Sunday, September 30, 2007

Pak Lah tidak layak bercakap soal demokrasi dan hak asasi.

Assalamualaikum.

Malaysia semalam meminta junta tentera Myanmar membebaskan pemimpin prodemokrasi Aung San Suu Kyi dan tahanan politik yang lain di Myanmar. Gesaan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-62 di sini, semalam.
Asean sudah melakukan apa yang terbaik bagi menggalakkan Myanmar ke arah proses pemulihan demokrasi," katanya sambil menambah kegagalan Myanmar berbuat demikian mengakibatkan berlaku tunjuk perasaan pada masa ini.
Abdullah berkata, Malaysia bersama negara anggota Asean yang lain tidak setuju dengan penggunaan kekerasan melampau oleh pihak tentera kerajaan Myanmar bagi meleraikan bantahan masyarakat awam. Berita Minggu - 30 September 2007.

Melihatkan ucapan Pak Lah seperti yang disiarkan dalam akhbar hari ini dan melihatkan kenyataan-kenyataan beliau pada perhimpunan agung PBB yang diadakan, seolah-olah Pak Lah terlupa bahawa di negara beliau sendiri, kerajaan yang dipimpin oleh beliau telah mengambil tindakan yang paling melampau kepada orang awam yang dituduh sebagai merusuh sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan Junta Myanmar terhadap penunjuk perasaan di sana.

Maka ucapan serta kenyataan Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia di persidangan antarabangsa itu sedikit pun tiada nilai sebenarnya. Pak Lah tidak layak untuk menasihati negara lain berkenaan demokrasi dan hak asasi kerana beliau dan kerajaan BN sebagai pencabul demokrasi dan hak asasi di negara ini.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 40 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 11:05 PM   0 comments

Tuesday, September 25, 2007

Tidak daftar pemilih dan boikot pilihanraya.

Assalamualaikum.

Gunakan hak mengundi – PM
KUALA LUMPUR 24 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sebahagian orang Melayu telah mengabaikan tanggungjawab penting dalam menentukan kerajaan dan wakil rakyat yang mewakili mereka apabila tidak mendaftar sebagai pengundi.
Perdana Menteri menegaskan, orang Melayu mesti menggunakan hak mereka untuk mengundi bagi menentukan kerajaan dan wakil rakyat mereka melalui proses demokrasi.
Bagaimanapun, kata beliau, jika mereka memilih untuk tidak mendaftar sebagai pengundi, orang Melayu tentulah tidak ada peranan langsung dalam demokrasi.
“Sebab, dalam amalan demokrasi, rakyat memilih wakil rakyat. Jika bilangan mereka yang layak mengundi (tidak berbuat demikian), tentu demokrasi akan terjejas.
“Ini kerana, wakil rakyat tidak mendapat sokongan yang kuat kerana yang keluar mengundi (beliau) tidak ramai,” Utusan Malaysia - 25 September 2007
.

Kenyataan Perdena Menteri dalam akhbar di atas ini menunjukkan bahawa tindakan boikot atau memulaukan sesuatu pilihanraya sebenarnya adalah sesuatu yang berkesan dan memberikan impak kepada sistem demokrasi negara khususnya kepada karajaan yang mendapat mandat dalam keadaan pilihanraya diboikot.

Jika di atas ini Pak Lah menyebut dalam konteks rakyat tidak mendaftar sebagai pemilih, bayangkan pula jika rakyat yang berdaftar sebagai pemilih tidak keluar mengundi dalam sesuatu pilihanraya terutamanya pilihanraya umum. Ianya tentu akan lebih memberikan kesan yang negatif kepada parti pemerintah yang naik.

Ini bukanlah bermaksud bahawa saya mencadangkan agar parti pembangkang mengambil tindakan boikot terhadap pilihanraya umum akan datang. Namun jika keadaan demokrasi negara ini semakin lama semakin kebelakang maka adalah tidak mustahil bahawa langkah boikot pilihanraya umum akan datang adalah langkah yang terbaik untuk mengajar mereka yang mengkhianati demokrasi ini.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 45 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 11:40 PM   0 comments

Monday, September 24, 2007

Pak Lah kata pilihanraya lambat lagi.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar Utusan hari ini Pak Lah menyatakan bahawa tarikh pilihanraya umum tidak akan diumumkan dalam masa terdekat;

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pilihan raya umum tidak akan diadakan dalam waktu terdekat ini walaupun ekonomi negara berada pada kedudukan baik.
Perdana Menteri berkata, beliau masih tidak mendapat ilham mengenai bila pilihan raya umum akan diadakan walaupun soalan itu sering diajukan kepadanya. Utusan Malaysia - 24 September 2007.


Walaupun dalam kenyataannya Pak Lah mengatakan bahawa ekonomi negara dalam keadaan baik, namun dengan kenyataan bahawa pilihanraya umum lambat lagi menunjukkan kepada kita bahawa keadaan negara sekarang ini sebenarnya adalah tidak memberikan keselesaan kepada BN untuk menang selesa dalam pilihanraya yang diadakan.

Dengan ancaman kenaikan harga barangan keperluan lebih-lebih lagi pada saat-saat umat Islam menyambut Ramadhan, kemudiaannya insiden Batu Burok yang kini dilihat menghakiskan keyakinan rakyat kepada BN, ditambah pula kes-kes jenayah yang membimbangkan rakyat dan yang terkini pendedahan skandal klip video V.K Lingam. Sekaligus gula-gula BN untuk menarik sokongan rakyat ketika pembentangan Bajet 07 yang lalu ternyata gagal lalu Pak Lah kehilangan ilham untuk membubarkan parlimen pada masa terdekat.

