Tuesday, July 29, 2008

Lagi pasal perpaduan.

Assalamualaikum.

Tawaran kepada Pas - Bentuk kerajaan baru bersama UMNO di Perak.
IPOH 28 Julai – UMNO negeri ini menawarkan kepada Pas cadangan untuk menubuhkan kerajaan negeri di Perak yang jika dapat direalisasikan bakal menjadi simbol perpaduan politik Melayu dan Islam.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, UMNO juga bersedia menerima wakil Pas sebagai Menteri Besar Perak dengan beliau sendiri tidak akan memegang sebarang jawatan dalam kerajaan kerana tidak mahu dikata hendak menguasai pentadbiran negeri.
Menurut beliau, Perak boleh menjadi medan terbaik untuk Pas dan UMNO memulakan kerjasama antara kedua-dua parti itu memandangkan penduduk negeri ini terdiri daripada pelbagai kaum berbanding Kelantan yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu. Utusan Malaysia - 29 Julai 2008.


Apabila timbul isu Muzakarah, Muqabalah, perpaduan Melayu dan bubar Pas Umno untuk tubuh parti baru, Umno Perak sudah menawarkan untuk bergabung dengan Pas untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak. Sedangkan tidak timbul pun hasrat untuk bergabung dengan Umno dan Barisan Nasional.

Walaupun bagaimanapun jika Umno Perak bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli benar-benar ikhlas atas nama Islam dan perpaduan Melayu maka cara yang terbaik ialah semua Adun Umno meninggalkan Umno dan menyertai Pas agar Pas di Negeri Perak menjadi majoriti dalam pentadbiran Negeri Perak dan seterusnya dapat mengukuhkan ketuanan Islam dan survival masyarakat Melayu.


NOTA : Hanya sekadar pandangan peribadi.


Fakta Nombor.
Bilangan kerusi Dun di Perak mengikut parti;
Pas - 6
PKR - 7
DAP - 18
Umno - 27

posted by Lidah Penghunus @ 6:47 PM   2 comments

Monday, July 28, 2008

Semuanya pasal perpaduan.

Assalamualaikum.

Tok Guru rela korbankan parti.
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan sanggup mengorbankan parti untuk kepentingan Islam dan perpaduan Melayu.
Nik Aziz berkata, beliau sanggup membubarkan partinya untuk mengukuhkan Islam dan mengeratkan hubungan antara kaum termasuk mereka yang bukan beragama Islam.
“Kalau macam tu saya cadangkan kita (Pas dan UMNO) pakat bubar parti. Kita bubar Pas. UMNO pun bubar juga. “Kita bubar kedua-dua parti tubuhkan parti lain untuk kuatkan dasar agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Pembangunan Industri Halal Nasional, Kelantan semalam.
Menteri Besar turut memberitahu cadangan tersebut akan dibawa ke Muktamar Tahunan ke 54 di Ipoh, Perak berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos nanti. Sinar Harian - 28 Julai 2008.

Sebelum ini Tok Guru Nik Aziz pernah mengatakan bahawa Pas akan dibubarkan jika Umno laksanakan Islam sepenuhnya. Jadi bagi saya kenyataan Menteri Besar Kelantan ini bukanlah sesuatu yang baru kerana apa jua yang disebut oleh tok guru matlamat akhirnya adalah untuk Islam. Oleh itu terpulanglah kepada ahli-ahli Pas sekalian untuk memperhalusinya pada muktamar Ogos depan. Walau bagaimanapun ianya juga bergantung kepada kesediaan ahli dan pemimpin Umno untuk membubarkan Umno bersama-sama pegangan sekularisme mereka.


DAP selar Pas - Kerana berunding dengan UMNO atas nama perpaduan Melayu.
KUALA LUMPUR 27 Julai – Tanda perpecahan mula ketara dalam Pakatan Rakyat apabila DAP secara terbuka meminta pakatan itu mengkaji semula keanggotaan Pas.
“Pas ternyata mengundang keraguan tentang kredibilitinya dan berdasarkan perkembangan mutakhir, Pakatan Rakyat perlu menimbang secara serius sama ada Pas patut terus dibenarkan menganggotainya,” kata Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dalam satu kenyataan di sini hari ini. Utusan Malaysia - 28 Julai 2008.


Dalam isu ini pula bagi pendapat saya jika Pas ditendang keluar daripada Pakatan Rakyat pun, Pas tidak rugi apa-apa kerana Pas masih ada dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah sedangkan DAP akan hilang dua negeri iaitu Selangor dan Perak. Jadi DAP khususnya Karpal Sigh tidak perlulah berasa angkuh kerana mereka sebenarnya yang memerlukan Pas dalam membentuk kerajaan negeri.


MIC akui jumpa pemimpin Hindraf.
KUALA LUMPUR: MIC mengakui mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Badan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) sejak beberapa bulan lalu demi perpaduan masyarakat India di negara ini.
Sambil mengakui ada pertemuan sulit itu, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata beliau sendiri sudah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Hindraf dari Perak, Kedah dan Selangor. Berita Harian - 28 Julai 2008.

