Saturday, April 29, 2006

Selamat hari pekerja.

Assalamualaikum.

Pada 1 Mei ini kita akan menyambut hari pekerja bagi menghargai jasa golongan yang berperanan dalam menggerakkan kitaran ekonomi negara ini. Pada ketika ini golongan pekerja berhadapan dengan ujian dan cabaran yang amat besar, berhadapan dengan kenaikan harga petrol dan seterusnya kenaikan dalam harga barangan dan perkhidmatan yang lain namun begitu tahap pendapatan masih tidak setara dengan kenaikan kos hidup. Oleh itu tidak hairanlah jika golongan inilah yang paling vokal dalam menyuarakan bantahan terhadap kenaikan harga minyak baru-baru ini kerana merekalah sebenar-benarnya golongan yang tertindas akibat daripada keputusan yang tidak menguntungkan rakyat ini.

Namun begitu kita jangan lupa bahawa golongan yang menyumbangkan titik peluh dan tenaga mereka dalam kerja-kerja sukarelawan, kerja-kerja jemaah juga haruslah turut dihargai sempena hari pekerja ini. Walaupun kategori pekerja sosial ini tidak termasuk dalam teori ekonomi namun mereka yang terdiri daripada NGO dan gerakan islam ini adalah golongan yang komited bekerja tanpa minta dibayar upah dalam menyumbangkan bakti mereka kepada masyarakat. Golongan ini jugalah yang selama ini gigih dalam memperjuangkan nasib pekerja kerana mereka juga adalah golongan pekerja dan buruh yang menjadi penyumbang dalam pembangunan ekonomi negara.

posted by Lidah Penghunus @ 4:37 PM   5 comments

Tuesday, April 18, 2006

Bertindak hanya apabila sudah kritikal.

Assalamualaikum.

Merujuk kepada akhbar hari ini yang melaporkan tentang draf perincian kelakuan lucah yang menyebut bahawa PBT hanya boleh mengambil tindakan hanya jika pasangan tersebut berbogel dan membuka pakaian serta menjurus kepada perlakuan seksual, menggambarkan kepada kita sikap kerajaan selama ini yang selalunya akan bertindak apabila keadaan itu hanya benar-benar mendesak, tenat dan kritikal. Banyak contoh lain yang dapat kita lihat terutamanya yang menyentuh soal keselamatan awam, misalnya isu MRR2, bila didapati benar-benar hendak runtuh barulah hendak ditutup kepada kenderaan awam. Sama juga dengan kes jejantas, bila sudah ada dua tiga kes kemalangan maut barulah terkial-kial hendak membina jejantas.

Menyentuh soal hiburan pula, baru-baru ini telah ada garis panduan lengkap tentang hiburan alternatif yang telah dikeluarkan oleh JAKIM. Namun rupa-rupanya ianya tidaklah jauh bezanya dengan draf perincian kelakuan lucah yang telah disebut tadi yang mana garis panduan tersebut hanyalah bertujuan untuk menyekat unsur-unsur hiburan yang pada mereka benar-benar keterlaluan seperti black metal, punk dan pelbagai lagi unsur-unsur muzik yang datang dari barat. Sedangkan hiburan-hiburan tempatan yang jelas bertentangan dengan islam seperti Mak Yong, persembahan yang menonjolkan wanita sebagai penyanyi dan Konsert Malam Indonesia, masih boleh lagi diterima oleh mereka kerana pada anggapan mereka ianya masih belum ditahap hiburan melampau yang bertentangan dengan budaya ketimuran.

Jadi sudah jelas di sini sikap kerajaan yang menonjolkan slogan Islam Hadhari yang masih boleh berlebih kurang dalam melaksanakan hukum islam. Sedangkan dalam islam sudah jelas kaedah sad al dhara'i iaitu menutup perkara yang membawa kepada kerosakan. Misalnya dalam usaha untuk mengelakkan kelakuan zina maka pintu-pintu yang boleh membawa kepada perlakuan zina seperti bercouple, berdua-duaan, berpegangan tangan mestilah terlebih dahulu dibenteras. Samalah juga dalam usaha untuk memerangi muzik black metal maka unsur-unsur hiburan yang melalaikan dan bercanggah dengan islam itu mestilah disekat terlebih dahulu.

posted by Lidah Penghunus @ 11:36 PM   0 comments

Friday, April 14, 2006

Sudah keluar dari kerajaan baru nak iktiraf pembangkang.

