Thursday, August 30, 2007

Assalamualaikum.

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan. Selamat bercuti. Tahniah kepada pasukan bola sepak negara. Harap-harap jangan hanya menang kali ini kerana sempena merdeka yang ke-50 sahaja dan lepas itu kalah balik. Akhir sekali jangan lupa bahawa kita ada 71 hari lagi tarikh perhimpunan 100,000 rakyat di Kuala Lumpur.

posted by Lidah Penghunus @ 5:02 PM   0 comments

Wednesday, August 29, 2007

Khairy Jamaludin jahil sejarah atau termakan dengan putar belit Sejarah oleh Umno?

Assalamualaikum.

Jangan pertikai sambutan berkait BN: Khairy

SEREMBAN: Pemuda Umno meminta semua pihak menerima hakikat bahawa program dan aktiviti yang dilaksanakan sempena sambutan kemerdekaan negara tidak boleh lari daripada dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN).
Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sudah termaktub dalam sejarah bahawa kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah hasil perjuangan dan tuntutan yang dilakukan parti memerintah.
"Sejarah tidak boleh diubah bahawa parti yang menuntut kemerdekaan dan menjayakan kemerdekaan negara ialah parti memerintah iaitu Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) pada masa itu dan kini Barisan Nasional (BN).

"Ketika itu di manakah parti pembangkang. Jadi, kemerdekaan negara sudah sinonim dengan parti memerintah dan kita tidak boleh pisahkan segala program kemerdekaan yang akan disambut Jumaat ini dengan parti memerintah," Berita Harian - 29 Ogos 2007.

Kita tidak pasti sama ada menantu Pak Lah ini memang buta dan jahil sejarah atau memang beliau sudah lama termakan dengan putar belit fakta sejarah yang dilakukan oleh Umno apabila beliau mempersoalkan di mana pembangkang dalam usaha menuntut kemerdekaan. Kita nak tanya adakah mereka yang memperjuangkan kemerdekaan hingga terpaksa merengkok dalam penjara penjajah adalah daripada parti pemerintah dan kita mahu tanya berapa ramai pemimpin Umno ketika itu yang disumbatkan ke penjara Britih kerana berjuang menuntut kemerdekaan?

Pas ketika itu walaupun perkataan merdeka tiada dalam perlembagaan parti namun cita-cita parti itu untuk mewujudkan sebuah pemerintahan Islam sudah membuktikan bahawa merdeka ada dalam agenda parti tersebut kerana sebelum sebuah negara Islam itu ditegakkan maka ianya mestilah dimerdekakan dahulu daripada cengkaman penjajah. Dan sebaik sahaja negara mendapat kemerdekaan, agenda mempertahan dan mengukuhkan kemerdekaan terus dimasukkan dalam agenda perjuangan Pas. Kerana untuk mempertahankan kemerdekaan itu lebih berat sebenarnya daripada mendapatkannya.

Jika Khairy mengatakan bahawa kemerdekaan sinonim dengan parti pemerintah dan sambutannya tidak boleh dipisahkan dengan parti pemerintah maka tidak perlulah mereka hendak sibuk-sibuk minta rakyat yang bukan daripada parti pemerintah kibarkan bendera. Biar mereka daripada parti pemerintah sahaja yang kibarkan jalur gemilang kerana mereka sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan, orang lain bukan pejuang kemerdekaan.


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 72 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 6:03 PM   0 comments

Tuesday, August 28, 2007

Dengan amalan korupsi negara kuasa dunia pun boleh lingkup.

Assalamualaikum.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, Malaysia akan terus membangun walaupun terdapat pengkritik serta penyebar fitnah baik di dalam dan luar negara yang menyatakan negara ini berhadapan dengan masa depan gelap.
Perdana Menteri berkata, pengkritik dan penyebar fitnah itu menyatakan bahawa negara ini tidak cekap, kurang integriti dan tidak bersatu padu.
Katanya, Malaysia telah membuktikan bahawa dakwaan mereka salah dan ia akan terus membangun untuk menjadi sebuah negara maju kerana pengasas-pengasas yang membangunkan Malaysia telah meletakkan asas-asas kukuh.
‘‘Pengasas-pengasas negara ini berpegang teguh kepada asas-asas yang kukuh iaitu kesopanan, belas kasihan, bertimbang rasa, integriti serta semangat dan dedikasi kepada negara.
‘‘Asas-asas inilah yang dipegang oleh Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn serta Timbalan Perdana Menteri Tun Dr. Ismail Abdul Rahman
dan ramai lagi yang telah membangunkan negara ini,’’ Utusan Malaysia - 28 Ogos 2007.


Memang benar bahawa pemimpin-pemimpin terdahulu ketika hampir sebelum dan selepas merdeka telah membina asas yang kukuh dalam pembangunan negara lebih-lebih lagi pada zaman Tun Abdul Razak sebagai perdana menteri. Namun begitu kita sudah lihat bagaimana sejarah telah menunjukkan sesebuah negara yang begitu mahsyur dibina oleh pemimpin-pemimpin agung tiba-tiba boleh hancur dalam sekelip mata apabila pemimpin kemudiannya yang lemah dan korup.

Apa yang kita lihat pemimpin sekarang ini telah lari daripada perjuangan asal pemimpin mereka yang terdahulu. Segala perit-jerih pemimpin terdahulu membina asas pembangunan negara ini seolah-olah dipersia-siakan oleh sikap tamak dan korup pemimpin yang sekarang ini. Perkara ini saya dengar daripada mulut ahli Umno sendiri yang mengakui kepimpinan Pak Lah sekarang begitu lemah yang menjadi punca kepada keadaan kacau ketika ini.

Kita tak dapat bayangkan bagaimana agaknya jika Pak Lah yang jadi Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama sebelum merdeka. Silap-silap tak merdeka negara kita. Mana taknya dalam berunding dengan British pun boleh tertidur.


Di ambil daripada blog http://n32.blogspot.com/


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 73 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 1:10 PM   0 comments

Monday, August 27, 2007

Satu lagi malapetaka untuk Umno.

Assalamualaikum.

Terima fakta UMNO ditubuhkan di Johor

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo keliru dengan fakta sejarah apabila mengeluarkan kenyataan mendakwa UMNO ditubuhkan di Kuala Lumpur dan bukannya di Johor.
Setiausaha Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) Wilayah Persekutuan dan Selangor, Lizah Ahmad menegaskan, Mohamad Khir dan semua pihak perlu menerima fakta bahawa UMNO ditubuhkan di Istana Besar, Johor Baharu semasa Kongres Melayu Kedua pada 11 Mei 1946.
Menurutnya, ketika kongres itu, Datuk Onn Jaafar telah membentangkan Rang Surat Tauliah Pertubuhan UMNO yang diluluskan oleh wakil-wakil 29 persatuan dan beliau dilantik sebagai Yang Dipertua parti itu yang pertama.
‘‘Menteri Besar Selangor yang belum lahir waktu UMNO ditubuhkan harus mengkaji sejarah sebelum membuat kenyataan yang boleh mengelirukan bangsa Melayu terutama ahli parti daripada kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Lizah mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Jumaat lalu yang mendakwa UMNO ditubuhkan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru ketika Kongres Melayu Pertama dari 1 hingga 4 Mac 1946 yang dihadiri 41 pertubuhan.
Menurut Mohamad Khir, kongres itu diadakan hasil daya usaha Persatuan Melayu Selangor (PMS) berikutan terdapat ura-ura kerajaan British untuk mewujudkan Malayan Union di Tanah Melayu. Utusan Malaysia - 27 Ogos 2007.


saya pernah dengar kata-kata seorang sahabat bahawa Umno ini seolah-olah terkena puaka atau malapetaka atau boleh juga disebut sebagai sumpahan kerana semua bekas presidennya termasuk pengasasnya menghembuskan nafas terakhir bukan dalam Umno kecuali Tun Abdul Razak. Itu pun kerana usia beliau yang singkat, jika ditakdirkan beliau panjang usia, barangkali Tun Abdul Razak juga akan meninggalkan Umno yang penuh dengan kerosakan itu.

Bagi saya pula berita di atas ini adalah satu lagi malapetaka dalam Umno selepas malapetaka bekas presiden mereka mengkritik presiden mereka sendiri. Kini mereka bertikaian pula tentang negeri kelahiran Umno. Ada pula yang mengatakan Umno lahir di Kuala Lumpur bukan di Johor. Padahal kita pun maklum bahawa Umno yang asal telah diharamkan dan Umno yang mereka sertai sekarang adalah Umno baru. Di sini kita tertanya-tanya, jika status kelahiran Umno sendiri pun sudah wujud pertikaian maka apakah taraf dan status Umno yang sekarang ini ye?


HIMPUNAN 100,000 RAKYAT - 74 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 4:48 PM   0 comments

Kelantan lancar sistem data rekod perkahwinan, e-Nikah

Assalamualaikum.

