Tuesday, January 31, 2006

Hijrah itu perjuangan

Assalamualaikum.

Sekarang kita sudah pun melangkah ke tahun baru 1427 dalam tahun islam iaitu tahun yang melakarkan detik penting dalam sejarah islam iaitu hijrah rasulullah saw ke Madinah dalam usaha untuk mengembangkan da'wah islamiah, mencari tapak baru dalam mengukuhkan strategi da'wah rasulullah saw.

Apa yang ingin saya sentuh tentang peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Mekah yang kita maklum tempat Nabi Muhammad saw dilahirkan, tempat baginda dibesarkan dan di situ jugalah tempat bersemadinya jasad ibu dan bapa baginda saw yang telah meninggal dunia sejak baginda masih kecil dan sudah tentulah Mekah menjadi tanah tumpah darah rasulullah, tanah air tercinta yang membawa seribu nostalgia untuk kepada rasulullah sebagai anak kelahiran kota tersebut.

Sedangkan Madinah atau nama asalnya Yathrib adalah sebuah negara yang jauh dari Mekah yang dipisahkan oleh padang pasir yang gersang dan mempunyai sistem politik dan pemerintahannya yang tersendiri. Namun begitu rasulullah sanggup meninggalkan tanah airnya yang tercinta berhijrah ke Madinah yang rasulullah sendiri tiada saudara-mara di situ, malahan hinggakan Rasulullah dengan bantuan penduduk Madinah sendiri menawan kota Mekah yang menjadi negara asal kelahirannya.

Adakah ianya bermaksud Rasulullah tidak cintakan tanah airnya sendiri? dan adakah boleh dikatakan Rasulullah pengkhianat kepada negara kelahirannya sendiri apabila baginda sendiri mendapakan bantuan orang luar bagi menawan kota yang menjadi tanah tumpah darahnya sendiri? Sudah tentu tidak, malahan ada riwayat yang menunjukkan bagaimana nabi Muhammd saw sendiri amat-amat merindui dan ingin sekali kembali ke tempat kelahirannya. Namun nabi junjungan kita saw lebih cintakan Allah dan islam itu sendiri dan oleh kerana itulah baginda sendiri berhijrah ke Madinah, menubuhkan sebuah negara islam yang berdaulat dan kembali menawan kota Mekah untuk membebaskan tempat kelahirannya yang dicintai dari cengkaman taghut.

Oleh itu dalam menghayati pengertian hijrah itu sendiri adalah penting untuk kita meletakkan cinta kepada Allah dan rasulNya itu pada tempat yang paling utama kerana cinta Allah dan rasul itu sendiri secara automatiknya akan menyemaikan rasa cinta kita kepada tanah air tanpa diresapi oleh unsur-unsur yang negatif. Kerana tanpa meletakkan cinta kepada Allah dan rasul inilah yang sekarang ini kita dapat saksikan rakyat setia dan taat membuti tuli kepada pemimpin yang zalim atas sebab kononnya tidak mahu jadi pengkhianat kepada negara, golongan yang sanggup meninggalkan solat berenang merentasi Selat Melaka kononnya ingin megharumkan nama negara dan berbagai-bagai perkara negatif lagi.

posted by Lidah Penghunus @ 5:53 PM   0 comments

Friday, January 27, 2006

Tahniah untuk gerakan Hamas. Tahniah juga untuk 'SPR' Palestin.

Assalamualaikum.

Bagaikan tidak dijangka atau pun mungkin ada juga yang sudah menjangkakan bahawa gerakan islam yang terbesar di Palestin iaitu Hamas telah memberi kejutan bukan sahaja kepada PLO dan israel, malahan telah memberi kejutan kepada kuasa-kuasa kufar Amerika dan Britain apabila menang besar dalam pilihanraya palestin yang diadakan baru-baru ini.

Kemenangan besar bagi gerakan islam yang begitu sinonim dengan serangan berani mati, yang dilabel pengganas bukan sahaja oleh kuasa kufar, malahan oleh umat islam sendiri dilihat dapat memberi inspirasi kepada gerakan islam yang lain khususnya Malaysia kerana kita dapat saksikan bagaimana Hamas melalui sayap tenteranya seringkali memberikan tentangan yang hebat kepada tentera Israel dan dalam masa yang sama melalui sayap politiknya berjaya menambat hati rakyat palestin untuk memberi peluang kepada mereka untuk mentadbir palestin.

