu sensasi artis dan pelbagai lagi perkara-perkara yang tidak membangunkan minda. Yang terbaru, esok masyarakat akan diajak untuk menilai secara 'kritis' perbalahan antara Mawi dan bekas tunangnya.

Jika dilihat melalui teori pemikiran. Reformis adalah golongan yang berusaha untuk melakukan perubahan daripada pelbagai aspek namun mereka tetap tidak meninggalkan islam sebagai cara hidup, malahan mereka tetap memperjuangkan islam sebagai ad din. Sedangkan Umno yang kononnya berusaha untuk melakukan perubahan terus meminggirkan islam yang syumul dalam agenda perjuangan mereka. Maka mereka ini hanya layak digelar modenis.

Tentang kenyataan Najib di bawah ini pula;

"Dalam nada berkias, Najib mengulangi ikrar untuk ‘tidak akan terjun dari kapal’ yang dikemudi Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Malah, beliau berjanji akan bersama ‘belayar mengharungi samudera hingga tiba ke destinasi perjuangan."

Apa yang kita lihat 'kapal' yang dinaiki oleh najib itu sedang bergelora dan menunggu masa untuk tenggelam oleh kerana kapal tersebut menggunakan 'enjin jahiliah moden' serta kelemahan pengemudi kapal itu sendiri. Jadi kita mahu lihat adakah Najib akan sanggup tenggelam bersama kapal itu satu hari nanti, mati bersama-sama mereka? Jika tidak mahu tenggelam Najib dan orang-orang Umno terlebih dahulu mestilah menukar 'enjin' kapal tersebut daripada jahiliah moden kepada islamik dan menukar pengemudinya yang dilihat lemah dalam mengemudi kapal tersebut.

posted by Lidah Penghunus @ 2:58 PM   0 comments

Saturday, August 26, 2006

Ingin buktikan negeri terawal terima Islam tetapi tidak laksanakan Islam secara syumul.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini memaparkan kesungguhan kerajaan negeri Terengganu untuk membuktikan bahawa Islam masuk ke Tanah Melayu melalui Terengganu berdasarkan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang yang menceritakan secara lengkap undang-undang yang ada pada batu bersurat berkenaan.

Jika dilihat berdasarkan batu bersurat di Kuala Berang yang bertarikh 1303 masihi itu memang tidak dinafikan bahawa ia adalah bukti yang agak kuat untuk menyatakan bahawa islam mula-mula masuk ke Tanah Melayu melalui bumi Terengganu yang sekaligus membuktikan negeri tersebut terawal menerima islam.

Namun begitu apalah gunanya hanya berbangga dengan gelaran negeri yang pertama menerima islam di gugusan tanah melayu, berbangga dengan penemuan-penemuan dan artifak sejarah yang membuktikan ketika masa dahulu islam begitu mahsyur di negeri tersebut. Namun sekarang ini ianya hanya tinggal sejarah semata-mata. Lebih malang sekali apabila bukan sahaja islam itu tidak diamalkan secara tuntas, malahan ianya telah diubah pula kepada nama islam hadhari.

Sedangkan perlaksanaan islam hadhari yang mereka war-warkan berbeza sekali dengan perlaksanaan islam yang sebenarnya. Ini kita dapat lihat di negeri Terengganu sekarang ini di bawah pemerintahan Barisan Nasional walaupun ada bukti melalui batu bersurat yang menunjukkan bahawa negeri ini yang terawal menerima islam dan melaksanakan undang-undang islam, mendapat gelaran darul iman, namun masih lagi menggunapakai undang-undang penjajah dan tidak berusaha untuk melaksanakan undang-undang islam seperti kerajaan negeri yang sebelumnya. Budaya hedonisme kembali subur, juara Akademi Fantasia di sanjung dan rakyat kembali ditindas dengan perlaksanaan kembali cukai yang telah dihapuskan oleh kerajaan negeri yang terdahulu.

Jadi sepatutnya disamping mempromosi tentang negeri yang terawal menerima dan melaksanakan islam, kerajaan negeri Terengganu mesti memastikan agar islam yang syumul ini terus dapat dilaksanakan di negeri darul iman itu. Jika kita lihat Andalusia di Spanyol negara tersebut menerima islam dahulu daripada Terengganu, tercatat dalam sejarah sebagai negara islam yang berjaya mencipta kegemilangan tamadun islam. Namun kini tiada apa yang tinggal untuk negara tersebut kekal sebagai negara islam. Walaubagaimana pun ianya adalah kerana negara tersebut telah dirampas kembali oleh orang kristian. Tetapi di Terengganu pemerintahan adalah di tangan orang islam sendiri, maka adalah tidak patut jika islam itu tidak boleh diamalkan secara syumul.

posted by Lidah Penghunus @ 1:54 AM   0 comments

Thursday, August 24, 2006

Apabila Tun Dr M berhasrat menjadi perwakilan Umno Bahagian.

Assalamualaikum.

Bila baca tentang hasrat bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir untuk menjadi perwakilan ke perhimpunan agung Umno 2006 pada akhbar hari ini, teringat saya semasa era beliau sebagai perdana menteri yang juga presiden Umno ketika dahulu yang mana perhimpunan agung ketika itu Tun duduk di kerusi presiden Umno.

Pada masa itu dapat kita lihat bagaimana ucapan-ucapan daripada perwakilan bahagian, pergerakan pemuda dan wanita yang penuh dengan pujian-pujian serta sanjungan yang tinggi melangit terhadap Dr Mahathir sebagai presiden, hinggakan perhimpunan agung Umno ini dikatakan sebagai medan untuk memuji, menyanjung serta mengampu pemimpin.

Baru-baru ini juga Tun Dr Mahathir pernah menyatakan bahawa ketika beliau masih perdana menteri dahulu kebanyakan ahli-ahli Umno terlampau memuji dan menyokong beliau tanpa mereka ketahui apakah sebab mereka sokong hingga Tun sendiri sangkakan bahawa apa yang beliau buat ketika itu semuanya betul.

Kini Tun yang dahulunya duduk di pentas pimpinan akan mewakili Umno bahagian Kubang Pasu dan menyatakan kesediaan untuk berucap pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan sebaik sahaja kesemua cawangan dan bahagian Umno di seluruh Malaysia selesai mengadakan mesyuarat agung. Tetapi bukan untuk memuji, bukan untuk menyanjung dan bukan untuk mengampu kepimpinan yang sekarang, tetapi hasrat beliau adalah untuk menegur kepimpinan pada perhimpunan yang akan di adakan itu.

Walaupun sebenarnya Tun hanya baru dicalonkan oleh Umno bahagian Kubang Pasu untuk menjadi perwakilan, sudah timbul kerisauan daripada pihak-pihak tertentu apabila Tun sendiri memberitahu bahawa sudah ada individu-individu tertentu yang meminta beliau untuk menarik diri. Jadi sama-samalah kita tunggu apakah yang akan berlaku pula pada perhimpunan agung Umno yang akan diadakan nanti. Mungkinkah akan berlaku sesuatu yang luar jangkaan atau adakah Dr M sendiri akan membuat sesuatu yang di luar jangkaan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:15 PM   1 comments

Bloggers pula hendak di ajak berdebat.

Assalmualaikum.

Di sini saya agak berminat untuk mengulas sedikit tentang satu laporan akhbar pada hari ini;

"Datuk Shaziman Abu Mansor semalam mencabar pengendali laman forum atau blog yang berselindung di sebalik nama samaran untuk tampil dan berdebat secara terbuka mengenai pelbagai isu semasa. Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu berkata tindakan kumpulan yang mengkritik pihak tertentu termasuk kerajaan tetapi enggan mendedahkan identiti sebenar seperti penembak curi" Berita Harian- 23 Ogos 2006

Adalah satu yang memalukan apabila seorang ahli parlimen yang juga timbalan menteri Tenaga Air dan Komunikasi mencabar penulis-penulis blog yang mengkritik kerajaan agar berdebat secara terbuka dengan pihak kerajaan tentang isu semasa. Saya mengatakan sebegini kerana selama ini pihak pembangkang berkali-kali telah mempelawa pemimpin kerajaan daripada Barisan Nasional agar berdebat secara terbuka berkenaan isu-isu yang dibangkitkan, malahan bekas perdana menteri sendiri juga telah membuat pelawaan yang sama, namun hingga kini pelawaan berkenaan tidak disambut. Alih-alih penulis laman blog pula yang hendak mereka cabar berdebat.

Jika mereka ibaratkan penulis blog yang mengkritik kerajaan ini sebagai penembak curi, apa bezanya pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sendiri yang hanya berani bersuara, menyerang dan mengkritik pembangkang melalui media arus perdana tanpa mahu beri peluang kepada pembangkang untuk menjawab segala tuduhan dalam media yang sama, tanpa berani tampil berdebat dengan mereka tentang isu semasa.

Sebenarnya kenyataan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ini telah mendedahkan lagi kepada kita bahawa mereka yang sebelum ini kononnya ingin memantau blog atas nama menjaga sensitiviti agama dan perkauman di negara ini sebenarnya juga ingin memantau penulis blog yang mengkrtik kerajaan demi survival politik mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 1:51 AM   1 comments

Pemuda pelbagai parti berhimpun atas nama keamanan sejagat

Assalamualaikum.

Majlis Perhimpunan Gabungan Pemuda Malaysia membantah kekejaman rejim zionis di Dewan Bahasa Pustaka yang berlangsung semalam mengingatkan saya bahawa di tempat yang sama juga Tun Dr Mahathir semasa masih menjadi perdana menteri bersama-sama Al marhum Ustaz Fadhil Noor dalam satu pentas berbicara tentang isu Palestin dan keganasan rejim Zionis.

