Friday, June 30, 2006

Ketua Menteri 'merempat' di negeri sendiri?

Assalamualaikum.

Macam tidak percaya sahaja bila membaca akhbar hari ini.

"Pejabat Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam disita Mahkamah Tinggi di sini semalam, berikutan kegagalan agensi itu membayar tunggakan hutang lebih RM2 juta.Selain Pejabat Mohd Ali di Tingkat 11 Bangunan PKNM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu, tujuh lagi tingkat lain milik PKNM termasuk yang menempatkan pejabat pengurus besar, disita.Arahan sita itu dikeluarkan menerusi surat penghakiman Mahkamah Tinggi yang ditandatangani Timbalan Pendaftar, Elesabet Paya Wan bertarikh 28 Jun 2006.Surat Mahkamah Tinggi itu mengarahkan PKNM sebagai defendan membayar RM2.23 juta kepada plaintif, Subang Teknik (M) Sdn Bhd dalam tempoh tujuh hari mulai semalam atau semua barangan dalam pejabat yang disita akan dirampas."

Begitulah, sebelum ini pun kita sudah maklum bahawa Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam adalah ketua menteri yang paling kuat dengki dan iri hatinya terhadap kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pas hingga ke tahap melarang jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri membuat lawatan ke neger Kelantan dan Terengganu (pada masa itu ditadbir oleh Pas).

Dato' Seri Ali Rustam jugalah yang paling hebat menganggu ceramah-ceramah pemimpin Pas termasuk Tuan Guru Presiden sendiri di negeri bandar bersejarah itu. Dan sekarang inilah antara padah yang patut diterima oleh seorang pemimpin negeri yang angkuh, menganggap bahawa dialah yang paling berkuasa di negeri tersebut hingga boleh berbuat apa sahaja untuk menyekat kemaraan pembangkang khususnya Pas.

Kerajaan Negeri Kelantan walaupun ditekan begitu hebat oleh kerajaan pusat namun tidaklah sampai pejabat menteri besarnya di sita.

posted by Lidah Penghunus @ 12:07 AM   1 comments

Wednesday, June 28, 2006

Perangi dahulu punca segala sengketa.

Assalamualaikum.

Benarlah amaran Allah melalui al quran yang berbunyi "Inilah jalanKu, jalan yang diredhai, ikutlah jalan ini, janganlah kamu ikut jalan yang lain selain jalanKu, nescaya nanti kamu akan berpecah belah."

Umno sebagaimana yang kita tahu selama ini telah membelakangkan hukum Allah, meremehkah tuntutan syariat islam, mengamalkan islam separuh-separuh, meninggalkan tuntutan amal maaruf nahi mungkar dan mengamalkan rasuah, kronisme dan nepotisme serta amalan pembaziran dalam pentadbiran. Maka oleh sebab itulah kita telah saksikan pergolakkan dalam Umno ini adalah sejak ianya ditubuhkan lagi, isu perpecahan dalam ini Umno berlaku sejak dari ianya baru ditubuhkan lagi. Dan tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Umno adalah satu-satunya parti politik yang paling banyak melahirkan parti serpihan.

Pergolakan yang terbaru berlaku dalam Umno rasanya tidak perlulah saya sebutkan lagi kerana ianya bukan lagi menjadi rahsia, semua orang sudah maklum tentangnya. Cuma apa yang hendak saya sebutkan di sini, berbalik kepada firman Allah SWT yang saya sebutkan di atas tadi, Umno perlulah bermuhasabah kembali mengapa gejala-gejala negatif ini selalu terjadi kepada mereka dan yang pastinya mereka haruslah kembali kepada islam secara menyeluruh, ikuti jalan yang diredhai oleh Allah SWT dan memerangi serta membuang jauh segala amalan-amalan negatif yang menjadi amalan dan dasar mereka selama ini.

Namun begitu adalah amat malang sekali apabila dalam mengatasi kemelut ini Dato' Nazri Aziz pemimpin Umno memilih untuk memerangi Dr Mahathir secara membabi buta tanpa mahu bermuhasabah kembali tentang apa yang diperkatakan oleh orang yang pernah menjadi pemimpinnya dahulu. Tindakan Dato' Nazri isytiharkan perang terhadap Dr Mahathir sebenarnya bererti beliau mengisytiharkan perang terhadap parti dan kerajaannya sendiri yang akhirnya akan menghancurkan parti dan kerajaannya sendiri.

