Monday, June 30, 2008

Antara penafian Anwar dan penafian pemimpin BN.

Assalamualaikum.

Sentuh lagi isu tuduhan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim yang sedang hangat ini, sebagaimana biasa dalam isu-isu sebegini siapa pun yang didakwa tentu akan membuat penafian. Dato' Seri Anwar menafikan bahawa beliau melakukan perbuatan terkutuk itu manakala PM dan TPM menafikan bahawa kerajaan Barisan Nasional menjadi dalang dalam perancangan jahat terhadap Anwar ini.

Cumuanya apa yang kita lihat penafian di pihak Dato' Seri Anwar telah disertakan bukti kemungkinan terdapatnya campurtangan dari Putrajaya apabila dikemukakan gambar yang menunjukkan pengadu bersama-sama pegawai khas Dato' Seri Najib di Jabatan Perdana Menteri. Sedangkan penafian oleh pihak BN hanya cakap semata-mata.

Dalam menjawab pendedahan tentang gambar ini pula Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa gambar itu diambil tiga bulan yang lepas. Jelas Dato' Seri Najib individu berkenaan datang ke Jabatan Perdana Menteri untuk memohon biasiswa dan jelas Najib lagi gambar-gambar yang diambil dengan beberapa orang Menteri Kabinet adalah sifat individu itu sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.

Apa yang kita musykil berkenaan penjelasan Najib ini yang pertama mengapa perlu memohon biasiswa sampai ke Pejabat Perdana Menteri? Tambahan lagi sebelum ini kita dimaklumkan bahawa Saiful Bukhari ini telah pun diberhentikan daripada pengajian kerana keputusan semester yang terlalu teruk. Jadi apa perlu lagi memohon biasiswa? Adakah layak memohon biasiswa dengan keputusan perperiksaan yang teruk?

Jika dikira 3 bulan yang lepas iaitu kira-kira bulan April, pilihanraya telah pun berlalu dan ketika itu beliau telah pun menyertai PKR dan berkhidmat dengan Dato' Seri Anwar. Jika dilihat kepada senario politik kampus pula, kita pun maklum bahawa hampir kesemua kampus di negara ini termasuk UNITEN dikuasai oleh kumpulan pro aspirasi iaitu kumpulan yang pro kepada parti pemerintah. Maka di sini menunjukkan bahawa Saiful Bukhari ini asalnya adalah pro Umno dan kemunculan beliau dalam PKR secara tiba-tiba sudah tentulah mempunyai muslihat yang tertentu.

posted by Lidah Penghunus @ 11:10 PM   0 comments

Komen Tun berkenaan tuduhan terhadap Dato' Seri Anwar.

Assalamualaikum.

Biar kerajaan tentukan kes liwat Anwar - Dr. Mahathir.
BUKIT TINGGI 29 Jun - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, terpulang kepada kerajaan untuk menentukan sama ada benar atau tidak dakwaan bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat seorang pembantunya. Utusan Malaysia - 30 Jun 2008.

Kita hairan mengapa Tun mengatakan biar kerajaan yang menentukan sama ada Anwar bersalah atau tidak? Sedangkan kes ini yang layak menentukannya ialah mahkamah. Itu pun mahkamah yang adil bukan mahkamah yang ditunggang oleh VK Lingam atau yang sewaktu dengannya.

Jika kita sorot kembali ketika Anwar difitnah pada tahun 1998 dahulu, belum pun beliau dibawa ke mahkamah media dan pemimpin Barisan Nasional yang diketuai oleh Dr Mahathir telah pun menghukum Dato' Seri Anwar sebagai pengamal seks bebas luar tabii. Pendedahan video VK Lingam baru-baru ini telah mendedahkan segala-galanya kepada kita tentang konspirasi terancang ini.

Mungkinkah Tun ingin memberitahu bahawa kerajaan BN di bawah Pak Lah juga akan melakukan perkara yang sama terhadap kes terbaru Dato' Seri Anwar ini?

posted by Lidah Penghunus @ 6:25 PM   1 comments

Sunday, June 29, 2008

Usaha untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat.

Assalamualaikum.

Saya rasa tidak perlulah saya menyebutkan tentang isu hangat dan menggemparkan yang berlaku bermula semalam sebagai muqadimah pada penulisan kali ini. Cuma apa yang hendak saya sebut di sini, kepada mereka yang membuat fitnah adakah mereka lupa bagaimana fitnah era 1998 dahulu pelbagai kesilapan fakta telah berlaku semasa perbicaraan mahkamah yang sekaligus membuktikan segala tuduhan yang dibuat hanyalah rekaan semata-mata.