Majlis yang berlangsung semalam juga telah membuktikan kepada kita bahawa Pas boleh bersama dengan mana-mana pihak dalam isu yang melibatkan keadilan sejagat dan kepentingan bersama. Jika sebelum ini ramai orang marah termasuk ahli Pas sendiri apabila Pas menghadiri majlis yang Tun Dr Mahathir berucap, namun semalam mereka telah saksikan bagaimana pemuda Pas telah berucap dalam pentas yang sama dengan pemuda Barisan Nasional. Ini bukanlah bermaksud mereka telah redha terhadap dasar mereka. Pas tetap dengan dasar islamnya dan menolak fahaman politik sempit amalan Barisan Nasional. Namun oleh kerana pemuda BN bersedia untuk berbicara tentang nasib umat islam Palestin, maka Pemuda Pas bersedia untuk sepentas dengan mereka.

Sebelum ini juga heboh diperkatakan tentang pemimpin-pemimpin tertinggi Pas turut bersalaman dengan Tun Dr Mahathir, dalam akhbar siang tadi kelihatan gambar pemimpin gabungan pemuda-pemuda parti politik di Malaysia berganding tangan sebagai tanda komitmen mereka terhadap isu keamanan sejagat. Ini samalah juga dengan Menteri Besar Kelantan yang sebelum ini dilihat menghadiri program ucapan Tun di Kota Bharu dan minggu lepas juga Mursyidul Am Pas itu kelihatan agak mesra dengan perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ini membuktikan bahawa islam yang diperjuangkan oleh mereka tidaklah sejumud yang disangka. Jika pemuda Pas bersedia bekerjasama dengan pemuda BN dalam isu sejagat, Tok Guru Nik Aziz pula sedia menerima Tun Dr Mahathir dan juga Pak Lah sebagai tetamu kerajaan negeri.

posted by Lidah Penghunus @ 12:58 AM   0 comments

Tuesday, August 22, 2006

Gejala murtad- Mengapa harus mempertikaikan angka, sedangkan tindakan tidak dibuat?

Assalamualaikum.

"JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan yang dikemukakan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mengenai lebih 120,000 orang Islam murtad kerana sumber mengenai dakwaan itu tidak boleh dipercayai. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Mat Zain, berkata berdasarkan kajian Jakim, dakwaan Mufti Perak itu tidak tepat kerana ia berdasarkan kepada sumber rujukan yang tidak boleh dipertanggungjawabkan seperti daripada internet dan laman web musuh Islam" Berita Harian - 22 Ogos 2006.


Apa yang saya kesalkan di sini ialah pihak Jakim melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Mat Zain dilihat hanya berminat untuk mempertikaikan dan menafikan angka-angka atau fakta yang dikemukakan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harusani Zakaria tanpa mahu mengambil tindakan yang berkesan dalam usaha menangani permasalahan murtad yang sebenarnya semakin serius di negara ini.

Adakah Menteri yang jaga Jakim ini hendak mengatakan bahawa masalah murtad di Malaysia tidak serius, tidak membimbangkan? Adakah Dato' Dr Abdullah Mat Zain juga sependapat dengan bekas menteri di jabatan perdana menteri dahulu bahawa bilangan orang islam yang murtad di negara ini telah diimbangi oleh bilangan orang bukan islam yang memeluk islam?
Laman yang dikendalikan oleh web musuh islam yang disentuh oleh menteri di jabatan perdana menteri itu juga membuktikan bahawa gerakan memurtadkan umat islam sedang berjalan dengan pesat di Malaysia. Memang tidak dinafikan bahawa tidak kurang ramainya juga saudara-saudara baru yang memeluk islam di negara kita, namun begitu mengambil perumpamaan kita sebagai ibu atau bapa yang baru kematian anak, adakah dengan lahirnya seorang lagi anak boleh mengubat kesedihan kita atas kematian anak yang selama ini kita sayang dan pelihara hingga meningkat dewasa?

Di sini saya tertarik dengan kenyataan oleh seorang pimpinan bahawa gejala murtad ini jangankah seratus ribu, jika ada seorang murtad pun ianya sudah dikira bahaya bagi umat islam di Malaysia ini. Bagi saya jika sudah sampai tahap pengisytiharan murtad itu sudah berani dilakukan secara terang-terangan di mahkamah maka ianya bolehlah dikatakan pada tahap yang bahaya kerana mereka ini berani menyatakan murtad mereka di khalayak ramai tanpa rasa takut akan ancaman dan saya percaya perkara sebegini tidak akan berani dilakukan jika terlaksananya hukum bunuh terhadap mereka yang murtad.

Sepatutnya sebagai menteri yang diamanahkan untuk menjaga Islam beliau harus mengambil langkah-langkah perlu bagi membenteras gejala murtad ini terutamanya melalui perlaksanaan undang-undang yang telah ditetapkan oleh al quran. Tidak setakat itu, perkara-perkara yang membawa kepada penyuburan gejala murtad seperti budaya hedonisme, fahaman liberalisme dan sebagainya juga harus disekat oleh kerajaan yang mempunyai autoriti untuk berbuat demikian. Jangan tunggu sampai anak kepada menteri berkenaan didapati murtad baru hendak bertindak.

posted by Lidah Penghunus @ 4:33 PM   1 comments

Tidak semua konflik itu berpunca daripada masalah perbezaan bahasa

Assalamualaikum.

Hari ini saya tertarik untuk mengulas tentang kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir yang dipaparkan pada akhbar hari ini yang menyebut bahawa pembelajaran dan pengetahuan tentang bahasa asing boleh membantu dalam mengurangkan dan menyelesaikan masalah serta konflik dunia hari ini.

"Bekas Perdana Menteri itu berkata, dengan belajar dan mengetahui bahasa orang lain, seseorang itu mampu berkomunikasi dan memahami dengan lebih baik antara satu sama lain dan ini mungkin boleh membantu mengurangkan konflik yang menjurus kepada banyak pembunuhan sebagaimana yang disaksikan dunia hari ini. Ini bukan cara bertamadun... Cara paling bertamadun ialah dengan belajar bahasa orang lain. Bayangkan Presiden Bush (Presiden Amerika Syarikat George W.Bush) bercakap dalam bahasa Arab kepada Osama bin Laden (pemimpin Al-Qaeda) untuk menjelaskan masalah Amerika dan Osama pula menerangkan masalah yang dihadapinya" Utusan Malaysia - 22 Ogos 2006.

Mungkin kenyataan Tun ini ada benarnya jika sesuatu konflik atau perbalahan itu berpunca daripada perbezaan bahasa yang mewujudkan salah faham di antara dua pihak. Tetapi tidak semua masalah itu berpunca daripada perbezaan bahasa atau tidak faham tentang bahasa atau dialek sesuatu pihak. Banyak sebab lain yang menjadi punca utama kepada sengketa dan perbalahan ini antaranya soal prinsip, ideologi, perjuangan hak asasi, penguasaan ekonomi, sejarah dan pelbagai lagi faktor yang bukan faktor komunikasi.

Saya percaya Usama Bin Laden dengan latar belakang pendidikannya maka beliau tiada masalah untuk memahami dan bertutur dalam bahasa inggeris. Dan saya juga percaya Bush walaupun tidak mengetahui bahasa Arab tetapi dengan kedudukan beliau sebagai ketua negara bagi negara kuasa besar dunia, sudah tentu beliau dikelilingi oleh perterjemah daripada pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab. Walaupun begitu kedua-kedua pemimpin yang mewakili dua peradaban yang bertentangan ini tetap tidak boleh duduk semeja kerana secara tradisinya Bush sudah menganggap bahawa Usama dan gerakannya adalah pengganas yang harus dihapuskan dan Usama juga menganggap Bush dan Amerika Syarikat adalah musuh umat islam yang telah banyak melakukan kezaliman terhadap umat islam.

Contoh lain yang boleh kita lihat ialah di timur tengah iaitu permusuhan antara rejim Zionis dan umat islam. Sebagaimana yang telah kita maklum bukan sekali umat islam Palestin dan rejim Zionis pernah ditemukan dalam satu meja untuk membincangkan tentang perdamaian. Namun begitu hingga ke mutakhir ini juga perperangan tetap berlaku antara umat islam dan yahudi. Ini adalah kerana faktor sejarah itu sendiri dan dalam quran dan hadis juga sudah jelas bahawa permusuhan antara Islam dan Yahudi itu akan berterusan hingga ke penghujung zaman dan ketika itu umat islam akan bangkit menewaskan Yahudi. Selain daripada itu, konflik di Selatan Thailand dan Filifina juga adalah contoh dua pihak yang mempunyai bahasa pertuturan yang sama namun oleh kerana faktor perjuangan hak mendapatkan pemerintahan maka sehingga kini konflik masih berlarutan.

Dalam isu ini walaupun Tun hanya menyebut tentang konflik atau perbalahan yang melibatkan perperangan dan pembunuhan, namun saya berminat juga untuk menyentuh isu ini dalam konteks Malaysia. Contoh yang paling jelas sekali ialah perbalahan antara Tun sendiri dengan perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sudah jelas bahawa dua individu ini dalam parti yang sama, pernah atau sedang memegang jawatan yang sama dan bertutur dalam bahasa yang sama malahan dalam loghat atau dialek yang hampir sama. Namun begitu atas sebab perbezaan prinsip tetap belaku perbalahan. Begitu juga bila disentuh tentang pertikaian antara Pas dan Umno. Dua-dua parti ini walaupun dasarnya berbeza namun keahliannya banyaknya adalah orang melayu yang bertutur dengan bahasa yang sama. Namun begitu atas sebab prinsip perjuangan dan ideologi politik, tetap wujud perseteruan yang sengit antara dua parti ini di persada pentas politik Malaysia. Namun begitu ianya tidaklah sampai kepada yang disebutkan oleh Tun itu tadi.