Khusus kepada golongan-golongan yang menolak cara pilihanraya dalam mencapai matlamat perjuangan islam diharapkan kemenangan Hamas dalam pilihanraya dapat membuka mata mereka tentang kepentingan gerakan islam khususnya Pas melibatkan diri dalam politik pilihanraya. Gerakan Hamas dipalestin menghadapi tentera kufar Israel dengan kaedah perperangan dan dalam berhadapan dengan golongan-golongan pemerintah yang korup pula mereka menghadapinya dengan cara pilihanraya. Namun begitu dinegara kita gerakan islam hanya berhadapan dengan kerajaan yang zalim melalui ruang demokrasi masih lagi dibuka. Walaupun ianya semakin gerhana namun itulah sahaja ruang patut kita gunakan sebagai wahana untuk mencapai matlamat perjuangan islam.

Kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) anda patut malu dengan 'SPR' Palestin kerana dalam suasana ribut pergolakan dengan rejim Israel, pengendali pilihanraya di negara tersebut masih lagi mampu menyediakan pilihanraya yang adil kepada rakyat Palestin yang menyaksi bagaimana mereka dengan mudah telah menolak kepimpinan yang korup dan menggantikannya dengan kepimpinan yang baru. Akhir sekali diharapkan gelombang kemenangan Hamas ini akan diteruskan oleh gerakan islam yang lain khususnya di negara kita.

posted by Lidah Penghunus @ 6:06 PM   0 comments

Thursday, January 26, 2006

Di posisi pembangkang pun boleh rasuah.

Assalamualaikum

Jika sebut tentang isu rasuah dalam Umno ianya bukan menjadi rahsia lagi, semua orang sudah maklum tentang eratnya pertalian antara Umno dan rasuah ini hinggakan jika kita taip perkataan rasuah pada enjin carian di laman web maka akan berjumpalah kita dengan banyak perkataan Umno. Dari dahulu hingga kini penyakit rasuah dalam Umno ini bagaikan telah menjadi barah yang amat-amat kronik yang bersebati bersama darah daging batang tubuh Umno itu sendiri. Dari peringkat tertinggi kepimpinan parti hinggalah ke peringkat akar umbi, dari menteri-menteri kabinet hinggalah ke jawatan rendah dalam kerajaan yang ditadbir oleh Umno. Isu masalah rasuah yang juga disebut sebagai politik wang ini juga seolah-olah menjadi isu wajib untuk dibincangkan pada setiap perhimpunan agung parti pemerintah tersebut.

Ini berbeza dengan Pas yang dari dahulu tidak pernah pun kita dengar ahli-ahlinya yang disabit dengan kesalahan rasuah dan penyelewengan. Sedangkan Pas juga ada memegang tampuk pemerintahan, walaupun hanya diperingkat negeri namun selama 15 tahun Pas memegang kerajaan Negeri Kelantan dan selama satu penggal Pas memerintah Negeri Terengganu tidak ada satu pun exco kerajaan negeri daripada Pas yang didakwa atas penyalahgunaan kuasa. Jika ada beberapa dakwaan oleh pihak-pihak tertentu pun ianya adalah tuduhan melulu kerana tiada bukti yang kukuh yang dapat dikemukakan oleh pihak berkenaan.

Namun sebaliknya ahli Umno yang berada pada posisi pembangkang di Negeri Kelantan pula yang terlibat dengan rasuah iaitu Ketua Umno Bahagian Kubang kerian yang sekarang ini sedang menjalani perbicaraan atas tuduhan salahlaku rasuah sedangkan Parlimen Kubang Kerian sendiri diwakili oleh Pas. Begitulah gambaran bagaimana sinonimnya Umno dengan rasuah hinggakan ada yang berpendapat jika ingin bersihkan Umno dari rasuah, bukan sahaja ahli-ahli Umno yang korup itu mesti disingkirkan, Umno itu sendiri juga harus dibubarkan.

posted by Lidah Penghunus @ 6:08 PM   0 comments

Sunday, January 22, 2006

Penubuhan sukarelawan cegah maksiat mereka tolak, memo bantahan perkara 121(1A) pun mereka tolak. Kira oklah tu.

Assalamuualaikum.

Akhir-akhir ini banyak berlaku perkara yang telah menyentuh hati kita yang cintakan islam yang tidak mahu melihat islam itu dilanyak sesuka hati. Sudahlah hati kita tersentuh dengan terhalangnya penubuhan pasukan sukarela bagi membantu MAIWP membenteras kemungkaran apabila kabinet sendiri menolaknya atas alasan hak asasi dan hati nurani umat islam bagaikan dihiris lagi dengan tindakan biadab geng 10 menteri bukan islam menghantar memorandum mempertikaikan perkara 121(1A) sedangkan itu sahajalah yang tinggal untuk kita mempertahankan masa depan orang orang islam kita.

