Monday, May 29, 2006

Kroni berhutang, rakyat tanggung beban, rakyat juga yang kena terajang.

Assalamualaikum.

Semalam semasa Ijtimak Negeri Pas Selangor, kami mendapat berita daripada Ustaz Nasharuddin Mat Isa bahawa Demonstrasi PROTES di KLCC pagi semalam telah dicemari insiden keganasan polis, seramai 18 orang telah ditahan termasuk Ketua Pemuda Pas Pusat. Kebetulan Ustaz Nasha yang datang memberi untuk ceramah penutup ijtimak baru sahaja balik dari menyertai demonstrasi. Malahan baju yang beliau pakai masih basah lagi akibat semburan water canon.

Masa tu rasa bersalah pula saya sebab kami di sini sibuk dengan kertas kerja, resolusi, sedangkan sahabat-sahabat kami di KLCC sana yang turun berdemonstrasi terpaksa berhadapan dengan keganasan polis dan 'hujan asid'. Apapun tahniah diucapkan kepada para pendemonstrasi yang sanggup turun membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik, berani berhadapan dengan risiko FRU dan 'hujan asid'. Andaikata semalam tiada bertembung dengan ijtimak kami juga akan turun bersama-sama membantah kenaikan harga minyak diikuti tarif elektrik dan berhadapan dengan mereka yang dipergunakan oleh pemerintah untuk membelasah rakyat.

Melihatkan kepada tindakan pihak polis yang semakin tidak beretika semalam, menunjukkan kepada kita betapa takutnya pemerintah dengan keputusan pilihanraya negeri Serawak yang menunjukkan BN kehilangan 9 kerusi yang dipercayai akibat protes rakyat Serawak terutama di kawasan bandar terhadap kenaikan harga minyak. Namun apapun yang kerajaan cuba lakukan, usaha akan tetap kita teruskan dengan pelbagai cara sekalipun agar kesedaran tentang penindasan oleh kerajaan BN ini akan menjalar di segenap lapisan rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 1:42 PM   6 comments

Wednesday, May 24, 2006

Antara emas yang terlekat di lengan dan emas yang berlegar dalam kitaran ekonomi.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini memaparkan tentang golongan wanita yang membidas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz tentang wanita yang memakai barang kemas. Antaranya mereka menyifatkan Tok Guru tidak memahami naluri dan sifat kaum hawa yang suka kepada perhiasan khususnya emas. Nampaknya sama ada mereka tidak faham tentang kenyataan Tok Guru atau pun wartawan yang telah memutar belitkan kenyataan Tok Guru. Yang sebenarnya Tok Guru Nik Aziz menegur kaum wanita yang terlalu banyak memakai barang kemas, kalau boleh dimaksudkan di sini bersalut emas hingga ke pangkal lengan. Kenyataan Tok Guru itu selari dengan al quran yang melarang kaum wanita menzahirkan perhiasan mereka dan islam juga melarang kita berlebih-lebihan dalam suatu perkara.

Ada pula wanita yang ditemui memberi alasan dia memakai banyak barang kemas kerana takut jika simpan dirumah ianya akan dimasuki pencuri. Nampaknya dia juga lupa bahawa di luar juga dia akan berhadapan dengan risiko peragut yang sekarang ini semakin menjadi-jadi. Dalam hal ini juga polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu menonjolkan banyak barangan kemas sebagai langkah mencegah kejadian ragut. Memang tidak dinafikan manfaat menyimpan barang kemas ianya boleh digadai apabila dalam keadaan sesak, namun begitu langkah ini juga akan membuatkan mereka terikat dengan riba apabila ingin menebus kembali emas berkenaan. Jadi adalah lebih baik ianya dicagarkan ke sistem pajak gadai islam al Rahn seperti yang disarankan oleh kerajaan negeri Kelantan baru-baru ini.