Nampaknya MIC juga sudah tersepit seperti Umno apabila hendak 'bermuzakarah' dengan Hindraf atas nama perpaduan Masyarakat India.


NOTA : Ini hanyalah pendapat peribadi saya, tidak mewakili suara Pas.

posted by Lidah Penghunus @ 6:15 PM   1 comments

Thursday, July 24, 2008

Pukul anak sindir menantu.

Assalamualaikum.

Selenggara kereta Idris Jusoh tertinggi.
KUALA LUMPUR 23 Julai - Kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive barisan Exco Terengganu sepanjang 2004 sehingga 2008 menunjukkan kenderaan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mencatatkan perbelanjaan tertinggi iaitu sebanyak RM235,123.08.
Sementara itu, kenderaan dengan nombor pendaftaran TAG 6996 yang digunakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw, mencatatkan perbelanjaan kedua tertinggi sebanyak RM175,229.79. sepanjang tempoh itu.
Dalam tempoh empat tahun itu juga, kenderaan jabatan yang digunakan oleh Pengerusi Biro Pertanian, Datuk Mohd. Jidin Shafie mencatatkan kos penyenggaraan ketiga tertinggi iaitu pada kadar RM95,178.15. Kenderaan bernombor pendaftaran TT 7 itu telah dibeli oleh Mohd. Jidin. Utusan Malaysia - 24 Julai 2008.


BPR mulakan siasatan kos senggaraan Proton Perdana V6.
KUALA TERENGGANU 24 Julai – Badan Pencegah Rasuah (BPR) memulakan siasatan kes penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive Kerajaan Terengganu dengan mengambil dokumen-dokumen berkaitan untuk penelitian.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengesahkan enam pegawai BPR telah datang ke Wisma Darul Iman sejak semalam untuk mengambil dokumen berkenaan.
BPR turut mengambil keterangan daripada empat pemandu exco hari ini berhubung perkara berkenaan. Utusan Malaysia edisi terkini - 24 Julai 2008.


Saya tidak pasti adakah bidalan yang menjadi tajuk di atas ini bertepatan dengan isu pembelian kereta Mercedes oleh Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini. Kerana kita lihat isu pembelian kereta Mercedes ini pada permulaannya menampakkan bahawa Menteri Besar yang sekarang ini iaitu Datuk Ahmad Said yang bersalah. Namun melihatkan perkembangan baru-baru ini seolah-olah kesalahan ini akan beralih kepada bekas Menteri Besar yang dahulu iaitu Datuk Idris Jusoh. Apapun sama-sama kita lihat episod seterusnya.

posted by Lidah Penghunus @ 10:59 PM   1 comments

Wednesday, July 23, 2008

Muzakarah, Muqabalah, Mufaraqah dan mu beraloh

Assalamualaikum.

Muqabalah.

Tutup fail muzakarah, hanya ada sekadar muqabalah - Mursyidul Am.
Lanjusoh & Salmah Mat Husain Wed Jul 23, 08 8:19:30 pm MYT
KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu muzakarah sudah tutup fail dan apa yang berlaku sekadar pertemuan biasa (muqabalah). -->
"Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS.
"Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"
http://www.harakahdaily.net - 23 Julai 2008.

Dengan kenyataan Tok Guru Mursyidul Am Pas dalam akhbar elektronik di atas ini maka tidak perlu lagilah media khususnya media pengampu BN membesar-besarkan lagi isu muzakarah ini kerana ianya sudah selesai. Sebelum ini pun ianya tidak menjadi isu, tetapi media haiwan politik Umno-Barisan Nasional yang membesar-besarkannya bertujuan untuk melaga-lagakan ahli Pas.


Mufaraqah.

Bekas Timbalan Menteri Sertai PKR.
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Datuk Fauzi Abdul Rahman, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Fauzi, 62, membuat pengumuman itu di Ibu pejabat PKR dengan diapit Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya beliau meninggalkan Umno, yang disertai pada 1966, kerana sudah hilang keyakinan kepada parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional dan kepimpinannya.
"Saya meninggalkan politik secara aktif lima tahun lepas tetapi senario politik semasa telah memaksa saya kembali semula.
Saya fikir sudah sampai masanya rakyat Malaysia bangun. Apa pun saya sudah berehat terlalu lama. http://www.bernama.com.my - 23 Julai 2008.

Jika tuan-tuan masih ingat Datuk Fauzi pernah membuat laporan kepada BPR berkenaan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaakop. Namun begitu laporan berkenaan dipandang sepi dan akhirnya ianya berlalu begitu sahaja apabila Tan Sri Khalil Yaakop menjadi Yang Dipertua Negeri Melaka. Maka dengan itu saya alu-alukanlah hasrat Datuk Fauzi untuk 'mufaraqah' dengan Umno yang penuh dengan kepincangan itu dan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat untuk memperjuangkan kebenaran.