Namun apapun, persediaan mesti diteruskan oleh pembangkang khususnya Pas dan pakatan BA untuk menghadapi pilihanraya dan himpunan bagi menuntut pembersihan pilihanraya pada 10 November nanti tetap akan diteruskan.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 46 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 11:24 PM   0 comments

Sunday, September 23, 2007

Jenayah terus berleluasa, polis lebih suka tangkap 'perusuh'.

Assalamualaikum.

Sedangkan kita masih lagi rasa sedih dan marah dengan kejadian yang menimpa keluarga arwah Nurin Jazlin, dalam berita TV semalam di Pendang Kedah seorang penoreh getah cedera parah dan putus empat jarinya apabila diserang dan ditetak oleh seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai. Dilaporkan bahawa sebelum ini penyerang pernah menyerang seorang lelaki sehingga putus tangan kiri dan terus menghilang tanpa dapat diberkas oleh pihak polis.

Sejurus selepas berita berkenaan tiba pula berita tentang polis Terengganu memburu mereka yang kononnya merusuh di Baru Burok dua minggu lepas. Di situ timbul rasa marah dan geram di hati saya. Seorang penjenayah yang merbahaya yang pernah mencederakan orang awam gagal diberkas oleh polis dan lepas bebas hingga boleh mengulangi serangannya ke atas orang awam buat kali kedua. Namun begitu dalam hal rusuhan kononnya ini mereka pihak polis beriya-iya untuk memenuhi arahan 'bos' mereka iaitu kerajaan Barisan Nasional. Maka tidak hairanlah jika DAP boleh keluarkan kenyataan seperti yang dilaporkan dalam akhbar di bawah ini;

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin hari ini menyelar DAP kerana lebih banyak mengkritik polis daripada membantu pasukan itu, selain bertindak menimbulkan isu perkauman.
Katanya, kecenderungan parti itu dalam banyak isu termasuk membabitkan kes jenayah yang berlaku di negara ini menunjukkan ia bersikap cauvinis, sempit dan tidak dapat diterima oleh masyarakat.
“Adakah kita pernah dengar DAP minta orang ramai bantu polis...tidak pernah. Dia (DAP) hanya kata polis tidak bagus,”

Zainuddin berkata, banyak kenyataan yang dikeluarkan parti itu lebih menjurus untuk menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis. Utusan Malaysia - 23 September 2007.

Di sini bukan sahaja DAP dan parti pembangkang lain, orang awam juga boleh hilang kepercayaan mereka terhadap institusi kepolisan di Malaysia ini kerana jelas gagal membendung jenayah kerana asyik dipergunakan oleh pemerintah untuk menyekat pengaruh pembangkang. Sepatutnua kritikan yang diberikan itu haruslah diambil perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memperbetulkan apa yang berlaku.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 47 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 2:08 PM   0 comments

Saturday, September 22, 2007

Antara gambar bakar bendera dan klip video V.K Lingam.

Assalamualaikum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, polis perlu menyiasat segera dakwaan kewujudan klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan sedang bercakap dengan seseorang berhubung pelantikan hakim-hakim di negara ini.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi menentukan sama ada klip video berkenaan boleh dipercayai atau tidak.
‘‘Klip video dan transkripnya telah dihantar ke pejabat saya. Soalnya, adakah ia betul dan boleh dipercayai?
‘‘Ini yang penting kerana video itu menunjukkan seorang peguam bercakap seorang diri sahaja. Lagi seorang kita tidak tahu siapa yang bercakap,”

Menurut Abdullah, Malaysia mempunyai undang-undang dan tindakan boleh diambil ke atas mereka yang terlibat menimbulkan dakwaan tidak betul kerana perbuatan itu dilihat sebagai satu tindakan untuk menimbulkan rasa marah dan benci rakyat terhadap sistem kehakiman.
Ditanya sama ada sebuah suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu, Perdana Menteri menegaskan, langkah tersebut tidak perlu kerana kesahihan klip video itu belum dibuktikan lagi.
‘‘Tak payah kita buat... maklumat yang dikemukakan pun belum ditentukan sah. Utusan Malaysia - 22 September 2007.


Ketika timbulnya insiden rusuhan dan kejadian bakar bendera Jalur Gemilang dua minggu yang lalu kerajaan dan media yang dikawal oleh mereka terus menuding jari kepada pembangkang. Saban hari ianya disiarkan di media dalam usaha memburukkan pembangkang dan tidak pun mereka mempersoalkan kesahihan gambar yang menunjukkan bendera Malaysia dibakar itu.

Namun apabila didedahkan tentang rakaman video V. K Lingam baru-baru ini, kerajaan BN dan Pak Lah tidak pula terus mempercayainya dan mempersoalkan kesahihan klip video berkenaan. Malahan Pak Lah mengugut pula akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang mengemukakan klip video berkenaan.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 48 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 2:42 PM   0 comments

Wednesday, September 19, 2007

Islam Hadhari fahaman baru yang menggugat ummah.

Assalamualaikum.

