Wednesday, January 31, 2007

Warga kota tak yakin pengangkutan awam

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini Penyelidik Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendedahkan bahawa Tahap penggunaan pengangkutan awam di ibu negara adalah antara yang paling teruk di dunia. Menurut kajian berkenaan perkara ini berlaku kerana perkhidmatan yang teruk antaranya kekurangan kekerapan atau kegagalan menepati jadual perjalanan.

Rosena berkata, kajian pada 1985 mendapati 34 peratus penduduk Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam tetapi berkurangan kepada 16 peratus pada 2003 walaupun kerajaan menggalakkan penggunaan pengangkutan alternatif.
Katanya kebanyakan bandar raya utama dunia bergantung kepada kereta api sebagai pengangkutan awam utama, umpamanya di Jepun, 80 peratus penduduk Tokyo, Nagoya dan Osaka menggunakannya untuk berulang alik ke tempat kerja.
Sementara itu, hanya 10 peratus menggunakan kereta persendirian dan dari segi penggunaan tenaga, kereta api hanya membabitkan tiga peratus guna tenaga berbanding 80 peratus bagi kenderaan persendirian. Berita Harian - 31 Januari 2007.

Berkenaan isu ini apa yang saya nampak selain daripada ketidakcekapan perkhidmatan, rakyat khususnya warga kota kurang memilih perngangkutan awam khususnya bas kerana kos tambang yang terlalu tinggi. Di sini kita ambil contoh perjalanan daripada Sungai Way ke Kuala Lumpur. Jika sekitar tahun 1990 hingga 1999 dahulu tambang bagi mana-mana bas hanya sekitar RM 1 dan jika kita masih ingat kewujudan Bas Mini ketika itu membolehkah kita kemana-mana destinasi dengan tambang hanya 60 sen. Namun ianya semakin lama semakin naik dan kini tambang untuk ke Kuala Lumpur daripada Sungai Way mencecah RM 2.50. Ini bermakna untuk ke Kuala Lumpur tambang sahaja seseorang itu harus membelanjakan RM 5.00. Maka ini adalah suatu yang membebankan lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja.

Oleh kerana itulah mereka termasuk saya sendiri lebih berminat menggunakan kenderaan sendiri khususnya Motorsikal untuk ke tempat kerja kerana walaupun harga pertrol meningkat namun kos menggunakan motorsikal masih lagi rendah berbanding pengangkutan awam. Tambahan lagi untuk menaiki bas khususnya kita terpaksa berebut-rebut dengan pengguna yang lain dan juga masalah kesesakan. Bagi seseorang yang menggunakan kereta pula mungkin kos petrol yang digunakan lebih kurang sama dengan tambang yang perlu dibayar jika menaiki kenderaan awam. Namun adalah lebih baik menaiki kenderaan sendiri kerana tidak perlu berebut-rebut dengan pengguna yang lain.

posted by Lidah Penghunus @ 1:04 PM   1 comments

Tuesday, January 30, 2007

Sama ada beli atau sewa, tetap melibatkan duit rakyat.

Assalamualaikum.

Berita Jam 8 semalam setelah menyatakan kegembiraannya terhadap kemenangan tidak bermaruah BN dalam pilihanraya kecil Batu Talam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan bahawa kerajaan membeli sebuah pesawat eksekutif dan menjelaskan bahawa pesawat A320 keluaran Airbus yang bernilai kira-kira RM200 juta itu hanya disewa untuk kegunaan rasmi kerajaan.

Beliau berkata, tindakan menyewa pesawat berkenaan daripada Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) lebih menjimatkan wang kerajaan berbanding dengan langkah membeli. “Kita tak beli, kita nak sewa. Buat apa nak beli kapal terbang? Dah beli nak kena perbaik, nak kena belanja besar juga.
Beliau berkata, pesawat tersebut dibeli oleh PMB dan kerajaan hanya menyewa sebagaimana amalan Penerbangan Malaysia menyewa pesawat daripada syarikat yang sama. Utusan Malaysia – 30 Januari 2007.

Persoalannya di sini adakah hanya dengan menyewa pesawat mewah yang bukan bertujuan komersial sesuatu yang menjimat duit? Apa perlunya penyewaan pesawat mewah ini sedangkan perdana menteri telah mempunyai pesawat khasnya sendiri? Di sini juga tidak dinyatakan berapa jumlah sewa yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi pesawat berkenaan. Adakah mungkin kerajaan dapat nilai sewaan yang rendah? Sedangkan dalam amalan biasa sewa kebiasaannya lebih tinggi kerana ianya termasuk kos penyelenggaraan serta kerosakan.

Jika perdana menteri menyebut bahawa sewaan tersebut sama dengan amalan menyewa pesawat oleh syarikat penerbangan Malaysia, sebagaimana yang kita maklum bahawa MAS yang mengamalkan perkara sedemikian bagi tujuan komersial sering mengalami kerugian. Jadi bagaimanakah dengan kerajaan Malaysia yang menyewa untuk bukan tujuan komersial? Jadi kesimpulannya sama ada kerajaan membeli atau menyewa ianya tetap melibatkan pengeluaran duit rakyat yang banyak.

posted by Lidah Penghunus @ 1:25 PM   3 comments

Pilihanraya kecil Batu Talam dan kepalsuan.

Assalamualaikum.

Bercerita lagi sedikit tentang pilihanraya kecil Batu Talam yang baru sahaja berlalu, pada awalnya dahulu penduduk di sana digemparkan dengan kononnya pengedaran wang palsu yang ditujukan kepada penduduk Batu Talam sebagai tanda terima kasih mereka yang menyokong BN dalam pilihanraya.

Beberapa hari sebelum berlangsungnya hari pengundian pula timbalan presiden Umno telah mendedahkan tentang surat daripada pimpinan tertinggi Pas yang mengarahkan ahli-ahli Pas supaya mengundi calon bebas. Namun surat berkenaan terbukti palsu apabila terdapat jelas perkara-perkara yang bertentangan lebih-lebih lagi berkaitan dengan istilah Bahagian yang merujuk kepada kawasan parlimen bagi sesebuah parti.