Mu beraloh.

Ahmad Said pertahan beli 14 Mercedes-Benz.
SUNGAI PETANI: Kerajaan Terengganu menyerahkan kepada Kabinet untuk memutuskan berhubung pembelian 14 kereta Mercedes Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta bagi kegunaan rasmi anggota Exco dan pegawai kanannya. Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, bagaimanapun mempertahankan tindakan itu kerana berpendapat ia lebih menjimatkan bagi jangka masa panjang.
Beliau juga akan mengemukakan laporan perbelanjaan terperinci penyelenggaraan dan pembaikan kereta Proton Perdana Eksekutif yang didakwanya amat tinggi. Berita Harian - 23 Julai 2008.

Nampak Menteri Besar Tereangganu yang baru ini tidak mahu mengalah dengan keputusannya membeli 14 kereta Mercedes Benz yang bernilai 3.43 juta itu. Alasannya dalam jangka panjang ianya menjimatkan. Adakah Datuk Ahmad Said benar-benar pasti bahawa kos selanggaraan termasuk bahan api kenderaan mewah ini murah? Bila Datuk Ahmad Said sebut bahawa kos penyelenggaraan kereta Proton Perdana Eksekutif amat tinggi bagi saya ianya tidak pelik kerana kita pernah mendengar sebatang pemutar skru yang dibeli oleh kerajaan mencecah hingga puluhan ringgit.

posted by Lidah Penghunus @ 11:56 PM   0 comments

Sunday, July 20, 2008

Tan Sri Muhd Taib baik diam sahaja.

Assalamualaikum.

Loh ditampar bukti Pakatan Rakyat kecoh.
SHAH ALAM: Kejadian seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditampar pembantu peribadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti sama, petang kelmarin, menunjukkan wujud pertelingkahan dan keretakan dalam kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata pada masa sama, ia juga menunjukkan kerajaan PR tidak bijak menangani isu antara kaum.
Katanya, sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah, kejadian Ahli Parlimen ditampar pembantu peribadi Adun daripada parti sama tidak pernah berlaku. Berita Harian - 20 Julai 2008.

Dalam mengeluarkan kenyataan yang sebegini Tan Sri Muhammad Taib lupa bahawa dalam Umno dan Barisan Nasional sudah sampai peringkat tembak-menembak sesama ahli mereka. Contohnya ketika waktu dahulu kes pembunuhan Datuk Taha oleh Datuk Mokhtar Hashim yang kedua-dua pemimpin Umno. Kini kita telah mendengar pula kes pembunuhan pemimpin MIC Negeri Johor yang suspek pembunuhannya adalah orang MIC sendiri. Apatah lagi jika sebut tentang insiden tampar-menampar, tumbuk-menumbuk sesama mereka. Jadi adalah elok Mat Taib diam sahaja.

posted by Lidah Penghunus @ 10:21 PM   0 comments

Thursday, July 17, 2008

Debat, debat juga tetapi amalan demonstrasi mesti diteruskan.

Assalamualaikum.

Sentuh sedikit tentang debat Anwar - Shabery baru-baru ini yang masih hangat diperkatakan di akhbar-akhbar, ramai yang berpendapat bahawa debat ini adalah sesuatu baik dan patut diteruskan kerana ianya memberi peluang kepada rakyat untuk menilai sesuatu isu yang berbangkit. Selain itu ada yang berpendapat bahawa debat ini dapat menggantikan amalan demonstrasi oleh parti pembangkang dalam menyuarakan sesuatu isu.

Di sini saya amat setuju jika debat sebegini diteruskan untuk rakyat mendengar kedua-dua hujah daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang. Walau bagaimanapun bagi saya walaupun kerajaan membuka ruang untuk debat terbuka namun amalan demonstrasi secara aman mesti juga diteruskan kerana debat hanya disertai oleh seorang atau beberapa orang yang tertentu sahaja. Tidak semua orang mampu dan berkebolehan untuk berdebat.

Maka amalan demonstrasi harus diteruskan untuk memberikan peluang kepada rakyat secara umumnya meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sesuatu isu.

posted by Lidah Penghunus @ 11:19 PM   0 comments

Wednesday, July 16, 2008

Sekilas berkenaan Debat Anwar - Shabery.

Assalamualaikum.

Saya tidak mahu mengulas panjang dan terperinci tentang debat yang telah diadakan bermula jam 9 malam sebentar tadi kerana tujuan debat itu diadakan untuk rakyat diluar ini menilai tentang hakikat dan kebenaran harga minyak sedangkan saya dari dahulu lagi sudah berpendirian bahawa harga minyak harus diturunkan oleh kerajaan. Cumanya saya tertarik dengan temuramah ringkas TV3 bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Sharil Samad dalam berita tengah malam sebentar tadi.

