Sunday, August 31, 2008

Terus berjuang untuk kemerdekaan yang sebenar.

Assalamualaikum.

Hari ini adalah hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51. Ulangtahun kemerdekaan ke-51 ini sudah pasti berbeza dengan ulangtahun kemerdekaan ke-50 pada tahun lepas kerana kini BN sudah hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan di lima buah negeri dan Dato' Seri Anwar Ibrahim telah berjaya dikembalikan ke Dewan Rakyat dan tidak mustahil pada 16 September nanti Pakatan Rakyat akan mara ke Putrajaya sebagai sebuah kerajaan persekutuan.

Namun bagi Pas perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan yang sebenarnya di negara ini tetap akan diteruskan kerana kemerdekaan yang sebenar hanyalah apabila Islam itu dilaksanakan sepenuhnya. Kerana apabila namanya sekularisme walaupun dibawa oleh DAP dan PKR sekalipun, kita masih tetap dibelenggu oleh sistem warisan penjajah ini.

Akhir sekali selamat hari ulangtahun kemerdekaan yang ke-51. Semoga Islam akan memerintah, bukan diperintah.

posted by Lidah Penghunus @ 11:25 AM   1 comments

Wednesday, August 27, 2008

Konsert Avril Lavigne sempena menyambut merdeka.

Assalamualaikum.

Pemuda Selangor syor Zulkifli pilih antara UMNO atau Pas.
SHAH ALAM - Pergerakan Pemuda UMNO Selangor mencadangkan agar Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menyertai sama ada UMNO atau Pas untuk memastikan perjuangannya memartabatkan Islam berterusan kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) dihimpit pelbagai masalah dan sekatan.
Ketuanya, Abdul Shukor Idrus berkata, Zulkifli perlu melihat semula kedudukan dalam parti itu selepas penampilan agresifnya berjuang memartabatkan Islam kurang disenangi ahli PKR dan salah satu komponen Pakatan Rakyat (PR), DAP.
“Inilah (cadangan sertai UMNO atau Pas) satu-satu cara untuk beliau meneruskan perjuangan memartabatkan Islam selepas PKR dilihat tidak relevan untuk beliau merealisasikan misi tersebut. Perjuangan mereka (PKR) yang kononnya menuntut kesamarataan kaum meminggirkan beliau apatah lagi sesetengah pendirian parti itu seolah-olah mencabar kedudukan Islam dan kaum Melayu. Sinar Harian - 27 Ogos 2008.

Adakah benar Umno antara wadah untuk memperjuangkan Islam? Sedangkan baru-baru ini kabinet yang disertai oleh pemimpin Umno sendiri yang meluluskan kembali konsert Avril Lavigne yang sebelum ini dibatalkan. Bayangkan pada saat negara kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan dan umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadhan mereka boleh membenarkan kemasukan artis yang menjadi penyebab kepada keruntuhan akhlak anak muda ini.

Di sini jelas bahawa Umno tidak boleh diharapkan untuk membela Islam. Mereka kononnya berkeras terhadap penganjuran forum memeluk Islam oleh Majlis Peguam tetapi boleh menerima artis-artis barat yang merosakkan umat Islam sedangkan artis-artis barat ini sama bahayanya dengan golongan yang menentang Islam ini. Kita juga kesal dengan mufti-mufti yang sibuk dengan isu sumpah laknat Saiful Bukhari tetapi membisu dalam isu yang mengancam generasi muda Islam hari ini.

Di sini Pas tetap konsisten dengan prinsip mereka untuk melaksanakan amal maaruf nahi mungkar. Sama ada ianya dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional atau rakan dalam Pakatan Rakyat, Pas tetap akan membantah tindakan-tindakan yang mungkar ini.

posted by Lidah Penghunus @ 10:06 PM   0 comments

Tuesday, August 26, 2008

Sia-sia sahaja TV3 dan Ezam menyalak seperti anjing saban malam.

Assalamualaikum.