Dan adakah mereka berkenaan tidak melihat pelbagai kehinaan telah menimpa terhadap mereka yang bersubahat dalam konspirasi berbentuk fitnah yang amat dahsyat ini. Ada antara mereka itu telah pun meninggal dunia dalam keadaan yang hina dan yang masih hidup sedikit demi sedikit mereka telah merasa balasannya di dunia ini. Dan akhir sekali adakah mereka tidak mengambil peringatan daripada ayat Allah di bawah ini;

”Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu adalah orang yang fasiq”. Surah An Nur ayat 4.

posted by Lidah Penghunus @ 10:53 PM   0 comments

Tuesday, June 24, 2008

Bakal gandingan kepimpinan negara pada masa akan datang.

Assalamualaikum



Gambar yang saya ambil daripada blog seorang sahabat blogger ini begitu menarik perhatian saya untuk saya kongsikan kepada tuan-tuan pada kali ini. Sebagaimana kita tahu bahawa Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Mizan yang juga Sultan bagi Kerajaan Negeri Terengganu pernah digandingkan bersama Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas ketika beliau menjadi Menteri Besar Terengganu suatu ketika dahulu. Insya-Allah, inilah dia bakal gandingan kepimpinan negara pada masa akan datang.

posted by Lidah Penghunus @ 6:32 PM   0 comments

Monday, June 23, 2008

Apabila kerajaan BN sudah buntu.

Assalamualaikum.

Kerajaan semalam bersetuju mengeluarkan lebih banyak permit peniaga kecil dan penjaja kepada golongan berpendapatan rendah, termasuk kakitangan awam, untuk menambah pendapatan dengan berniaga di tapak pasar tani, pasar malam serta kawasan perumahan. Langkah itu, yang diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, adalah antara beberapa inisiatif tambahan bagi membantu rakyat menghadapi kesan kenaikan harga minyak. Berita Harian - 23 Jun 2008.

Bagi saya keputusan kerajaan membenarkan kakitangan kerajaan untuk melibatkan diri dalam perniagaan kecil-kecilan bertujuan untuk menampung kenaikan kos hidup menunjukkan bahawa kerajaan di bawah Pak Lah Badawi telah menemui jalan buntu hingga terpaksa membenarkan sesuatu yang ketika dahulu tidak dibenarkan. Sebenarnya dari dahulu lagi kakitangan kerajaan di negara ini sudah membuat kerja-kerja luar tanpa pengetahuan ketua jabatan mereka untuk menambahkan pendapatan. Namun pada hari ini perkara menjadi sesuatu yang mendesak sehingga kerajaan terpaksa membenarkannya.

Namun begitu keputusan mudah kerajaan ini akan mengakibatkan kakitangan kerajaan khususnya yang bekeluarga hilang masa berharga dengan keluarga mereka. Mereka kakitangan kerajaan ini sebenarnya bukannya suka sangat hendak buat kerja tambahan hingga kurang masa dengan keluarga. Tetapi mengenangkan harga minyak yang tinggi ini mereka terpaksa berbuat demikian untuk menyara keluarga. Apa boleh buat, kerajaan Barisan Nasional bawah Pak Lah yang tidak tahu menguruskan ekonomi.

posted by Lidah Penghunus @ 6:31 PM   0 comments

Thursday, June 19, 2008

Golongan artis diberikan ruang dalam media.

Assalamualaikum.

Kurang dua hari lagi pemerintahan Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Selangor akan memasuki hari yang ke-100. Sempena dengan itu hari ini kebanyakan masjid dan surau di Seluruh Selangor telah mengadakan majlis bacaan tahlil dan Surah Yasin. Ianya bertujuan untuk memohon kepada Allah agar memberikan keberkatan kepada kerajaan yang akan mencecah umur 100 hari ini. Apabila disebut tentang keberkatan ini oleh kerananya jugalah baru-baru ini Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor telah menghantar memorandum kepada Kerajaan Negeri Selangor membantah persembahan artis Mas Idayu dan Ella di negeri berkenaan. Tujuannya adalah agar negeri yang turut ditadbir oleh bersama dengan Pas ini bebas daripada unsur-unsur maksiat dan seterusnya mendapat keredhaan daripada Allah SWT.