Ulama jamin tiada fahaman luar gugat ummah
KUALA LUMPUR 18 Sept. – Para ulama hari ini memberi jaminan tidak ada fahaman atau pemikiran baru dari luar yang mampu memecah belah umat Islam serta menimbulkan suasana kacau-bilau di negara ini.
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman berkata, ulama memberi jaminan struktur pegangan agama Islam di negara ini berdasarkan akidah Ahli Sunah Waljamaah tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pemikiran baru yang boleh merosakkan suasana.
Katanya, undang-undang sedia ada serta pentadbiran berkaitan hal ehwal agama oleh jabatan agama negeri-negeri berupaya menghalang unsur-unsur tidak sihat itu daripada mempengaruhi umat Islam di negara ini.
‘‘Keadaan di Malaysia dengan undang-undang yang ada ditambah pengurusan agama mengikut negeri-negeri telah mewujudkan kestabilan sehingga unsur-unsur dari luar sukar untuk menembusi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis dialog di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan para ulama di sini, hari ini. Utusan Malaysia - 19 September 2007.


Sedang mereka memberikan jaminan bahawa tidak akan ada fahaman atau pemikiran baru daripada luar yang akan mengugat umat Islam di negara ini. Dalam negara ini dan dekat sekali dengan mereka iaitu Islam Hadhari yang di bawa oleh Pak Lah sendiri dengan jelas telah membawa pelbagai kerosakan kepada ummah di negara ini.

Di sini tidak perlulah saya ceritakan dengan terperinci lagi kerana buktinya kita lihat sekarang ini perkembangan yang semakin menakutkan iaitu keruntuhan akhlak dan peningkatan kadar jenayah pada zaman Islam Hadhari ini. Jelasnya di sini Islam Hadhari yang disebut-sebut itu tidak pun membantu dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku malahan makin memburukkan lagi keadaan.

Inilah akibatnya tidak menggunakan Islam yang sebenar sebaliknya meneruskan sistem akal yang ditukarkan labelnya kepada Islam Hadhari. Tidak perlu pun fahaman-fahaman yang di bawa oleh orang luar, pemikiran yang dibawa oleh pemimpin negara ini pun sudah cukup merosakkan umat Islam di negara ini.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 51 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 5:31 PM   0 comments

Monday, September 17, 2007

Kemiskinan masyarakat bandar.

Assalamualaikum.

Laporan Khas: Badan khas patut pantau kemiskinan di bandar
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menubuhkan agensi khas memantau kualiti hidup masyarakat bandar bagi melihat realiti sebenar kehidupan mereka, yang sebahagiannya lebih teruk daripada golongan miskin di luar bandar.

Pengarah Institut Pembangunan Malaysia (MDI) di Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Profesor Dr Noor Azlan Ghazali, berkata mekanisme itu amat penting bagi mendalami masalah sebenar masyarakat bandar serta menilai kembali takrifan kemiskinan bagi penduduk bandar.
Beliau berkata, takrifan berhubung isu kemiskinan sangat sempit kerana masyarakat memandang secara lahiriah iaitu faktor tempat tinggal dan pakaian semata-mata tanpa mengambil kira elemen lain yang turut menyumbang kepada kepayahan hidup.
“Ada sesetengah keluarga di bandar nampak tiada masalah kerana tinggal di rumah pangsa yang kukuh dan memakai baju elok tetapi apabila diselidiki secara lebih terperinci, keluarga itu mungkin berdepan masalah kualiti hidup yang sangat meruncing.

“Jika suami terpaksa mencari kerja tambahan, balik lewat malam semata-mata untuk mencari pendapatan lebih, bilik tidak cukup untuk anak ramai dan hubungan suami isteri renggang lantaran tiada masa berharga dikongsi bersama, ini juga patut dilabelkan sebagai miskin dan tiada kualiti hidup,”
Tinjauan Berita Harian mendapati kebanyakan masyarakat bandar terpaksa menghadapi kemelut kewangan yang serius walaupun memperoleh pendapatan melebihi RM2,000 lantaran kos sara hidup yang terlalu tinggi. Malah, ada antara mereka yang melabelkan diri sebagai miskin kerana terpaksa menanggung hutang dan kos perbelanjaan bulanan yang jauh lebih tinggi berbanding pendapatan yang diperoleh. Berita Harian - 17 September 2007.

Kriteria baru bantu warga miskin.
KUALA LUMPUR 16 Sept. – Pemilikan kereta, televisyen atau peti sejuk tidak lagi digunakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai kayu ukur dalam menentukan bantuan kepada keluarga miskin, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, mulai Januari tahun depan, satu kaedah baru akan diperkenalkan untuk menentukan kumpulan sasar yang perlu dibantu di bawah program bantuan kemiskinan kementerian itu.
Beliau mengakui cara bantuan dan definisi kemiskinan yang diguna pakai JKM sekarang amat ketinggalan dan menafikan hak yang sepatutnya diperoleh oleh keluarga miskin.
‘‘Kaedah yang digunakan ‘menafikan’ bantuan kepada keluarga miskin kerana ia mengambil kira barangan seperti televisyen, peti sejuk atau kereta di rumah keluarga miskin berkenaan,” katanya.
Beliau memberitahu, penilaian berdasarkan pemilikan aset tersebut akan diubah mulai Januari tahun depan.
‘‘Kita kini melihat semua itu (aset seperti televisyen, peti sejuk dan kereta) sebagai keperluan yang semestinya ada di setiap rumah kerana ia tidak melambangkan ‘kesenangan’ sesebuah keluarga,’’ Utusan Malaysia - 17 September 2007.