Berkenaan dengan cadangan kerajaan negeri untuk menggunakan dinar emas ini pula, apa yang perlu fahami di sini ialah emas adalah satu-satunya mekanisma yang selamat dari risiko manipulasi pedagangan matawang berbanding dengan dolar Amerika. Apa yang perlu kita ketahui juga di sini antara punca wujudnya elemen faedah pinjaman atau riba adalah kerana ketidaktentuan nilai matawang yang bersandarkan kepada dolar Amerika itu tadi. Maka dinar emas ini adalah satu mekanisma yang terbaik dalam usaha kerajaan negeri merealisasikan pengurusan ekonomi yang bebas daripada riba tanpa perlu menanggung bebanan akibat pengaruh sistem ekonomi global yang berpaksikan kepada kapitalis ini. Bukanlah bermaksud Tok Guru nak gantikan Ringgit Malaysia kepada 'Dinar Kelantan' Dinar emas ini hanyalah sebagai mekanisma yang akan menggantikan Dolar Amerika untuk simpanan bukan untuk tujuan jual beli dalam pasaran terbuka. Ini samalah seperti kerajaan mengeluarkan Bon sebagai simpanan jangka panjang untuk rakyat, cuma bezanya Bon ini akan terikat dengan risiko untung rugi pelaburan dan turun naik nilai matawang berbanding dengan dinar emas.

Jadi sebagai pengerusi kepada OIC sepatutnya bukan sahaja usaha kerajaan negeri Kelantan ini harus disokong, lebih daripada itu cadangan ini harus diperluaskan kepada negara-negara anggota OIC.

posted by Lidah Penghunus @ 2:48 PM   0 comments

Sunday, May 21, 2006

Keputusan Pilihanraya Serawak- Terus gerhana tetapi agak kurang gerhananya.

Assalamualaikum.

Keputusan pilihanraya negeri Serawak sudah pun diketahui semalam, sebagaimana yang telah dijangkakan seperti juga pilihanraya yang lepas BN terus melanjutkan kuasanya ni Bumi Kenyalang yang diikutkan kaya namun masih ramai lagi rakyatnya yang miskin. Inilah dia hasil daripada penguasaan media budak suruhan Umno dan Barisan Nasional yang kita lihat sepanjang tempoh berkempen mereka dengan terang-terang berkempen bagi pihak tuan mereka, apa yang datang dari kerajaan semuanya dilaporkan baik, apa yang datang dari pembangkang semuanya dilaporkan dalam bentuk negatif. Ini ditambah lagi dengan politik ugutan dan sogokan yang diamalkan oleh mereka. Rancangan Malaysia Ke-9 bertukar menjadi Rancangan Barisan Nasional Ke-9 apabila ianya digunakan oleh BN sebagai sebagai bahan untuk mengugut rakyat Serawak agar terus mengundi mereka.

Namun begitu walaubagaimana kotornya taktik mereka, pilihanraya kali ini telah memberikan kejutan kepada BN serawak apabila pembangkang menang di 8 kerusi Dun, Parti Keadilan Rakyat julung-julung kalinya berjaya menembusi 1 kerusi Dun dan SUPP hilang banyak kerusi Dun. Pas walaupun tidak berjaya menembusi Dun Beting Maro tetapi telah berjaya meningkatkan undi di kawasan berkenaan dan berjaya mengurangkan majoriti yang dimenangi oleh BN. Melihatkan kepada kekalahan BN yang banyaknya di kawasan bandar ini, menggambarkan kepada kita bahawa telah ada satu gelombang perubahan pemikiran rakyat di negeri Serawak. Mereka yang tinggal di kawasan bandar yang terdedah dengan teknologi maklumat, internet dan sebagainya ini sudah bosan dengan tindak-tanduk BN yang banyak merugikan rakyat selama mereka menguasai negeri Serawak. Melihatkan juga kepada peratusan mereka yang keluar mengundi yang semakin merosot ini, menunjukkan kepada kita bahawa kebanyakan rakyat serawak sudah bosan sebenarnya dengan pilihanraya di Serawak ini yang seolah-olah rakyat dipaksa agar memenangkan BN sahaja.

