Thursday, July 21, 2011

Demonstrasi olok-olok.

Assalamualaikum.

PDRM nilai kesan gas pemedih mata.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tindakan ganas polis ketika menangani perhimpunan 9 Julai lalu, akan mengadakan perhimpunan olok-olok di Jugra, Banting, hari ini, untuk menilai kesan penggunaan gas pemedih mata dan meriam pancutan air untuk mengawal sesuatu perhimpunan haram.
Difahamkan, jawatankuasa khas itu diketuai seorang pegawai kanan PDRM akan menjalankan kajian melalui lakonan semula perhimpunan haram berkenaan bagi mendapat gambaran sebenar kesannya terhadap orang awam.
Sumber memberitahu, anggota dan pegawai polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terbabit mengawal perhimpunan haram 9 Julai lalu itu akan terbabit dalam ‘perhimpunan olok-olok’ itu. Berita Harian – 21 Julai 2011.


Harap-harap tindakan yang dibuat masa perhimpunan olok-olok nanti samalah seperti tindakan polis terhadap peserta himpunan BERSIH 9 Julai yang lepas. Pastikan gas pemedih mata dan meriam air dibidik tepat ke peserta himpunan. Jangan lupa selitkan sekali aksi menendang dan memijak peserta demonstrasi. Akhir sekali pastikan ada pelakon demonstrasi olok-olok yang cedera. Di situ barulah PDRM akan tahu betapa azabnya kami yang ingin berhimpun secara aman ini.

posted by Lidah Penghunus @ 12:05 PM   0 comments

Monday, July 18, 2011

Tetapi DAP tidak mahu pusat hiburan yang melebihi waktu.

Assalamualaikum.

Melaka lanjutkan tempoh operasi pusat hiburan.
Di sebalik usaha kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan PAS mahu menutup bar, disko dan kelab karaoke pada bulan Ramadan yang akan datang, lain pula yang berlaku di negeri Melaka.

Negeri Melaka di bawah kerajaan BN, baru-baru ini pada mesyuarat Exco telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa operasi pusat hiburan di negeri itu dari sekitar jam 1 pagi hingga ke 3 pagi.

Malaysiakini difahamkan, tindakan itu seiring dengan kepesatan pembangunan sektor pelancongan Melaka di samping mendapat permintaan daripada pengusaha pusat hiburan terbabit.

Bagaimanapun Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika ditanya berkata, lanjutan masa hanya boleh dilaksanakan pada hari Jumaat sehingga Ahad.

Manakala, bermula Isnin sehingga Khamis, pusat berkenaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 atau 2 pagi sahaja.

“Ini adalah atas permintaan pengusaha pusat hiburan dan pelaksanaan ini hanya dibenarkan untuk 15 premis sahaja di Melaka Raya.

“Bagaimanapun, sekiranya mereka ingkar melanjutkan waktu operasi dalam tempoh diberikan, kebenaran itu akan ditarik balik,” katanya.

Ditentang pelbagai pihak

Mohd Ali juga menjelaskan, kerajaan negeri telah pun mendapat maklumbalas daripada pihak polis bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan tahap keselamatan kawasan terlibat.

Sementara itu, keputusan yang dibuat kerajaan negeri Melaka itu ditentang banyak pihak termasuk dari kalangan ahli Umno sendiri.

Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tangga Batu, Muhammad Ahyad Abdullah yang merasakan keputusan itu mengambarkan keseronokan sesetengah pihak yang berkepentingan.

"Mereka lupa keadaan ini akan membiarkan lebih banyak perkara tidak senonoh berlaku di negeri Melaka. Sudahlah pusat hiburan muncul bagaikan cendawan tumbuh ditambahkan pula tempohnya dilanjutkan hingga ke jam 3 pagi.

Cukuplah, keruntuhan akhlak yang berlaku kini di kalangan warga muda dan peningkatan kadar jenayah disebabkan pusat hiburan dan keseronokan yang tidak ada batasnya," katanya.

Ketua Pembangkang dari DAP, Goh Leong San berkata, kerajaan negeri sepatutnya mendapat maklum balas dari semua pihak dan bukannya semata-mata meminta pandangan daripada pengusaha pusat hiburan sahaja.

"Tindakan ini menampakkan kerajaan negeri mengenepikan kepentingan rakyat hanya semata-mata mahu mengejar keuntungan tanpa memikirkan kesan daripada tindakan itu," katanya. http://malaysiakini.com - 18 Julai 2011.

Walaupun DAP membantah penutupan pusat hiburan di Kedah atas alasan kebajikan namun parti ini tetap tidak mahu pusat hiburan dilanjutkan kerana sebab tidak mahu kerosakan akhlak masyarakat lebih teruk.

Manakala kerajaan Melaka jangan kan nak ikut seperti kerajaan negeri Kedah, tempoh pusat hiburan pula hendak dilanjutkan atas alasan pelancongan.

posted by Lidah Penghunus @ 4:37 PM   0 comments

PAS tidak ikut kata DAP.

Assalamualaikum.

PAS ikut kata DAP.
Kedah tarik balik larangan pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan
ALOR SETAR: Kerajaan PAS Kedah menarik balik keputusan untuk menguatkuasakan larangan terhadap 13 jenis pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan bulan depan, yang disifatkan pelbagai pihak sebagai satu lagi bukti PAS tunduk kepada DAP.
Pegawai kerajaan negeri pakatan pembangkang itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat selepas kerajaan negeri berbincang dengan pengusaha premis hiburan dan Dewan Perhimpunan Cina Kedah. Berita Harian – 18 Julai 2011.


