Saturday, July 29, 2006

Kita yang berdemonstrasi di KLCC, Tun Dr Mahathir pula yang kena sembur gas pemedih mata.

Assalamualaikum.

Jumaat lepas saya berpeluang untuk menyertai satu demonstrasi yang dianjurkan oleh Pas bersama-sama dengan rakan parti alternatif, NGO dan gerakan mahasiswa sebagai lanjutan kepada bantahan umat islam rakyat Malaysia terhadap kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan Lubnan.

Di sini saya juga sependapat dengan beberapa laporan media bahawa perhimpunan pada jumaat lepas bolehlah disebut sebagai pehimpunan atau perarakan raksasa yang berjaya menghimpunkan hampir 10000 daripada pelbagai lapisan rakyat yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman lebih-lebih lagi yang dilakukan oleh rejim zionis. Ini mengingatkan saya kepada demonstrasi membantah karikatur menghina Rasulullah SAW di kedutaan Denmark 5 bulan yang lepas yang juga saya berpeluang menyertainya.

Dalam perhimpunan jumaat lepas juga dapat kita saksikan para pendemonstrasi yang berarak dari masjid Kg baru, singgah sebentar ke pusat Konvensyen KLCC dan terus menuju ke kedutaan Amerika ini tidak berganjak walaupun dalam keadaan hujan yang lebat. Penat tidak pun terasa walaupun berarak berbatu-batu jauhnya dan diiringi oleh hujan yang lebat apabila berarak beramai-ramai sambil melaungkan takbir, memuji kebesaran Allah dan mengutuk kekejaman rejim zionis malahan para pimpinan juga sama-sama meredah hujan.

Apapun tahniah kepada pasukan keselamatan yang bertindak profesional, hadirnya mereka pada hari tersebut benar-benar untuk menjaga keselamatan. Tiada pun 'hujan asid' pada hari itu, yang ada hanyalah hujan rahmat. Tahniah juga kepada masjid Kg. Baru, buat julung-julung kalinya mempromosikan demonstrasi yang akan diadakan dalam khutbah mereka dan tidak lupa tahniah juga kepada pemuda Umno yang sekali lagi menganjurkan demonstrasi bantah kekejaman Zionis mereka untuk kali kedua.

Namun begitu semasa balik daripada demonstrasi, saya agar terkejut apabila mendapat SMS daripada seorang sahabat mengatakan Tun Dr Mahathir telah ditembak dengan gas pemedih mata di Kota Bharu. Bagaimana pula kita yang berdemo di KL ini, Dr Mahathir di Kota Bharu pula yang kena gas pemedih mata? Tapi tidak mengapalah, semasa berkuasa dahulu, beliau selalu mengarahkan polis menembak gas pemedih mata dalam siri-siri demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang, sekarang ini tahulah akan Dr Mahathir betapa pedihnya gas pemedih mata. Sebenarnya ianya bukanlah gas pemedih mata yang sebenar yang digunakan oleh unit pencegah rusuhan, itu pun dalam kenyataan medianya Dr Mahathir mengatakan bahawa peristiwa tersebut amat-amat menakutkannya.

Berita terkini daripada insiden ini, seorang suspek sudah pun ditahan reman oleh polis dan dipercayai suspek adalah ahli Umno. Jika dilihat daripada apa yang pernah Tun lakukan kepada orang Pas, dengan operasi lalangnya, peristiwa Memali, penahanan di bawah ISA terhadap ahli-ahli Pas termasuk terhadap anak menteri besar Kelantan sendiri, maka sepatutnya ahli Pas sendirilah yang paling marah dengan Dr Mahathir. Namun begitulah akhlak islam yang ditunjukkan. Ini mengingatkan saya kepada lembaran sejarah perang salib yang mana Salahuddin al Ayub sendiri yang menghantar pasukan perubatan untuk merawat Richard Berhati Singa yang menjadi lawan kepada Salahuddin di medan tempur.

posted by Lidah Penghunus @ 11:50 PM   1 comments

Wednesday, July 26, 2006

Mengapa asyik ibu bapa juga yang hendak dipersalahkan?

Assalamualaikum.

