Sunday, March 26, 2006

Kisah D.P.A (Duka Pagi Ahad@Demo Pagi Ahad)

Assalamualaikum.

Pagi Ahad yang indah di dataran KLCC, berdiri megah di tengah-tengahnya dua buah menara yang ketinggiannya sebaris dengan menara-menara pencakar langit di negara-negara maju. Bila sahaja kita melihat menara yang tersergam indah indah, terbayanglah oleh kita bahawa kita sedang berada di sebuah negara maju yang rakyatnya stabil dari segi ekonomi, iklim demokrasinya begitu subur, rakyat bebas untuk bersuara, siri-siri demonstrasi aman bagi menyuarakan sesuatu ketidakpuasan hati rakyat tidak dikacau.

Namun ironisnya pagi ahad 26 Mac tadi menara pencakar langit lambang kemajuan negara telah menjadi saksi kepada pencabulan kepada demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun untuk menyuarakan keadilan, rakyat yang berhimpun untuk meluahkan keperitan akibat dari kenaikan harga minyak, dikejar, dibelasah oleh pasukan FRU, ditangkap dan disumbatkan ke dalam trak polis bagaikan penjenayah.

Satu senario yang memalukan bila melihatkan pasukan FRU ini yang lengkap dengan belantan berkeliaran di sekitar KLCC menghalau sesiapa sahaja di situ walaupun orang itu tiada kena-mengena langsung dengan demo, mengherdik dan mengeluarkan kata-kata kesat bagaikan mereka sahaja yang berkuasa di dunia ini. Lebih-lebih lagi KLCC ini menjadi tumpuan pelancong asing yang antaranya dari negara eropah. Bagi pelancong asing ini demonstrasi aman adalah sesuatu yang biasa di negara mereka, ianya tidak pun menakutkan mereka kerana ianya adalah amalan biasa dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Yang asing bagi mereka adalah apabila demonstrasi aman ini diganggu oleh pasukan polis, rakyat dikejar dan dibelasah bagaikan penguasa di zaman purbawara.

Satu lagi yang mendukacitakan kita ialah cuti hari ahad masih lagi tidak dapat menggerakkan jutaan rakyat bagi membantah atas apa yang dikenakan oleh kerajaan ke atas mereka itu. Kebanyakan rakyat masih lagi tidak sanggup bersama-sama untuk menyuarakan suara keperitan mereka, mereka hanya harapkan pihak-pihak dari parti politik dan NGO bagi berdemonstrasi membantah kenaikan harga minyak ini. Oleh kerana sikap kebanyakan rakyat inilah maka pihak polis yang sedia diperalatkan oleh kerajaan ini boleh memperlakukan sesuka hati mereka kepada penunjuk perasaan. Tetapi jika demonstrasi aman ini dapat menghimpunkan jutaan rakyat, saya percaya, mereka tidak akan berani untuk bertindak kasar.

posted by Lidah Penghunus @ 12:29 PM   0 comments

Saturday, March 25, 2006

Dilema Adiputra

Assalamualaikum.

Ini bukanlah ceritera rakyat yang menceritakan tentang kepahlawanan, ini adalah kisah benar tentang kepintaran luar biasa seorang kanak-kanak iaitu adik Adiputra, kanak-kanak yang telah menarik perhatian pelbagai pihak kerana kebolehan luar biasanya menyelesaikan permasalahan matematik yang hanya layaknya diselesaikan oleh pelajar pengajian tinggi. Laporan akhbar semalam, Adiputra yang mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan ini telah diberikan surat amaran kerana terlalu kerap tidak hadir ke sekolah. Antara sebab Adiputra kerap tidak hadir ke sekolah kerana pembelajaran di sekolah yang membosankan untuk beliau yang kepintarannya melangkaui usianya. Beliau yang biasa menyelesaikan masalah matematik hingga ke tahap trilion digit tiba-tiba terpaksa kembali belajar mengenal dan menulis angka-angka dalam sistem pernomboran.