Seperti biasa apabila mengulas tentang kekalahan BN di beberapa kawasan Dun Serawak ini, mereka akan memberikan alasan bahawa pembangkang telah membawa propaganda yang telah mempengaruhi rakyat menolak BN. Ini menunjukkan bahawa sebilangan rakyat Serawak telah mula membuka mata dan minda mereka dengan pendedahan oleh pembangkang tentang penyelewengan oleh pemerintah selama ini. Selain daripada itu ada pula yang memberi alasan kekalahan mereka adalah kerana faktor perjudian dan pertaruhan di kawasan-kawasan tertentu. Adakah relevan kekalahan BN dikaitkan dengan perjudian pilihanraya? sedangkan bagi mereka yang bertaruh ini sudah tentulah akan memilih BN sebagai pertaruhan kerana mereka sudah jangka bahawa peluang BN adalah besar. Satu lagi yang menjadi persoalan, besar sangatkah jumlah kaki judi di suatu kawasan itu hingga undi mereka boleh menentukan parti mana yang menang. Ini semua adalah alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk mereka yang korup ini menutup kelemahan mereka dalam pilihanraya kali ini.

Dengan adanya sembilan wakil pembangkang di Dun Serawak ini maka mereka akan menjadi pemantau kepada gerak-geri kerajaan negeri Serawak yang akan meneruskan pemerintahan. Diharapkan mereka gandingan PKR dan 9 wakil DAP ini dapat membela nasib rakyat Serawak yang selama ini ditindas oleh BN.

posted by Lidah Penghunus @ 10:30 PM   0 comments

Friday, May 19, 2006

Agenda Islam hadhari diteruskan dalam AF4

Assalamualaikum.

Sekarang telah pun bermula Akademi Fantasia musim keempat dan akan bermulalah pesta 'pilihanraya' bagi mengundi calon-calon pelajar terbaik AF4. Jika AF yang lepas menampilkan seorang bekas bilal, membawa imej ustaz, menyanyikan lagu nasyid sebagai tarikan, AF4 kali ini menampailkan wanita yang bertudung sebagai kelainan. Di forum-forum maya berbentuk islamik, sudah pun ada perbincangan tentang isu ini dan yang pastinya pandangan-pandangan dari peserta forum adalah berbentuk kritikan terhadap wanita bertudung yang menyertai pertandingan yang memerlukan dia melunakkan suara dikhalayak ramai itu.

Oleh itu tidak perlulah lagi saya ulas panjang tentang isu ini, kerana ianya sudah jelas membawa agenda Islam Hadhari. Cuma di sini apa yang saya fikirkan tidak mustahil akan ada nanti suara-suara yang mengatakan bahawa Menteri Besar Kelantan akan menjemput penyanyi wanita ini membuat persembahan di Negeri Kelantan sebagaimana jemputan terhadap Mawi setelah dia menjadi juara yang akhirnya akan menutup suara-suara kritikan itu tadi. Bagi saya tidak mustahil Tok Guru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas ini akan menjemput Salima ke Kelantan untuk membuat persembahan, tetapi persembahan nyanyian yang hanya untuk wanita, dalam pentas tertutup dan konsepnya sama seperti Konsert Mawi sempena pengisytiharan Kota Bharu Bandaraya Islam yang lepas iaitu konsep hiburan islam yang tidak mengabaikan solat.

Di sini saya percaya Pas tetap dengan berpegang kepada hukum bahawa wanita adalah tidak dibenarkan memperdengarkan suara nyanyiannya dikhalayak lelaki. Dalam akhbar Harakah yang lepas, pada ruangan soal jawab agama juga menjelaskan bahawa permainan muzik yang bertali dan berbentuk tiupan masih terdapat perselisihan pendapatan di kalangan ulama' namun begitu dalam soal suara nyanyian wanita ini, para ulama' bersepakat bahawa kaum wanita haram memperdengarkan alunan(menyanyi) suara mereka kepada lelaki bukan muhrim.