Laporan di atas ini menunjukkan kepada kita bahawa betapa perlunya pelaksanaan gaji minimum RM 900 kepada kakitangan swasta seperti yang dituntut oleh MTUC selama ini. Kehidupan di kota kini tidak sama lagi seperti 10 tahun dahulu. Segala-galanya mesti didahulukan dengan wang ringgit. Ini ditambah pula dengan pelbagai kenaikan seperti kenaikan harga petrol dan seterusnya barangan keperluan harian. Wang RM 50 yang ketika dahulu agar tinggi nilainya kini makin susut kuasa belinya

Akibatnya warga kota menjadi semakin tertekan, mereka tidak boleh hanya bergantung kepada satu mata pencarian sahaja, juga tidak boleh hanya suami sahaja yang bekerja dan isteri menjadi surirumah. Akibatnya anak-anak tidak terjaga dengan sempurna dan inilah yang menjadi salahsatu punca penyakit sosial di kalangan penduduk bandar ketika ini. Oleh itu selain daripada mengkaji kriteria baru bantu warga miskin, satu penanda aras gaji minimum harus juga diletakkan oleh kerajaan agar rakyat khususnya pekerja swasta tidak terjejas teruk dengan kenaikan kos hidup ini.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 53 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 1:20 PM   0 comments

Sunday, September 16, 2007

Kakitangan Kementerian Pelajaran paling ramai terlibat dengan dadah.

Assalamualaikum.

NUTP bimbang guru jual dadah.
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bimbang kemungkinan ada guru yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah turut mengedar dadah kepada pelajar sekolah. Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata walaupun belum dibuktikan, isu itu perlu ditangani dan dicegah segera bagi mengelakkan profesion perguruan yang disanjung tinggi masyarakat dicemari gejala negatif.
Katanya, tindakan Polis Bukit Aman mendedahkan statistik penjawat awam terbabit dalam pelbagai kesalahan dadah dengan kakitangan Kementerian Pelajaran mencatatkan jumlah kes paling tinggi memang wajar kerana ia akan menyedarkan banyak pihak.
Jika kes guru ditahan kerana menagih, ia hanya membabitkan diri sendiri, tetapi jika guru mengedar dadah, kita boleh anggap sebagai pengkhianat.
Apa akan jadi jika dia mengedar di sekolah. Motif pengedaran dadah adalah semata-mata mengaut keuntungan. Mereka membinasakan anak bangsa sendiri dan mengaut keuntungan. Moralnya terlalu rendah kerana masyarakat memang menghormati guru dan kita sepatutnya membalasnya dengan cara betul.
Kami sedih kerana perkara seperti itu berlaku dan guru sepatutnya tidak terbabit langsung dalam apa-apa salah laku yang menjejaskan imej diri dan guru lain, katanya ketika dihubungi semalam. Beliau diminta mengulas pendedahan Bukit Aman kelmarin yang mencatatkan 167 penjawat awam ditahan sepanjang tempoh enam bulan lalu, peningkatan 37 tangkapan berbanding hanya 130 kakitangan dalam tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 39 penjawat awam adalah kakitangan Kementerian Pelajaran berbanding 34 tahun lalu dan 30 pada tahun 2005. Jumlah itu hanya membabitkan penahanan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu kesalahan mengedar dan memiliki dadah, tidak termasuk sembilan guru ditahan mengikut Akta Pencegahan Dadah (APD). Berita Minggu - 16 September 2007.

Takut kita mendengar laporan di atas ini apabila ianya melibatkan para guru. Guru adalah golongan profesional yang bukan sahaja mengajar pelajar dengan subjek-subjek tertentu yang bertujuan untuk pencapaian akademik sahaja. Lebih daripada itu guru adalah warga pendidik yang menyemai akhlak yang mulia kepada para pelajar. Tetapi apabila guru sendiri terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan gejala negatif yang lain bagaimana mungkin mereka boleh mendidik anak-anak bangsa untuk menjadi generasi yang berakhlak?

Adakah ibu bapa akan berasa yakin untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang ditadbir oleh Kementerian Pelajaran jika anak-anak mereka akan dididik oleh guru yang dikalangan mereka adalah penagih dadah? Di sini kita akui bahawa hanya sebilangan kecil guru yang terlibat dengan dadah namun begitu jika masalah ini tidak dibendung dari awal ianya boleh menjadi masalah yang besar kepada negara. Sekarang ini pun kita sudah cukup lemas dengan keruntuhan akhlak remaja hingga ke peringkat pelajar IPTA. Jadi kita tidak mahu ianya diburukkan lagi dengan keruntuhan akhlak golongan pendidik.

Di sini kita hairan bagaimana kakitangan kementerian yang bertanggungjawab berkenaan pendidikan paling ramai dilaporkan terlibat dengan dadah. Sebelum ini nama Dato' Hishammuddin Tun Hussein iaitu Menteri Pelajaran yang sekarang antara yang disebut-sebut berkenaan masalah penyelewengan dalam pembelian peralatan dan kelengkapan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Maka adalah elok jika Dato' Hishammuddin Tun Hussein mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku ini.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 54 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 4:21 PM   1 comments

Saturday, September 15, 2007

Ceramah Batu Buruk yang kacau, himpunan 100,000 rakyat mesti diteruskan.

Assalamualaikum.