Jadi di sini jelas bahawa mempelajari dan memahami bahasa asing bukanlah faktor yang kuat dalam mengurangkan dan menangani konflik di dunia ini. Jika diambil pertentangan antara Yahudi dan Islam itu tadi, penyelesaiannya tidak dapat tidak dunia islam itu sendiri mestilah menguatkan akidah mereka, bersatu di bawah akidah yang benar dalam menghadapi yahudi yang selamanya akan memusuhi islam dan memenuhi janji Allah bahawa umat islam akan mengalahkan kaum Yahudi. Begitu juga dalam pertikaian antara Pas dan Umno, mahu tidak mahu Umno yang memegang tampuk pemerintahan mestilah membuang jauh sekularisme yang mendasari perjuangan mereka selama ini, mengambil islam secara menyeluruh dalam pemerintahan mereka dan mewujudkan pemerintahan yang adil dan saksama dalam pelbagai aspek. Jika semua ini diambil kira, saya percaya andaikata kedua-kedua pihak itu mempunyai bahasa yang berbeza pun insya-Allah tidak akan berlaku perbalahan yang besar.

posted by Lidah Penghunus @ 3:07 PM   0 comments

Monday, August 21, 2006

Benarkah BN mampu merampas Kelantan?

Assalamualaikum.

Melihatkan sambutan besar-besaran rakyat Kelantan terhadap Pak Lah semasa tiba di Kota Bharu ahad lalu. Akhbar hari ini merakamkan keyakinan Pak Lah selaku presiden Umno merangkap pengerusi BN bahawa Umno dan Barisan Nasional mampu merampas negeri Kelantan daripada Pas pada pilihanraya akan datang.

"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali tampuk pemerintahan negeri Kelantan daripada Pas berdasarkan sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat Kelantan semasa lawatan beliau ke negeri itu hari ini.
Perdana Menteri berkata, walaupun telah banyak kali melawat Kelantan tetapi sambutan kali ini adalah yang terbesar kerana ini menunjukkan rakyat Kelantan bersedia untuk membuat perubahan dan penghijrahan minda"

Utusan Malaysia - 21 Ogos 2006

Persoalan di sini adakah benar ramainya sambutan terhadap seseorang pemimpin parti itu bermakna ianya akan diterjemahkan dalam pilihanraya? Sedangkan fenomena ini juga banyak kita dapati dalam parti pembangkang khususnya Pas, bila sahaja pimpinan-pimpinan tertinggi Pas tiba di suatu kawasan atau negeri, sambutan yang diberikan oleh rakyat begitu hebat. Begitu juga ceramah-ceramah umum yang dianjurkan oleh pembangkang khususnya Pas semasa kempen pilihanraya, sambutannya seolah-olah petanda bahawa Pas akan memenangi pilihanraya tersebut. Namun begitu sebaliknya Pas tetap tewas dalam pilihanraya tersebut. Membuktikan kepada kita bahawa sambutan orang ramai bukanlah bermakna sokongan kepada sesebuah parti dalam pilihanraya. Apatah lagi jika ribuan yang hadir itu banyaknya diangkut oleh bas-bas milik Jabatan Persekutuan.

Dalam akhbar berkenaan Pak Lah menafikan bahawa peruntukkan RMK9 kepada Kelantan untuk meraih sokongan rakyat Kelantan dalam pilihanraya akan datang;

"Sementara itu ditanya mengenai peruntukan besar sebanyak RM7.6 bilion kepada Kelantan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Abdullah berkata ia bukan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.
Sebaliknya beliau berkata ia sesuatu yang diperlukan oleh rakyat negeri itu setelah sekian lama tidak ada peruntukan sebesar itu diberikan untuk pembangunan di Kelantan" Utusan Malaysia - 21 Ogos 2006.


Jika benar bagai dikata maka tidak perlulah Pak Lah selaku presiden Umno sebut tentang merampas negeri Kelantan daripada Pas. Serahkan sahaja segala peruntukan tersebut untuk kerajaan Pas Kelantan majukan negeri serambi Mekah itu secara telus serta mengikut acaun Islam. Pas Kelantan bukan tidak ada pemimpin-pemimpin yang pakar dalam pembangunan negeri, antaranya yang menyerlah ialah Husam Musa sendiri yang diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat. Sebelum ini juga kerajaan negeri di bawah Pas telah membuktikan bahawa mereka juga mampu mentadbir negeri, mampu membawa pembangunan kepada rakyat Kelantan. Cumanya peruntukkan untuk kerajaan negeri yang begitu terhad menyebabkan segala perlaksanaan pembangunan menjadi perlahan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:26 PM   1 comments

Sunday, August 20, 2006

Yahudi terus dengan tradisi melanggar perjanjian, PBB terus dengan tradisinya bersikap bacul.

Assalamualaikum.

Apabila diumumkan gencatan senjata pada awal minggu lepas, saya sebenarnya tidak berapa yakin dengan gencatan senjata tajaan PBB ini. Ini ditambah lagi apabila melihatkan sikap berdolak-dalik tentera Yahudi yang dilaporkan di akhbar. Lagipun bagi diri saya rasa macam tidak puas hati sebab tentera Yahudi sudah membunuh beribu-ribu rakyat Lubnan, memusnahkan pelbagai infrustruktur negara berkenaan, tetapi ianya berakhir dengan gencatan senjata oleh PBB tanpa diambil sebarang tindakan pun keatas negara haram Israel itu dan sekutunya yang terang-terang melakukan jenayah lebih-lebih lagi membunuh petugas agensi antarabangsa.

Dan semalam seperti yang dijangkakan rejim Zionis terus mengekalkan warisan tradisi nenek moyangnya iaitu sikap memungkiri janji apabila kembali mengganas di Seletan Lubnan setelah hanya lima hari mematuhi gencatan senjata. Namun apa yang amat menyedihkan, PBB melalui setiausaha agungnya, Koffi Annan terus mengekalkan tradisi PBB yang lemah apabila hanya mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan tentera Yahudi ini melanggar gencatan senjata PBB. Itu sahaja! Sepatutnya tidak perlu sebut hal berkenaan pun masyarakat dunia sudah maklum bahawa tindakan Zionis itu jelas melanggar gencatan senjata. Yang kita mahu dengar daripada mulut Annan ialah PBB akan mengambil tindakan keras kepada Israel kerana melanggar ketetapan PBB.

Tapi apalah yang boleh diharapkan oleh PBB yang dikawal oleh kuasa-kuasa kuffar Amerika dan Britain ini. Dan apa yang lagi menyedihkan, OIC yang dipengerusi oleh negara umat islam sendiri juga masih lagi lemah dalam berhadapan dengan kebiadaban Zionis ini.

posted by Lidah Penghunus @ 3:29 PM   3 comments

Saturday, August 19, 2006

Mengapa generasi pasca-merdeka persoal dasar atau undang-undang negara?

Assalamualaikum.

Petikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada salah sebuah akhbar perdana;

"Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegur generasi pascamerdeka yang mempersoalkan dasar-dasar dan undang-undang negara atas alasan ia mengekang kebebasan rakyat. Menurut beliau, ada pihak cuba menuntut kelonggaran dan pemansuhan pelbagai undang-undang di atas nama kebebasan sedangkan undang-undang dan peraturan itulah yang selama ini memastikan negara ini terus stabil, makmur dan selamat"

Kepada Datuk Seri Najib, kami generasi pasca-merdeka ini mempersoalkan malahan meminta agar dasar serta undang-undang negara ini dikaji balik bukanlah kerana kami ini terikut-ikut dengan konsep kebebasan hak asasi acuan barat yang tiada sempadannya itu. Tetapi kerana dasar dan undang-undang di negara ini tidak mengikut acuan islam, tidak berpandukan al quran dan sunnah dan ada beberapa undang-undang di negara ini yang telah disalahgunakan untuk untuk survival politik pemerintah. Jika generasi pra-kemerdekaan dahulu mempersoalkan sistem penjajah yang ternyata merugikan kaum peribumi sendiri, maka kami generasi pasca-kemerdekaan kini mempersoalkan pula kepada pihak pemerintah yang telah mendapat mandat mentadbir negara, bebas daripada belenggu penjajah, namun masih menggunapakai sistem warisan penjajah.

"Najib berkata, ada kalangan generasi muda hari ini sudah termakan dengan ideologi liberal laungan Barat dan seterusnya mempertikaikan dasar dan undang-undang negara"

Ideologi atau prinsip perjuangan kami hanyalah satu iaitu ISLAM sebagai cara hidup yang syumul yang mampu menjadi penyelesai kepada pelbagai permasalahan sejagat pada waktu kini dan selamanya.

Persoalan untuk Datuk Seri Najib pula, jika benar kerajaan begitu mengambil berat tentang gejala ideologi liberal laungan barat ini, mengapakah kumpulan-kumpulan liberal yang juga dikenali sebagai islam liberal ini begitu bebas mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan islam dan sering menganggu usaha-usaha golongan yang mahukan islam? Malahan suara kumpulan-kumpulan liberalis ini telah menjalar ke majalah al Islam apabila sewenang-wenangnya menyerang ulama' dan pemikir islam. Mengapa golongan-golongan ini tidak diambil tindakan? Adakah kerana salah seorang pendokongnya adalah anak perdana menteri sendiri?

posted by Lidah Penghunus @ 12:27 AM   1 comments

Thursday, August 17, 2006

Kalau dah menteri pun tak percaya kemampuan Bahasa Melayu, apatah lagi artis

Assalamualaikum.

Menyentuh tentang isu penghinaan Bahasa Melayu oleh seorang pelakon yang telah memenangi anugerah menerusi filem Gubra baru-baru ini. Saya sempat meniliti beberapa SMS daripada pembaca sebuah akhbar perdana berkaitan isu ini. Rata-rata mereka yang memberi komen ini ternyata marah dengan kenyataan biadab pelakon ini, lebih-lebih lagi ianya dinyatakan di depan Menteri Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Ada yang mencadangkan agar anugerah yang diberikan kepada pelakon itu ditarik balik, ada yang mencadangkan agar pelakon ini digam dan ada yang mahu artis itu memohon maaf secara terbuka.