Akhirnya kita bersyukur kepada Allah kerana atas nasihat dari perdana menteri sendiri geng 10 menteri ini telah bersetuju untuk menarik kembali memo mereka itu. Atas penarikan bantahan itu hati kita yang terluka dengan penolakkan Pasukan sukarelawan cegah maksiat tadi kira terubat jugalah. Dalam erti kata yang lain, kira oklah, kira bolehlah tu. Memanglah kalau boleh kita mahu yang lebih daripada itu daripada kerajaan iaitu perlaksanaan islam secara total. Tapi bak kata YB Salahuddin Ayub mahkamah syariah yang kita ada ini sebenarnya adalah selemah-lemah perlaksanaan perundangan islam, namun begitu itulah yang kita kena pertahankan kerana jika sampai mahkamah syariah pun sudah dihapuskan, apalah lagi yang tinggal untuk umat islam dimalaysia membela diri dalam hal-hal akidah mereka. Sekurang-kurangnya kita telah saksikan bagaimana mahkamah syariah telah berjaya menyelamatkan jasad seorang insan yang baru memeluk islam.

Walaupun kita masih berasa sedih dengan keputusan kabinet menolak penubuhan pasukan yang berusaha untuk mencegah kemungkaran, namun begitu kita masih ada lagi ruang dan kaedah lain untuk membenteras kemungkaran. Sedangkan andaikata kabinet menerima memorandum bagi mengkaji perkara 121(1A) maka akidah umat islam, akhlak umat islam, generasi muslim di Malaysia berada dalam keadaan bahaya. Andaikata pada masa itu ada pasukan khas mencegah kemungkaran pun tiada gunanya lagi kerana usaha-usaha mereka dengan mudah akan dicabar oleh mahkamah civil. Apapun kita tetap mengharapkan agar bukan sahaja perundangan syariah yang sedia ada itu dibela, lebih daripada itu kita mahu agar ianya terus diperlengkapkan dan dilaksanakan secara tuntas.

posted by Lidah Penghunus @ 12:52 PM   0 comments

Thursday, January 19, 2006

Nak cegah kemungkaran pun tak boleh.

Assalamualaikum.

Nampaknya suara puak-puak liberal makin mendapat tempat apabila penubuhan sebuah badan sukarela yang bertujuan untuk membantu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membenteras kegiatan maksiat di sekitar wilayah persekutuan khususnya Putrajaya ditolak oleh menteri kabinet atas alasan ianya melanggar hak asasi manusia. Sedangkan mereka hanyalah squad pengintip yang menjadi mata dan telinga MAIWP tentang kegiatan maksiat yang berlaku di sekitar Putrajaya untuk diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa MAIWP selaku pihak yang berautoriti. Sudah tentulah akan ada garis panduan dan peraturan untuk sukarelawan ini agar usaha-usaha mereka tidak menimbulkan kekacauan.

Mereka memberi alasan bahawa penguatkuasa agama yang sedia ada sudah cukup untuk menangani masalah moral. Persoalannya adakah benar penguatkuasa yang ada sudah memadai untuk menangani masalah sosial yang kita lihat sekarang ini semakin membimbangkan, semakin tidak terkawal? Melalui pengalaman saya sendiri semasa menyertai XPDC Da'wah sempena malam tahun baru di sekitar taman KLCC, tidak kelihatan seorang pun anggota penguatkuasa agama khususnya dari JAWI bagi membenteras kegiatan anak-anak muda pada malam itu yang mengambil kesempatan atas nama sambutan tahun baru untuk membuat maksiat. Sebaliknya usaha-usaha ini diambil oleh beberapa pertubuhan yang tidak pun mempunyai kuasa dalam membenteras kegiatan mungkar ini secara berkesan, mereka hanya mempunyai kuasa untuk memberi nasihat dan teguran sahaja. Mana perginya penguatkuasa agama pada malam-malam sebegitu? Sedangkan pada malam-malam sebegitulah pihak-pihak yang diberi autoriti ini diperlukan untuk mengawal tingkah laku anak-anak muda beragama islam ini.