Namun begitu sebagaimana biasa tindakan DPPNS yang diketuai oleh Ustaz Solehin Mukhyi ini telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk daripada rakan Pakatan Rakyat sendiri. Sedangkan artis yang akan membuat persembahan itu terus dibela. Dalam sebuah akhbar perdana hari ini, pada ruangan dunia hiburannya salah seorang artis yang terbabit diberi ruang yang agak luas untuk mempertahankan dirinya dan seterusnya membidas DPPNS itu tadi. Dan hujah-hujah yang diberikan oleh artis berkenaan seperti kebiasaannya sama seperti artis-artis yang lain yang berkata mengikut logik akal tanpa bersandarkan kepada ilmu agama yang sebenar.

Sedangkan bagi pihak DPPNS tidak pun diberikan ruang oleh media perdana untuk memberikan penjelasan mengapa mereka menolak persembahan artis-artis wanita ini. Sepatutnya akhbar-akhbar perdana ini haruslah memberikan ruang kepada DPPNS khususnya Ustaz Solehin untuk menerangkan berdasarkan ilmunya mengapa artis-artis wanita diharamkan untuk membuat persembahan di khalayak ramai. Namun kita amat-amat bersyukur dengan keterbukaan MB Selangor sendiri yang membawa kepada pertemuan antara DPPNS dengan Baginda Sultan Selangor yang akan diadakan dalam masa terdekat ini. Kita doakan agar pertemuan ini akan menatijahkan sesuatu yang positif kearah mencari keredhaan dalam pentadbiran Negeri Selangor.

posted by Lidah Penghunus @ 9:28 PM   0 comments

Wednesday, June 18, 2008

Undi tidak percaya terhadap Pak Lah.

Assalamualaikum.

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), jika Barisan Nasional (BN) masih berkuasa selepas 16 September ini.
Khairy berkata, beliau membuat cabaran itu kerana Anwar mendakwa kononnya BN akan kehilangan kuasa pada tarikh itu berikutan lebih 30 Ahli Parlimen BN akan melompat parti untuk menyertai Pakatan Rakyat.
"Saya mencabar Anwar meletak jawatan sebagai penasihat PKR jika BN masih berkuasa pada 17 September. Ini kerana beliau gagal menepati janjinya kepada penyokongnya," katanya dalam blog miliknya Rembau.net. Berita Harian - 18 Jun 2008.

Ketika Khairy mencabar Dato' Seri Anwar meletakkan jawatan, sebuah komponen Barisan Nasional di Sabah Parti Maju Sabah (SAPP)telah merancang untuk membuat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada persedangan Dewan Rakyat yang dijadualkan Isnin depan.

Dua Ahli Parlimen mewakili Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini mengumumkan akan menyokong usul undi tidak percaya kepada kepemimpinan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Mereka ialah Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric E Majimbun yang menang tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum, baru-baru ini. Berita Harian Edisi Mutakhir - 18 Jun 2008.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah demokrasi di negara ini apabila Perdana Menteri dicabar melalui undi tidak percaya oleh ahli parlimen BN sendiri. Dijangkakan usul ini akan mendapat sokongan daripada ramai ahli Dewan Rakyat. Di sini kita dapat mengagak antara mereka yang akan memberikan sokongan yang pertama sekali sudah tentulah wakil rakyat pembangkang daripada Pakatan Rakyat.

Jika mereka yang dalam Barisan Nasional pula selain daripada ahli parlimen daripada Sabah dan Serawak, kita menjangkakan bahawa Mukhriz Mahathir, Ku Li beserta beserta pengikut mereka akan menyokong usul tersebut. Tidak mustahil ahli parlimen daripada MCA dan MIC juga akan menyokong usul ini kerana semasa kempimpinan Pak Lah lah prestasi parti mereka merosot dalam pilihanraya kali ini. Ini belum masuk lagi mereka yang tidak menyenangi kempimpinan Pak Lah secara senyap-senyap.

Jika usul ini menjadi kenyataan dan berjaya maka akan berakhirlah karier Pak Lah dalam politik dan Khairy Jamaluddin menantu Pak Lah akan hilanglah tempat untuk menongkat langit.

posted by Lidah Penghunus @ 6:04 PM   0 comments

Monday, June 16, 2008

Kita sedia berdemonstrasi walaupun di hadapan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Assalamualaikum.