Anwar menang besar: Majoriti 15,671.
9.47 malam: Keputusan rasmi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat majoriti 15,671 undi.
Penasihat PKR itu mendapat 31,195 undi, manakala calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi.

Sementara calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Hamat memperolehi 92 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan.
Yang menariknya, majoriti undi yang diperolehi mantan timbalan perdana menteri itu, lebih tinggi daripada undi yang diperolehi oleh calon BN.
Seramai 81.1 peratus daripada 58,49 pengundi di Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi hari ini.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Dr Wan Azizah menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi. Dipetik daripada http://malaysiakini.com - 26 Ogos 2008.

Alhamdulillah setelah berhadapan dengan cabaran, tohmahan dan perancangan jahat daripada Barisan Nasional akhirnya Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah menang besar dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh hari ini malahan majoriti yang diperolehi lebih daripada majoriti yang diperolehi oleh Dato' Seri Wan Azizah pada Pilihanraya Umum ke-12 Mac yang lalu.

Dengan keputusan ini maka ianya telah menepis segala andaian bahawa Anwar telah hilang sokongan daripada rakyat dan sekaligus ini menunjukkan bahawa tsunami politik terhadap Barisan Nasional masih lagi belum reda dan laungan makkal sakhti masih lagi bergema.

Keputusan pilihanraya kecil ini juga membuktikan bahawa kerjasama Pakatan Rakyat masih lagi utuh dan mereka masih lagi mendapat sokongan daripada rakyat. Sekaligus menolak segala tohmahan yang dilemparkan oleh Barisan Nasional bahawa hubungan antara parti dalam Pakatan Rakyat semakin retak.

Bagi saya dengan kemenangan ini maka Anwar bersama Pakatan Rakyat telah memulakan satu langkah ke Putrajaya untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang adil, bersih dan berkebajikan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:02 PM   1 comments

Monday, August 25, 2008

Cuti umum pun jadi isu.

Assalamualaikum.

Media hari ini, Barisan Nasional yang dibantu oleh haiwan politik mereka turut menghentam tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi cuti umum kepada rakyat negeri itu pada hari pembuangan undi Pilihanraya Kecil Permatang Pauh esok.

Isytihar cuti hari undi merugikan.
Pilihan raya kecil bukan alasan: Najib.
BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Najib Razak semalam mempertikaikan kewajaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mengisytiharkan cuti umum bagi seluruh negeri ini pada hari pengundian pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, esok.
Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan itu sebenarnya dibuat lebih berdasarkan kepada pertimbangan politik, malah ia kali pertama dilakukan dalam sejarah pilihan raya kecil di negara ini. Berita Harian - 25 Ogos 2008.

Kita hairan mengapa BN takut sangat dengan pemberian cuti oleh kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat itu? Adakah kerana ianya menggagalkan taktik mereka untuk mengurangkan undi kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim pada hari pengundian esok?
Kita pula boleh mempersoalkan mengapa SPR yang ditunggang oleh mereka meletakkan hari pengundian pada hari bekerja? Mengapa tidak boleh dibuat pada hari cuti?

Jadi BN tidak perlulah mempertikaikan keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberikan cuti umum kerana itu hak mereka. Jika BN, andaikata negara kita memperolehi emas pertama Sukan Olimpik tidak mustahil cuti umum seluruh negara akan diberikan maka adalah sesuatu yang tepat kerajaan negeri memberi cuti umum agar pengundi di Permatang Pauh dapat menunaikan kewajiban mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 6:41 PM   0 comments

Sunday, August 24, 2008

Najib sudah berani bersumpah.

Assalamualaikum.

Khairy Cabar Anwar Ikut Tindakan Najib Bersumpah Cara Islam.
BUKIT MERTAJAM, 23 Ogos (Bernama) -- Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini mencabar penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersumpah mengikut cara Islam bagi membersihkan namanya seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Beliau berkata tindakan Timbalan Perdana Menteri bersumpah di Masjid Jamek Guar Perahu malam tadi untuk menafikan beliau kenal dan mempunyai kaitan dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibuat untuk mencari kebenaran berikutan diserang secara peribadi berulang kali oleh Anwar. BERNAMA - 23 Ogos 2008.