Sebagaimana kebiasaan bila sahaja ada kanak-kanak yang memiliki kepintaran yang luar biasa, akan ada cadangan kanak-kanak ini dihantar ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Persoalannya sekarang apakah itu cara yang terbaik? Adakah dengan menghantarnya 'lompat' terus ke tahap yang lebih tinggi misalnya darjah 6 adalah cara yang terbaik? Di sini kita harus sedar bahawa Adiputra hanya mempunyai kelebihan luar biasa dari segi kepintarannya dalam ilmu matematik, sedangkan pemikirannya, jiwanya masih lagi sama seperti rakan-rakan seusianya. Dalam laporan akhbar berkenaan juga dipaparkan gambar Adiputra yang sedang meni'mati aiskrim sementara menunggu sidang media membuktikan bahawa citarasanya sama seperti kanak-kanak yang lain yang baru hendak mengenal angka.

Jadi andaikata Adiputra terus dihantar belajar ke tahap yang lebih tinggi hanya kerana semata-mata beliau mempunyai kepintaran dalam matematik, ianya bukanlah langkah yang terbaik kerana falsafah pendidikan itu sendiri bukanlah semata-mata untuk membentuk kebolehan akademik pelajar, malahan lebih daripada itu ianya bertujuan untuk membentuk akhlak dan sahsiah pelajar serta memasyarakatkan pelajar itu sendiri. Oleh kerana itulah sistem pendidikan dibentuk mengikut tahap demi tahap dan pelajar diwajibkan melalui tahap-tahap tersebut satu demi satu agar pelajar-pelajar ini dapat membiasakan diri secara perlahan-lahan suasana pembelajaran bersama-sama rakan-rakan sekelas yang datang dari pelbagai latar belakang.

Kita tidak mahu bila andaikata nanti Adiputra terus 'lompat' ke tahun enam, beliau akan mengalami kejutan budaya kerana beliau yang baru melalui peralihan dari peringkat pra sekolah ke sekolah rendah terpaksa bersama-sama dengan mereka yang sedang menjalani proses peralihan dari kanak-kanak ke remaja. Mungkin beliau dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran peringkat tersebut tetapi dikhuatiri beliau tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sekelas yang lebih tua daripada beliau yang akhirnya akan menimbulkan konflik dalam diri beliau dan dengan rakan-rakan sekelas yang akhirnya akan menjadikan beliau pelajar yang tersisih dari rakan sekelas.

Sambungan dari kisah Adiputra ini siang tadi akhbar yang sama telah memaklumkan bahawa Adiputra telah diterima untuk mengikuti pengajian di Sekolah Islam Antarabangsa yang mana Adiputra masih lagi belajar ditahun satu bersama-sama rakan-rakan sekelas yang sama umur, sistem pembelajaran juga sama, bezanya beliau akan diajarkan dengan subjek bahasa melayu tahun empat dan matematik tingkatan lima. Mungkin inilah sahaja langkah yang terbaik agar kebolehan luar biasa yang juga anugerah Allah kepada Adiputra ini tidak dipersia-siakan. Tambahan lagi Adiputra hanya memiliki kepintaran yang luar biasa dalam bidang matematik, dalam subjek-subjek yang lain seperti pendidikan islam, sains dan sejarah Adiputra masih perlu mengikutinya dari peringkat darjah satu.

posted by Lidah Penghunus @ 12:23 PM   0 comments

Friday, March 24, 2006

Pihak yang mewajibkan pemakaian tudung ditegur? alamak !

Assalamualaikum

Hendak dijadikan cerita ada satu hari tu saya dengan ibu saya saja-sajalah hendak tengok dan ambil gambar anak saudara saya yang baru berumur setahun memakai tudung. Jadi kami pakaikanlah anak kepada adik perempuan saya tu tudung. Tuan-tuan semua faham saja lah budak-budak kalau kita pakaikan apa-apa saja di kepala mereka termasuk topi, mana mereka suka, rimas mereka. Seksa jugalah hari itu hendak pakaikan anak saudara saya tu tudung, menjerit-jerit budak tu kami 'ragging.' Akhirnya dapat juga saya ambil gambar Isya, anak saudara sulong saya tu. Memang comel.

Pada hari yang sama juga berita TV menyiarkan laporan perbahasan parlimen yang menyentuh tentang peraturan pemakaian tudung yang mana pihak yang telah mewajibkan pemakaian tudung telah ditegur oleh seorang menteri kerana dianggap memaksa. Bila sahaja mendengar berita tersebut saya pun berkata kepada ibu saya "Kalau dia orang tahulah kita 'paksa' Isya pakai tudung sampai menangis-nangis, silap-silap kita kena dakwa sebab langgar hak asasi manusia."