KOTA BHARU 26 Ogos – Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra hari ini berkenan melancarkan sistem e-Nikah iaitu sistem pengurusan rekod perkahwinan orang Islam secara elektronik.
Selain salah satu usaha memartabatkan pengurusan Islam di negeri itu, e-Nikah juga membolehkan tahap perkhidmatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dipertingkatkan.
Ia juga dijangka dapat mengatasi kelemahan sistem fail secara konvensional yang diamalkan kini.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berucap pada majlis tersebut berkata, e-Nikah dibangunkan menggunakan kaedah antaramuka web yang hanya memerlukan sambungan ke Internet bagi membolehkan seseorang menggunakan sistem itu.
Katanya, ia mengandungi sekurang-kurangnya tujuh modul yang utama iaitu modul pra per perkahwinan, modul benar nikah, modul pendaftaran perkahwinan, modul pendaftaran perceraian, modul pendaftaran rujuk, modul pengeluaran kad nikah dan modul carian dan pengesahan.
‘‘Modul yang masih dalam pembinaan adalah seperti modul Informasi Keluarga Islam (IKIS) yang akan disiapkan dalam masa terdekat ini.
‘‘Modul ini boleh menyimpan maklumat satu-satu keluarga secara terperinci dan mungkin suatu masa nanti pengguna boleh mendapatkan salasilah sesuatu keluarga dengan mudah berdasarkan maklumat berkenaan,” katanya.
Nik Abdul Aziz berkata, kesemua modul yang dibangunkan itu adalah mengikut prosedur yang diguna pakai berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.
‘‘Antara kelainan sistem ini adalah penggunaan tulisan jawi yang digunapakai khususnya dalam pengeluaran surat kebenaran dan sijil-sijil,” tambahnya.
Katanya, dengan menggunakan kaedah penukaran automatik dan manual, ia sedikit sebanyak memudahkan dan mencepatkan proses memasukkan data.
Justeru, beliau berharap kejayaan itu adalah suatu permulaan kepada perubahan yang boleh dikongsi antara agensi berkaitan dan sentiasa menerima penambahbaikan demi kecemerlangan pengurusan Islam yang cekap dan berkualiti. Utusan Malaysia - 27 Ogos 2007.


Kepada mereka yang menuduh kerajaan negeri Kelantan tidak berbuat apa-apa sepanjang pemerintahan, ini adalah bukti yang boleh dikemukakan betapa terkehadapannya Kelantan bawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz. Ini adalah salah satu contoh dan banyak lagi bukti-bukti menunjukkan banyak perkara yang telah dibangunkan di Kelantan semasa pemerintahan Pas. Hendak lagi terperinci, datanglah sendiri ke Kelantan. Maka di sini tidak ada sebab untuk rakyat Kelantan menukar parti pemerintah pada pilihanraya umum akan datang. Takut nanti menyesal macam rakyat Terengganu.

posted by Lidah Penghunus @ 4:40 PM   1 comments

Sunday, August 26, 2007

50 tahun merdeka- 5 hari lagi

Assalamualaikum.

Lagi tentang iklan merdeka

Sebelum ini saya pernah mengulas tentang sebuah iklan yang bermesejkan kemerdekaan iaitu iklan kasut buatan Gombak oleh Petronas. Namun begitu adalah tidak adil jika saya tidak turut mengulas iklan merdeka yang terbaru yang dikeluarkan oleh Petronas iaitu iklan yang menceritakan tentang pembikinan sebuah sampan. Pada mulanya saya tidak nampak apa yang hendak diceritakan berkenaan iklan berkenaan. Namun begitu seorang sahabat memberitahu ada isu yang boleh kita kupas dalam iklan berkenaan.

Pada akhir iklan berkenaan dipaparkan persoalan yang berbuyi "Mampukah apa yang kita bina hari ini membawa kita ke hadapan?" Maka apa yang dapat kita rungkai di sebalik iklan berkenaan ialah sampan itu sebenarnya menggambarkan negara kita sekarang ini. Jika tuan-tuan hayati iklan berkenaan orang yang diberi tanggungjawab untuk membina sebuah sampan telah mengkhianati amanah tersebut dengan mengunapakai balik sampai lama yang telah reput yang ditampal dan dicat semula hingga kelihatan baru. Akibatnya belum pun sempat digunakan sampan berkenaan telah bocor dan dimasuki air.

Begitulah sebenarnya keadaan negara kita yang penuh dengan kerosakan, bocor sana, bocor sini akibat dipimpin oleh mereka yang korup dan mengkhianati amanah. Jadi timbul persoalan mampukah dengan keadaan negara yang sekarang ini membawa kita ke masa hadapan yang gemilang sama seperti sampan yang bocor itu tadi? Dan orang yang memberikan tanggungjawab dan sepenuh kepercayaan kepada sahabatnya untuk membina sebuah sampan dalam iklan tersebut bolehlah kita katakan sebagai rakyat atau pengundi yang memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada sesebuah parti untuk memerintah serta membawa negara ke mercu kejayaan namun kepercayaannya telah dikhianati. Maka sudah 50 tahun negara merdeka adakah kita mahu negara kita terus dipimpin oleh mereka yang khianat dan korup dan membiarkan negara kita senasib seperti sampan itu tadi yang tidak mampu membawa kita ke mana-mana.


Tun Razak pernah batal hasrat bina kolam renang demi rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pernah membatalkan hasrat membina kolam renang di kediaman rasmi beliau demi kepentingan rakyat.
“Tun Razak berkata lebih baik duit itu (perbelanjaan membina kolam renang) digunakan untuk membina tiga klinik desa,” kata Pengerusi Bernama, Datuk Mohd Annuar Zaini pada Forum Merdeka: Sembang-sembang Kopi ‘O’ Nasi Lemak anjuran bersama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) di Rumah Gapena di sini, semalam.Mohd Annuar berkata, keputusan itu membuktikan integriti tinggi dalam diri Tun Razak dengan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan walaupun beliau boleh meneruskan hasratnya membina kolam itu tanpa pengetahuan rakyat.

“Pada ketika itu kos membina kolam renang berkenaan dianggarkan berharga RM60,000,” katanya. Mohd Annuar berkata, integriti adalah komponen penting dalam diri seseorang pemimpin dan ia harus dipupuk di rumah dan di sekolah. Berita Harian - 26 Ogos 2007.

Inilah bezanya pemimpin dahulu dengan sekarang. Pemimpin sekarang dengan terang-terang membazirkan wang rakyat untuk membina rumah kediaman rasmi yang mewah tanpa memikirkan kepentingan rakyat. Lihatlah betapa mewahnya kediaman exco kerajaan negeri Selangor di Shah Alam. Dalam masa yang sama masih ramai lagi rakyat yang tidak mampu memiliki rumah kediaman dan hidup dalam kedaifan.

Apa yang kita lihat mereka ini termasuk media hanya suka mempromosikan tentang kebaikan pemimpin yang terdahulu sedangkan ianya tidak sedikit pun menjadi tauladan kepada pemimpin-pemimpin sekarang ini yang terus dengan sikap membazir mereka.


Pemansuhan Common Law perlu dihalusi

KUALA LUMPUR 25 Ogos Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sebarang cadangan untuk memansuhkan Common Law memerlukan penelitian yang menyeluruh.
Perdana Menteri berkata, cadangan tersebut telah dibuat oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
‘‘Ia perlu dihalusi betul-betul,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita 2007 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini. Utusan Malaysia - 26 Ogos 2007.


Sudah 50 tahun merdeka. Bermakna sudah 50 tahun negara menggunapakai sistem perundangan penjajah. Namun kita hairan dalam jangka 50 tahun itu apa yang mereka buat hingga masih lagi keberatan untuk melepaskan undang-undang lapuk tinggalan penjajah itu? Adakah sepanjang 50 tahun itu tiada usaha ke arah itu?

Sepatutnya dalam jangka yang sebegini kita sudah bersedia bila-bila masa untuk meninggalkan undang-undang Common Law dan terus melaksanakan undang-undang Islam. Tetapi nampaknya inilah alasan bagi mereka yang sebenarnya tidak mahu untuk melaksanakan sistem perundangan Islam.


PEMBERITAHUAN - HIMPUNAN 100,000 RAKYAT BAGI MENUNTUT PEMBERSIHAN PILIHANRAYA YANG ASALNYA AKAN DIADAKAN DI PUTRAJAYA TELAH BERTUKAR KE KUALA LUMPUR. HARAP MAKLUM - 75 HARI LAGI

posted by Lidah Penghunus @ 5:14 PM   0 comments

Thursday, August 23, 2007

Isu lelaki jadi suri rumah - Reaksi dua tokoh wanita dan komentar seorang penulis lelaki.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar semalam Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Ibrahim Abu Shah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak lama lagi mungkin kaum lelaki yang terpaksa menjadi suri rumah tangga dan kaum wanita keluar bekerja. Kenyataan beliau itu adalah ekoran kebimbangan daripada fenomena kaum perempuan lebih ramai masuk universiti berbanding kaum lelaki.