Seorang menteri kabinet menyatakan alasan penolakkan badan berkenaan juga adalah kerana tidak mahu penyalahgunaan kuasa dalam Badan Amal Maaruf Nahi Mungkar (BADAR) iaitu sebuah badan bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) suatu masa dahulu berulang kembali. Menteri kabinet tersebut mengatakan bahawa mencegah kemungkaran adalah tugas polis dan jabatan agama untuk menguatkuasakannya, bukan kerja orang yang tidak dilatih atau sukarelawan. Nampaknya menteri ini hanya menyempitkan tugas-tugas amal maaruf nahi mungkar hanya kepada mereka yang diberi kuasa sahaja. Bagi saya adalah lagi baik para sukarelawan yang menjalankan tugas ini kerana mereka yang dikatakan tidak terlatih ini menjalankan tanggungjawab secara sukarela tanpa dibayar gaji dan sudah tentulah niat mereka ini adalah benar-benar kerana ingin melaksanakan tuntutan amal maaruf nahi mungkar. Apa gunanya jika cukup terlatih dan mempunyai kuasa tetapi tiada niat pun untuk melaksanakannya. Satu lagi yang ingin saya sentuh apakah isu penyalahgunaan kuasa harus dijadikan alasan untuk menolak penubuhan badan sukarela pencegah kemungkaran tersebut? Sedangkan kita lihat dalam jabatan polis sendiri, malahan dalam kerajaan sendiri berlaku begitu banyak kes penyalahgunaan kuasa, mengapa dalam hal tersebut tidak dibubarkan sahaja badan-badan yang berkenaan?

Jadi perkara yang membawa kepada terhalangnya penubuhan badan sukarela yang bertanggungjawab terus kepada MAIWP ini sebenarnya adalah kerana kerajaan sendiri telah tunduk kepada sekumpulan pakatan liberal yang terdiri daripada NGO dan individu yang kononnya ingin memperjuangkan hak asasi namun hakikatnya mereka tidak mahu melihat islam itu berkembang subur.

posted by Lidah Penghunus @ 10:58 PM   0 comments

Tuesday, January 17, 2006

Keprihatinan kerajaan terhadap kepercayaan agama lain

Assalamualaikum.

Berita TV siang tadi melaporkan tentang kisah seorang pelajar beragama sikh yang telah diambil tindakan tatatertib oleh sebuah sekolah atas sebab pelajar tersebut mahu mempertahankan ajaran agamanya iaitu ajaran agama sikh yang melarang penganutnya mencukur jambang.

Kisah ini telah mendapat perhatian seorang exco kerajaan negeri yang memberi arahan kepada jabatan pendidikan negeri agar tidak mengambil tindakan terhadap pelajar berkenaan dan terus membenarkan pelajar tersebut mengamalkan agamanya. Seterusnya keputusan ini telah disambut baik oleh bapa pelajar tersebut yang memuji sikap harmoni yang telah diamalkan oleh kerajaan Malaysia.

Ini sebenarnya adalah satu langkah yang baik dan bertepatan dengan ajaran islam yang menyuruh penganutnya lebih-lebih lagi kerajaan islam agar menghormati hak dan kepercayaan orang bukan islam dan melindungi mereka selagi mereka tidak memusuhi islam. Namun begitu adalah amat malang sekali apabila penganut agama islam sendiri dilarang mengamalkan ajaran agama dan sunnah nabi di sekolah

Kita telah menyaksikan bagaimana pelajar yang memakai serban ke sekolah telah diambil tindakan tatatertib malahan hingga disingkirkan dari sekolah hanya semata-mata mahu mempertahankan sunnah nabi, di kampus-kampus universiti pula niqab atau purdah dilarang pemakaiannya oleh pentadbiran universiti. Malahan hingga ada arahan agar tudung tidak dilabuhkan, sebaliknya mesti disilangkan.

Mungkin ada yang akan memberi alasan bahawa pemakaian serban dan niqab hanyalah sunnah dan tidak haram pun jika tidak memakainya, berbeza dengan menyimpan jambang dalam kepercayaan agama sikh tadi yang melarang penganutnya mencukur jambang. Itu memang benar malahan dalam kaedah fiqh aulawiyat, seseorang itu haruslah mengutamakan mencari ilmu apabila untuk memasuki sekolah tersebut pelajar tersebut tidak dibenarkan memakai serban. Namun persoalannya adakah sebuah negara yang didakwa sebagai negara islam, yang mengamalkan islam hadhari yang pemimpinnya beragama islam tergamak melarang rakyatnya khususnya pelajar mengamalkan tuntutan sunnah nabi? Jika disebut tentang disiplin dan tatatertib pemakaian pelajar, mengapa tidak sahaja diwajibkan pelajar islam agar bertudung, menutup aurat? kerana ianya adalah tuntutan agama islam.

Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mempertikaian kebebasan mengamal ajaran penganut agama lain. Seperti yang disebutkan mula-mula tadi orang bukan islam wajib diberi kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama mereka. Namun begitu bagi negara yang islam adalah agama rasmi sudah tentulah amalan agama islam itu lebih diberi kebebasan. Kita sudah lihat di Negeri Kelantan bagaimana begitu banyak terdapat patung-patung buddha, orang bukan islam bebas untuk mengamalkan ajaran agama mereka di negeri yang diperintah oleh ulama' itu. Namun dalam masa yang sama, bertepatan dengan slogan membangun bersama islam, ajaran islam begitu subur diamalkan dan dilaksanakan di negeri bawah pemerintahan Pas itu.

posted by Lidah Penghunus @ 10:41 PM   0 comments

Tuesday, January 10, 2006

Salam Eidul Adha

Assalamualaikum.

Singkat sungguh rasanya masa berlalu, rasanya seperti baru sahaja merayakan idulfitri kemudian 'beraya' di Pengkalan Pasir dan kini kita akan merayakan Idul Adha pula, satu lagi perayaan umat islam yang tidak perlu dikongsikan dengan perayaan agama lain. Bila sebut sahaja Idul Adha atau hari raya qurban ini sudah tentulah konsep pengorbanan itu sendiri akan dikupas kerana asalnya perayaan hari raya qurban ini adalah dari kisah Nabi Allah Ibrahim yang taat kepada perintah Allah agar menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail sendiri.

Bila sebut pasal pengorbanan, pelbagai jenis pengorbanan yang telah kita dengar, pengorbanan umat islam dalam mempertahankan agamanya seperti yang terjadi di Palestin, Afghanistan, Iraq, pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anak-anaknya, pengorbanan seorang guru dalam memastikan anak didiknya berjaya dan tidak kurang juga bentuk-bentuk pengorbanan yang negatif. Antaranya Negara Amerika yang sanggup mengorbankan tentera-tenteranya di negara asing demi untuk memenuhi kerakusan kuasa mereka, kambing hitam yang dikorbankan dalam siri-siri upacara ritual kumpulan ajaran sesat dan pengorbanan seorang gadis yang sangguh mengorbankan harga dirinya kononnya demi cintanya yang suci. Itu belum masuk lagi pengorbanan seorang ibu tunggal yang sanggup melacurkan dirinya kerana desakan hidup akibat termakan dengan kenyataan dangkal seorang ustazah

Sentuh lagi tentang pengorbanan, dalam konteks negara kita Malaysia khususnya, tuntutan pengorbanan atas nama islam tidak pun memerlukan kita mengorbankan nyawa dan melibatkan tumpahan darah. Cukup sekadar pengorbanan berbentuk harta, wang ringgit, masa, keselesaan dan sebagainya demi untuk memastikan tertegaknya pemerintahan islam di bumi Malaysia ini. Apapun bentuk pengorbanan yang dilakukan, biarlah ianya semata-mata kerana Allah, kerana taat dan patuh kita kerana Allah. Semoga amalan kita diterima Allah sebagai amal soleh. Insya-Allah.

posted by Lidah Penghunus @ 1:59 AM   0 comments

Monday, January 09, 2006

Dulu Mawi sekarang Snuker

Assalamualaikum.

Seperti yang telah diduga, bila sahaja kerajaan Pas Negeri Kelantan bawah pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz mengambil keputusan untuk membenarkan operasi premis permainan snuker di Kelantan khususnya Bandar Kota Bharu, maka keputusan tersebut telah dihujani dengan kritikan dari pelbagai pihak terutama sekali mereka yang dalam Umno dan Barisan Nasional. Seperti juga isu mawi, tok guru telah dituduh makin jauh dari prinsip islam, mengamalkan prinsip matlamat menghalalkan cara, mengikut cara kerajaan BN dan pelbagai lagi tohmahan melulu terhadap kepimpinan tok guru seolah-olah negeri bawah pentadbiran BN bebas dari pusat snuker, judi dan disko.