Menyentuh tentang isu ni, saya hairan. Mengapa bila ada pihak khususnya sekolah yang mewajibkan pelajarnya memakai tudung mereka mengkritiknya sebagai sesuatu yang memaksa pelajar, melanggar hak dan kebebasan pelajar. Sedangkan ianya sama sahaja dengan peraturan-peraturan lain seperti mewajibkan pelajar memakai uniform, tali leher, memakai tag nama, memakai lencana dan denda juga akan dikenakan jika peraturan-peraturan tersebut tidak dipatuhi. Pengalaman saya pada zaman persekolahan dahulu, hukuman atau denda yang paling teruk pernah dikenakan hingga ke tahap seluar beberapa orang pelajar dipotong kerana bawah kaki seluar terlalu besar serta labuh dan pelajar-pelajar tersebut dipaksa berkain pelikat dan menjahit seluar mereka di depan bilik guru begitu juga dengan hukuman terhadap pelajar yang berambut panjang, guru disiplin sendiri yang memotong rambut pelajar dengan sesuka hati dan saya sendiri adalah salah seorang mangsa 'akta drakonian' tersebut.

Jadi persoalannya disini mengapa dari sejak dahulu lagi hukuman-hukuman yang sebegitu tidak dijadikan isu hingga dibawa ke parlimen dan tiba isu yang menyentuh soal tudung ianya terus dibawa ke parlimen sedangkan wajibnya memakai tali leher hanyalah perintah dari pihak sekolah sedangkan wajibnya memakai tudung adalah perintah Allah dan bukan sahaja pelajar yang mematuhinya akan mendapat ganjaran pahala, pihak sekolah yang melaksanakan peraturan tersebut juga akan mendapat ganjaran pahala kerana memenuhi tanggungjawab sebagai pihak yang diberi kuasa. Jadi jelas disini dalam islam hadhari yang menjadi pegangan kerajaan, pemakaian tudung itu bukanlah wajib, sebaliknya ianya hanya digalakkan sahaja. Hendak pakai boleh, tidak mahu pakai pun tidak menjadi masalah.

posted by Lidah Penghunus @ 1:30 AM   0 comments

Saturday, March 18, 2006

Etika kewartawanan dan tanggungjawab sosial media.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini saya tertarik dengan satu kenyataan oleh Menteri Penerangan, Dato' Seri Zainuddin Maidin yang tidak mahu golongan yang berkepentingan perniagaan dan keuntungan melibatkan diri dalam bidang akhbar dan media kerana akan menghakis etika kewartawanan dan tanggungjawab sosial media itu sendiri. Memang tidak dapat dinafikan golongan korporat yang bermatlamatkan keuntungan semata-mata mereka tidak akan mengambilkira soal etika dan tanggungjawab sosial dalam apajua bidang yang mereka ceburi, apalagi jika perkara tersebut akan membantutkan matlamat mereka untuk memaksimakan keuntungan.

Lihat sahajalah dunia kewartawanan zaman sekarang, sesuatu yang sensasi suatu yang dijangka menarik perhatian umum yang sekaligus akan melariskan jualan akhbar, maka benda itulah yang akan menjadi paparan media berkenaan tanpa mengambil kira adakah suatu sumber itu sahih atau tidak, tanpa mengambil kira kesan-kesan negatif daripada apa yang dipaparkan itu.

Namun begitu Zainuddin Maidin mungkin terlupa ataupun buat-buat lupa tentang satu lagi perkara yang paling ketara yang menghakis etika kewartawanan, tanggungjawab sosial media dan seterusnya kebebasan media selama ini iaitu golongan politikus sendiri iaitu ahli politik yang korup yang bercita-cita untuk terus kekal mempertahankan survival politik mereka dengan apa jua cara sekalipun.

Bagi mereka, kewujudan golongan yang berkepentingan perniagaan dalam industri media yang disebutkan tadi adalah satu rahmat kerana melalui wang dan kuasa golongan-golongan ini dengan mudah dapat dikuasai. Dengan wang mereka boleh membeli sebahagian besar kepentingan dalam sesebuah syarikat akhbar terutama sekali akhbar nasional dan sekaligus mengawal secara langsung akhbar berkenaan dan dengan kuasa pula akhbar-akhbar yang tidak sehaluan dengan mereka akan ditamatkan permit penerbitannya.