Pada muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini kenyataan Naib Canselor Uitm itu telah mendapat reaksi yang berbeza daripada dua orang tokoh wanita daripada parti politik yang berlainan. Yang pertamanya Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat zalil menyambut baik kenyataan Naib Censelor Uitm itu yang beliau sifatkan suatu fenomena yang sihat. Beliau mengatakan bahawa ianya dapat mewujudkan perkongsian dan tanggungjawab dalam membesarkan anak serta menguruskan rumah tangga.

Manakala AJK Pas Pusat, Dr Lo’ Lo’ Hj Ghazali pula memberikan reaksi yang berbeza dengan Datuk Seri Shahrizat. Beliau berkata bahawa membiarkan lelaki menjadi suri rumah tangga akan mewujudkan kepincangan dalam keluarga kerana ianya bertentangan dengan agama dan fitrah kehidupan manusia. Seterusnya Dr Lo’ Lo’ berkata Islam sendiri telah menetapkan bahawa tugas utama suami ialah mencari nafkah serta menyediakan keperluan asas dan isteri hanya bersifat sebagai pembantu dalam meringankan beban suami.

Di sini saya amat-amat bersetuju dengan kenyataan Dr Lo’ Lo’, bukan kerana beliau adalah ahli dan pimpinan Pas tetapi kerana kenyataan beliau itu selaras dengan kehendak Islam. Kita setuju jika kaum suami digalakkan turun ke dapur untuk membantu kerja-kerja isteri dalam usaha mewujudkan keharmonian dan kerjasama dalam rumahtangga. Tetapi ianya tidaklah sampai suami itu harus jadi suri rumah sepenuh masa. Sedangkan dalam Islam suami tetap sebagai ketua keluarga yang bertanggung jawab mencari nafkah untuk keluarga.

Di sini juga kita hairan bagaimana Datuk Seri Ibrahim Shah boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu. Sedangkan apa yang kita lihat hari ini mereka yang lepasan universiti juga amat susah untuk mendapat pekerjaan tidak kira graduan lelaki atau wanita. Adakah dengan tidak masuk ke universiti bermakna seseorang itu tidak boleh membina kerjaya? Sepatutnya walaupun mereka ini tidak berpeluang untuk menjejaki kaki ke menara gading, kita seharusnya memberikan galakan agar mereka terus bekerja dengan tekun agar dapat membuka ruang masa depan yang lebih cerah untuk mereka. Pada hari ini kita telah melihat bukti bagaimana mereka yang tiada pendidikan tinggi juga boleh berjaya asalkan mereka rajin berusaha. Jadi tidak timbul lelaki yang tidak masuk universiti akan jadi suri rumah tangga.


HIMPUNAN RAKYAT DI PUTRAJAYA - 78 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 5:37 PM   0 comments

Wednesday, August 22, 2007

Ketua Hakim Negara cadang mansuhkan Common Law dan laksanakan undang-undang Islam.

Assalamualaikum.

Saya tertarik dengan cadangan Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang disiarkan dalam akhbar hari ini supaya perundangan Common Law Inggeris dimansuhkan kerana dianggap lapuk dan tidak sesuai;

Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu.Sambil menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’, Ahmad Fairuz menegaskan, gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa.‘‘Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita.‘‘Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?’’ soalnya. Utusan Malaysia – 22 Ogos 2007.

Bukan sahaja Common Law yang diwariskan oleh penjajah itu sahaja yang perlu dimansuhkan, yang paling penting undang-undang zalim seperti ISA itulah yang perlu dimansuhkan kerana jelas telah disalahgunakan dan menzalimi rakyat. Dan saya lagi tertarik dengan kenyataan Tun Ahmad Fairuz di bawah ini;

Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa.Sekiranya idea itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak maksimum kepada masyarakat. Pada majlis itu, Ahmad Fairuz turut melancarkan buku berjudul Permata Pengislahan Perundangan Islam yang merupakan biografi Allahyarham Ahmad Ibrahim.Ahmad Ibrahim ialah tokoh perundangan yang banyak menyumbang kepada pembangunan perundangan di negara ini khususnya undang-undang Islam.Beliau merupakan salah seorang peguam dalam perbicaraan kes Natrah, wanita keturunan Belanda yang dibela oleh keluarga Islam dan kemudian dituntut semula oleh keluarga asalnya. Perbicaraan kes Natrah mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950. Berita Harian – 22 Ogos 2007.

Bukan mungkin lagi, malahan ianya memang patut dilaksanakan lebih-lebih lagi negara kita telah memasuki usia 50 tahun kemerdekaan. Kita sepatutnya tidak perlu lagi bergantung kepada undang-undang ciptaan penjajah. Yang perlu dilaksanakan sekarang ialah undang-undang yang turunkan oleh Allah melalui al Quran dan Hadis. Saya teringat dengan kuliah seorang ustaz berkenaan perlaksanaan undang-undang Islam ini. Ustaz berkenaan menyebut bahawa dahulu komputer atau IT adalah sesuatu amat asing dengan rakyat negara ini. Namun dengan kempen yang giat daripada kerajaan umpamanya kempen Cinta IT akhirnya kini IT tidak lagi asing dengan masyarakat negara ini.

Begitulah juga dengan undang-undang Islam, jika dari dahulu lagi kerajaan pergiatkan kempen memperkenalkan undang-undang Islam kepada rakyat keseluruhannya, sudah tentu sekarang ini ianya tidak lagi asing kepada rakyat termasuk yang bukan Islam. Namun begitu kerajaan kita nampaknya lebih banyak memberi alasan dan menakut-nakutkan rakyat daripada memberi penerangan kepada rakyat tentang perlaksanaan undang-undang Islam.

Akhir sekali al Fatihah untuk tokoh perundangan Allahyarham Ahmad Ibrahim. Bagi saya beliau adalah peguam pertama yang membela Islam dalam isu-isu murtad dan kini usaha Allahyarham telah diteruskan oleh barisan peguam pembela Islam yang aktif dalam membela agama Islam dalam isu murtad di negara ini. Semoga Allah cucuri rahmat kepada ruh Allahyarham.

posted by Lidah Penghunus @ 5:20 PM   0 comments

Tuesday, August 21, 2007

Dulu Lojing kini AKSB.

Assalamualaikum.

Pada muka hadapan akhbar Berita Harian hari ini dipaparkan tentang siasatan BPR terhadap Air Kelantan Sdn Bhd atas dakwaan penyelewengan projek baik pulih infrastruktur sistem bekalan air di Kelantan.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhubung penyelewengan dalam projek membaik pulih infrastruktur sistem bekalan air di Kelantan yang berharga RM600 juta.Siasatan itu dibuat selepas BPR menerima maklumat ada bahan yang digunakan bagi kerja membaik pulih infrastruktur paip lama dan menaik taraf loji bekalan air di negeri itu, tidak mengikut spesifikasi.
BPR menghantar sepasukan pegawainya ke Kelantan untuk membuat risikan mengenai perkara itu beberapa bulan lalu dan mendapati ada asas untuk siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca penyelewengan serta pihak yang bertanggung jawab.Sumber badan itu memberitahu Berita Harian, pegawai BPR sudah mula memeriksa dan mengambil dokumen berkaitan projek berkenaan di pejabat AKSB, di Kota Bharu serta syarikat yang diberi kontrak melaksanakannya, Rabu lalu.
“Semakan juga dibuat di Pejabat Kewangan negeri yang bertanggungjawab meluluskan pembayaran untuk projek itu. Sebahagian besar projek terbabit siap tahun lalu dengan pembayarannya sudah dibuat kepada pihak terbabit.“Selepas mengumpul maklumat lengkap daripada dokumen yang dikumpulkan, kita akan pergi ke tapak projek untuk pemeriksaan lanjut dan BPR tidak akan teragak-agak untuk mengorek semula paip sebagai bukti berlaku penyelewengan,” Berita Harian - 21 Ogos 2007.

Nampaknya setelah melihat isu Lojing yang dimainkan oleh mereka gagal, kini Umno dan budak suruhannya cuba pula untuk memainkan isu AKSB bagi menunjukkan kononnya kerajaan negeri Kelantan bawah Tok Guru Nik Aziz korup. Reaksi awal daripada isu ini telah pun diberikan oleh pihak kerajaan negeri Kelantan dan boleh diikuti di laman web Harakahdaily;

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=9363&Itemid=28

Kenyataan Menteri Besar Kelantan berkenaan isu ini juga boleh diikuti melalui laman web YB Husam Musa;

http://www.husammusa.com/modules/news/article.php?storyid=218

Apapun sama-sama kita tunggu perkembangannya dan hasil siasatannya dan kita nantikan siapakah yang akan dimakan oleh senjata ciptaan Umno dan media pengampunya ini.