Namun disebalik SMS yang membidas pelakon ini, saya tertarik dengan satu SMS yang menyatakan bahawa ianya juga adalah salah sistem pendidikan kita sendiri yang lebih mengagong-agongkan bahasa inggeris itu sendiri. Rasanya bila disebut tentang perlaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris dalam sistem pendidikan kita maka tidak perlulah saya ulas lanjut lagi kerana perkara ini sudah pun dibincangkan panjang lebar dalam blog ini sebelum ini. Cuma apa yang hendak disebutkan di sini, jika kerajaan sendiri melalui kementerian pendidikan sanggup untuk merendahkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, apatah lagi seorang artis lebih-lebih lagi artis ini yang melakonkan filem murahan yang mengetepikan nilai-nilai adat ketimuran, jauh sekali nilai islam.

Sebelum ini ada usaha daripada kerajaan melalui kementerian pendidikan dan DBP untuk memperkasakan Bahasa Melayu melalui saluran perundangan dan penguatkuasaan, namun begitu adalah amat mengecewakan apabila perlaksanaan pengajaran sains dan matematik ini tidak pun disentuh langsung sedangkan seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini bahawa perlaksanaan tersebut adalah dosa yang paling besar kerajaan terhadap Bahasa Melayu. Sentuh pula tentang kekecewaan yang luahkan oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim terhadap kenyataan pelakon tersebut di hadapan beliau. Beliau harus ingat bahawa sebelum ini juga beliau pernah bertindak biadab terhadap kerajaan negeri Kelantan apabila menganjurkan persembahan Mak Yong di negeri tersebut walaupun tidak benarkan oleh kerajaan negeri melalui Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan.

Jadi tidak perlulah Dr Rais Yatim merasa kecewa kerana beliau sendiri pun pernah berkelakuan biadab, bekas 'bos' beliau sendiri sekarang ini pun dikatakan bertindak biadab apabila mengkritik secara terbuka perdana menteri, malahan baru-baru ini perdana menteri sendiri juga telah bertindak biadab apabila melabel pengkritiknya sebagai iblis.

posted by Lidah Penghunus @ 9:51 PM   0 comments

Wednesday, August 16, 2006

Kisah Shahidan Kassim mahu pulaukan media.

Assalamualaikum.

Dalam meneliti tentang kemelut Mahathir-Pak Lah di akhbar-akhbar saya juga tertarik dengan satu laporan tentang kenyataan menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menggugut tidak akan berjumpa atau memberi sebarang kenyataan kepada media jika kenyataannya tidak disiarkan sepenuhnya dalam media berkenaan. Kenyataan Shahidan ini timbul kerana kenyataan media beliau hanya disiarkan separuh oleh sebuah akhbar semalam yang didakwanya menimbulkan salah faham dan kemarahan di kalangan orang-orang Pak Lah.

Nampaknya baru hanya sekali beliau diperlakukan sedemikian oleh media sudah mengugut mahu memulaukan terus media, mahu menutup pejabat media di negeri pentadbirannya. Sedangkan pembangkang khususnya Pas dari dahulu hingga kini sudah tidak terkira berapa banyak parti pembangkang tersebut perlakukan sedemikian oleh pihak media khususnya media perdana. Bukan sahaja kenyataan daripada mereka tidak disiarkan atau disiar sepenuhnya, malahan hingga ke tahap ianya diputar belit dan disensasikan hingga menimbulkan salah faham rakyat, memberikan gambaran buruk kepada parti islam itu.

Namun begitu Pas tidak pernah pun bercadang untuk memulaukan mana-mana media perdana yang ingin membuat liputan pada program-program mereka atau menghadiri sessi persidangan akhbar anjuran mereka. Pimpinan-pimpinan Pas masih sedia untuk meraikan soalan-soalan daripada media perdana ini walaupun mereka sudah sedia maklum bahawa ianya berkemungkinan besar tidak akan disiarkan. Pernah ada cadangan daripada perwakilan dalam muktamar Pas agar pihak-pihak media perdana dihalang untuk membuat liputan pada muktamar Pas kerana tindakan tidak beretika mereka, namun cadangan ini telah ditolak oleh pimpinan Pas kerana ianya bertentangan dengan kebebasan media.

Jadi sepatutnya Dato' Seri Shahidan harus menginsafi bagaimana peritnya selama ini pihak pembangkang yang diperlakukan secara tidak profesional oleh media yang dikawal oleh mereka. Baru-baru ini juga bekas perdana menteri sendiri sudah pun merasai bagaimana peritnya diperlakukan oleh media yang dahulunya beliau pergunakan untuk menyerang pembangkang.

Mungkin selepas ini Dato' Seri Shahidan perlu memikirkan untuk mengadakan Blog sendiri agar semua kenyataan beliau dapat disiarkan sepenuhnya.

posted by Lidah Penghunus @ 11:55 PM   0 comments

Jika mahu makmum yang baik, imamnya pun kena baik.

Assalamualaikum.

Dalam menghadapi kemelut Mahathir-Pak Lah yang makin berlarutan, akhbar hari ini ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhd Taib menyeru kepada sekalian ahli Umno agar menghayati konsep 'imam-makmum' dalam solat berjemaah;

“Masa kita jadi imam orang ikut... kita jadi imam yang baik, tetapi apabila orang lain jadi imam, kita pula mesti jadi makmum yang baik supaya imam yang ada ketika itu dapat menjadi imam yang baik"

Di sini kita amat setujulah bahawa dalam perkara solat berjemaah juga kita sudah diajar tentang adab-adab kepemimpinan dan yang dipimpin. Di sini juga saya teringat dengan kuliah seorang ustaz yang menyebut sedangkan imam solat yang lima minit ini pun kita perlu memilihnya dengan teliti, apalagi imam yang akan memimpin kita selama lima tahun.

Jika sebelum mendirikan solat berjemaah, imam yang akan memimpin solat berjemaah itu perlu dipilih dengan teliti berdasarkan ilmunya, bacaannya, latar belakangnya, akhlaknya dan pelbagai lagi aspek yang perlu diambil kira agar solat berjemaah itu dapat dilaksanakan dengan sempurna dan diterima Allah dan semasa berlangsungnya solat berjemaah, jika didapati imam tersebut melakukan kesalahan, makmum dibelakang boleh menegurnya dengan kaedah yang ditetapkan oleh syarak.

Malahan jika imam tersebut membuat kesalahan yang menyebabkan solatnya terbatal maka makmum di belakang boleh 'menumbangkan' imam tersebut dan mengambil alih tempat imam tersebut juga dengan kaedah yang diajarkan oleh syarak. Jadi apa yang dapat disimpulkan di sini, jika mahu para makmum itu taat kepada seseorang imam, maka imam itu terlebih dahulu mestilah betul dan memenuhi ciri-ciri seorang imam.

Begitu jugalah halnya dengan kepemimpinan negara, jika mahukan rakyat yang taat setia kepada seseorang pemimpin, maka pemimpin itu mestilah membuktikan bahawa dia adalah pemimpin yang taat kepada Allah dan mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang baik kepada rakyat. Jika pemimpin itu berbuat salah maka dia mestilah sedia dikritik dan jika pemimpin itu sudah tidak mampu untuk memimpin negara maka dia perlulah melepaskan jawatannya kepada orang lain jika tidak pun rakyat akan menumbangkannya melalui pilihanraya.

posted by Lidah Penghunus @ 11:16 PM   0 comments

Tuesday, August 15, 2006

Nazri cuba membuka ruang persengketaan yang baru antara beliau dengan ahli Umno yang lain.

Assalamualaikum.

Jika semasa era memuncaknya perbalahan antara bekas timbalan perdana menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri dahulu, Dato' Paduka Ibrahim Ali dilihat sebagai individu yang cuba menjadi gurkha yang mempertahankan Tun yang ketika itu menjadi Bos beliau dalam Umno.

Namun kini pada era perbalahan antara Tun Dr Mahathir selaku bekas perdana menteri dengan perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato' Seri Nazri Aziz pula dilihat sebagai individu yang cuba menampilkan diri sebagai gurkha yang sanggup mempertahankan Pak Lah bermati-matian.

Dalam akhbar hari ini Nazri teruskan memperlihatkan dirinya sebagai wira atau pendekar Umno dengan beberapa kenyataannya;

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyelar ahli Umno kerana berpura-pura dalam menangani isu kritikan berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sambil menyifatkan ahli Umno lebih suka bercakap berlapik, Nazri berkata beliau tidak akan goyang daripada menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri kerana berpegang pada prinsip `satu kapal satu nakhoda' Bagi saya, saya tahu Pak Lah adalah pemimpin sebab itu saya tidak hairan dan saya tidak peduli. Orang nak marah, marah la... ini hak saya dan saya tidak pernah berubah.“Dulu masa Tun jadi Presiden Umno, Perdana Menteri, orang lawan dia, saya tampil ke depan sebab itu Tun tahu saya `henchman' (kaki pukul)"

Nampaknya pada masa Umno menghadapi kemelut perbalahan antara bekas perdana menteri dan perdana menteri, Dato' Nazri cuba mencipta persengketaan yang baru iaitu antara beliau dengan segolongan ahli Umno yang lain apabila mengeluarkan kenyataan yang membidas mereka dan seolah-olah menunjukkan beliau sahaja yang pandai, beliau sahaja yang bersungguh-sungguh membela perdana menteri yang juga presiden Umno.