Bila timbul isu ini saya teringat satu temubual bersama Tok Guru Nik Aziz oleh sebuah majalah suatu masa dahulu. Dalam temubual tersebut tok guru menyatakan bahawa bila sudah berpegang kepada islam sepenuhnya jika anak tok guru Nik Aziz sendiri mahu jadi pelakon pun beliau tidak risau. Jadi apa yang perlu kita fahami di sini ialah, jika seseorang itu sudah benar-benar dididik dengan islam dan telah benar memahami islam serta patuh dengannya ajarannya maka apa jua tindak-tanduknya sudah tentulah tidak akan bercanggah dengan ajaran islam. Sebaliknya jika seseorang itu goyah pegangan agamanya, maka sesuatu yang baik yang bermanfaat dan tidak bercanggah dengan islam pun akan disalahgunakannya hingga menjadi suatu yang negatif.

Inilah yang telah terjadi kepada permainan snuker, pada dasarnya ianya bukanlah sesuatu yang diharamkan oleh islam, bukannya sesuatu perkara maksiat yang merosakkan. Ianya hanyalah sejenis sukan yang banyak menguji kecekapan pemain khususnya dalam disiplin ilmu fizik. Namun begitu ianya telah disinonimkan dengan perkara negatif seperti kegiatan gengsterisme, ponteng sekolah, perjudian dan pelbagai lagi kegiatan yang tidak sihat. Media khususnya filem dan drama sering menggambarkan pusat permainan snuker ini sebagai tempat berkumpulnya kumpulan-kumpulan samseng dan tempat untuk anak-anak muda ponteng sekolah dan berpeleseran.

Ianya terjadi kerana sesuatu yang baik yang tidak mendatangkan keburukan namun begitu bila ianya digunakan oleh golongan yang tiada penghayatan islam maka perkara tersebut turut diolah sehingga menjadi sesuatu yang negatif. Malahan sukan bola sepak yang dipandang sebagai sukan yang berprestij, jauh dari unsur-unsur negatif juga boleh menjadi perkara negatif bila mana kaki judi melibatkan diri dalam sukan ini. Oleh sebab itulah selama 15 tahun lamanya kerajaan negeri Kelantan tidak mengeluarkan lesen bagi premis pusat snuker dan selama itulah juga rakyat dididik sepenuhnya dengan penghayatan islam dan setelah kajian mendalam dibuat akhirnya pusat permainan snuker dibenar beroperasi namun begitu seperti juga konsert Mawi, pusat-pusat permainan snuker di kelantan nanti bukanlah seperti pusat-pusat snuker yang terdapat di Selangor dan Kuala Lumpur. Ianya akan ada garis panduan dan peraturan agar jauh dari unsur-unsur maksiat dan sudah tentu pemantauan akan dibuat agar pusat-pusat snuker ini mengikut garis panduan yang ditetapkan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:32 PM   0 comments

Tuesday, January 03, 2006

T.B.A.

Assalamualaikum.

Tidak bermaksud untuk menyebelahi pengikut Black Metal, saya dahulu pun adalah penggemar muzik jenis keras tapi tidaklah sampai terbawa-bawa hingga ke aliran pemikiran. Salahsatu sebab mengapa saya meminati genre muzik underground yang juga dikenali dengan nama muzik alternatif kerana lirik lagu mereka yang tidak seperti kebanyakan lirik-lirik aliran muzik mainsteam yang hanya bertemakan cinta, yang mendayu-dayu, melemah semangat! dan gejala ini sudah menular dengan begitu pesat dalam industri muzik di Malaysia (Sebabnya mungkin anda boleh rujuk kepada sahabat saya saudara Ahmad) Sedangkan lagu-lagu aliran underground ini lebih bertenaga dan liriknya banyak bertemakan perjuangan, menentang penindasan dan ketidakadilan.

Oleh kerana itu tidak mustahil antara sebab mengapa kerajaan begitu keras terhadap aliran muzik black metal dan sewaktu dengannya ini adalah kerana pemikiran mereka yang digarapkan dalam lirik lagu yang tidak sealiran dengan kerajaan. Kalau nak dikatakan lirik-lirik lagu underground ini berunsur negatif hingga boleh merosakkan akidah, lagu-lagu aliran mainstream tidak kurang juga dengan liriknya yang terdapat unsur negatif, lucah, pemujaan dan sebagainya. Begitu juga dengan isu penggunaan dadah, sudah banyak kes yang kita lihat artis-artis yang bukan dari aliran muzik underground ini terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Jika serbuan pihak berkuasa terhadap satu konsert black metal pada malam tahun baru beberapa hari yang lalu mendapati beberapa pengunjungnya mengambil dadah, saya percaya dalam masa yang sama jika pihak berkuasa juga membuat operasi di konsert sambutan tahun baru di KLCC akan didapati begitu ramai pengunjung yang positif mengambil dadah malahan keputusan yang sama juga akan didapati pada konsert kumpulan Peter Pan pada keesokkan malamnya.