Sekurang-kurang PAS ada usaha dan inisiatif untuk melaksanakan amal maaruf nahi mungkar di negeri yang ditadbir oleh mereka bersama-sama Pakatan Rakyat. Tetapi oleh kerana ada bantahan daripada pengusaha pusat hiburan di negeri itu maka perbincangan dan kajian dibuat.

Mengambil kira kebajikan pengusaha dan pekerja premis hiburan di negeri berkenaan dan semangat pemuafakatan dalam Pakatan Rakyat maka kerajaan PAS Kedah bersetuju untuk membenarkan pusat-pusat hiburan ini meneruskan operasi di bulan Ramadan tetapi dengan syarat yang ketat iaitu hanya untuk mereka yang bukan beragama Islam dan jika didapati ada pengunjung beragama Islam maka lesen premis yang terbabit akan dibatalkan.

Di sini tidak timbul PAS tunduk kepada DAP kerana bukan DAP sahaja membantah, MCA sekutu Umno itu juga turut membantah dan kelonggaran yang dibuat oleh kerajaan Negeri Kedah ini berdasarkan perbincangan dengan pengusaha pusat hiburan di negeri itu.

Apapun kita harap kerajaan negeri Kedah akan meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan yang tegas terhadap premis yang melanggar syarat dan diharapkan juga agar pemamtauan terhadap orang Islam yang memasuki tempat maksiat ini diteruskan pada bulan-bulan yang lain agar keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat Islam dapat dibendung.

posted by Lidah Penghunus @ 10:56 AM   0 comments

Friday, July 15, 2011

Kisah kunjungan hormat Najib ke atas Ratu Elizabeth.

Assalamualaikum.







Berkenaan kunjungan hormat Najib ke atas Ratu Elizabeth II yang berpakaian berwarna kuning ini ramai yang memperkatakan bahawa ianya mempunyai kaitan dengan himpunan BERSIH yang telah diganyang di Malaysia.

Seorang tokoh akademik di laman sosialnya juga menyatakan bahawa sejak beliau kecil Ratu England ini jarang memakai pakaian yang berwarna kuning keemasan.



Sama ada ianya satu kebetulan atau memang benar-benar berkaitan dengan tindakan Najib terhadap himpunan BERSIH hanya Allah dan tuan punya badan iaitu Ratu Elizabeth sahaja yang tahu.



Namun carian saya di google image mendapati bahawa Ratu England ini memang jarang sekali berpakaian kuning.

posted by Lidah Penghunus @ 5:24 PM   0 comments

Najib ulangi peserta BERSIH tidak dikasari.

Assalamualaikum.

Najib ulangi peserta BERSIH tidak dikasari.
Tanpa menghiraukan tekanan antarabangsa mahupun dalam negara berhubung tindakan kerajaan menyuraikan peserta himpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak terus mempertahankan pendiriannya bahawa polis menggunakan tekanan minimum.
Malah dakwanya, pihak berkuasa juga hampir tidak ada langsung hubungan fizikal dengan semua penunjuk perasaan.
Menurut akhbar New York Times, Najib memberitahu sekumpulan kecil wartawan di London jika kerajaan membenarkan perhimpunan jalanan seperti BERSIH 2.0, negara mungkin berhadapan dengan ketidak-stabilan. http://www.malaysiakini.com - 15 Julai 2011.




Mungkin bagi Najib meletupkan orang dengan C4 itu baru dinamakan kekasaran.

posted by Lidah Penghunus @ 5:15 PM   0 comments

Bila PDRM nak siasat perlakuan kasar anggota mereka?

Assalamualaikum.

Polis siasat tindakan Tian Chua
KUALA LUMPUR 14 Julai - Polis menyiasat tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang didakwa bertindak kasar terhadap pasukan polis semasa menyertai perhimpunan haram pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, laporan mengenai kejadian itu telah dibuat pihaknya dan polis membuat siasatan dari semua aspek.

"Difahamkan, beberapa individu bersama pemimpin pembangkang turut melakukan tindakan sama terhadap pihak polis. Tindakan undang-undang bersesuaian akan diambil mengikut kesalahan yang dilakukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, pihak polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta mengumpul semua maklumat.

"Pihak polis tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pihak yang terlibat dengan kejadian tersebut termasuk Tian Chua bagi membantu siasatan," katanya. Utusan Malaysia - 15 Julai 2011.

Bila pula PDRM nak siasat perlakuan kasar anggota mereka terhadap peserta demonstrasi aman?

posted by Lidah Penghunus @ 4:56 PM   0 comments

Apa akan jadi kepada negara kita jika tiada kumpulan protes seperti dalam BERSIH ini?

Assalamualaikum.

Lucut kerakyatan pencetus revolusi di negara ini - Sivamurugan.
SHAH ALAM 14 Julai – Kerajaan dicadangkan agar mempertimbangkan tindakan melucutkan kerakyatan mana-mana individu atau pihak yang cuba mencetuskan revolusi dengan memburuk-burukkan negara ini.
Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P.Sivamurugan berkata, ia antara langkah bagi memastikan asas perpaduan, keharmonian dan kesejah teraan antara kaum di negara ini dapat dikekalkan pada masa depan.
“Maka saya fikir adalah lebih baik kerajaan melucutkan kerakyatan mereka yang terlibat kerana golo ngan ini sebenarnya tidak lagi mempunyai kesetiaan kepada negara ter masuklah tidak lagi mendokong Perlembagaan dan melihat kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Pada masa sama, Sivamurugan turut menyarankan kepada pihak yang tidak berpuas hati dengan keadaan negara ini dan cuba mencetuskan situasi tidak aman agar memohon sahaja kewarganegaraan negara lain. Utusan Malaysia - 15 Julai 2011.