HIMPUNAN RAKYAT DI PUTRAJAYA - 80 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 10:52 PM   0 comments

Tinggalkan solat ketepikan agama, kerana negara hamba turutkan.

Assalamualaikum.

Azmin rentasi Selat Melaka
TELUK KEMANG 20 Ogos – Misi Cabaran Merentasi Selat Melaka Putera UMNO 2007 berjaya apabila perenang marathon, Mohd Norazmin Abdul Aziz, 23, menamatkan renangannya pada pukul 10.36 malam ini di daratan Pantai Tiga Telok Kemang, berhampiran Dataran Telok Kemang.
Azmin mengambil masa 24 jam 36 minit untuk berenang tanpa sangkar merentasi Selat Melaka sejauh 64 kilometer dari Teluk Rhu, Pulau Rupat, Sumatera di Indonesia, ke Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Walaupun lewat 4 jam 30 minit daripada masa yang dijangka tiba iaitu pukul 6 petang berikutan perubahan angin, arus dan air pasang, Azmin berjaya memecahkan rekod seorang warga Jepun iaitu 25 jam yang dicatatkan ketika berenang di laluan sama pada 1972.
Sesuatu yang menarik dalam ekspedisi ini ialah Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin turut mengiringi Azmin berenang selama satu jam bermula pukul 6.15 petang.
Misi yang diketuai Pengerusi Biro Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim itu adalah sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara selepas Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara pada April lepas dan Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu pada 31 Ogos ini. Utusan Malaysia - 21 Ogos 2007.


Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Tinggal solat ketepikan agama,
kerana negara mahu hamba harumkan.

Inilah barangkali pantun yang paling sesuai untuk menceritakan tentang satu lagi rekod baru yang kali ini dicipta oleh Putera Umno sempena 50 tahun merdeka. Berenang selama 25 jam tanpa mengambil peduli tentang waktu solat, asalkan matlamat mengharumkan nama negara tercapai. Apalah ertinya kemerdekaan jika ianya diraikan dengan sesuatu yang meninggalkan solat, mengetepikan perintah Allah? Dan apalah yang hendak dibanggakan jika hanya sekadar dapat mengatasi rekod perenang berbangsa Jepun yang bukan Islam itu? Ulama' mereka juga pernah berkata bahawa tidak mengapa meninggalkan solat untuk mengharumkan nama negara. Nampaknya inilah erti kemerdekaan bagi mereka yang melaung-laungkan Islam Hadhari.


HIMPUNAN RAKYAT DI PUTRAJAYA - 80 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 10:26 PM   1 comments

Monday, August 20, 2007

Kisah Chow Kit dan Pejabat Agung Pas.

Assalamualaikum.

Sedih apabila membaca tabloid Harian Metro hari ini yang mencerita bahawa masih ada warga tua yang berumur 65 yang masih melacur di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur untuk mencari sesuap nasi dan membesar serta menyekolahkan anak hingga ke peringkat IPTA. Yang menyayat hati apabila anak yang berjaya anak yang berjaya ke universiti dan mendapat ijazah itu enggan mengaku wanita itu sebagai ibu kerana malu;

Namun, selepas anaknya berjaya mendapat ijazah serta pekerjaan bergaji lumayan, dia enggan mengaku wanita tua itu ibunya kerana malu," katanya.
Menurutnya, perbuatan itu amat dikesalkan, namun ia dianggap antara cerita `duka' golongan berkenaan yang perlu dijadikan iktibar.
"Hakikatnya golongan ini bukan mahu menjadi pekerja seks. Mereka mempunyai cerita pahit dan sejarah duka hingga terjebak ke lembah hina."
Malah, kurang pendidikan dan latar belakang keluarga bermasalah turut menjadi punca mereka menjadi pekerja seks. Namun, maklumat juga mendapati ada antara pekerja seks di kalangan mak nyah adalah siswazah," katanya.
Menurutnya, sikap orang ramai yang memandang hina dan menyisihkan golongan 'lembut' menyebabkan mereka seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat sehingga akhirnya terperangkap dalam kancah pelacuran.
"Lebih membimbangkan apabila golongan ini tidak mendapat pembelaan sewajarnya berikutan sikap masyarakat yang lebih memandang hina berbanding keinginan membantu mereka mengubah cara hidup."
Akibatnya ada antara mereka terpaksa membawa anak kecil ketika menjual tubuh, malah bekerja 24 jam sehari bagi membesarkan anak-anak," katanya.
Menurutnya, walaupun menyedari pekerjaan itu jijik, golongan ini tetap manusia biasa yang menyayangi anak-anak dan sanggup berkorban untuk membesarkan keluarga. Harian Metro - 20 Ogos 2007.

Kita amat kesal kerana sudah 50 tahun negara kita merdeka tetapi masalah perdagangan seks di Kuala Lumpur khususnya di sekitar Chow Kit ini masih lagi belum selesai dan masih ada lagi insan-insan yang terpaksa melakukan pekerjaan kotor ini untuk menyara keluarga. Mungkinkah ini adalah dorongan daripada seorang ustazah yang pernah mengatakan ibu tunggal boleh melacur jika dalam kesempitan hidup?

Nampaknya kerajaan Barisal Nasional terus gagal mengatasi masalah ini. Sekarang ini pun Pejabat Agung Pas terletak berhampiran dengan pusat kegiatan perdagangan 'gelap' ini. Maka kita amat-amat beharap agar Pas dapat menjadi penyelamat kepada mereka yang telah tersalah memilih jalan ini. Walaupun mereka ini telah melakukan kesilapan yang bertentangan dengan agama namun Pas sebagai parti Islam tidak boleh terus-menerus menyalahkan serta meminggirkan mereka yang terjebak bukan kerana kerelaan mereka sendiri.

Semoga kehadiran Pas sebagai gerakan Islam di sana akan membersihkan tempat berkenaan serta insan-insan yang berkenaan daripada noda dan seterusnya menyinari tempat berkenaan dengan Islam. Kita juga berharap agar suatu hari nanti Chow Kit yang dahulu terkenal dengan pusat pelacuran dan dadah akan bertukar menjadi pusat penyebaran Islam. Insya-Allah.


HIMPUNAN RAKYAT DI PUTRAJAYA - 81 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 11:00 PM   0 comments

Sunday, August 19, 2007

Musa mahu BPR turut awasi agensi kerajaan lain.

Assalamualaikum.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mempertahankan kredibiliti pasukannya yang selama ini sering dilabel dengan pelbagai salah laku termasuk amalan rasuah. Beliau berkata, kegiatan rasuah bukan saja berlaku di kalangan pegawai dan anggota polis, agensi kerajaan lain turut berhadapan dengan masalah sama.
Oleh itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) sepatutnya bersikap lebih adil dan tidak hanya memberi tumpuan kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras rasuah, sebaliknya perhatian sama turut diberi kepada agensi kerajaan lain,”
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dalam akhbar berbahasa Inggeris, baru-baru ini yang mendedahkan hampir 40 peratus pegawai dan anggota polis terbabit dalam gejala rasuah. Berita Harian - 19 Ogos 2007.

Kenyataan Tan Sri Musa di atas ini mengesahkan lagi bahawa begitu teruknya rasuah di negara kita ini. Bukan sahaja dalam PDRM, malahan penyakit rasuah ini turut membarah dalam agensi kerajaan yang lain. Sekaligus menunjukkan betapa gagalnya kempen memerangi rasuah oleh Pak Lah. Dalam akhbar yang sama hari ini Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam titah ucapannya turut menyentuh tentang ciri-ciri kepimpinan yang amanah, jujur dan adil;

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah aspek pembangunan sahsiah mesti diberi perhatian sewajarnya dalam usaha melengkapkan pelajar dengan pengetahuan.
Baginda bertitah, tiada ertinya bagi negara dan bangsa sekadar melahirkan lulusan yang mempunyai pencapaian akademik cemerlang tetapi tidak memiliki sifat nilai amanah, bertanggungjawab, jujur dan adil.
"Tanpa falsafah dan pendirian kepemimpinan yang murni, semangat berkhidmat untuk bangsa dan negara akan menjadi tipis."Ketika itu, negara akan tempang dan jika berlarutan, kemerdekaan bangsa akan tergadai dan negara akan runtuh.
Sejarah menunjukkan kejatuhan empayar besar berpunca daripada kepemimpinan yang hilang semangat tulen untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara," Berita Harian - 19 Ogos 2007.

Bagi saya titah oleh Sultan Perak ini adalah satu lagi amaran daripada istana kepada pemimpin-pemimpin yang tidak amanah, korup dan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.


HIMPUNAN RAKYAT DI PUTRAJAYA - 82 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 10:31 PM   0 comments

Sempena Tilawah al Quran yang ke-49.

