Saturday, December 30, 2006

Tol naik, cukai jalan turun.

Assalamualaikum.

Sepatutnya selepas tajuk 'Jendela 2006' siang tadi maka saya blog ini tidak akan beroperasi sehinggalah hari selesa tahun hadapan. Namun begitu berita TV waktu perdana tadi Pak Lah mengumumkan bahawa cukai jalan bagi pelbagai jenis kenderaan akan diturunkan bermula 1 Januari ini.

Kononnya penurunan kadar cukai jalan ini adalah sebagai mengurangkan beban rakyat ekoran daripada kenaikan kadar Tol yang juga akan berkuatkuasa Januari tahun hadapan. Apa yang hendak saya sebutkan di sini yang pertamanya rakyat sebenarnya bukan baru sahaja dibebankan oleh Tol sahaja malahan seawal tahun 2006 lagi rakyat telah dibebankan dengan kenaikan harga minyak diikuti dengan elektrik dan air.

Yang keduanya apa yang kita nampak di sini kerajaan lebih rela mengorbankan pendapatannya dengan mengurang perolehan daripada cukai jalan demi menyelamatkan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya yang jelas sikap kapitalis mereka apabila hanya memandang keuntungan sebagai matlamat. Tambahan lagi cukai jalan yang dikurangkan itu hanya perlu dibayar sekali atau dua kali dalam setahun sedangkan Tol yang meningkat kadarnya itu perlu dibayar setiap kali ianya dilalui oleh rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 10:47 PM   0 comments

Jendela 2006.

Assalamualaikum.

Tidak berapa lama lagi 2006 akan meninggalkan kita dengan pelbagai rakaman peristiwa suka dan duka. Begitu pantas masa berlalu. Rasanya macam baru semalam saya menukilkan tajuk Jendela 2005 di blog ini. Mengimbas kembali rakaman peristiwa sepanjang 2006 ini bolehlah saya katakan bahawa tahun 2006 ini adalah tahun di mana rakyat ditimpa oleh pelbagai himpitan kos hidup yang makin meningkat. Bermula dengan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter pada 28 Febuari, kemudiaan diikuti dengan kenaikan tarif elektrik sebanyak 12 peratus berkuatkuasa 31 Mei, kenaikan tarif air sebanyak 13.7 peratus bermula 1 November yang lalu dan seterus kenaikan-kenaikan ini telah melonjakkan kenaikan harga barangan keperluan di pasaran. Bermula 1 Januari 2007 ini pula rakyat sekali lagi akan menelan kepahitan di bawah pemerintahan Barisan Nasional apabila terpaksa menanggung beban kenaikan kadar Tol sebanyak 60 peratus hingga 100 peratus.

Selain daripada itu tahun ketiga pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad badawi ini juga mencatat satu pengalaman duka bagi agama Islam di negara ini apabila kumpulan-kumpulan yang tidak senang dengan agama Islam semakin berani mencabar ketuanan Islam di negara ini secara terbuka. Paling ketara kumpulan Artikel 11 yang cuba untuk memansuhkan kuasa mahkamah syariah dan seterusnya merealisasikan penubuhan IFC iaitu satu badan sebenarnya bertujuan untuk menjalankan agenda memurtadkan umat Islam. Tidak setakat itu wujud pula kumpulan liberal yang terdiri daripada orang sendiri yang semakin lantang mempersoalkan hukum-hakam agama yang berselindung disebalik slogan hak asasi.

Bagi Pas pula 2006 ini mungkin adalah satu tahun di mana jentera penerangan Pas mendapat 'bonus' apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir muncul sebagai tokoh pengkritik kerajaan yang senada dengan Pas. Dengan adanya peranan Tun Dr Mahathir ini maka Pas dapat menumpukan lebih perhatian dalam berhadapan dengan ancaman IFC, murtad dan perkara-perkara yang mengancam akidah umat Islam. Sebut juga tentang tindakan Tun mengkritik pentadbiran perdana menteri ini, ianya juga menunjukkan bahawa tahun 2006 ini juga adalah tahun getir dalam pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri yang juga presiden Umno. Ditambah dengan perbalahan dalam parti komponen BN dan beberapa lagi insiden yang melibat Umno dan Barisan Nasional sekaligus membuktikan kepada kita betapa makin tidak terkawalnya pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2006 ini.

Tahun 2006 ini juga menampakkan sedikit kemajuan dalam penulisan di saya blog ini apabila bermula bulan Ogos yang lalu blog Lindungan bulan ini beroperasi secara harian berbanding secara mingguan sebelumnya. Jadi harapan saya agar perkara ini dapat diteruskan pada 2007 yang akan tiba di samping mempertingkat kualiti blog ini daripada pelbagai sudut dari semasa ke semasa.

Sebut pula tentang 2007 yang akan menjelang tiba, saya percaya rata-rata akan menyebut tentang tahun di mana orang-orang politik memfokuskan tentang tarikh pilihanraya umum. Jika sebelum ini ada menjangkakan bahawa pilihanraya umum ke-12 akan jatuh pada bulan April 2007. Namun kata seorang sahabat memandang kenaikan kadar Tol bermula Januari 2007 berkemungkinan ianya tidak akan diadakan dalam masa yang terdekat. Dalam akhbar baru-baru ini juga MAFREL menjangkakan bahawa pilihanraya umum akan jatuh pada bulan November 2007. Apapun tarikhnya, di sini saya ingin mengajak tuan-tuan semua selain daripada memiliki azam tahun baru tuan-tuan sendiri. Marilah kita membuat satu azam tahun baru bersama untuk membuat perubahan dalam pilihanraya umum yang akan tiba bila-bila masa dalam rangka untuk mewujudkan sebuah Malaysia yang adil yang bebas daripada kezaliman dan penindasan. Yang pastinya pilihanraya kecil Batu Talam akan menjadi pembuka tirai iklim politik bagi 2007 ekoran kematian wakilnya.

posted by Lidah Penghunus @ 3:27 PM   0 comments

Thursday, December 28, 2006

KPDNHEP beri amaran peniaga naikkan harga.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyampaikan amarannya kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sayuran dan ikan sewenang-wenangnya atas alasan banjir.

Sambil mengakui wujud kenaikan harga sayuran dan ikan, Menterinya, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata tindakan mereka itu bukan saja tidak bertanggungjawab malah menyusahkan rakyat.
“Kita memahami jika negeri terbabit banjir mengalami kenaikan harga sayuran kerana terputus hubungan dan tanaman musnah. Tetapi adalah tidak masuk akal, harga sayuran dinaikkan antara sembilan hingga 12 peratus dengan alasan banjir di negeri lain termasuk ibu negara. Berita Harian - 28 Disember 2006.