Dan beberapa jam setelah berlangsungnya pengundian telah diumumkan bahawa BN telah menang dengan majoriti yang lebih besar mengalahkan calon bebas. Maka bolehlah dikatakan bahawa kemenangan BN ini juga adalah satu kemenangan yang palsu kerana terdapat banyak tandatanya yang menjadi pertikaian tentangnya.

posted by Lidah Penghunus @ 1:23 PM   5 comments

Monday, January 29, 2007

Usahlah lagi mahu membebankan rakyat.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique mencadangkan agar dikenakan caj atau bayaran kepada mereka yang memandu secara berseorang ketika memasuki Kuala Lumpur.

Caj bayaran kesesakan yang sedang dalam kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu adalah bagi mengatasi masalah berkenaan yang sekian lama membelenggu Kuala Lumpur terutama pada waktu puncak Utusan Malaysia - 29 Januari 2007.

Nampaknya setelah rakyat dibebankan dengan kadar Tol yang semakin meningkat mereka cuba pula untuk menambahkan lagi beban rakyat dengan cadangan ini. Rakyat sudah cukup dibebankan dengan kenaikan kadar Tol serta harga petrol yang tidak turun-turun. Sepatutnya kerajaan haruslah mencari pendekatan yang lain untuk mengatasi kesesakan, bukannya melibatkan duit poket rakyat.

Sedangkan Tol itu sendiri juga telah meyebabkan kesesakan lebih-lebih lagi apabila kadar Tol dinaikkan daripada RM 1 kepada RM 1.60. Akibatnya urusan pembayaran Tol menjadi lama kerana baki terpaksa dikembalikan dan ini menambahkan lagi kesulitan kepada pengguna lebuhraya. Di sini juga kita ingin bertanya adakah kerajaan juga bercadangkan untuk mengurangkan bayaran Tol kepada mereka yang berkongsi kenderaan?

posted by Lidah Penghunus @ 4:10 PM   0 comments

Sunday, January 28, 2007

Berkenaan keputusan pilihanraya kecil Dun Batu Talam

Assalamualaikum.

Sebelum ini dalam siri pilihanraya yang disertai oleh Pas atau PKR debarannya ialah tentang keputusan undian, parti mana yang menang majoriti. Namun pilihanraya Dun Batu Talam kali ini debarannya ialah tentang keputusan peratus keluar mengundi. Sebagaimana yang telah sedia maklum peratusan keluar mengundi yang telah diumumkan ialah sebanyak 67.8 peratus. Walaupun ini bermakna Pas dan PKR gagal dalam sasarannya mengurangkan peratus keluar mengundi sehingga 50 peratus namun peratus keluar mengundi bagi pilihanraya kecil ini berbanding pilihanraya umum 2004 mencatatkan penurunan sebenarnya. Ini ditambah lagi dengan jumlah undi rosak yang dicatatkan sebanyak 385 yang juga menggambarkan sebagai tanda boikot terhadap pilihanraya yang di adakan.

Di sini kita dapati peratus yang tidak keluar mengundi ialah 32.7 peratus iaitu sejumlah 3445. Jika angka ini ditambah dengan undi yang diperolehi oleh calon bebas iaitu 419 undi dan ditambah pula dengan bilangan undi rosak sebanyak 385 maka kita akan dapat andaikan di sini bahawa sejumlah 4249 pengundi menolak calon BN iaitu satu angka yang lebih tinggi berbanding undi yang diperolehi oleh calon Pas pada tahun 2004 iaitu sebanyak 3422. Namun ini hanyalah satu andaian berdasarkan angka-angka yang ada. Namun bolehlah dikatakan bahawa Pas masih tidak hilang pengundi sebenarnya di Dun Batu Talam ini malahan mungkin bertambah.

Apapun dengan isu kelemahan SPR serta daftar pemilih yang meragukan, diikuti dengan penyalahgunaan jentera kerajaan dan media oleh BN maka peratus keluar mengundi dan juga majoriti yang besar yang diperolehi oleh BN ini masih tidak membawa apa-apa makna sebenarnya kepada iklim demokrasi negara. Dalam erti kata yang lain kemenangan mereka bolehlah dikatakan sebagai kemenangan yang tidak bermaruah.

posted by Lidah Penghunus @ 9:56 PM   0 comments

Friday, January 26, 2007

Meraikan pemboikotan pilihanraya Dun Batu Talam oleh Pas dan PKR.

Assalamualaikum

Sebagai meraikan kempen boikot pilihanraya kecil Dun Batu Talam oleh pakatan Pas dan PKR maka dengan ini blog Lindungan bulan ini telah pun menutup pautannya dengan laman web SPR bahagian semak daftar pemilih sebagai tanda boikot kepada badan yang mengurus perjalanan pilihanraya itu. Penutupan ini akan berjalan sehingga berakhirnya pilihanraya kecil Dun Batu Talam pada 28 Januari ini.

posted by Lidah Penghunus @ 3:38 PM   0 comments

Thursday, January 25, 2007

Mereka yang mahu boikot pilihanraya juga perlu daftar undi.

Assalamualaikum.

kali ini saya ingin menyentuh sedikit tentang suatu yang saya rasa mungkin Pas atau PKR tidak terlepas pandang mengenainya. Ianya masih lagi ada kaitan dengan demam pilihanraya kecil diikuti dengan kempen pemboikotan pilihanraya Batu Talam oleh Pas dan PKR sekarang ini iaitu kepentingan mendaftar pemilih walaupun untuk memboikot pilihanraya. Di sini mungkin ramai yang akan menyangka apabila sesuatu pilihanraya itu diboikot maka tidak menjadi kepentingan lagi untuk seseorang itu berdaftar sebagai pemilih.

Sebenarnya itu adalah tidak benar. Untuk memboikot sesuatu pilihanraya yang dianjurkan, seseorang itu khususnya rakyat yang layak mengundi di Dun atau Parlimen yang berkaitan haruslah terlebih dahulu seorang pengundi yang berdaftar yang namanya tersenarai sebagai pengundi di Dun atau Parlimen yang berkaitan. Kerana mereka yang berdaftar inilah yang akan mempengaruhi peratus keluar mengundi bagi sesuatu pilihanraya. Bagi yang tidak mendaftar pemilih nampak memang seperti mereka juga boleh memboikot pilihanraya tambahan lagi caranya juga adalah amat mudah iaitu mereka boleh pergi kemana-mana sahaja atau duduk sahaja di rumah pada hari pengundian, asalkan tidak beratur di pusat pengundian untuk membuang undi. Mudah bukan? Namun bagi mereka yang namanya tiada dalam senarai daftar pemilih ianya tidak sedikit pun akan mempengaruhi peratus keluar mengundi dalam pilihanraya berkenaan. Jadi tidak membawa apa-apa makna.