Sumpah jadi mainan Umno di Permatang Pauh - Anwar.
PERMATANG PAUH, 24 Ogos (Hrkh) - Calon Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim sudah mengagak sumpah akan menjadi bahan permainan kepimpinan Umno selepas sumpah Saiful Bukhari Azlan baru-baru ini.
La ni tak payah ada hakim semua main sumpah saja, kalau macam tu pi mencuri, bunuh orang balik mai sumpah, imam pulak kena pakai imam Umno," katanya.
Tambah beliau lagi, Umno pada hari ini suka bermain dengan al-Quran dan tidak menghormati kesucian al-Quran tersebut.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak bersumpah di Masjid Guar Perahu semalam kononnya tidak mengenali wanita Mongolia, Antantuya apatah lagi terlibat dalam kompirasi membunuhnya. Harakahdaily - 24 Ogos 2008.


Mungkin setelah hampir seminggu selepas bersumpah laknat tiada apa yang berlaku kepada Saiful maka Dato' Seri Najib menganggap bahawa sumpah laknat Saiful itu tiada apa dan mungkin kerana itulah beliau berani untuk bersumpah untuk menafikan dirinya mengenali Altantuya.
Sedangkan Najib lupa bahawa jika tidak di dunia orang yang melakukan kesalahan ini akan dihukum juga pada hari akhirat kelak.
Mari sama-sama kita renungi ayat al Quran di bawah ini.

apabila orang-orang munafik datang kepadamu (Wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami mengakui Bahawa Sesungguhnya Engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah". dan Allah sememangnya mengetahui Bahawa Engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan Bahawa Sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.
mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa Yang mereka telah kerjakan.
(perbuatan buruk) Yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka Dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan Yang mana salah).
Surah al-Munafikun ayat 1-3.

posted by Lidah Penghunus @ 3:29 PM   0 comments

Saturday, August 23, 2008

Harga minyak yang turun bagai melepaskan batuk di tangga.

Assalamualaikum.

Harga minyak turun.
PUTRAJAYA: Kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 masing-masing 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter, manakala harga diesel sebanyak lapan sen kepada RM2.50 seliter, berkuat kuasa jam 12 tengah malam tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam selaras penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu lalu dan bagi mengimbangi kenaikan kadar inflasi. Berita Harian - 23 Ogos 2008.

Sebelum ini kita telah melihat Saiful Bukhari membuat sumpah laknat sehari sebelum penamaan calon Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, Rang Undang-Undang DNA dibentangkan ketika Anwar menghadapai tuduhan liwat di mahkamah dan dua Exco Kerajaan Negeri Perak daripada PKR di tahan BPR ketika PKR dan Pakatan Rakyat sedang berhadapan dengan BN di Permatang Pauh. Kini kurang lima hari lagi hari membuang undi di Permatang Pauh, tiba-tiba kerajaan mengumumkan penurunan harga minyak petrol dan diesel. Sedangkan dijangkakan bahawa kerajaan akan menurunkan harga minyak pada masa pembentangan belanjawan lebih kurang seminggu sahaja lagi.

Jadi di sini kita tertanya-tanya adalah tindakan terburu-buru kerajaan BN ini adalah untuk memancing undi rakyat Permatang Pauh? Jika dilihatkan pada kadar penurunannya juga tidaklah sebesar mana. Seperti melepaskan batu di tangga. Saya sempat mengikuti pandangan orang ramai berkenaan keputusan menurunkan harga minyak yang dibuat dalam berita TV semalam. Rata-rata mereka menyatakan bahawa jumlah penurunan tersebut adalah tidak memadai dan mereka mahukan ianya diturunkan lagi.

posted by Lidah Penghunus @ 10:12 AM   1 comments

Wednesday, August 20, 2008

Jalur Gemilang dan Hari Kebangsaan.

Assalamualaikum.