Inilah yang terjadi kepada iklim kewartawanan dan kebebasan media di negara kita yang hingga kini masih lagi dihimpit gerhana. Media-media cetak dan elektronik masih lagi belum mampu lagi memberi ruang sepenuhnya kepada pihak pembangkang atau golongan yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah untuk bersuara. Mereka masih tidak dapat lagi menunaikan tanggungjawab sosial mereka sebagai media dalam menyuarakan rintihan rakyat tertindas, golongan wartawannya pula masih lagi kurang menitikberatkan etika kewartawanan dalam menjalankan tugas memberikan laporan yang seimbang dan tidak berat sebelah. Contoh yang paling jelas kisah demonstrasi, bantahan awam yang menyuarakan jeritan dan rintihan rakyat tentang kenaikan harga minyak baru-baru ini tidak pun dipaparkan di media-media utama ini. Yang mereka paparkan hanyalah suara-suara memuji dan mengampu tindakan kerajaan menaikkan harga minyak oleh sebilangan kecil rakyat yang tiada pendirian.

Dalam memperjuangkan kebebasan media kita tidaklah sampai minta hingga ke tahap nabi pun boleh dihina atas nama kebebasan media, kita hanya minta agar media-media di negara ini dibiarkan bebas dalam menyatakan kebenaran namun ianya mestilah tidak terkeluar dalam garis panduan yang telah ditetapkan oleh islam. Kerana apa yang kita lihat media-media utama di Malaysia pada hari ini, kebebasan bersuara dan mengkritik pemerintah itu masih lagi disekat namun begitu gambar-gambar artis yang menjolok mata terus bebas menghiasi lembaran-lembaran akhbar berkenaan. Malahan penghinaan dan pandangan yang menyeleweng terhadap islam masih lagi diberi tempat dalam media-media utama negara ini.

posted by Lidah Penghunus @ 4:12 PM   1 comments

Thursday, March 09, 2006

Cadangan SPR agar tiada lagi perang poster semasa pilihanraya.

Assalamualaikum

Akhbar hari ini memaparkan cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)agar tidak lagi membenarkan penggunaan poster, sepanduk dan banting untuk pilihanraya yang akan datang atas alasan penggunaan poster pada setiap kali pilihanraya telah mengakibatkan parti politik yang bertanding terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar. Jadi cadangan ini bertujuan untuk menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh parti politik yang bertanding.

Adalah suatu yang pelik apabila SPR begitu prihatin sekali tentang kos yang terpaksa ditanggung oleh parti politik apabila bertanding pilihraya, mungkin inilah salah satu contoh kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini. Sebenarnya soal kos ini tidak perlu menjadi isu kerana ianya adalah kesanggupan sesebuah parti yang ingin menyertai pilihanraya dan mereka hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan sebegini lima tahun sekali sahaja.

Cumanya ianya bergantung kepada tahap kewangan parti yang bertanding, jika sesuatu parti itu mempunyai tahap kewangan yang besar maka jika mahu memasang poster di segenap kawasan pilihanraya pun tidak mengapa dan bagi parti politik yang mempunyai kewangan yang terhad, hatta jika tidak mahu menggantung poster pun tidak menjadi masalah, tidak ada pun undang-undang yang menetapkan agar setiap parti yang bertanding mesti menyertai perang poster.

Sebagai contoh pada pilihanraya umum yang lepas di Parlimen Kelana Jaya, BN yang mempunyai kewangan yang kukuh menggunakan poster yang hanya siap untuk digantung sahaja, tidak perlu petugas-petugas parti bersusah payah untuk memasang satu persatu poster parti pada tali rafia. sedangkan bagi Pas dan pakatan dalam Barisan Alternatif yang mempunyai kewangan yang terhad, para petugasnya perlu menyediakan poster secara manual, namun apapun bentuk dan cara poster itu dihasilkan, perang poster di kawasan pilihanraya P104 tetap meriah dan yang penting juga ialah kesediaan setiap parti untuk membersihkan kembali poster-poster yang telah dipasang apabila tamatnya musim pilihanraya.