Pemuda PAS berhimpun jika konsert dangdut, rock diteruskan.
SHAH ALAM, 16 Jun (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Selangor akan mengadakan perhimpunan membantah konsert Ratu Rock, Ella dan Ratu Dangdut, Mas Idayu jika kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap memorandum bantahan yang dihantar kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mokhyi berharap Khalid segera bertindak agar tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi khususnya PAS dalam kerajaan yang baru diamanahkan oleh rakyat.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik, Nik Nazmi Nik Ahmad di tingkat 20, Pejabat Menteri Besar, di sini pagi tadi.

Menurut Sallehen, Pemuda PAS Selangor menyokong penuh pertandingan tersebut kerana sukan merupakan salah satu kegiatan hidup dan mampu menjana ekonomi negeri.
Beliau berkata, konsert itu hanya menggambarkan program gaya hidup mewah dan membazir sedangkan pada waktu yang sama rakyat berada dalam kegelisahan dan tekanan akibat kenaikan harga minyak dan barangan keperluan.
Sallehen menegaskan isu prinsip seperti menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak boleh dikompromi atau ditutup sebelah mata oleh PAS, sebuah parti yang konsisten dalam perjuangan Islam sejak 50 tahun. http://harakahdaily.net - 16 Jun 2008.

Di sini saya senada dengan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor yang menentang penganjuran konsert yang melibatkan artis seperti Mas Idayu dan Ella sempena perlawanan persahabatan antara pasukan bola sepak Selangor dan Singapura. Kerana tuntutan amal maaruf nahi mungkar tidak mengenal lawan atau rakan dalam Pakatan. Siapa yang bertindak di luar daripada Islam kita akan tegur.

Kerajaan negeri khususnya Menteri Besar harus sedar bahawa Negeri Selangor ini sudah cukup dengan tempat-tempat maksiatnya yang tumbuh pada zaman pentadbiran Barisan Nasional lagi. Jadi kita tidak mahulah gejala maksiat ini ditambah lagi oleh kerajaan yang memerintah sekarang ini. Di sini kita mungkin boleh menerima hakikat bahawa dengan pembentukan kerajaan campuran maka Pas belum boleh melaksanakan Islam iaitu menutup tempat-tempat maksiat yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu.

Namun begitu dalam hal penganjuran konsert ini kerajaan negeri boleh memilih untuk tidak menganjurkannya atau jika dianjurkan pun mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Islam. Kita percaya pemimpin DAP daripada kaum cina juga tidak suka jika generasi mereka menjadi generasi yang rosak yang akhirnya akan menghancurkan bangsa mereka sendiri.

Untuk ini juga saya sedia untuk turun berdemonstrasi seperti yang disebutkan oleh Ketua Pemuda Pas Negeri Selangor itu. Kita biasa berdemonstrasi terhadap kerajaan Barisan Nasional. Namun begitu kita juga sedia untuk berdemonstrasi terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat sendiri demi melaksanakan tuntutan amal maaruf nahi mungkar.

posted by Lidah Penghunus @ 6:38 PM   0 comments

Friday, June 13, 2008

Selamat Hari Bapa.

Assalamualaikum.






Bila naiknya harga minyak ini bukan sahaja kaum ibu, kaum bapa juga turut merasa kesan daripadanya. Mereka yang bertungkus lumus bekerja mencari rezeki untuk menyara keluarga kini bertambah tertekan dengan kenaikan harga minyak yang amat melampau ini. Memikirkan untuk menyediakan keperluan yang cukup untuk anak dan isteri dan juga memikirkan kos perbelanjaan yang makin meningkat untuk ke tempat kerja seperti makanan dan pengangkutan. Namun begitu sebagai bapa yang prihatin mereka tidak pernah mengenal rasa letih untuk terus berusaha agar isteri dan anak-anak mendapat keperluan asas yang cukup.

Pada siang tadi telah berlangsung satu perhimpunan aman anjuran Pemuda Pakatan Rakyat bagi membantah kenaikan harga minyak. Perhimpunan yang dirancang daripada Masjid Kg Baru ke KLCC ini telah bertukar haluan ke sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahmah hingga persimpangan lampu isyarat berhampiran Sogo dan berakhir di Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut. Walau bagaimanapun demonstrasi ini telah berjalan secara aman.