Dalam temuramah tersebut Dato' Sharil mempertikaikan fakta yang dikeluarkan oleh Dato' Seri Anwar dan mengatakan bahawa sepatutnya yang diturunkan adalah diesel bukan petrol. Yang lucunya orang yang mengeluarkan kenyataan ini adalah pihak kerajaan, beliau seorang menteri kabinet, menteri yang jaga harga barang pula tu. Jika itulah hujahnya mengapa tidak diturunkan sahaja harga diesel? Yang hendak melaksanakannya sekarang ialah kerajaan. Anwar bukannya orang kerajaan, Sharil Samad yang orang kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab menurunkan harga minyak. Sebagai pembangkang Anwar hanya boleh memberikan cadangan sahaja.

posted by Lidah Penghunus @ 1:00 AM   0 comments

Tuesday, July 15, 2008

Khir Toyo tidak layak ulas soal Muzakarah Pas-Umno.

Assalamualaikum.

SHAH ALAM 14 Julai – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo berkata, Pas kemungkinan tidak lagi relevan pada masa depan sekiranya terus kekal dalam pakatan pembangkang di Selangor.
Dalam pada itu, Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang ketika ditanya pendirian UMNO untuk bekerjasama dengan Pas sekiranya parti itu keluar daripada pakatan pembangkang berkata, pihaknya tidak ada masalah mengenai perkara itu.

Jika Pas mahu bekerjasama, kita sedia pertimbangkan sekiranya ia membabitkan kepentingan Islam dan orang Melayu.
‘‘Sungguhpun begitu, jika mereka mahu berbuat demikian (bekerjasama), mereka perlulah keluar daripada pakatan pembangkang terlebih dahulu, barulah kita boleh bincang,’’ ujarnya Utusan Malaysia - 15 Julai 2008.

Secara peribadinya saya menyokong saranan pimpinan Pas agar di adakan perbincangan atau muzakarah dengan Umno bagi mencari titik penyelesaian kepada permasalah Islam dan Melayu di negara ini kerana yang penting bagi kita ialah Islam itu sendiri. Sekaligus ini membuktikan bahawa Pas bukan mementingkan kuasa poltik semata-mata kerana di saat parti ini berada dalam pemerintahan di beberapa negeri Pas sedia untuk menghulurkan tangan perdamaian kepada Umno. Sedangkan Umno kita maklum saat parti itu berada dalam keadaan tertekan baru hendak sebut tentang muzakarah dengan Pas.

Cuma di sini pemimpin Pas sebut bahawa parti itu sedia untuk berbincang dan berunding dengan Umno. Bukannya menyertai Barisan Nasional dan meninggalkan Pakatan Rakyat. Adakah Khir Toyo ini tidak faham dengan kenyataan Presiden Pas atau beliau sengaja hendak melaga-lagakan Pas dan rakan dalam Pakatan Rakyat. Lagipun siapa Khir Toyo hendak memberikan syarat agar Pas keluar dari Pakatan Rakyat sedangkan pemimpin tertinggi Umno belum lagi berkata apa-apa mengenainya. Tambahan lagi jika Umno boleh meletakkan syarat sebegitu, kita juga boleh meletakkan syarat agar Umno meninggalkan Barisan Nasional.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   1 comments

Monday, July 14, 2008

Menyusahkan rakyat!

Assalamualaikum.

Kita amat-amat kesal dengan tindakan polis yang membuat sekatan jalanraya di beberapa tempat dengan alasan kononnya akan ada demonstrasi oleh Pakatan Rakyat. Sedangkan semuanya ini pembohongan semata-mata. saya sendiri pun daripada hari ahad semalam tidak mendapat apa-apa maklumat yang menyatakan akan diadakan demonstrasi. Bagaimana pula mereka ini boleh menuduh Pakatan Rakyat merancang mengadakan demonstrasi di Parlimen? Akibatnya sekatan-sekatan jalanraya ini telah menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk di beberapa laluan hingga ramai yang terpaksa tiba lewat ke tempat kerja. Ini semua menyusahkan rakyat! Sudahlah harga minyak mahal! Rakyat terpaksa pula menghabiskan minyak semata-mata kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Semoga Allah akan memakbulkan doa orang dizalimi seperti keluarga mangsa tahanan ISA, mangsa perobohan setinggan, mangsa keganasan polis dan mereka yang difitnah. Hancurlah Barisan Nasional beserta mereka yang mengikut telunjuk orang yang zalim!

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Friday, July 11, 2008

Pak Lah mungkin akan menyesal namakan Najib sebagai pengganti.

Assalamualaikum.

'Saya terharu kepercayaan PM'
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak terharu dengan keyakinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang memilihnya sebagai pengganti untuk menerajui kepemimpinan parti serta negara pada peralihan kuasa yang dijadualkan pertengahan 2010. Berita Harian - 11 Julai 2008

Najib pengganti baik: Abdullah.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menjelaskan beliau memilih Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya kerana yakin dan percaya timbalannya itu dapat memimpin parti dengan baik. Berita Harian - 11 Julai 2008.