Beliau ternyata angkuh apabila mendakwa pembangkang dalam keadaan lemah dan tidak berdaya menggugat parti pemerintah sedangkan beliaulah yang beriya-iya mahu membendung siri-siri demonstrasi pembangkang dalam isu kenaikan harga minyak. Jika benar pembangkang makin lemah, masakan parti pemerintah setiap kali pilihanraya akan menggunakan segala kekuatan termasuk jabatan-jabatan kerajaan, media-media massa dan wang dalam menghadapi pembangkang. Jadi jika Dato' Nazri mengatakan Mahathir mudah lupa, beliau juga apa kurangnya.

posted by Lidah Penghunus @ 12:14 AM   0 comments

Saturday, June 24, 2006

Isu nama Tok Guru Nik Abd Aziz sempena nama sebuah jambatan.

Assalamualaikum.

Tanpa diduga tindakan kerajaan negeri Kelantan meletakkan nama menteri besar kelantan, Tok Guru Nik Aziz sempena nama sebuah jambatan telah menimbulkan kecaman daripada Umno Kelantan sendiri. Lagak seperti kumpulan yang memperjuangkan islam secara bersungguh-sungguh, Umno Kelantan mendakwa bahawa tindakan kerajaan negeri itu mempunyai unsur-unsur pemujaan terhadap pemimpin. Tidak cukup dengan itu mereka telah mencadangkan pula nama-nama sahabat-sahabat Rasulullah SAW agar kelihatan lebih islamik.

Nampaknya mereka lupa kerajaan negeri manakah yang mula-mula menghapuskan adat, budaya dan kesenian yang mengandung unsur-unsur pemujaan dan khurafat sebaik sahaja mendapat mandat pemerintahan. Mereka juga lupa kerajaan negeri manakah yang telah menukar nama Pantai Cinta Berahi kepada Pantai Cahaya Bulan agar lebih sopan didengar serta menamakan sebuah pasar di Kota Bharu sempena nama isteri Rasulullah SAW.

Dan mereka juga tidak seharusnya lupa bahawa Umno Kelantan jugalah yang telah memperlekehkan usaha-usaha kerajaan Kelantan di bawah pentadbiran Tok Guru Nik Aziz ini dalam menghapuskan unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat dan memartabatkan syiar islam di negeri serambi Mekah ini.

Jadi sebelum mereka mempertikaikan tentang tindakan kerajaan negeri Kelantan ini, mereka juga haruslah mempersoalkan dahulu nama-nama yang jelas tidak menggambarkan imej Malaysia mahupun Islam yang terdapat di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya.

posted by Lidah Penghunus @ 2:32 AM   0 comments

Thursday, June 22, 2006

Perihal nasihat pihak polis kepada civilian.

Assalamualaikum.

Cuma nak sentuh sedikit tentang nasihat polis kepada orang awam agar tidak bertindak sendiri dan membelakangi undang-undang. Nasihat oleh pihak polis ini adalah ekoran daripada tindakan penduduk sebuah taman perumahan di negeri Johor yang membelasah sehingga mati seorang penagih yang cuba memecah masuk sebuah rumah.

Kalau cerita bab bertindak sendiri secara melampau dan membelakangkan undang-undang ini, rasanya pihak polis pun tidak kurang hebatnya. Bukan lagi rahsia apabila tahanan-tahanan dalam lokap balai polis yang disyaki atas kesalahan jenayah, dibelasah dan diseksa dengan begitu teruk sekali bertujuan untuk memaksa mereka mengaku salah hinggakan adanya kes kematian mengejut atau misteri melibatkan tahanan dalam lokap polis.

Dan tidak dapat disembunyikan lagi tentang tindakan kasar dan tidak beretika pihak-pihak polis dan FRU menyuraikan peserta-peserta demonstrasi aman dan yang terbaru tidak perlulah kita ceritakan lagi kerana menara bekembar KLCC beserta isinya telah menyaksikan segala-galanya.
Jadi tidak hairanlah jika perlakuan-perlakuan di luar batasan undang-undang oleh pihak polis ini menjadi ikutan rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 11:30 PM   0 comments

Wednesday, June 14, 2006

Piala Dunia- Antara kenyataan yang semata-mata keduniaan dengan kenyataan yang tidak meminggirkan akhirat.