Oleh itu tidak timbul soal bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan menjemput Salima apabila dia menjadi juara AF4 kelak untuk membuat persembahan nyanyian di Dataran MPKB mahu pun Stadium Sultan Muhammad IV. Tambahan lagi jemputan terhadap Mawi dahulu adalah jemputan dari kerajaan negeri bagi meraikan pengisytiran MPKB sebagai bandaraya islam.

posted by Lidah Penghunus @ 4:19 PM   0 comments

Antara Binyu Sof dan WPA1.

Assalamualaikum.

Bermula dengan pendedahan akhbar Harakah tentang pembaziran oleh Kementerian Wilayah yang membeli nombor pendaftaran kenderaan WPA1 bernilai RM60,000, dan laporan itu telah dijawab oleh Ketua Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan yang menjelaskan bahawa No. pendaftaran kenderaan itu adalah diberikan percuma istimewa untuk kenderaan rasmi menteri.

Namun ianya tidak selesai di situ apabila timbul persoalan mengapa jika diberi percuma ianya tersenarai dalam pemenang tender. Hingga ada cadangan untuk dibawa isu ini ke BPR akhirnya Menteri yang berkenaan memulangkan kembali No. pendaftaran tersebut atas alasan tidak mahu memanjangkan kontroversi.

Sebelum ini kita sudah maklum tentang isu perletakan jawatan Dato' Sharir Samad sebagai pengerusi BBCBN yang akhirnya membawa kepada siasatan BPR terhadap Ahli Parlimen Jasin yang juga pemilik Binyu Sof. Nampaknya ada juga baiknya isu Sharir ini, sekurang-kurangnya menimbulkan rasa takut kepada wakil-wakil BN yang lain untuk membuat salah laku.

Berani kerana benar, takut kerana salah.

posted by Lidah Penghunus @ 12:09 AM   0 comments

Tuesday, May 16, 2006

Antara tindakan bodoh dan tindakan bacul.

Assalamualaikum.

Berita hari ini menyiarkan tentang kenyataan Dato' Nazri Aziz bahawa demonstrasi membantah forum anjuran IFC oleh Badan Bantah IFC atau BADAI adalah tindakan bodoh atas alasan cuba menyekat apa yang dikatakan forum ilmiah. Mereka iaitu BADAI bertindak 'bodoh' kerana membantah usaha-usaha golongan IFC untuk campurtangan dalam urusan agama islam dan seterusnya mencemari kesucian islam di negara ini. Mereka bertindak 'bodoh' kerana niat mereka untuk mempertahan kesucian islam di negara ini. Mereka tiada kuasa perundangan untuk menghalang forum yang jelas bertujuan untuk membunuh ketuanan islam itu, mereka tiada tempat di media-media arus perdana dalam menjawab segala bentuk penghinaan terhadap islam oleh IFC, oleh sebab itulah mereka bertindak 'bodoh' dengan mengadakan demonstrasi iaitu salahsatu cara yang berkesan untuk menghalang forum tersebut.

Sebenarnya tindakan 'bodoh' mereka itu adalah lagi baik dari sikap bacul dan dayus oleh golongan yang seangkatan dengan Nazri sendiri yang mempunyai kuasa dalam kerajaan, diamanahkan untuk menjaga kesucian islam namun gagal untuk menyekat tindakan yang jelas biadab terhadap umat islam, tidak berani menggunakan kuasa yang ada untuk menyekat sikap melampau mereka malahan ada pula di kalangan menteri ini yang turut bersama dengan mereka. Kumpulan IFC ini juga diberikan tempat dalam media-media, bebas dalam memberikan pandangan yang menghina islam.