Bagi saya sebelum SPR mengeluarkan cadangan tersebut, mereka perlu memastikan terlebih dahulu bahawa media-media cetak dan elektronik di negara kita bebas dan bersedia untuk memberikan ruang dan peluang kepada semua parti politik yang bertanding, tidak kira parti pemerintah mahupun parti pembangkang untuk berkempen dengan bebas. SPR juga harus memastikan penguasaan media massa oleh parti pemerintah setiap kali menjelang pilihanraya dihentikan. Ini penting kerana apa yang kita lihat kali terakhir pilihanraya kecil Di Dun Pengkalan Pasir penguasaan media oleh parti pemerintah masih lagi ketara dan ruang untuk parti pembangkang khususnya Pas masih lagi terhad. Oleh itu Pas hanya bergantung kepada poster, sepanduk, banting, risalah dan media-media yang terhad sebarannya seperti akhbar Harakah dan webtv dalam usaha kempen pilihanraya. Jika poster, sepanduk dan banting ini juga tidak dibenarkan, bagaimana lagikah caranya untuk parti-parti pembangkang berhadapan dengan parti pemerintah yang menguasai media massa.

Kembali kepada persoalan mengurangkan kos itu tadi, jika SPR benar-benar prihatin tentang kos yang terpaksa ditanggung oleh parti-parti politik yang bertanding, caranya ialah turunkan sahaja bayaran deposit atau wang pertaruhan yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang ingin jadi calon pilihanraya. Kerana wang deposit ini juga adalah suatu yang agak berat bagi parti yang ingin bertanding pilihanraya, apalagi bila memikirkan risiko hilang wang deposit apabila kalah teruk. Bagi saya ini mungkin tiada masalah kerana deposit pilihanraya tiada kena-mengena dengan harga minyak.

posted by Lidah Penghunus @ 4:50 AM   1 comments

Saturday, March 04, 2006

Perkasa Bahasa Melayu- Tidak perlulah sampai pinda akta dan ubah dasar.

Assalamualaikum.

Semalam kita sudah sentuh isu kenaikan minyak, hari ini saya ingin kembali semula kepada isu kebahasaan khususnya menyentuh kedaulatan Bahasa Melayu. Bukanlah bermaksud isu kenaikan harga minyak ini sudah selesai, walaupun demonstrasi membantah kenaikan tersebut sudah selamat dijalankan siang tadi, sekarang kita sedang menunggu apakah keputusan kerajaan seterusnya, adakah kerajaan akan akur dengan kehendak rakyat, jika tidak demonstrasi akan diteruskan minggu hadapan.

Kembalinya saya kepada isu kebahasaan ini adalah atas tersiarnya sebuah laporan akhbar hari ini yang menyatakan bahawa demi untuk memperkasa Bahasa Melayu, kerajaan sedia pinda akta dan dasar bagi memartabatkannya, maksudnya di sini sebarang pengabaian dan pencabulan terhadap Bahasa Melayu misalnya yang melibatkan papan tanda akan dikenakan tindakan melalui saluran perundangan.

Dalam mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan ini kita tidaklah pinta sampai perlu dipinda perlembagaan berkenaan akta bahasa kebangsaan. Apa yang perlu kerajaan buat sekarang ialah mengembalikan hak Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran subjek sains dan matematik.

Namun begitu dalam laporan akhbar berkenaan sedikit pun tidak menyentuh tentang perlaksanaan tersebut, sedangkan itulah sebenarnya dosa kerajaan terhadap Bahasa Melayu yang perlu ditebus. Kita sudah sedia maklum bahawa kekuatan sesuatu bangsa adalah bergantung kepada tahap pencapaian ilmu. Ini samalah dengan bahasa itu sendiri, kekuatannya juga diukur melalui kemampuannya mengungkap pelbagai bidang ilmu. Jadi dalam matlamat memperkasakan Bahasa Melayu itu sendiri, kerajaan melalui kementerian pendidikan haruslah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Bahasa Melayu dalam penyampaian pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu sains dan matematik.

posted by Lidah Penghunus @ 3:24 AM   0 comments

Friday, March 03, 2006

Pemuda Umno guna basikal ke?

Assalamualaikum.

Setelah menyentuh isu kebahasaan khususnya tulisan jawi, kita kembali balik kepada isu kenaikan harga minyak yang masih lagi hangat diperkatakan sekarang ini. keputusan kerajaan menaikkan harga minyak ini memang ternyata telah menimbulkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak tidak kiralah mereka itu pengguna kenderaan bermotor atau tidak, hatta yang menggunakan basikal sekalipun tidak akan dapat menerima kenaikan harga minyak yang mendadak ini kerana mereka sendiri pun sudah maklum kesannya kepada harga barang-barang keperluan.