Mengenai kenyataan beliau pada perenggan berikut ini pula;

“Hari ini mungkin orang marah saya, satu hari orang akan terfikir apa yang Nazri buat itu betul, sebab saya tidak reti nak berpura-pura macam sesetengah orang dalam Umno.“Saya tidak peduli... hendak marah, marah lah kerana saya sayang parti kerana saya sudah nampak bibit perpecahan mungkin berlaku kalau kita tidak mengingatkan ahli supaya elak perkara ini berlaku” katanya"

Jika beliau mengatakan demikian maka ianya samalah dengan Tun Dr Mahathir sendiri. Di sini kita andaikan bahawa Tun yang kita kenal sekarang benar-benar ikhlas dalam tindakannya mengkritik kerajaan khususnya perdana menteri. Maka dalam hal ini Tun juga tidak akan peduli apa yang ahli Umno termasuk Nazri kata kepada beliau kerana yang penting sekarang ini beliau sayangkan negara dan beliau perlu mengkritik dan mendedahkan segala kepincangan yang dilakukan oleh pengganti beliau sendiri. Dan suatu hari nanti juga tidak mustahil ahli-ahli Umno termasuk Nazri yang sekarang ini marah atas tindakan mahathir akan mengakui kebenarannya tindakan bekas perdana menteri itu.

Samalah juga dengan tindakan pembangkang khususnya Pas yang selama ini tidak disukai dan dikecam oleh orang Umno, sedikit sebanyak beberapa tindakan ini telah diakui sendiri oleh Umno. Misalnya kaedah demonstrasi, bakar bendera Israel, sudah pun digunapakai oleh pemuda Umno. Baru-baru ini pada sidang parlimen, wakil daripada Barisan Nasional sendiri mengakui kaedah sebat di khalayak ramai yang sebelum ini mereka kecam sebagai tindakan kejam dan melampau. Itu belum disebut lagi pasal kerja lima hari seminggu dan cuti bersalin 90 hari yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bawah pembangkang.

posted by Lidah Penghunus @ 11:30 PM   0 comments

Monday, August 14, 2006

Setelah lepaskan pegangan saham ECM Libra, bila lagi mahu lepaskan jawatan dalam Umno.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini memaparkan sebab-sebab Khairy melepaskan pegangan sahamnya yang bernilai 10.2 juta sahamnya dalam ECM Libra;

"Khairy berkata, tindakan itu juga untuk kebaikan syarikat serta mengelak reputasi ECM Libra Avenue dan pemegang saham lain terjejas akibat pelbagai syak wasangka dan tohmahan yang timbul daripada kerjaya politiknya."Saya mahu pastikan syarikat ini yang juga mempunyai ramai pemegang saham lain, tidak terjejas. Saya rasa tak adil kepada pemegang saham lain"

Dan kenyataan Khairy ini telah dijelaskan lagi oleh bapa mertuanya sendiri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi;

"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata menantunya, Khairy Jamaluddin menjual semua sahamnya di dalam ECM Libra Avenue Bhd kerana tidak mahu syarikat itu menghadapi masalah disebabkan kehadirannya"

Apa yang boleh kita simpulkan di sini bahawa Khairy telah menjadi liabilti yang boleh menjejaskan ECM Libra, lebih-lebih sejak berlaku polemik Mahathir-Pak Lah yang akhirnya membuatkan beliau melepaskan sahamnya dalam firma tersebut.

Jika dalam firma ECM Libra Khairy yang juga timbalan ketua pemuda ini menjadi liabiliti, tidak mustahil dalam Umno khususnya pergerakan pemuda juga Khairy adalah liabiliti yang menyulitkan pergerakan sayap pemuda Umno. Sekaligus menafikan kenyataan sebelum ini bahawa beliau bukanlah liabiliti dalam parti.

Jadi selepas melepaskan pegangan sahamnya dalam ECM Libra, adalah baik jika Khairy juga melepaskan semua jawatannya dalam pemuda Umno.

posted by Lidah Penghunus @ 11:05 PM   0 comments

Sunday, August 13, 2006

Bukan pengiliran ketua menteri, tetapi giliran Barisan alternatif pula memerintah.

Assalamualaikum.

Sebelum ini Mesyuarat Bahagian Pemuda Umno Nibong Tebal telah meluluskan usul meminta agar jawatan ketua menteri di Pulau Pinang digilirkan antara Umno, Gerakan dan MCA. Gesaan daripada Pemuda Umno ini timbul memandangkan di bawah kepimpinan wakil Gerakan sebagai ketua menteri, keadaan orang melayu yang semakin terpinggir daripada arus pembangunan. Jadi apa yang diharapkan oleh mereka melalui kaedah penggiliran ketua menteri ini, terutama sekali apabila Umno sendiri mengepalai pentadbiran negeri Pulau itu, masalah orang melayu akan dapat diatasi dengan lebih berkesan.

Persoalannya di sini, benarkah kaedah penggiliran ketua menteri mampu menyelesaikan masalah orang melayu di Pulau Pinang? Sedangkan kita lihat di negeri-negeri lain bawah pentadbiran Umno sepenuhnya orang melayu masih juga terpinggir daripada arus pembangunan. Negeri sabah yang telah lama mengamalkan system penggiliran ketua menteri ini juga kaum bumiputera khususnya melayu masih juga terpinggir daripada arus perdana pembangunan. Dan terus mengecap kekayaan ini hanyalah pemimpin-pemimpin politik yang korup beserta kroni-kroni mereka.

Sebenarnya dalam usaha untuk mengatasi masalah orang melayu yang terpinggir ini caranya tidak lain tidak bukan ialah dengan menggantikan terus kepemimpinan negeri daripada Umno atau Barisan Nasional kepada Barisan Alternatif pada pilihanraya akan datang. Selepas itu barulah boleh dibincangkan tentang kaedah penggiliran ketua menteri antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 10:06 PM   0 comments

Dr M cuba jatuhkan PM. Nazri jadi pendekar Umno.

Assalamualaikum.

Nampaknya belum pun lagi berlangsung perhimpunan agung Umno, akhbar-akhbar arus perdana minggu ini hampir dipenuhi dengan cerita-cerita yang berkisar tentang Umno. Tetapi ianya banyak menyentuh tentang pertikaian antara presiden Umno dan bekas presiden Umno maka ianya bolehlah disebut sebagai perpecahan agung Umno.

Pada muka hadapan salah satu akhbar perdana hari ini, tajuknya “Dr M cuba jatuhkan PM” tetapi Nazri hendak jadi pendekar Umno pula. Sepatutnya Nazri kena jadi pendekar menteri kabinet Malaysialah sebab yang hendak dijatuhkan itu perdana menteri Malaysia bukan presiden Umno. Tapi tidak mengapalah sebab Pak Lah adalah perdana menteri, dalam masa yang sama beliau juga presiden Umno.

Cuma dalam hasrat Nazri mahu menjadi pendekar kepada Umno, mempertahankan kepimpinan negara, dalam masa yang sama beliau jugalah menteri yang merestui kumpulan-kumpulan kumpulan-kumpulan artikel 11 dan pro IFC serta Islam liberal, memperlekehkan golongan-golongan yang ingin memerangi gejala murtad. Orang-orang sebegini jika dia mempertahankan perdana menteri bermatian-matian pun tiada gunanya kerana ianya tidak akan memberi manfaat pun kepada perkembangan islam di Malaysia.

Sebut tentang perpecahan yang mereka dakwa wujud sejak tindakan bekas perdana menteri mengkritik kerajaan itu, adakah ianya benar? Benarkah kenyataan Najib di bawah ini;

“Datuk Seri Najib Razak mengajak ahli Umno mempertahankan nilai baik yang dipupuk pemimpin terdahulu, yang mahu memastikan Umno berdiri teguh di belakang presiden dan pucuk pimpinan parti walau dalam apa jua keadaan”

Sedangkan sejak mula penubuhan Umno lagi perpecahan telah wujud apabila pengasas Umno sendiri keluar daripada parti yang diasaskannya dan menubuhkan parti lain dan kita juga telah sedia maklum tentang kewujudan parti-parti serpihan Umno ada yang sudah berkubur dan ada juga yang masih kekal hingga sekarang. Sebenarnya selain daripada politik wang, perpecahan itu juga begitu sinonim dengan Umno. Tetapi bukanlah kerana Dr Mahathir, jauh sekali pembangkang, tetapi kerana mereka sendiri yang tidak mengambil islam secara keseluruhannya. Maka oleh itu, dulu, kini dan selamanya parti terbesar kabilah melayu ini tidak akan sunyi daripada perpecahan selagi mereka tidak mengubah dasar kepada Islam

posted by Lidah Penghunus @ 9:50 PM   0 comments

Saturday, August 12, 2006

Bandaraya selamat bagaikan mimpi di siang hari.

Assalamualaikum.

Jika sebelum ini saya hanya tertarik untuk mengulas berita-berita di muka hadapan akhbar, kali ini saya tertarik pula untuk mengulas sebuah lukisan kartun atau karikatur pada akhbar tersebut. Dengan menggunakan tajuk bandaraya selamat, kartunis berkenaan menggambarkan suatu kehidupan warga kota yang begitu selamat dan selesa tanpa rasa bimbang.

Boleh membawa beg tangan dengan duit yang banyak tanpa bimbang dengan ancaman peragut, mesin ATM di buka di tempat terbuka 24 jam tanpa bimbang ancaman kaki samun dan kenderaan serta kedai boleh ditinggalkan tanpa berkunci tanpa bimbang tentang risiko kecurian.

Melihatkan kepada apa yang digambarkan oleh pelukis ini, ianya sebenarnya adalah fenomena biasa bagi bandar di negara yang melaksanakan undang-undang islam khususnya hukum hudud. Namun bila membaca kembali berita yang menyentuh tentang sasaran kerajaan untuk mewujudkan bandaraya selamat ini. Tidak pun disentuh tentang perlaksanaan undang-undang islam, yang disentuh hanyalah tentang menambah bilangan anggota polis dan kamera litar tertutup.

Jadi sahlah bahawa kartun tersebut hanya khayalan semata-mata daripada mereka yang enggan mengunapakai sistem islam.

posted by Lidah Penghunus @ 1:39 AM   0 comments

Friday, August 11, 2006

Perdana menteri mula keluar kenyataan keras

Assalamualaikum.