Dalam usaha membendung salah laku sosial terutamanya yang membabitkan golongan muda remaja yang semakin meruncing kebelakangan ini, PDRM telah mencadangkan agar diwujudkan satu akta yang dinamakan Akta Kelakuan Antisosial yang membolehkan ibu bapa juga dihukum atas kesalahan yang dilakukan oleh anak mereka.

Bagi pendapat saya, akta ini memang sesuai dilaksanakan hanya setelah kerajaan itu sendiri menyediakan satu persekitaran yang selamat dari unsur-unsur yang boleh menjerumuskan golongan-golongan muda remaja ini ke kancah yang tidak sihat. Kerana adalah tidak adil dengan persekitaran kita yang penuh dengan tempat-tempat yang menjadi punca kepada kerosakan, stesyen TV di negara kita penuh dengan drama dan filem yang boleh mempengaruhi remaja kita ke arah keburukan dan pelbagai lagi unsur-unsur negatif yang diberi lesen oleh kerajaan, namun apabila berlaku salah laku sosial oleh seseorang remaja, ibu bapa pula yang di hukum.

Sedangkan si ibu bapa ini telah cuba mendidik anak-anak mereka dengan cara yang terbaik, tetapi apalah daya mereka dengan persekitaran luar hari ini malahan di dalam rumah mereka sendiri iaitu melalui media yang lebih kuat pengaruhnya kepada remaja. Hendak diceritakan bagaimana kuatnya pengaruh media atau filem kepada masyarakat hinggakan seorang menteri meminta stesyen TV tidak menayangkan babak bunuh diri dalam filem atau drama dalam usaha mengurangkan kes bunuh diri.

Akta yang mula digunapakai di England sejak 2003 ini juga memperuntukkan bahawa sebuah premis yang menjadi punca kepada salahlaku sosial ini juga boleh dihukum misalnya ditutup selama beberapa bulan jika menjual arak kepada remaja bawah umur. Ini menunjukkan mereka juga mengakui bahawa premis-premis yang sudah tentunya pusat-pusat hiburan ini adalah punca kepada keruntuhan akhlak masyarakat. Jadi adalah lagi baik jika ianya ditutup sahaja.

Jika semua perkara yamg membawa kepada kerosakan itu tadi telah ditutup rapat oleh kerajaan, islam telah dilaksanakan sepenuhnya, maka barulah ianya adil untuk dilaksanakan kepada ibu bapa.

posted by Lidah Penghunus @ 12:27 AM   0 comments

Sunday, July 23, 2006

Bila lagi mahu anjurkan demonstrasi anti Artikel 11 dan Islam Liberal?

Assalamualaikum.

Jumaat lepas pemuda Umno telah membuktikan bahawa mereka juga boleh turun ke jalanraya berdemonstrasi dalam isu yang menyentuh kepentingan ummah. Walaupun sebelum ini ada pertentangan pendapat antara ketua dan timbalan ketua pemuda tentang kaedah berdemonstrasi ini, akhbar hari ini ketua pemuda Umno, Dato' Seri HishammuddinTun Hussein akhirnya akur juga dengan kaedah berdemonstrasi ini.

Hari ini telah berlangsung satu himpunan anjuran Peguam Pembela Islam di Masjid Wilayah bagi membincangkan tentang isu yang amat-amat penting bagi kita umat islam selain daripada isu palestin itu tadi iaitu percubaan kumpulan Artikel 11 untuk menafikan ketuanan Islam di negara kita. Sebagaimana yang kita telah maklum kehadiran kumpulan Atikel 11 yang juga bertanggungjawab dalam rancangan penubuhan IFC dan kes perbicaraan Lina Joy adalah amat-amat berbahaya kepada masa depan generasi islam di negara kita. Dalam perkembangan yang sama juga Timbalan YDP Pas Bukit Bendera akan dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Pulau Pinang pada 28 Julai depan kerana didakwa berhimpun membantah kumpupan Artikel 11 ini mendapatkan tandatangan menyokong penubuhan IFC di hadapan Hotel Cititel, hari sebelumnya pula Pas Negeri Johor telah membuat bantahan terhadap rancangan kumpulan Artikel 11 untuk membuat menganjurkan forum di negeri berkenaan.