Adakah Pak Lah sudah fikir semasak-masaknya sebelum menamakan Timbalannya iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebagai penggantinya. Sedangkan Datuk Seri Najib ketika ini sedang berhadapan dengan akuan berkanun yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya. Sepatutnya sekarang ini Najib direhatkan sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi sebaliknya Pak Lah menabalkan beliau sebagai bakal Perdana Menteri pula.

Silap-silap nanti Pak Lah pula akan menjadi seperti Tun Dr Mahathir yang kini menyesal kerana menamakan timbalannya sebagai pengganti beliau ketika dahulu. Namun ketika itu siapa yang hendak mendengar suara dan kritikan Pak Lah yang bukan lagi Perdana Menteri. Beliau bukan seperti Tun yang masih mempunyai pengaruh walaupun sudah bersara.

Berkenaan jangka dua tahun yang diberikan pula, bagi saya jangka masa dua tahun itu macam-macam boleh terjadi lebih-lebih lagi dalam dunia politik Umno yang begitu kotor ini. Sama ada Pak Lah akan tersungkur sebelum masanya atau Najib sendiri akan tersungkur sebelum tiba tempohnya. Ataupun mereka berdua yang akan tersungkur bersama-sama Barisan Nasional apabila Pakatan Rakyat mara ke Putrajaya. sama-samalah kita tunggu.

posted by Lidah Penghunus @ 6:56 PM   0 comments

Thursday, July 10, 2008

Tidak timbul Perjanjian Pangkor ii.

Assalamualaikum.

Pangkor II: Nizar bersikap membisu.
IPOH 9 Julai – Ahli-ahli Pas perlu bermuhasabah dan merenung sejenak mengapa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membisu apabila ditanya mengenai perjuangan untuk menegakkan pemerintahan Islam di Perak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sikap membisu Mohammad Nizar itu menimbulkan tanda tanya kerana ia ada kaitan dengan kebenaran dakwaan bahawa wujud ‘Perjanjian Pangkor II’ antara Menteri Besar itu dengan para pemimpin DAP negeri yang membentuk kerajaan campuran di Perak.
Mohd. Fadzil, abang Mohammad Nizar, sebelum ini mendakwa adiknya itu tidak layak menjadi Menteri Besar kerana telah menandatangani ‘Perjanjian Pangkor II’ dengan DAP yang antara isi kandungannya melarang Menteri Besar itu menyebut negeri Perak diperintah oleh Islam.
Zambry memberitahu, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini, Mohammad Nizar secara jelas mengelak untuk menjawab soalan wakil rakyat BN mengenai prinsip negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas selama ini. Utusan Malaysia - 10 Julai 2008.

Membaca laporan akhbar di atas ini seolah-olah menunjukkan bahawa Umno memang benar-benar mahukan Islam, mahu melaksanakan pemerintahan Islam, Hukum Hudud dan sebagainya. Namun hakikatnya ketika pemerintah Umno dan Barisan Nasional di negeri ini dahulu tidak timbul pun soal pemerintahan Islam, Hukum Hudud dan sebagainya. Malahan ketika kerajaan Negeri Kelantan ingin melaksanakan Hukum Hudud ketika dahulu ianya mendapat tentangan daripada kerajaan pusat yang ditadbir oleh Umno dan Barisan Nasional.

Sebenarnya tidak timbul apa yang dipanggil Perjanjian Pangkor ii seperti yang didakwa oleh Umno dan Barisan Nasional. Kerana Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri sendiri telah memberikan jaminan bahawa Menteri Besar mesti di kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Mahu tidak mahu wakil rakyat DAP tetap tidak boleh jadi Menteri Besar jika Nizar tidak menjadi Menteri Besar sekaipun. Mereka harus ingat Pas bukannya parti yang menumpang, andaikata Pas tidak bersetuju untuk menyertai kerajaan campuran, dengan 25 kerusi daripada PKR dan DAP masih belum cukup untuk mengatasi BN dalam membentuk kerajaan. Jadi mereka juga memerlukan Pas untuk membentuk kerajaan negeri.

Cumanya oleh kerana Pas bersama-sama PKR dan DAP membentuk kerajaan campuran maka Islam belum dapat dilaksanakan sepenuhnya seperti mana yang mereka laksanakan di Negeri Kelantan. Dasar Pas iaitu Islam tetap tidak berubah.

posted by Lidah Penghunus @ 10:36 PM   0 comments

Wednesday, July 09, 2008

Apa yang hendak dibanggakan sangat dengan Tapak Warisan Dunia?

Assalamualaikum.