Assalamualaikum.

Ketika sedang bermula pertandingan tilawah al Quran peringkat antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur dan ini juga memberikan isyarat kepada kita bahawa bulan Ramadhan sudah hampir. Dalam akhbar Berita Harian bertarikh hari ini Hakim pertandingan tersebut menyatakan bahawa mutu bacaan peserta pertandingan ini semakin meningkat dan mutu penganjuran tilawah ini juga lebih berqualiti;

Sheikh Alaa’ Mohd Ali Al-Qaisi, 67, dari Jordan yang mula menjadi hakim tilawah al-Quran peringkat antarabangsa sejak 1980, berkata beliau masih ingat pada peringkat awal penganjuran majlis berkenaan, ia diadakan di Stadium Merdeka dalam keadaan panas dan kurang selesa.
“Dulu penganjuran majlis tilawah berlangsung dalam suasana panas dan tidak selesa, tetapi kini sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi dan pembangunan negara, majlis keagamaan yang mendapat perhatian masyarakat Islam seluruh dunia ini dibuat semakin teliti dan sempurna.
“Secara jujur, saya amat berbangga dengan Malaysia kerana walaupun masyarakatnya berbilang kaum dan dikelilingi negara jiran yang bukan Islam, berkat kebijaksanaan kepemimpinannya sejak dulu hingga kini berjaya meletakkan negara ini sebagai antara negara Islam paling disegani dan dihormati di dunia Berita Harian - 19 Ogos 2007.

Sedar tidak sedar pertandingan tilawah al Quran yang di adakan di negara kita ini sudah pun masuk tahun ke-49, muda setahun daripada usia kemerdekaan negara kita. Maka di sini kita tertanya-tanya, sudah 49 kali menganjurkan tilawah al Quran, berapa ayatkah dalam al Quran yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam pemerintahan terutama yang menyentuh perundangan? Adakah ianya sudah sampai 49 ayat? Atau al Quran hanya untuk dipertandingkan alunan bacaannya tanpa dilaksanakan.

Semalam semasa mengikuti kuliah agama, seorang ustaz ada menyebut tentang Dasar Penerapan nilai-nilai Islam yang dimulakan oleh Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Mentari. Di situ saya terus terfikir bahawa penerapan nilai-nilai Islam itu sebenarnya bermaksud mereka hanya melaksanakan apa yang ada dalam Islam itu yang mendatangkan nilai (wang) kepada mereka. Maka tidak hairanlah sistem kewangan dan perbankan Islam banyak dilaksanakan kerajaan kerana bersangkutan dengan ekonomi. Itu pun masih belum sepenuhnya.

posted by Lidah Penghunus @ 9:58 PM   0 comments

Saturday, August 18, 2007

Hunusan petang sabtu.

Assalamualaikum.

Melihatkan kepada isu Wee Meng Chee atau Namewee hingga ke hari ini. Pada mulanya beliau diampunkan oleh MCA dengan sokongan Menteri Penerangan. Kemudiannya kabinet pula membuat keputusan untuk tidak memaafkan dan akan mengambil tindakan, ada yang minta pelajar itu dikenakan ISA dan ada yang minta dia dilucutkan kerakyatan. MCA pula beritahu bahawa partinya akan terus membela Wee Meng Chee agar permohonan maaf beliau diterima dan dalam akhbar hari ini timbul pula lagu terbaru Namawee yang dikatakan menghina kaum Melayu.

Mungkinkah isu Namawee ini adalah sandiwara ciptaan Umno dan Barisan Nasional untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu rasuah, penyelewengan dan seterusnya kritikan bekas perdana Menteri terhadap pentadbiran Pak Lah? Tidak kiralah sama ianya sandiwara atau tidak yang pastinya kita Pas turut mengutuk tindakan biadab Wee ini bukan sahaja kerana penghinaan beliau terhadap negara lebih daripada itu kerana penghinaan beliau terhadap Islam dan orang Islam itu sendiri. Cumanya kita tetap menolak penggunaan ISA terhadap beliau kerana bukti sudah jelas untuk mengheret beliau ke mahkamah.

Namun dalam pada itu perhatian kita tidak akan lari daripada isu-isu rasuah dan penyelewengan yang berlaku pada era Pak Lah ini. Kita Pas memandang Umno dan BN tiada beza khianatnya dengan Wee terhadap agama dan negara apabila mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat. Malahan kita percaya pelajar Universiti Taiwan itu bertindak berani atas sebab kelemehan kerajaan kita sendiri yang gagal untuk mempertahankan kesucian agama Islam.


HIMPUNAN RAKYAT DI PUTRAJAYA - 84 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 2:00 PM   0 comments

Thursday, August 16, 2007

MB Johor kata Malaysia setanding negara maju.

Assalamualaikum.

Malaysia setanding negara maju – MB
JOHOR BAHRU 15 Ogos – Rakyat perlu bersyukur dan berbangga kerana daripada sebuah negara miskin ketika merdeka 50 tahun lalu kini Malaysia telah mencapai kemajuan serta kecemerlangan dalam pelbagai bidang hampir setanding negara-negara maju.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, paling ketara ialah kemampuan Malaysia mengurangkan 56 peratus rakyatnya miskin kepada hanya sekitar lima peratus sekarang dan jumlah itu dijangka dapat dihapuskan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.
“Inilah antara petunjuk kemajuan negara setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan di samping bidang-bidang lain seperti pendidikan, kesihatan dan ekonomi,” Utusan Malaysia - 16 Ogos 2007.


Menteri Besar ini bercakap ketika negeri bawah pentadbirannya baru saja berlaku kejadian yang menyayat hati iaitu sekeluarga maut dalam kebakaran akibat bekalan elektrik mereka telah dipotong dan terpaksa menggunakan lilin hanya kerana tidak mampu membiayai kos pendidikan anak-anak yang terlalu tinggi.

Di sini kita tidak pasti apakah makna setanding dengan negara maju seperti yang beliau sebutkan. Adakah maksudnya kita setanding dengan negara-negara maju dari sudut budaya dan cara hidup mereka yang bebas, akhlak anak-anak muda mereka yang rosak dan kadar jenayah yang tinggi setiap hari? Dan mungkinkah dengan menjemput penyanyi Gwen Stefani daripada Amerika Syarikat mengadakan persembahan menunjukkan bahawa negara kita menuju status negara maju?


HIMPUNAN RAKYAT DI PUTRAJAYA - 85 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 10:46 PM   0 comments

Wednesday, August 15, 2007

Mahasiswa pada era 50 tahun kemerdekaan.

Assalamualaikum

30.5% pelajar universiti sanggup ambil rasuah.

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Sebanyak 30.5 peratus pelajar universiti di negara ini yang ditanya pendapat mereka sanggup mengambil rasuah jika diberi peluang berbuat demikian, kata Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan.
Beliau berkata, penemuan itu adalah hasil satu kaji selidik yang dijalankan oleh sebuah universiti tempatan pada tahun 2003.
Sambil menyifatkan laporan itu sebagai amat membimbangkan, beliau telah menggerakkan para pegawai BPR yang terlibat dalam Sekretariat Rakan Muda melawat institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi menerangkan kepada pelajar-pelajar mengenai bahaya gejala rasuah.
“Bagi kami, hasil kaji selidik itu adalah satu petunjuk bahawa ada sekumpulan pelajar kita amat bersikap materialistik. Mereka sanggup buat apa sahaja asalkan dapat habuan. Utusan Malaysia - 15 Ogos 2007.


Melihatkan hasil kaji selidik dalam laporan akhbar seperti di atas ini menjadikan kita bimbang dan tertanya-tanya bagaimanakah agaknya pemimpin masa hadapan yang akan menggantikan pemimpin pada masa kini. Kerana kita maklum bahawa golongan mahasiswa adalah golongan intelek yang akan mewarisi kepimpinan negara jadi kita amat-amat bimbang jika mereka yang akan mengambil alih kepimpinan negara kelak termasuk dalam 30.5 peratus yang sanggup ambil rasuah itu.

Sekarang ini pun kita telah pun dihidangkan dengan pemimpin-pemimpin yang korup dan mengamalkan rasuah demi kesenangan hidup mereka. Jadi adalah amat malang jika yang akan menggantikan mereka kelak juga daripada golongan yang memiliki tabiat yang sama. Berkenaan mahasiswa ini juga saya berminat untuk menyentuh tentang laporan akhbar di bawah ini;


Pelajar universiti tulis ucapan khas sempena merdeka

GEORGETOWN: Sejuta mesej perpaduan akan diserahkan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada malam kemuncak `Gegar U! Warna-Warna Malaysiaku: Satu Lambang Perpaduan,' Sabtu ini.Mesej dalam bentuk cakera padat (CD) itu akan diserahkan pada perhimpunan lebih 20,000 orang di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), mulai jam 8 malam.

Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata mesej berkenaan dikumpul menerusi kempen Gegar U! yang diadakan di 16 universiti tempatan sejak Mei lalu hingga akhir bulan ini.Menerusi kempen itu, pelajar universiti diminta memasukkan mesej perpaduan secara bertulis ke dalam kotak yang disediakan di kampus masing-masing dan lokasi awam terpilih atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menghantarnya ke talian 33310 atau melalui

Katanya, penganjur yakin sebanyak sejuta mesej perpaduan dapat dikumpul menjelang majlis penutupan kempen itu."Kempen itu diadakan sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50 bertujuan membantu mewujudkan kegiatan yang dapat menyatukan warga muda Malaysia untuk menghasilkan mesej perpaduan," katanya.

Penganjur utama kempen itu adalah Penyayang, Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan Pulau Pinang. Majlis itu dijangka dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Penyayang, Nori Abdullah.

Penganjur turut menyediakan tujuh hadiah kepada penghantar mesej perpaduan terbaik, termasuk sebuah kereta Naza Sutera hadiah utama. Kempen itu meliputi Pesta Perpaduan di 16 universiti terpilih, selain rakaman gambar perpaduan, pameran perpaduan, buku cerita rakyat Malaysia, perpaduan dalam muzik dan cabaran laluan.

Majlis kemuncak akan diadakan di PISA selama tiga hari berturut-turut mulai esok.
Dalam tempoh 50 jam terakhir kempen itu yang bermula jam 2 petang esok, akan diadakan pertandingan muzik tanpa henti yang disertai 42 kumpulan muzik daripada 16 universiti tempatan.

Selain itu, konsert perpaduan juga akan diadakan pada malam kemuncak sebagai acara penutup yang akan disiarkan secara langsung oleh stesen penyiaran Astro menerusi saluran Astro Ria.Beberapa artis terkenal dijadual membuat persembahan termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Aznil Nawawi dan bintang Akademi Fantasia 5. Berita Harian - 15 Ogos 2007.

Sekali pandang seperti mereka cuba untuk menonjolkan bahawa golongan mahasiswa di negara ini adalah agen perpaduan dan mempunyai penghayatan semangat kemerdekaan yang tinggi dan seterusnya menjadi contoh kepada masyarakat. Namun hakikat sebenarnya kebanyakan mahasiswa kita pada ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 tahun ini mereka terus hanyut dengan budaya hedonisme, leka dengan hiburan dan terpesona dengan kebendaan dan kemewahan. Baca sajalah petikan akhbar di atas ini, kerajaan terus menyogok golongan mahasiswa yang jenis ini dengan persembahan artis dan juga tawaran hadiah yang lumayan untuk menarik mereka ke program yang dianjurkan oleh kerajaan.

Di sini kita akui masih ramai lagi golongan mahasiswa yang mempunyai idealisme perjuangan yang menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar tanpa perlu disogok dengan perkara yang menyeronokkan. Mereka ini adalah mahasiswa yang turut bersama dengan rakyat membebaskan negara daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan menentang ketidakadilan ekonomi serta penindasan. Namun begitu mahasiswa-mahasiswa jenis akan terus ditekan oleh golongan pemerintah kerana dianggap sebagai penentang kepada kerajaan yang memerintah.


HIMPUNAN RAKYAT DI PUTRAJAYA - 86 HARI LAGI

posted by Lidah Penghunus @ 3:22 PM   0 comments

Tuesday, August 14, 2007

Penggunaan dakwat khas - Itu baru satu tuntutan yang dilaksanakan.

Assalamualaikum.

Membaca laporan akhbar hari ini berkenaan keputusan SPR untuk menggunakan dakwat tanda kuku atau jari pada pilihanraya akan datang saya lihat SPR macam tak ikhlas saja. Seolah-olah niat mereka itu bukan benar-benar untuk mengelakkan penipuan serta mewujudkan keadilan dalam pilihanraya tetapi untuk berhadapan dengan pembangkang yang mereka anggap seperti musuh.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata walaupun langkah itu terkebelakang dan tidak berkesan membanteras penipuan jika benar-benar wujud, ia dapat mengurangkan usaha pihak tertentu menggunakan isu pengundi hantu sebagai gimik politik atau menjatuhkan imej SPR.
Merujuk dakwaan penipuan semasa pilihan raya seperti penyamaran untuk mengundi bagi pengundi yang meninggal dunia atau pengundi lain dan mengundi lebih daripada sekali, beliau berkata SPR tidak pernah mendapat bukti menunjukkan penipuan sedemikian berlaku. Berita Harian - 14 Ogos 2007.

Di sini jangan mereka SPR ingat bahawa penggunaan dakwat itu bermakna tanggungjawab mereka sudah selesai. Ada tiga lagi tuntutan yang perlu mereka laksanakan iaitu, pemulihan daftar pemilih, penghapusan undi pos dan pembebasan media. Kerana dengan tidak terlaksananya tiga lagi tuntutan tersebut kita masih menganggap bahawa SPR masih lagi belum bersih dan menjadi alat kepada parti pemerintah dan tuntutan akan terus dibuat agar pilihanraya yang akan dijalankan nanti benar-benar bersih.


HIMPUNAN RAKYAT DI PUTRAJAYA - 87 HARI LAGI.

posted by Lidah Penghunus @ 9:44 PM   0 comments

Sunday, August 12, 2007

Umno kaji benarkan calon adakan jamuan, kempen

Assalamualaikum.

Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan Pengurusan UMNO sedang mengkaji kemungkinan membenarkan jamuan dan kempen dianjurkan oleh calon di semua peringkat jawatan pada pemilihan parti akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, perkara itu dikaji semula setelah mendapat bantahan daripada ahli-ahli yang menyifatkan etika pemilihan sekarang terlalu ketat.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, usaha meminda etika pemilihan itu juga dibuat selepas perhimpunan agung parti yang lepas meminta supaya beberapa peraturan berhubung pemilihan parti dikaji semula.

Beliau menambah, selain itu, ada juga cadangan yang meminta istilah politik wang ditukar kepada rasuah politik bagi menggambarkan buruknya aktiviti itu sehingga boleh menjejaskan imej dan kewibawaan parti. Utusan Malaysia - 12 Ogos 2007.

Adakah ini bermakna Umno cuba pula untuk menghalalkan salahsatu daripada perbuatan rasuah politik dalam parti setelah mereka gagal untuk membendung amalan politik wang dalam Umno?

posted by Lidah Penghunus @ 12:49 PM   0 comments

Antara impian dan fokus Pas pada pilihanraya umum ke-12

Assalamualaikum.

Dari hari Jumaat yang lepas telah keluar berita tentang sasaran Pas untuk memenangi sejumlah 40 kerusi parlimen dalam pilihanraya umum yang akan datang. Rupanya isu ini telah menjadi sebutan hingga ke akhbar hari ini. Malahan Naib Presiden Umno sendiri menganggap ianya sebagai angan-angan Mat Jenin daripada Pas. Namun apabila dibuat undian SMS oleh TV3 ternyata kenyataan Tan Sri Muhyidin Yassin ini telah ditolak oleh majoriti penonton TV3.

Jika kita lihat akhbar Utusan Malaysia Jumaat yang lepas, sasaran Pas untuk menang 40 kerusi parlimen ini telah menjadi sendaan di ruangan Senyum Kambing. Dua ekor kambing dalam kartun berkenaan mempersoalkan mengapa Pas hanya hendak menang 40 kerusi, mengapa tidak lebih daripada itu. Dalam akhbar hari ini pula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan keyakinannya bahawa impian Pas itu tidak akan jadi kenyataan;

Timbalan Perdana Menteri berkata, seperti biasa, bilangan kerusi yang akan diperoleh parti pembangkang itu jauh lebih rendah daripada sasaran yang dinyatakan sebelum pilihan raya
“Itu perkara biasalah. Setiap kali ada pilihan raya, Pas akan menggambarkan hasrat mereka tetapi apa yang mereka nyatakan sebagai impian tidak menjadi kenyataan, bilangan kerusi yang mereka peroleh jauh lebih rendahh daripada impian atau sasaran yang mereka nyatakan sebelum pilihan raya. Berita Harian - 12 Ogos 2007.

Nampaknya dua ekor kambing itu, media-media yang di kawal oleh Umno dan pemimpin-pemimpin mereka tidak faham apa yang dikatakan dengan fokus. Adakah mereka tidak tahu beza antara fokus dan impian? Jika hendak sebut tentang impian sudah tentulah Pas ingin tawan semua kerusi parlimen dan negeri. Tetapi Pas mempunyai kerusi fokusnya yang sendiri yang mereka kaji kerusi-kerusi tersebut mempunyai potensi untuk menang. Dan melalui fokus ini jugalah mereka akan mengandakan usaha.