Sudah jelas bahawa IFC atau kumpulan yang seangkatan dengan IFC ini amat-amat merbahaya kepada umat islam di negara ini. individu-individu yang hadir dalam forum tersebut adalah terdiri daripada mereka yang pernah terlibat membela golongan-golongan yang telah murtad melalui saluran perundangan, mereka yang pernah mempertikaikan tuntutan pemakaian tudung untuk muslimat dan mereka yang pernah mempertikaikan usaha-usaha mencegah kemungkaran oleh pihak berkuasa agama dan mereka yang sering mengeluarkan pandangan yang mengelirukan tentang islam. Oleh itu jika suara mereka ini terus diberikan tempat, maka masa depan umat islam akan terancam.

Adalah satu yang menghairankan kerana Nazri mengeluarkan kenyataan ini selepas merasmikan Mesyuarat Pakar-pakar Antarabangsa Mengenai Hak Asasi Manusia di Sisi Islam. Jadi persoalannya di sini adakah Nazri hanya sekadar menjadi perasmi mesyuarat sahaja tanpa mengikutinya atau adakah beliau sendiri yang tertidur semasa mesyuarat berlangsung, atau pun definisi hak asasi di sisi islam itu sendiri telah diputar belit mengikut selera golongan orientalis. Kerana jika sebut tentang hak asasi dari kacamata islam sudah tentulah ianya sesuatu yang tidak terkeluar dari garis panduan telah ditetapkan oleh al quran dan sunah sedangkan hak asasi yang laungkan oleh kumpulan IFC ini jelas melampaui batas-batas syariat.

Di sini juga saya ingin ucapkan syabas kepada Polis Pulau pinang kerana bukan sahaja demonstasi itu tidak diganggu dengan FRU dan water canon, malahan forum IFC yang menjadi subjek bantahan itu juga telah diarahkan supaya dihentikan. Mungkin agak terubat sedikitlah kelukaan kita atas tindakan polis Kuala Lumpur terhadap penunjuk perasaan yang membantah kenaikan harga minyak beberapa bulan yang lepas di KLCC. Tambahan pula demonstrasi di Pulau Pinang ini adalah menyentuh tentang akidah dan sensitiviti umat islam, maka adalah wajar mereka tidak diganggu.

posted by Lidah Penghunus @ 11:35 PM   0 comments

Wednesday, May 10, 2006

Bermulanya Pilihanraya Negeri Serawak 2006.

Assalamualaikum.

Dengan berakhirnya pesta penamaan calon semalam maka bermulalah kempen dan perang poster bagi meraih undi pada hari pembuangan undi 20 Mei nanti. Bila sebut sahaja pilihanraya di Serawak ini, seperti juga Negeri Sabah kita akan dapat jangkakan bahawa kemenangan akan banyak berpihak kepada parti komponen Barisan Nasional dan begitu sukar untuk parti pembangkang terutamanya Pas untuk menembusi walaupun satu kerusi Dun mahupun parlimen yang dipertandingkan.

walau bagaimanapun berdasarkan bacaan politik semasa dan komposisi kaum, parti-parti pembangkang seperti Pas, PKR dan DAP tetap meletakkan calon di tempat-tempat tertentu bagi memberikan tentangan yang sengit kepada calon Barisan Nasional. Namun begitu BN Serawak seolah-olah mahu menafikan amalan demokrasi apabila menyatakan rasa kurang senang mereka dengan pembangkang yang meletakkan calon bagi memberikan tentangan kepada calon BN. Malahan dalam akhbar hari ini Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengetuai BN Serawak menyatakan rasa terkejutnya apabila kerusi yang ditandingi oleh beliau dan beberapa menteri kanan yang lain turut dicabar oleh pembangkang.

Adalah amat pelik kenyataan Ketua Menteri Serawak itu. Sedangkan di peringkat pusat Perdana Menteri sendiri mendapat tentangan dari pembangkang setiap kali pilihanraya umum, di Negeri Kelantan, Menteri Besar Kelantan sendiri sentiasa mendapat tentangan dari calon BN setiap kali pilihanraya. Nampaknya BN Serawak seboleh-bolehnya mahu semua kerusi di Dun Serawak ini dimenangi oleh mereka tanpa bertanding, tanpa mahu meraikan amalan demokrasi di bumi kenyalang itu.