Muka hadapan akhbar perdana hari ini memaparkan satu kenyataan yang saya kira agar keras untuk digunakan oleh Pak lah yang sebelum ini terkenal dengan sifat lembutnya di kalangan rakan-rakan dan juga seteru politik beliau apabila menyifatkan mereka yang mengkritik dan melemparkan tuduhan terhadap pentadbiran beliau sebagai iblis.

Jika sebelum ini orang Pas yang menjelaskan ayat-ayat quran yang mengandungi amaran tentang perkara yang boleh membawa kepada kekufuran, Pak Lah dan orang-orang Umno tuduh mereka mengkafirkan orang Umno, sekarang kita mahu tahu pula apakah nas quran yang membolehkan Pak Lah mengatakan golongan-golongan yang mengkritik beliau sebagai iblis? Jika benar pun mereka memfitnah, adakah patut untuk mereka itu di samakan dengan iblis yang kita tahu makluk yang sombong dan ingkar kepada Allah? Adakah benar golongan-golongan pengkritik ini hanya bertujuan untuk memecahbelahkan sesuatu kumpulan? Namun apabila terbaca sahaja perenggan seterusnya;

"Abdullah berucap pada majlis sambutan sempena lawatannya yang dihadiri lebih 5,000 rakyat di dewan tertutup Sukpa di sini. Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Najib Razak, Menteri Besar; Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pengangkutan; Datuk Seri Chan Kong Choy serta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis"

Barulah kita faham di sini bahawa mungkin Pak Lah sudah pun mengikut tunjuk ajar daripada Dato' Seri Adnan Yaakob iaitu mengatakan 'pergi jahanam!' atau go to hell! kepada mereka yang mengkritik. Kita pun sudah maklum bahawa iblis tempatnya adalah di neraka, jadi kata-kata yang paling sesuai untuk iblis adalah go to hell!

posted by Lidah Penghunus @ 10:30 PM   0 comments

Lagi-lagi kisah Khairy di muka hadapan.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini, lagi kisah naib ketua pemuda Umno, Khairy Jamaludin dijadikan tajuk utama muka hadapan akhbar perdana. Kali ini, berkisar tentang kesediaan pemuda Umno untuk beri ruang kepada Khairy untuk bersuara menjawab segala tuduhan dalam mesyuarat-mesyuarat pemuda bahagian yang dirasmikan.

"Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Khairy sebelum ini tiada ruang untuk menjawab segala tuduhan berkenaan dan sebab itu saluran mesti disediakan untuk beliau menjelaskannya.“Adalah penting bagi Pemuda Umno memberi ruang kepada Khairy menjawab segala tuduhan itu kerana jika ia berlarutan tanpa penjelasan, maka akhirnya ia dipercayai walaupun tidak benar"

Perenggan berita di atas ini menggambarkan kepada seolah-olah sebelum ini Khairy tidak ada tempat untuk menjawab tuduhan, dinafikan hak dalam akhbar dan media untuk bersuara, tiada tempat untuk mengadu. Sedangkan apa yang kita lihat selama ini, hatta sebelum timbulnya tuduhan-tuduhan berkenaan, Khairy sering mendapat liputan di akhbar-akhbar dan TV.Misalnya dalam mempromosikan projek My Team, Halal Journal, yang lebih menonjol adalah Khairy selaku timbalan ketua pemuda. Hinggakan kita keliru siapa sebenarnya ketua pemuda Umno.

Sebelum ini juga kita telah saksikan bagaimana dalam usaha pemuda Umno untuk menjuarai isu keganasan rejim Zionis, wujudnya pertikaian antara Khairy dan Hisyamudin tentang kaedah demonstrasi, namun akhirnya isu ini telah dimenangi oleh Khairy apabila beberapa siri demonstrasi telah dianjurkan oleh pemuda Umno dan dalam demonstrasi ini juga Khairy juga yang ditonjolkan sebagai penggerak kepada demonstrasi pemuda Umno.

Jadi sepatutnya Khairy tidak perlu lagi untuk bersandiwara bertujuan untuk menarik simpati orang ramai. Yang perlu Khairy lakukan sekarang ini, beliau perlu menyahut cabaran ketua pemuda Pas, YB Salahuddin Ayub agar bersumpah mengikut cara yang diajar oleh Islam dalam usaha beliau untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan-tuduhan berkenaan.

posted by Lidah Penghunus @ 1:26 AM   0 comments

Thursday, August 10, 2006

Lagi cerita tentang muka hadapan akhbar perdana

Assalamualaikum.

Dua hari lepas kita telah saksikan paparan berita yang berkaitan dengan Khairy selaku timbalan ketua pemuda Umno dan diikuti oleh bapa mertuanya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku perdana menteri Malaysia di muka hadapan akhbar perdana. Hari juga masih lagi berita yang dipaparkan di muka hadapan akhbar berkenaan tetapi bukan lagi tentang mereka berdua tetapi adalah berkenaan dengan gejala penagihan dadah sintetik dan peningkatan kadar jenayah yang menjadi kerisauan para pelbagai pihak termasuk pihak polis.

Menurut timbalan ketua polis negara yang dipetik dalam akhbar hari ini, dadah jenis syabu yang juga dalam kumpulan dadah sintetik atau Amphetamine Type Stimulant (ATS) dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan jenayah seperti bunuh dan rogol di negara ini. Ini kerana mereka yang mengambil dadah sintetik tidak mempunyai rasa takut dan belas kasihan terhadap mangsa ketika melakukan jenayah.

Dalam kajian polis juga mendapati bahawa ATS memberi kesan yang amat berbahaya kerana merangsang seseorang menjadi lebih berani, agresif dan tidak sedar akan apa yang dilakukannya.

Di sini kita amat setujulah dengan hasil kajian polis itu, namun dalam mencari punca sebenar ianya tidak sepatutnya terhenti setakat di situ sahaja, Dalam mencari punca meningkatnya kejadian jenayah ini pihak polis sudah mendapati bahawa dadah adalah salah satu daripada punca utama. Namun begitu kita harus cari pula mengapa dadah ini mudah didapati dan dari mana datangnya tempat-tempat penagihan dan pengedaran dadah sintetik ini. untuk mendapatkan jawapan kita kembali kepada laporan akhbar tadi yang mendapati bahawa dadah-dadah jenis sintetik ini banyak diperolehi di pusat-pusat hiburan melalui serbuan-serbuan yang telah dibuat oleh polis. Seterusnya kita baca pula beberapa perenggan dalam laporan akhbar berkenaan;

"Musa berkata, hasil pemeriksaan di pusat hiburan di seluruh negara juga mendapati sebahagian besar pengunjungnya didapati positif dalam ujian dadah dan paling ketara ATS serta pil psikotropik. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 2,935 penagih ATS ditahan di pusat hiburan seluruh negara, meningkat hampir sekali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu. Tahun lalu, 2,741 penagih ATS ditahan, 2,276 (2004), 1,405 (2003) dan 1,958 (2002)"

Di sini kita dapat simpulkan bahawa pusat-pusat hiburan adalah pusat atau markas bagi kegiatan pegedaran dan penyalahgunaan dadah jenis sintetik ini. Seterusnya kita cari pula apakah punca wujudnya pusat-pusat hiburan ini, siapakah yang memberi tanggung jawab memberikan lesen untuk operasi pusat-pusat hiburan ini.

Jawapannya tidak lain tidak bukan sudah tentulah pihak pemerintah sendiri yang mempunyai autoriti dalam meluluskan atau membatalkan kewujudan sesebuah premis terutamanya pusat-pusat hiburan. Jadi apa yang boleh disimpulkan di sini, punca kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini juga ada kaitan dengan pemerintah yang tidak melaksanakan tuntutan islam, amal maaruf nahi mungkar dalam pemerintahan. Sekarang kita lihat pula pada perenggan di bawah ini;

“Kalau hendak harapkan polis semata-mata sudah pasti amat menyukarkan. Masalah berkenaan harus ditangani bersama dan segera. Sudah tiba masanya satu mekanisme baru dicari bagi mengatasi kemelut dadah ini"

Cara yang terbaik bagi mengatasi masalah ini mahu tidak mahu pemerintah itu sendiri harus di ubah kepada pemerintah yang melaksanakan islam sepenuhnya kerana hanya dengan cara Islam sahaja yang boleh mengatasi kemelut yang semakin membimbangkan ini.

posted by Lidah Penghunus @ 12:20 AM   0 comments

Wednesday, August 09, 2006

Semalam Khary, hari ini Pak Lah.

Assalamualaikum.

Terlebih dahulu kita telah menyaksikan liputan yang dikira agak luas kepada menantu kepada Khairy Jamaludin dan hari ini giliran bapa mertuanya pula iaitu perdana menteri yang diberi liputan meluas oleh akhbar perdana.

Jika diikutkan sebenarnya tidak perlu untuk kita mengulas tentang penjelasan perdana menteri ini kerana asalnya yang menimbulkan isu dan tuduhan-tuduhan ini adalah daripada bekas perdana menteri sendiri iaitu Tun Dr Mahathir, bukannya daripada pembangkang khususnya Pas, cumanya dalam hal ini atas nama kepentingan rakyat, pembangkang kena juga ambil perhatian dan menilai jawapan-jawapan daripada perdana menteri sebagai maklum balas kepada persoalan-persoalan yang diutarakan oleh bekas perdana menteri.

Cuma apa yang ingin saya ulas di sini, daripada apa yang kita lihat daripada jawapan-jawapan dan penjelasan Pak Lah ini, menggambarkan bahawa beliau adalah seorang perdana menteri yang begitu prihatin terhadap kebajikan rakyat dan ingin melihat kepada kesejahteraan rakyat. Sedangkan pada masa beliau menjadi perdana menterilah, harga minyak naik hingga ke 30 sen, tarif elektrik naik 10 peratus, bekalan gula kurang di pasaran, yang seterusnya mengakibatkan beberapa harga barang keperluan naik.

