Tuesday, May 26, 2009

Zambry Kadir Menteri Besar 'Katak'?.

Assalamualaikum.

Nizar sebenarnya 'MB Mahkamah.'
IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, gelaran "Menteri Besar Mahkamah' patut diberikan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang telah memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Perak yang sah.
Beliau berkata, oleh kerana proses mahkamah itu dimulakan oleh Mohammad Nizar, sewajarnya gelaran itu diberikan kepada bekas Menteri Besar Perak itu dan bukan dirinya.
"Jadi proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya. Tok Guru (Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum. Kosmo - 26 Mei 2009.


Nampaknya Zambry Kadir tidak baca betul-betul bahawa keputusan mahkamah yang pertama 11 Mei yang lalu menyebut bahawa pemecatan Dato' Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak adalah tidak sah kerana tidak melalui undi tidak percaya. Sekaligus mengisytiharkan Datuk Seri Nizar sebagai MB yang sah yang telah dipilih oleh rakyat pada Pilihanya Umum ke-12 yang lalu. Walau bagaimanapun mahkamah jugalah yang menaikkan kembali Zamry Kadir sebagai Menteri Besar Perak dalam erti kata yang lain mengembalikan kedudukan Zambry sebagai MB Kerajaan Haram BN Perak.

Kita telah lihat bagaimana usaha Nizar supaya Dun Perak dibubarkan agar kuasa memilih Menteri Besar diserahkan kembali kepada rakyat. Namun oleh kerana permintaan beliau itu ditolak maka ianya tidak ada jalan lain melainkan mahkamah. Tambahan lagi Pilihanraya Kecil Bukit Gantang adalah bukti bahawa Nizar adalah Menteri Besar rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 1:08 PM   5 comments

Friday, May 22, 2009

Pilihanraya Kecil Manik Urai - Alamat pening lagilah kepala Najib.

Assalamualaikum.

Pada hari jumaat yang mulia ini kita menerima dua berita yang agak mendukacitakan kita khususnya pendokong dan penyokong Pas. Yang pertamanya ialah keputusan penghakiman yang mengisytiharkan Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak sekaligus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengisytiharkan Dato' Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan yang keduanya pemergian ke Rahmatullah Adun Manik Urai, YB Ismail Yaacob.

Nampaknya dengan keputusan mahkamah rayuan ini rakyat Perak sekali lagi berada dalam keadaan yang malang apabila dipaksa berada di bawah Menteri Besar Kerajaan Haram BN Perak oleh mahkamah. Sedangkan yang paling berhak menentukan siapakah Menteri Besar yang sah adalah mereka Rakyat Perak sendiri.

Dengan pemergian YB Ismail Yaacob ke Rahmatullah ini pula bermakna kerusi Dun Manik Urai telah kosong dan Pilihanraya Kecil perlu diadakan dalam masa yang terdekat. Nampaknya pening lagilah kepala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau dan Barisan Nasional baru sahaja hendak menarik nafas lega apabila dapat 'melarikan' diri daripada Pilihanraya Kecil Dun Penanti. Kini akan datang pula Pilihanraya Kecil Dun Manik Urai untuk 'menghukum' Najib dan Barisan Nasional. Maka selepas ini kita tunggu adakah Najib dan BN akan sertai Pilihanraya Kecik Manik Urai atau tidak.

posted by Lidah Penghunus @ 9:23 PM   3 comments

Tuesday, May 19, 2009

Sah BN dijangkiti penyakit Fobia Pilihanraya.

Assalamualaikum.

Tiada calon di Penanti.
KUALA LUMPUR 18 Mei – Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak akan meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini kerana ‘ia hanyalah satu permainan politik pembangkang’.
Keputusan itu dicapai sebulat suara pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung kira-kira dua jam di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta sebahagian besar ketua parti-parti komponen BN. Utusan Malaysia - 19 Mei 2009.


Dalam kita dikejutkan dengan penyakit H1N1, Miningitis dan Leptospirosis, rupa-rupanya ada 'virus' atau penyakit baru iaitu penyakit Fobia Pilihanraya atau Electionphobia. Istimewanya penyakit ini hanya menyerang Parti Barisan Nasional sahaja. Penyakit ini disahkan apabila BN membuat keputusan untuk tidak menyertai Pilihanraya Kecil Dun Penanti baru-baru ini dan begitu takut jika Dun Perak dibubarkan. Dipercayai punca penyakit ini adalah daripada kekalahan mereka dalam 4 pilihanraya kecil yang lepas. Oleh itu rakyat dinasihatkan agar tidak bimbang kerana penyakit ini tidak akan menyerang mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 12:48 PM   3 comments

Wednesday, May 13, 2009

Rakyat Perak menangis kembali.

Assalamualaikum.

Zambry kekal MB Perak.
PUTRAJAYA 12 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Dengan keputusan itu, status quo Zambry sebagai Menteri Besar Perak kekal buat masa ini sehingga rayuannya terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) semalam diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak. Utusan Malaysia - 13 Mei 2009.


Nampaknya seperti apa yang dikhuatiri sebelum ini benar-benar terjadi. Kegembiraan hanya seketika. Dato' Seri Nizar telah diturunkan kembali daripada jawatan Menteri Besar. Bukan kerana usul undi tidak percaya tetapi kerana keputusan mahkamah yang menangguh perintah mahkamah mengisytiharkan Dato' Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Apa yang kita sedih di sini Dato' Seri Nizar adalah Menteri Besar yang sah yang dipilih oleh rakyat pada Pilihanraya Umum 12 yang lalu dan sehingga kini beliau belum lagi dicabar oleh usul undi tidak percaya di Dun Perak. Tetapi dalam menunggu proses rayuan Zamry Kadir pula yang menjadi Menteri Besar. Sedangkan Zamry Kadir dan Barisan Nasionallah yang merampas pentadbiran Negeri Perak daripada Dato' Seri Nizar dan Pakatan Rakyat secara haram.