Selepas ini kita sedang menunggu pula demonstrasi anjuran pemuda Umno bagi membantah kumpulan Artikel 11 dan jaringan islam liberal ini. Beranikah pemuda Umno membantah kumpulan-kumpulan yang di sokong oleh beberapa menteri kabinet ini? Beranikah Khairy mengetuai demonstrasi bagi membantah kumpulan-kumpulan orang islam yang berfahaman liberal yang turut disertai sendiri oleh isterinya sendiri, Nouri Abdullah yang juga anak kesayangan bapa mertuanya?

posted by Lidah Penghunus @ 3:46 PM   0 comments

Saturday, July 22, 2006

Benarkah Demonstrasi pemuda Umno dihadiri 5000 orang?


Assalamualaikum.

Paparan gambar di atas ini adalah satu perhimpunan atau demonstrasi aman yang dianjurkan oleh pemuda Umno semalam bagi membantah keganasan rejim Israel akhir-akhir ini.

Jika melihatkan kepada gambar adakah anda percaya bahawa jumlah peserta perhimpunan berkenaan seramai 5000 orang? Mungkin jika dikatakan kehadiran perhimpunan berkenaan seramai 2000 orang, ianya adalah munasabah.

Namun begitu inilah yang dilaporkan oleh media arus perdana hari ini;

"Terdahulu beliau (Khairy) mengetuai perarakan kira-kira 5,000 ahli Pergerakan Pemuda BN dan rakyat pelbagai kaum dari masjid KLCC ke kedutaan berkenaan, bagi menyuarakan bantahan terhadap tindakan rejim Zionis itu menceroboh Palestin dan Lubnan"

Adalah amat dikesalkan kerana sudahlah sebelum ini siri-siri demonstrasi anjuran parti pembangkang tidak mendapat liputan daripada akhbar arus perdana ini, namun apabila Umno mengadakan demonstrasi bukan sahaja liputan berita diberikan kepada mereka, malahan fakta tentang angka demonstrasi itu juga telah diputarbelit bertujuan untuk menyedapkan hati 'bos-bos' mereka.
Lain pula halnya dengan akhbar arus perdana yang lagi satu ini. Jika sebelum ini demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang khususnya Pas tidak mendapat liputan daripada akhbar berkenaan, namun apabila pemuda Umno mengikut jejak langkah pembangkang menganjurkan demonstrasi semalam, demonstrasi (sebenarnya bukanlah demonstrasi besar-besaran) pembangkang yang dianjurkan di peringkat negeri mendapat liputan yang agak istimewa di akhbar berkenaan pada hari ini. Namun demonstrasi pemuda Umno tetap mendapat tempat di muka hadapan.

Walaubagaimana pun, atas nama kepentingan ummah kita tetap menyambut baik inisiatif pemuda Umno dalam menganjurkan demonstrasi bagi membantah kekejaman rejim Zionis itu. Malahan pemuda Pas melalui ketuanya, mengajak pemimpin dan ahli Umno turut serta dalam perhimpunan serta perarakan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap kezaliman Zionis Israel ke atas umat Islam Palestin pada 28 Julai nanti. Ini menunjukkan bahawa Pas bersedia bersama-sama dengan mana-mana pihak atas nama kepentingan ummah dan nasional, ini samalah juga dengan keterlibatan Pas dalam meraikan kritikan-kritikan Tun Dr Mahathir terhadap kerajaan.

Cumanya pada demonstrasi anjuran pemuda Umno semalam, Pas tidak dapat menyertainya kerana sudah pun merancang untuk mengadakan demonstrasi di setiap masjid negeri. Ini ditambah pula sebelum ini terdapatnya percanggahan pendapat antara ketua dan timbalan ketua pemuda Umno dalam isu penganjuran demonstrasi.

posted by Lidah Penghunus @ 9:52 AM   0 comments

Friday, July 14, 2006

Isu pemakaian serban.

Assalamualaikum.

Mengulas tentang isu keputusan penghakiman yang mempertahankan tindakan sebuah sekolah menyingkir pelajar-pelajar yang bertegas mahu terus memakai serban di sekolah ini, kita amat-amatlah sedih kerana walaupun pemakaian serban ini bukan sesuatu yang wajib seperti wajibnya pemakaian hijab kepada wanita muslim, namun adalah tidak patut di sebuah negara yang didakwa sebagai negara islam, perdana menterinya adalah anak kepada seorang tokoh ulama' terdapatnya penindasan terhadap golongan-golongan yang ingin mengamalkan sunnah Rasulullah SAW ini sedangkan dalam masa yang sama pemakaian serban bagi agama lain dibenarkan.