Kepada Sivamurugan, andaikata orang-orang seperti peserta dan penganjur himpunan BERSIH 2.0 kesemuanya meninggalkan negara ini, saya percaya tidak akan ada lagi orang-orang seperti ini yang akan membingit ke telinga pemerintah menentang ketidakadilan yang dilakukan.

Pada masa itu percayalah bahawa kerajaan Barisan Nasional akan membuat sesuka hati mereka seperti menaikkan harga petrol, menaikkan tarif elektrik, menaikan kadar tol, meneruskan saman ekor dan pelbagai lagi perkara yang membebankan rakyat demi untuk keuntungan diri mereka. Bayangkan ketika adanya pembangkang dan kumpulan protes ini pun harga petrol dan tarif elektrik dinaikkan sedikit, apatah lagi jika tiada orang-orang seperti mereka.

Sepatutnya rakyat Malaysia seperti Sivamurugan harus bersyukur dengan adanya golongan seperti ini yang sanggup mengarungi gas pemedih mata demi membantah perkara-perkara yang tidak menguntungkan rakyat. Kesannya kita lihatlah saman ekor dimansuhkan, judi bola sepak dibatalkan dan kerajaan begitu berhati-hati untuk menaikkan harga petrol khususnya RON 95.

Kerana sayang akan negaralah mereka terus memprotes dan menuntut sebuah pilihanraya yang adil. Kalau mereka ini tidak ada rasa cinta negara lebih baik mereka ini duduk diam sahaja atau berhijrah ke negara lain kerana di kalangan mereka ini ada yang golongan yang berpendapatan tinggi.

posted by Lidah Penghunus @ 4:14 PM   0 comments

Asap gas pemedih mata adalah salah satu punca jerebu di Malaysia?

Assalamualaikum.

Pencemaran udara: Kementerian nasihat guna topeng muka.
KUALA LUMPUR 14 Julai - Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai menggunakan topeng muka ketika melakukan aktiviti luar memandangkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan mencatatkan bacaan sederhana.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka perlu bagi mengelak sebarang implikasi kesihatan yang tidak diingini.
"Selain memakai topeng muka, kita sarankan agar orang ramai minum air yang banyak kerana cuaca panas dan kering berkemungkinan akan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan lain," katanya. Utusan Malaysia - 15 Julai 2011.


Berkemungkinan antara punca jerebu di negara ini adalah kerana pelepasan asap gas pemedih mata yang terlalu banyak pada 9 Julai yang lalu.

posted by Lidah Penghunus @ 4:09 PM   0 comments

Wednesday, July 13, 2011

Nak 'demonstrasi' aman di Facebook pun tak boleh!

Assalamualaikum.

Desak Najib letak jawatan di Facebook biadab.
KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafei Apdal berkata kewujudan ‘fan page’ di laman sosial Facebook yang mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan adalah tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab.
Katanya, tindakan berkenaan adalah antara usaha terbaru sesetengah pihak yang dipercayai didalangi oleh penyokong pakatan pembangkang supaya dapat mempengaruhi orang ramai agar percaya dengan propaganda bahawa rakyat kini sudah tidak lagi mempercayai kepimpinan Perdana Menteri.
“Ini hanya sebagai helah untuk mempengaruhi orang supaya percaya dengan propaganda yang didalangi pakatan pembangkang selepas usaha mereka untuk mencetuskan huru-hara menerusi perhimpunan haram Sabtu lalu, tidak berjaya. Berita Harian – 13 Julai 2011.


Kita nak buat demonstrasi aman di tempat awam mereka sekat atas alasan mengganggu ketenteraman awam. Bila kita beralah dan bersetuju untuk hanya berhimpun di stadium, mereka tidak benarkan atas alasan BERSIH ini tidak berdaftar.

Bila kita ajak rakyat menyatakan bantahan melalui laman social Facebook, mereka kata pula kita biadab. Sebelum ini pun sudah berapa kali pengamal media baru seperti blogger yang pro-Pakatan Rakyat diugut dengan akta-akta yang menyekat kebebasan bersuara. Sudahlah semua media perdana mereka kawal, kita tidak berpeluang untuk menjawab tuduhan mereka.

Bila masuk pilihanraya, pihak yang diamanahkan menguruskan pilihanraya iaitu SPR pula khianat yang menjadikan proses pilihanraya di negara ini tidak BERSIH. Habis tu apa lagi kita nak buat?

posted by Lidah Penghunus @ 12:17 PM   2 comments

Tuesday, July 12, 2011

Sikap Umno yang jauhkan masyarakat bukan Islam daripada Islam.

Assalamualaikum.

Mesin judi: DUN Melaka gantung ADUN DAP.
Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini menggantung Goh Leong San (DAP-Kesidang) daripada menghadiri persidangan selama tiga hari kerana didakwa gagal mematuhi peraturan dewan ketika berbahas mengenai isu mesin judi haram di negeri ini.
Isu bermula apabia pengerusi jawatankuasa perumahan, kerajaan tempatan dan alam sekitar, Datuk Mohamed Yunos Husin, ketika menjawab soalan tambahan Goh, berkata isu mesin judi itu tidak boleh disekat kerana bagi masyarakat Cina, judi adalah budaya mereka.