Georgetown, Melaka diikiraf tapak warisan dunia.
KUALA LUMPUR 8 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bangga dengan pengisytiharan Georgetown dan Melaka sebagai tapak warisan dunia, mahu usaha dibuat bagi meningkatkan lagi kemudahan dan kebersihan kedua-dua bandar raya tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua kerajaan negeri itu perlu mengambil peluang daripada pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) itu, yang diumumkan semalam.
Pada masa yang sama, beliau mahu usaha dipergiatkan bagi memperbaiki kemudahan, kebersihan serta mempelbagaikan produk dan perkhidmatan yang boleh menarik lebih ramai pelancong berkunjung di kedua-dua bandar itu.
"Saya gembira mendengar berita bahawa UNESCO menerima Georgetown (Tanjung Penaga) dan Melaka sebagai tapak warisan dunia.
"Ini besar ertinya, iaitu walaupun dengan segala usaha yang kita jalankan selama ini untuk memodenkan negeri Melaka dan Pulau Pinang, kita tidak lupa menjaga apa yang telah pun menjadi warisan kepada kita," katanya.
Abdullah berkata, secara keseluruhannya semua kawasan yang indah dan tidak tercemar dalam negara, harus terus dipulihara. Utusan Malaysia- 9 Julai 2008.

Sebelum Pak Lah dan Kerajaan BN berbangga dengan pengiktirafan Georgetown dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia oleh PBB adalah lebih baik terlebih dahulu mereka lihat apa yang ada di Melaka dan juga Georgetown. Melaka dan Georgetown yang terletak dalam negeri Pulau Pinang sebagai kita tahu termasuk dalam Negeri-Negeri Selat ketika era pemerintahan British lebih 50 tahun yang lalu.

Ini kerana neger-negeri berkenaan antara negeri yang terawal menerima kedatangan kuasa-kuasa asing di gugusan kepulauan Melayu. Maka kita lihat dua tempat ini penuh dengan bangunan-bangunan lama peninggalan bekas penjajah seperti Portugis dan Belanda. Mungkin mengambil kira daripada aspek itu PBB bersetuju untuk mengiktiraf kedua-dua tempat ini sebagai Tapak Warisan Dunia.

Jadi apa yang hendak dibanggakan sangat oleh kita kerana pengiktirafan ini kerana adanya binaan-binaan milik negara-negara yang pernah menjajah negara kita. Ini semua lebih menunjukkan kebanggaan negara-negara bekas penjajah ini yang pernah menguasai negara kita ketika dahulu. Lainlah jika pengiktirafan Tapak Warisan Dunia itu kerana terdapatnya binaan-binaan hasil kerja tangan bangsa Melayu kita sendiri.

posted by Lidah Penghunus @ 11:25 PM   0 comments

Mengapa harus dipersoalkan orang yang hendak laksanakan Islam?

Assalamualaikum.

Syarat solat lima waktu dipersoal.
KUALA LUMPUR: Cadangan Kerajaan Pas Kelantan menjadikan solat lima waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat serta pengambilan baru kakitangan awam dianggap sebagai menafikan hak kaum lain.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata cadangan itu dilihat berat sebelah kerana menerusinya hanya individu beragama Islam boleh dapat kenaikan pangkat atau mendapat pekerjaan.
"Ini kerana hanya mereka (pekerja beragama Islam) bersembahyang lima waktu dan Jumaat. Macam mana dengan pekerja atau individu menganut agama lain? Adakah mereka ini tidak berpeluang bekerja atau naik pangkat langsung. Berita Harian - 9 Julai 2008.

Kakitangan awam di negara ini amat tidak beruntung mempunyai pemimpin kesatuan sekerja yang berfikiran singkat seperti Omar Osman ini. Tempoh hari beliau menasihatkan agar penjawat awam tidak menyertai himpunan PROTES bagi membantah kenaikan harga minyak sedangkan perjuangan PROTES juga adalah untuk kakitangan awam yang turut merasa terhimpit dengan kenaikan harga minyak. Dalam akhbar hari ini beliau mempersoalkan pula cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai kerajaan negeri.

Di sini Omar Osman harus meneliti cadangan kerajaan negeri itu sebelum mengeluarkan kenyataan. Yang kerajaan negeri sebut cadangan itu hanyalah untuk mereka yang beragama Islam dan cadangan mensyaratkan solat itu hanyalah tambahan kepada syarat-syarat kelayakan yang sedia ada khas untuk mereka yang beragama Islam. Untuk yang bukan beragama Islam mereka sudah tentulah termaktub kepada syarat-syarat yang sedia ada seperti kelulusan akademik.