Selepas ini kita tidak tahulah apa yang akan terjadi. Kerana selagi ianya tidak diserahkan kembali kepada Rakyat Perak melalui peti undi maka selama itulah keadaan tidak menentu dan yang menjadi mangsa adalah Rakyat Perak sendiri. Maka sama-samalah kita doa semoga Allah membuka pintu hati Sultan Perak untuk membubarkan Dun Perak agar kekusutan ini dapat dirungkai sendiri oleh Rakyat Perak.

posted by Lidah Penghunus @ 1:17 PM   1 comments

Monday, May 11, 2009

Y.A.B Dato' Seri Nizar MB yang sah - Tidak pasti sama ada mahu ketawa atau menangis.

Assalamualaikum

Alhamdulillah, keputusan mahkamah sebentar tadi telah mengisytiharkan bahawa Dato' Seri Nizar adalah Menteri Besar yang sah bagi Kerajaan Negeri Perak, sekaligus menabalkan Zamry Kadir sebagai Menteri Besar yang haram. Namun begitu dengan keputusan yang tidak disangka ini saya tidak pasti sama ada mahu ketawa atau menangis.

Kerana kalau kita perhatikan keputusan penghakiman sebentar tadi, hakim menyatakan bahawa Menteri Besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Sebagaimana yang kita maklum keputusan mahkamah ini beberapa hari selepas Speaker Dun Perak yang sah V. Sivakumar digantikan dengan Speaker daripada BN secara haram. Ini bermakna bila-bila masa sahaja BN Perak akan mengadakan undi tidak percaya terhadap Dato' Seri Nizar. Nampaknya licik sungguh perancangan jahat mereka ini.

Walau bagaimanapun dengan keputusan mahkamah ini ianya membawa makna bahawa segala keputusan Zamry Kadir yang bertindak sebagai Menteri Besar sebelum ini adalah tidak sah dan ini termasuklah tindakan melelong kenderaan rasmi kerajaan negeri. Sidang Dun pada 7 Mei yang lalu juga adalah tidak sah dan nyata sekali tindakan merampas kuasa Speaker Dewan adalah dibuat secara haram. Ini juga bermakna sidang bawah pokok yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak beberapa bulan yang lepas adalah sah.

Maka usaha mesti diteruskan oleh Dato' Seri Nizar dan rakan-rakan Pakatan Rakyat Negeri Perak dalam menyekat perancangan jahat Umno dan Barisan Nasional yang diketuai oleh Najib Tun Razak.

posted by Lidah Penghunus @ 4:31 PM   1 comments

Friday, May 08, 2009

Bukti Pakatan Rakyat Negeri Perak tidak derhaka.

Assalamualaikum.

'Bisikan' bukan tanda iktiraf.
IPOH 7 Mei - 'Bisikan' antara Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dengan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung hari ini tidak boleh dianggap sebagai pengiktirafan terhadap pakatan pembangkang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pengiktirafan pihak institusi raja terhadap kerajaan negeri yang memerintah sebenarnya adalah ke atas pihak mana yang membawa dan mempersembahkan titah ucapan kepada baginda.
''Dalam hal ini saya dari Barisan Nasional (BN) yang membawa dan mempersembahkan titah ucapan perasmian sidang DUN kepada baginda. Maka itu merupakan simbolik pengiktirafan institusi raja kepada kerajaan negeri sekarang.
''Kalau Nizar menganggap 'bisikan' itu adalah pengiktirafan maka terpulanglah kepadanya. Biarlah Nizar buat apa saja atau apa yang dia suka. Itulah perangai dia," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya sidang DUN Perak Ke-12 di sini hari ini.
Semasa keberangkatan masuk Raja Nazrin bersama Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang diketuai Nizar dan Ngeh Koo Ham berdiri di tengah-tengah Dewan dan tidak duduk di tempat masing-masing.
Nizar kemudian 'mengadu' kepada baginda kononnya, bekas Speaker, V. Sivakumar telah dibawa keluar dari Dewan tanpa mengikut peraturan.
Ekoran itu, Raja Nazrin memanggil Nizar dan Koo Ham naik menghadap baginda di tempat duduk diraja dan pada masa itulah adegan 'bisikan' itu berlaku.
Nizar bersama Koo Ham kemudian turun semula ke bawah dan meminta semua ADUN pembangkang duduk di tempat masing-masing supaya baginda dapat menjalankan upacara perasmian Dewan. Utusan Malaysia - 8 Mei 2009.


Kalau Zamry kata bisikan itu bukan tanda iktiraf maka kita juga boleh katakan bisikan itu menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat di Perak bukan penderhaka kepada sultan seperti yang didakwa oleh mereka. Tidak mungkin Raja Nazrin sanggup untuk berbisik dengan pihak yang telah menderhaka kepada Institusi Raja di Perak.

Insiden semalam tiada niat pun Dato' Seri Nizar dan Adun Pakatan Rakyat hendak menderhaka kepada sultan. Mereka cuma hendak menghalang Kerajaan Haram Umno Perak yang diketuai oleh Zamry daripada meneruskan sidang.

Di sini kita hairan mengapa Zamry beriya-iya mengulas tentang kejadian bisikan antara Raja Nazrin dengan Dato' Seri Nizar itu? Benarkah Dato' Seri Nizar ada mengatakan sedemikian? Atau sebenar Zamry takut dan tidak senang duduk tentang apa yang Raja Nazrin bisikkan kepada mereka itu?

posted by Lidah Penghunus @ 12:32 PM   1 comments


Free Hit Counter