Friday, September 30, 2005

Talqin untuk demokrasi kampus

assalamualaikum.

Dah hampir dua tahun saya tinggalkan dunia kampus namun begitu politik kampus tetap dalam perhatian kerana bermula dari sanalah saya mengenal politik pilihanraya dan gerakan islam namun amatlah sedih bila melihat senario politik kampus sekarang ini tidak seperti semasa saya menjadi warga kampus dahulu yang mana pada masa itu demokrasi begitu subur walaupun sebenarnya pada masa itu sudah bermula bibit-bibit ke arah pencabulan terhadap demokrasi di kampus.

Pada tahun ini nampaknya pencabulan terhadap demokrasi ini sampai ke kemuncaknya apabila pelbagai peraturan dan syarat yang tidak masuk akal serta tindakan tidak demokratik dikenakan terhadap pelajar yang ingin bertanding terutama sekali pelajar yang mereka anggap pro-pembangkang. Antara yang ingin disebutkan di sini ialah syarat agar diadakan ujian pengucapan awam bagi mereka yang ingin bertanding. Bagi saya ianya adalah satu syarat yang tidak relevan dan lebih bertujuan untuk menyulitkan para pelajar yang ingin menjadi calon pilihanraya. Cuba kalau peraturan ini digunapakai dalam pilihanraya umum, sudah tentulah calon-calon dikalangan pembangkang terutamanya Pas lebih menyerlah daripada calon-calon dalam parti pemerintah.

Yang ke dua yang ingin saya sentuh ialah syarat agar calon mesti mendapat 2.8 ke atas. Apakah tidak terbukti lagi pencapaian akademik mereka yang bergelar mahasiswa, yang mana mereka adalah dipilih dikalangan beribu-ribu calon yang memohon untuk masuk ke universiti? Adakah mereka yang sanggup mengambil tanggungjawab untuk menjadi wakil atau pemimpin kepada mahasiswa ini tidak bertanggungjawab terhadap akademik mereka? mengapa mesti diletak syarat seolah-olah mereka itu budak sekolah?

Jadi adalah tepat sekali tindakan mahasiswa yang dianggap pro-pembangkang ini memulaukan pilihanraya kampus kerana biar pun golongan pro-aspirasi berjaya menguasai hampir kesemua kampus namun kemenangan mereka adalah kemenangan yang tidak bermaruah dan tarafnya hampir seperti mereka yang menang dengan undi hantu.

Golongan-golongan yang menyekat demokrasi kampus ini kononnya mahu universiti menjadi medan ilmu yang bersih dan bebas dari anasir-anasir politik luar terutamanya pembangkang namun begitu dalam masa yang sama mereka merelakan kemasukan budaya hedonisme, hiburan lalai yang tanpa batasan, gaya hidup pergaulan bebas tanpa batasan dan pelbagai lagi anasir-anasir luar yang ternyata selama ini menjadi punca kepada kemerosotan kepada nilai hidup golongan yang dianggap sebagai intelektual ini.

Namun begitu diharapkan kepada adik-adik mahasiswa yang telah dicop oleh puak-puak penghancur demokrasi ini sebagai pro-pembangkang ini agar tidak patah semangat kerana mungkin ini hanya kekalahan anda yang pertama kali dalam siri-siri pilihanraya kampus yang di adakan setiap tahun sedangkan kami dalam Pas telah menerima tekanan politik dan kekalahan dalam pilihanraya yang tidak terkira banyaknya. Tidak kira di peringkat kampus atau di peringkat nasional, selagi kita menjadikan islam sebagai dasar maka inilah mehnah yang terpaksa kita terima. Semoga kita terus menggenggam islam seerat-eratnya.

posted by Lidah Penghunus @ 11:19 PM   0 comments

Wednesday, September 21, 2005

Nak masuk melayu?.?.?

Assalamualaikum.

Tersentak sebentar apabila mendengar permintaan Kongres India Muslim Malaysia atau KIMMA agar golongan India muslim di Malaysia juga dimasukkan dalam komuniti melayu sedangkan soal India atau melayunya seseorang itu adalah dari keturunan dan ianya tidak boleh diubah hingga ke akhir hayat.Dari segi biologinya seseorang yang lahir dalam keturunan berdarah melayu, maka melayulah dia hingga ke akhir hayat dan dia tidak mungkin untuk menjadi kaum India mahupun orang eropah biar pun dia memakai pakaian seperti orang eropah, makan tengah harinya dengan burger ataupun dia bertutur dalam bahasa tamil dalam pertuturan sehariannya. Dalam erti kata yang lain tidak mungkin berubah warna kulit orang melayu itu dari sawo matang ke putih kemerah-merahan walaupun dia selalu bertutur dalam bahasa inggeris dan mengambil keju sebagai makanan tengah hari dan memakai kasut di dalam rumah.