Walaupun penyertaan demonstrasi ini telah menepati sasaran oleh pihak penganjur namun begitu saya agak sedih apabila melihat masih ramai lagi rakyat Malaysia khususnya warga kota yang hanya mampu melihat dan menyaksikan daripada jauh tanpa mahu turut serta menyatakan bantahan mereka. Sedangkan mereka juga adalah pengguna bahan api sama ada secara langsung atau tidak langsung. Maka mereka juga turut terkesan dengan kenaikan harga minyak ini. Namun nampaknya mereka lebih suka berpeluk tubuh dan menyerahkan tugas-tuhas demonstrasi ini hanya kepada Pakatan Rakyat dan mereka yang prihatin.

Sepatutnya kenaikan yang melampau kali ini mampu untuk memanggil mereka untuk sama-sama berdemonstrasi menyatakan rasa tidak puas hati mereka. Tetapi nampaknya sebilangan mereka ini apabila diumumkan kenaikan harga minyak hanya akan merungut sesama mereka dan sebelum detik 12 malam itu mereka akan berhimpun di stesyen minyak untuk mengisi minyak murah buat kali terakhir.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   1 comments

Thursday, June 12, 2008

Perihal gaji dua kali sebulan.

Assalamualaikum.

Berkenaan cadangan untuk membayar gaji kakitangan awam dengan cara ansuran dua kali sebulan bagi saya ianya sebenarnya tidak membantu dalam mengurangkan beban rakyat khususnya penjawat awam kesan daripada kenaikan harga minyak. Kerana walaupun dua kali sebulan kadar yang dibayar oleh kerajaan itu tetap sama dan kenaikan-kenaikan yang ditanggung oleh mereka juga tetap sama, tidak berkurang.

Apabila gaji diterima secara dua bulan ansuran ini juga mungkin akan menyulitkan mereka dalam mengurus kewangan bulanan mereka iaitu dari segi pembayaran-pembayaran yang harus dibuat setiap bulan. Tambahan perlaksanaannya ini mungkin akan menambahkan lagi kos kerana kerja-kerja membayar gaji perlu dibuat dua kali sebulan berbanding sekali sebelum ini. Ini ditambah pula jika kerajaan bercadang untuk mengeluarkan slip pembayaran gaji setiap kali pembayaran dibuat.

Maka akan bertambah-tambahlah kos pengurusan dan seterusnya matlamat untuk mengurangkan kos tidak akan tercapai. Jadi kita minta agar kerajaan kaji balik perlaksanaan ini. Jika benar-benar kerajaan ingin bantu rakyat adalah lebih baik diturunkan sahaja harga minyak seperti sediakala.

posted by Lidah Penghunus @ 10:54 PM   0 comments

Wednesday, June 11, 2008

Ketua pembangkang yang tidak reti untuk jadi pembangkang.

Assalamualaikum.

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo meminta penduduk di negeri ini tidak menjelaskan bil air sebanyak 20 meter padu pertama bersamaan RM11.40 sebaik menerima bil berkenaan akhir bulan ini.
"Sebagai Ketua Pembangkang yang dilantik kerajaan negeri, saya bertanggungjawab memastikan rakyat Selangor termasuk pendokong Pakatan Rakyat, mendapat hak mereka. Jangan rasa bersalah menuntut hak kita walaupun kita menjadi pendokong mereka.
"Malah, saya mengajak rakyat Selangor mengambil tindakan mendesak kerajaan negeri mengotakan semua janjinya. Walau apa pun alasan yang diberikan, janji memberi 20 meter padu air percuma mesti dilaksanakan," katanya. Beliau juga meminta penduduk tidak menjelaskan cukai pintu bagi tempoh penggal kedua tahun ini jika kerajaan negeri gagal menurunkan kadar cukai itu sebanyak 20 peratus seperti dijanjikan dalam manifesto.
Kalau kerajaan negeri hendak sita rumah penduduk yang tidak menjelaskan cukai pintu, sitalah beratus ribu rumah, kita mahu lihat sejauh mana mereka mampu bertindak," Berita Harian - 11 Jun 2008.

Inilah dia Khir Toyo yang sebelum ini begitu selesa di kerusi Menteri Besar untuk bertahun lamanya. Apabila BN Selangor menerima kejutan dalam pilihanraya dan menjadi pembangkang, Khir Toyo yang kini bertindak sebagai Ketua Pembangkang Negeri Selangor ternyata tidak layak untuk menjadi pembangkang yang konstruktif di negeri ini.
Lihatlah cadangan-cadangan daripada Ketua Pembangkang Dun Selangor di atas ini. Adakah ianya mencerminkan Khir Toyo seorang ketua pembangkang yang baik? Beliau cuba mengajar rakyat bertindak untuk menyulitkan lagi pentadbiran Kerajaan Negeri.