Goh, yang juga pengerusi DAP Melaka, tidak berpuas hati dengan jawapan Mohamed Yunos dan memintanya menarik balik ayat "perjudian adalah budaya bagi kaum Cina" yang tidak dilayan oleh anggota exco itu.

Dua penyokong kerajaan, Datuk Hassan Abdul Rahman (BN-Sungai Rambai) dan Datuk Yaakub Md Amin (BN-Sungai Udang), meminta speaker tidak melayan kerenah Goh, sebaliknnya mahu wakil DAP itu digantung kerana melanggari peraturan mesyuarat.

Goh, dalam soalan asalnya, bertanya pendirian kerajaan negeri Melaka dan polis terhadap mesin haram, yang dijawab oleh Mohamed Yunos bahawa kerajaan negeri tidak mengeluarkan lesen mesin judi sebaliknya dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kewangan.
"Isu budaya kaum itu adalah satu terminologi perkataan kerana kita tahu secara umum bahawa mesyarakat Cina gemar berjudi dan menjadi budaya mereka, bahkan orang Melyu juga ada yang berjudi tetapi mereka boleh didakwa mengikut kesalahan undang-undang syariah," katanya.

Goh ketika ditemui pemberita berkata beliau berasa sedih kerana bahasa yang digunakan oleh Mohamed Yunos telah menghina kaum Cina. http://malaysiakini.com - 11 Julai 2011.

Dewan S'gor kecoh: BN halang ADUN DAP petik hadis.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Mohamad Satim Diman hari ini diarah keluar Dewan setelah mempertikaikan tindakan ADUN Sekinchan, Ng Suee
Lim yang dikatakan cuba memetik Hadis dalam perbahasannya.
Tindakan itu diambil Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Kim setelah Mohamad Satim (kiri) enggan mematuhi arahannya supaya duduk dan menghentikan perbalahannya berhubung soal agama itu ketika Ng membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2011 pada sidang itu.

Ketika membahaskan rang undang-undang itu, Ng menyatakan beliau mahu membacakan sebuah hadis sebagai hujah untuk menyokong perbahasannya itu namun ditegur oleh Mohamad Satim apakah kesahihan, benar atau tidak hadis yang mahu bacakan oleh wakil rakyat DAP itu.

Bagaimanapun, Ng tidak menyatakan hadis apakah yang beliau mahu bacakan itu selain memberikan alasan bahawa tindakannya mahu menggunakan hadis kerana beliau meminati agama Islam.

Sementara itu, Mohamad Satim ketika ditemui pemberita di luar Dewan menyifatkan Ng tidak layak untuk membicarakan soal hadis kerana beliau bukan seorang Islam selain tidak memahami agama Islam termasuklah tidak memahami hadis Rasulullah SAW itu sendiri.

"Kenapa beliau mahu membicarakan mengenai hadis agama Islam sedangkan beliau tidak beriman kepada agama itu sendiri. Saya melihat tindakannya itu seolah-olah mahu mempersendakan Islam.

"Betul ke beliau tahu hadis? Saya tanya hadis mana, sahih atau tidak, di mana dia rujuk hadis itu, Ng tak jawab," katanya. http://malaysiakini.com - 12 Julai 2011.


Dua berita di atas ini ada bukti bahawa Umno sebenarnya tidak mahu masyarakat bukan Islam sama ada cina atau kaum yang lain mendekati agama Islam. Sebab itu tidak hairan sekutu mereka iaitu MCA lebih kuat penentangannya terhadap Islam berbanding DAP.

Sepatutnya dua situasi di atas ini harus diambil peluang oleh kita untuk berdakwah dan menerangkan tentang kebaikan Islam kepada mereka. Lebih-lebih lagi kebaikan Islam mengharamkan judi. Dalam isu hadis pula sepatutnya kita yang Islam ini yang harus memberi penerangan kepada mereka tentang mana hadis yang boleh diterima dan mana yang tidak.

Yang penting rakan-rakan kita bukan beragama Islam ini tidak takut untuk mendekati dan belajar tentang Islam dan tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan berubah.

posted by Lidah Penghunus @ 5:00 PM   0 comments

Menyanggah salakan anjing politik peliharaan BN!

Assalamualaikum.

SPR tak ikut telunjuk BERSIH
Pembaharuan proses pilihan raya tiada kaitan perhimpunan haram
KUALA LUMPUR: Sebarang pindaan atau pembaharuan dalam proses pilihan raya akan datang tiada kaitan dengan perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan pembangkang pada Sabtu lalu, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Berita Harian - 12 Julai 2011.

Tak kisahlah sebab ikut telunjuk BERSIH atau tidak, yang penting yang rakyat mahu SPR laksanakan kelapan-lapan tuntutan BERSIH yang bertujuan untuk memulihkan pilihanraya itu. Jangan cakapa sahaja, mesti buat!


Tidak hormati kedaulatan.
BETONG 11 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam penganjur perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kerana membohongi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin apabila tetap membawa penyokong ke jalanan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perbuatan itu amat serius kerana ia tidak menghormati kedaulatan Seri Paduka sebagai ketua negara yang telah memberikan titah nasihat dan ingatan supaya mereka tidak berbuat demikian. Utusan Malaysia - 12 Julai 2011.

Siapa sebenarnya yang tidak hormat Yang di-Pertuan Agong? BERSIH sudah akur dengan titah baginda agar tidak membuat tuntutan di jalanan dan bersedia untuk berhimpun di stadium. Tetapi malangnya ruang untuk berhimpun di Stadium Merdeka juga disekat oleh BN dengan pelbagai alasan dan dolak-dalik.