Adalah tidak tepat jika seseorang itu boleh menjadi melayu dengan hanya mengamalkan adat resam dan cara hidup melayu. Sedangkan dewasa ini kita lihat orang melayu sendiri banyak yang mengamalkan cara hidup barat dalam kehidupan namun begitu tidak pula ia dianggap terkeluar dari melayu, mereka tetap dianggap sebagai orang melayu malahan mereka masih boleh mendaftar sebagai ahli Umno yang dasarnya adalah melayu. Jika dikaji dari sudut sejarah rumpun bahasa pula harapan KIMMA untuk jadi melayu adalah amat tipis kerana sudah terbukti melalui teori pohon bahawa kaitan antara rumpun kaum melayu dan kaum India adalah amat jauh sekali manakala melalui teori gelombang pula menunjukkan bahawa orang melayu berasal dari yunan yang menjadi pusat gelombang dan riak-riak gelombang ini di dapati tidak pun sampai atau melalui kawasan di India. Jika hendak mengatakan bahawa mereka sudah cukup melayu kerana memeluk atau memang beragama islam juga adalah tidak tepat kerana berbalik kepada sejarah, indialah dahulu yang menerima atau memeluk islam sebelum melayu. Jadi istilah masuk islam bererti masuk melayu adalah tidak boleh dipakai sama sekali.

Jadi sepatutnya golongan India muslim khususnya dalam KIMMA ini perlu bersyukur kerana mereka sudah pun islam, tidak perlu lagi untuk menjadi melayu. Allah akan memuliakan seseorang itu hanya dengan islam, bukannya melayu. Malahan hanya kehinaan yang akan diperolehi oleh seseorang itu jika dia mencari kemulian dengan cara yang lain dari islam. Jika dilihat realiti semasa tidak ada apa yang perlu dibanggakan dengan melayu kerana majoriti yang terlibat dengan jenayah dan gejala sosial adalah orang melayu iaitu orang melayu yang tidak mengamalkan islam. orang melayu jugalah yang menindas orang melayu iaitu dengan akta-akta yang menyekat hak asasi dan pembolotan harta kekayaan oleh kelompok kroni kapitalis melayu. Jika dilihat definisi bangsa melayu oleh perlembagaan dan UNESCO maka terbukti bahawa ianya terbatas faktor keturunan sedangkan islam terbuka kepada mana-mana bangsa hata bukan manusia yakni keturunan jin sekalipun boleh memeluk islam.

posted by Lidah Penghunus @ 1:25 AM   0 comments

Monday, September 19, 2005

Kegembiraan Zainuddin Maidin terhadap keterbukaan Pas.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini melaporkan tentang kenyataan daripada Zainuddin Maidin atau Zam yang memuji sikap Pas yang semakin terbuka apabila mursyidul am Pas sendiri menjemput Mawi untuk membuat persembahan di Kelantan. Dalam kenyataan beliau menyebut bahawa Pas yang dahulunya menentang bentuk-bentuk hiburan yang dianggap maksiat kini semakin terbuka apabila boleh menerima konsep hiburan yang telah lama di bawa oleh Barisan Nasional.

Di sini saya menyambut baiklah pujian yang diberi oleh Zam tu. Bukan senang orang BN nak puji Pas ni, namun bukanlah Pas mahukan pujian. Mereka tak kacau kita dan hormati pendirian kita, itu sudah cukup. cuma seperti juga mengampu, memuji juga perlu bijak. Pujian Zam itu menggambarkan seolah-olah Pas sudah boleh terima bentuk konsert yang terdapat unsur melalaikan, pergaulan bebas yang selalu dianjurkan oleh barisan nasional.

Sedangkan seperti yang sudah kita sedia maklum bahawa Menteri besar Kelantan menjemput Mawi bukan untuk mengadakan konsert seperti dalam Akademi Fantasia, Sure Heboh dan sebagainya. Pas tetap tidak bersetuju dengan Akademi Fantasia yang pernah disertai oleh Mawi dan oleh itu sebab itu Tok Guru cuba untuk menarik Mawi menyertai hiburan alternatif yang mengikut batas-batas syariat.

