Saturday, March 31, 2007

Kontrak Ketua Pengarah BPR tidak akan dilanjut, kerajaan BN pula bagaimana?

Assalamualaikum.

Pada muka hadapan sebuah akhbar perdana hari ini dipaparkan pengumuman Perdana Menteri bahawa kontrak Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor yang akan berakhir hari ini tidak akan dilanjutkan lagi. Keputusan ini semestilah mempunyai kaitan dengan siasatan ke atas beliau atas dakwaan rasuah dan salahguna kuasa.

Datuk Seri Zulkipli Mat Noor telah pun menerima nasibnya. Bak kata pepatah, 'Berani kerana benar, takut kerana salah' Jika kerajaan yakin bahawa Datuk Seri Zulkifli tidak bersalah maka sudah tentu kontraknya akan dilanjutkan. Sekarang ini tinggal kita rakyat Malaysia pula untuk menamatkan 'kontrak' Umno dan Barisan Nasional sebagai pemerintah di negara ini dalam pilihanraya umum akan datang.

Kerana sudah jelas merekalah sebenarnya punca kepada penyakit rasuah di negara ini. Bak kata bijak pandai yang pernah disebut sebelum ini, 'Ikan busuk bermula daripada kepalanya'

posted by Lidah Penghunus @ 5:54 PM   0 comments

Thursday, March 29, 2007

ISA dan Guantanamo - Tidak sama tetapi serupa.

Assalamualaikum.

Mengulas satu akhbar hari ini yang menyebut menyentuh tentang kem tahanan ISA dan kem Guantanamo;

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak boleh disamakan dengan Pusat Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba yang menempatkan mereka yang disyaki pengganas antarabangsa oleh Amerika Syarikat, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Ahmad Shabery Cheek.
Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bekas Presiden Amerika, Bill Clinton pernah mencadangkan Pusat Tahanan Teluk Guantanamo itu ditutup tetapi kita tidak pernah mendengar perkara sama digesa ke atas pusat tahanan ISA.
"Pelbagai badan hak asasi manusia seluruh dunia juga mendesak supaya kem tahanan Guantanamo ditutup, tetapi tidak ada pula kedengaran desakan serupa oleh mereka supaya ISA dihapuskan Berita Harian - 29 Mac 2007.

Kalau pun Ahmad Shabery Cheek mengatakan kem tahanan ISA di negera kita tidak sama dengan kem Guantanamo di Cuba sana namun beliau tidak boleh menolak bahawa ianya adalah hampir serupa dengan kem tahanan milik tentera Amerika itu kerana sudah jelas peruntukkan tahanan tanpa bicara adalah sesuatu yang bertentangan dengan Islam dan hak asasi manusia.

Memang benar kem ISA di Kemunting tidaklah sampai ada kes yang menghina naskah al quran namun kita telah mendengar sendiri rintihan daripada bekas-bekas tahanan ISA bagaimana mereka telah diperlakukan dengan begitu kejam sekali sama seperti yang dilakukan terhadap penghuni kem Guantanamo. Mereka ini kebanyakannya terdiri daripada mereka yang menyertai perjuangan untuk menegakkan hukum Islam di negara ini melalui saluran demokrasi namun dituduh ingin menumbangkan kerajaan secara militan, ditahan tanpa bicara dan dikurung serta diseksa sesuka hati. Akibatnya bukan sahaja diri mereka sahaja yang terseksa, keluarga-keluarga mangsa kezaliman ISA ini juga turut merasai penderitaan.

Jika Sdr Shabery Cheek mengatakan bahawa belum ada suara bantahan daripada pelbagai NGO di peringkat antarabangsa terhadap ISA tetapi ianya telah pun dibantah oleh pelbagai NGO di negara ini dan sudah ada permintaan agar kem Kemunting ini ditutup. Dan kita juga percaya NGO diperingkat antarabangsa juga turut menentang kaedah tahanan tanpa bicara yang jelas melanggar norma-norma kemanusiaan ini. Kerana bila namanya kezaliman, dalam apajua bentuk sekalipun ianya tetap zalim dan dilarang oleh Islam.

posted by Lidah Penghunus @ 12:40 PM   0 comments

Wednesday, March 28, 2007

Reaksi KPN berkenaan cadangan agar ketua polis memberi khutbah.

Assalamualaikum.

Sebelum ini menteri besar Kelantan, tok guru Nik Aziz mencadangkan agar amalan menyampaikan khutbah oleh ketua polis diperluaskan. Dalam akhbar hari ini ketua polis negara sendiri, Tan Sri Musa Hassan menyambut baik cadangan menteri besar Kelantan itu kecuali satu perkara ini.

Cuma, tidak perlulah pegang raifal M-16 bila baca khutbah. Lainlah cerita kalau kita dalam keadaan perang, sembahyang pun gilir-gilir atau kita jamak sekali. Kita bukan dalam keadaan berperang... negara kita pun aman dan tidak perlulah pegang senjata ketika khutbah Berita Harian – 28 Mac 2007.

Bagi saya jika hendak pegang senjata pun tiada masalah meskipun negara kita ini dalam keadaan aman tanpa perang. Dalam Majlis-majlis rasmi atau perbarisan polis atau tentera juga mereka memikul senjata. Kerana memang itu sudah menjadi lambang pertahanan mereka sebagai anggota keselamatan. Begitulah juga dalam mereka menyampaikan khutbah maka adalah lebih sesuailah jika raifal automatik menggantikan tongkat mimbar.

Walau bagaimanapun cadangan tok guru untuk memegang senjata itu bukanlah sesuatu yang mendesak. Yang penting sekarang dengan adanya anggota polis membaca khutbah ini maka ianya dapat menerapkan nilai-nilai Islam dalam usaha pencegahan jenayah.

posted by Lidah Penghunus @ 4:55 PM   0 comments

Tuesday, March 27, 2007

Dendangan Barisan Nasional pada Pilihanraya Kecil Dun Machap.

Assalamualaikum.

Meneliti cerita-cerita pilihanraya kecil Dun Machap dua tiga hari ini apa yang kita dengar mereka banyak mendendangkan tentang pengundi cina yang masih menyokong BN dan menolak pembangkang, wakil rakyat yang terdahulu telah memberi khidmat yang terbaik kepada pengundi di Dun Machap dan turut juga disebut senario pilihanraya negeri Serawak berbeza dengan Dun Machap.

Apa yang ingin saya sebutkan di sini yang pertama kalau pun benar wakil rakyat terdahulu mendiang Datuk Wira Poh Ah Tiam telah memberi khidmatnya yang terbaik kepada pengundi di sana, sekarang beliau sudah pun pergi. Pengganti beliau daripada parti yang sama belum tentu dapat memberikan khidmat yang sama dengan mendiang kerana kita sudah maklum tentang sikap pemimpin-pemimpin BN sendiri yang kebanyakannya hanya mementingkan kesenangan diri berbanding kesenangan rakyat. Amat susah untuk mencari wakil rakyat yang benar-benar bekerja untuk rakyat.