Berkemungkinan insiden di Batu Buruk ini adalah amaran awal daripada kerajaan Barisan Nasional yang mempergunakan pihak polis terhadap pihak pembangkang dan BERSIH yang merancang untuk mengadakan himpunan 100,000 rakyat menuntut pilihanraya bersih 10 November nanti.

Mereka sengaja menimbulkan kekacauan pada ceramah pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak terlibat dengan mana-mana perhimpunan anjuran pembangkang dan BERSIH seterusnya untuk mengagalkan himpunan yang telah lama dirancang itu.

Apapun diharapkan insiden di Batu Buruk itu tidak menjadi penghalang kepada kita untuk sama-sama turun ke Kuala Lumpur menuntut pilihanraya bersih dan adil daripada pihak kerajaan. Oleh itu usaha yang giat mesti diteruskan untuk memberitahu kepada rakyat tentang perhimpunan tersebut dan kepetingannya kepada masa hadapan mereka.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 55 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 5:56 PM   0 comments

Wednesday, September 12, 2007

Bulan Ramadhan - Penjana perubahan dan kemenangan.

Assalamualaikum.

Pertama sekali marilah kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana memberi kita kesempatan pada tahun ini untuk merasai kelebihan bulan Ramadhan al mubarak iaitu bulan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan. Sama-samalah kita ambil peluang daripada Ramadhan ini untuk memperbanyakkan ibadah dan seterusnya memperbaiki diri dan amalan dan seterusnya menjadi muslim yang terbaik.

Saya teringat dengan kuliah seorang ustaz yang menyebut bahawa seseorang ketua jabatan itu apabila menghantar anak buahnya berkursus sudah tentulah dia hendak melihat perubahan positif anak buahnya selepas kursus bukan sahaja semasa kursus. Begitulah hendaknya kita di bulan puasa ini. Kita tidak mahu hanya memperbanyakkan ibadah di bulan Ramadhan sahaja dan apabila Ramadhan berlalu kita kembali kepada asal. Semoga bulan Ramadhan ini menjadi bulan tarbiah untuk kita khususnya aktivis gerakan Islam.

Sebut tentang bulan Ramadhan ini juga waktu puasa adalah masa dimana doa orang-orang mukmin itu mustajab. Sebagaimana yang kita maklum kezaliman Umno dan Barisan Nasional terhadap kita semakin melampau-lampau apabila tercetusnya insiden di Batu Buruk, Terengganu 8 September yang lalu. Akhbar-akhbar perdana yang dikawal oleh mereka kian hari memberi gambaran yang buruk kepada pembangkang khususnya Pas berkenaan isu tersebut. Maka pada kesempatan bulan puasa ini sama-sama kita tadahkan doa bermunajat kepada Allah SWT agar ditunjukkan kebenaran dan diberikan pengajaran kepada mereka yang angkuh dan zalim ini.

Akhir sekali di bulan Ramadhan ini kita teruskan bekerja terutamanya kerja-kerja parti. Jangan jadikan bulan puasa sebagai alasan untuk kita terutamanya gerakan Islam untuk pasif kerana telah terbukti kemenangan Islam adalah di bulan Ramadhan dan jangan pedulikan kata-kata orang seperti di bawah ini;



Mereka hendak menunjuk-nunjuk kononnya mereka lebih menghormati dan menghayati bulan Ramadhan sedangkan jika benar mereka menghormati Ramadhan pusat-pusat hiburan di seluruh negara itu harus ditutup dahulu. Namun nampaknya mereka lebih berminat untuk menghalang tazkirah di bulan yang mulia ini.


HIMPUNAN 100'000 RAKYAT - 58 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 10:54 PM   1 comments

Monday, September 10, 2007

Salah urus dana awam - Apa akan jadi pada bajet kita?

Assalamualaikum.

TPM arah beri penjelasan teguran berhubung salah urus dana awam

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu semua kementerian berkaitan menjawab teguran Ketua Audit Negara berhubung salah urus dana awam, termasuk dalam pembelian peralatan dan pengurusan kontrak.
Timbalan Perdana Menteri turut mengesahkan Ketua Setiausaha kementerian tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan kontrak berdasarkan proses rundingan secara langsung.
“Rundingan langsung tak ada (kuasa). Ia sama ada melalui tender atau keputusan Kementerian Kewangan,”
Beliau mengulas pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 yang dikemukakan di Parlimen, Jumaat lalu, berhubung kelemahan beberapa kementerian dan jabatan menguruskan dana awam, termasuk dalam pembelian pelbagai barang serta peralatan.Antaranya, pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dengan harga semua barang itu dilaporkan melebihi harga pasaran sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.Ini termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit berbanding harga pasaran hanya RM50 seunit.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga didapati membeli 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 satu set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuma RM417 satu set.

Turut didedahkan ialah mengenai tindakan ketua setia usaha kementerian berkenaan menandatangani 11 kontrak bernilai antara RM7.99 juta hingga RM74.2 juta berkaitan projek IKBN bagi pihak kerajaan, tetapi tiada surat penurunan kuasa menteri dikemukakan ketika pengauditan dijalankan.Mengikut Akta Kontrak Kerajaan 1949, kontrak bernilai lebih RM5 juta perlu ditandatangani sendiri oleh menteri sebagai mewakili kerajaan atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh menteri berkenaan.
Kementerian Kewangan pula ditegur kerana gagal merancang dan melaksanakan dengan baik projek Sistem Maklumat Kastam (SMK) menyebabkan Kastam Diraja Malaysia terpaksa menambah 10 lagi kontrak bernilai RM30.18 juta.
Selain itu, pembinaan bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Seremban dilaporkan tidak dirancang dan dilaksanakan dengan teratur oleh Kementerian Penerangan menyebabkan kos projek itu meningkat daripada RM23.47 juta kepada RM38.51 juta.
Sementara itu, Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohd Shukri Abdull, berkata pihaknya akan menyiasat sama ada wujud unsur penyelewengan dalam prosedur pembelian peralatan berkenaan. Berita Harian – 10 September 2007.