Oleh itulah saya menyeru kepada mereka yang masih lagi belum daftar mengundi agar segera mendaftar. Sama ada pilihanraya umum akan datang diboikot atau tidak ianya tetap memerlukan pengundi yang berdaftar seperti anda.

posted by Lidah Penghunus @ 10:54 PM   1 comments

Wednesday, January 24, 2007

Lagi berkenaan pilihanraya kecil Batu Talam.

Assalamualaikum.

Semalam saya ada menyebut tentang kerisauan BN tentang kemerosotan peratus keluar mengundi di Dun Batu Talam. Hari ini ianya dilihat begitu ketara malahan BN dilihat semakin menggelabah dengan tindakan serta kempen boikot pilihanraya oleh Pas dan PKR ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, tindakan Pas berceramah dan menggesa ahlinya tidak keluar mengundi dengan harapan mahu mengurangkan undi majoriti BN, adalah sesuatu yang tidak beretika.
“Jika mereka (Pas) cakap tak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya ini dan mahu memboikotnya, maka kita minta mereka boikot dalam erti kata sebenarnya.
“Tetapi apa yang berlaku sekarang sebaliknya. Mereka kata nak boikot tapi buat ceramah dan menggesa rakyat jangan keluar mengundi, supaya BN gagal mendapat undi majoriti dan kemudian menempelak kita kerana kegagalan itu. Berita Harian - 24 Januari 2007.

Saya agak keliru dengan kenyataan Datuk Seri Najib yang mengelabah tak tentu pasal ini, jika Pas buat ceramah minta rakyat jangan keluar mengundi ianya memang benarlah Pas memboikot pilihanraya berkenaan malahan itulah boikot dalam erti kata yang sebenarnya iaitu mengajak rakyat bersama-sama dalam tindakan boikot ini. Di sini Najib, BN dan budak suruhan mereka harus faham, jika Pas menyertai pilihanraya, bertanding di sesuatu Dun atau Parlimen maka ia akan berkempen kepada rakyat agar turut menyertai pilihanraya dengan mengundi calon mereka.

Samalah juga dengan Pas yang memboikot pilihanraya Batu Talam ini, sudah tentulah parti berkenaan akan turun berkempen kepada rakyat khususnya pengundi di Dun berkenaan agar turut serta dalam pemboikotan ini. Kerana sesuatu kempen boikot pilihanraya itu akan lebih berjaya jika disertai oleh parti politik bersama-sama dengan pengundi. Di sini juga tidak benarlah dakwaan bahawa Pas menghalang atau memaksa pengundi agar tidak keluar membuang undi. Pas dan PKR tidak ada kuasa sebenarnya untuk menghalang mana-mana pihak untuk keluar mengundi atau mengundi sesiapa sahaja. Yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah memberi penerangan kepada masyarakat di Batu Talam tentang kecurangan yang berlaku dalam SPR serta mengajak mereka bersama-sama memboikot pilihanraya berkenaan.

Sepatutnya jika BN yakin bahawa mereka dipihak benar, mereka tidak perlu gelabah dengan kehadiran pemimpin-pemimpin Pas di Dun berkenaan, apa yang harus mereka lakukan ialah terus berkempen untuk memenangkan calon mereka. Pas walaupun tidak bertanding di Dun Batu Talam tetapi mereka berhak untuk berada di mana-mana sahaja kawasan Dun atau Parlimen.

posted by Lidah Penghunus @ 11:41 PM   0 comments

Tuesday, January 23, 2007

BN takut peratus keluar mengundi merosot.

Assalamualaikum.

Pergerakan Wanita Umno menggerakkan jenteranya bagi membantu memastikan semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Batu Talam, Ahad ini.
“Kali ini kita tidak mahu melihat pengundi BN menganggap kemenangan memang sudah dalam tangan dan oleh itu undi mereka tidak penting.“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak ingin wujud keadaan yang mana pengundi BN mengatakan kita sudah pasti menang dan mereka tidak perlu keluar mengundi,” Berita Harian - 23 Januari 2007.

Melihat salah satu tajuk akhbar hari ini yang berkaitan dengan pilihanraya kecil Batu Talam apa yang saya lihat Umno kini bukan takut dengan kehadiran calon bebas sebaliknya mereka sebenarnya takut dengan Pas dan PKR yang sekarang ini sedang giat berkempen kepada pengundi di sana untuk memulaukan pilihanraya kecil berkenaan. Ini ditambah lagi dengan kehadiran banjir yang memungkinkan kemerosotan mereka yang keluar mengundi. Maka ianya bukan sahaja akan menghancurkan harapan mereka untuk menang besar di Dun tersebut tetapi juga akan memberikan gambaran yang buruk kepada mereka sebagai parti pemerintah.

Oleh itu tidak hairanlah mereka sebelum ini pimpinan Umno mereka-reka cerita bahawa Pas menaja calon bebas serta dakwaan beberapa pimpinan Pas turun ke Batu Talam untuk melepaskan 'gian' berkempen bagi calon bebas. Semua ini hanyalah untuk menutup ketakutan mereka terhadap Pas dan PKR walaupun mereka tidak bertanding. Melihatkan juga pada petikan akhbar berkenaan dapat saya rasakan bahawa mereka yang tinggal mengundi BN hanyalah penyokong-penyokong yang berkepentingan sahaja. Apapun sama-sama kita tunggu pada hari pengundian 28 Januari nanti berapakah bilangan yang akan keluar mengundi.

posted by Lidah Penghunus @ 10:45 PM   0 comments

Monday, January 22, 2007

Calon bebas rayu bantuan pembangkang.

Assalamualaikum.

Calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam, Ng Chee Pang, 22, merayu parti pembangkang turun padang membantu beliau berkempen dalam pilihan raya kecil itu.
Chee Pang berkata, beliau kini sudah tidak berupaya untuk berdepan dengan kempen agresif parti komponen Barisan Nasional (BN) di Cheroh yang mempunyai ramai pengundi Cina dan India.
Katanya, walaupun belum mengangkat ‘bendera putih’ tetapi melihat kempen yang dijalankan oleh parti komponen BN, beliau merasakan peluangnya terlalu tipis dan berharap pemimpin pembangkang turun padang membantunya menangkis serangan BN. Utusan Malaysia - 22 Januari 2007.


Kesian adik Ng Chee Pang. Calon pilihanraya yang baru berumur 21 tahun, tiada pengalaman politik yang luas sebelum ini, yang ada hanya minat yang mendalam tentang dunia politik, tidak mempunyai parti. Namun telah diasak dengan begitu hebat oleh jentera pilihanraya BN dari segenap kekuatan seolah-olah Ng Chee Pang ini mempunyai ketokohan seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir yang mampu menarik sejumlah besar pengundi.

Namun begitu kepada Ng Chee Pang, "Maafkan kami wahai adik. Kami pembangkang Pas dan PKR telah bertekad untuk memulaukan pilihanraya Batu Talam, penyertaan adik dalam pilihanraya berkenaan adalah sesuatu yang bertentangan dengan keputusan kami, maka oleh kerana itu kami tidak boleh menolong adik kerana ianya akan melanggar perinsip serta pegangan kami. Namun adik Ng Chee Pang usah bermuram durja kerana BN tetap akan kami tentang dalam cara apa sekalipun termasuk memulaukan pilihanraya yang disertai oleh mereka. Oleh sebab itu jugalah kami tetap turun ke Batu Talam tetapi bukan untuk melepaskan 'gian' berkempen, tetapi memberitahu pengundi Batu Talam bahawa mereka sebenarnya telah ditipu oleh pilihanraya yang tidak adil."

posted by Lidah Penghunus @ 11:15 PM   0 comments

Sunday, January 21, 2007

BN serang peribadi calon lawan di Dun Batu Talam.

Assalamualaikum.

Jika anda ikuti berita perdana jam 8 malam tadi, dipaparkan sedutan ceramah kempen daripada timbalan presiden Dato' Seri Najib Tun Razak yang dilihat menyentuh peribadi calon lawan apabila mempersoalkan umur calon daripada Bebas itu. Malahan Najib menganggap orang yang mengundi Ng Chee Pang sebagai ada suatu yang tidak kena atau mudahnya tidak siuman.

Jika pilihanraya umum dan juga pilihanraya kecil sebelumnya Umno sering menuduh Pas berkempen dengan cara menyerang peribadi lawan hinggakan Pas diberi amaran oleh SPR. Namun pada pilihanraya kecil Batu Talam ini apabila Pas tidak menyertai pilihanraya mereka pula yang gunakan cara berkenaan.

Sebenarnya calon yang baru berumur 21 tahun yang baru layak mengundi serta pengalaman berpolitik tidak sepatutnya menjadi persoalan kerana yang penting sekarang Ng Chee Pang terbukti layak menjadi calon pilihanraya bagi Dun Batu Talam bagi menentang BN. Yang tidak siuman sebenarnya adalah BN dan Najib sendiri kerana menggunakan segala jentera yang ada untuk berhadapan dengan calon bebas seolah-olah berhadapan dengan gabungan PAS, PKR dan DAP.

Berkenaan kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkan pembangkang sebagai bacul kerana memilih untuk tidak bertanding, sebenarnya mereka yang bacul kerana takut untuk membebaskan SPR daripada melaksanakan tugas sebenarnya mereka serta takut untuk tidak bergantung kepada instrumen kerajaan dan media semasa berkempen pilihanraya.

posted by Lidah Penghunus @ 3:31 PM   0 comments

Friday, January 19, 2007

MB hairan Selangor banyak pusat hiburan, kita lagi hairan negara Islam boleh ada judi 'halal' dan judi 'haram'

Assalamualaikum.

Hendak ulas sedikit laporan akhbar hari ini tentang kehairanan Dato' Seri Khir Toyo berkenaan kewujudan terlalu banyak pusat hiburan di Selangor;

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang hairan dengan kewujudan terlalu banyak pusat hiburan di Selangor meminta Yang Dipertua (YDP) pihak berkuasa tempatan (PBT) menyatakan 10 alasan kenapa banyak lesen diluluskan berbanding perniagaan lain.
"Saya musykil sebab banyak lesen karaoke, pusat urut, mesin judi diluluskan di Selangor. Sejak bila hiburan lebih penting daripada barang keperluan harian."
Agaknya, Yang Dipertua PBT selalu sakit kepala, ahli majlis pula sakit badan. Agaknyalah," Berita Harian - 19 Januari 2007.

Setahu saya pusat-pusat hiburan serta judi yang 'halal' juga 'haram' ini tumbuh bagai cendawan telah lama sebenarnya sejak Khir Toyo belum menteri besar lagi. Jadi saya pun hairan mengapa hari ini baru MB Selangor ini sedar? mengapa baru ketika ini MB Selangor ini hairan. Mengapa ianya timbul setelah terbongkarnya pusat judi haram di Sekinchan? Dan mengapakah hanya PBT dan Ketua Balai di sesuatu daerah itu sahaja yang diambil tindakan? Adakah kerana PBT di Sabak Bernam begitu hebat daripada PBT di Kelang hinggakah mereka boleh mendahului wakil rakyat? Sebenarnya tidak ada apa yang hendak dihairankan kerana begitulah jadinya jika sesebuah pemerintahan tidak melaksanakan Islam secara syumul dalam pentadbiran.

Oleh itu sempena Maal Hijrah ini kita tanamkan azam untuk berhijrah daripada pemerintah yang menolak perlaksanaan Islam secara syumul kepada pemerintah yang berusaha untuk melaksanakan Islam secara syumul di negara ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Thursday, January 18, 2007

Tiada Pas dan PKR pun BN dan budak suruhannya terus merapu.

Assalamualaikum.