Walau bagaimanapun BERSIH tetap dengan pendirian mereka dan tidak kembali ke jalan raya apabila tetap mahu ke Stadium Merdeka. Oleh kerana pelbagai sekatan yang dikenakan oleh BN inilah yang memaksa perserta himpunan ke jalan raya. walaupun begitu ianya tetap dilakukan secara aman sehinggalah diserang dengan gas pemedih mata dan meriam air.


JMM anggap Pas singkatan kepada 'Pengikut Ambiga Sreenavasan'
KUALA LUMPUR 11 Julai - Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini menyifatkan singkatan bagi Parti Islam SeMalaysia (Pas) sepatutnya ditukar kepada 'Pengikut Ambiga Sreenavasan (PAS)'.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, singkatan itu sepatutnya digunakan kerana ketaksuban pemimpin tertinggi dan pengikut parti itu menyertai perhimpunan haram Bersih di ibu negara kelmarin.

"Kita boleh saksikan sendiri betapa taksubnya pemimpin tertinggi Pas dan pengikut parti pembangkang itu yang bersungguh-sungguh menyertai perhimpunan haram itu walaupun dilarang pihak berkuasa.

"Sehinggakan beberapa individu yang disenaraihitamkan daripada memasuki ibu negara seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar sanggup melanggar perintah tersebut demi menyokong perhimpunan haram anjuran Ambiga," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

PAS sudah lama menuntut sebuah pilihanraya yang bersih serta adil dan parti Islam ini juga bukan kali pertama terlibat dengan demonstrasi jalanan.
Usaha ini akan diteruskan oleh PAS walau tanpa Ambiga sekalipun kerana niat PAS untuk menuntut pemulihan demokrasi ini agar Islam itu dapat dibawa lebih banyak ke Dewan Rakyat.
BERSIH 2007 yang disertai oleh PAS dahulu pun bukannya dipimpin oleh Ambiga.

posted by Lidah Penghunus @ 1:06 PM   0 comments

Monday, July 11, 2011

Satu kepala sampai RM 25? Audit Negara sila siasat!

Assalamualaikum.

Sepinggan RM25 untuk setiap tahanan.
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM25 setiap hidangan untuk diberikan kepada penyokong Bersih 2.0 yang ditahan dalam perhimpunan haram di ibu negara, kelmarin.

Ini bermakna sebanyak RM42,425 diperuntukkan untuk juadah bufet yang disediakan bagi menampung 1,697 individu ditahan.

Ini sekali gus menafikan dakwaan, bahawa tahanan dilayan tanpa belas kasihan.

:Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, bukan hanya makanan umpama kenduri kahwin, polis turut menyediakan tempat solat untuk tahanan beragama Islam di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak.

“Bagaimana boleh timbul dakwaan itu? Semua kemudahan termasuk makanan bufet berharga RM25. Sinar Harian - 11 Julai 2011.


Mengapa mahal sangat seorang sepinggan sampai RM 25? Istimewa sangat ke hidangan tu? Tempah di hotel lima bintang ke? Audit Negara kena siasat perkara ini. Takut-takut ada yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Datuk Amar Singh fikir kita ini kebulur sangat ke makanan mereka itu. Dia ingat dengan bagi tahanan makan mereka boleh menutup keganasan mereka terhadap peserta himpunan di lokasi himpunan?

http://english.aljazeera.net/news/asia-pacific/2011/07/20117973119168783.html

posted by Lidah Penghunus @ 1:08 PM   0 comments

Sunday, July 10, 2011

BERSIH yang terus berhimpun secara bersih dan yang si kotor terus dengan kekotorannya.

Assalamualaikum.

Himpunan BERSIH kali ini entah bagaimana buat julung kalinya saya hadir dengan kenderaan sendiri. Akibatnya saya terlewat tiba oleh kerana kesesakan lalu lintas angkara sekatan jalan raya yang sengaja dibuat-buat dan penutupan laluan masuk ke Kuala Lumpur. Siapa sebenarnya yang meyusahkan rakyat kalau tidak kerajaan BN yang dibantu oleh haiwan politik peliharaan mereka.

Apapun alhamdulillah walaupun lewat akhirnya saya berjaya juga bersama-sama dengan gabungan BERSIH yang berarak hingga ke KLCC. setibanya di KLCC para peserta himpunan berkumpul secara aman dan mendengar ucapan daripada pimpinan. Tiada pun kecenderungan untuk bertindak ganas. Hanya laungan kata-kata semangat sahaja. Namun apabila datang sahaja gerombolan FRU dan lori meriam air, keadaan menjadi kelam kabut, peserta semua lari menyelamatkan diri. Hinggalah kedengaran azan Asar dari Masjid asy-Syakirin KLCC. Peserta menuju ke masjid untuk menunaikan solat Asar dan seusai sahaja solat secara berjemaah semuanya mula beransur pulang.

Dalam perjalanan pulang ke destinasi atau kenderaan masing-masing peserta BERSIH yang tadinya begitu tegang akibat diasak oleh pasukan keselamatan begitu mesra, tidak pun menunjukkan riak-riak dendam kepada anggota polis. Ada yang mengambil kesempatan bergambar kenangan dengan pasukan FRU berkuda yang mengawal keadaan di sekitar taman berhampiran KLCC. Tiada pun rasa takut di hati mereka untuk hampir dengan anggota FRU ini dan bertanyakan mereka kuda dari baka manakah ini. Tidak kurang juga yang mengucapkan salam apabila terserempak dengan beberapa anggota polis beragama Islam yang sedang membuat kawalan dan ada juga yang mengingatkan mereka tentang solat Asar.