Yang keduanya jika pengundi-pengundi Dun Machap sudah berasa selesa dengan keadaan di tempat mereka tetapi mereka tidak boleh menolak kenyataan bahawa kenaikan harga minyak dan beberapa harga barang keperluan diperingkat nasional sedikit sebanyak telah menjejaskan kehidupan mereka di sana. Oleh itu mahu tidak mahu mereka juga haruslah membuat perubahan diperingkat Dun dan Parlimen sama seperti yang dilakukan oleh rakyat Serawak dalam pilihanraya yang lepas yang mana walaupun ianya tidak sampai menjatuhkan kerajaan BN di negeri itu namun ianya sudah cukup memberi mesej yang jelas kepada pemerintah kerajaan negeri dan juga pusat.

posted by Lidah Penghunus @ 1:13 PM   0 comments

Saturday, March 24, 2007

Timbalan ketua polis Kelantan memberi khutbah Jumaat

Assalamualaikum.
Tertarik membaca tajuk akhbar hari ini tentang timbalan ketua polis Kelantan sendiri yang membaca Khutbah Jumaat.


Polis Kelantan mencatat sejarah tersendiri hari ini apabila Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi tampil membaca khutbah Jumaat di Masjid Mukim Langgar, di sini.
Lulusan Sarjana Muda Syariah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menyampaikan khutbah tersebut dengan lancar selama kira-kira 25 minit.

Selain sebagai satu usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat, khutbah itu adalah sempena sambutan Ulang Tahun Pasukan Polis Ke- 200, Ahad ini.

Menurutnya, prinsip menyeru perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran seharusnya dihayati bersama dalam usaha mencegah jenayah menerusi Program Rakan Cop.

Beliau juga memaklumkan pasukan polis kini menerapkan Konsep Al Ehsan dalam proses pengukuhan integriti pasukan iaitu mengerjakan sesuatu dengan meyakini Allah sentiasa melihat seperti yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah.

Beliau ketika ditemui Utusan Malaysia kemudian memaklumkan bahawa program seumpama itu akan diperluaskan di kesemua 10 daerah di negeri ini. Utusan Malaysia - 24 Mac 2004.

Dulu kita pernah mendengar saranan daripada menteri besar Kelantan agar ketua polis memberi khutbah jumaat dan kini ianya telah dilaksanakan di negeri bawah pentadbiran beliau. Bagi saya memang amat bertepatan sekalilah jika ketua polis sebagai penguatkuasa undang membaca khutbah jumaat. Kerana sebagaimana yang kita maklum antara perkara yang diberi penekanan oleh khatib setiap kali memberikan khutbah ialah Ittaqullah iaitu takut kepada Allah. Maka jika konsep ini benar-benar dipegang oleh ketua atau timbalan ketua polis sendiri maka insya-Allah tidak akan berlakulah amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa mahupun tindakan melampau terhadap penunjuk perasaan baru-baru ini.
Akhir sekali diharapkan agar perkara ini terus diamalkan, bukan setakat untuk sambutan Ulang Tahun Pasukan Polis Ke- 200 sahaja dan diharapkan agar ianya dapat diperluaskan hingga ke Bukit Aman sana.

posted by Lidah Penghunus @ 3:29 PM   0 comments

Thursday, March 22, 2007

Bahana penswastaan lebuhraya.

Assalamualaikum.

Apabila Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu menyatakan sebanyak RM23.65 bilion telah dikutip daripada 19 buah lebuhraya bertol di seluruh negara yang disiarkan pada akhbar semalam, terdetik dalam fikiran saya bahawa angka 23.65 bilion itu hanya dapat didengar sahaja oleh rakyat. Malahan duit poket mereka sebenarnya yang terpaksa dikorbankan untuk mendapatkan angka 23.65 bilion itu. Dalam akhbar hari ini pula beberapa wakil daripada syarikat konsesi menyatakan bahawa kutipan yang tinggi digunakan untuk selenggara lebuhraya.

Jurucakap Lebuhraya Shah Alam-Kuang (Guthrie) berkata, mereka belum memperoleh keuntungan kerana terpaksa membayar kos penyelenggaraan, pembayaran elektrik, gaji serta pinjaman bank yang tinggi.“Jumlah kos pembinaan sebanyak RM390 juta tidak termasuk kos pengambilalihan tanah bagi kerja pembinaan lebuh raya yang nilainya melebihi RM300 juta.“Jumlah pendapatan atau kutipan tol yang kami peroleh masih tidak melepasi kos pembinaan dan pelbagai tanggungan lain sehingga menyebabkan Guthrie mengalami kerugian,” katanya.
Sumber Elite berkata, pihaknya mempunyai alasan kukuh menaikkan kadar tol kerana terpaksa menanggung beban hutang melebihi RM1.4 bilion selain peruntukan penyelenggaraan tinggi. Berita Harian – 22 Mac 2007.

Jika beginilah keadaannya apalah untungnya penswastaan jika ianya akan melibatkan kos yang tinggi dan lebih malang apabila segala beban kos termasuk hutang terpaksa ditanggung oleh rakyat melalui kenaikan kadar tol. Inilah sebenarnya kesan buruk penswastaan yang akhirnya menimpa rakyat Malaysia sendiri dan bukan sahaja setakat penswastaan, masalah ini juga berpunca daripada amalan rasuah yang dikatakan sebagai punca kepada peningkatan kos sesuatu projek. Akhirnya duit RM23.65 bilion itu hanya dapat dilihat sahaja oleh rakyat dengan mata yang terkebil-kebil.

posted by Lidah Penghunus @ 12:51 PM   1 comments

Tuesday, March 20, 2007

Seri Paduka ajak rakyat bantu banteras rasuah

Assalamualaikum.

Dalam titah perasmian mesyuarat pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-11 di Dewan Rakyat semalam Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengajak rakyat agar membenteras rasuah serta penyalahgunaan kuasa dan meningkatkan intergriti. Seruan Seri Paduka Baginda ini dibuat di kala ketika ini gejala rasuah telah mewabak hingga ke dalam BPR sendiri.

Dalam pada Yang di-Pertuan Agung menyebut tentang kempen memerangi rasuah ini dalam akhbar yang sama mendedahkan tentang amalan penyelewengan dalam pengagihan wang ihsan dan bantuan makanan kepada mangsa banjir di negeri Johor. Nampaknya daripada bencana Tsunami dan kini bencana banjir di Johor tidak juga berubah amalan rasuah bagi mereka yang diberi amanah ini. Oleh kerana kes-kes beginilah Pas lebih senang untuk mengagihkan bantuannya terus kepada golongan sasaran.

Oleh itu jika sudah peringkat dititahkan dalam ucapan Yang di-Pertuan Agung maka eloklah ditubuhkan sahaja suruhanjaya siasatan di raja bagi meniliti dua kes yang berprofil tinggi itu agar keyakinan rakyat dapat dikembalikan.

posted by Lidah Penghunus @ 3:20 PM   0 comments

Monday, March 19, 2007

Antara laman web parti pemerintah dengan laman web parti pembangkang

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini Ketua Penerangan UMNO Johor, Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta agar semua laman web dan blog milik kerajaan dan parti pemerintah dipersembahkan dalam bentuk yang lebih menarik.