Inilah hasilnya jika sesuatu tindakan itu bukan benar-benar kerana Allah, kerana ingin mencegah perkara yang dilarang oleh Allah. Sesuatu perkara itu tidak dilaksanakan secara menyeluruh kerana jika kerajaan benar-benar ingin membenteras maksiat, sesuatu yang dilarang oleh Allah, maka bukan sahaja konsert black metal itu akan dibenteras, malahan pesta sambutan tahun baru, konsert Peter Pan, Konsert Sure Heboh pun akan turut tidak dibenarkan oleh kerajaan kerana sudah jelas unsur-unsur percampuran lelaki dan wanita, pengabaian solat dalam siri-siri konsert tersebut.

Sentuh pasal muzik underground ini saya tertarik dengan satu tulisan yang berkaitan dengan aliran muzik alternatif ini yang berbunyi "Dari segi aliran pemikiran, pengikut-pengikut muzik punk ini hampir sama dengan ahli-ahli parti politik yang berimejkan kopiah putih." Jika disebut tentang kopiah putih maka sudah tentulah ianya berkaitan dengan Pas. Memang tidak dinafikan kebanyakan budak-budak punk ini menyokong Pas. Ini tidaklah menjadi suatu yang mengejutkan kerana jika kita selami sendiri budak-budak punk ini, mereka lebih cenderung kepada sesuatu yang memberontak, 'havoc', huru-hara, anti kerajaan dan sebagainya. Dan oleh kerana itu mereka lebih tertarik dengan siri-siri demonstrasi yang sering dianjurkan oleh Pas sendiri. Tanpa mereka sedari jika Pas mendapat mandat untuk memerintah suatu hari nanti, golongan-golongan Punk inilah yang akan dibenteras.

Jadi seperti juga tulisan saya dahulu yang bertajuk Bagaikan sebuah rumah yang menekankan tentang kesyumulan islam, dalam usaha kita untuk menyampaikan risalah tentang keadilan, menolak penindasan dan menentang kezaliman pemerintah melalui muzik dan lagu, kita tidak memerlukan muzik black metal, punk, hip-hop pelbagai lagi genre muzik yang dibawa oleh barat. Hiburan islam khususnya nasyid sudah cukup lengkap sebagai medium untuk kita menyampaikan da'wah, menyatakan kebenaran, menentang kezaliman dan penindasan yang dalamnya terdapat garis panduan yang memandu kita agar tidak melampaui batas dalam berhibur.

posted by Lidah Penghunus @ 6:52 PM   0 comments

Sunday, January 01, 2006

Jendela 2005

Assalamualaikum.

Kita telah pun menutup tirai jendela 2005 dengan pelbagai kisah. Ada kisah suka, duka, kontroversi dan ada juga kisah yang tidak langsung memeranjatkan kita yang kita memang akan jangka perkara tersebut. Bagi Pas sendiri 2005 bolehlah dikatakan sebagai tahun kebangkitan semula setelah dilanda ribut kekalahan pada pilihanraya umum ke-12 tahun sebelumnya. Pada peringkat Negeri Selangor, 2005 diiystihar sebagai tahun tarbiah bagi memantapkan kembali aktiviti tarbiah yang dilihat semakin malap kebelakangan ini dan Muktamar Agung tahunan 2005 dilihat menjadi penyuntik semangat dan azam baru kepada ahli-ahli Pas diseluruh negara dengan terpilihnya gandingan tokoh-tokoh yang berwibawa bagi memegang amanah dalam kepimpinan peringkat tertinggi parti politik tersebut.

Pilihanraya kecil pengkalan pasir pula dilihat sebagai medan untuk menguji sejauh manakah tahap tarbiah yang telah diterima oleh ahli-ahli Pas selama ini dan ianya telah terbukti apabila ahli Pas dari seluruh negara turun berkampung di Pengkalan Pasir bagi mempertahankan kemenangan Pas negeri Kelantan di Dun tersebut dan kekalahan yang diterima tidakpun melemahkan semangat mereka, malahan semangat mereka ini terus ditunjukkan apabila beberapa negeri di sebelah pantai timur dan utara dilanda banjir. Sekarang kita sudahpun berada di serambi 2006, mungkin tahun 2006 ini boleh dikatakan sebagai tahun persediaan untuk menjana kemenangan pada pilihanraya umum yang makin hampir.