Namun begitu apa yang lagi mengguris hati kita apabila seorang hakim dalam hujahnya mengeluarkan kenyataan sebegini;

"amalan memakai serban bukannya perkara besar, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak bawah umur.“Islam bukan semata-mata mengenai serban dan janggut. Masyarakat Arab Jahiliah juga memakai serban dan berjanggut"
Jelas di sini bahawa hakim berkenaan hanya memandang pemakaian serban ini dari sudut rupa bentuk serban itu sahaja tanpa mengambil kira niat pemakai serban tersebut. Sedangkan setiap perbuatan itu adalah bergantung kepada niat, yang membezakan serban arab jahiliyah dengan serban melayu beragama islam ialah orang islam memakai serban dengan niat untuk mengikut sunnah rasulullah SAW, sedangkan orang arab jahiliyah memakai serban semata-mata sebagai pakaian tradisi. Dan sikap memperlekehkan sunnah Rasulullah oleh hakim berkenaan jelas apabila beliau berkata;

"Saya tahu Rasulullah memakai serban. Tetapi Baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi.“Adakah itu bermakna menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang? Wajarkah dipilih bahan dan cara serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti di zaman Baginda?”

Di sini hakim berkenaan harus faham bahawa mereka memakai serban, menyimpan janggut dan berusaha untuk melakukan setiap perkara yang sama dengan Rasulullah, adalah sebagai tanda cintanya mereka terhadap nabi junjungan umat islam itu. Namun begitu oleh kerana peredaran masa, ianya tidaklah dapat diikut seratus peratus. Malahan pemakaian serban itu juga kini terdapat dalam pelbagai bentuk lilitan dan kainnya juga pelbagai corak dan warna yang sesuai dengan peredaran zaman. Namun begitu niat pemakainya tetap satu, iaitu mengikut sunnah Rasulullah SAW. Ianya samalah dengan soal kenderaan dan rumah yang dibangkitkan oleh hakim itu tadi. Rasulullah menaiki kenderaan untuk kemana-mana, Rasulullah juga membina rumah berlindung dan sudah tentulah kita juga memerlukan kenderaan dan rumah sebagai keperluan. Bezanya kita akan menggunakan kenderaan dan membina rumah yang sesuai dengan peredaran masa namun begitu penghayatan kita tetap tidak lari dari mengikut sunnah Rasulullah SAW iaitu kenderaan yang digunakan untuk jalan Allah dan rumah yang dibina akan dimakmurkan dengan perkara-perkara yang diredhai Allah.

posted by Lidah Penghunus @ 12:10 AM   0 comments

Wednesday, July 12, 2006

Pak Lah isytihar perang jihad terhadap dadah, Ku Adnan pertahankan pusat hiburan sampai 5 pagi.

Assalamualaikum.

Tidak lama dahulu Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengisytiharkan jihad memerangi najis dadah yang menjadi ancaman utama kepada negara, iaitu pengisytiharan jihad yang kedua selepas pengisytiharan jihad ekonomi. Namun begitu pada masa itu saya tidak pula berminat untuk mengulas tentang isu tersebut, walaupun sudah ada di fakulti minda komentar-komentar terhadap isu berkenaan.

Akhbar siang tadi sekali lagi Pak Lah menekankan kembali tuntutan jihad memerangi najis dadah ini dan ucapan Pak Lah ini telah disiarkan sewaktu upacara kemuncak siaran langsung perlawanan akhir piala dunia di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Dari segi kaedah saya amat-amat menyambut baik dan memang kenalah pada tempatnya kerana jika ucapan tersebut di sampaikan di program-program motivasi atau ceramah agama di surau atau masjid, sudah tentulah pendengarnya golongan-golongan yang menjauhi amalan mengambil dadah.

