Saturday, June 11, 2005

Sekitar isu kebahasaan

Assalamualaikum.

Dalam sebuah akhbar ada menyiarkan sebuah rencana tentang fenomena nama-nama jalan di sekitar ibukota Kuala Lumpur yang tidak menggambarkan imej Malaysia atau dalam ertikata yang lain meminggirkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Nama jalan yang disenaraikan antaranya ialah Jalan Gurney, Jalan U tant, Jalan Templer dan banyak lagi nama-nama yang tidak menggambarkan imej Malaysia.

Sebenarnya unsur peminggiran Bahasa Melayu dan imej Malaysia ini bukanlah perkara baru di negara kita, malahan ianya telah bermula sejak di negara kita dalam cengkaman penjajah lagi. Bila negara kita mencapai kemerdekaan dan pentadbiran negara kita diambil alih oleh anak watan maka amat besar harapan para pencinta dan pejuang Bahasa Melayu agar bahasa yang diperjuangkan oleh mereka ini didaulatkan. Namun begitu harapan tinggal harapan, tempoh 10 tahun iaitu dari tahun 1957 hingga 1967 yang diberikan bagi menukar penggunaan bahasa inggeris ke Bahasa Melayu secara beransur-ansur berlalu begitu sahaja. Setelah melebihi tempoh 10 tahun ‘bulan madu’ masih lagi tiada kemajuan dalam penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perkara 152 perlembagaan persekutuan.
Akbibatnya Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) yang sebelumnya hanya menumpukan perjuangan kebahasaan melalui kaedah kempen-kempen kesedaran, dibawah kepimpinan Anwar Ibrahim dan Nordin Razak telah bertukar kepada bentuk-bentuk radikal dan serangan terhadap unsur-unsur peminggiran Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Yang paling besar penentangan yang pernah dilakukan dalam sejarah penubuhan PBMUM ialah demonstrasi papan tanda pada tahun 1970 yang mana pada masa itu mereka bertindak membakar surat-surat dan kenyataan rasmi pihak pentadbir Universiti Malaysia yang dalam bahasa inggeris dan mengecat semua papan tanda yang berada di sekitar kampus universiti yang ditulis dalam bahasa inggeris. Walaupun peristiwa itu hanya berlaku di peringkat kampus universiti namun ianya telah memeranjatkan pihak kerajaan dan masyarakat umum, menunjukkan sikap PBMUM yang tidak lagi mahu bertolak ansur dengan elemen-elemen yang merosakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana reaksi PBMUM zaman itu jika berhadapan dengan perlaksanaan bahasa inggeris dalam

subjek sains dan matematik pada masa sekarang.
Dengan adanya Anwar Ibrahim dalam kabinet kerajaan bermula 1982 sedikit sebanyak Bahasa Melayu melayu sudah mula diambil perhatian. Yang paling ketara ialah penggunaan sebutan baku dalam urusan rasmi. Namun begitu perlaksanaan sebutan baku ini telah dihapuskan beberapa tahun selepas Anwar Ibrahim disingkirkan daripada kabinet. Saya melihat pelanggaran-pelanggaran terhadap kedaulatan Bahasa Melayu ini mulai rancak selepas Anwar Ibrahim tiada dalam kabinet. Ada ahli bahasa yang berpendapat bahawa tidak perlu sebenarnya penggunaan sebutan baku kerana masyarakat sudah terbiasa dengan sebutan yang biasa digunapakai. Namun begitu saya tidak setuju kerana sepatutnya suatu sebutan itu adalah berdasarkan kepada ejaan, bukan ejaan berdasarkan sebutan.

Kalau benar-benar ingin menggunakan sebutan yang biasa digunakan, sistem ejaan juga perlu diubah misalnya saya menjadi saye, lupa menjadi lupe. Kerana kalau diamalkan juga dengan ejaan lain sebutan lain maka bahasa melayu akan hilangnya wibawanya sebagai bahasa yang bersistematik. Memang tidak dinafikan bahawa sebutan baku ini agar menyulitkan para penutur. Tetapi kita harus ingat bahawa penggunaan bahasa dan sebutan baku ini hanya dititikberatkan dalam urusan-urusan rasmi sahaja. Bukannya sepanjang hari dan bukannya hingga kepada keluarga pun kita perlu bertutur dalam sebutan baku. Dalam masa lapan jam masa bekerja pun saya pasti tidak sampai lapan jam kita perlu bertutur dalam sebutan baku.