Namun begitu lain pula halnya dengan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang pada akhbar hari ini sayap Pemuda parti pemerintah itu mengeluarkan kenyataan memuji tindakan Pak Lah selaku perdana menteri yang menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen sekaligus sebagai langkah yang berani. Jika benar pun ahli Pemuda Umno rata-ratanya menggunakan basikal sebagai kenderaan rasmi mereka, mereka masih lagi perlu ingat bahawa semua barang-barang bagi memenuhi keperluan asas mereka dan rakyat bukan diangkut mengunakan kereta lembu, bukan dibawa dengan kereta api, semuanya diangkut dengan kenderaan bermotor yang menggunakan bahan api petrol dan diesel. Jadi adalah mustahil jika mereka tidak terasa dengan kenaikan ini.

Di sini juga saya ingin sentuh penjelasan Dato Seri Najib Tun Razak selaku timbalan perdana menteri yang dimuatkan pada berita utama akhbar hari ini. Dalam memberi penjelasan tentang keputusan kerajaan menaikkan harga minyak, Dato' Seri Najib memberi alasan bahawa tindakan ini tidak secara langsung bertujuan menimbulkan kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan mengubah cara hidup dan menjimatkan penggunaan bahan api. Di sini Dato' Seri Najib perlu sedar bahawa isu ini bukan isu pengguna kenderaan persendirian semata-mata, malahan lebih daripada itu ianya adalah isu kenderaan perdagangan yang terlibat dengan pengangkutan barang-barang dagangan dan pengangkutan awam.

Sebagai seorang yang bekerja di syarikat haulier atau pengangkutan kontena, saya dapati bahawa bukan sedikit jumlah bahan api yang diperlukan untuk operasi pengangkutan kontena selama 24 jam. Maka kenaikan 30 sen bahan api diesel adalah sesuatu kenaikan yang amat besar sekali bagi syarikat pengangkutan lebih-lebih lagi harga diesel untuk kenderaan perdagangan adalah lebih tinggi berbanding harga minyak diesel kenderaan persendirian. Sebut tentang pengangkutan awam seperti bas, baru semalam Bas yang disewa untuk hari keluarga pada 12 Mac ini yang pada asalnya pemiliknya mengenakan RM400 bagi perjalanan ke Sungai Congkak, Hulu Langat, bila sahaja kenaikam harga minyak termasuk diesel diumumkan, sewa bas terus dinaikkan sebanyak RM50. Bayangkan kenaikan sebanyak RM0.30 memberi lonjakan kenaikan sebanyak RM50.

Pada akhbar tersebut juga saya tertarik dengan panduan rancang perbelanjaan berhemat yang ditujukan kepada rakyat dalam berhadapan kenaikan harga minyak. Namun bagi saya adalah tidak adil jika rakyat sahaja yang perlu diberi panduan dan ingatan dalam perbelanjaan, kerajaan juga perlulah diberi panduan dan peringatan dalam berhadapan dengan kenaikan harga minyak mentah dunia ini. Antara yang perlu diingatkan dan diberi panduan ialah tentang kaedah berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan pentadbiran dan perbelanjaan mengurus, mengurangkan aktiviti-aktiviti yang membazir, membenteras secara serius amalan korupsi dan penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan termasuk menteri-menteri kabinet yang selama ini ternyata telah merugikan jutaan wang negara dan boleh jadi juga pengurangan elaun menteri sebagai cara untuk menjimatkan perbelanjaan pentadbiran. Ini penting kerana jika amalan pembaziran berlaku di kalangan rakyat, ianya hanya melibatkan duit poket individu terbabit tetapi jika amalan pembaziran ini berlaku dalam kerajaan, ianya telah melibatkan wang rakyat, wang pembayar cukai. Jika panduan ini diikuti secara serius oleh kerajaan insya-Allah soal kerajaan tidak mampu menampung subsidi minyak akibat kenaikan harga minyak mentah dunia tidak akan timbul.

posted by Lidah Penghunus @ 1:33 AM   0 comments

Thursday, March 02, 2006

Kalau dah masuk muzium, habislah!