Salah satu usaha Pas yang kita lihat sekarang ialah menuntut pemilihan demokrasi dan pembersihan pilihanraya. Maka ini sudah jelas bahawa ianya bukannya impian atau angan-angan Mat Jenin seperti yang didakwa oleh mereka. Pas tidak pernah pun sebut hendak memerintah Malaysia dalam pilihanraya umum yang terdekat. Di sini juga kita ingin bertanya bagaimana pula dengan impian mereka untuk mensasarkan pembangkang sifar, menguburkan PKR dan menawan Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang. Adakah itu juga boleh disebut sebagai angan-angan Mat Jenin daripada Umno dan Barisan Nasional?

posted by Lidah Penghunus @ 12:17 PM   0 comments

Friday, August 10, 2007

Miskin punca rentung, Tidak mampu bayar bil elektrik sebabkan 5 beranak maut - Utusan Malaysia

Assalamualaikum.

Terharu melihat tragedi kematian sebuah keluarga dalam satu kebakaran di Johor yang disiarkan dalam berita tv semalam. Apa yang diberitahu kepada kita keluarga berkenaan terpaksa bergelap dan hanya bercahayakan lilin akibat bekalan elektrik mereka telah dipotong oleh TNB kerana tunggakan bil dan kita juga diberitahu bahawa keluarga berkenaan tidak mampu untuk membayar tunggakan bil sebanyak RM 800 itu kerana ingin menampung pembiayaan anak-anak mereka yang belajar di IPTA.

Pemilik rumah yang disewanya, Jaliah Osman, 60-an, berkata, Sufiah pernah mengadu keluarganya kesempitan wang.
Lima hari lalu bekalan elektrik ke rumah itu dipotong kerana Kasmuri tidak dapat menjelaskan tunggakan bil sebanyak RM800.
“Kasmuri menggunakan sebahagian besar daripada wang yang dimiliki untuk membiayai tiga anaknya yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi,” kata Jaliah.
Jiran-jirannya percaya kebakaran pada pukul 3.30 pagi di rumah Kasmuri dan Sufiah di Lorong Osman Mohamad Salleh, Kampung Tengah di sini berpunca daripada api lilin.
Sejak lima hari lalu keluarga itu menggunakan api lilin untuk menerangi rumah.
Dalam kebakaran itu, Kasmuri, Sufiah serta dua anak lelaki mereka, Hishammuddin, 13 dan Izwanuddin, 9, dijumpai rentung bersama anak perempuan, Nurul Macella, 8.
Seorang lagi anak perempuan mangsa, Norfarhana Kasmuri, 15, terselamat kerana sempat melarikan diri melalui pintu depan dan kemudian menjerit meminta tolong.
Semasa kejadian, tiga daripada tujuh anak Kasmuri tidak berada di rumah kerana menuntut di tiga institusi pengajian tinggi tempatan iaitu anak sulungnya, Faezah, 20, di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang; Salahuddin, 19, pelajar jurusan kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Batu Pahat dan Juliana, 18, pelajar kolej matrikulasi di Pulau Pinang. Utusan Malaysia - 10 Ogos 2007.


Di sini kita menerima bahawa ianya adalah satu takdir dan ketentuan daripada Allah SWT. Namun begitu kita agak terkilan kerana puncanya adalah kerana bekalan elektrik yang dipotong dan bekalan elektrik mereka dipotong atas sebab jumlah tunggakan bil yang tidak sampai RM 1000 sedangkan kita dapati ada syarikat-syarikat besar dan agensi kerajaan yang berhutang hingga jutaan ringgit kepada TNB.

Dan kita juga agak terkilan kerana kos pendidikan di negara kita yang tinggi telah menyebabkan mereka terpaksa melepaskan salahsatu daripada keperluan harian yang penting iaitu sumber tenaga elektrik. Nampaknya dalam negara mencecah usia 50 tahun kemerdekaan masih ada lagi rakyat yang dihimpit oleh kemiskinan hingga terpaksa bercahayakan lilin dirumah yang akhirnya membawa musibah kepada mereka dan kejadian ini berlaku di negeri Johor iaitu negeri kelahiran dan kubu kuat Umno yang disebut-sebut sebagai pembela rakyat khususnya orang Melayu. Semoga ianya menjadi iktibar kepada kita dan juga mereka yang diberikan amanah.

posted by Lidah Penghunus @ 4:34 PM   0 comments

Thursday, August 09, 2007

Keputusan Majlis Fatwa berkenaan dakwat khas.

Assalamualaikum.

Akhirnya Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah bersidang semalam telah memutuskan bahawa dakwat khas bagi menanda jari pengundi boleh digunakan dan tiada mengandungi bahan yang melanggar syarak;

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tiga alasan, iaitu dakwat berkenaan tidak mengandungi unsur najis, tidak menyekat air daripada sampai ke kulit dan tidak mendatangkan kemudaratan yang jelas untuk dipakai pada jari dan kuku.
Selepas mendapat penjelasan daripada Jabatan Kimia dan kumpulan pengkaji di Universiti Kebangsaan Malaysia, kita membuat keputusan untuk membenarkan penggunaan dakwat itu."Justeru, tidak ada halangan dari segi hukum dan tidak ada keraguan," Berita Harian - 9 Ogos 2007.

Jika sebelum ini pihak SPR menggunakan alasan hukum syarak untuk tidak melaksanakan tuntutan yang dibuat oleh pembangkang dan NGO bagi memastikan pilihanraya dijalankan secara bersih, sekarang ini majlis fatwa sudah pun memberikan penjelasan kepasa persoalan yang dikemukakan. Maka tidak ada alasan lagilah untuk SPR melaksanakan kaedah yang bertujuan untuk membendung penipuan dalam pilihanraya itu. Tambahan lagi teknik mesin pengimbas cap jari yang mereka anggap lebih moden daripada teknik celupan dakwat itu adalah mahal. Maka teknik celupan dakwat ini adalah jauh lebih murah dan menjimatkan wang rakyat.

Tiada gunanya kita menolak kaedah yang kita anggap lapuk dan ketinggalan zaman tetapi dalam masa yang sama tahap demokrasi di negara kita terus malap dan terkebelakang yang akhirnya akan memburukkan imej negara di mata dunia.

posted by Lidah Penghunus @ 1:05 PM   1 comments

Wednesday, August 08, 2007

Sultan Selangor tarik darjah kebesaran mereka yang korup.

Assalamualaikum.

Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah, menarik balik gelaran Datuk seorang ahli perniagaan, Chow C K Kenneth yang didapati bersalah membabitkan kes Suruhanjaya Sekuriti (SC).Mesyuarat ke-122 Dewan Diraja Selangor di Istana Alam Shah, Klang, 2 Ogos lalu, juga menggantung gelaran Datuk bekas Pengarah Urusan NasionCom Holdings Berhad (NCHB), Chee Kok Wing yang menghadapi tuduhan menipu SC.
Selain itu, mesyuarat berkenaan mengekalkan keputusan menggantung gelaran Datuk empat penerima darjah kebesaran negeri berikutan kes mereka di mahkamah belum selesai.Mereka ialah bekas Ahli Exco Negeri, Saidin Thamby dan Mohd Shariff Jajang, bekas Dekan Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohd Saberi Salleh dan bekas Pengurus Besar Kanan (Pelaburan) Tabung Haji, Mohamad Safie. Berita Harian – 8 Ogos 2007.


Memang wajarlah kurniaan darjah kebesaran kepada mereka yang korup ini ditarik balik oleh baginda sultan. Kerana pangkat Datuk ini dikurniakan kepada mereka yang telah memberi khidmat baktinya kepada negara atau negeri. Tetapi jika mereka ini sudah mula untuk merosakkan negara melalui kelakuan buruk mereka maka tiada guna lagi untuk mereka diberi penghormatan. Bagi saya tindakan baginda Sultan Selangor ini amat senada dengan titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang menyeru rakyat agar menolak mereka yang korup sebagai pemimpin.

Di Negeri Selangor ini kita percaya ramai lagi pemimpin-pemimpin berpangkat Datuk yang korup yang menunggu masa untuk pangkat Datuknya ditarik dan orang yang paling menjadi perhatian sudah tentulah Datuk Zakaria Deros yang pernah dimurkai oleh Sultan Selangor kerana ‘istana’ miliknya.

posted by Lidah Penghunus @ 4:45 PM   0 comments

Tuesday, August 07, 2007

Kibaran Jalur Gemilang yang masih lagi layu.

Assalamualaikum.

Hari sudah pun masuk 7 Ogos. Ada 24 hari lagi untuk kita manyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-50. Di peringkat kerajaan pusat kita sudah mengetahui bagaimana besarnya persiapan mereka untuk menyambut hari yang dilihat penuh bermakna bagi rakyat Malaysia ini.