Berita jam lapan malam sebentar tadi telah mendedahkan tentang cadangan seorang blogger untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik sempena ulangtahun kemerdekaan negara atas alasan bahawa negara berada dalam keadaan tidak menentu bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Saya sendiri juga tidak setuju dengan cadangan berkenaan kerana Jalur Gemilang adalah bendera kebangsaan negara bukan hanya milik parti yang tertentu dan ianya tidak sepatutnya dilibatkan dalam kemelut politik yang melanda negara ini.

Tambahan lagi perjuangan kita selama ini tujuannya juga adalah untuk kesejahteraan negara kita yang tercinta. Kita bukan anti kerajaan sebaliknya kita mahu menggantikan parti yang korup dengan parti yang lebih baik sebagai parti pemerintah. Maka sempena ulangtahun kemerdekaan yang ke-51 ini bendera kebangsaan Jalur Gemilang akan tetap dikibarkan dengan sempurna dan sambutan ulangtahun kemerdekaan akan terus disambut dengan harapan agar Malaysia bebas daripada kezaliman, korupsi dan seterusnya Islam menjadi dasar utama negara.

Cerita juga tentang Jalur Gemilang dan Hari Kebangsaan ini, apa yang saya perhatikan kurang dua minggu lagi hendak sambut Hari Kebangsaan namun bendera kebangsaan masih lagi kurang dikibarkan di jalanraya dan premis-premis. Ada yang mengatakan bahawa fenomena ini ada kaitan dengan sentimen rakyat yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan menaikan harga minyak. Walaupun disebutkan tadi bahawa bendera kebangsaan tidak patut dilibatkan dalam sentimen kemarahan kita kepada parti pemerintah namun kerajaan khususnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus memandang perkara ini sebagai protes senyap daripada rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional.

Sekurang-kurangnya ini adalah lebih baik daripada mengibarkan bendera tetapi dalam keadaan yang terbalik sebagai tanda protes.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Monday, August 18, 2008

Selamat duit rakyat satu juta.

Assalamualaikum.

Cerita sedikit berkenaan temasya Sukan Olimpik Beijing 2008, sebagai rakyat Malaysia saya juga mengharapkan atlit badminton negara kita merangkul emas yang pertama dan sudah pasti agak kecewa apabila percubaan kita untuk mendapatkan emas pertama ini gagal.

Namun begitu kita tetap berasa syukur kerana walaupun begitu, salah seorang atlit negara kita tetap merangkul pingat perak sekaligus berjaya meletakkan Malaysia sebagai penerima pingat. Lagipun hikmahnya disebalik keputusan ini duit rakyat satu juta dapat diselamatkan. Mudah-mudahan atlit negara kita bukan beraksi semata-mata kerana wang ringgit.

posted by Lidah Penghunus @ 11:48 PM   1 comments

Apabila mufti tidak dihormati.

Assalamualaikum.

Tak hormat kenyataan Mufti Johor.
KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir penonton konsert Pesta Malam Indonesia, di sini, malam kelmarin, tanpa segan silu memakai perhiasan tanduk yang menyerupai imej syaitan, walaupun Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut sebelum ini menyatakan perbuatan itu haram kerana bercanggah dengan Islam.

Lebih memeranjatkan ada remaja wanita Melayu yang bertudung turut memakai ‘tanduk syaitan’, seolah-olah tidak menghormati kenyataan yang dibuat tokoh ulama itu.
Pemerhatian Harian Metro di tapak konsert mendapati penjual perhiasan itu yang dipercayai warga asing, turut mengambil kesempatan mengaut untung tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat Islam.
Kebanyakan penonton yang memakai perhiasan tanduk itu adalah remaja wanita berbanding lelaki kerana mereka begitu `teruja’ apabila memakainya. Harian Metro - 18 Ogos 2008.