Semua laman web dan blog milik kerajaan Barisan Nasional (BN) dan parti dalam komponennya terutama UMNO mesti sentiasa menarik bagi memastikan golongan muda berpendidikan tinggi berminat melayarinya.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu, ruang saluran berita secara Internet itu juga mesti sentiasa segar, diperbaharui dan mengandungi maklumat-maklumat terkini.
Beliau berkata, langkah itu penting kerana golongan tersebut kini cenderung mencari pelbagai maklumat termasuk isu-isu politik dan semasa melalui Internet.
‘‘Saya bimbang golongan ini tidak berminat melayari laman-laman web dan blog milik kerajaan dan parti pemerintah hanya kerana persembahannya kurang menarik walaupun mengandungi maklumat tepat dan benar,”
Menurut Mohd. Puad, beliau mengakui kebanyakan golongan muda kini lebih menggemari laman-laman web bebas dan juga milik parti pembangkang kerana pendekatan digunakan adalah lebih berbentuk sensasi.
Beliau berkata, orang ramai termasuk golongan ini lebih suka melayari laman web sedemikian walaupun ia mengandungi maklumat tidak tepat dan lebih buruk lagi turut mengandungi unsur-unsur fitnah. Utusan Malaysia - 19 Mac 2007.


Bagi saya ianya bukanlah kerana laman web atau blog parti pemerintah iaitu Umno dan Barisan Nasional tidak menarik, malahan ada yang lebih canggih, lebih interaktif berbanding laman web milik pembangkang mahupun bebas. Tetapi kerana Umno dan barisan Nasional memiliki akhbar perdana dan televisyen. Mereka bebas berkempen, memburuk-burukkan parti lawan dan menjawab segala isu di media-media yang mereka kuasai.

Jadi tidak perlulah rakyat merujuk lagi kepada laman-laman web atau blog milik mereka. Yang rakyat mahukan ialah cerita sebenar daripada pembangkang sendiri sedangkan pembangkang tidak diberikan ruang di dalam media perdana untuk menjawab segala tohmahan yang dilemparkan. Oleh kerana itulah laman-laman web dan blog milik pembangkang lebih mendapat sambutan berbanding milik Umno dan Barisan Nasional.

Sementara itu dalam akhbar yang lain pula ketua menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan kononnya tindakan pembangkang menaburkan fitnah dan dakyah memburukkan pemimpin negara menerusi internet serta blog sebagai ketandusan idea.

Tindakan pembangkang menaburkan fitnah dan dakyah memburukkan pemimpin negara menerusi internet serta blog sejak kebelakangan ini dianggap bermusim selepas parti berkenaan ketandusan idea, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, tindakan sedemikian adalah gimik pilihan raya dan ingin meraih simpati, serta orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh.

"Jangan percaya dengan fitnah berkenaan dan saya beranggapan ia adalah taktik kotor pembangkang. Maklumat itu tidak tepat dan mengelirukan, ia juga sebagai jalan mudah supaya rakyat membenci pemimpin. Berita Harian - 19 Mac 2007.


Jika benar pembangkang ketandusan idea, apa perlunya mereka menggunakan laman web dan blog sebagai medium penyaluran maklumat? Sedangkan ianya perlu dikemaskini setiap masa dan sudah tentulah bagi mereka yang mempunyai banyak isu dan idea sahaja yang akan menggunakan laman blog ini. Adalah lebih baik mereka gunakan sahaja akhbar seperti Harakah yang hanya terbit dua kali sebulan. Sebenarnya parti pemerintah yang ketandusan idea sehingga timbul masalah seperti yang diperkatakan oleh Dr. Mohd. Puad itu tadi.

Sebut pula tentang cerita perbalahan antara Pak Lah dan Datuk Seri Najib yang kini hangat diperkatakan di laman-laman blog. Memang benar Pak dan Datuk Seri Najib telah menafikannya. Tetapi seperti juga dakwaan pembangkang mereka boleh pertikaikan kebenarannya maka kita juga boleh mempersoalkan sejauh mana benarnya penafian yang dibuat oleh dua orang pemimpin tertinggi Umno ini.

posted by Lidah Penghunus @ 1:26 PM   1 comments

Sunday, March 18, 2007

Menjelang pilihanraya kecil Dun Machap - Boikot atau tidak?

Assalamualaikum.

Pilihanraya kecil Dun Batu Talam yang telah memberikan 'mandat murahan' kepada Umno dan Barisan Nasional telah hampir dua bulan berlalu. Kini akan tiba pula pilihanraya kecil Dun Machap di Melaka ekoran kematian wakilnya 16 Mac yang lalu. Akhbar hari ini timbalan presiden Umno membidas pembangkang kerana kononnya tidak konsisten dengan keputusan untuk memboikot pilihanraya.

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan minat yang ditunjukkan parti pembangkang untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap di Melaka membuktikan pembangkang tidak konsisten serta cuba mengelirukan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang sentiasa bermain politik bagi menimbulkan satu keadaan yang tidak menentu di negara ini.
“Mereka ini tidak konsisten, kenapa boikot (pilihan raya kecil DUN Batu Talam dan kali ini mereka hendak bertanding (di Machap),” Mingguan Malaysia - 18 Mac 2007.


Di sini mereka lupa bahawa keputusan memboikot pilihanraya kecil Batu Talam ini adalah pengisytiharan bersama oleh pakatan Pas dan PKR pada 10 Januri yang lalu. DAP ketika itu tidak terlibat tetapi turut bersetuju untuk tidak meletakkan calon. Sebagaimana yang kita tahu bahawa Machap adalah milik DAP untuk calon pembangkang. Jadi jika ada minat pun untuk meletakkan calon ianya sudah tentulah daripada parti DAP, bukan Pas mahupun PKR.

Jika Pas atau PKR mahu meletakkan calon pun Dato' Seri Najib tidak berhak untuk menghalang kerana ini adalah amalan demokrasi, sesuatu parti atau individu itu berhak sama ada untuk bertanding atau tidak bertanding dalam pilihanraya yang di adakan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:25 PM   0 comments

Saturday, March 17, 2007

Siapa yang memperolok Islam Hadhari?

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini Pak Lah yang ditemui di Perkampungan Hadhari Kepala Batas memberikan amaran kepada pihak tertentu terutama orang politik agar tidak memperolokkan Islam Hadhari. Seolah-olah orang yang memperolok atau mempertikaikan Islam Hadhari dianggap berdosa besar.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran kepada pihak tertentu termasuk ahli- ahli politik agar jangan cuba memperolok-olokkan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkannya yang kini diterima baik oleh semua kaum di negara ini dan masyarakat antarabangsa.
Bagi Perdana Menteri, perbuatan pihak berkenaan memperlekeh dan memandang rendah konsep Islam Hadhari adalah satu kesalahan besar yang perlu diperbaiki.

Menurutnya, sejak konsep Islam Hadhari diperkenalkan, ia diterima baik oleh masyarakat pelbagai kaum dan antara usaha yang boleh dilihat menepati konsep itu adalah membina modal insan dan minda kelas pertama serta memperluaskan peluang ekonomi menerusi pembangunan kawasan mundur agar setanding dengan kawasan yang telah lama maju. Utusan Malaysia - 17 Mac 2007.

Di sini kita mahu bertanya siapa sebenarnya yang memperolok-olokkan Islam Hadhari kalau bukan Pak Lah dan Umno. Sudahlah Islam itu ditambah-tambah dengan nama Islam Hadhari, lepas tu diperolok-olokkan dengan gambaran bahawa Islam Hadhari, semua boleh, ibadat boleh maksiat pun boleh, solat boleh menari pun boleh, Jom Heboh boleh Perkampungan Hadhari pun boleh. Akhirnya ianya lari jauh daripada prinsip-prinsip yang dikemukakan.