Setelah sebutan baku dihapuskan dalam sistem sebutan Bahasa Melayu, peranan Bahasa Melayu terus diketepikan dalam penyampaian bidang ilmu pula apabila bahasa inggeris mula mengambil peranan dalam pengajaran subjek sains dan matamatik atas alasan ingin meningkatkan kemahiran bahasa inggeris di kalangan pelajar. Tidak perlulah saya ulas panjang isu sains dan matamatik ini kerana telah pun saya huraikan dalam penulisan terdahulu. Di Putrajaya pula yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan yang sepatutnya menjadi pusat pengembangan dan penyuburan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi begitu subur dengan sebutan-sebutan asing seperti presint, boulevard, alamanda, palace of justice yang jelas meminggirkan bahasa melayu dalam bidang pentadbiran. Itu belum disentuh lagi dalam bidang penyiaran yang mana istilah seperti infotainmen, sureheboh yang bagi saya tarafnya merupakan sebutan-sebutan slanga yang hanya layak diungkap oleh kutu-kutu jalanan sahaja.

Baru-baru ini pula kita dapati fenomena ini telah berjangkit kepada jenama bagi keluaran baru kereta nasional. Kalau dahulu nama-nama bagi kereta nasional begitu sinonim dengan imej Malaysia sesuai dengan imejnya sebagai kereta nasional. Jika protonnya dengan nama-nama yang berunsur Sanskrit yang diasimilasikan dalam Bahasa Melayu seperti iswara, wira, putra, produanya pula banyak menggunakan nama-nama haiwan yang terdapat dihutan rimba Malaysia seperti kancil, rusa dan kijang. Namun kini seolah-seolah sudah kehabisan sebutan melayu, kereta nasional kita pula dinamakan dengan nama yang tidak menggambarkan Malaysia iaitu Myvi bagi keluaran produa dan Savvi bagi keluaran proton. Sedangkan banyak lagi sebutan-sebutan yang boleh diambil dari kamus dewan untuk kita jadikan nama bagi kedua-dua keluaran kereta nasional yang sepatutnya menjadi kebanggaan kita melalui namanya yang menggambarkan imej Malaysia.

Tidak juga dilupakan penggunaan rebranding nisa’ morning with tok guru dalam program yang dianjurkan bawah dewan muslimat pas pusat. Alangkah manis jika digunakan ayat penjenamaan semula nisa’ sepagi bersama tok guru. Ini penting kerana jika kita lihat fasal 6 kurungan 7 dalam perlembagaan Pas, antara usaha-usaha Pas ialah mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping mengembangkan bahasa al quran. Jadi kita tidak mahu jadi macam Umno yang mana usaha mereka untuk memperjuangkan islam kita tidak nampak, usaha mereka untuk memperjuangkan kepentingan melayu dan bahasa kebangsaan semakin jauh dari pandangan. Bercerita lagi tentang isu kebahasaan dalam Pas ini,ada juga kedengaran komenter dari segelitir ahli yang membidas kebanyakan ahli Pas yang meminggirkan bahasa melayu dengan mengutamakan istilah-istilah bahasa arab dalam komunikasi mereka misalnya penggunaan ana, anta, anti sebagai kata ganti diri, penggunaan istilah muktamar, ijtimak, walaq, lajnah dan banyak lagi istilah-istilah arab yang biasa ahli Pas gunakan. Apa yang perlu kita maklum di sini lalah mungkin istilah-istilah tersebut sudah pun menjadi laras bahasa yang tetap dalam sesebuah jemaah atau harakah islam dan ianya tidak terhad kepada jemaah Pas sahaja, Abim dan Jim dan jemaah islam yang lain dipelbagai peringkat juga menggunakan istilah-istilah yang diambil dari bahasa arab ini sebagai istilah komunikasi di kalangan mereka. Kalau tidak mengapa Jakim menggunakan nama dewan muktamar pusat islam, bukan dewan perhimpunan atau permesyuaratan pusat islam.