Apa yang menarik pada Pilihanraya Negeri Serawak ini, walaupun tiada satu pakatan yang besar dalam parti-parti pembangkang ini namun begitu tidak berlaku pertindihan calon pembangkang dalam setiap kerusi yang mereka bertanding. Pada pilihanraya Serawak kali ini hanya Parti Keadilan Rakyat dan SNAP sahaja yang membentuk pakatan yang dinamakan Barisan Bersatu Serawak (BBS). Walaubagaimana pun Pas dan DAP yang tidak menyertai pakatan BBS tetap memberikan ruang kepada pakatan pembangkang itu untuk bertanding satu lawan satu menentang BN. Begitu juga dengan Pas dan DAP, tiada pun pertindihan calon antara dua parti pembangkang itu di tempat yang mereka letakkan calon. Ini menunjukkan masih ada lagi tolak ansur dan persefahaman antara parti-parti pembangkang ini dalam mereka berhadapan dengan parti komponen BN.

Seperti kebiasaannya juga bila tiba sahaja Pilihanraya Serawak ini maka akan bermulalah tugas rasmi media-media arus perdana di negara ini sebagai alat dan budak suruhan parti pemerintah, berkempen untuk kemenangan mereka. Tidak setakat media, apa jua yang boleh dipergunakan, mereka akan pergunakan untuk memenuhi matlamat mereka. Jadi bolehlah disebutkan di sini bahawa parti-parti pembangkang dalam Pilihanraya Negeri Serawak ini sebenarnya bukan sahaja berhadapan dengan BN Serawak, malahan mereka sedang berhadapan dengan parti komponen kerajaan pusat.

Akhir sekali, apa yang boleh disebutkan di sini, mungkin harapan untuk menumbangkan kerajaan BN di Serawak ini amat tipis, hatta mahu menafikan majoriti dua pertiga mereka pun agak sukar. Namun begitu harapan tetap ada agar beberapa wakil pembangkang dapat ditempatkan di Dun serawak supaya mereka ini dapat menjadi penyemak dan pengimbang kepada kerajaan yang memerintah. Begitu juga dengan wakil dari Pas, kita amat mengharapkan agar dapat diletakkan seorang wakil dari Parti Islam ini agar suara Islam dapat disampaikan di Dun Serawak. Kerana apa yang kita lihat sepanjang Serawak diperintah oleh BN, pembangunan terutamanya di luar bandar masih lagi terkebelakang begitu juga dengan penghayatan Islam di negeri yang berjiran dengan Sabah itu yang masih lagi kurang.

posted by Lidah Penghunus @ 12:40 PM   1 comments

Sunday, May 07, 2006

Antara demonstrasi rakyat Palestin dengan demonstrasi rakyat Malaysia.

Assalamualaikum.

Jika di negara kita hari pekerja disambut oleh kaum pekerja dengan tuntutan gaji minimum, di Palestin pula akhbar hari ini memaparkan tentang demonstrasi rakyat Palestin menuntut kerajaan Hamas membayar gaji kepada mereka. Kita pun sudah sedia maklum setelah kemenangan Hamas dalam pilihanraya yang lepas dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan, pergerakan yang selama ini berjaya memberikan tentangan yang sengit terhadap Rejim Israel ini ternyata tidak disenangi oleh musuh-musuh islam terutamanya Israel dan Amerika syarikat malahan oleh mereka yang mengaku pemimpin negara islam sendiri. Maka pelbagai usaha telah dilakukan dalam usaha menggagalkan pergerakan yang mereka anggap sebagai pengganas ini untuk menubuhkan kerajaan Palestin. Ini termasuklah menyekat bantuan kewangan dan membekukan akaun-akaun milik kerajaan. Akibatnya kerajaan pimpinan Hamas kekeringan dana untuk perbelanjaan mengurus dan gaji tidak dapat dibayar kepada kakitangan awam untuk beberapa bulan.