Akhirnya Dr Mahathir dalam akhbar hari ini mengakui peri pentingnya peranan pihak pembangkang dalam sistem demokrasi yang menjadi pemeriksa kepada kerajaan atas tindak-tanduk mereka. Menurut beliau lagi, pembangkang boleh menjadi cermin kepada kerajaan bagi menilai sama ada tindakan kerajaan itu memberi manfaat atau keburukan kepada rakyat dan negara. Malahan bekas perdana menteri yang keempat ini lebih suka jika lagi banyak pembangkang kerana ia dapat memberi kesan yang lebih baik kepada kerajaan bagi menilai keputusan dan tindakan yang dibuat. Kita menyambut baiklah kenyataan Tun Dr Mahathir ni yang dilihat satu pengiktiraf kepada pihak pembangkang yang selama ini berusaha menjadi penyemak dan pengimbang kepada pihak parti kerajaan yang memerintah. Namun begitu alangkah baiknya andaikata pengakuan Tun Dr Mahathir ini dibuat semasa beliau masih berada dalam pentadbiran kerajaan dahulu yang bertindak sebagai perdana menteri.

Dan kita amat-amat mengharapkan dan menyambut baik jika kenyataan ini datangnya dari Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri yang sekarang ini memegang jawatan sebagai perdana menteri kerana sekarang ini pentadbiran bawah beliaulah yang dalam 'pengawasan' pihak pembangkang agar setiap tindakan dan keputusan menguntungkan rakyat keseluruhan. Namun ironisnya kerajaan di bawah Pak Lah seperti juga kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri sebelumnya masih belum lagi mahu mengakui peranan parti pembangkang sebagai pihak yang akan membantu dalam pembaikan dalam pentadbiran mereka.

Mereka hanya menganggap pihak pembangkang sebagai pengacau, sebagai pihak yang sering mengganggu dalam pentadbiran mereka. Suara dan kritikan dari pihak pembangkang dianggap sebagai tuduhan dan fitnah yang bertujuan untuk kepentingan politik pihak pembangkang itu sendiri. Paling jelas apabila kerajaan Pak Lah menyifatkan kritikan terhadap RMk9 sebagai tindakan yang tidak berfaedah oleh pihak pembangkang yang mereka anggap hanya tahu mengkritik tanpa mahu menyumbang dalam pembangunan negara. Seboleh-bolehnya mereka mahu mencapai matlamat pembangkang sifar dalam pentadbiran mereka. Jika benarlah pembangkang ini matlamat utama mereka adalah kemenangan dan kuasa politik semata-mata, tidak perlulah mereka susah payah menegur dan mengkritik apa yang tidak betul yang kerajaan lakukan, lebih baik mereka biarkan sahaja kepincangan tersebut dilakukan hingga ianya mendatangkan kesan yang buruk kepada rakyat dan ianya akan dijadikan modal kempen bila tibanya pilihanraya.

Namun matlamat parti pembangkang bukan begitu, mereka menjadi pembangkang adalah untuk memastikan kepentingan rakyat terbela dan oleh kerana itulah mereka akan menyambut baik setiap perubahan yang dilakukan oleh kerajaan yang mendatangkan keuntungan kepada rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 5:48 PM   0 comments

Monday, April 10, 2006

Maulidur rasul

Assalamualaikum.

Esok adalah ulang tahun kelahiran nabi junjungan kita Muhammad SAW, hari yang bersejarah bagi umat islam yang kebaikannya boleh dirasakan oleh umat islam hingga pada hari ini. Pada kebiasaan sambutan rasmi Maulidur rasul ini akan perarakan yang membawa sepanduk dan kain rentang sambil berselawat ke atas Nabi SAW. Namun begitu akhirnya perarakan tinggal perarakan, sepanduk tinggal sepanduk, perayaan Maulidur Rasul hanya sekadar mengisi kelender aktiviti tahunan sahaja tanpa mahu menghayati dan melaksanakan apa yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah SAW hinggakah apabila Nabi dihina pun mereka masih boleh berdiam diri.