Jika Pak Lah mengatakan bahawa Islam Hadhari boleh diterima oleh semua kaum termasuk bukan Islam. Memang itulah sifatnya bagi perkara-perkara yang batil ini, ianya akan mudah diterima oleh semua orang termasuk bukan Islam dan golongan musuh. Sedangkan perlaksanaan Islam secara menyeluruh yang dibawa oleh Pas begitu tidak disenangi oleh banyak pihak termasuk bukan Islam. Itu pun kerana gambaran buruk yang diberikan oleh Umno dan Barisan Nasional berkenaan Islam yang diperjuangkan oleh Pas

posted by Lidah Penghunus @ 3:11 PM   0 comments

Thursday, March 15, 2007

Kerajaan tidak akan terpengaruh dengan kajian yang berkaitan dengan rasuah - Najib

Assalamualaikum.

Baru-baru ini satu lagi organisasi telah membuat kaji selidik berkenaan dengan rasuah dan mendapati rasuah di Malaysia semakin buruk tahun ini berbanding dengan tahun lalu. Tahun lepas kita juga telah didedahkan tentang peningkatan amalan rasuah di negara ini oleh TI-Malaysia. Sebagai mengulas hasil kajian berkenaan akhbar hari ini Datuk Seri Najib menyatakan bahawa kerajaan tidak akan terpengaruh dengan sebarang kaji selidik yang menggambarkan indeks rasuah di negara ini semakin tinggi.

Menurut beliau, indeks rasuah tersebut menggunakan metodologi yang tidak diketahui sedangkan kerajaan telah lama berusaha keras memerangi jenayah rasuah daripada berleluasa.
“Banyak perkhidmatan seperti ini ada dalam pasaran dan kita tidak tahu kaedah metodologi yang digunakan.
“Ini mungkin masalah persepsi yang kita hadapi,” kata beliau pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Sumbangan Mangsa Banjir daripada warga awam Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini. Utusan Malaysia – 15 Mac 2007.

Apa yang menghairankan kita apabila sesuatu hasil kaji selidik itu menggambarkan sesuatu yang baik kepada kerajaan Barisan Nasional, mereka akan menerimanya pula, tidak pula mereka persoalkan tentang metod-metod kajian yang membawa kepada hasil kajian. Malahan siap diuar-aurkan lagi dalam media massa.

Di sini kita lihat kepada realiti semasa pun cukuplah menunjukkan kepada kita bagaimana teruknya amalan rasuah di negara kita hingga ke tahap ketua pengarah BPR sendiri didakwa atas salah laku rasuah. Sepatutnya hasil-hasil kaji selidik ini diambil oleh Najib dan kerajaan Barisan Nasional sebagai muhasabah dan berusaha untuk memperbetulkan segala kelemahan yang berlaku. Bukannya terus mempersoalkannya.

Menyentuh tentang dakwaan rasuah ini juga saya agak tertarik dengan komen bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir tentang isu dakwaan rasuah terhadap ketua pengarah BPR dan timbalan menteri dalam negeri yang disiarkan dalam akhbar yang sama;

Ditanya mengenai isu Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom dituduh menerima sogokan lebih RM5 juta untuk melepaskan tiga orang suspek yang ditahan di bawah Ordinan Darurat, Dr. Mahathir yakin Timbalan Menteri itu bersih daripada dakwaan tersebut.
Dr. Mahathir berkata: ‘‘Datuk Johari... jangan bimbang, dia bersih tidak ambil satu sen pun, dia bersih sepenuhnya dan tidak akan didapati bersalah.’’ katanya.

Apa yang dapat saya rasakan kenyataan Tun yang dipetik pada perenggan akhir petikan akhbar di atas seolah-olahnya sesuatu yang bernada sinis kepada Datuk Johari. Sebagaimana yang kita tahu bahawa Datuk Johari baharom adalah Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu. Jika tuan-tuan masih ingat pada tahun lepas Tun telah gagal dalam cubaannya mendapatkan tempat sebagai perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu melalui pemilihan dalam mesyuarat agung Umno bahagian. Ekoran daripada itu Tun telah mendakwa terdapatnya unsur-unsur rasuah dan ugutan dalam usaha menghalang beliau daripada menjadi perwakilan ke perhimpunan agung Umno tahun lepas.

posted by Lidah Penghunus @ 12:57 PM   0 comments

Wednesday, March 14, 2007

Khairy tuduh Pas guna taktik pengundi hantu.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini Umno sekali lagi menuduh Pas menggunakan taktik pengundi hantu untuk mempertahankan penguasaannya di negeri Kelantan.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan maklumat, strategi Pas yang digelarnya sebagai ‘pengundi Zombie’ sudah lama digerakkan setelah parti itu dikejutkan dengan hampir tumbang dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau memberi contoh, pengundi dari kawasan yang dikatakan kubu kuat Pas seperti Parlimen Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian dipindahkan ke kawasan lain yang dianggap semakin sukar dipertahankan.

‘‘Strategi kotor ini perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara. Saya terkejut apabila diberitahu tentang perkara itu,’’ Utusan Malaysia – 15 Mac 2007.

Di sini saya ingin mengajak orang-orang Umno khususnya Sdr. Khairy berfikir menggunakan akal dalam isu pengundi hantu ini. Pas hanya parti pembangkang yang tidak mempunyai autoriti dalam mengawal mana-mana instrumen kerajaan khususnya di peringkat pusat. Pas hanya memiliki satu negeri sahaja yang ditadbir iaitu negeri Kelantan, itu pun ianya kurang daripada dua pertiga.

Jadi bagaimana mungkin parti pembangkang itu boleh menggunakan taktik pengundi hantu sedangkan Jabatan Pendaftaran Negara bukan di bawah bidang kuasa mereka jauh sekali SPR. Secara logiknya taktik pengundi hantu ini hanya mampu dilakukan oleh parti-parti pemerintah di peringkat pusat kerana mereka menguasai segala instrumen kerajaan sama ada secara sah atau pun secara haram. Jadi tidak perlulah Khairy mahu mencari isu lain bagi menutup isu yang berkaitan dengan beliau ketika ini. Berkenaan kenyataan beliau di bawah ini pula;

Beliau turut menggesa Pemuda UMNO negeri memulakan strategi menyerang Pas bagi mendedahkan kelemahan dan kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri sepanjang pemerintahannya kepada rakyat termasuk soal kroni dan pembalakan. Utusan Malaysia – 14 Mac 2007.

Kita alu-alukanlah usaha mendedahkan segala kepincangan dan penyelewengan yang berlaku tidak kira dalam mana-mana pemerintahan sekalipun. Tetapi ianya mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh dan dilaporkan ke pihak bertanggungjawab. Kita mahu tahu juga kalau-kalau ada kes ala-ala banglo mewah milik Dato’ Zakaria Deros seperti yang terjadi di Selangor.

posted by Lidah Penghunus @ 1:21 PM   0 comments

Tuesday, March 13, 2007

Berkenaan keputusan perperiksaan pun hendak berbohong.

Assalamualaikum.