Pada sangkaan kita apabila parti pembangkang terbesar seperti Pas ataupun PKR tidak turut menyertai pilihanraya maka tidak perlulah BN mempergunakan akhbar-akhbar perdana untuk menghadapi calon lawan. Rupa-rupanya dalam menghadapi calon bebas yang tiada pengalaman politik itu juga mereka akan mempergunakan sepenuhnya jentera parti dan apa sahaja cara untuk memenangkan calon mereka. Pas yang tidak bertanding juga tidak terlepas daripada diserang di akhbar-akhbar tidak bermaruah ini atas sebab memulaukan pilihanraya kecil berkenaan.

Begitulah dia orang yang sudah tiada maruah, mereka tidak akan peduli tentang kesan daripada pemulauan berkenaan, yang mereka fikir ialah bagaimana hendak menambahkan majoriti dan terus mengekalkan kuasa dengan pelbagai cara sekalipun. Yang jelas segala apa yang dipaparkan dalam akhbar kuda tunggangan mereka menampakkan betapa hinanya mereka sekarang. Berita jam 8 malam tadi memaparkan tentang keputusan membatalkan cadangan untuk menggabungkan Utusan dan NST. Bagi saya berita ini bukanlah sesuatu yang menggembirakan kerana kedua-dua syarikat akhbar ini sama ada bersama atau tidak mereka tetap bersedia untuk menjadi budak suruhan parti pemerintah. Cumanya demi kebajikan mereka yang bekerja di syarikat berkenaan ianya adalah sesuatu yang baik.

Menyentuh pula tentang kemungkinan Pas akan pulaukan pilihanraya umum, bagi saya pemulauan pilihanraya umum dilihat lebih berkesan sebenarnya berbanding pemulauan pilihanraya kecil. Bayangkan jika daripada 145 kerusi parlimen itu langsung tidak ditandingi oleh parti pembangkang utama seperti Pas dan PKR maka disitu akan nampak ketaralah tentang keadaan demokrasi negara yang begitu teruk dan seterusnya ini akan memberi imej yang buruk kepada parti yang memerintah di mata dunia. Tetapi tidak tahulah jika mereka yang jenis tiada harga diri ini akan masih lagi rasa tiada apa pada masa itu.

posted by Lidah Penghunus @ 11:52 PM   0 comments

Tuesday, January 16, 2007

Apabila Pas dan PKR tidak sudi untuk bertanding dengan BN.

Assalamualaikum.

Setelah timbul spekulasi daripada Umno bahawa pembangkang akan menaja calon bebas pada pilihanraya kecil Batu Talam, akhirnya penamaan calon pada hari ini telah pasti bahawa calon Umno dan Barisan Nasional akan dicabar oleh calon bebas. Namun begitu benarkah bahawa calon bebas itu ditaja oleh Pas dan Keadilan? Jawapannya tentulah tidak sama sekali kerana calon bebas yang diletakkan adalah kaum cina sedangkan kita sudah maklum bahawa Dun Batu Talam mempunyai majoriti yang besar pengundi Melayu. Masakan Pas dan PKR begitu bodoh hingga sanggup membuat percaturan yang sebegitu.

Dengan berakhirnya penamaan calon Dun Batu Talam siang tadi maka pilihanraya kecil pada kali ini menyaksikan Barisan Nasional yang seperti biasa dibantu oleh jentera kerajaan, akhbar dan pasukan keselamatan berhadapan dengan calon bebas iaitu anak muda yang baru layak untuk mengundi. Apa yang ingin saya perkatakan di sini bahawa ianya telah memperlihatkan kepada kita betapa hinanya Umno dan Barisan Nasional sekarang apabila hanya dipertemukan dengan calon bebas yang baru belajar tentang erti politik. saya dimaklumkan bahawa Ng Chee Pang sebelum ini tidak pernah terlibat dengan politik. Oleh itu jika menang pun kemenangannya tidaklah segah kemenangan mereka menewaskan parti-parti pembangkang yang lain.

Dengan berakhirnya penamaan calon siang tadi juga maka sudah tertunailah perisytiharan bersama Pas dan PKR pada 10 Januari yang lalu untuk memulaukan pilihanraya kecil Dun Batu Talam yang akan diadakan pada 28 Januari ini. Yang tinggalkan sekarang ialah kepada rakyat juga pengundi yang sah di Dun Batu Talam sana. Jika mereka benar-benar sedar dan prihatin tentang pemulihan demokrasi di negara ini maka seharusnyalah mereka bersama-sama dengan Pas dan PKR memboikot pilihanraya kecil Batu Talam dengan tidak turun mengundi pada hari pembuangan undi nanti.

posted by Lidah Penghunus @ 10:21 PM   2 comments

Monday, January 15, 2007

Pilihanraya kecil Batu Talam kena pulau, Negeri Johor ditimpa banjir.

Assalamualaikum.

Bermula daripada deklarasi bersama Pas-PKR untuk memulaukan pilihanraya kecil Batu Talam minggu lalu, hingga ke hari ini akhbar-akhbar yang tidak bermaruah terus memaparkan komen-komen serta ulasan negatif daripada mereka yang juga tidak bermaruah tentang pemulauan pembangkang terhadap pilihanraya kecil Batu Talam. Yang paling banyak mereka mengatakan bahawa Pas dan PKR kononnya memulaukan pilihanraya kerana takut kalah. Apa yang hendak ditakutkan dengan kekalahan sedangkan bukan sekali Pas pernah menghadapi kekalahan. Saya juga tertarik dengan komen di bawah ini;

Jika mereka konsisten dengan keputusan mereka, mereka seharusnya boikot pilihan raya umum dan pilihan raya kecil yang lain, tetapi mengapa hanya pada pilihan raya ini mereka buat keputusan seperti ini.
"Kita kena tanya mengapa di Kelantan, di mana mereka menang, mereka tidak boikot sedangkan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang mengendalikannya adalah SPR yang sama," Berita Harian - 15 Januari 2007.

Memang sebelum ini pun telah wujud banyak ketidakadilan dalam proses pilihanraya cumanya pilihanraya kecil kali ini Pas dan pakatan alternatif mengambil keputusan untuk memboikotnya setelah mendapati banyak kesalahan yang timbul dan ianya ditambah lagi dengan pengakuan yang keluar daripada lidah pengerusi SPR sendiri tentang kelemahan yang berlaku dalam SPR. Cerita pula tentang Kelantan jika kita lihat pada pilihanraya umum 2004 Pas banyak kehilangan kerusi dan puncanya juga adalah kerana kelemahan oleh SPR itu sendiri. Walau bagaimanapun Pas tetap terus bertanding di negeri berkenaan khususnya dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir untuk mempertahankan kemenangan di negeri berkenaan kerana kita percaya dengan sokongan padu daripada rakyat Kelantan sendiri masih mampu untuk mematahkan perancangan jahat mereka.

Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia berkata, jentera pilihan raya BN akan bergerak sehingga hari penamaan calon.
Katanya, beliau berpuas hati dan berbangga melihat sokongan yang datang bukan saja dari Pemuda seluruh Semenanjung malah pemimpin komponen BN dari Sabah dan Sarawak."
Mereka ada bersama kita pada hari ini (semalam), walaupun hari ini bukan hari penamaan calon tetapi pelancaran Bilik Gerakan Pemuda Umno BN sempena pilihan raya kecil DUN Batu Talam. Berita Harian - 15 Januari 2007.

Berkenaan petikan akhbar di atas ini pula kita sedia maklum bahawa ketika ini selatan negara sekali lagi dilanda banjir yang lebih dahsyat. Jika dahulu semasa pertama kali banjir di Johor apabila Pemuda Pas mengadakan himpunan 15,000 pemuda di Kota Bharu, pemimpin serta pemuda Umno terus membidas pemuda Pas sebagai terlalu berpolitik dan tidak mengambil berat kesusahan rakyat. Dan sekarang makin jelas tidak bermaruahnya mereka apabila sudah muktamad pembangkang memulaukan pilihanraya tetapi mereka masih mahu meletakkan jentera pilihanraya di Dun Batu Talam. Sedangkan alangkah baik jika mereka mengambil pendirian bahawa pemulauan pilihanraya oleh Pas ini membolehkan mereka untuk menumpukan sepenuhnya terhadap banjir di Johor.

posted by Lidah Penghunus @ 11:22 PM   2 comments

Thursday, January 11, 2007

Pembangkang umum boikot pilihanraya kecil. Apa kata Tan Sri pengerusi SPR?

Assalamualaikum.

Semalam pakatan alternatif, Pas dan Parti Keadilan Rakyat telah mengumumkan untuk memulaukan pilihanraya kecil Dun Batu Talam yang akan diadakan 28 Januari ini. Bagi saya ianya adalah satu keputusan yang tepat memandangkan beberapa perkara yang jelas membuktikan kelemahan sistem pengundian di negara ini dan ianya ditambah dengan pengakuan pengerusi SPR kelmarin

Berita televisyen jam 8 malam tadi pula telah memaparkan reaksi pengerusi SPR sendiri, Tan Sri Ab. Rashid berhubung keputusan pembangkang itu. Apa yang saya nampak kenyataan Tan Sri Rashid itu amat bertentang dengan kesedaran yang beliau luahkan tentang kelemahan SPR kelmarin apabila beliau dengan bersahaja mengatakan bahawa pembangkang bebas untuk menyertai atau tidak mana-mana pilihanraya yang diadakan.

Sepatutnya sebagai pengerusi kepada badan yang mengurus pilihanraya beliau haruslah berasa terhina apabila sesebuah parti politik memulaukan pilihanraya kerana ianya adalah mesej yang jelas daripada mereka bahawa perjalanan pilihanraya di negara ini tidak adil. Parti pemerintah juga sepatutnya merasa terhina dengan pemboikotan ini kerana ianya membawa makna bahawa kemenangan mereka adalah kemenangan yang tidak bermaruah yang tiada nilainya.

Namun apa lagi yang boleh diperkatakan lagi kepada mereka yang sudah jelas tidak bermaruah ini. Cumanya kita memboikot pilihanraya ini bukanlah kerana kita pengecut, tetapi ianya adalah sebagai bantahan kepada iklim demokrasi negara yang masih lagi belum pulih ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   1 comments

Wednesday, January 10, 2007

Maklumbalas daripada cadangan pengerusi SPR.

Assalamualaikum.

Semalam kita telah mendengar cadangan daripada pengerusi SPR agar badan pengurusan pilihanraya itu dirombak secara besar-besaran dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat dan pelbagai pihak terhadap SPR. Maklum balas daripada cadangan tersebut dalam akhbar hari ini seperti kebiasaannya ianya sudah tentulah akan disambut baik oleh parti-parti pembangkang. Malahan beberapa ahli parlimen Umno juga turut menyambut baik cadangan ini antaranya ahli parlimen Johor Bahru Datuk Shahril Samad dan pemangku pengerusi BBNBC, Datuk Raja Ahmad Zainuddin.

Namun begitu lain pula dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa SPR tidak perlu dirombak. Beliau memberikan alasan bahawa badan berkenaan telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik selama 50 tahun berfungsi sebagai pengendali pilihanraya. Persoalannya benarkah SPR telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik seperti yang didakwa Datuk Nazri itu? Apakah datuk Nazri tidak meniliti 6 perkara yang telah dinyatakan oleh Tan Sri Rashid semalam yang jelas sebagai punca kelemahan SPR selama ini. Buktinya ketika cadangan itu dibuat semalam dan hari ini, BN terus mempergunakan media perdana untuk berkempen dan akhbar hari ini pula melaporkan tentang pendedahan Pas bahawa terdapat kewujudan pengundi kaum india di kawasan yang majoritinya seratus-paratus melayu serta orang asli di Dun Batu Talam.

Jika beginilah keadaannya apalah gunanya Pas menyertai pilihanraya. Sudahlah kos untuk menyertai pilihanraya terlalu mahal seperti kata Tok Guru Nik Aziz tetapi pilihanraya berjalan secara tidak adil. Oleh itu seperti kata pemangku pengerusi BBNBC bahawa Tan Sri Rashid lebih tahu tentang kelemahan badan yang beliau ketuai. Dalam kata yang lain Tan Sri Rashid lebih tahu dosa-dosanya terhadap pembangkang selama ini maka tidak ada sebab untuk cadangan itu ditolak.

posted by Lidah Penghunus @ 8:28 PM   0 comments

Tuesday, January 09, 2007

SPR perlu dirombak secara drastik - Pengerusi.

Assalamualaikum.