Cuma apa yang ingin saya persoalkan di sini, seruan jihad memerangi najis dadah ini dilaungkan di kala kerajaan masih lagi berkira-kira dalam keputusannya terhadap cadangan Menteri Pelancongan, Tengku Adnan agar pusat-pusat hiburan dilanjutkan operasinya hingga ke 5 pagi dalam usaha menarik pelancong asing. Sedangkan seperti yang pernah saya nyatakan dahulu bahawa sudah jelas bahawa pusat-pusat hiburan sebeginilah yang menjadi sarang kepada pengedaran dan penagihan dadah. Sepatutnya bukan sahaja cadangan Tengku Adnan itu harus ditolak, malahan sepatutnya pusat-pusat hiburan itu juga harus ditutup terus.

Dan dalam kerajaan masih lagi terkial-kial menghalusi cadangan tersebut, berita tv malam tadi menyiarkan kenyataan Tengku Adnan yang bertegas mempertahankan cadangannya itu dengan alasan bahawa lanjutan operasi pusat hiburan tersebut adalah untuk pelancong asing, bukan untuk orang tempatan, khususnya umat islam. Sebenarnya Tengku Adnan boleh buat cadangan yang sebegitu, boleh dengan mudahnya memberi alasan-alasan yang sedemikian kerana kesan-kesan negatif seperti pengambilan dadah dan alkohol ini belum kena lagi pada anak beliau sendiri.

Akhbar siang tadi juga menyiarkan tentang betapa kecewanya seorang pengarah drama dan filem bertaraf Box Office, berpangkat dato' apabila anaknya sendiri ditangkap dalam serbuan di pusat hiburan kerana disyakki mengambil dadah. Jika perkara yang sama terjadi kepada Tengku Adnan, adakah beliau masih lagi mahu mempertahankan cadangannya itu?

posted by Lidah Penghunus @ 12:19 AM   0 comments

Friday, July 07, 2006

Kerajaan buka pusat hiburan untuk pelancong, orang melayu yang belanja 1 Bilion untuk arak.

Assalamualaikum.

Tidak pernah terlintas di fakulti minda kita seorang menteri melayu beragama islam boleh mengeluarkan cadangan agar pusat-pusat hiburan di bandar-bandar besar dilanjutkan operasinya hingga ke jam 5 pagi dalam usaha menarik pelancong sempena tahun melawat Malaysia 2007.

Persoalannya di sini adakah pelancong-pelancong dari luar negara khususnya dari negara-negara barat ini datang ke Malaysia semata-mata untuk berhibur di pusat-pusat hiburan disko, pub, karaoke dan sebagainya, sedangkan di negara mereka sendiri terdapat pusat-pusat hiburan yang lebih hebat lagi.

Pelancong-pelancong dari negera-negara barat khususnya datang ke negara kita tujuannya adalah untuk melihat sendiri keunikan negara kita dari segi budaya, adat resam, keramahan penduduknya serta keindahan alam semula jadi. Sepatutnya perkara-perkara berikutlah yang diberi perhatian.

Jika alasan kerana untuk menghidupkan kembali beberapa bandar yang terus 'mati' apabila menjelang waktu malam, bagi saya tidak perlu dengan pusat hiburan. Sekarang ini pun tumbuh bagai cendawan gerai-gerai makan yang beroperasi 24 jam yang menghidangkan pelbagai juadah tempatan mahu pun luar. Gerai-gerai sebegini pun sudah cukup untuk menghidupkan suasana malam di bandar-bandar besar.

Beberapa hari selepas cadangan menteri berkenaan, akhbar hari ini pula menyiarkan kenyataan Mufti Perak bahawa orang melayu membelanjakan sejumlah 1 billion untuk arak dan 3 billion untuk judi. Nampak sudah terbukti bahawa usaha kerajaan memberi lesen kepada pusat-pusat hiburan dan premis arak ini bukan memberi manfaat untuk kegiatan pelancongan, tetapi memberi mudarat pula kepada orang melayu beragama islam itu sendiri apabila mereka sendiri yang banyak membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang merosakkan ini.

Jika tidak dengan laporan akhbar ini pun kita boleh mendapatkan bukti dengan bertanya sendiri kepada pekerja 7 Eleven, berapa ramaikan orang melayu yang memberi arak di premis mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 4:22 PM   0 comments


Free Hit Counter