Minggu lepas perhatian kita tentang SPM 2006 telah tertumpu kepada adik Nadiah yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar perdana memperolehi keputusan 19 A sekaligus mendahului pelajar terbaik SPM dua tahun dahulu. Kejayaan adik Nadiah ini juga turut mendapat tempat di blog Lindunganbulan ini kerana terdapat sesuatu yang istimewa di sebalik kejayaan beliau.

Namun apabila memperolehi keputusan yang rasmi rupa-rupanya laporan yang dibuat oleh akhbar-akhbar perdana ini tidak tepat. Tidak pasal-pasal saya juga turut berbohong dalam blog. Adalah sesuatu yang dikesalkan apabila mereka tidak berhati-hati dalam membuat laporan. Jika berbohong dalam isu-isu politik itu dikira biasa bagi akhbar-akhbar yang dikawal oleh parti pemerintah ini. Namun mereka tidak usahlah hendak samakan keputusan tidak rasmi perperiksaan dengan keputusan tidak rasmi pilihanraya kerana ianya melibatkan air muka seseorang individu.

Sebelum ini Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mendakwa bahawa semua penulis blog adalah pembohong sedangkan di Malaysia sahaja saya percaya terdapat ribuan penulis blog dan tidaklah semuanya pembohong. Tetapi bagi akhbar perdana pula di Malaysia ini hanya ada dua sahaja. Jadi adakah Tengku Adnan mahu mengatakan mereka semua pembohong?

Untuk adik Nadiah pula tidak perlulah terasa hati dengan insiden ini kerana bagi saya kejayaan beliau memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Allah tidak akan tanya di akhirat kelak mengapa beliau gagal memperolehi 19 A1, yang Allah akan lihat adalah kesungguhan beliau menuntut ilmu dan mengamalkannya. Semoga adik Nadiah akan terus istiqamah dengan amal-amal solehnya walaupun telah bergelar insan yang berjaya kelak.

posted by Lidah Penghunus @ 10:58 PM   0 comments

Misi 2057 diumumkan pada masa pentadbiran Pak Lah dalam gerhana.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini perdana menteri mengumumkan misi 2057 iaitu kesinambungan daripada Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh perdana menteri sebelumnya. Sebelum ini Tun Dr Mahathir sendiri pernah mengkritik perdana menteri atas tindak-tanduknya yang dikatakan akan membawa punca kepada kegagalan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh beliau.

Bila sebut tentang misi dan wawasan ini sebenarnya nabi junjungan kita Muhammad SAW juga mempunyai visinya sendiri ketika memimpin negara Islam Madinah ketika dahulu. Di kisahkan dalam sirah bagaimana Rasulullah SAW pernah menjanjikan kepada seorang sahabat sebuah mahkota kerajaan yang ketika itu menjadi kuasa besar dunia sebagai hadiah dan ianya terlaksana beberapa tahun setelah kewafatan Rasulullah iaitu apabila kerajaan tersebut tumbang di tangan tentera Islam. Ini menunjukkan Rasulullah juga mempunyai misi dan pandangan yang jauh iaitu satu keyakinan bahawa negara Islam akan menumbangkan kuasa besar dunia pada ketika itu.

Namun begitu apa yang divisikan oleh Rasulullah itu bukanlah sekadar cakap kosong semata-mata. Ianya telah diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh daripada baginda dalam menerapkan nilai Islam yang mendalam kepada masyarakat Islam dan menjalankan usaha tarbiah kepada sahabat-sahabat baginda yang suatu hari nanti akan mengambil alih tanggungjawab sebagai khalifah. Sebaik sahaja memegang tampuk pemerintahan negara Islam madinah, Rasulullah SAW diikuti oleh pengganti-penggantinya di kalangan Khulafa’ ar Rasyidin telah menjalankan pentadbiran dengan bersih, cekap dan amanah serta bebas daripada amalan korupsi.

Namun apa yang terjadi sekarang ketika Pak Lah mengumumkan misi 2057, pentadbiran beliau berada dalam gerhana, ketua pengarah BPR yang sepatutnya mengepalai usaha-usaha membenteras rasuah didakwa terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan menteri yang mengepalai pasukan polis pula sedang disiasat atas dakwaan rasuah. Jika beginilah keadaannya jangankan hendak capai Misi 2057, RMK 9 pun belum tentu dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana gejala rasuah inilah antara punca gagalnya sesuatu rancangan pembangunan.

posted by Lidah Penghunus @ 1:02 PM   0 comments

Sunday, March 11, 2007

Hotel sahaja yang Islamik.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini dengan bangganya menyatakan bahawa Selangor akan memiliki hotel halal yang pertama di Malaysia yang bebas kolam renang, pusat karaoke dan arak.

Hotel bebas alkohol, tanpa kolam renang atau kelab hiburan seperti karaoke serta berkonsepkan halal akan dibina di Batu Tiga di sini dan bakal menjadi kemudahan penginapan pertama seumpamanya di Selangor.
Hotel 13 tingkat yang dibina di tapak 0.87 hektar dan dimiliki Datuk Meswan Dol dijangka dibuka kepada umum pertengahan 2008, juga melantik Bumiputera sepenuhnya untuk semua kerja pembinaan termasuk rekaan dalaman,
Meswan yang juga Pengerusi Gaya Pentas Development, berkata hotel itu dibina bagi memenuhi tuntutan agama dan pengunjung yang mahukan kemudahan penginapan berkonsep Islam.
Majlis pecah tanah pembinaan hotel itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, semalam. Berita Harian - 11 Mac 2007.

Tiada apa sebenarnya yang hendak dibanggakan kerana hotel itu sahaja yang halal, yang Islamik sedangkan bila keluar daripada hotel berkenaan tidak pun jauh kita akan berjumpa dengan kilang arak antara yang terbesar di Malaysia dan keluar sedikit daripada bandar berkenaan, bukan sahaja karaoke, disko, pub, malahan rumah urut pun ada.

Sebaiknya jika hendak melaksanakan sistem Islam haruslah dilaksanakan diperingkat pentadbiran negeri atau pun negara dahulu. Seperti kerajaan Kelantan yang melaksanakan Islam dalam pentadbiran secara automatik operasi hotel di negeri berkenaan juga dijalankan secara halal. Namun tidaklah membuang terus hiburan seperti yang digembar-gemburkan, cuma hiburan yang tidak bercanggah sahaja dibenarkan.

posted by Lidah Penghunus @ 4:28 PM   2 comments

Saturday, March 10, 2007

Demonstrasi mahasiswa membantah kezaliman Zionis.

Assalamualaikum.

Semalam selepas solat jumaat telah berlangsung satu demonstrasi aman anjuran gabungan pelbagai persatuan mahasiswa di depan kedutaan Amerika bagi membantah kekejaman oleh rejim Israel. Selalunya jika merujuk kepada demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang atau pun mahasiswa yang bukan proaspirasi maka saya akan terus mendapatkan perkembangan beritanya di akhbar-akhbar milik pembangkang khususnya Harakahdaily. Kerana kita sudah maklum bahawa demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang dan juga mahasiswa yang tidak sehaluan dengan kerajaan tidak akan mendapat perhatian mereka.

Namun apa yang menarik pada hari ini akhbar Utusan Malaysia memberikan tempat untuk berita demonstrasi yang dianjurkan oleh mahasiswa yang terdiri daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) dan beberapa pertubuhan pelajar yang lain ini.