Semasa berlangsungnya himpunan ini juga saya dapati pelancong-pelancong luar negara masih lagi meneruskan aktiviti bersiar-siar mereka di sekitar KLCC. Tidak pula mereka takut dan meninggalkan kawasan tersebut. Ini semua menunjukkan betapa amannya himpunan yang hendak dianjurkan oleh BERSIH ini. Tetapi niat mereka untuk berhimpun secara aman bertukar menjadi kelam kabut apabila anggota polis menembak gas pemedih mata dan meriam air.

Media-media haiwan politik peliharaan BN pula sibuk menggembar-gemburkan kesesakan lalu-lintas yang didakwa berpunca himpunan BERSIH. Sedangkan ianya angkara sekatan jalan raya yang dibuat-buat bagi menimbulkan kesusahan kepada rakyat. Tidak cukup dengan itu polis menasihatkan peniaga agar menutup premis mereka agar senang untuk menyalahkan BERSIH yang menyebabkan kerugian kepada peniaga. Akhbar Berita Minggu hari ini di muka hadapan memaparkan seorang yang memegang pisau, menutup muka, sedang membaling sesuatu yang didakwa peserta himpunan BERSIH. Sedangkan belum dipastikan individu berkenaan peserta BERSIH atau sengaja untuk memburukkan BERSIH 2.0.

Apapun saya ucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang berani berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan untuk menuntut sebuah pilihanraya yang adil dan bersih di negara ini. Takziah kepada keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad yang gugur di medan BERSIH 2.0 ini. Mudah-mudahan Allah merahmati Allayarham kerana niat kita menuntut pilihanraya adil ini juga adalah untuk memenangkan Islam.

posted by Lidah Penghunus @ 11:54 PM   0 comments

Thursday, July 07, 2011

Sibuk cari parang milik komunis, budak taska diancam penjenayah berparang.

Assalamualaikum.

Lelaki berparang jadikan 30 murid taska tebusan.
Seorang lelaki bersenjatakan parang menjadikan kira-kira 30 orang kanak-kanak dan tiga guru sebagai tebusan dalam kejadian di pusat penjagaan kanak-kanak Serikids di Taman Sungai Abong, Jalan sakeh di Muar hari ini, lapor Utusan Online.
Lelaki berkenaan dipercayai menceroboh pusat jagaan tersebut pada pukul 9.30 pagi dan difahamkan seorang kanak-kanak telah dicederakan.
Buat ketika ini, pihak polis telah mengepung premis berkenaan dan rundingan sedang dilakukan untuk tebusan dibebaskan. http://malaysiakini.com - 7 Julai 2011
.

Tengah sibuk-sibuk cari parang yang didakwa kononnya milik Komunis, akhirnya rakyat khususnya kanak-kanak taska yang jadi mangsa penjenayah berparang. Inilah nasib rakyat Malaysia di bawah BN.

posted by Lidah Penghunus @ 4:59 PM   0 comments

Wednesday, July 06, 2011

BERSIH 2.1 - Kerajaan sebenarnya takut kepada kebangkitan BERSIH.

Assalamualaikum.

Stadium Merdeka tolak tempahan BERSIH
Pihak pengurusan Stadium Merdeka telah menolak lokasi itu dijadikan tempat himpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan pada Sabtu ini.
Menurut kenyataan di Facebook BERSIH 2.0, pegawai tempahan memberikan beberapa 'alasan' untuk menolak tempahan itu.
“Antara alasan yang tidak jelas yang dibekalkan oleh pegawai itu adalah 'majlis pengurusan sukan dalaman' dan 'kerja-kerja ubahsuai'.
“(Ini) di sebalik kenyataan ada rancangan bagi mengadakan 'Konsert Raksaksa 2' pada 9 Julai di Stadium Merdeka,” petik kenyataan itu. http://malaysiakini.com - 6 Julai 2011.

Hisham: BERSIH 2.0 masih haram.
Walaupun telah mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, BERSIH 2.0 masih sebuah pertubuhan haram.
Dalam masa yang sama, tambahnya, penguatkuasaan, termasuk tangkapan pencegahan akan berjalan seperti biasa. http://malaysiakini.com - 6 Julai 2011.

Polis: Sekatan jalan bagi elak senjata diseludup ke KL.
Sekatan jalanraya yang dibuat oleh polis pagi tadi di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya sehingga menyebabkan kesesakan teruk bertujuan menghalang elemen yang tidak diingini daripada 'menyeludup' senjata ke ibu negara, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
sepanjang 48 jam yang lalu pihak polis telah merampas sejumlah bom petrol, parang dan mercun.
Katanya, polis percaya senjata berkenaan akan digunakan pada perhimpunan Sabtu ini. http://malaysiakini.com - 6 Julai 2011.

Topi komunis berlogo Bersih, Gertak biadap
KUALA TERENGGANU, 6 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) memandang serius kain rentang dan kad jemputan program ‘Ganyang Komunis’ yang diedar oleh Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) yang memaparkan logo Bersih pada topi ‘Komunis’. Harakahdaily - 6 Julai 2011.

Pemuda Umno bantah BERSIH di Stadium Merdeka
Pemuda Umno hari ini membantahan keputusan BERSIH 2.0 yang memilih Stadium Merdeka sebagai tempat baru berhimpun pada Sabtu ini.
Ketua penerangan pergerakan itu Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, bantahan itu dibuat atas pelbagai alasan, terutamanya atas faktor sejarah tempat berkenaan.
"Kami bantah di Stadium Merdeka. Ia bukan tempat perhimpunan politik. Buatlah di negeri Pakatan Rakyat. Lagi pun Stadium Shah Alam sudah ditawarkan," katanya. http://malaysiakini.com - 6 Julai 2011.