Assalamualaikum.

Bila sebut sahaja Piala Dunia tidak perlulah saya ulas panjang kerana tema "perbualan seluruh dunia" sudah cukup sebagai gambaran, kalau tidak masakan blog ini juga ada memperkatakan tentangnya. Cumanya apa yang ingin saya sentuh di sini ialah tentang teguran dan nasihat pihak kerajaan dan menteri beberapa hari sebelum berlangsungnya kejohanan Piala Dunia kepada kakitangan kerajaan.

Dalam nasihat tersebut salah seorang menteri kabinet dalam kerajaan menasihatkan kakitangan kerajaan terutama sekali peminat Piala Dunia agar jangan sehingga mengabaikan tugas terutamanya dalam menjayakan RMK9. Namun nasihat kerajaan ini lebih kepada keduniaan, tidak pun mengingatkan tentang tanggungjawab mereka khususnya yang muslim sebagai orang islam.

Ini berbeza dengan pandangan beberapa orang ulama'. Meraka juga telah membuktikan bahawa ulama' juga mengambil tahu tentang perkembangan sukan khususnya Piala Dunia, namun begitu mereka tetap menasihatkan umat islam agar tidak sampai terleka dan meninggalkan solat semata-mata kerana keghairahan terhadap Piala Dunia

posted by Lidah Penghunus @ 1:28 PM   1 comments

Tuesday, June 13, 2006

Muktamar sudah selesai, corong media murahan masih berbunyi.

Assalamualaikum.

Muktamar tahunan Pas telah pun dua hari berlalu, yang tinggal sekarang ialah bagaimana segala yang dimuktamarkan dapat dilaksanakan oleh setiap ahli secara lebih berkesan. Namun begitu media budak suruhan Umno-Barisan Nasional hinggal kini masih lagi memperkatakan tentang kenyataan Presiden Pas di akhir muktamar kononnnya menggalakkan ahli-ahlinya berdemonstrasi hingga ke tahap boleh bertindakabalas dengan membaling batu ke arah pasukan keselamatan yang menyuraikan perhimpunan.

Habis semua pihak ditemuramah, dari menteri kabinet hinggalah ke rakyat biasa yang biasanya menjadikan media-media murahan ini sebagai sumber maklumat mutakhir. Padahal kejadian baling batu tidak pernah pun berlaku dalam sejarah demonstrasi yang dianjurkan oleh Pas, yang sudah berlaku sepanjang sejarah demonstrasi ialah pasukan keselamatan membelasah penunjuk perasaan secara melampau atas nama kekerasan minimum dan keganasan polis ini tidak pun dibincangkan dalam media arus perdana.

Akhbar hari ini pula, mereka memaparkan tentang kononnya kekecewaan beberapa pemimpin kanan Pas terhadap kenyataan tuan guru presiden. Pada permulaan laporan tersebut;

"Beberapa pemimpin kanan Pas kecewa dengan kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merestui ahli mengadakan demonstrasi jalanan termasuk membaling batu jika pihak polis bertindak terhadap mereka.Sumber Pas berkata, kenyataan itu menjadi topik hangat kerana ia boleh menjejaskan imej parti yang kini diperkasakan melalui konsep `penjenamaan semula’ untuk meningkatkan sokongan termasuk daripada kalangan bukan Islam.“Ketika ini, pemimpin kanan menerima panggilan bertalu-talu daripada ahli bertanyakan kebenaran laporan itu dan perkara berkenaan turut dibincangkan hari ini (semalam)"

kemudiannya akhbar berkenaan melaporkan;