Kira-kira 800 orang pelajar mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini hari ini berhubung isu Israel-Palestin.
Perhimpunan aman tersebut disertai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) dan beberapa pertubuhan pelajar yang lain.

Demonstrasi yang dilakukan secara aman itu juga bertujuan menyerahkan memorandum yang mengandungi tanda tangan 5,000 orang pelajar seluruh negara yang mahu kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dihentikan segera.

Jurucakap Gamis, Mior Asfundi berkata, perhimpunan yang diadakan itu telah membuatkan seorang pegawai politik kedutaan tersebut bersetuju membincangkan isu Israel-Palestin secara menyeluruh.

Kata beliau, pihaknya juga akan membangkitkan pelbagai isu lain seperti pencerobohan Al-Aqsa dan isu penempatan haram Israel dalam pertemuan tersebut. Utusan Malaysia - 10 Mac 2007.

Untuk itu tahniah diucapkan kepada gabungan persatuan mahasiswa yang diketuai oleh Gamis kerana terus menyuarakan isu-isu semasa termasuk yang melibatkan isu umat Islam Palestin walaupun masih berada di alam kampus. Tahniah juga kepada Utusan kerana memberikan tempat kepada mahasiswa-mahasiswa ini dalam menyuarakan rasa hati mereka.

Dan harapannya agar bukan sahaja demonstrasi yang menyuarakan bantahan terhadap kezaliman Israel atau Amerika Syarikat. Malahan kita juga mahu demonstrasi yang menyuarakan bantahan rakyat terhadap kenaikan harga minyak, kadar Tol juga diberikan tempat di akhbar mereka Kerana rakyat Malaysia ketika ini juga sedang merintih akibat tindakan kerajaan Barisan Nasional.

posted by Lidah Penghunus @ 6:31 PM   0 comments

Ikan busuk bermula daripada kepala.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu anggota-anggota perkhidmatan awam memperbetulkan persepsi rakyat yang kurang elok terhadap mereka.

Menurut Perdana Menteri, berdasarkan kepada laporan Transparency International, kedudukan Malaysia dalam hal-hal berkaitan persepsi rakyat masih kurang baik khususnya terhadap agensi dan perkhidmatan awam.
Beliau berkata, usaha bagi memperbaiki persepsi kurang elok orang ramai terhadap perkhidmatan dan agensi kerajaan bukan mudah kerana ia mengambil masa yang lama.
‘‘Persepsi bukan satu perkara yang boleh dihilangkan dengan cepat. Ia tidak dapat dihilangkan dalam masa satu hari, bahkan dalam masa setahun pun tak dapat,” Utusan Malaysia - 10 Mac 2006.


Berkenaan dengan isu ini saya teringat akan satu ungkapan yang berbunyi "Ikan busuk bermula daripada kepala" ungkapan ini juga baru beberapa hari lepas diungkapkan oleh GERAK dan IMPAK dalam memonya berkenaan kes penyelewengan. Mengambil hikmah daripada ungkapan ini maka segala kepincangan yang berlaku dalam perkhidmatan awam yang menyebabkan institusi berkenaan kurang dipercayai ianya sudah tentulah bermula daripada kepala atau ketua mereka sendiri.

Dalam amalan rasuah misalnya, jika penjawat awam di peringkat rendah melihat pemimpin tertinggi dan menteri yang pendapatannya agak tinggi pun cenderung untuk mengamalkan rasuah apatah lagi mereka yang berpendapatan rendah. Berdasarkan pengalaman saya sendiri memang ramai sebenarnya penjawat-penjawat awam yang berhati mulia, bencikan kezaliman serta penyelewengan termasuk yang dilakukan oleh 'bos' mereka sendiri. Namun oleh kerana sikap atau dasar pemimpin atasan mereka yang zalim dan korup maka mereka juga turut dipandang serong oleh masyarakat awam. Ini khusus kepada penjawat awam di jabatan-jabatan tertentu seperti polis dan beberapa agensi penguatkuasaan.

Dalam hal ini juga saya pernah mendengar ada orang berkata bahawa untuk menghindarkan bau busuk itu merebak keseluruh ikan berkenaan maka kepalanya haruslah dibuang terlebih dahulu barulah dapat diselamatkan badannya. Maka fahamlah kita di sini bahawa tidak ada cara lain melainkan rakyat perlu bangkit menolak Barisan Nasional pada pilihanraya akan datang. Jika Barisan Nasional yang sudah 'busuk' ini dapat disingkirkan daripada pemerintahan negara insya-Allah pentadbiran negara akan dapat dipulihkan.

posted by Lidah Penghunus @ 5:14 PM   0 comments

Thursday, March 08, 2007

Antara Amalina dan Nadiah.

Assalamualaikum.

Jika dua tahun lepas perhatian kita telah tertumpu kepada pelajar terbaik SPM 2004, Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 1A. Pada tahun ini adik Nadiah Amirah Jamil telah menarik tumpuan apabila berjaya meraih 19 A dalam perperiksaan SPM tahun 2006 sekaligus memecahkan rekod yang diperolehi oleh adik Amalina.

Seperti juga adik Amalina, kisah kejayaan adik Nadiah ini juga telah mendapat perhatian di dada-dada akhbar utama tanah air. Ruangan pendidikan akhbar Utusan Malaysia semalam turut memuatkan kisah bagaimana adik Nadiah boleh mendapat kejayaan 19A ini. Di sini saya paparkan kembali beberapa perenggan yang agak menarik perhatian saya;

Seperti remaja-remaja lain beliau juga turut menggunakan waktu lapang yang ada dengan membaca buku-buku di luar bidang akademik khususnya buku-buku motivasi dan dia amat meminati hasil karya Dr. H.M. Tuah serta buku-buku resipi masakan kerana Nadiah juga minat memasak. Bagaimanapun, Nadia mengakui beliau akan bangun lebih awal iaitu kira-kira jam 3.30 pagi untuk bersolat sunat terlebih dahulu, menghafal al-Quran sambil menunggu waktu solat subuh dan kemudian bersiap-siap ke sekolah. Kejayaan dan kecemerlangan Nadiah juga banyak dibantu dengan keyakinannya terhadap kekuatan dan keupayaan menghafal ayat-ayat suci Al-Quran.

Beliau yakin membaca dan menghafal kitab tersebut merupakan kaedah yang baik untuknya untuk sentiasa dapat berfikir dan bertindak secara lebih tenang dan mudah membuat hafalan.
Oleh itu katanya, beliau berusaha menghafal Al-Quran sejak di tingkatan satu dan menjadi amalan hariannya sehingga kini, walaupun dilakukan secara sedikit demi sedikit. Nadiah kini telah berjaya menghafal lapan surah antaranya Yasin, Al-Mulk, Ar-Rahman, Al-Sajdah, Al-Waqiah dan Luqman. “Saya menyimpan cita-cita untuk menghafal kesemua juzuk dalam al-Quran kerana yakin ia mampu memberi ketenangan dan menguatkan ingatan,” katanya.