Andaikata perkara di atas ini tidak berlaku, dana awam diuruskan dengan baik, sudah tentu bajet yang dibentangkan baru-baru ini lebih memberikan faedah kepada rakyat umpamanya pemberian bonus, penurunan harga minyak serta Tol dan pelaksanaan gaji minima RM 900 bagi kakitangan swasta.

Namun hakikatnya bukan setakat itu sahaja, ditambah pula dengan amalan rasuah, penyelewengan, pembaziran, menteri yang hidup bermewah-mewahan, bocor sana, bocor sini menyebabkan wang rakyat rugi begitu sahaja. Yang menanggung kerugian untuk semua ini adalah rakyat sebagai pembayar cukai dan bajet yang dibentangkan baru-baru ini juga tidakmampu untuk memulihkan ‘kesakitan’ rakyat.

Saya sendiri banyak dengar keluhan kakitangan kerajaan kerana tidak mendapat bonus dan mereka masih berharap agar ada sesuatu untuk mereka sekalipun ianya dalam jumlah RM 500 kerana kebiasaan pada hujung tahun mereka terutama para ibu-bapa memerlukan wang yang banyak. Berkenaan laporan di atas ini juga kita menjadi khuatir adakah bajet yang akan diluluskan nanti dapat dilaksanakan dengan sempurna dan kena pada sasaran atau sama nasibnya dengan dana awam itu tadi.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 60 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 10:34 PM   0 comments

Adakah pembangkang tergamak membakar bendera Malaysia?

Assalamualaikum.



Bolehkah kita percaya bahawa ini adalah perbuatan ahli dan penyokong parti pembangkang? Adakah parti pembangkang yang memperjuangkan wujudnya kesejahteraan di negara Malaysia yang tercinta ini boleh tergamak membakar bendera Malaysia hanya kerana marahkan Barisan Nasional? Adakah mereka ingat parti pembangkang bukan rakyat Malaysia hingga sanggup membakar bendera negara sendiri? Kita percaya ini adalah tindakan provokasi daripada pihak-pihak tertentu bertujuan untuk memburukkan serta menimbulkan kebencian rakyat terhadap parti pembangkang. Berkenaan kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri di bawah ini pula;
“Saya akan berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan usaha pemantauan aktiviti ceramah umum yang diadakan di setiap kawasan termasuk memeriksa permit kebenaran."Ceramah umum di kawasan terbuka memang tidak digalakkan kerana ia boleh mengundang pelbagai masalah kepada banyak pihak termasuk penduduk di sekitar kawasan terbabit."

Jika hendak adakan juga, buat di kawasan yang sesuai misalnya tempat tertutup yang tidak mengganggu ketenteraman awam, jauh daripada tempat ibadah seperti masjid dan tidak menghalang lalu lintas
Mohd Johari berkata, parti pembangkang tidak peka dengan keadaan sekeliling selain mengabaikan keselamatan penduduk setempat kerana perhimpunan itu dibuat di kawasan berdekatan istana dan kuarters kerajaan.

"Polis terpaksa menjalankan tugas demi keselamatan dan ketenteraman awam. Jika tiada permit sah maka perhimpunan berkenaan perlu dibatalkan.," Berita Harian – 10 September 2007.
Sedangkan sudah banyak program hiburan di adakan berhampiran dengan masjid tetapi tidak pun mendapat halangan daripada kerajaan. Pada 29 Ogos yang lalu di tempat saya diadakan majlis menyambut kemerdekaan anjuran Umno tempat berkenaan. Tempatnya juga tidak jauh daripada surau. Apa yang lagi kita geram, masuk sahaja azan Isya’ masa yang sama kompang berbunyi menyambut pemimpin bahagian Umno berkenaan. Dan seperti kelazimannya pengisian programnya adalah nyanyian karaoke. Tiada pula diganggu oleh polis.
Di sini juga kita hairan apa yang bahayanya dengan ceramah anjuran parti pembangkang hingga tidak dibenarkan di adakan di tempat umum? Apakah nama demokrasi jika ceramah hanya dibenarkan di tempat tertutup. Akhir sekali kita ingin bertanya benarkah polis menjalankan tugas demi keselamatan awam? Atau mereka sebenarnya mementingkan survival dan keselamatan politik kerajaan Barisan Nasional hingga membuat tindakan yang mendatang huru-hara?


posted by Lidah Penghunus @ 10:23 PM   0 comments

Sunday, September 09, 2007

Barisan Nasional selepas pembentangan Bajet 07.

Assalamualaikum.

Pertama sekali saya mohon maaf kerana akhir-akhir ini agak jarang menulis di blog ini. Ini kerana kesibukan yang membuatkan saya tidak sempat untuk meluahkan pandangan tentang beberapa isu. Ini termasuklah isu belanjawan atau Bajet 2007 yang baru dibentangkan jumaat yang lalu. Sebagaimana yang kita maklum Bajet 07 ini telah pun diulas di blog dan laman web milik pembangkang. Di sini saya juga bersetuju dengan mereka bahawa bajet 2007 ini dikatakan sebagai bajet 'gula-gula' atau umpan pilihanraya. Nampak seperti hebat tetapi isu pokok dan punca kepada kesusahan rakyat iaitu kenaikan harga minyak tidak pun diambil kira.