'Bersurailah kamu kalau tidak kami tembak'
Pihak berkuasa memperhebatkan tekanan ke atas kumpulan yang bercadang menyertai perhimpunan atau demonstrasi dengan mempamerkan layanan yang bakal menanti mereka jika terus menyertai perhimpunan 9 Julai ini.
Antara yang paling menonjol semasa Demonstrasi Ketenteraman Awam sempena Eksesais Bersatu Aman 2/2011 di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia di Kem Sungai Besi di Kuala Lumpur adalah sehelai kain rentang yang memberi amaran kepada orang ramai supaya bersurai jika tidak mahu ditembak. http://malaysiakini.com - 6 Julai 2011.

Melihatkan kepada perkembangan-perkembangan yang berkaitan BERSIH 2.1 pasca pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong ini dapatlah kita simpulkan bahawa Umno dan Barisan Nasional sebenarnya lebih takut jika himpunan BERSIH ini digerakkan ke stadium kerana suasana di stadium ini membuatkan orang ramai tidak takut untuk turun beramai-ramai menyertai himpunan pada 9 Julai nanti.

Sebab itulah kita lihat kerajaan terus memberikan imej yang buruk kepada BERSIH ini agar orang ramai terus takut untuk mendekati gabungan ini dan himpunan anjuran mereka. Mereka juga sengaja untuk menyukarkan usaha BERSIH untuk berhimpun di stadium apabila permohonan BERSIH di stadium Merdeka di tolak atas alasan yang dibuat-buat.

Boleh jadi juga semua ini dilakukan dengan harapan agar penyokong BERSIH hilang sabar lalu kembali ke jalan raya dan akhirnya BERSIH akan dicop sebagai penderhaka dan komunis. Apapun kita harap agar semua penyokong BERSIH bertenang dan ikut arahan pimpinan.

Kepada Datuk Reezal Merican kalau kamu kata stadium Merdeka mempunyai nilai sejarah, tempat bergemanya laungan kemerdekaan, konsert goyang Inul daripada Indonesia yang tidak senonoh itu boleh pula?

posted by Lidah Penghunus @ 5:07 PM   0 comments

BERSIH 2.1 - Bukan berundur tetapi menukar strategi.

Assalamualaikum.

Nak komen sedikit tentang tajuk muka depan akhbar Berita Harian hari ini yang berbunyi “BERSIH undur”Kita nak beritahu bahawa BERSIH tidak pernah berundur daripada tuntutan mereka untuk membersihkan pilihanraya di negera ini selagi ianya tidak ditunaikan.

Membatalkan himpunan di jalan raya bukan bermaksud kita berundur, tetapi mengubah strategi yang bersesuai dengan titah Yang di-Pertuan Agong. Walaupun hanya berhimpun di stadium tetapi kita akan pastikan himpunan ini berjaya membawa mesej kepada rakyat dan parti pemerintahan tentang tuntutan ke arah pilihanraya yang adil dan bersih.

Oleh itu Datuk Seri Najib janganlah berangan-angan bahawa BERSIH 2.0 sudah berundur atau gagal. Jika himpunan BERSIH 2007 yang lalu walaupun disambut dengan gas pemedih mata dan meriam air ,berjaya menggerakkan ratusan ribu rakyat ke jalan raya, maka kita percaya himpunan BERSIH 2.1 di stadium ini mampu untuk membuat stadium melimpah ruah dengan warna kuning.

posted by Lidah Penghunus @ 9:38 AM   0 comments

BERSIH 2.1 - Boleh juga berhimpun di stadium tetapi jangan ulangi insiden PROTES 2008.

Assalamualaikum.

Sebagai rakyat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong saya turut menyokong tindakan BERSIH yang akur dengan nasihat baginda agar tuntutan BERSIH 9 Julai ini tidak dilakukan di jalan raya. Walaupun pendirian kita tidak berubah bahawa himpunan BERSIH ini adalah aman namun kita percaya bahawa nasihat Yang di-Pertuan Agong berikan ini terbit daripada seorang raja yang sayangkan rakyatnya tanpa dibayangi oleh kepentingan yang lain.

Maka dengan sebab itu BERSIH bersetuju untuk meneruskan himpunan mereka di stadium, sekaligus membuktikan bahawa BERSIH ini bukan Komunis seperti yang dilemparkan oleh Barisan Nasional bersama-sama haiwan politik peliharaan mereka. Saya sendiri sebenarnya tidak berapa gembira apabila demonstrasi ini dibuat di stadium. Bagi saya demonstrasi sebegini adalah demonstrasi separuh masak kerana demonstrasi sepatutnya di tempat awam dan jalan raya.

Walau bagaimanapun saya tetap akur agar demonstrasi ini digerakkan di stadium sahaja. Namun apa yang saya harap sangat-sangat agar tidak berulang lagi insiden himpunan PROTES di stadium MBPJ, Kelana Jaya pada tahun 2008. Oleh itu saya minta sangat-sangat kepada penganjur agar tiada sebarang konsert atau persembahan hiburan kerana ianya lari daripada roh demonstrasi itu sendiri. Jadikan 9 Julai nanti hari untuk mengumpulkan seberapa ramai rakyat Malaysia sebagai tanda kebersamaan mereka terhadap tuntutan BERSIH.