Ikutkan sebab peniaga-peniaga ini menaikkan harga barang bukan hanya kerana banjir baru-baru ini sahaja tetapi juga didorong oleh kenaikan kos pengeluaran akibat daripada kenaikan harga bahan api, tarif elektrik dan tarif air yang kesemua ini dikira kos pengeluaran. Sepatutnya kerajaan yang perlu diberi amaran agar tidak menaikkan harga minyak, Tol dan sebagainya secara sewenang-wenangnya dan kemudian memberikan alasan yang sama iaitu kenaikan di Malaysia masih lagi rendah berbanding negara lain. Kerana sudah jelas bahawa tindakan kerajaan inilah sebenarnya yang telah menyusahkan rakyat termasuk golongan peniaga kecil bukan kroni ini.

posted by Lidah Penghunus @ 10:41 PM   0 comments

Wednesday, December 27, 2006

Lagi berkenaan Majlis Perbandaran Klang.

Assalamualaikum.

Nampaknya akhir-akhir ini isu yang melibatkan Majlis Perbandaran Klang terus berkumandang di akhbar seolah-olah menjadi penutup bagi tahun 2006. Bermula daripada kes banglo Dato' Zakaria, skandal perlantikan ahli majlis dan kelmarin timbul pertikaian atas perlantikan Chandran Subramaniam sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang bagi menggantikan bapanya, Subramaniam Sangapillai yang tidak boleh lagi memegang jawatan itu kerana diisytiharkan muflis beberapa bulan lalu. Akhbar hari ini pula dipaparkan tentang operasi perobohan gerai di Jalan Pandamaran oleh MPK atas dakwaan beroperasi tanpa lesen dan tidak mendapat hak milik tanah sementara atau TOL.

Apa yang menjadi persoalan di sini jika kita lihat berita TV pukul 8 malam tadi, peniaga-peniaga mangsa perobohan yang ditemui dengan jelas menunjukkan bahawa perniagaan mereka dijalankan dengan berlesen serta memiliki TOL. Apa yang dapat kita saksikan juga ialah insiden 'tolak-menolak' antara pegawai perancang dan bandar dengan pegawai daerah Klang. Yang nyata kedua-dua pegawai yang terbabit ini gagal memberikan penerangan yang meyakinkan tentang isu ini.

Berkenaan alasan bahawa perobohan tersebut kerana kesalahan berniaga di kawasan zon penampan dan rizab jalan pula, di sini saya tidaklah ingin untuk menyebutnya sebagai double standard kerana dalam berita akhbar itu juga awal-awal lagi telah disebut tentang perobohan Gerai DZ Satay House milik Dato' Zakaria sebulan yang lalu mungkin sebagai bukti bahawa kerajaan tidak double standard dalam mengambil tindakan. Namun sebenarnya tetap wujud double standard kerana operasi merobohkan gerai sate milik Adun Pelabuhan Klang itu dibuat hanya setelah ianya didedahkan oleh pembangkang di Dun Selangor. Ini jelas seperti dinyatakan oleh pegawai daerah Kelang sendiri yang dipetik daripada akhbar Berita Harian bertarikh 24 November 2006;

Mengenai kemungkinan ia tidak dirobohkan jika tidak didedahkan media masa, Bakhtiar berkata, ia akan kekal kerana binaannya cantik di kawasan berkenaan. Berita Harian - 24 November 2006.

Sedangkan gerai milik orang awam sendiri tidak perlu didedahkan atau dilaporkan oleh pembangkang atau media masa, mereka sendiri akan mencari peniaga-peniaga kecil yang didakwa melakukan kesalahan dan akan merobohkan gerai-gerai mereka ini dengan rakusnya.

posted by Lidah Penghunus @ 11:32 PM   0 comments

Monday, December 25, 2006

Berkenaan banjir di Johor - Benarkah Pas tidak prihatin?

Assalamualaikum.

Di sini saya berminat untuk mengulas sedikit tentang kejadian banjir di beberapa tempat negeri Johor yang dilihat oleh pelbagai pihak sebagai satu yang mengejutkan dan tidak disangka-sangka. Dahulu kita biasa dengar kenyataan daripada pemimpin Umno bahawa negeri bawah pemerintah mereka tidak berlaku banjir sedangkan Kelantan bawah pemerintahan Pas sering berlaku banjir. Namun begitu tahun lepas Allah telah tunjukkan dengan berlakunya banjir di utara semenanjung. Dan sekali lagi tahun ini berlaku pula banjir di negeri kelahiran Umno iaitu di Johor.

Cuma apa boleh dikatakan di sini bahawa banjir yang berlaku di Kelantan tiap-tiap penghujung tahun itu adalah musim sedangkan banjir yang berlaku di negeri Johor adalah bencana atau bala. Saya mengatakan begini kerana banjir di Kelantan adalah secara tahunan dan dipanggil musim banjir. Oleh kerana itu tiap-tiap hujung tahun negeri berkenaan akan membuat persiapan untuk menghadapinya dan maka dengan itu ianya tidaklah menjadi masalah yang besar. Sedangkan di negeri Johor pertama sekali dalam sejarah berlaku banjir yang seteruk itu.

Tambah memalukan apabila berlakunya kejadian pecah masuk atau kecurian di kedai atau rumah mangsa banjir di Johor sehingga dalam akhbar hari minggu semalam ianya disentuh oleh perdana menteri sendiri yang mengarahkan agar penyangak banjir ini ditahan. Sedangkan kita belum pernah dengar lagi perkara seumpama ini berlaku di negeri Kelantan yang tiap-tiap tahun banjir itu. Makin parah apabila akhbar hari ini melaporkan tentang dua puluh ekor buaya yang dibela secara haram terlepas dan membahayakan mangsa banjir di Muar dan Kota Tinggi. Apapun kita tetap mendoakan agar mangsa-mangsa banjir ini tidak kira di Kelantan mahupun Johor agar selamat dan diberikan kekuatan dalam menghadapi situasi ini.

Cerita juga tentang banjir ini saya ingin mengulas sedikit tentang dakwaan Tan Sri Muhd Taib dan Khairy Jamaludin bahawa Pas tidak sensitif tentang penderitaan rakyat apabila terus mengadakan program Himpunan 15,000 pemuda di Kota Bharu pada masa beberapa negeri dilanda banjir. Apa yang ingin saya sebutkan di sini program tersebut telah pun dirancang lama dan begitu penting untuk kesinambungan perjuangan sayap pemuda Pas dan oleh kerana itu ianya harus diteruskan. Walau bagaimanapun oleh kerana berlakunya banjir di Johor Pemuda Pas Pusat telah memberikan perlepasan kepada Pemuda negeri Johor agar mereka dapat memberikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri mereka. Tambahan lagi sebelumnya ini Pas sudah pun menggerakkan ahli-ahlinya daripada pelbagai peringkat untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri Johor dan juga Melaka malahan ada pimpinan Pas sendiri yang terperangkap dalam banjir ketika membuat tinjauan. Laporannya kita boleh lihat sendiri menerusi Harakahdaily.