Di sini mari sama-sama kita lihat adakah bajet 2007 ini telah memberikan suasana yang baik kepada kerajaan Barisan Nasional? Bagi saya tidak, dengan bajet yang sebegini pun masih tidak mampu lagi memberikan keselesaan kepada Barisal Nasional dalam memulihkan imej mereka di mata rakyat. Buktinya insiden semalam seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=9647&Itemid=85.

Di sini kita kesal dengan cara kerajaan menangani ceramah pembangkang yang begitu berbeza sekali dengan cara kerajaan menangani isu babi di Melaka. Bukanlah maksud kita mahu kerajaan turut berkeras dengan penternak babi di Melaka. Tetapi kita mahukan kerajaan khususnya pihak polis bertindak bijak kerana setakat ini belum ada lagi ceramah-ceramah pembangkang yang menimbulkan rusuhan kecuali dengan tindakan provokasi pihak-pihak tertentu.

Di sini juga kita amat kesal dengan media perdana yang tidak pun menyebut tentang insiden dua orang yang cedera parah ditembak oleh polis dengan peluru hidup. Yang mereka sebut ialah polis yang tercedera. Nampaknya makin teruklah imej polis yang selama ini sudah dilanda konflik. Jika benar kerajaan berada dalam keadaan yang selesa selepas 'menggula-gulakan' rakyat dalam pembentangan bajet jumaat yang lalu, mereka seharusnya tidak merasa gentar dengan ceramah dan penerangan pembangkang. Namun Umno dan Barisan Nasional masih lagi tidak yakin dengan 'gula-gula' yang mereka taburkan.


HIMPUNAN 100'000 RAKYAT- 61 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 3:05 PM   0 comments

Thursday, September 06, 2007

Isu babi di Melaka.

Assalamualaikum.

Isu ternakan babi di Alor Gajah, Melaka perlu dilihat sebagai isu alam sekitar yang membabitkan semua penduduk bukannya perkauman, kata dua penyokong kerajaan di Dewan Rakyat semalam.
Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) berkata, penduduk di kawasan Bukit Beruang, Paya Mengkuang dan Man Lok dalam daerah Alor Gajah sudah bersabar sejak 50 tahun lalu dengan bau busuk dari ladang babi berkenaan, tetapi mereka tetap berpegang kepada kaedah perundingan dan merujuk kepada Umno untuk menyelesaikannya.
Beliau berkata, perkara itu kini sudah merebak menjadi masalah kehidupan dan alam sekitar, justeru pembangkang tidak seharusnya mempolitikkannya. “Setiap kali kita berbincang dengan penternak, wakil MCA dan agensi kerajaan berkaitan, mereka (penternak) kata OK (untuk pindahkan), tetapi bila balik, KO (tidak dilaksanakan). “Sebelum ini, mereka yang sebahagian besarnya beroperasi dengan modal daripada tauke di Singapura, setuju untuk memindah dan mengurangkan bilangan babi menjelang 31 Ogos, tetapi kini kepercayaan itu dinodai,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2007) di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, semalam. “(Pembangkang) Jangan nak pertahankan 64 penternak ini saja walhal lebih 20,000 rakyat Melaka di kawasan itu tidak diperjuangkan,” katanya sambil menambah sensitiviti orang Melayu, majoriti penduduk di kawasan itu perlu juga diambil kira, tambahan pula mereka tidak pernah membuat tunjuk perasaan.
Operasi bersepadu itu yang dijadualkan kelmarin terpaksa ditangguhkan berikutan permintaan penternak yang berjanji untuk memindahkan baki babi ke kawasan lain menjelang 21 September ini. Sebelum operasi dimulakan, penternak dikatakan mengepung ladang masing-masing serta menggunakan murid sekolah, sangkar babi sebagai perisai pertahanan, malah ada yang melontar bom petrol ke arah pihak berkuasa bagi menghalang tindakan menghapuskan babi berkenaan. Berita Harian - 6 September 2007.

Bagi saya inilah akibatnya jika masalah ini tidak diselesaikan awal-awal lagi. Sudah hampir 50 tahun, sudah mencapai angka ratusan ribu dan sudah sekian hari dilaporkan dalam media baru kerajaan hendak bertindak maka memanglah agak rumit untuk diselesaikan. Sepatutnya dari mula-mula timbul masalah dahulu kerajaan khususnya kerajaan negeri Melaka mengambil tindakan. Jadi timbul persoalan sejauhmana keseriusan kerajaan menangani masalah rakyat di negeri itu. Atau semua itu dibuat semata-mata kerana menjaga kepentingan undi penduduk sekitar berkenaan.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 64 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Tuesday, September 04, 2007

Cuti bersalin 5 tahun? Betul ke?

Assalamualaikum.