Bagaimanalah rakyat khususnya masyarakat Islam hendak menghormati mufti atau ulama' jika mereka sendiri tiada kredibiliti, takut untuk menyatakan kebenaran kerana takut dilucutkan jawatan. Dalam isu yang dibawakan oleh Harian Metro di atas ini, Mufti Johor ini menyatakan haram perbuatan memakai perhiasan berupa tanduk syaitan tetapi beliau tidak pula menegur berkenaan penganjuran konsert yang dilihat melalaikan serta melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Saya tidak pasti adakah Mufti Johor ini turut sama membantah penganjuran konsert Inul yang telah dibatalkan di Johor sebulan yang lepas.

Satu lagi bagaimanakah masyarakat Islam hendak mendegar kata mufti atau ulama' jika pemimpin mereka sendiri engkar teguran mufti. Paling dekat upacara mengalungkan bunga pada Tugu Negara sempena sambutan Hari Pahlawan beberapa minggu yang lepas. Sedangkan Mufti telah memfatwakan perbuatan berkenaan sebagai haram. Jadi tidak hairanlah jika dalam banyak hal pandangan dan teguran mufti dipandang sepi.

posted by Lidah Penghunus @ 11:14 PM   0 comments

PRK Permatang Pauh

Assalamualaikum.

Tempoh hari Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek memberikan jaminan bahawa liputan yang adil dan seimbang akan diberikan kepada Pakatan Rakyat khususnya PKR dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Namun apabila bermulanya kempen pilihanraya kecil media-media utama negara telah sedia menjadi haiwan politik, berkempen untuk Umno dan Barisan Nasional serta menyerang Pakatan Rakyat khususnya Dato' Seri Anwar Ibrahim. Jadi mana dia janji Shabery Cheek untuk memberikan keadilan media kepada Pakatan Rakyat? Apakah Shabery masih lagi terlena dengan penganjuran debat Anwar-Shabery yang kononnya dikatakan bukti kebebasan bersuara oleh kerajaan BN? Sedangkan bila tibanya pertarungan sebenar maka inilah yang akan terjadi iaitu media-media di negara ini gagal untuk memberikan keadilan yang sepatutnya.

Sentuh sedikit tentang isu yang menjadi modal haiwan politik BN untuk menyerang calon Pakatan Rakyat iaitu insiden kononnya penyokong PKR membelasah wartawan dan meraba ahli Puteri Umno. Di sini saya percaya ianya adalah perancangan dari pihak tertentu untuk mewujudkan imej yang buruk kepada Pakatan Rakyat khususnya PKR. Adalah mustahil untuk para penyokong atau pendokong Pakatan Rakyat bertindak keterlaluan sebegitu kerana mereka sekarang berada dalam keadaan yang agak selesa lebih-lebih lagi melihatkan jumlah penyokong calon Pakatan Rakyat yang begitu besar pada hari penamaan calon sabtu minggu lepas. Masakan penyokong PKR ini hendak merosakkan sokongan yang diberikan oleh rakyat kepada parti mereka dengan tindakan yang tidak bermoral sebegitu.

Jadi tidak ada bukti bahawa penyokong Pakatan Rakyat yang melakukannya kerana jika setakat baju berimejkan PKR dan Anwar Ibrahim, sesiapa pun boleh memakainya.

posted by Lidah Penghunus @ 10:16 PM   0 comments

Thursday, August 14, 2008

Hunusan malam jumaat.

Assalamualaikum.

Bajet 'buah tangan' untuk rakyat: Najib.
Hajat pembangkang tubuh kerajaan tak akan kesampaian.
BUTTERWORTH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan mengumumkan berita gembira dalam bentuk 'buah tangan' untuk rakyat dalam Bajet 2009, 29 Ogos ini.
Katanya, kerajaan memahami kesusahan rakyat berikutan penstrukturan semula subsidi minyak dan tekanan dihadapi mereka akibat daripadanya.
"Kita dengar rintihan rakyat yang hadapi tekanan akibat kenaikan harga barang. Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengar masalah rakyat, kita akan sediakan goodies dalam bajet nanti," katanya berucap melancarkan jentera pilihan raya BN Permatang Pauh di Seberang Jaya di sini, malam tadi.
Najib juga berkata, impian Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan baru pada 16 September juga tidak akan menjadi kenyataan. Berita Harian - 14 Ogos 2008.