Mungkin daripada hujah istilah dalam jemaah islam ini ada pihak yang akan berbalik kepada isu-isu bahasa dalam bidang penyiaran itu tadi bahawa perkataan sureheboh dan infotainment ini boleh menjadi laras bahasa penyiaran. Di sini kita perlu ingat bahawa penggunaan istilah seperti sure heboh, infotainmen adalah kerancuan atau percampuran bahasa yang jika hendak diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris pun tiada istilah tersebut. perkataan sure yang bermaksud pasti dalam bahasa inggeris digabungkan pula dengan perkataan heboh yang berasal dari bahasa melayu. infotainmen pula, mungkin alormof info memberi maksud maklumat, tetapi alormof tainmen jika diterjemahkan dalam bahasa inggeris tidak membawa apa-apa maksud. tainmen hanya boleh berdiri sendiri atau membawa maksud apabila disebutkan dengan penuh ialah entertainment yang membawa maksud hiburan. Jadi perkataan ini tidak memenuhi ciri-ciri sebuah akronim dan ianya lebih membawa kepada kecelaruan bahasa. Sedangkan istilah-istilah yang menjadi laras bahasa dalam jemaah islam itu tadi diambil daripada perkataan bahasa arab yang standard.

posted by Lidah Penghunus @ 6:07 PM   0 comments

Monday, June 06, 2005

Lagi pasal pemilihan dalam muktamar Pas pusat.

Assalamualaikum.

Gandingan ketiga-tiga naib presiden dan timbalan presiden ini dilihat oleh semua pihak termasuk yang dalam parti dan luar parti sebagai gabungan yang akan membawa Pas kepada kegemilangan, ramai yang yakin bahawa mereka yang dipilih ini akan menjadi penentu kepada kejayaan parti pada masa akan datang.

Memang tidak dinafikan bahawa dalam usaha membawa perubahan yang positif dalam parti pemimpin-pemimpin haruslah dipilih di kalangan mereka yang berwibawa yang boleh membawa parti ke arah kecemerlangan. Namun begitu ingin juga saya ingatkan bahawa kita jangan terlampau jadikan faktor pemimpin sebagai faktor utama pembawa kejayaan kepada Pas hingga kita lupa dan hilang kebergantungan kita kepada Allah. Kita tidak mahu kesilapan kita bila dapat menawan terengganu diulang. Memang tidak dinafikan bahawa kemenangan kita di Terengganu telah menjadikan faktor kita memegang pemerintahan Darul Iman itu sebagai faktor untuk mencipta kemenangan yang lebih besar.

Bila disingkap kembali sirah para sahabat, Khalifah Umar R.A memecat Khalid al Walid sebagai panglima perang kerana tidak mahu umat islam menganggap Khalid al Walid sebagai faktor kemenangan tentera islam, bukan kerana pertolongan Allah. Jadi adalah amat penting untuk kita tanamkan dalam hati kita bahawa hanya Allah sahaja yang boleh bawa kemenangan kepada Pas, pemilihan pemimpin di kalangan mereka yang berwibawa hanyalah ikhtiar dan strategi kita dalam menjana kemenangan.

posted by Lidah Penghunus @ 10:04 PM   0 comments

Sunday, June 05, 2005

Perihal Muktamar Pas Pusat 2005

Assalamualaikum.