Assalamualaikum
Apabila sebut sahaja muzium akan terlintaslah di fakulti minda kita bahawa ianya adalah satu tempat menyimpan dan mempamerkan barang lama, barang antik dan barang bersejarah. Dalam erti kata yang lain barang yang orang zaman sekarang tidak gunakan lagi dan ianya sukar lagi ditemui pada zaman sekarang. Contohnya peralatan manusia zaman purba seperti tembikar, kapak dan pisau yang diperbuat daripada batu, batu-batu bersurat dan pelbagai lagi bahan sejarah dan prasejarah.

Selain daripada itu muzium juga menjadi tempat pameran sesuatu yang mungkin mustahil untuk kita temui dengan mata kasar misalnya perkara-perkara mistik yang menjadi kepercayaan masyarakat melayu iaitu hantu. Antara tujuan muzium itu diwujudkan ialah supaya generasi kini dapat melihat dan mengenal suatu yang hanya tinggal sejarah dan tidak lagi terdapat di zaman mereka. Sebut pasal muzium ini juga seringkali apabila terdapat suatu barang yang telah usang yang telah lama yang tidak boleh digunakan lagi, masyarakat akan memberikan sindiran bahawa barang berkenaan hanya layaknya diletakkan di muzium sahaja.

Apa yang ingin saya sebutkan di sini ialah nasib yang sedang menimpa tulisan jawi sekarang ini, bentuk tulisan yang pernah masyarakat rumpun Melayu gunakan pada suatu masa dahulu, tulisan yang telah menggantikan tulisan Pallava dalam persuratan melayu dan tulisan yang telah menterjemahkan jutaan lembaran ilmu di alam melayu ketika waktu dahulu. Sekarang tulisan yang pernah mendokong bahasa lingua franca ini akan dipamerkan di Muzium Negara bermula 5 Mac ini bersama-sama dengan tembikar, keris lama, batu bersurat dan replika haiwan purba dan ianya hanya akan tinggal pameran semata-mata.

Persoalan yang timbul sekarang ini, 40 atau 50 tahun lagi adakah mungkin giliran Bahasa Melayu pula akan dimuziumkan senasib dengan tembikar, keris lama, batu bersurat dan tulisan jawi itu tadi?

posted by Lidah Penghunus @ 2:39 AM   0 comments

Wednesday, March 01, 2006

Paras air naik, harga minyak pun naik.

Assalamualaikum.

Selepas beberapa hari kita dikejutkan dengan kenaikan paras air akibat hujan lebat yang berterusan di Lembah Klang semalam kita dikejutkan pula dengan kenaikan luar biasa harga bahan api, petrol, diesel dan LPG sebanyak 30 sen seliter. Kenaikan ini bukan sahaja akan membebankan pengguna kenderaan bermotor, malahan ianya juga turut membebankan isi rumah atau pengguna barang keperluan kerana kita sudah maklum kenaikan bahan bakar inilah yang akan menjadikan kos pengeluaran bagi barang keperluan meningkat.

Dalam isu kenaikan harga minyak ini kerajaan memberi jaminan bahawa ini adalah kenaikan yang terakhir dalam tahun ini. Ini bermaksud tidak mustahil harga minyak ini akan naik kembali pada tahun hadapan. Satu lagi kalau pun ianya kenaikan yang terakhir dalam tahun ini, tetapi bila kenaikannya itu adalah tiga kali ganda dari kenaikan biasa iaitu sebanyak 30 sen. Maka bolehlah ianya disamakan dengan kenaikan sebanyak tiga kali setahun. Bezanya kali ini kerajaan menaikkannya sekaligus.

Seperti kebiasaannya juga bila timbul isu ini kerajaan akan membuat perbandingan bahawa harga minyak di negara kita masih lagi rendah berbanding negara jiran yang lain. Persoalannya mengapa mesti melihat negara orang sedangkan ini soal kebajikan rakyat di negara kita. Sudahlah sebelum ini kita dibebankan oleh kenaikan cukai pintu, kenaikan tambang pengangkutan awam dan bas sekolah, yang akan datang kenaikan tarif elektrik ini ditambah pula dengan kenaikan harga minyak. Ini benar-benar membebankan lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah, kuasa beli dan upah benar kita makin menurun akibat kenaikan kos sara hidup melebihi kenaikan gaji

posted by Lidah Penghunus @ 4:33 AM   0 comments


Free Hit Counter