Satu lagi yang hendak saya sebutkan berkenaan dakwaan mereka itu, Pas menitikberatkan soal pilihanraya tujuannya juga adalah kerana tidak mahu lagi melihat rakyat terus menderita di bawah pemerintahan Barisan Nasional yang semakin lama semakin menindas rakyat dengan kenaikan harga minyak, tarif air, elektrik juga Tol. Jelas di sini bahawa Muhd Taib dan Khairy ketandusan modal apabila membuat tuduhan tanpa mahu selidik dahulu apa sebenarnya yang berlaku.

posted by Lidah Penghunus @ 10:12 PM   1 comments

Thursday, December 21, 2006

Isu mualaf kembali murtad.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini ada menyentuh tentang isu gejala murtad atau kembali kepada agama asal oleh golongan mualaf atau saudara yang baru memeluk islam yang sekarang ini dilihat semakin serius.

Kekurangan pegawai agama yang memantau dan membimbing saudara baru (mualaf) mendalami Islam selain ceteknya pengetahuan agama menyebabkan ada di antaranya kembali ke ajaran asal mereka.
Jabatan Agama Islam di setiap negeri menerusi Unit Mualaf masing-masing melantik pegawai khas untuk memantau dan memberi bimbingan kepada saudara baru.

Bagaimanapun, disebabkan jumlah pegawai yang sedikit menyebabkan mereka tidak mampu berada di setiap kawasan bagi memantau dan memberi bimbingan kepada saudara baru. Berita Harian - 21 Disember 2006.

Oleh kerana itulah kerajaan negeri Kelantan beberapa bulan yang lepas telah mengambil pendekatan memberikan galakan berbentuk kewangan kepada pendakwah yang sedia berkahwin dengan orang asli yang beragama Islam di negeri berkenaan dan tinggal di perkampungan orang asli. Tujuannya agar para pendakwah ini dapat memberikan kefahaman Islam yang mendalam kepada saudara-saudara baru ditempat mereka tinggal sekaligus memastikan agar saudara-saudara baru ini tidak terus hanyut terkapai-kapai dan akhirnya kembali ke agama asal. Namun adalah menyedihkan apabila usaha kerajaan Kelantan ini telah dipersendakan oleh pihak media yang dikawal oleh parti pemerintah.

Sekarang ini pun kita lihat tidak kurang ramainya juga di kalangan mereka ini memeluk Islam hanya semata-mata untuk perkahwinan. Sepatutnya melalui perkahwinan pun boleh menjadi ruang si suami atau pun isteri menerapkan secara mendalam kepada pasangan mereka yang baru memeluk Islam, tidak perlu kepada pegawai-pegawai agama. Namun oleh kerana tujuannya untuk perkahwinan semata-mata perkahwinan maka Islam hanya pada nama sahaja sedangkan amalannya tiada dan lebih berbahaya apabila berlakunya perceraian maka bercerailah juga si mualaf itu tadi dengan akidah tauhidnya.

Ini juga adalah salah pemerintah sendiri yang tidak melaksanakan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah kepada pesalah murtad mengakibatkan mereka menganggap bahawa keluar daripada Islam semudah keluar daripada agama asal. Dalam kes baru-baru ini mereka sibuk untuk merebut mayat orang yang telah murtad sedangkan ramai lagi orang Islam yang telah direntap akidah mereka akibat tiadanya undang-undang murtad yang sebenar.

posted by Lidah Penghunus @ 9:44 PM   1 comments

Wednesday, December 20, 2006

Rakyat Kelantan paling banyak layari laman web lucah?

Assalamualaikum.



Gambarajah di atas ini adalah statistik yang dikeluarkan Laman Web Google yang kononnya menunjukkan orang Kelantan paling banyak melayari laman web lucah berbanding negeri lain. Di sini saya tertarik dengan komen seorang sahabat bahawa jika kita perhatikan item bagi negeri Kelantan hanya satu kawasan sahaja iaitu Kota Bharu. Sedang jika kita lihat negeri Selangor ianya terbahagi kepada tiga kawasan iaitu Kelang, Petaling Jaya Shah Alam. Cuba jika ketiga-tiga kawasan tersebut digabungkan. Sudah tentu angkanya lebih tinggi daripada Kelantan. Begitulah juga dengan negeri Johor yang terbahagi kepada dua kawasan iaitu Batu Pahat dan Johor baru.

Nampaknya statistik ini sengaja dipaparkan bertujuan untuk memburuk-burukkan negeri Kelantan bawah pemerintahan Pas. Sedangkan rakyat bukan bodoh, bukan tidak reti untuk membaca sesuatu gambarajah. Akhirnya yang jelas bodoh adalah diri mereka sendiri yang dari dahulu cuba untuk mencari kelemahan kerajaan pimpinan ulama' di Kelantan. Di situ dipaparkan juga komen seorang pensyarah tentang isu ini yang menyebut bahawa ianya berpunca daripada Kelantan yang mengamal dasar lebih konservatif dalam hal-hal sensitif seperti seksualiti.

Persoalannya adakah ini bermaksud mereka mahu kerajaan Tok Guru Nik Aziz mengamalkan dasar yang lebih terbuka dengan membenarkan pergaulan bebas, membuka lebih banyak pusat-pusat hiburan, pusat perdagangan seks sebagai langkah penyelesaian? Di sini juga mereka harus ingat bahawa tidak mustahil ramai juga di kalangan rakyat Kelantan sendiri yang minum arak secara sembunyi di Kelantan, namun adakah Tok Guru Nik Aziz sebagai menteri besar akan menanggung dosa daripada perbuatan mereka yang jelas degil itu? Sedangkan sebagai pemimpin beliau telah sedaya-upaya menutup segala pintu maksiat di negeri Serambi Mekah itu. Tetapi jika masih ada segelintir rakyat yang masih degil apalagi yang Tok Guru Nik Aziz boleh buat. Ini juga adalah kerana dasar kerajaan pusat sendiri yang telah menyukarkan perlaksanaan Islam secara menyeluruh di Kelantan. Kerajaan negeri Kelantan sendiri tidak mampu untuk menyekat siaran-siaran TV yang banyaknya berunsur negatif daripada masuk ke rumah-rumah rakyat Kelantan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:16 PM   1 comments

Tuesday, December 19, 2006

Berkenaan Malaysia di arena antarabangsa.

Assalamualaikum.

Yang pertamanya tentang lawatan perdana menteri ke Venezuela dan juga keabkraban Pak Lah sendiri dengan Presiden Venezuela Hugo Chavez . Akhbar hari ini Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyatakan bahawa Imej Malaysia di arena antarabangsa tidak akan terjejas kerana keakrabannya dengan pemimpin negara yang berhaluan kiri yang memperjuangkan fahaman sosialis itu.