Sentuh sedikit tentang sambutan tahun baru, mungkin inilah sedikit hikmah dan kebaikan disebalik penderitaan Tsunami pada tanggal 26 Disember 2004 dan peristiwa banjir yang di luar dugaan baru-baru ini apabila pada tahun ini beberapa negeri telah mengambil keputusan untuk membatalkan sambutan pesta sambutan tahun baru dan digantikan dengan majlis tahlil dan bacaan Surah Yasin. Namun begitu amatlah malang sekali apabila diperingkat kebangsaan peristiwa-periswa tersebut seolah-olah dilupakan dengan sambutan pesta tahun baru di beberapa tempat di sekitar Lembah Klang. Seperti kebiasaan, Dewan Pemuda Pas Pusat bersama-sama Pemuda Pas Wilayah dan selangor akan turun ke tempat-tempat sambutan bagi mengedar risalah da'wah. Semalam saya dan beberapa orang sahabat berpeluang untuk mengikuti Program yang dinamakan XPDC da'wah yang diadakan di KLCC, Kuala Lumpur. Sedar akan kesesakan yang biasanya akan berlaku pada malam-malam sambutan, maka kami mengambil keputusan untuk menaiki LRT.

Apa yang ingin saya ceritakan di sini, semasa dalam perjalanan, terasa kecilnya kami, terasa lemahnya kami ditenggelami oleh lautan muda-mudi yang hanyut oleh gelombang hedonisme ini, dengan pakaian mereka yang kebaratan dengan budaya 'couple' mereka yang tiada batasan dan yang paling menyedihkan tidak sedikit dari kalangan mereka ini adalah anak-anak gadis yang bertudung, cuma bagi saya ianya adalah tudung melayu, bukan tudung muslimah. Masa tu saya benar-benar rasa ingin cepat tiba ke destinasi dan sampai ke Masjid Asy Syakirin, tempat yang kami diarahkan berkumpul. Dan bila tiba di perkarangan Masjid Asy Syakirin, bersama-sama dengan pemuda-pemuda Pas dari seluruh wilayah dan Selangor barulah terasa kuatnya kami, kekuatan yang dikurniakan Allah dan bersedia untuk menggempur lautan ganas manusia mengedar risalah da'wah untuk mengajak mereka secara baik agar kembali kepada cara hidup islam. Jika dilihat dari tingkahlaku mereka secara logiknya adalah agak mustahil untuk mengubah mereka, namun begitu kita yang beri risalah, Allah yang mengubah hati mereka. Sepanjang XPDC da'wah berjalan, mereka menyambut baik kehadiran kami dan rata-rata mereka memberikan ucapan terima kasih atas risalah yang dihulur.

Bagi diri saya sendiri, 2005 adalah tahun permulaan untuk saya kembali menulis khususnya dalam Blog ini. Sekarang sudah hampir setahun usia blog lindunganbulan ini, jika ada penulisan saya ini yang menyinggung maka sedalam-dalam kemaafan saya pinta dan jika ada sebarang kesilapan fakta sepanjang saya menulis ini maka tegurlah. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perbaiki dalam penulisan ini. Oleh sebab itulah saya lebih layak untuk menulis di Blog berbanding menjadi penulis sepenuh masa di akhbar, majalah dan sebagainya. Tambahan pula menulis di blog kita tidak terikat dengan deadline, saya boleh menulis bila-bila masa sahaja bila ada sesuatu isu yang ingin saya ingin saya ulas tanpa diarahkan oleh mana-mana pihak. Berbanding jika saya terikat dengan mana-mana penerbitan, dengan kemahiran kurang ditakuti dalam memenuhi deadline saya akan menulis sesuatu yang tangkap muat sahaja tanpa mengambil kira kualiti penulisan. Dalam erti kata yang lain biarlah tulisan ini datangnya dari lubuk hati saya sendiri, bukan kerana terpaksa. Namun begitu azam dalam bidang penulisan ini tetap ada iaitu untuk meningkatkan kemahiran, mempelbagaikan skill penulisan, menambah ilmu pengetahuan dan seboleh-bolehnya menulis satu artikel dalam seminggu secara konsisten.

Akhir sekali semoga kita dapat membawa masuk perkara-perkara positif di tahun 2005 lalu ke tirai 2006 untuk kita teruskan dan menutup terus tirai jendela 2005 dari dimasuki oleh unsur-unsur negatif sepanjang kita berada di tahun 2005 yang lalu. Insya-Allah

posted by Lidah Penghunus @ 5:07 PM   0 comments


Free Hit Counter