Walaupun himpunan BERSIH kali ini akan diadakan di stadium namun bagi saya ianya tetap beri kelebihan dan peluang untuk kita. Himpunan di stadium ini adalah cadangan daripada kerajaan BN sendiri maka saya percaya tidak akan ada tembakan gas pemedih mata dan meriam air pada hari tersebut. Oleh itu rakyat Malaysia tidak perlu takut untuk turun ke himpunan BERSIH 2.1, 9 Julai sebagai menyatakan sokongan mereka terhadap tuntutan untuk memulihkan pilihanraya.

posted by Lidah Penghunus @ 8:07 AM   0 comments

Friday, July 01, 2011

Himpunan PAS, UMNO dan PEKIDA bantah Israel hari ini, sama macam gabungan BERSIH 2.0 lah tu!

Assalamualaikum.

Misi ke Gaza: Umno, PAS, NGO serah memo bantahan.
Kira-kira 150 ahli Umno, PAS dan NGO hari ini berkumpul untuk menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat supaya mendesak sekutu negara itu - Israel dan Greece - supaya jangan mengganggu kapal konvoi misi antarabangsa Freedom Flotilla II ke Gaza.

Memorandum bantahan itu disediakan oleh Life Line 4 Gaza dan disokong oleh Umno, PAS, Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al-Ehsan Malaysia, Peace Malaysia dan Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (Pekida).

Mereka juga mendesak Amerika Syarikat supaya memberi tekanan ke atas Israel agar tidak menghalang perjalanan konvoi tersebut ke Gaza.

"Kami meminta Amerika Syarikat membuka mata lebih positif untuk menyelamatkan rakyat Gaza.

"Langkah ini adalah untuk umat Islam, dan ianya tidak ada provokasi selain daripada menghantar bantuan kemanusiaan," kata Setaiusaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdouz Megat Junid dalam satu sidang media.

Sebelum itu, beliau bersama-sama umat Islam yang selesai menunaikan solat Jumaat, berarak dari sebuah tempat letak kereta yang terletak kira-kira 300 meter dari kedutaan Amerika.

Sebelum sidang media dimulakan, Megat Firdouz bersama tiga lagi wakil NGO termasuk presiden Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al-Ehsan Malaysia, Muhammad Ridhwan Sulaiman dan wakil Life Line 4 Gaza - menyerahkan memorandum tersebut kepada Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak.

Memorandum itu diserahkan kepada setiausaha kedua jabatan politik, Kedutaan Amerika, Greg Chapman di hadapan pintu masuk kedutaan.

Turut hadir memberi sokongan adalah wakil daripada Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia dan Exco Pemuda PAS Pusat, Kamaruzzaman Mohamad. http://malaysiakini.com - 1 Julai 2011
.

Mereka PAS, Umno, Pekida dan beberapa NGO lain di atas ini bukanlah sebuah Pakatan Politik untuk menghadapi pilihanraya, malahan ada antara mereka ini seteru politik apabila tibanya musim pilihanraya dan bukan musim pilihanraya. Tetapi selepas solat Jumaat tadi mereka sebagai umat Islam sedia untuk bersama dalam meyuarakan isu bersama iaitu isu umat Islam Palestin, berdemonstrasi aman membantah gangguan rejim Israel terhadap kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin.

Senario ini sebenarnya tiada bezanya dengan apa yang akan berlaku pada 9 Julai nanti ialah PAS akan bersama-sama dengan pihak yang bukan pakatan politik mereka untuk menuntut sebuah pilihanraya yang adil dah bersih melalui BERSIH 2.0.

posted by Lidah Penghunus @ 5:11 PM   0 comments

BERSIH 2.0 - Apabila ulama' kata haram.

Assalamualaikum.

Islam tegah sertai demonstrasi.
Konsep syura saluran terbaik selesaikan isu demi kepentingan ummah
KUALA TERENGGANU: Pembabitan umat Islam dalam perhimpunan haram atau sebarang perhimpunan yang boleh memudaratkan keselamatan rakyat, negara, merosakkan harta benda dan seumpamanya, adalah ditegah Islam. Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata perbuatan dan tindakan yang boleh membawa kepada merosakkan kebaikan sedia ada, adalah satu dosa besar dalam Islam dan menyertai perhimpunan haram jelas tidak membawa kebaikan, melainkan menimbulkan masalah kepada pelbagai pihak. Berita Harian - 1 Julai 2011.


Apa kata Shukor Husin kata haram wanita muslim dedah aurat@tak pakai tudung dan isteri Perdana Menteri turut tidak terlepas.

posted by Lidah Penghunus @ 4:40 PM   0 comments

BERSIH 2.0 - Kalau komunis mana dia senjata api?

Assalamualaikum.

Lagi bukti komunis
Polis rampas gambar pemimpin PKM di sekretariat BERSIH
PETALING JAYA: Polis menemui bukti baru mengaitkan perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) dipengaruhi unsur komunis berikutan penemuan 10 gambar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) ketika serbuan di sebuah banglo yang dijadikan sekretariat BERSIH, di Seksyen 4, di sini kelmarin. Semua gambar bekas pemimpin PKM seperti Abdullah CD dan Shamsiah Fakeh itu ditemui bersama barang lain, termasuk 549 baju-T BERSIH pelbagai warna, 473 lilitan kepala, banting serta 5,154 risalah, dipercayai untuk diedarkan kepada orang ramai. Berita Harian - 1 Julai 2011
.

Mana dia senjata api? bom tangan? jerangkap samar?

posted by Lidah Penghunus @ 9:59 AM   0 comments


Free Hit Counter