Dalam penjelasan Pak Lah itu juga seolah-olah menggambarkan bahawa anak menantunya suci daripada gejala kronisme dan nepotisme, menafikan peranan menantunya dalam mempengaruhi keputusan kerajaan. Sedangkan Pak Lah baru beberapa tahun menjadi PM anaknya sudah pun bergelar jutawan, adakah mungkin anaknya itu boleh mendapat perniagaan yang bernilai jutaan ringgit jika bapanya bukan perdana menteri atau menteri kabinet? Jika benar Khairy tidak mempunyai pengaruh dalam pentadbiran negara, bagaimana boleh beliau mendapat liputan yang luas dalam akhbar perdana setaraf dengan perdana menteri? Adakah beliau boleh mendapat keistimewaan yang sebegitu jika beliau bukan menantu PM?

Di akhir-akhir penjelasan Pak lah mengatakan bahawa jawatan perdana menteri ini adalah fardu kifayah dan semasa menjadi perdana menteri inilah beliau gunakan untuk melakukan amal soleh. Benarkah beliau sudah menunaikan tanggungjawab fardu kifayahnya sebagai perdana menteri, benarkah Pak Lah mengambil kesempatan daripada jawatannya ini untuk melakukan amal soleh? Sedangkan pada zaman pemerintahan Pak Lah, undang-undang Islam belum lagi terlaksana dengan sepenuhnya, tuntutan amal maaruf nahi mungkar belum lagi terlaksana sepenuhnya, Perkara-perkara maksiat masih lagi diberikan lesen, hiburan-hiburan melampau yang pelbagai jenis tumbuh bagai cendawan.

Pada zaman Pak Lah sebagai perdana menterilah, kumpulan-kumpulan anti Islam, IFC, Artikel 11 dan sebagainya berani mencabar ketuanan islam, kumpulan-kumpulan islam liberal berani mencabar ulama'-ulama' yang menyatakan kebenaran dan akibatnya pada era Pak Lah sebagai perdana menterilah keruntuhan akhlak semakin meruncing, kes-kes jenayah makin menjadi-jadi dan makin membimbangkan. Itu belum lagi sebut tentang salah guna kuasa menteri-menteri kabinet, menteri-menteri besar, wakil-wakil rakyat, penyelewengan projek-projek kerajaan yang berlaku pada zaman Pak Lah memerintah dan ada menteri-menteri yang ternyata korup ini masih lagi disimpan oleh Pak Lah untuk menjayakan RMK9

Banyak lagi sebenarnya perkara-perkara yang boleh kita sebutkan dan persoalkan di sini. Namun begitu selebihnya saya serahkan kembali kepada kebijaksanaan tuan-tuan untuk menilai tentang kepemimpinan Pak Lah selaku perdana menteri yang juga bapa mertua kepada Khairy ini.

posted by Lidah Penghunus @ 12:46 AM   0 comments

Monday, August 07, 2006

Juara AF disambut hangat, Juara AQ disambut sunyi.

Assalamualaikum.

Awal minggu lepas apabila diumumkan juara bagi Akademi Quran, sambutannya biasa saja, tiada pun sambutan besar-besaran bagi meraikan anak muda yang telah membuktikan kemahirannya dalam membaca quran itu. Paling tidak pun beliau hanya dijemput untuk memdengarkan bacaannya pada Tilawah Quran peringkat antara bangsa

Namun bila sahaja peserta juara Akademi Fantasia diumumkan hujung minggu lepas dan kebetulan beliau berasal dari negeri terengganu maka sambutan diberikan bagaikan seorang perwira yang telah mengharumkan negeri Terengganu. Bukan sahaja rakyat Terengganu yang mengagumi kejayaan sang juara ini, malahan menteri besar Terengganu sendiri turut berbangga dengan kejayaan anak muda ini hinggakan bercadang untuk memberikan sedikit imbuhan atas kejayaan beliau mengharumkan nama negeri Terengganu.

Malahan dalam akhbar perdana siang tadi, Datuk Seri Idris Jusoh mahu melihat kemampuan Faizal mendidik dan memberi dorongan kepada remaja khususnya di negeri ini untuk mencipta kejayaan. Persoalannya adakah juara AF ini mampu untuk membawa remaja-remaja terengganu ke mercu kejayaan? Jika juara AF 3 dahulu iaitu Mawi yang mempunyai kelebihan membaca al quran dan mengalunkan azan itu pun sekarang sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk menjadi ikon remaja, apalagi juara AF yang sekarang ini.

Dalam akhbar yang sama juga, Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Sabri Alwi, berkata bahawa kejayaan Faizal membuktikan Terengganu bakal melahirkan individu berjaya bukan saja dalam bidang akademik, pembangunan dan teknologi, malah tidak ketinggalan dalam dunia hiburan.

Jika program-program hiburan yang ternyata melalaikan itu sudah dititikberatkan bagaimanakah mungkin mereka dapat melahirkan rakyat yang cemerlang akademik, sedangkan rakyat khususnya golongan muda sudah dilalaikan dengan program hiburan, mereka lebih nampak peluang untuk jadi artis, peluang untuk melanjutkan pengajian di Akademi Fantasia lebih daripada peluang untuk melanjutkan pengajian di universiti. Kalau pun ada golongan-golongan yang terpelajar, banyaknya hanyalah mereka yang tiada idealisma perjuangan yang masih dilekakan dengan perkara-perkara yang melalaikan tanpa mengambil tahu persoalan ummah.

Jadi inilah sebenarnya Islam Hadhari Terengganu Bistari yang dilaung-laungkan oleh mereka. Yang lebih mengangung-agungkan artis lebih daripada mereka yang mahir membaca quran, jauh sekali mereka yang ingin melaksanakan tuntutan al quran.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Kisah si Khairy menantu PM

Assalamualaikum.

Reaksi ahli Umno dari pelbagai peringkat terhadap hasrat timbalan ketua Pemuda yang juga menantu kepada perdana menteri, Khairy Jamaludin untuk meletakkan jawatan daripada timbalan ketua Pemuda mendapat tempat di muka utama akhbar perdana hari ini dengan tajuk “Khairy tak perlu undur”

Tidak cukup dengan itu, di muka surat lainnya pula hampir satu muka penuh akhbar berkenaan membicarakan berkenaan dengan Khairy ini. Apa yang kita perhatikan, dalam pada Khairy menafikan bahawa beliau mempunyai kuasa dalam mempengaruhi pentadbiran negara, beliau beri tempat muka hadapan dalam akhbar perdana, sama seperti liputan yang diberikan jika seseorang perdana menteri itu ingin meletakkan jawatan. Sedangkan Khairy ini hanyalah timbalan ketua Pemuda Umno sahaja, tidak ada apa-apa jawatan dalam kabinet. Jadi apalah istimewanya seorang yang bergelar menantu perdana menteri ini?

Dalam akhbar berkenaan juga dipaparkan pandangan-pandangan menteri-menteri besar berhubung isu Khairy ini. Cuma di sini saya tertarik dengan kenyataan menteri besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob;

"Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata Khairy berhak menjawab secara terbuka segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya kerana 99 peratus dakwaan itu tidak benar.Malah, beliau akan menemui Khairy bagi memberi pandangan untuk mengubah suai sedikit pendekatan jawapannya supaya lebih berkesan"

Mungkinkah mengubah suai sedikit pendekatan jawapan yang dicadangkan Adnan Yaakob yang terkenal dengan sikap cakap lepasnya itu, bermaksud mengajar menantu kepada cucu ulama’ itu untuk mengeluarkan kata-kata go to hell atau 'pergi jahaman' (dengan izin) kepada mereka yang melemparkan tuduhan?

posted by Lidah Penghunus @ 11:40 PM   0 comments

Sunday, August 06, 2006

Lagi cerita tentang Israel pelawa Malaysia berdialog

Assalamualaikum.

Belum pun terjawab persoalan mengapa Israel berminat untuk berdialog dengan kerajaan Malaysia tentang isu timur tengah, siang tadi Perdana Menteri sendiri menegaskan lagi bahawa Malaysia tidak berminat untuk berdialog dengan Israel kerana tiada sebarang hubungan diplomatik, jadi tidak timbul soal dialog dengan mereka. Memang kita akui bahawa negara kita Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan negara haram Yahudi itu kerana kalau ada sudah tentulah sasaran utama demonstrasi anti Israel kita sebelum ini ialah kedutaan Israel.

Namun begitu masihkah anda ingat tentang gambar di bawah ini yang pernah dipaparkan di blog ini pada penghujung tahun lepas.


Adakah patut sebuah negara umat islam yang tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik dengan kerajaan israel menaikkan bendera negara rejim zionis di bangunan parti pemerintah sendiri? Dan adakah ini juga antara faktor yang menarik minat kerajaan Israel untuk berdialog dengan Malaysia?

posted by Lidah Penghunus @ 1:45 AM   0 comments

Saturday, August 05, 2006

Mengapa agaknya rejim Zionis berminat sangat untuk berdialog dengan Malaysia?

Assalamualaikum.

Dalam pada dunia khususnya dunia islam mendesak agar rejim Zionis menghentikan serangan ke atas Lubnan dan mengadakan gencatan senjata, tiba-tiba duta Israel di Singapura mempelawa Malaysia dan Indonesia untuk mengadakan dialog bagi menyelesaikan konflik di Asia Barat. Namun mujurlah pelawaan zionis ini telah ditolak dengan kerasnya oleh kerajaan Malaysia.