Setelah hampir 3 tahun berlalu pilihanraya umum ke-11 iaitu pilihanraya terburuk dalam sejarah dan kini dijangka kurang dua tahun lagi akan menjelma pilihanraya umum ke-12, akhbar hari ini pengerusi SPR Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mencadangkan agar diadakan rombakan besar-besaran terhadap SPR dan juga ditubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihan raya serta penstrukturan semula SPR.

Kajian semua itu bertujuan menjadikan SPR dan proses pilihan raya yang sering dikritik pelbagai pihak, menjadi lebih telus, adil dan saksama kepada semua parti politik dan rakyat negara ini.
“Orang sekarang lebih pandai, negara juga dah moden. Orang bertanya kenapa tidak boleh dibuat pilihan raya yang lebih telus,”
Bagi tujuan itu, tegas Ab. Rashid, satu suruhanjaya bebas yang dianggotai pakar undang-undang, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik perlu dibentuk bagi mengemukakan cadangan penambahbaikan tersebut. Utusan Malaysia - 9 Januari 2007.

Di sini saya menyambut baiklah pengakuan diikuti dengan cadangan yang dikemukakan oleh pengerusi SPR sendiri lebih-lebih lagi dalam soal penubuhan suruhanjaya bebas. Sebenarnya perkara-perkara yang disebut itu telah lama dilaungkan oleh parti-parti pembangkang yang selama ini menjadi mangsa kepada ketidakadilan yang berlaku setiap kali pilihanraya.

Cumanya alangkah baik jika cadangan ini dikemuka sebaik sahaja selesai pilihanraya umum yang ke-11 2004 yang lalu dan jika ianya diterima sudah tentu sekarang ini kita telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya kecil Batu Talam dan juga pilihanraya umum ke-12 dalam suasana yang bersih.

Walau bagaimanapun sama-sama kita tunggu adakah cadangan Tan Sri Ab. Rashid ini akan diterima oleh kerajaan lebih-lebih lagi berkenaan enam perkara yang dikemukakan itu yang selama ini melibatkan parti pemerintah sendiri;

Beliau juga menggariskan enam kuasa yang tidak wujud pada SPR yang menjadi punca kelemahan badan itu pada masa ini, iaitu:
* Kuasa menentukan penubuhan parti politik dan menjamin kebebasan mengambil bahagian bila-bila masa dalam pilihan raya.
* Kuasa mengawal semua keadaan pada musim berkempen.
* Kuasa mengatur keadilan dan kebebasan melapor bagi semua media cetak dan elektronik.
* Kuasa mengawal dan menghukum pihak yang menyalahgunakan kemudahan awam untuk berkempen.
* Kuasa menentukan keadilan dalam hal-hal berkaitan dengan pembiayaan kewangan untuk kempen parti.
* Kuasa mengawal dan mencegah rasuah dan aktiviti membeli undi dalam musim pilihan raya.

Utusan Malaysia - 9 Januari 2007.

Akhir sekali sebagai membuktikan keikhlasan pengakuan serta cadangan Tan Sri Rashid itu maka langkah yang pertama beliau perlulah meletakkan jawatan, berundur dan memberi peluang kepada mereka yang lebih layak yang dilantik secara telus.

posted by Lidah Penghunus @ 9:59 PM   0 comments

Monday, January 08, 2007

Genderang perang di Batu Talam telah pun berbunyi.

Assalamualaikum.

Belum pun tiba hari penamaan calon untuk pilihanraya kecil Dun Batu Talam, Barisan Nasional dan Umno nampaknya sudah pun memulakan kempennya dalam usaha mempertahankan kerusi yang menanginya dalam pilihanraya umum yang lepas. Yang pastinya akhbar-akhbar perdana di negara ini akan dijadikan sebagai budak suruhan untuk berkempen serta memburuk-burukkan parti pembangkang. Ianya termasuklah akhbar Utusan Malaysia yang sebelum ini dipertahankan oleh Umno daripada bergabung dengan kumpulan NST kononnya untuk mempertahankan kredibiliti akhbar berkenaan. Sedangkan yang nyata sama ada bergabung atau tidak mereka tetap sebuah akhbar yang tidak bermaruah.

Seperti yang kita lihat dalam akhbar hari ini dipaparkan kenyataan ahli Parlimen Bera agar pengundi tidak terpengaruh dengan ceramah pembangkang sedangkan belum pun bermula kempen daripada pembangkang, mereka terlebih dahulu telah mula berkempen dengan memperalatkan segala apa yang ada termasuk akhbar dan televisyen. Dalam laporan akhbar itu juga ketua Umno bahagian Bera itu turut mendakwa bahawa Pas menggunakan taktik serta isu lapuk. Jika benar Pas guna isu lapuk kita mahu tahulah apa isu lapuk yang dibawa itu. Adakah kenaikan Tol, penindasan, korupsi serta penyelewengan itu isu lapuk? Siapakah yang sebenarnya yang membawa isu lapuk jika tidak BN yang asyik menyebut tentang isu pembangunan yang realitinya selalu kecundang.

Dalam tajuk berita lain pada akhbar yang sama pula Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyelar kenyataan Tok Guru Nik Aziz yang menyifatkan pilihan raya di negara ini sebagai pilihan raya ongkos.

Katanya, kerajaan selama ini tidak pernah menjanjikan ongkos untuk menang dalam mana-mana pilihan raya, sebaliknya ia merupakan tanggung jawab untuk membantu rakyat.
Jelasnya, kerajaan sentiasa berniat baik dan sedia membantu rakyat sepanjang tahun selain membela nasib orang miskin.
“Keadaan ini berbeza dengan parti pembangkang yang tidak mempunyai peruntukan untuk membela nasib golongan yang memerlukan,” jelasnya. Utusan Malaysia - 8 Januari 2007.


Nampaknya ketua menteri Melaka ini tidak memahami maksud kenyataan rakan sejawatannya bahawa yang dimaksudkan ongkos itu adalah perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh parti bertanding terutamanya yang melibatkan nilai deposit yang terlalu tinggi. Sebut juga berkenaan rasuah pilihanraya ianya juga tidak dapat dinafikan lagi kerana jelas bahawa wang adalah antara senjata Umno dan Barisan Nasional untuk memenangi pilihanraya.