Alhamdulillah muktamar Pas pusat termasuk pemuda, muslimat dan ulama’ telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Seperti muktamar yang lepas-lepas muktamar kali ini juga telah menjadi medan untuk pemimpin Pas semua di setiap peringkat untuk bermuhasabah diri, membetulkan segala kelemahan dalam parti. Inilah cantiknya islam yang didokong oleh Pas yang mana teguran atau kritikan itu adalah suatu yang digalakkan asalkan ianya berniat untuk membetulkan kelemahan-kelemahan yang wujud dan tidak menimbulkan mudharat. Telah kita lihat dalam muktamar kali ini bagaimana amalan tegur-menegur ini diamalkan sehingga peringkat dewan pemuda boleh mengkritik Majlis Syura Ulama’ iaitu badan yang paling tinggi dalam parti yang menjadi pengawal kepada dasar parti. Namun begitu menginsafi bahawa manusia yang bernama ulama’ ini tidak maksum maka ianya diterima dengan hati yang terbuka oleh Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku ketua kepada ahli Majlis Syura Ulama’

Dalam muktamar Pas pusat ini saya lihat media-media arus perdana masih lagi bertindak sebagai pengacau. walaupun tidak sehebat dahulu tetapi masih ada lagi laporan-laporan mereka yang tidak berlandaskan kepada etika kewartawanan. Media-madia arus perdana yang sepatutnya menjadi milik semua golongan ini sedaya upaya cuba mencari ruang untuk memburuk-burukkan Pas dan melaga-lagakan Pas dengan parti pembangkang yang lain. Ini jelas apabila dalam muktamar pemuda pusat seorang perwakilan pemuda berucap menolak kerjasama dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, seperti juga media-media arus perdana ini menyimpulkan kandungan amanat Hj Hadi sebagai Pas mengkafirkan Umno, ulama’ Pas menyatakan usaha untuk menegakkan daulah islamiah akan diberi ganjaran pahala mereka simpulkan sebagai undi Pas masuk syurga, media-media pengampu ini terus membuat kesimpulan bahawa Pas menolak Anwar. Sedangkan ianya bukan kenyataan konsesus dalam Pas. Ianya hanya pandangan dari seorang individu, paling kuatpun kawasan yang diwakilinya dan ianya telah ditolak oleh pemimpin tertinggi Pas sendiri. Sikap media yang tidak beretika ini telah membuatkan seorang perwakilan mengusulkan agar muktamar akan datang tiada lagi liputan daripada media dan ini juga ditolak oleh pimpinan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa media-media yang dikawal oleh pemerintah dtg ke muktamar bukan kerana untuk memberi laporan yang adil, namun begitu adalah kurang bijak jika Pas terus menghalang media-media ini hadir ke muktamar yang diadakan kerana ianya bertentangan dengan prinsip kebebasan media yang diperjuangkan oleh Pas selama ini. Yang penting program penerangan Pas perlu diperhebatkan lagi untuk menangkis serangan-serangan dari pelbagai penjuru.

Di sini juga saya ingin mengucapkan sedalam-dalam tahniah kepada Ustaz Nasharudin Mat Isa yang telah dipilih untuk menjadi timbalan presiden, Husam Musa, Mat Sabu dan Dr Hassan Ali yang dipilih menjadi naib presiden. Pemilihan mereka ini menggambarkan harapan ahli-ahli Pas keseluruhannya untuk melihat perubahan yang positif dalam parti. Di harapkan mereka ini dapat berganding dengan presiden untuk membawa parti ke mercu kegemilangan dan diharapkan juga dengan terpilihnya mereka ini akan memberi suntikan semangat baru kepada ahli-ahli Pas di peringkat bawahan untuk terus bekerja memenangkan Pas dalam pilihanraya akan datang, insya-Allah. Namun begitu mantan timbilan presiden yang kali ini gagal mempertahankan jawatannya iaitu ustaz Hassan Syukri tidak kurang besarnya juga sumbangan beliau dalam parti terutamanya dalam aspek tarbiah. Beliau adalah antara mereka yang berusaha untuk menerapkan aspek tarbiah melalui pemikiran syed qutb dan ikhwanul muslim dalam Pas yang pada masa itu di bawah Allahyarham Dato’ Asri tidak dititikberatkan. Di harapkan agar beliau terus menyumbangkan buah fikiran untuk memantapkan parti.

posted by Lidah Penghunus @ 6:20 PM   0 comments


Free Hit Counter