Cuti bersalin 5 tahun -- Kerajaan lanjut pelepasan tanpa gaji kakitangan awam jaga anak

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kerajaan bersetuju melanjutkan cuti bersalin tanpa gaji bagi kakitangan sektor awam daripada 90 hari sekarang kepada had maksimum lima tahun berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan peraturan baru itu berkata, keputusan tersebut dibuat sejajar dengan hasrat kerajaan supaya anak-anak menerima pendidikan awal yang sempurna.
Keputusan yang dibuat Kabinet dalam mesyuarat mingguan Rabu lalu akan memberi kemudahan tambahan kepada seramai 563,000 wanita yang bekerja dalam sektor awam daripada keseluruhan 1.3 juta kakitangan kerajaan.
Menurut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 10 peratus atau 24,300 daripada 243,000 kakitangan sektor awam berusia antara 18 hingga 39 tahun melahirkan anak setiap tahun.
Menurut Najib, dengan kelonggaran cuti bersalin itu, kakitangan wanita sektor awam boleh menyediakan suasana pembesaran yang lebih baik kepada anak masing-masing terutama dari aspek kesihatan dan psikologi.
‘‘Kanak-kanak yang mendapat didikan, kawalan, tunjuk ajar serta kasih sayang yang baik dan sempurna akan menjadi manusia yang lebih berguna kepada negara pada masa depan,’’ kata Timbalan Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam Ke-12 di sini hari ini. Utusan Malaysia - 4 September 2007.


Nampaknya kerajaan Barisan Nasional seperti hendak menyaingi Kerajaan Negeri Kelantan dalam memberi kemudahan kepada ibu-ibu bersalin. Maklumlah sudah dekat pilihanraya. Namun apa yang baik untuk kebajikan rakyat kita tetap sambut baik. Jika dahulu pemberian cuti bersalin 90 hari oleh Kerajaan Negeri Kelantan ditiru oleh kerajaan pusat, tidak mustahil kerajaan Pas Kelantan juga akan mengikut jejak langkah kerajaan pusat itu jika ianya dirasai sesuai untuk dilaksanakan.

Cumanya berkenaan tujuan kerajaan melaksanakan cuti 5 tahun itu iaitu untuk mewujudkan suasana pembesaran yang baik kepada anak dan seterusnya menjadikan mereka manusia yang lebih berguna kepada negara pada masa hadapan. Bagi saya ianya tidak cukup memadai kerana ibu bapa hanya ada masa dengan anak-anak ketika mereka di rumah dan mereka hanya dapat mengawal tingkah laku anak-anak hanya di rumah sedangkan di luar yang jauh dari kawalan ibu bapa, anak-anak ini terdedah dengan persekitaran serta pengaruh yang tidak sihat. Lihat sahajalah gelagat remaja pada sambutan ambang merdeka baru-baru ini. Jadi jangka 5 tahun untuk membesar serta mendidik anak-anak itu belum tentu dapat menjamin anak-anak itu selamat daripada pengaruh persekitaran yang negatif.

Oleh kerana itu adalah lebih baik kerajaan sendiri yang mempunyai kuasa pemerintahan memastikan dahulu persekitaran di negara ini bebas daripada unsur-unsur negatif yang boleh mendorong kepada keruntuhan akhlak remaja dalam memastikan suasana pembesaran yang kondusif bagi anak-anak yang sudah mula keluar daripada rumah untuk ke sekolah dan sebagainya.

Kembali kepada cuti bersalin selama 5 tahun itu tadi, saya tertanya-tanya juga dalam jangka lima tahun itu adakah tiada lagi kelahiran? Dan jika ada, berapa tahun lagikah akan dilanjutkan cuti bersalin untuk anak yang seterusnya itu?


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 66 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 11:06 PM   0 comments

Sunday, September 02, 2007

XPDC da'wah dan XPDC tawan Gunung Nuang.

Assalamualaikum.

Pada malam merdeka yang lalu saya dan beberapa orang sahabat telah mengikuti program XPDC da'wah bagi memberi risalah dan penerangan dan da'wah kepada mereka yang menyambut ambang 50 tahun merdeka pada malam itu. Apa yang saya dapati sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 ini rupanya tiada bezanya dengan sambutan yang sebelumnya apabila melihatkan gelagat anak-anak muda yang hanyut dan rosak akhlaknya.

Pada keesokan harinya pula saya dan sahabat-sahabat telah menyertai XPDC menawan gunung Nuang yang terletak di Hulu Langat, Selangor. Apa yang ingin saya kaitkan XPDC ini dengan sambutan 50 tahun merdeka yang ialah perjalanan merentas hutan dan bukit-bukau yang memenatkan dan penuh mencabar. Di situ saya terbayangkan bagaimana peritnya perjalanan para pejuang kemerdekaan dahulu meredah hutan akibat diburu oleh penjajah atas sebab menuntut kemerdekaan lalu dituduh sebagai kumpulan pelampau atau golongan berhaluan kiri.

Maka terlintas di fikiran saya pada masa itu bahawa tergamaknya Umno dan Barisan Nasional apabila menafikan peranan mereka dalam menuntut kemerdekaan dan hanya menobatkan Umno dan sekutu mereka sahaja memperjuangkan kemerdekaan. Sedangkan golongan yang dicop sebagai golongan kiri dan komunis ini telah merasai kepayahan berbanding pemimpin Umno ketika itu yang malahan menerima 'karpet merah' daripada British. Sepatutnya mereka juga turut diraikan sebagai pejuang kemerdekaan. Namun apa yang kita lihat pada sambutan ambang merdeka tempoh hari, seolah-olah ianya adalah majlis untuk Umno dan Barisan Nasional.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 68 HARI LAGI

posted by Lidah Penghunus @ 5:03 PM   0 comments


Free Hit Counter