Maka dengan ini diharapkan agar rakyat khususnya pengundi di Dun Batu Talam tidak terpengaruh dengan propaganda oleh budak suruhan Umno dan Barisan Nasional ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:15 PM   1 comments

Sunday, January 07, 2007

Dari Lindunganbulan ke Sunway Piramid.

Assalamualaikum.

Petang tadi saya berpeluang untuk menghadiri demonstrasi anjuran PROTES bagi membantah kenaikan kadar Tol awal Januari yang lalu yang di adakan di Sunway Piramid, Bandar Sunway. Memang dekat dengan rumah saya. Kiranya jika dikejar oleh FRU saya boleh terus lari balik rumah. Walau bagaimanapun alhamdulillah perhimpunan tadi pada keseluruhannya berlangsung secara aman tanpa tindakan ganas daripada mana-mana pihak.

Cuma apa yang ingin saya perkatakan di sini, seolah-olahnya akan berlaku satu rusuhan besar-besaran bila melihatkan awal-awal lagi pasukan polis membuat kawalan, membuat sekatan jalanraya di beberapa tempat. Sedangkan ini bukan kali pertama demonstrasi seumpama ini dianjurkan oleh pembangkang. Jadi jelas di sini bahawa semua itu hanyalah bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat daripada menyertai perhimpunan itu.

Satu lagi yang ingin saya perkatakan di sini, bila sebut sahaja tentang perhimpunan pembangkang tanpa hebahan yang meluas pun dengan cepat pihak polis akan dapat mengetahuinya dan dengan pantas pasukan akan dihantar untuk mengawal keadaan. Ianya berbeza sekali dengan satu berita yang juga kita perolehi pada hari ini. Dalam satu serbuan di sebuah premis hiburan di Sekinchan Selangor didapati premis berkenaan menjalankan kegiatan mesin judi haram. Apa yang menghairankan premis berkenaan benar-benar berhampiran dengan balai polis daerah Sekinchan dan isu ini telah pun menjadi sebutan Ketua Polis Negara sendiri.

posted by Lidah Penghunus @ 11:48 PM   1 comments

Wednesday, January 03, 2007

Kisah PLKN di tahun 2007.

Assalamualaikum.

Kelmarin dalam berita TV dipaparkan tentang bahawa kononnya PLKN sekarang sudah makin bertambah baik dan sempurna dan dakwaan berkenaan dibuat berdasarkan pertambahan jumlah ibu-bapa yang menghantar anak mereka untuk mengikuti PLKN. Namun akhbar semalam telah melaporkan tentang masalah pengangkutan yang menyebabkan 1,432 pelatih PLKN yang sepatutnya melapor diri di kem masing-masing terpaksa pulang, manakala beribu-ribu lagi terkandas beberapa jam. Akhbar hari ini pula mendedahkan bahawa peranan orang tengah adalah punca pelatih-pelatih PLKN ini terkandas;

Masalah kewujudan orang tengah yang didakwa menjual kontrak, menjadi punca beribu-ribu pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terkandas atau mengalami kelewatan melapor diri ke kem masing-masing, kelmarin.
Presiden Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia, Chee Ah Tey, mendakwa orang tengah ‘menjual’ kontrak itu kepada pengusaha bas selepas mengambil ‘peratus tertentu’ kontrak berkenaan.
Katanya, perbuatan orang tengah itu juga menyebabkan pengusaha bas tidak dapat menampung kos untuk mendapatkan Lesen Perubahan Sementara (LPS), kerana nilai yang diberikan kepada mereka terlalu kecil. Berita Harian - 3 Januari 2007.

Nampaknya gejala penyelewengan yang melibatkan kontrak pengangkutan pelatih PLKN membuka tirai bagi masalah-masalah ketelusan dalam negara. Hari ini semasa menguruskan kemasukan adik bongsu ke Sekolah Rendah saya dimaklumkan oleh seorang bapa bahawa wujud masalah kekurangan buku di Sekolah berkenaan dan lagi saya diberitahu bahawa di sekolah menengahnya pula ketika Sekolah sedang sibuk dengan kemasukan pelajar bagi sesi 2007, kontraktor baru sibuk hendak memasang beberapa pintu bilik darjah! Apa mereka buat selama sebulan sekolah ditutup?

Jika beginilah keadaannya mungkinkah perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-9 yang dibangga-banggakan oleh perdana menteri itu akan berjaya?

posted by Lidah Penghunus @ 4:17 PM   1 comments

Penulisan pertama di tahun 2007.

Assalamualaikum.

Sepatutnya blog ini telah dikemaskinikan semalam, malangnya sistem internet dibeberapa tempat mengalami gangguan teruk ekoran daripada apa yang namakan sebagai 'tsunami siber' pada hujung tahun lepas. Yang lagi merisaukan apabila saya dimaklumkan bahawa masalah ini akan selesai dalam masa tiga minggu. Terbayang oleh saya semalam bahawa selama tiga minggu blog ini tidak akan beroperasi. Namun hari ini mujurlah sistem internet telah kembali sediakala walaupun tidak sepenuhnya.

Sekarang kita sudah pun berada di tahun 2007 Masihi. Ini bermakna telah pun bertambah satu lagi beban harian untuk rakyat Malaysia iaitu kadar Tol. Pemerhatian saya mendapati semua orang tidak kira fahaman politik ternyata tidak puas hati dengan kenaikan kadar Tol ini dan ianya termasuklah daripada orang-orang Umno sendiri. Cumanya orang-orang Umno ini apabila menyentuh tentang kenaikan Tol ini mereka terus menyatakan kemarahan terhadap Datuk Seri Samy Velu yang dilihat sebagai menteri yang bertanggungjawab menaikkan kadar Tol ini.

Nampaknya segelintir ahli-ahli dan penyokong Umno ini tidak nampak bahawa Samy Velu ini adalah menteri kabinet Barisan Nasional bawah pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Maka sudah tentulah segala keputusan yang dibuat adalah keputusan yang dipersetujui oleh jemaah menteri serta direstui oleh Pak Lah sendiri sebagai perdana menteri. Maka tidak perlulah mereka cuba hendak menyembunyinya kesalahan parti mereka itu dengan meletakkan kesalahan kepada menteri daripada MIC.

posted by Lidah Penghunus @ 3:27 PM   0 comments


Free Hit Counter