Inilah sebenarnya harga yang perlu dibayar oleh gerakan islam Hamas dalam usaha harakah islam itu mempertahankan prinsip mereka untuk tidak mengadakan rundingan dengan Israel dan seterusnya mengiktiraf negara haram tersebut. Namun begitu adalah amat menyedihkan sekali apabila adanya segelintir rakyat Palestin sendiri yang tidak mahu berkorban bersama-sama kerajaan mereka mempertahankan prinsip perjuangan islam. Mereka yang dihasut oleh bekas parti pemerintah yang dahulunya mengamalkan korupsi sanggup turun ke jalanraya menuntut dibayar gaji malahan membantah dasar Hamas yang mereka anggap terlalu keras. Sedangkan kerajaan Hamas gagal membayar gaji bukanlah kerana amalan pemborosan, korupsi dan penyalahgunaankuasa dalam pentadbiran mereka. tetapi kerana mempertahankan akidah, tidak mahu bersekongkol dengan musuh-musuh islam terutama sekali Israel yang jelas tidak boleh dibawa berunding.

Ini berbeza dengan kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional di negara ini. Mereka ketandusan kewangan hingga terpaksa menaikkan harga minyak bukanlah kerana prinsip mereka yang mempertahankan kebenaran, tetapi adalah kerana sikap mereka sendiri yang selama ini mengamalkan pembaziran, korupsi dan penyalahgunaankuasa yang menelan jutaan wang rakyat. Oleh itu adalah patut rakyat di negara ini turun di jalanraya membantah apa sahaja keputusan kerajaan yang ternyata tidak menguntungkan rakyat keseluruhan. Andaikata kerajaan di negara ini tidak ada wang hingga tidak mampu untuk menampung subsidi minyak atas sebab prinsip mereka untuk mempertahankan kebenaran, maka saya percaya Pas juga akan bersama-sama dengan mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 2:16 PM   0 comments

Saturday, May 06, 2006

Kenaikan gaji minimum yang diminta, tarif elektrik pula yang dinaikkan.

Assalamualaikum.

Sesuai dengan tema "Globalisasi menghakis hak pekerja" 1 Mei yang lepas telah disambut oleh kaum pekerja dengan penuh kesedaran tentang hak mereka sebagai pekerja di sebuah negara demokrasi. Maka setiap kali menjelang sambutan 1 Mei ini akan berkumandanglah tuntutan dari kaum pekerja agar dinaikkan gaji minimum sebanyak RM900 dan pelbagai lagi tuntutan yang berkaitan dengan kebajikan kaum pekerja. Tuntutan-tuntutan ini amat bertepatan melihatkan keadaan kos sara hidup masa kini yang makin meningkat akibat dari kenaikan harga minyak dan seterusnya harga barangan dan perkhidmatan yang lain.

Namun begitu sebaliknya bukan gaji minumum yang dinaikkan, tarif elektrik pula yang akan dinaikkan bermula bulan hadapan. Nampaknya makin bertambah pilulah kaum-kaum pekerja akibat kuasa beli dan upah benar mereka yang makin mengecil. Dalam mengumumkan kenaikan tarif elektrik ini, menteri yang berkaitan mengatakan bahawa setelah 10 tahun tarif elektrik tidak naik, kerajaan terpaksa juga menaikkan tarif elektrik ini dan mahu tidak mahu rakyat terpaksa juga menerima hakikat kenaikan tersebut.

Bunyi kenyataan menteri tersebut seolah-olah 10 tahun sebelum ini rakyat berada dalam keadaan sejahtera tanpa dibebani oleh kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Hakikatnya sebelum ni pun rakyat telah dibebankan dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dan dengan tarif elektrik yang bakal naik ini maka akan bertambah-tambahlah beban yang akan ditanggung oleh rakyat khususnya kaum pekerja.

Selepas ini kita sedang menunggu apakah lagi yang akan naik untuk menambahkan beban kepada rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 11:06 AM   0 comments


Free Hit Counter