Kita hairan mengapa begitu sukar untuk mereka menerima apabila kerajaan negeri pimpinan Tok Guru Nik Aziz ingin melaksanakan tuntutan Islam di negeri pentadbirannya. Mereka mengatakan langkah berkenaan adalah baik tetapi masih ragu-ragu tentang perlaksanaanya. Ini samalah seperti mereka mengatakan bahawa Islam itu adalah agama yang terbaik tetapi masih ragu-ragu untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Ada yang mengatakan bahawa perlaksanaan syarat bersolat ini akan menjadikan kakitangan awam berpura-pura semata-mata untuk naik pangkat. Di sini kita mahu bertanya adakah semua mereka yang menunjukkan tahap kerajinan bekerja itu tidak berpura-pura terutama sekali di hadapan ketua mereka? Kita lihat pula contoh perlaksanaan kad perakam waktu. Adakah semua kakitangan awam di negara ini benar-benar berkelakuan jujur dalam merekod kad perakam waktu mereka? Sudah tentu tidak. Namun ianya adalah sesuatu yang baik untuk diteruskan kerana sekurang-kurangnya ianya mendidik pekerja untuk sampai awal waktu ke tempat kerja.

Ianya samalah juga dengan tindakan Kerajaan Kelantan melarang rakyat mereka yang beragama Islam membeli dan meminum minuman keras. Namun tetap ada juga mereka minum minuman keras ini secara sembunyi-sembunyi. Pelbagai taktik yang akan mereka gunakan untuk memenuhi keinginan mereka itu. Namun begitu yang penting Kerajaan Pas Kelantan telah menjalankan kewajibannya sebagai kerajaan untuk mengharamkan perkara yang diharamkan terhadap umat Islam. Ini samalah juga dengan solat yang diwajibkan atas setiap umat Islam yang cukup syarat.

Sebagai kerajaan sudah tentulah Pas akan wajib untuk memastikan agar setiap orang Islam di bawahnya mengerjakan solat. Dan apa yang perlu kita ingat setiap pekerjaan baik yang dilakukan sudah tentulah akan mendapat keredhaan daripada Allah dan seterusnya pertolongan dariapada-Nya.

posted by Lidah Penghunus @ 10:42 PM   1 comments

Tuesday, July 08, 2008

Di sebalik sisi gelap aliran muzik underground.

Assalamualaikum.

Ketika waktu dahulu, ketika saya belum ada laman blog sendiri lagi, saya pernah menulis artikel bertajuk Antara punk dan Pas yang menyentuh tentang golongan beraliran muzik underground dan persamaan mereka dengan Pas. Saya terpanggil menulis berkenaan tajuk tersebut kerana terbaca sebuah artikel daripada majalah muzik yang menyamakan mereka daripada aliran muzik underground dengan mereka daripada parti politik yang berkopiah putih (jika disebut tentang parti politik yang berkopiah putih sudah tentulah Parti Islam Se-Malaysia atau Pas).

Memang saya akui sepanjang saya mengikuti perkembangan aliran muzik sebegini suatu ketika dahulu, saya dapati kebanyakan daripada mereka ini mempunyai pemikiran yang anti establish, menentang penindasan, ketidakadilan serta kezaliman dan ini semua diterjemahkan dalam lirik-lirik lagu mereka. Mereka daripada aliran muzik underground ini juga cenderung kepada pemberontakan dan tunjuk perasaan. Maka tidak hairanlah jika pada masa itu saya dapati kebanyakan mereka yang beraliran muzik underground ini menyokong parti pembangkang seperti Pas dan PKR kerana tertarik dengan amalan demonstrasi dan tunjuk perasaan oleh parti-parti tersebut yang sesuai jiwa mereka yang suka memberontak. Cumanya pada penulisan tersebut saya tetap menegaskan bahawa Pas dan kumpulan Punk ini tetap mempunyai perbezaan kerana Pas bergerak berlandaskan kepada syariat Islam.

Berbalik kepada isu semasa yang hangat diperkatakan ketika ini yang berkaitan dengan aliran muzik underground, sebenarnya Kumpulan Carburator Dung ini telah wujud sejak saya di bangku sekolah lagi dan sehingga kini kumpulan ini tidak pernah memasuki dunia mainstream yang penuh dengan glamour itu. Maka tidak hairanlah jika kumpulan ini begitu rapat dengan aktivis-aktivis reformasi seperti Sdr Hishamuddin Rais dan yang seangkatan dengannya. Jika tuan-tuan amati lirik lagu Mari menyanyi menjilat yang telah mengundang kontroversi itu, kandungannya sebenarnya adalah kritikan kepada golongan pengampu yang bermatlamat untuk mengumpul kekayaan. Jika kita ikuti perkembangan muzik tanah air Kumpulan Pretty Ugly yang dilihat cenderung kepada mainstream itu juga sudah mula menghasilkan lagu yang kritis terhadap isu semasa;

Song / Lagu : Kelab Jiwa Muzik - Pretty Ugly
Lyrics / Lirik Kelab Jiwa Muzik :

Naik minyak dengar berita
Sana-sini dah huru-hara
Ramai hero di tepi jalan
Kena sembur lari lintang-pukang

c/o:
Apakah dikau buta?
Kita sedang sengsara
Aku bukan mengkritik
Mari sertai Kelab Jiwa Muzik

Jalan gelap hitam berkilat
Itu tanda nak kaya-raya raya
Hijau, merah nyalakan api
Biru biro gelombang mikro

c/o:
Apakah dikau buta?
Kita sedang sengsara
Aku bukan mengkritik
Mari sertai Kelab Jiwa Muzik
Apakah dikau buta?
Kita makin berpecah
Ini bukan politik
Mari sertai Kelab Jiwa Muzik

bridge :
Yuran percuma
Tiada janji manis
Tak perlu payung
Hujan satu meja
Yang penting tahu
Nyanyi satu lagu
Negaraku Malaysia

Lagu : J
Lirik : Neves
Publishing : Cdbagasi Music.