Rupa-rupanya apa yang kerajaan Barisan Nasional buat ini bertujuan untuk menarik kembali sokongan politik daripada rakyat serta menghalang kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

posted by Lidah Penghunus @ 10:02 PM   0 comments

Wednesday, August 13, 2008

Selamat bermuktamar para pendokong gerakan Islam

Assalamualaikum.

Bermula esok dengan berlangsungnya Muktamar Pemuda Pas Pusat dan diikuti dengan Muktamar Dewan Muslimat dan Dewan Ulama' maka akan bermulalah Muktamar Agung Tahunan Pas kali ke-54 yang julung-julung kalinya akan diadakan di Negeri Perak Darul Ridzuan. Muktamar pada kali ini juga diadakan ketika Pas bersama-sama Pakatan Rakyat bersama-sama membentuk kerajaan di beberapa buah negeri.

Yang penting sekali muktamar ini tiba ketika Gerakan Islam Pas ini dilanda dengan pelbagai isu dan persoalan antaranya hubungan parti itu dengan Pakatan Rakyat, isu muqabalah, soal prinsip perjuangan islam yang semua ini sebagai ujian kepada Pas sejak memperolehi kemenangan bersama di lima negeri. Maka diharapkan muktamar ini dapat menjadi medan untuk merungkai persoalan dan dilema yang melanda parti ini.

Dan yang pastinya Muktamar Agung Pas ini mestilah berbeza dengan Umno kerana Umno walaupun diambang kemerosotan yang teruk dalam pilihanraya umum yang lepas, hilang berapa negeri namun budaya berebut jawatan dan politik wang masih tidak dapat dipisahkan daripada parti itu. Pas insya-Allah walaupun mempunyai kedudukan sebagai kerajaan di beberapa negeri namun hingga pemilihan pada muktamar tahun depan pun perebutan jawatan dan jauh sekali politik wang tidak akan berlaku.

Akhir sekali selamat bermuktamar kepada para perwakilan Pas sekalian. Bermuktamarlah dengan niat mencari keredhaan Allah SWT.

posted by Lidah Penghunus @ 9:49 PM   0 comments

Tuesday, August 12, 2008

Mahasiswa UiTM berdemonstrasi di hadapan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Assalamualaikum.



5,000 berhimpun bantah UiTM dibuka untuk bukan Bumiputera.
SHAH ALAM: Kira-kira 5,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhimpun di depan pintu masuk utama bangunan pentadbiran kerajaan negeri, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), di sini pagi ini untuk membantah cadangan membuka UiTM kepada bukan Bumiputera. Pelajar mula berhimpun seawal jam 7 pagi di Dataran Shah Alam sebelum berarak secara aman menuju pintu masuk utama sejauh 500 meter diketuai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Luqmann Ulhakim Mohamad Idris.
Mereka turut membawa sepanduk 'Selamatkan UiTM' sambil menyanyikan lagu rasmi universiti itu dan lagu patriotik, Warisan.
Luqman turut menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri yang diserahkan kepada wakil Pejabat Menteri Besar, Hasril Abu Hassan. Edisi Mutakhir Berita Harian - 12 Ogos 2008.

Di sini saya tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan golongan mahasiswa, khususnya mahasiswa UiTM. Kerana saya juga pernah menjadi kaum siswa dan saya juga menyokong idealisme perjuangan mahasiswa. Cuma dalam laporan berita di atas ini saya hairan mengapa apabila sesuatu isu itu membabitkan kerajaan negeri yang didokong oleh Pakatan Rakyat baru mahasiswa UiTM yang kononnya mempunyai idealisme perjuangan itu turun berdemonstrasi?

Sedangkan UiTM sebelum ini kita sudah maklum antara universiti yang paling kuat mengampu kerajaan Barisan Nasional, paling kuat menyekat aktivisme mahasiswa, hinggakan Naib Canselor universitinya hampir-hampir menjadi calon Barisan Nasional pada pilihanraya umum yang lalu. Maka kerana itu jangankan hendak mengadakan demonstrasi, persatuan yang berbentuk Islam juga tidak dibenarkan di universiti itu.