Jadi lagi baiklah perarakan besar-besaran menuju ke kedutaan Denmark bagi membantah karikatur menghina Nabi Muhammad SAW pada bulan lepas kerana perarakan atau demonstrasi itu adalah tanda cinta kita kepada Rasulullah SAW, sebagai bantahan kita terhadap negara yang bertanggungjawab menghina Rasulullah SAW. Perarakan pada esok hari hanyalah sebagai menyambut ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW dan baginda telah pun lama meninggalkan kita sebagai umatnya, namun kini Baginda telah dihina bukan sahaja oleh orang bukan islam, malahan oleh orang yang mengaku islam. Jadi sudah kewajipan kita sebagai umat islam untuk menentang segala bentuk penghinaan ini dengan pelbagai cara.

posted by Lidah Penghunus @ 11:29 PM   0 comments

Bertamadunnya Rais Yatim

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini Rais Yatim menyifatkan kerajaan Pas Kelantan sebagai tidak bertamadun atas sebab kerajaan negeri tersebut mengharamkan terus persembahan Mak Yong serta beberapa persembahan kebudayaan yang lain yang menjadi warisan negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Adalah suatu yang aneh apabila tindakan mengharamkan seni warisan kuno yang bertentangan dengan islam, yang banyaknya hanyalah menceritakan kisah-kisah dongeng yang penuh khayalan, yang membawa kepada khurafat dikatakan sebagai tindakan tidak bertamadun.

Sedangkan apa yang kerajaan negeri lakukan selama ini bertujuan untuk membangun negeri berdasarkan ketamadunan islam. Pas yang menjadi peneraju negeri hanya mengharamkan seni-seni yang jelas bertentangan dengan islam sedangkan banyak lagi seni budaya melayu yang masih subur di Kelantan misalnya Dikir Barat. Tentang kenyataan Rais Bahawa banyak lagi kaedah lain boleh digunakan, bukan membunuh terus seni tersebut, mengapa dahulu bila Kerajaan Pas Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah, kerajaan pusat terus menolaknya tanpa mahu bersama-sama memperbaiki jika ada kelemahan yang mereka maksudkan, malahan hingga diugut dengan undang-undang darurat.

Kalau pun unsur-unsur khurafat dibuang pada skrip Mak Yong itu, namun ianya masih lagi bertentangan dengan islam kerana menampilkan wanita sebagai penari. Jika ditukar kepada penari lelaki maka bukan Mak Yonglah lagi namanya, mungkin namanya bertukar kepada Pak Yong. Jadi di sini jelas bahawa Rais Yatim lebih mementingkan budaya Melayu lebih daripada syariat islam itu sendiri, islam tamadun itu lebih dititikberat daripada tamadun yang berasaskan islam. Maka tidak hairanlah isteri menteri berkemban pun masih boleh diterima asalkan ianya bertujuan untuk menyuburkan kesenian melayu.

posted by Lidah Penghunus @ 5:50 PM   0 comments

Sunday, April 09, 2006

Santaitenment (dengan izin)

Assalamualaikum.

Yang pertamanya saya ingin sentuh tentang tajuk blog pada kali ini iaitu 'Santaitenment.' Memang tidak boleh dinafikan bahawa penggunaan bahasanya adalah rancu, tidak gramatis dan hanya layak digunakan oleh kutu jalanan sahaja. Oleh sebab itulah saya 'lapikkan' dengan frasa 'dengan izin' meminta keizinan untuk saya gunakan perkataan untuk penulisan ini sahaja. Inilah kali pertama dan kali terakhir saya gunakan perkataan ini dan sayalah orang yang pertama dan terakhir gunakan perkataan ini. Selepas ini jangan pula ada mana-mana stesyen TV tidak kiralah yang realiti atau pun maya gunakan perkataan santaitenment ini sebagai slogan.

Yang kedua tentang teguran Rais Yatim terhadap seorang model Indonesia yang menjadi penghias muka depan majalah Playboy versi Indon. Kenyataan dalam berita semalam, beliau menolak mana-mana media dari luar yang memaparkan gambar berunsur lucah. Nampaknya Menteri yang baru sahaja melancarkan sebuah konsert haram di Kelantan ini, tidak nampak bahawa gambar-gambar dan bahan-bahan yang berunsur lucah ini sudah pun lama bertapak di lembaran akhbar dan majalan di negara ini. Akhbar Harakah yang terbaru memetik aduan seorang pembaca yang begitu risau tentang gambar-gambar yang dipaparkan dalam sebuah akhbar berbahasa inggeris hinggakan akhbar tersebut layak disebut sebagai akhbar porno.