Sedangkan kerajaan negeri hanya tidak dapat menunaikan jani untuk menurunkan kadar beberapa bayaran yang dikenakan kepada rakyat buat masa ini, bukannya kerajaan negeri menaikkan bayaran-bayaran tersebut. Berkenaan janji air 20 meter padu percuma itu ianya tidak dapat ditunaikan bukan kerana kesalahan kerajaan negeri sepenuhnya tetapi ianya juga kerana pihak swasta yang berkaitan pengurusan bekalan air yang sukar memberikan kerjasama mereka kepada kerajaan negeri. Jadi adalah tidak patut kerajaan negeri dikenakan tekanan yang sebegini. Kalau hendak disebut tentang cukai taksiran, semasa pentadbiran Barisan Nasional di negeri ini ianya pernah dinaikkan. Tetapi pembangkang ketika itu tidaklah sampai mengajak rakyat untuk bertindak sedemikian.

Bagi saya cadangan-cadangannya Khir Toyo ini lebih kepada sifat dendam beliau kepada Kerajaan Pakatan Rakyat yang mengambil alih pemerintahan Negeri Selangor daripada BN. Beliau kononnya bersuara mewakili rakyat Selangor yang kononnya tertindas dan tertipu tetapi beliau lupa semasa BN berkuasa dahulu beliaulah yang paling banyak menindas dan menipu rakyat Selangor.

posted by Lidah Penghunus @ 5:57 PM   0 comments

Tuesday, June 10, 2008

Isu rumah ibadat bukan Islam.

Assalamualaikum.

Rakyat Selangor dapat 'hadiah' lagi.
KIRA-KIRA 10 tahun lalu, penduduk di sebuah taman perumahan yang majoritinya beragama Islam di Shah Alam, gempar apabila tersebar berita sebuah gereja yang terbesar di Asia Tenggara, bakal dibina berhampiran di kawasan mereka.
Ekoran itu, penduduk dan jawatankuasa masjid berhampiran menubuhkan jawatankuasa bertindak membantah cadangan pembinaan gereja itu dengan menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa termasuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Malah, jawatankuasa berkenaan turut menganjurkan forum yang mana salah seorang daripada ahli panel ialah peguam, Mohamed Hanipa Maidin, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, yang menjelaskan secara panjang lebar mengenai kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan.
Setelah isu itu senyap, tiba-tiba rakyat negara ini dikejutkan dengan kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin bukan Islam daripada pelbagai kaum, Jumaat lalu.
Tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam, Dr. Xavier memaklumkan cadangan kerajaan negeri menghapuskan peraturan keluasan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh melebihi 10,000 kaki persegi atas alasan larangan terhadap saiz, panjang dan ketinggian itu tidak lagi sesuai.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad sambil mempertahankan cadangan itu berpendapat, walaupun tidak ada had dari segi saiz, namun pembinaan rumah ibadat bukan Islam tetap tertakluk kepada peraturan dengan mengambil kira sensitiviti penduduk setempat.
Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Pandan itu melihat cadangan berkenaan mampu mengawal bilangan rumah ibadat bukan Islam yang dibina secara haram.
Beliau memberikan contoh di sebuah penempatan setinggan di Selayang yang mempunyai sehingga 20 buah kuil Hindu.
"Mungkin keperluan penduduk kawasan itu tidak mencukupi, jika dibina sebuah kuil yang besar, ia sudah memadai dan tidak akan ada lagi kuil-kuil pada jarak hanya beberapa ratus meter sahaja antara satu sama lain.
"Oleh itu saya melihat cadangan ini tidak menimbulkan masalah kerana pembinaannya tetap tertakluk kepada syarat dan hanya sesuai di penempatan majoriti bukan Islam, bukan boleh dibina dengan sewenang-wenang sahaja.
"Hak orang bukan Islam pun perlu dijaga, itu hak mereka dengan syarat mereka tidak menjejaskan atau mengancam hak orang lain. Boleh besar tetapi kena tengok tempat, jika menyebabkan sensitiviti umat Islam, ia tidak seharusnya dibina," Utusan Malaysia - 10 Jun 2008.