Berita TV3 tadi pula sekali lagi Pak Lah menyatakan bahawa keakrabannya dengan Hugo Chavez yang juga dilihat begitu keras kritikannya terhadap Amerika Syarikat tidak akan menimbulkan kemarahan negara Amerika terhadap Malaysia. Nampak seolah-olah bahawa Pak Lah walaupun telah bersua muka dengan pemimpin yang paling berani menentang Amerika tetapi beliau masih lagi takut dengan Amerika. Sepatutnya beliau haruslah mengikut jejak langkah presiden negara tersebut yang berani mengkritik negara kuasa besar yang jelas tidak adil.

Yang keduanya tentang permintaan negara Amerika agar Malaysia menjadi orang tengah dalam menyatukan semula Iraq yang sedang bergolak seperti yang disiarkan pada berita TV3 tadi. Persoalannya mampukah Malaysia di bawah Pak Lah menjadi penyatu kepada negara yang bergolak itu sedangkan di bawah kepimpinan Pak Lah sendiri, sesama parti komponen BN pun boleh berbalah. Yang terbaru perbalahan antara PPP dan Gerakan. Jadi adalah baik jika Pak Lah selesaikan dahulu kelemahan-kelemahan dalam pentadbirannya yang kini jelas tidak terkawal.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Monday, December 18, 2006

Zainuddin Maidin berkata 'tentang' pencegahan maksiat.

Assalamualaikum.

Semalam sebuah akhbar perdana menyiarkan kenyataan mufti Perlis berkenaan kaedah pencegahan maksiat oleh pihak berkuasa agama. Akhbar hari ini pula menyiarkan kenyataan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin sebagai reaksi kepada kenyataan mufti itu. Cumanya di sini saya terpanggil untuk menyentuh tentang beberapa petikan daripada kenyataan Zam seperti di bawah ini.

Zainuddin juga berkata, alim ulama juga harus melihat perkara yang lebih besar daripada ‘seronok’ menahan orang berkhalwat.
Banyak lagi perkara besar yang berlaku di depan mata yang perlu dibendung bersama oleh alim ulama seperti kes ragut, rompak, mat rempit dan penagihan dadah. Utusan Malaysia - 18 Disember 2006.


Persoalannya di sini adakah mencegah perbuatan sumbang, berkhalwat itu adalah perkara kecil yang kurang penting sehingga Zam boleh berkata sedemikian? Adakah benar ianya adalah persoalan individu dengan Tuhannya dan tidak melibatkan masyarakat? Memang kita tidak nafikan bahawa kes ragut, rompak, mat rempit dan penagihan dadah juga adalah isu penting yang perlu diambil perhatian oleh ulama' kerana ianya melibatkan kepentingan masyarakat. Namun begitu beliau harus ingat bahawa daripada perbuatan khalwat atau berdua-duaan inilah yang telah menularnya kes-kes penzinaan, kelahiran anak luar nikah dan seterus pembuangan bayi yang menjadi ancaman kepada masyarakat pada masa kini.

Sepatutnya 'perkara yang lebih besar' yang disebut oleh Datuk' Seri Zainuddin Maidin itu ialah menghapuskan perkara-perkara yang boleh membawa kepada merebaknya gejala perbuatan khalwat ini. Tidak guna pihak berkuasa agama banyak membuat tangkapan sedangkan perkara-perkara yang boleh membawa kecenderungan kepada perbuatan khalwat seperti penonjolan pergaulan bebas oleh media masih lagi berleluasa. Adalah lebih mudah jika dihapuskan terus perkara-perkara yang boleh membuka jalan kepada gejala tidak sihat ini disamping memberikan pendidikan agama secara berterusan.

posted by Lidah Penghunus @ 10:10 PM   1 comments

Sunday, December 17, 2006

Berkenaan kenyataan mufti Perlis.

Assalamualaikum.

Sentuh sedikit tentang kenyataan mufti Perlis yang baru dilantik, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang disiarkan pada akhbar hari ini;

Mohd Asri menganggap amalan itu bertentangan dengan prinsip hak asasi, menyerupai perbuatan menceroboh, malah memalukan Islam kerana pegawai penguat kuasa jabatan agama Islam pergi ke hotel dan meminta senarai nama penginap.
Katanya, prinsip amar makruh nahi mungkar hanya boleh dilaksanakan apabila kesalahan dan jenayah dilakukan secara terbuka tetapi menceroboh hak individu lain bertentangan ajaran Islam.
Malah, Mohd Asri turut mempersoalkan amalan pegawai penguat kuasa jabatan agama Islam membawa bersama wartawan ketika mengadakan operasi menangkap pasangan khalwat. Berita Minggu - 17 Disember 2006

Jika kita masih ingat dahulu kumpulan-kumpulan liberal pernah mempersoalkan perlaksanaan amal maaruf nahi mungkar oleh jabatan agama atas nama hak asasi. Di sini saya bukanlah orang yang layak untuk mempertikaikan seorang yang bertaraf mufti itu. Cumanya pandangan beliau itu seolah-olah senada dengan golongan liberal yang sering mempertikaikan perlaksanaan hukum Islam dengan alasan melanggar hak asasi. Tambahan lagi apabila pandangan mufti darul sunnah ini disiarkan dalam akhbar New Straits Times yang menjadi pentas untuk menghentam Islam. Jadi dikhuatiri kenyataan Dr Asri ini akan membangkitkan semula semangat mereka untuk membangkitkan kembali tentang apa yang dinamakan sebagai moral policing ini.

Jadi seperti yang disarankan oleh pengarah Jakim dalam akhbar yang sama hari ini, sebagai seorang mufti yang masih baru adalah lebih baik beliau membincangkan perkara ini dengan mufti-mufti yang lain secara tertutup terlebih dahulu untuk mengelakkan perkara ini diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang tertentu.

posted by Lidah Penghunus @ 9:37 PM   3 comments

Thursday, December 14, 2006

Sekitar pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Assalamualaikum.

Melihatkan paparan akhbar hari tentang pertabalan Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, sejuk mata memandang apabila melihat baginda digandingkan dengan Sultanah Nur Zahirah, permaisuri yang bertudung sekaligus menjadi seri paduka permaisuri agung kedua yang bertudung di negara ini. Sebagaimana yang kita telah maklum bahawa seri paduka baginda pernah digandingkan dengan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam mentadbir negeri Terengganu semasa era pemerintahan Pas. Jadi adalah menjadi harapan kita sebagai rakyat jelata agar semasa beliau sebagai Yang dipertuan agung nanti, Islam akan terus dibela oleh institusi kesultanan lebih-lebih lagi memandangkan Islam sekarang ini sedang diserang dengan pelbagai bentuk.