Bersesuai dengan keyakinan terhadap ajaran Allah dapat mambantunya berjaya dunia dan akhirat, Nadiah juga menjadi seorang yang sangat pemilih terhadap persekitaran khususnya muzik yang perlu didengarnya setiap hari untuk menghilangkan kebosanan atau tekanan.
Nadiah mengakui beliau banyak mendengar lagu-lagu nasyid yang baginya sesuai untuk membentuk jiwa seseorang menjadi lembut dan amat meminati Kumpulan Raihan.
“Jika kita sentiasa terdedah dengan lagu-lagu bercorak keras, lama kelamaan jiwa kita juga akan menjadi keras,” katanya yang turut meminati Datuk Siti Nurhaliza dan berharap dapat bertemu dengan penyanyi pujaan ramai itu suatu hari nanti. Utusan Malaysia - 7 Mac 2007.

Ini berbeza dengan adik Amalina dahulu yang diuar-uarkan oleh sebuah akhbar sebagai seseorang yang turut meminati rancangan Akademi Fantasia. Mereka cuba memberikan gambaran kepada masyarakat bahawa seseorang yang meminati hiburan yang melalaikan juga tidak mustahil untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam akademik.

Sedangkan apa yang kita mahu adalah seseorang yang bukan setakat cemerlang di dunia tetapi ia juga cemerlang dalam aspek kerohanian, tidak dilalaikan dengan perkara-perkara mungkar. Oleh itu adalah menjadi harapan kita agar adik Nadiah ini suatu hari nanti menjadi seorang profesional muslim yang solehah yang menjadikan Islam sebagai cara hidup. Namun begitu kita juga masih mengharapkan agar adik Amalina yang sekarang ini sedang belajar di luar negara agar tidak terus hanyut dengan budaya hedonisme lebih-lebih lagi di negara luar sana yang penuh mencabar.

posted by Lidah Penghunus @ 1:06 PM   1 comments

Wednesday, March 07, 2007

Antara akhbar terbitan pembangkang dan laman blog.

Assalamualaikum.

Mengulas sedikit tentang kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam akhbar hari ini yang menasihatkan agar dasar keterbukaan kerajaan tidak digunakan rakyat sebagai satu lesen untuk menuduh individu tertentu tanpa sebarang bukti atau asas kukuh;

Sebaliknya, beliau mahukan rakyat menggunakan sistem dan prosedur yang betul dalam membuat sebarang aduan perbuatan salah laku individu kerana negara mempunyai sistem perundangan yang lengkap dan adil bagi menentukan kebenaran.
"Kita mempunyai sistem (perundangan), bila ada aduan terhadap individu tertentu, orang ramai boleh menulis kepada polis atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) bersertakan maklumat dan bukti.
"Bukan menyalahgunakan kemudahan yang disediakan kerajaan untuk menuduh sesiapa saja. Kita perlu bertanggungjawab dan adil. Biar sistem perundangan kita yang menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak Berita Harian – 7 Mac 2007.

Di sini kita singkap kembali isu banglo mewah serta gerai sate DZ House milik Dato’ Zakaria Deros yang pernah menimbulkan kontroversi penghujung tahun lalu. Isu berkenaan mendapat perhatian daripada menteri besar serta perdana menteri sendiri setelah ianya tersebar luas di media-media massa dan lama blog

Andaikata segala kecurangan ini dilaporkan terus kepada pihak-pihak yang berkenaan tanpa didedahkan melalui media-media massa serta blog. Kita tidak yakin bahawa ianya akan diambil tindakan secara serius oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Tambahan lagi ketika ini salah sebuah institusi yang bertanggungjawab menghadapi masalah apabila ketua pengarahnya menghadapi dakwaan rasuah dan salah guna kuasa. Maka di sinilah gunanya media-media yang bebas ini dalam menyampaikan maklumat tentang segala kecurangan serta salah guna kuasa yang berlaku kepada rakyat.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini juga kebanjiran laman-laman blog yang cenderung kepada pembangkang akhir-akhir ini adalah kerana wujudnya beberapa sekatan terhadap parti pembangkang daripada menyampaikan maklumat kepada rakyat. Sedangkan parti pemerintah yang menguasai akhbar perdana serta stesyen TV bebas menghentam pembangkang melalui media yang dikawal oleh mereka.

Oleh itu jika kerajaan benar-benar mengamalkan dasar terbuka seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Nazri itu maka kerajaan haruslah melepaskan penguasaan media, membenarkan pembangkang berkempen di Televisyen ketika pilihanraya dan menaikkan tempoh permit penerbitan Harakah daripada dua kali sebulan kepada empat kali sebulan.

Kerana adalah lebih baik mereka membiarkan media rasmi pembangkang seperti tabloid Harakah dan Suara Keadilan yang maklumatnya terkawal ini menjadi sumber maklumat alternatif kepada rakyat daripada laman blog yang kita maklum maklumatnya tidak dikawal, sesiapa sahaja bebas menulis berkenaan apa sahaja di laman blog yang disediakan percuma ini.

posted by Lidah Penghunus @ 4:19 PM   0 comments

Tuesday, March 06, 2007

Gaji tinggi cenderung beri suapan - TI-Malaysia

Assalamualaikum.

Berkenaan dengan kajian oleh Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) yang disiarkan dalam sebuah akhbar perdana hari ini;

Menurut kajian itu, golongan berpendapatan bulanan RM5,000 ke atas didapati paling ramai memberi rasuah iaitu 52 peratus, diikuti kumpulan berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM5,000 (40 peratus), RM1,501 - RM3,000 (31 peratus) dan kurang RM1,500 (18 peratus).

Kajian ke atas 1,025 responden meliputi penduduk pelbagai lapisan masyarakat serta 411 wakil badan korporat itu mendapati, 58 peratus masyarakat Cina cenderung memberi rasuah, diikuti India (23 peratus) dan Melayu (14 peratus).

Sepertiga daripada orang awam dan separuh daripada wakil sektor korporat yang terbabit dalam kaji selidik itu mengaku pernah memberi rasuah bagi mengelakkan kerumitan apabila melakukan sesuatu urusan atau didakwa atas pelbagai kesalahan.

Butiran kaji selidik terkandung dalam laporan Pemantauan Persepsi Ketelusan di Malaysia yang diedarkan, di sini, semalam. Berita Harian - 6 Mac 2007.

Apa yang saya nampak melalui hasil kajian ini ianya menunjukkan bukti terdapatnya jurang pendapatan yang besar di kalangan rakyat di negara ini. Walaupun dikatakan KDNK kita meningkat, pendapatan perkapita rakyat tinggi, indeks komposit melonjak tinggi namun agihan pendapatan di negara kita masih lagi tidak seimbang. Ini ditambah pula dengan beberapa kenaikan seperti harga petrol, kadar Tol dan seterusnya harga barangan keperluan yang menyebabkan menurunnya kadar upah benar rakyat.

Oleh itu tidak hairanlah jika golongan yang berpendapatan tinggi ini menganggap wang adalah penyelesaian dan sogokan sebagai jalan keluar kepada sesuatu permasalah atau ketika berurusan. Namun begitu gejala rasuah ini tidak akan terjadi tanpa adanya penerima rasuah atau sogokan dan penerima rasuah ini pula rata-rata terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Di sini juga kita tidak boleh menolak hakikat bahawa golongan penerima rasuah kebanyakannya adalah daripada penjawat awam. Ini memandangkan gaji yang mereka terima masih lagi di tahap yang rendah. Di sini saya agak bersetuju dengan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad;

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad, dalam ucaptama pada majlis itu, pula yakin peningkatan gaji dan pelarasan kenaikan pangkat, terutama untuk kakitangan kerajaan, yang sejajar dengan peningkatan kos sara hidup dapat menghapuskan separuh daripada masalah rasuah dalam sektor awam.