Bagi saya langkah kerajaan negeri ini sama seperti isu ladang babi moden di Sepang. Rumah ibadat yang besar dibina untuk memastikan tiada lagi rumah-rumah ibadat kecil-kecilan yang dibina secara haram di merata-rata tempat. Penganut bukan Islam ini dibenarkan membina rumah ibadat mereka dengan keluasan mengikut keperluan setempat. Namun mereka tidak dibenarkan lagi membina rumah ibadat secara haram dan mereka juga tidak boleh marah jika rumah ibadat yang dibina secara haram itu dirobohkan.

Tambahan lagi seperti kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad perlaksanaannya sudah tentulah akan dibuat dengan mengambil kira sensitiviti penganut agama Islam di negeri ini. Di sini perlu kita tahu bahawa selama ini kerisauan Pas ialah tentang gejala murtad iaitu cubaan penganut bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Sedangkan Islam membenarkan orang bukan Islam mengamalkan agama dan cara hidup mereka. Kita sudah lihat di Kelantan yang ditadbir oleh Pas sepenuhnya terdapat sebuah patung Budha yang besar. walau bagaimanapun Pas tidak akan sekali-kali membenarkan orang bukan Islam menyebarluaskan agama mereka kepada orang Islam.

Di Selangor, penduduk beragama Hindu berjumlah kira-kira 700,000 orang tetapi mempunyai lebih 1,000 kuil sedangkan hanya terdapat 380 masjid di seluruh negeri dengan jumlah penduduk beragama Islam seramai empat juta orang. Utusan Malaysia - 10 Jun 2008.

Nampaknya ianya sama seperti isu babi itu tadi. Angka yang dipaparkan itu wujud sejak Barisan Nasional memerintah Selangor lagi, namun mereka seolah-olah mahu meletakkan kesalahan itu kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang belum lagi cukup 100 hari memerintah.

posted by Lidah Penghunus @ 6:23 PM   1 comments

Friday, June 06, 2008

Kasihan Petronas!

Assalamualaikum.

Kos Petronas meningkat lebih 200%, tidak ramai peduli – Hassan.
KUALA LUMPUR 5 Jun – Petronas, syarikat minyak terkemuka negara, sedang berdepan dengan masalah peningkatan kos carigali minyak yang melambung tinggi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, sejak tiga tahun lalu, kos Petronas meningkat lebih 200 peratus tetapi tidak ramai orang peduli kerana mereka lebih tertumpu kepada isu kenaikan harga minyak. Utusan Malaysia - 6 Jun 2008.


Nampaknya kerajaan melalui CEO Petronas cuba mencari simpati rakyat dengan menyatakan peningkatan kos Petronas sebanyak 200%. Kononnya mereka menganggap rakyat tidak peduli tentang nasib syarikat petroleum nasional itu. Di sini kita mahu tanya, adakah itu bermakna Petronas telah mencatatkan kerugian? Malahan syarikat petroleum itu meraihkan keuntungan selepas cukai puluhan bilion. Tambah pula dengan kenaikan harga minyak pasaran dunia maka akan melonjaklah keuntungan Petronas pada tahun ini.

Kita juga hendak bertanya kepada Tan Sri Mohd Hassan Marican adakah dengan peningkatan kos Petronas ini mengakibatkan elaun dan gaji kamu yang mencecah puluhan ribu dikurangkan? Semalam saya telah menyebut pendedahan tentang pembiayaan Petronas kepada Malaysian Philharmonic Orchestra sebanyak 3.5 juta sebulan. Jumlah ini jika dikira setahun berjumlah 42 juta. Itu belum disebut lagi tentang bayaran untuk konduktor orkestra dan pemain muzik. Maka apa pula komen CEO Petronas tentang pembiayaan ini?

posted by Lidah Penghunus @ 5:56 PM   2 comments

Thursday, June 05, 2008

Mana dia suara pembela Melayu?

Assalamualaikum.

Di kala rakyat dihimpit dengan kenaikan harga minyak yang luar biasa ini, mana dia kumpulan-kumpulan yang lantang menyebut tentang ketuanan Melayu, survival orang Melayu, dasar Ekonomi Baru? Mana dia mereka yang lantang mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat yang kononnya mengancam ketuanan orang Melayu?

Kenaikan harga minyak serta penarikan subsidi ini juga turut memberikan kesan kepada kehidupan orang Melayu dan sudah tentulah ianya akan meningkatkan lagi kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Melayu. Mengapa mereka ini tidak bising kepada kerajaan Barisan Nasional? Adakah mereka hanya bising kepada kerajaan Pakatan Rakyat sahaja dan membisu apabila ianya dilakukan oleh Barisan Nasional?