Meneliti juga pada akhbar hari ini tiada pun dijumpai ayat yang menyebut tentang permaisuri agung yang bertudung. Yang hanya disebut ialah tentang agung yang termuda dalam sejarah. Memang benar bahawa rekod permaisuri agung pertama yang bertudung telah pun dipecahkan oleh permaisuri agung yang terdahulu dari Selangor. Namun bukan mudah sebenarnya untuk melihat permaisuri agung di negara ini bertudung. Tambahan lagi rakyat belum pernah lagi merasa perdana menteri yang isterinya bertudung. Yang ada dahulu pun setakat isteri timbalan perdana menteri iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Apapun sedalam-dalam tahniah diucapkan kepada seri paduka payung negara kerana pada masa kerajaan negeri Kelantan dibidas oleh pelbagai pihak atas sebab melaksanakan tanggungjawab berkenaan pemakaian muslim, seri paduka permaisuri telah membuktikan bahawa kewajipan menutup aurat tidak mengira siapa walaupun golongan diraja.

posted by Lidah Penghunus @ 10:29 PM   1 comments

Wednesday, December 13, 2006

Apabila senyuman dipamerkan hanya kepada orang yang dikenali sahaja.

Assalamualaikum.

Di sini saya agak tertarik untuk membicarakan tentang satu iklan terbitan bersama sebuah kementerian yang bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menghulurkan senyuman sesama mereka. Jika boleh diceritakan secara ringkas iklan yang berlatarkan sebuah lagu lama yang satu rangkapnya berbunyi "senyumlah-senyumlah wahai cik mek molek" memaparkan seorang lelaki yang saya kira linkungan umur 50-an yang kelihatan begitu mahal dengan senyuman walaupun orang di sekelilingnya begitu mudah menghulurkan senyuman padanya. Hendak dijadikan cerita apabila seorang lelaki memintanya agar tersenyum barulah lelaki berkenaan tersenyum yang menampaknya gigi depannya yang tiada.

Apa yang hendak saya perkatakan melalui iklan ini, nampaknya kerajaan kita amat bersungguh-sungguh berkempen agar rakyat negara ini sentiasa menghulurkan senyuman walaupun betembung dengan orang yang tidak dikenali. Sungguh risau mereka jika rakyat kita ini dianggap tidak peramah, mahal dengan senyuman. Sedangkan dalam hadis akhir zaman menyebut di antara tanda-tanda hampirnya kiamat ialah apabila manusia hanya memberikan salam hanya kepada orang yang dikenali sahaja dan perkara ini telah terbukti pada masa sekarang.

Oleh kerana itu adalah lebih baik jika kerajaan mengadakan kempen memberi ucapan salam kepada semua orang Islam tidak kira mereka saling mengenali ataupun tidak asalnya seseorang itu tahu bahawa orang yang ditemuinya adalah orang Islam. Memang kita tidak dinafikan bahawa ucapan salam ini sudah diamalkan oleh penyampai berita TV di Negara kita. Namun begitu ianya haruslah diperluaskan dan dibudayakan ke dalam masyarakat muslim di negara kita sendiri melalui kempen-kempen serta iklan.

Kembali kepada kempen menghulurkan senyuman itu tadi, ianya juga adalah satu perkara yang baik untuk digalakkan kerana senyuman itu adalah satu sedekah. Namun sebagai sebuah kerajaan yang mendakwa mengambil berat tentang Islam adalah lebih penting untuk membudayakan ucapan salam sesama muslim kerana apa yang kita lihat pada hari ini tidak kurang ramainya umat Islam di negara ini yang lebih tertarik dengan ucapan-ucapan seperti good morning, good evening walaupun sesama muslim.

posted by Lidah Penghunus @ 5:00 PM   2 comments

Tuesday, December 12, 2006

Tempoh hari Yang Dipertuan Agung, kini sultan Selangor pula.

Assalamualaikum.

Tempoh hari saya ada menyebut tentang titah seri paduka yang dipertuan agung yang menyentuh tentang menteri-menteri kabinet dan juga ahli parlimen yang sekaligus memberikan gambaran tentang kelemahan menteri-menteri kabinet serta ahli parlimen bawah pimpinan Pak Lah. Akhbar hari ini dalam titah sempena hari keputraannya sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menegur malahan menyatakan rasa kecewa baginda terhadap wakil-wakil rakyat di negeri Selangor yang cenderung bekerja untuk kepentingan diri, kelompok atau puak mereka sahaja.

“Beta tidak mahu mereka menyalah guna kuasa dan beranggapan boleh berbuat sesuka hati tanpa takut melanggar undang-undang atau seolah-olah mereka kebal daripada dikenakan tindakan,”
“Tiada guna dilaungkan Selangor itu maju, mempunyai bangunan cantik dan kilang perusahaan yang besar jika kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat belum sampai ke tahap memuaskan. Berita Harian - 12 Disember 2006.

Jika begitulah titah yang diberikan pada pandangan saya ianya sebenarnya bukan sahaja ditujukan kepada wakil-wakil rakyat di bawah Khir Toyo, lebih daripada itu ianya sebenarnya adalah isyarat kepada rakyat negeri Selangor agar membuat perubahan dalam pilihanraya akan datang dengan menolak wakil-wakil rakyat yang dimaksudkan. Kerana jika sultan sendiri pun sudah jelak dengan kelakuan mereka maka apatah lagi kita rakyat yang di bawah pentadbiran mereka. Berkenaan titah baginda sultan di bawah ini pula;

Pada masa sama, baginda menitahkan semua penduduk dari negeri lain yang berhijrah ke sini supaya tidak membawa gejala negatif hingga menimbulkan masalah di negeri ini.
“Beta tidak menghalang sesiapa pun datang ke Selangor untuk mencari rezeki tetapi jika menimbulkan masalah, pihak berkuasa akan dititah untuk mengambil tindakan keras,” Berita Harian - 12 Disember 2006.

Apa yang hendak saya perkatakan di sini sebenarnya persekitaran negeri Selangor itu sendiri juga menjadi penyebab kepada meresapnya budaya negatif terhadap mereka yang berhijrah di negeri Selangor ini. Ikutkan kebanyakan mereka yang berasal daripada desa ini pada mulanya adalah baik akhlaknya. Namun begitu dengan persekitaran negeri Selangor yang penuh dengan maksiat yang banyaknya diberi lesen oleh kerajaan negeri maka mereka yang baru datang dari kampung ini mengalami kejutan budaya dan terus hanyut dengan budaya yang negatif ini. Ini ditambah pula dengan himpitan kos sara hidup yang tinggi di negeri maju ini maka tidak hairanlah mewabaknya pelbagai penyakit sosial di Selangor ini.

posted by Lidah Penghunus @ 10:37 PM   1 comments

Monday, December 11, 2006

Berkenaan cadangan penggabungan Utusan - NST.