Berbalik kepada isu yang dibantah oleh pelajar UiTM itu tadi, di sini saya menyokong bantahan mereka terhadap cadangan untuk membuka kuota 10 peratus kepada pelajar bukan bumiputera. Namun begitu mengapa mereka begitu membisu dalam isu-isu yang lain? Misalnya tindakan untuk melaksanakan dasar meritokrasi, mana tindakan demonstrasi daripada pelajar UiTM? Cuba jika yang membuat kenyataan itu Datuk Menteri Besar Khir Toyo, adakah pelajar UiTM berani untuk berdemonstrasi? Dan adakah tindakan demonstrasi mereka pada masa itu akan direstui oleh pentadbiran UiTM terutama sekali Naib Canselornya?

Di sini bukan lagi rahsia bahawa pelajar UiTM adalah yang paling ramai terlibat dengan salah laku sosial dan keruntuhan akhlak. Ini semua adalah akibat daripada meminggirkan Islam dalam kampus berkenaan. Ini ditambah pula dengan kesediaan mereka diperalat oleh kerajaan Barisan Nasional untuk memenuhi agenda mereka menyerang kerajaan Pakatan Rakyat. Maka kita takut nanti UiTM akan lebih sinonim dengan Universiti Institut Ternak Melayu.

posted by Lidah Penghunus @ 6:46 PM   5 comments

Saturday, August 09, 2008

Kronimania

Assalamualaikum.

Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz dalam berita tv jam lapan malam sebentar tadi sebagai menjawab isu perlantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Operasi dalam Perbadanan Menteri Besar. Beliau mengatakan bahawa pada zaman Rasulullah SAW juga orang yang rapat dengan Rasulullah dilantik memegang jawatan yang penting dalam pentadbiran negara.

Di sini saya teringat ketika Datuk Zahid Hamidi yang ketika itu Ketua Pemuda Umno Malaysia membangkitkan persoalan kronisme pada tahun 1998 dahulu. Pada masa itu salah seorang perwakilan mengaitkannya dengan zaman Rasulullah saw sebagai menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Datuk Zahid Hamidi ketika itu.

Jawapan saya pada ketika itu pula, Rasulullah melantik menantunya dalam jawatan penting bukan bertujuan untuk mengaut kekayaan negara semahu-mahunya tetapi ianya adalah sebagai amanah. Sedangkan dalam Umno kroni-kroni inilah yang mengautkan segala kekayaan negara.

Berbalik kepada isu kronime dan Tok Guru Nik Aziz itu tadi, hendak tahu sama ada Tok Guru Nik Aziz mengamalkan kronisme untuk kepentingan diri beliau atau tidak kita diselidik sahaja Perbadanan Menteri Besar Kelantan sama ada wujud banyak masalah atau tidak dalam operasinya dan berlakunya penyelewengan atau tidak dalam perbadanan tersebut.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Tuesday, August 05, 2008

Umno akan hancur.

Assalamualaikum.

Tindakan tegas jika terbabit politik wang.
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno akan mengkaji tindakan yang diambil Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap pemimpin parti yang terbabit dalam kegiatan politik wang untuk mendapatkan pencalonan. Berita Harian - 4 Ogos 2008.

Pemimpin Seremban dijamin RM3,000.
SEREMBAN: Seorang pemimpin Umno Seremban yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di sini, petang kelmarin, kerana disyaki memberi sogokan kepada seorang ketua cawangan sebagai dorongan mencalonkannya sebagai ketua bahagian pada pemilihan bahagian itu, Oktober ini, dibebaskan dengan jaminan RM3,000, semalam. Berita Harian - 4 Ogos 2008.