Di sini saya percaya bahawa akan ada siri-siri demonstrasi bagi membantah kenaikan harga minyak yang membebankan rakyat ini. Maka kita jemputlah kumpulan-kumpulan yang lantang membela nasib bangsa Melayu ini untuk turun berdemonstrasi membantah tindakan yang menindas rakyat termasuk kaum Melayu ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:56 PM   1 comments

Rakyat tertipu lagi.

Assalamualaikum.

Dulu ketika kerajaan bercadang untuk hanya memberikan subsidi kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak kepada golongan yang berpendapatan tinggi kita menyambut baik cadangan tersebut kerana kita fikir mekanisme pemberian subsidi adalah sama dan cumanya ianya untuk golongan sasaran sahaja. Namun begitu nampaknya rakyat tertipu apabila kerajaan secara tergesa-gesa menarik subsidi yang sebelum ini dan subsidi yang kononnya diberikan kerajaan itu hanyalah pemberian dalam bentuk tunai yang diberikan secara tetap kepada pemilik kenderaan pada kapasiti yang tertentu.

Bayangkan kerajaan hanya memberi subsidi tunai sebanyak RM150 setahun untuk motorsikal bawah 250cc dan RM625 setahun untuk kereta bawah 2000cc. Subsidi untuk motorsikal RM150 itu jika dibahagikan kepada 12 bulan maka pengguna hanya mendapat subsidi RM12.50 sebulan maka manakala untuk kereta mereka hanya mendapat lebih 52 ringgit sebulan. Adakah kerajaan tidak fikir bahawa jumlah kilometer perjalanan setiap individu adalah berbeza. Jika seseorang pengguna itu antara rumah dan tempat kerja mereka dekat mungkin jumlah yang diberikan itu mencukupi, tetapi bagaimana mereka yang terpaksa berulang-alik jauh untuk ke tempat kerja?

Satu lagi adakah dengan hanya menetapkan pemberian subsidi mengikut kapasiti enjin kerajaan pasti bahawa golongan yang berpendapatan tinggi tidak akan dapat menikmati subsidi yang hanya diperuntukkan kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah? Mereka yang mampu untuk memiliki kenderaan berkapasiti lebih 2000cc ini sudah tentulah mampu untuk memiliki kenderaan yang kurang daripada 2000cc dan seterusnya membolehkan mereka menikmati subsidi yang tidak sepatutnya dinikmati oleh mereka.

Jadi di sini kita minta agar kerajaan kaji balik keputusan mereka yang banyak merugikan rakyat ini. Suatu mekanisma yang lebih baik haruslah difikirkan oleh mereka yang kononnya tahu memerintah ini. Kerajaan selalu mengatakan bahawa harga petrol di negara ini masih lagi rendah berbanding negara jiran yang lain. Sedangkan Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan dengan kenaikan harga minyak dunia bermakna bertambahlah keuntungan Petronas. Maka daripada Petronas membiayai Malaysian Philharmonic Orchestra yang tidak memberikan manfaat kepada rakyat sebanyak 3.5 juta sebulan, adalah lebih baik wang itu digunakan untuk mengurangkan beban pengguna bahan bakar di negara ini.

posted by Lidah Penghunus @ 5:51 PM   1 comments

Sunday, June 01, 2008

Air percuma untuk 20 meter padu pertama. Jangan pula kualiti air juga diturunkan.

Assalamualaikum.

Hari ini 1 Jun telah pun bermula perlaksanaan 20 meter padu air percuma untuk rakyat Selangor sebagai memenuhi manifesto Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum yang lalu. Di sini kita amat berterima kasihlah dengan pemberian 20 meter padu air percuma ini kerana manfaatnya adalah untuk semua golongan. Cumanya apa yang kita harapkan di sini biarlah kualiti air di negeri ini juga kekal. Janganlah kerana rakyat di negeri ini tidak membayar untuk 20 meter padu pertama maka kualiti air yang dibekalkan semakin menurun. Rakyat Selangor bukan tiada pengalaman dibekalkan air berbau busuk semasa era Barisan Nasional dahulu. Jadi kita tidak mahu perkara ini berulang.

posted by Lidah Penghunus @ 6:30 PM   2 comments


Free Hit Counter