Yang ketiga, akhbar hari ini memetik kenyataan Dato' Seri Annuar Musa yang menuduh Pas tidak sanggup tanggung risiko apabila enggan membubarkan Dun Kelantan. Kerajaan Umno dan BN lagi takut tanggung risiko apabila mereka mengongkong kebebasan media, mewujudkan akta-akta drakonian, menyekat ceramah umum, mengawal aktiviti masjid dan surau, menghalang demonstrasi aman dan pelbagai lagi kerana jika mereka tidak berbuat demikian maka risiko untuk mereka kalah dalam pilihanraya adalah cerah.

Dan yang terakhir masih lagi akhbar pada hari yang sama iaitu tentang kenyataan Tun Dr Mahathir yang mahu orang melayu mengurangkan kegiatan berhibur jika ingin terus maju. Sebelum itu Tun Dr Mahathir harus mengingatkan dahulu kerajaan Pak Lah agar mengurangkan rancangan-rancangan hiburan dalam TV dan Radio, konsert-konsert yang melalaikan, menutup pusat-pusat hiburan yang ternyata merosakkan. Bagaimana mungkin rakyat diminta kurangkan hiburan sedangkan kerajaan sendiri yang menganjurkan hiburan tidak cukup dengan itu, hiburan haram iaitu Mak Yong pula dianjurkan. Mak Yong itu sendiri diharamkan dalam islam kerana bertentangan dengan syariat, jadi dua kali haram apabila ianya diharamkan oleh Enakmen Negeri Kelantan. Jadi memang Umnolah yang sebenarnya tidak menghormati

posted by Lidah Penghunus @ 11:18 PM   0 comments

Friday, April 07, 2006

Kritik RMK9 untuk kebaikan.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini memetik kenyataan Perdana Menteri yang membidas segelintir pihak yang mengkritik Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) Dalam kenyataan tersebut PM menyatakan golongan-golongan ini sebagai pihak yang hanya suka mengkritik dan mencari kelemahan RMK9 tanpa mahu menyumbang kearahnya.

Seolah-olahnya bahawa RMK9 yang dirangka oleh kerajaan ini sudah terlalu sempurna, tiada cacat celanya hingga ianya diharamkan untuk dikritik, untuk dipertikaikan. Persoalannya adakah salah untuk kita mengkritik, menegur dengan sifat yang membina untuk memperbaiki kelemahan sesuatu perancangan? Sedangkan tujuan kritikan itu adalah agar RMK9 itu bukan sahaja dapat mencapai matlamat pembangunan negara, malahan agar ianya memberi keuntungan kepada keseluruhan rakyat. Lagipun pihak yang mengkritik memiliki kepakaran dalam bidang-bidang masing-masing maka sudah tentulah mereka mengkritik berdasarkan ilmu dan fakta.

Dalam rancangan jangka panjang yang lepas-lepas kita telah saksikan beberapa kelemahan yang timbul, jadi kita tidak mahu kelemahan ini diulangi dalam RMK9. Tambah merisaukan kita ialah apabila golongan yang korup dan yang tidak amanah masih dikekalkan dalam kabinet negara yang akan melaksanakan apa yang telah dirangka ini. Kerana golongan-golongan inilah yang selama ini menggagalkan sesuatu perancangan. Memang tidak dinafikan beberapa perkara dalam RMK9 itu adalah baik, namun begitu secantik mana pun ianya dirangka adalah tidak guna jika bila hendak dilaksanakan ianya terkandas di tangan-tangan yang korup.

Jadi dalam hal ini sepatutnya PM harus berfikiran terbuka dalam menerima segala bentuk teguran dan kritikan agar segala yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan sempurna.

posted by Lidah Penghunus @ 6:08 PM   0 comments

Wednesday, April 05, 2006

Akhirnya Thaksin berundur.

Assalamualaikum.

Setelah beberapa bulan mengadakan demonstrasi, kini kumpulan protes anti Thaksin telah merayakan kejayaan mereka setelah berundurnya Thaksin Shinawatra sebagai Perdana Menteri ekoran kegagalan partinya meraih undi yang besar iaitu hanya 57 peratus serta pemboikotan pilihanraya oleh parti pembangkang. Saya kira keputusan Thaksin ini adalah satu tindakan yang bijak yang memang sepatutnyalah sebagai seorang yang tahu tentang kesalahannya yang sedar bahawa rakyat mula menolaknya maka dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab dari ketelanjuran yang dilakukan.