Yang menjadi persoalannnya, apakah agaknya sebab wakil kerajaan Zionis ini berminat untuk berdialog dengan Malaysia dalam isu ini? Adakah mungkin kerajaan Zionis masih lagi terkenang akan jemputan kerajaan malaysia ke atas pasukan kriket Israel untuk beraksi di negara ini pada tahun 1995 dahulu? yang juga menyaksikan demonstrasi menghalau kehadiran mereka oleh pembangkang telah dipatahkan sendiri oleh kerajaan melalui penangkapan dan membawa kepada terpenjaranya ketua pemuda Pas pada masa itu.

Atau mungkinkah kerana negara kita juga menjadi syurga bagi korporat-korporat zionis atau penyokong-penyokong mereka untuk melebarkan sayap ekonomi mereka? Kita sudah sedia maklum bahawa tidak kurang banyaknya juga syarikat-syarikat atau pengeluar barangan yang secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi Zionis ini bertapak di negara kita.

Atau pun, kerana salah satu agenda Zionis sedang berjalan dengan pesatnya di negara kita iaitu penyuburan unsur-unsur hiburan yang melalaikan yang bertentangan dengan Islam. Ini memang kita tidak boleh nafikan lagi kerana hampir kesemua program-program hiburan melampau yang terdapat di negara barat sudah pun ditiru dan dijadikan program hiburan di negara kita. Dan yang terbaru, di kala kita meratapi penderitaan saudara-saudara kita di Lubnan, di negara kita masih lagi boleh mengadakan karnival Jom Heboh yang lebih menonjolkan hiburan dan pesta. Malam minggunya pula rakyat Malaysia disajikan dengan peringkat akhir Akademi fantasia yang ternyata berjaya melalaikan rakyat daripada mengambil tahu isu-isu yang penting.

Jadi mungkin sebab itulah agaknya kerajaan Zionis ini lebih selesa untuk mengadakan dialog dengan kerajaan Malaysia. Wallahu 'alam.

posted by Lidah Penghunus @ 5:23 PM   0 comments

Thursday, August 03, 2006

Lagi perihal tentang 'ketajaman' keyboard komputer.

Assalamualaikum.

Nampaknya isu kawalan terhadap penulis laman web dan blog ini masih lagi diperkatakan bukan sahaja oleh pihak pemerintah, media-media arus perdana, malahan oleh penulis-penulis blog sendiri.

Melihat kepada respon daripada menteri-menteri kabinet dan perdana menteri sendiri terhadap blog pada akhbar hari ini, memperlihatkan kepada kita bahawa kebimbangan pemerintah terhadap kebanjiran penulis-penulis atau lidah maya ini bukan sahaja atas sebab menjaga kestabilan negara, di samping itu juga untuk menjaga survival politik mereka.

Memang dalam kenyataan mereka tidak disebutkan tentang penulisan blog yang menyentuh isu politik, namun saya percaya ianya juga mampu untuk menakut-nakutkan penulis-penulis blog berunsur politik terutama sekali yang tidak sealiran dengan pemerintah. Bak kata pepatah, "marahkan anak, sindir menantu" Penulis blog yang berunsur perkauman dan hasutan yang dimarah, penulis blog politik juga terkena tempiasnya.

Pada pemerhatian saya, mungkin ianya kebetulan atau memang hakikat, cadangan kawalan terhadap blog ini timbul sejak diletakkan webstat pada satu blog yang saya kira memang terkenal di kalangan pemilik blog dan laman-laman web alternatif. Boleh dikatakan setiap bloggersbloggers dan laman web yang berunsurkan politik meletakkan blog ini dalam pautan laman web mereka.

Statistik menunjukkan bahawa blog ini dikunjungi oleh tidak kurang daripada seribu pengunjung sehari dan pernah mencecah hingga hampir tiga ribu pengunjung dalam satu hari dan hingga ke saat ini blog ini masih menduduki tempat pertama dalam carta blog yang dianjurkan oleh sebuah laman web komuniti.

Mungkin inilah yang menyebabkan pihak pemerintah bimbang tentang sambutan kepada blog-blog yang kritis terhadap isu semasa ini. Sebelum ini mungkin pihak pemerintah menyangka bahawa masyarakat kita masih lagi dihanyutkan dengan laman-laman web yang hanya memaparkan tentang gossip artis, Siti Nurhaliza, Mawi dan sebagainya.

Namun begitu ianya hanyalah pendapat daripada pemerhatian saya. Apapun hakikatnya kebimbangan yang diutarakan oleh pemerintah pada akhbar tersebut tidak pun menyebut tentang kebanjiran laman-laman web lucah secara khusus. Sedangkan laman-laman web sebeginilah yang telah menyumbang kepada peningkatan jenayah seksual di negara kita akhir-akhir ini yang makin meruncing.

posted by Lidah Penghunus @ 10:42 PM   0 comments

Wednesday, August 02, 2006

Keyboard komputer itu lebih tajam daripada mata pedang.

Assalamualaikum.

Mungkin sebelum ini anda tertanya-tanya, mengapa saya menggunakan nama Lidah Penghunus sebagai nama pena, mengapa blog ini dinamakan dengan Hunusan lidah dan apakah kaitannya lidah dengan penulisan saya ini. Sebagaimana yang telah kita maklum lidah adalah organ manusia yang berperanan sebagai alat artikulator dalam penghasilan bunyi dari rongga mulut manusia. Melalui pergerakan dan kedudukan lidah inilah akan menghasilkan pelbagai variasi bunyi sama ada ianya bunyi-bunyi vokal mahu pun konsonan.

Olahan daripada gabungan bunyi-bunyi vokal dan konsonan inilah yang akan membentuk satu kod atau lambang bagi tujuan berkomunikasi yang juga di panggil bahasa pertuturan. Di sini mungkin timbul lagi persoalan, medium yang saya gunakan adalah penulisan yang mungkin hanya melibatkan pen atau pun papan kekunci komputer, tiada kena-mengena pun dengan lidah. Apa yang perlu kita faham di sini, lidah sebenarnya adalah teras dalam komunikasi, tidak kira sama ada ianya dalam bentuk ucapan mahu pun penulisan. Ini kerana sebelum manusia menggunakan lambang atau bentuk-bentuk tulisan dalam berkomunikasi, manusia berkomunikasi melalui lidah iaitu pertuturan, mereka belum lagi tahu tentang kaedah penulisan, bukan kerana mereka buta huruf, tetapi perkataan huruf dan tulisan itu pun tiada dalam dalam kamus hidup mereka masa itu.

Hatta sebelum nabi Adam a.s turun ke dunia lagi, komunikasi berlangsung hanya secara lisan cumanya di syurga ianya disebut sebagai transindental iaitu satu fenomena komunikasi yang berbeza dengan cara kita berkomunikasi di dunia, apalagi komunikasi itu antara nabi Adam dengan Allah SWT. Dan selepas itu barulah manusia mula menemui kaedah menyampai apa yang hendak dikatakan melalui lambang-lambang bahasa, daripada hanya bentuk-bentuk lukisan gambar yang dilukis di dinding gua hinggalah ke bentuk-bentuk huruf yang ada pada masa sekarang. Kembali kepada persoalan lidah itu tadi, mungkin juga akan timbul persoalan adakah benar lidah itu boleh menghunus?

Di sini kita sedia maklum bahawa sifat menghunus itu hanya ada pada objek-objek tajam seperti pisau, pedang dan pelbagai lagi jenis senjata tajam. Setelah memahami tentang definisi lidah itu tadi maka kita sudah tentu akan maklum bahawa lidah melalui suara dan penulisan ini berperanan besar dalam membuat satu anjakan paradigma. Lidah itu lebih tajam daripada mata pena, suara rakyat adalah suara keramat, hunusan lidah itu lebih berbisa daripada hunusan keris sang pendekar, pidato dan penulisan adalah sarana bagi pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu bagi menyemarakkan kebangkitan rakyat peribumi menentang penjajahan. Kini lidah ini menjadi senjata yang ampuh yang menghunus segala kebatilan dan kezaliman pemerintah. Pada era teknologi maklumat ini pula laman web dan blog menjadi pentas dalam penyampaian suara rakyat, ianya menjadi alternatif kepada penulis-penulis yang dinafikan hak mereka untuk bersuara di media-media arus perdana. Blog umpamanya, pada masa kini telah menjadi medium penyampaian maklumat dan pemikiran yang popular bagi golongan penulis, maka tidak hairanlah jika para penulis dan yang aktif menulis di media-media cetak juga kini aktif menulis di blog mereka sendiri.

Namun begitu seperti juga pedang yang boleh digunakan untuk tujuan kebaikan, untuk mempertahankan diri dan pelbagai lagi manfaat dan boleh juga disalahgunakan untuk perkara yang mendatangkan kemudaratan, melakukan kekejaman dan sebagainya. Lidah menerusi penulisan juga boleh disalahgunakan untuk menimbulkan perpecahan, menyemarakkan persengketaan, hanya dengan lidah sahaja boleh berlaku perperangan. Apatah lagi pada era teknologi maklumat tanpa sempadan ini, maklumat begitu pantas menyelinap ke segenap penjuru masyarakat.

Kalau tidak masakan Kementerian Penerangan dalam akhbar siang tadi mencadangkan agar diadakan kawalan terhadap penulisan di laman-laman web dan blog agar ianya tidak menimbulkan perpecahan dan perbalahan terutamanya yang menyentuh sentimen perkauman dan agama. Di sini saya amat bersetujulah agar penulisan-penulisan yang menyentuh tentang sensitiviti sesuatu agama dan kaum itu di kawal dan yang paling perlu dibenteras ialah laman-laman web lucah yang banyak merosakkan remaja. Cuma apa yang dirisaukan pada cadangan ini, jika ISA dahulu tujuannya untuk membenteras kegiatan-kegiatan subversif tetapi telah disalahkan gunakan pemerintah untuk survival politik mereka, dikhuatiri perlaksanaan kawalan terhadap laman web dan blog ini nanti juga akan disalahgunakan pihak pemerintah untuk menyekat suara-suara yang tidak sealiran dengan mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 12:06 AM   0 comments


Free Hit Counter