Bagi saya ini adalah sesuatu yang positif yang dihasilkan kumpulan muzik yang selalu dikaitkan dengan unsur negatif oleh masyarakat ini. Malahan dalam hal ini mereka lebih baik daripada sesetengah kumpulan nasyid yang lebih berminat menyanyikan lagu bertema cinta tanpa mahu menyanyikan lagu-lagu yang mengkritik pemerintah yang zalim. Malahan lagi teruk ada antara mereka yang mengampu kerajaan yang zalim dan mempromosikan fahaman Islam Hadhari dalam lirik lagu mereka. Namun saya tidak katakan semuanya begitu. Tidak semua artis nasyid ini yang tidak ada idealisme perjuangan dan tidak semua pemuzik underground yang memasukkan unsur perjuangan dalam lirik mereka.

Cuma dalam isu Kumpulan Carburator Dung ini adalah suatu amat malang apabila mereka gagal untuk menunjukkan perlakuan sopan ketika mengadakan persembahan pada Karnival Protes (saya tidak berminat untuk menyebutnya sebagai demonstrasi) kelmarin. Kita Pas tidak menolak muzik tetapi kita tidak mahu muzik yang liar dan tidak menepati kehendak syariat. Jika diikutkan artis-artis tanah air yang beraliran mainstream juga sering tampil dengan imej yang mencolok mata. Sepatutnya kumpulan Carburator Dung boleh menampilkan sesuatu yang lebih baik sesuai dengan prinsip perjuangan yang mereka bawa.

Dalam hal ini Kumpulan Carburator Dung patut belajar daripada 'abang' mereka dalam aliran muzik rock iaitu Amy Search yang kini telah cenderung kepada Islam. Pas juga tidak harus melepaskan peluang ketika berada dalam Pakatan Rakyat ini untuk berdakwah kepada mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 9:27 PM   1 comments

Monday, July 07, 2008

kembali kepada demonstrasi yang sebenar.

Assalamualaikum.

Pada awalnya selepas berlangsung demontrasi membantah kenaikan harga minyak di ibu negara pada 12 Jun yang lalu. Gabungan yang dinamakan sebagai PROTES telah merancang untuk mengadakan himpunan yang lebih besar bertempat di ibu negara pada tarikh 5 Julai 2008. Namun tempat himpunan ini telah bertukar ke Padang Timur Petaling Jaya dan dianjakkan pada tarikh 6 Julai. Walau bagaimanapun tidak mengapalah kerana ianya masih lagi di tempat terbuka. Namun begitu pada saat-saat akhir tempatnya telah ditukar pula ke Stadium Petaling Jaya di Kelana Jaya.

Apa yang saya kesalkan di sini sudahlah demonstrasi yang sepatutnya diadakan di jalan-jalan di ibu negara ini ditukar lokasinya ke padang. Kemudiannya pihak polis tidak meluluskan pula permit di tempat berkenaan. Namun begitu mengambil kira pandangan pihak polis PROTES sedia untuk memindahkan lokasinya ke Stadium Kelana Jaya. Tetapi amat mengecewakan apabila pihak polis masih lagi enggan mengeluarkan permit dan menganggap perhimpunan itu sebagai perhimpunan haram. Bagi saya jika beginilah kerenahnya baik demonstrasi ini dibuat sahaja di ibu kota seperti di KLCC atau Dataran Merdeka. Di sana sama ada permit keluarkan atau tidak, walaupun pelbagai amaran keras dikeluarkan oleh pihak polis, kita tetap akan keluar berhimpun kerana niat kita untuk berhimpun secara aman, bukan hendak menimbulkan kekacauan.

Apa yang saya kesalkan juga di sini, sudahlah himpunan itu dibuat di stadium tertutup yang dilihat menyembunyikan kemarahan rakyat kepada umum, ianya ditambah pula dengan acara konsert yang bagi saya membunuh terus roh demonstrasi itu. Maka dengan itu saya sokonglah tindakan Pemuda Pas menarik diri daripada himpunan yang lari daripada konsep demonstrasi yang sebenar dan seru saya marilah kita kembali kepada demonstrasi yang sebenar iaitu demonstrasi yang biasa kita anjurkan di ibu kota atau mana-mana tenpat umum yang terbuka kerana demonstrasi sebegitulah yang sebenarnya menggambarkan luahan hati rakyat kepada umum.

posted by Lidah Penghunus @ 2:55 PM   1 comments


Free Hit Counter