Assalamualaikum.

Sentuh pula tentang cadangan penggabungan Utusan dan NST, sebagaimana yang kita telah maklum bahawa cadangan ini hanyalah hasrat dua tiga kerat pimpinan tertinggi Umno sahaja dan ianya tidak dipersetujui oleh majoriti ahli MT Umno, Adun, Senator dan juga pekerja-pekerja Utusan sendiri. Malahan semalam menantu Pak Lah sendiri, Khairy menyatakan kebimbangannya tentang cadangan penggabungannya itu. Dalam akhbar Utusan hari ini juga dipaparkan tentang kenyataan naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kelihatan tidak setuju dengan penggabungan tersebut;

UMNO tetap akan mempertahankan keunggulan dan sejarah kegemilangan Utusan Malaysia sebagai lidah perjuangan orang Melayu dan dalam masa yang sama mahu Kumpulan Utusan mampu bersaing dengan syarikat media lain.
‘‘Adakah melalui usaha penggabungan Kumpulan Utusan dengan New Straits Times Press (NSTP) merupakan satu jawapan atau terdapat pendekatan lain boleh dilaksanakan untuk mempertahankan keunggulan Utusan,” Utusan Malaysia - 11 Disember 2006.

Bagi saya penggabungan bukanlah sesuatu langkah yang terbaik bagi sesebuah syarikat akhbar. Memang kita dapati penggabungan adalah sesuatu kaedah bagi meningkatkan pretasi sesebuah firma. Namun begitu tidak semestinya semua firma-firma yang bergabung ini akan berjaya. Lagipun dengan adanya dua buah syarikat akhbar perdana di pasaran sebenarnya telah memberikan pilihan kepada pembaca dari segi corak persembahan akhbar masing-masing.

Cumanya dalam hasrat Umno dan kerajaan untuk memastikan akhbar yang mempunyai nilai sejarah ini terus unggul dan berwibawa mereka mestilah terlebih dahulu membebaskan kawalan mereka terhadap akhbar Utusan ini dan juga akhbar-akhbar yang lain. Biarkan akhbar-akhbar ini bebas untuk melaporkan sesuatu isu dengan telus dan adil tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu. Keadilan juga mestilah diberikan kepada pihak pembangkang terutama sekali bila tiba pilihanraya kerana pada masa pilihanrayalah maruah akhbar-akhbar perdana ini pada tahap paling rendah.

posted by Lidah Penghunus @ 12:32 PM   0 comments

Sunday, December 10, 2006

Seri Paduka mahu imej Parlimen dipelihara

Assalamualaikum.

Kali ini saya tertarik untuk menyentuh berkenaan ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang telah pun menamatkan tempoh lima tahun pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Sebelum ini di Harakahdaily titah baginda yang mahu semua menteri kabinet sepakat dan tidak berpecahbelah telah dilihat sebagai bukti perdana menteri hilang kawalan. Jadi di sini saya tertarik pula dengan titah perintah seri paduka berkenaan ahli-ahli parlimen;

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail mahu Ahli Parlimen meningkatkan khidmat kepada masyarakat serta menjaga nama baik dan imej mereka dengan menjauhi perbuatan salah guna kuasa serta melanggar undang-undang. Berita Harian - 9 Disember 2006.

Bagi saya titah seri paduka ini bertepatan sekali dengan isu-isu yang timbul akhir-akhir ini bersangkutan dengan ahli parlimen dan juga ahli dewan undangan negeri terutama sekali berkenaan penyalahgunaan kuasa. Dan bila sebut tentang penyalahgunaan kuasa ini ianya sudah tentulah bukan daripada ahli parlimen parti pembangkang. Bukan lagi rahsia bahawa yang terlibat dengan salahguna kuasa ini adalah ahli parlimen daripada BN.

Jadi salahsatu cara yang terbaik untuk pemulihan imej parlimen ini ialah menyingkirkan terus mereka yang jelas tidak amanah serta menyeleweng dalam pilihanraya umum akan datang dan menaikkan ahli-ahli parlimen yang amanah terutamanya di kalangan pembangkang. Dalam erti kata yang lain pemulihan mestilah bermula di tangan rakyat sendiri. Dengan cara ini jika tidak sepenuhnya pun dengan ramainya ahli-ahli parlimen pembangkang, segala gerak-geri kerajaan dapat pantau dengan lebih berkesan.

Buktinya di Selangor walaupun hanya ada dua orang wakil pembangkang tetapi beberapa isu penyelewengan telah dapat dibongkar dan diambil tindakan. Bayangkan jika ada ramai lagi wakil-wakil pembangkang terutama sekali daripada Pas. Sudah tentu suara masyarakat Islam juga akan dapat disuarakan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:39 PM   0 comments

Thursday, December 07, 2006

Beratnya tugas imam

Assalamualaikum.

Bila kita baca akhbar hari ini kita akan dapati bahawa imam juga akan berperanan dalam menyebarkan bahaya penyakit Denggi kepada masyarakat khususnya masyarakat Islam.

Kementerian Kesihatan akan memperluaskan pendekatan menyampaikan mesej bahaya denggi kepada umat Islam menerusi imam dan jawatankuasa masjid.Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Ramlee Rahmat, berkata pendekatan terbaru itu mula diperkenalkan di Pulau Pinang dan diperluaskan ke beberapa negeri yang mencatat banyak kes denggi. Berita Harian - 7 Disember 2006.

Begitulah yang terjadi kepada imam-imam bawah pentadbiran Islam Hadhari. Bila mereka bercakap tentang penyakit akidah, bahaya murtad, sekularisme serta isme-isme yang bertentangan dengan Islam dan juga penyakit sosial yang semakin kronik, semuanya itu akan dipantau oleh kerajaan. Sedangkan ianya adalah lebih bahaya daripada penyakit Denggi itu tadi kerana kesannya kepada generasi akan datang.

Memang wajarlah Imam menjadi pihak yang menyampaikan serta memberi peringatan kepada masyarakat tentang penyakit-penyakit yang berbahaya. Namun nampaknya Imam dicari hanya untuk menyampaikan perkara-perkara sedemikian sedangkan dalam hal yang bersangkutan dengan persoalan besar umat Islam seolah-olahnya imam dianggap tidak berkemampuan hingga berkhutbah pun perlu melalui teks daripada jabatan agama.

posted by Lidah Penghunus @ 11:06 PM   3 comments

Kaedah mencelup jari pengundi ketinggalan zaman ke atau demokrasi negara yang sedang ketinggalan zaman?

Assalamualaikum.