Walaupun kita sudah sedia maklum tentang apa yang telah Thaksin lakukan terutamanya terhadap umat islam selatan Thailand namun dari satu sudut pemimpin-pemimpin yang lain haruslah mencontohi sikap keterbukaan bekas pemimpin Thailand itu dalam menghadapi kemarahan rakyat. Antara yang dapat kita lihat di sini ialah kesediaan Thaksin mengadakan pilihanraya setelah didesak dengan bantahan awam dan kesediaan beliau berundur dari kepemimpinan Thailand setelah parti yang diterajuinya gagal mendapat majoriti yang besar pada pilihanraya kali ini.

Ini berbeza dengan pemimpin di beberapa negara khususnya negara Asean yang masih lagi tidak mahu akur dengan siri-siri demonstrasi yang dianjurkan, sebaliknya para pendemonstrasi pula yang dikasari oleh pasukan keselamatan yang diperalatkan oleh mereka. Mereka masih lagi menganggap bahawa mereka dipilih oleh rakyat melalui saluran demokrasi, sedangkan demokrasi itu sendiri telah dicabuli pemimpin yang korup ini. Tindakan boikot pilihanraya oleh pembangkang tidak sedikit pun memberi kesan kepada mereka kerana golongan ini sanggup berbuat apa sahaja asalkan mereka terus kekal berkuasa.

Mungkin akan ada pihak yang akan menggunakan isu ini untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan di bawah Pas yang sekarang ini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi sahaja kerana sebelum ini kerajaan di bawah pimpinan ulama' itu telah beberapa kali didesak agar membubarkan Dun kerana gagal mendapat majoriti yang besar. Namun begitu mereka harus ingat bahawa kemerosotan undi oleh pembangkang khususnya Pas adalah kerana wujudnya amalan demokrasi yang tidak tuntas, budaya ugutan dan sogokan terhadap pengundi, penguasaan media massa dan instrumen kerajaan serta penggunaan pengundi hantu dalam setiap pilihanraya yang dijalankan. Akibat keterbatasan ini maka Pas amat sukar untuk berhadapan dengan Umno dan BN yang menguasai segala-galanya. Perbicaraan terhadap petisyen pilihanraya N12-Pengkalan Pasir yang sedang berjalan sekarang ini telah banyak memberi pendedahan kepada kita tentang penyelewengan yang berlaku dalam pilihanraya.

Oleh kerana sikap pemimpin Umno yang tidak demokratik ini maka adalah amat sukar untuk kita mengecapi apa yang sedang dikecapi oleh rakyat Thailand sekarang ini.

posted by Lidah Penghunus @ 5:54 PM   0 comments

Monday, April 03, 2006

Kerajaan negeri Terengganu sekarang kata budak-budak berhenti sekolah kerana malas?

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini memetik kenyataan exco kerajaan negeri Terengganu yang mengatakan bahawa ada beberapa kes pelajar yang berhenti sekolah bukan kerana mereka dari keluarga yang miskin yang tidak mampu membiayai perbelanjaan persekolahan, tetapi kerana sikap mereka yang malas.

Nampaknya kenyataan sungguh berbeza dengan kenyataan kerajaan Umno terhadap kerajaan negeri Terengganu di bawah pentadbiran Pas lebih kurang tiga tahun lalu. Bila sahaja ada kes pelajar yang terpaksa berhenti sekolah mereka akan terus menyalahkan kerajaan negeri pada masa itu yang kononnya tidak tahu memerintah hingga mengakibatkan peningkatan gejala kemiskinan dan pemberhentian sekolah.

Inilah dia sikap Umno dan Barisan Nasional, bila sesuatu yang buruk itu melibatkan parti pembangkang khususnya Pas, mereka akan terus menyalahkan Pas, namun bila ianya melibatkan mereka sendiri maka rakyat pula akan disalahkan. Sebelum ini juga kita telah saksikan dalam isu pengangguran yang mana bila ianya melibatkan negeri yang ditadbir oleh Pas maka kerajaan negeri tersebut akan disalahkan kerana gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, tetapi dalam masalah pengangguran diseluruh negara yang ditadbir oleh kerajaan pusat, siswazah pula yang dipersalahkan kerana terlalu memilih pekerjaan.

posted by Lidah Penghunus @ 5:46 PM   0 comments


Free Hit Counter