'Pemilihan paling buruk'
Secara keseluruhan politik wang sudah jadi barah: Syed Hamid
KOTA TINGGI: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyifatkan pemilihan cawangan Umno yang sedang berlangsung sekarang, adalah yang paling buruk pernah disaksikan dan dialami sepanjang pengalamannya menjadi ahli parti.
Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Kota Tinggi, berkata berdasarkan pandangan peribadinya, secara keseluruhan politik wang sudah menjadi barah dan semakin merebak bukan hanya di peringkat tertinggi tetapi juga di akar umbi.
"Saya tidak pasti sama ada barah (politik wang) ini boleh diubati atau tidak, tetapi pertandingan kali ini, mempunyai kemaruk yang buruk... semua pihak bertanding bersungguh-sungguh seperti hendak berperang," Berita Harian - 4 Ogos 2008.

Naib Ketua bahagian terima makanan anjing.
KOTA TINGGI: Bahang pemilihan Umno semakin terasa apabila seorang peniaga yang juga Naib Ketua Umno bahagian Kota Tinggi, Mohd Zain Arif, 51, mendakwa dihina apabila menerima satu bungkusan mengandungi makanan dan bulu anjing, Khamis lalu.
Pemberian menerusi khidmat pos laju swasta itu dianggap cubaan individu pengecut kerana tiada nama dan alamat, manakala nombor telefon yang disertakan pula tidak boleh dihubungi. Berita Harian - 4 Ogos 2008.

Mesyuarat Sedili Kecil kecoh.
KOTA TINGGI: Mesyuarat Umno cawangan Sedili Kecil bahagian Kota Tinggi kelmarin, kecoh apabila bekas ketua cawangannya yang didakwa penyokong Datuk Seri Syed Hamid Albar bergaduh dengan penyokong calon Ketua bahagian Umno Kota Tinggi, Daing A Malik Daing A Rahman.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, bekas Ketua Cawangan Umno berkenaan dikenali sebagai Jamat mahu undian untuk pencalonan lima perwakilan ke pemilihan Umno bahagian dibuka semula selepas tidak berpuas hati dengan keputusan awal.
Setiausaha Umno cawangan berkenaan, Sultan Shahril Siaman, berkata selain Jamat, bekas Ketua Pemuda Umno cawangan berkenaan, Awi Abdul Rahman turut membuat kecoh dengan menolak meja serta menghempas kerusi. Berita Harian - 5 Ogos 2008.

Gejala politik wang atau rasuah politik dan perebutan kuasa adalah suatu penyakit yang telah melanda Umno sejak lama dahulu lagi. Hinggakan kedua-dua amalan buruk ini telah menjadi sinonim dengan Umno setiap kali tibanya pemilihan dalam perhimpunan agung parti berkenaan. Daripada parti ini diambang kegemilangan dalam kuasa politik dan ketika parti ini sedang diambang kemerosotan dalam pilihanraya pun gejala buruk ini masih menjadi amalan malahan hingga tahap disebut oleh seorang pimpinan parti pemilihan yang paling buruk.

Ini baru mesyuarat peringkat cawangan. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana pula nanti apabila berlangsungnya mesyuarat peringkat bahagian tidak lama lagi. Bagi saya apa yang berlaku sekarang ini membayangkan bahawa saat kehancuran Umno itu sudah semakin hampir. Ketika parti itu tidak lagi mendapat sokongan yang padu daripada orang Melayu, ketika banyak pihak menyebut tentang survival orang Melayu dan ketika orang menyebut tentang perpaduan Melayu dan Islam namun kebanyakan ahli Umno masih lagi tamak dan haloba dengan jawatan dalam parti hingga sanggup mengamalkan politik wang.

Melihatkan keadaan ini maka adalah sesuatu yang amat tepat apabila Pas menolak untuk bergabung dengan Umno kerana dikhuatiri virus yang di dalam Umno ini akan merebak kedalam Pas apabila mereka bergabung. Dan cara yang paling berkesan untuk Pas menolong Umno ialah mempelawa ahlinya yang masih ikhlas berjuang meninggalkan Umno dan menyertai Pas agar dapat bersama-sama memperjuangkan Islam dan meninggalkan perjuangan kebendaan.

posted by Lidah Penghunus @ 6:21 PM   1 comments


Free Hit Counter