Maklum balas daripada cadangan pembangkang berkenaan perjalanan pilihanraya di negara ini, akhbar hari ini SPR menyatakan keberatannya untuk menggunakan kaedah mencelup jari pengundi ke dalam dakwat khas setelah mereka selesai mengundi atas beberapa alasan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, selain merupakan kaedah yang ketinggalan zaman, peraturan itu juga memerlukan pindaan kepada Akta Pilihan Raya 1958 atau Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Utusan Malaysia - 7 Disember 2006.

Nampaknya Tan Sri Rashid bercakap seolah-olah negara kita sudah bebas daripada akta-akta drakonian zaman penjajah yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman dan sebagai pengerusi SPR beliau tidak sedar bahawa perjalanan pilihanraya di negara ini berada jauh terkebelakang apabila setiap kali pilihanraya wujudnya penguasaan media serta pelbagai instrumen kerajaan oleh parti pemerintah, berleluasanya rasuah politik, ugutan politik dan tidak ketinggalan pengundi hantu yang baru-baru telah berjangkit dalam pemilihan majlis peguam.

Jika dikatakan bahawa ianya memerlukan pindaan akta yang berkaitan pilihanraya, rasanya memang sedang eloklah sebab Akta Pilihanraya dan Akta kesalahan Pilihanraya pun telah dibuat pada tahun 50-an dahulu dan mungkin ianya tidak sesuai lagi untuk keadaan sekarang. Jadi dalam hal ini tidak perlulah SPR untuk berdolak-dalik kerana ianya adalah untuk memulihkan kewibawaan demokrasi di samping kewibawaan SPR sendiri yang kini telah dilihat sebagai salah satu jentera BN dalam pilihanraya.

posted by Lidah Penghunus @ 10:18 PM   0 comments

Wednesday, December 06, 2006

Bila penjara sudah sesak.

Assalamualaikum.

Terpanggil untuk mengulas laporan akhbar hari ini tentang pendedahan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow tentang kesesakan teruk tujuh buah penjara di negara ini.

Katanya, tujuh penjara berkenaan ialah Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan di Sabah; Sungai Buloh dan Kajang di Selangor; Pulau Pinang dan Simpang Renggam, Johor.
“Sebagai contoh, Penjara Sungai Buloh mempunyai kapasiti 2,500 penghuni tetapi setakat 27 November lalu, seramai 4,874 orang ditempatkan di situ, iaitu melebihi 70 peratus daripada kapasiti dibenarkan,”
Fu berkata, antara punca kesesakan disebabkan terlalu ramai tahanan reman dan pesalah yang sedang dibicarakan di tempatkan di dalam penjara. Berita Harian - 6 Disember 2006.

Cuma ada dua sahaja yang ingin saya sebutkan di sini. Yang pertamanya ianya menggambarkan kepada kita bahawa kadar jenayah di negara ini semakin menjadi-jadi dan yang keduanya inilah harga yang perlu dibayar oleh kerajaan kerana tidak melaksanakan hukum Allah kerana jika undang-undang Islam terlaksana seperti hukum hudud tidak perlulah pesalah-pesalah yang disabitkan dengan jenayah mencuri disimpan di dalam penjara. Dan ianya juga sudah semestnyalah akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan berkaitan pengurusan penjara dan banduan ini. Berkenaan perenggan di bawah ini pula;

Katanya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan akan membina 10 penjara baru sebagai tambahan kepada 28 penjara sedia ada, termasuk penjara di Bentong, Pahang; Machang, Kelantan; Kuching (Sarawak); Sungai Udang (Melaka); Pulau Pinang dan Perlis.
Bagaimanapun, Fu berkata, pembinaan penjara baru masih tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan di penjara berikutan jumlah mereka yang melakukan jenayah semakin meningkat. Berita Harian - 6 Disember 2006.

Nampaknya mereka juga sedar bahawa ini adalah petanda jenayah semakin meningkat namun begitu langkah menambah pembinaan penjara seolah-olah ucapan alu-aluan dan selamat datang kepada penjenayah bagi memenuhkan penjara-penjara yang akan di bina. Begitulah bagaimana bijaknya kerajaan BN memerintah.

posted by Lidah Penghunus @ 9:58 PM   1 comments

Tuesday, December 05, 2006

Merdekakah kita jika Umno sahaja yang menuntut kemerdekaan?

Assalamulaikum.

Cuma hendak menyentuh sedikit tentang ucapan Fellow Penyelidik Kanan, Institut Tamadun dan Dunia Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Syed Hussein Al-Attas pada Seminar Kebangsaan Mengenai Pemikiran Datuk Onn. Dalam akhbar hari ini beliau menyebut;

Tiada orang lain...bukan komunis walaupun mereka mendakwa berjasa menuntut kemerdekaan. Pemimpin komunis seperti Abdullah CD, Rashid Maidin atau Chin Peng tidak terbabit dalam gerakan kemerdekaan ini."Mereka hanya mahu mengusir British dan menggantikannya dengan komunis... ini bukan kemerdekaan tetapi satu bentuk imperialisme," Berita Harian - 5 Disember 2006.

Jika Prof. Syed Hussein boleh mengatakan sedemikian saya juga boleh mengatakan bahawa British sebenarnya tidak berniat untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada masa itu, mereka hanya mahu mewarisikan tradisi penjajahan mereka kepada Umno. Dan Umno juga telah setuju untuk mewarisi segala sistem penjajah untuk teruskan diamalkan dinegara ini. Buktinya hingga kini undang-undang yang diturunkan oleh Allah tidak dilaksanakan oleh mereka malahan mereka terus mempertahankan undang-undang drakonian seperti ISA yang telah dibuat oleh penjajah.

Di sini bukan bermaksud untuk saya membela Parti Komunis. Tetapi jika kita renungi kembali dengan adanya PKM dan beberapa gerakan yang lain sebagai penentang yang telah membuatkan British berasa tidak selasa lagi untuk menjajah serta mentadbir negara ini dan seterusnya menyerahkan pentadbiran kepada orang tempatan. Andaikan jika pada masa itu hanya Umno sahaja yang menjadi gerakan yang menuntut kemerdekaan. Dalam keadaan yang agak selesa itu dan dalam keadaan Umno yang agak berlembut itu saya tidak fikir yang British akan memberikan kemerdekaan seawal tahun 1957 dan jika itulah keadaannya saya juga percaya pada masa itu akan ada wujud pula serpihan berhaluan kiri daripada Umno yang akan berjuang secara bersenjata menentang British. Wallahu 'alam.

posted by Lidah Penghunus @ 4:48 PM   2 comments

Kalau peguam pun dah amalkan pengundi hantu.

Assalamualaikum.

Sebut pula tentang krisis dalam majlis peguam ini rasanya krisis ini telah lama dahulu kita telah dengar iaitu yang melibatkan kepimpinan. Namun begitu baru-baru ini timbul satu isu baru dalam krisis Majlis yang disertai oleh para-para peguam profesional ini iaitu isu pengundi hantu ekoran daripada penemuan beberapa kertas undi palsu pada pemilihan ahli majlis berkenaan.