Pendirian Pas tentang hiburan dari dahulu lagi tetap tidak akan berubah iaitu hiburan itu mestilah sesuai dengan akhlak islam. Cuma memang tidak dapat dinafikan bahawa selama ini kita meminggirkan golongan artis, kita terlepas pandang bahawa masih ada ruang sebenarnya yang tidak bertentangan dengan syariat untuk Pas bersama golongan artis ini. Misalnya yang terbaru perlawanan bola sepak persahabatan antara Pemuda Pas dengan pasukan artis adalah salah satu ruang yang terbaik untuk Pas mendekati golongan artis ini.

Insya-Allah dengan keterbukaan yang diamalkan oleh Pas ini (bukan seperti yang digambarkan oleh Zam) maka kalau pun tidak mendapat undi atau sokongan, sekurang-kurangnya Pas dapat akan memecahkan perasaan fobia terhadap gerakan islam oleh golongan yang disebut oleh Partai Keadilan Sejahtera sebagai 'Ahlun nar' atau ahli neraka ini.

posted by Lidah Penghunus @ 10:24 PM   0 comments

Sunday, September 04, 2005

Kemarahan NTV7 terhadap cara anak-anak muda sambut merdeka

Assalamualaikum.

Semalam dalam rancangan edisi siasat disiarkan suasana sambutan malam menjelang 31 ogos di kalangan muda-mudi di sekitar ibu kota yang bermacam-macam ragam dan gaya. Kemarahan jelas terpancar daripada apa yang diluahkan oleh pengacara rancangan tersebut yang meluahkan rasa kesalnya dengan pe'el anak-anak muda yang sekarang ini yang kononnya bersemangat menyambut merdeka tetapi tingkahlaku mereka seakan-akan terjajah.

Di sini pihak NTV7 selaku media lupa bahawa selama ini mereka juga berperanan dalam menyuburkan budaya-budaya barat yang negatif yang menjadi ikutan oleh anak-anak muda di negara ini. Ini jelas dalam rancangan terbitan mereka yang terlalu menonjolkan hiburan yang melampau yang kebaratan dengan penonjolan gaya atau fesyen dari barat yang tidak sesuai dengan islam dan budaya timur. Dan apa yang mereka siarkan itu telah berkembang subur dan hasilnya telah mereka lihat pada sambutan-sambutan seumpama hari kemerdekaan itu.

Jadi NTV7 malahan stesyen TV yang lain harus melihat apakah peranan mereka sendiri dalam membudayakan anak-anak muda di negara ini. Stesyen Tv swasta ini harus melihat kembali berapa peratuskah rancangan TV mereka yang mendidik jiwa anak-anak muda? Apa yang saya tahu, tidak ada satu pun rancangan berbentuk agama dalam NTV7. Bagaimanakah mereka boleh bercakap tentang keruntuhan akhlak sedangkan tiadapun unsur-unsur pendidikan agama dalam rancangan terbitan mereka.

Satu lagi yang sering saya perhatikan bila menyentuh sahaja tentang keruntuhan akhlak, seringkali ibu bapalah yang akan dipersalahkan oleh stesyen Tv ni yang menyalahkan ibu bapa tidak mengambil perhatian terhadap anak-anak mereka. Sedangkan mereka lupa bahawa kerajaan juga terlibat dalam keruntuhan akhlak remaja di negara ini. Jika di rumah ibu bapa berperanan mendidik dan mengawal tingkah laku anak-anak muda ini, tetapi bila di luar rumah kerajaanlah yang berperanan sebenarnya dalam mengawal tingkah laku anak-anak muda ini dan caranya dengan menutup tempat-tempat yang boleh membawa kerosakan kepada anak-anak muda. Tetapi kerajaan kita gagal dalam usaha ini malahan kerajaan kita melalui media terus memberi ruang yang luas kepada anak-anak muda ini pada sambutan hari merdeka.

Akibatnya sambutan ulangtahun merdeka inilah juga menjadi senjata kepada musuh-musuh kita khususnya musuh-musuh islam untuk menghancurkan kemerdekaan yang sedang dikecapi oleh kita

posted by Lidah Penghunus @ 5:07 PM   0 comments


Free Hit Counter