“Umpamanya, jika kerajaan berjaya memenuhi semua keperluan ini bagi pasukan polis, separuh daripada masalah rasuah negara boleh dianggap selesai. Ini satu jabatan saja, kita belum lagi pergi kepada yang lain.

“Bagaimanapun, usaha ini tidak mungkin berhasil dengan kesungguhan satu pihak saja, sebaliknya orang ramai juga harus menjauhi amalan rasuah pada peringkat teratas sehingga ke akar umbi. Berita Harian - 6 Mac 2007.

Walaubagaimana pun peningkatan dalam pendapatan rakyat ini tidaklah akan menyelesaian masalah rasuah ini secara keseluruhannya kerana sudah lumrah bagi sesetebgah manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang diperolehi. Maka sebab itulah wajib kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh, melaksanakan Islam secara keseluruhannya dalam pemerintahan agar wujudnya keberkatan dalam pentadbiran.

posted by Lidah Penghunus @ 12:56 PM   0 comments

Monday, March 05, 2007

YB ikut telunjuk isteri akan diketepikan, yang ikut telunjuk menantu juga harus disingkirkan.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan bahawa mana-mana wakil rakyat yang didapati dipengaruhi oleh isteri dalam membuat keputusan yang berkatan dengan pentadbiran tidak akan dipilih semula untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang.

Pucuk kepemimpinan Umno negeri menetapkan kriteria baru pemilihan calon lelaki sebagai wakil rakyat mestilah mereka yang konsisten dalam menentukan hal berkaitan rakyat tanpa campur tangan isteri.
Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata kriteria baru ini dianggap munasabah selepas pihaknya menerima banyak rungutan rakyat berhubung kerenah beberapa wakil rakyat seumpama itu.
“Kita tidak mahu wakil rakyat hanya sebagai kapten manakala isterinya menjadi jeneral dalam menyelesaikan hal berkaitan rakyat. Mereka akan digugurkan nanti,” Berita Harian - 5 Mac 2007.

Bukan itu sahaja, kita juga mahu wakil rakyat mahupun perdana menteri yang membuat keputusan berkaitan dengan pentadbiran negara yang dipengaruhi oleh anak menantu juga disingkirkan daripada menjadi calon pilihanraya kerana pemimpin sebeginilah yang selama ini telah mendatangkan masalah kepada negara.

posted by Lidah Penghunus @ 4:21 PM   0 comments

Sunday, March 04, 2007

Ahli politik, BPR dan SPR.

Assalamualaikum.

Semalam kita dikejutkan dengan pendedahan tentang seorang pemimpin kanan ahli politik yang menerima sogokan sebanyak RM 5 juta bagi membebaskan beberapa penjenayah yang terlibat dengan kegiatan pelacuran, gengsterisme, Ah Long dan peras ugut. Dalam akhbar hari ini BPR menyatakan bahawa ahli politik yang berkenaan telah pun dikenal pasti dan siasatan terperinci sedang dijalankan.

Sebut tentang BPR sebelum ini kita telah didedahkan dengan dakwaan salahlaku dan penyalahgunaan kuasa terhadap ketua pengarah BPR sendiri. Dalam akhbar yang sama hari ini Ketua Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti menyatakan bahawa Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar boleh dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung dakwaan salah laku Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor ekoran aduan bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Manan mendakwa aduan yang dibuat kepada Mohd Bakri pada Julai tahun lalu tidak diambil tindakan sama ada oleh BPR atau polis.

Bolehlah dikatakan di sini bahawa ahli politik yang bermasalah sedang disiasat oleh BPR yang juga sekarang sedang bermasalah. Nampaknya beginilah nasib kita rakyat Malaysia sekarang yang ditadbir oleh institusi yang penuh bermasalah yang diketuai oleh perdana menteri sendiri yang kita sudah maklum cukup lemah dan bermasalah. Lebih malang lagi apabila kita mahu membuat perubahan dalam pilihanraya umum, SPR yang menguruskan pilihanraya juga bermasalah. Jadi apalagi yang boleh kita katakan.

posted by Lidah Penghunus @ 4:13 PM   0 comments

Thursday, March 01, 2007

Baik serahkan sahaja tampuk pemerintahan kepada artis.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyatakan bahawa badan itu akan menggunakan khidmat artis popular dalam usaha memerangi serta memupuk kesedaran tentang bahaya rasuah.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menggunakan ‘khidmat’ artis popular tanah air dalam kempen antirasuah dan memupuk kesedaran orang ramai mengenai kesan buruk perbuatan itu.
Antara artis hiburan yang sudah menyatakan persetujuan termasuk seniman veteran Aziz Sattar, artis Akademi Fantasia (AF) seperti Mawi, Felix, Faizal, Salima serta Hattan, Faradiya, Nash, Radhi Khalid dan Maya.Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar, berkata dua acara utama melalui program itu ialah Konsert Selebriti Antirasuah pada malam 24 Mac ini dan Larian Selebriti Antirasuah pada pagi 25 Mac.

"Program itu yang turut membabitkan kerajaan negeri dan Karyawan adalah satu daripada strategi pencegahan dijalankan BPR untuk menyampaikan mesej antirasuah kepada orang ramai sempena sambutan ulang tahun ke-40 BPR."
Kami menggunakan artis untuk program ini kerana umum mengetahui artis adalah idola dalam kehidupan masyarakat.
"BPR bersepakat untuk mengetengahkan artis sebagai perantaraan bagi menyampaikan mesej rasuah," Berita Harian – 1 Mac 2007.

Bermula dengan penurunan Indeks Persepsi Rasuah pada tahun lepas dan yang terbaru Ketua Pengarah BPR sendiri didakwa terbabit dengan rasuah, gangguan seksual dan salah guna kuasa. sekarang ini mereka akan menggunakan populariti artis popular pula dalam usaha menyesaikan masalah rasuah yang gagal ditangani oleh pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini.

Nampaknya peranan artis ini begitu penting rupanya kepada pemerintah Barisan Nasional ini. Semasa hendak meraih undi dalam pilihanraya populariti mereka yang akan digunakan dalam kempen-kempen pilihanraya malahan kini dalam usaha memerangi rasuah pula peranan mereka diperlukan. Sebagaimana yang kita maklum golongan artis ini diberikan tempat yang luas dalam media-media utama negara. Mereka bebas memperkatakan apa sahaja hatta yang berkaitan dengan agama. Hinggakan ada seorang artis yang begitu tercelupar menghina isteri Nabi Muhammad SAW.

Jika beginilah keadaannya eloklah sahaja Pak Lah dan Barisan Nasional menyerahkan tanggungjawab pemerintahan serta pentadbiran negara ini kepada golongan artis. Biarkan sahaja golongan artis ini menyelesaikan masalah rasuah, menjayakan RMK 9 dan menjalankan pentadbiran berdasarkan prinsip Islam Hadhari.

posted by Lidah Penghunus @ 11:14 AM   1 comments


Free Hit Counter