Adalah suatu yang memalukan bagi sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh peguam-peguam profesional yang memang arif tentang undang-undang namun begitu masih terdapat lagi salah laku yang melibatkan pengundian. Jika di kalangan mereka ini pun boleh mengamalkan penyelewengan dalam proses pengundian, apalah boleh kita harapkan kepada mereka untuk membela pihak-pihak yang teraniaya oleh taktik pengundi hantu dalam pilihanraya memilih wakil rakyat.

Dalam akhbar perdana hari ini juga dipaparkan rasa terkejut timbalan perdana menteri, Dato' Seri Najib terhadap isu berkenaan. Tiada apa sebenarnya yang hendak diterperanjatkan oleh Najib kerana taktik pengundi hantu juga adalah amalan biasa bagi parti beliau dalam menyekat kemaraan pembangkang. Jadi tidak hairanlah jika amalan keji ini menjadi ikutan oleh pihak yang lain.

posted by Lidah Penghunus @ 4:18 PM   0 comments

Monday, December 04, 2006

Tabiat anggota polis berbelanja dipantau. Menteri dan wakil rakyat bagaimana?

Assalamualaikum.

Dalam menangani gejala rasuah yang menjadi-jadi terutamanya di kalangan angota polis, akhbar hari ini KPN mengarahkan ketua polis daerah memantau cara berbelanja dan gaya hidup kira-kira 80,000 anggotanya di seluruh negara dalam usaha memastikan mereka bebas daripada gejala rasuah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar), berkata anggota yang dikenal pasti berbelanja melebihi kemampuan sehingga menimbulkan keraguan terhadap sumber pendapatan mereka akan disiasat.
Katanya, sebagai permulaan kepada usaha itu, semua anggota polis yang gagal mengisytiharkan harta mereka akan diberi surat tunjuk sebab atau menghadapi risiko dikenakan tindakan disiplin. Berita Harian - 4 November 2006.

Kita menyambut baiklah langkah KPN yang terbaru ini dalam usaha memerangi rasuah di kalangan anggota beliau. Kerana sudah jelas selain daripada gaji yang rendah serta kos hidup yang tinggi perbelanjaan serta gaya hidup yang mengikut nafsu, melebihi daripada kemampuan pendapatan juga adalah faktor yang membawa kepada amalan rasuah. Dalam isu gaji polis yang rendah kita sudah lihat usaha KPN sebelum ini menuntut kenaikan gaji anggota polis. Tetapi dalam hal perbelanjaan dan gaya hidup yang menurut nafsu rasanya langkah berkenaan mungkin adalah yang terbaik.

Dalam hal memerangi rasuah ini kita juga mahu menteri-menteri kabinet, exco-exco kerajaan negeri dan wakil rakyat dipantau perbelanjaan dan gaya hidup mereka yang memboleh menjerumuskan mereka ke kancah rasuah. Seperti kata Dato' Seri Najib, "ubahlah gaya hidup"
Bukan lagi rahsia bahawa ada antara menteri-menteri dan wakil rakyat ini yang berbelanja begitu mewah melebihi daripada pendapatan mereka. Yang paling jelas baru-baru ini ialah soal pembinaan rumah seorang Adun Selangor yang kos pembinaannya jika dikira tidak tercapai oleh elaun yang diperolehinya sebagai wakil rakyat biasa.

Seharusnya wakil-wakil rakyat sebeginilah yang harus disiasat, diminta mengisytiharkan harta mereka. Tetapi apa yang lebih mengecewakan apabila perdana menteri sendiri pun enggan untuk mengisytiharkan harta ketika diminta berbuat demikian.

posted by Lidah Penghunus @ 4:43 PM   0 comments

Sunday, December 03, 2006

Tolak konsep yang mirip Malayan Union. Bahaya lagi konsep sekular yang bertopengkan Islam.

Assalamualaikum.

Pada hujung-hujung minggu ini saya hanya tertarik untuk menyentuh sedikit tentang kenyataan menteri besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang menyeru rakyat menolak apajua yang mirip dengan konsep Malayan Union kerana bertentangan dengan idea kenegaraan yang diwarisi dalam perjuangan UMNO dan orang Melayu.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, atas nama globalisasi, terdapat kecenderungan sesetengah pihak untuk menuntut supaya semua orang menerima apa sahaja prinsip-prinsip sejagat sehingga menafikan idea kenegaraan warisan.
‘‘Kalau kita memahami mengapa gagasan Malayan Union di zaman Datuk Onn ditolak orang Melayu, seharusnya kita juga mestilah memahami bahawa unsur-unsur yang mirip dan menuju ke arah konsep tersebut juga tidak boleh diterima. Utusan Malaysia - 3 Disember 2006.


Apa yang disebut oleh MB Johor ini mungkin hanya melibatkan soal prinsip dan perjuangan kemerdekaan sesebuah negara yang lebih bersifat kepada semangat kenegaraan. Namun begitu apabila menyebut tentang persoalan ini juga ada sesuatu yang lebih penting yang perlu diberi peringatan kepada rakyat yang menyentuh soal aqidah. Ianya adalah berkenaan dengan konsep-konsep atau isme yang bertentangan dengan Islam dan juga sesuatu yang mirip dengannya.

Jika dahulu mungkin kita hanya mendengar tentang konsep Sekularisme, Liberalisme, Komunisme, Sosialisme dan pelbagai lagi faham yang tercetus daripada siri-siri revolusi di negara barat. Namun pada hari ini konsep-konsep ini telah bertambah dengan pelbagai kombinasi serta sedikit pengubahsuaian namun begitu dasarnya tetap bertentangan dengan Islam. Antara yang boleh disebutkan di sini ialah Islam Liberal iaitu satu konsep yang kononnya berasaskan kepada Islam tetapi sebenarnya Islam itu hanyalah topeng dan yang lebih dititikberatkan adalah perjuangan Liberalisme itu sendiri.

Ianya samalah dengan Islam Hadhari yang digunapakai oleh kerajaan ketika ini yang perkataan Islamnya hanyalah alat untuk berhadapan dengan Pas namun konsep serta perjuangannya masih lagi sama seperti yang terkandung dalam perlembagaan Umno. Jika kita kembali kepada sejarah kemerdekaan negara dahulu golongan yang mahukan Islam keluar daripada Umno dan menubuhkan Pas adalah kerana mereka tidak mahu bersama-sama dengan perjuangan Sekularisme dan apajua yang mirip dengannya dan dasar Islam yang syumul dalam Pas ini diperkukuhkan lagi apabila parti ini beralih kepada kepimpinan ulama'.

posted by Lidah Penghunus @ 9:11 PM   1 comments


Free Hit Counter