"Sementara itu, beberapa pemimpin Pas lain ketika dihubungi pula menafikan kenyataan Abdul Hadi itu memberi kesan negatif kepada parti.Setiausaha Agungnya, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata umum tahu kehendak parti berhubung keperluan mengadakan demonstrasi secara aman dan pendirian itu tidak akan diubah.“Soal imej parti tidak berbangkit, malah yang meminta kita mengadakan demonstrasi ini sebenarnya ramai.“Jadi kita tidak akan tukar pendirian dalam soal demonstrasi ini kerana ia dibenarkan dalam negara demokratik dan Pas memang tekankan soal demonstrasi secara aman.“Lagipun sebelum ini, kita memang mengadakan demonstrasi itu secara aman,” katanya.Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Awang pula berkata, ahli Pas tidak mudah terpengaruh dengan laporan media perdana yang selama ini menghentam parti itu.“Media tempatan sering mengeksploitasi pelbagai perkara dan ahli sudah tahu serta tidak akan terpengaruh terhadap laporan berkenaan,” katanya.Beliau berkata, berdasarkan prinsip Islam dan demokrasi, mengadakan demonstrasi adalah dihalalkan, malah ada hadis sahih Nabi menyebut perkara itu.Katanya, dasar Pas sebenarnya tetap berpegang
kepada demonstrasi secara aman dan bukan kekerasan"

Pada mulanya mereka mengatakan bahawa pemimpin kanan Pas kecewa terhadap kenyataan presiden mereka tanpa memaklumkan siapa pimpinan yang dimaksudkan, namun begitu perenggan seterusnya tiada pula menunjukkan riak-riak kekecewaan terhadap presiden pada kenyataan setiausaha agung Pas, Dato' Kamarudin Jaafar dan ketua penerangan Pas Pusat, Ustaz Ahmad Awang, sedangkan merekalah sebenarnya pemimpin kanan Pas yang menduduki exco dewan harian Pas pusat. Malahan pimpinan tertinggi Pas ini mengakui dalam kenyataan tersebut bahawa ini semua adalah eksploitasi media arus perdana.

Jadi kemungkinannya di sini sama ada mereka yang menjadi budak suruhan kerajaan yang zalim ini sudah terlalu lama berbohong kepada rakyat hingga ke tahap merapu tidak tentu hala ataupun wartawan murahan mereka sendiri yang terlalu sangat mengikut suruhan 'bos' mereka secara membabi buta tanpa mengambil tahu serba sedikit tentang kepimpinan dalam Pas.

posted by Lidah Penghunus @ 4:49 PM   0 comments

Wednesday, June 07, 2006

Jihad ekonomi yang paling utama.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini muka depan yang memaparkan seruan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyeru orang melayu agar melaksanakan jihad ekonomi. Cuma apa yang hendak saya katakan di sini, 28 Mei yang lalu di KLCC telah pun dilaksanakan satu lagi jihad ekonomi yang paling besar iaitu demonstrasi membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik yang ternyata menindas rakyat yang menyaksikan titisan 'darah syuhadah' para pendemonstrasi membasahi gelanggang jihad ekonomi.

Inilah dia jihad ekonomi yang paling besar yang dilaksanakan oleh PROTES yang bukan sahaja setakat mendesak kerajaan agar menurunkan harga minyak dan tarif elektrik, lebih daripada itu menentang segala amalan pembaziran, penyelewengan yang ternyata menjadi punca kepada kenaikan harga minyak dan tarif elektrik ini. Sepatutnya sebelum menyeru kepada rakyat agar melaksanakan jihad ekonomi, kerajaan terlebih dahulu haruslah menlaksanakan operasi jihad ekonomi besar-besaran dengan memerangi dan menggugurkan mereka yang ternyata mengamalkan penyelewengan, rasuah dan kronisme dalam kerajaan.

Dan jihad ekonomi yang paling utama yang perlu kerajaan laksanakan ialah menghapuskan unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat seperti riba, judi dan sebagainya dalam perlaksanaan dasar ekonomi negara seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan sebaik sahaja mendapat mandat pemerintahan. Sebut juga tentang jihad ekonomi, kerajaan Pas Kelantan sekarang ini juga sedang melaksanakan jihad ekonomi dengan memperkenalkan dinar emas sebagai usaha untuk mengurangkan risiko kegiatan manupulasi dan ketidaktentuan nilai matawang Dolar Amerika.

posted by Lidah Penghunus @ 1:08 PM   0 comments


Free Hit Counter