Semalam semasa di jalanan saya dapati tidak banyak kenderaan yang menaikkan bendera kebangsaan. Malahan boleh dikatakan amat susah untuk jumpa kereta yang berkibar dengan Jalur Gemilang. Begitulah juga dengan bangunan-bangunan dan premis terutamanya milik persendirian atau swasta. Malahan sebuah plaza Tol juga kelihatan tidak menampakkan kemeriahan menyambut kemerdekaan ke-50. Yang ada hanya banner dan bendera yang biasa dikibarkan di tiang sahaja.

Maka di sini kita tertanya-tanya mengapa boleh jadi begini? Mengapa agak dingin sambutan yang diberikan? Sedangkan kerajaan memberikan galakan kepada rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan menyediakan peruntukkan untuk membeli bendera. Malahan amaran juga diberikan kepada premis yang gagal mengibarkan bendera akan disiarkan di media massa (Tak tahulah kalau mereka juga minta bantuan bloggers untuk perkara sebegini). Apapun kita akan dapatkan juga jawapan kepada persoalan ini sedikit masa lagi. Sama-sama kita tunggu.

posted by Lidah Penghunus @ 8:10 PM   0 comments

Monday, August 06, 2007

80,000 polis sedia hadapi pilihan raya - Diharapkan bukan sedia untuk diperalat.

Assalamualaikum.

Sebagai menunjukkan bukti bahawa pilihanraya sudah makin hampir, akhbar hari ini memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa kira-kira 8000 anggota PDRM seluruh negara sudah bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum ke-12.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata PDRM sudah memberi taklimat kepada seluruh anggota dan pegawainya, termasuk latihan mengenai tatacara pilihan raya serta kaedah keselamatan perlu diambil sebelum dan selepas hari pengundian
Selaras itu, semua cuti anggota PDRM akan dibekukan sebaik saja kerajaan mengumumkan pembubaran Parlimen sehingga selepas berlangsungnya hari mengundi. "Setakat ini, PDRM tidak ada apa-apa masalah kerana kita sudah membuat persiapan awal,"
Musa berkata, beliau yakin kecekapan dan kemampuan anggota polis untuk memantau perjalanan pilihan raya tanpa menghadapi banyak masalah, khususnya daripada segi keselamatan rakyat yang keluar mengundi. Berita Harian - 6 Ogos 2007.

Apa yang kita harapkan ialah agar kali ini pihak polis bersedia untuk menghadapi pilihanraya dalam tugas mereka menjaga keselamatan semasa hari berkempen dan hari pembuangan undi iaitu keselamatan para pengundi dan juga petugas parti yang bertanding. Bukannya bersiap sedia untuk menjadi alat kepada parti pemerintah Umno dan Barisan Nasional dalam menghadapi pembangkang.

Kita amat kesal pada pilihanraya kecil Dun Ijok yang lalu pihak polis telah dijadikan alat untuk Barisan Nasional menentang pakatan pembangkang yang terdiri daripada Pas dan PKR. Mereka yang sepatutnya menjaga keselamatan pengundi dan petugas parti telah dipergunakan untuk mengganggu ceramah kempen parti pembangkang, membuat banyak sekatan jalanraya untuk menakut-nakutkan petugas parti tetapi gagal membendung tindakan samseng dan ganas pemuda BN terutamanya yang melibatkan insiden petugas BA dipukul oleh pemuda BN.

Di sini pihak PDRM harus ingat bahawa imej mereka sekarang ini telah pun tercalar oleh masalah anggota mereka sendiri. Jangan nanti kerana sikap mereka yang berterusan menjadi alat parti pemerintah dalam pilihanraya maka PDRM tidak akan dihormati lagi oleh masyarakat. Kita mengatakan sebegini bukan bermakna kita mahu memusuhi pihak polis, tetapi kerana kita memerlukan mereka untuk menjaga keselamatan.

posted by Lidah Penghunus @ 1:19 PM   0 comments

Sunday, August 05, 2007

Pak Lah nafi Malaysia negara sekular, tetapi tidak kata Malaysia negara Islam.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta agar dihentikan polemik tentang status negara ini dan seterusnya beliau memberikan penegasan bahawa negara ini bukanlah negara sekular seperti yang didakwa tetapi tegas Pak Lah Malaysia adalah negara yang berasaskan prinsip demokrasi berparlimen.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahukan polemik berhubung persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam mahupun sekular dihentikan segera dan ciri pemerintahan unik yang diamalkan ketika ini perlu diteruskan.
‘‘Kita adalah sebuah kerajaan yang berasaskan demokrasi berparlimen dan kerajaan yang bertanggungjawab kepada Parlimen dan rakyat adalah terdiri daripada orang beragama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian yang sama-sama bermuafakat membincang dan menghasilkan dasar-dasar dan pembangunan negara,”

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah menolak dakwaan Malaysia sebagai negara sekular kerana menurutnya, negara sedemikian tidak mengambilkira soal agama dalam pentadbiran mereka. Mingguan Malaysia - 5 Ogos 2007.

Di sini mari kita lihat dahulu apa itu Sekularisme. Ianya adalah suatu fahaman yang memisahkan agama daripada kehidupan. Agama hanya terhad kepada ibadat ritual sahaja yang terkongkong di rumah-rumah ibadat dan ianya tidak pun bersangkutan dengan urusan kehidupan dunia. Manakala kehidupan dunia di sini termasuklah politik dan pentadbiran. Di sini memang benar bahawa Malaysia bukanlah negara sekularisme tulen atau sekular sepenuhnya kerana terdapat juga perlaksanaan Islam dalam beberapa aspek dalam pentadbiran negara. Namun ianya tidaklah sepenuhnya diamalkan terutama sekali dalam perkara yang paling pokok iaitu perundangan. Islam masih lagi diletakkan di tempat kedua dalam sistem perundangan negara.

Dalam erti kata yang lain perlaksanaan Islam dalam pentadbiran negara masih terlalu sedikit sebenarnya. Ini bermakna negara ini walaupun tidak sekularisme sepenuhnya namun ianya sebenarnya tetap menuju negara yang mengamalkan sekurisme walaupun sedikit. Sama juga apabila Pak Lah mengatakan bahawa negara ini mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen. Ianya juga sebenarnya tidaklah sepenuhnya kerana umum sudah mengetahui bagaimana gerhananya tahap kebebasan bersuara, kebebasan media, ketelusan SPR dan sekaligus amalan demokrasi di negara kita.

Apapun yang pastinya kenyataan Pak Lah ini, dalam beliau menafikan Malaysia sebuah negara sekular, beliau tidak pun menegaskan bahawa Malaysia adalah negara Islam. Sebaliknya menyatakan bahawa negara ini adalah yang berasaskan prinsip demokrasi berparlimen. Kita tidak pasti mengapa Pak Lah tidak berani menegaskan bahawa Malaysia ini negara Islam. Adalah mungkin ianya kerana desakan daripada parti-parti komponen yang bukan beragama Islam? Nampaknya Timbalannya, Datuk Seri Najib lebih berani menegaskan Malaysia ini negara Islam daripada Pak Lah.

Sebenarnya bagi Pas bukanlah demokrasi itu matlamat perjuangan utama kita. Sudah termaktub bahawa matlamat perjuangan Pas adalah melaksanakan Islam sepenuhnya dalam pemerintahan negara. Demokrasi hanyalah alat untuk Pas mencapai cita-cita perjuangannya. Maka oleh kerana itu pemulihan demokrasi itu juga turut termasuk dalam agenda perjuangan Pas. Ini boleh dilihat daripada penyertaan Pas dalam BERSIH iaitu gabungan pertubuhan politik dan NGO yang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pilihanraya. Kerana apabila tertegaknya Islam itu tidak secara langsung beberapa prinsip dalam demokrasi itu sendiri tetap akan terjamin.

posted by Lidah Penghunus @ 9:16 PM   0 comments

Saturday, August 04, 2007

Pak Lah kena jadi orang pertama ambil VSS

Assalamualaikum.

Berkenaan Skim Pemberhentian Sukarela atau VSS yang dicadangkan oleh Ketua Setiausaha Negara beberapa hari yang lepas, dalam akhbar hari ini Perdana Menteri sendiri telah menyambut baik cadangan berkenaan yang beliau lihat cara terbaik untuk 'melepaskan' mereka yang dilihat bermasalah untuk menerus tugas dalam pentadbiran awam.

Bagi saya sendiri VSS ini dari satu sudut ianya baik sebenarnya untuk dilaksanakan asalkan dibuat dalam bentuk sukarela, bukannya paksaan. Kerana ada segelintir kakitangan awam yang melewati umur 40-an sudah tidak berminat lagi untuk bekerja dan jika diberi pilihan mereka teringin untuk bersara awal. Jadi VSS ini adalah satu langkah yang terbaik. Cumanya keburukan VSS ini pula ianya akan menjadi satu beban kewangan kepada kerajaan kerana mereka yang menerima VSS perlu dibayar pampasan mengikut tempoh perkhidmatan mereka.

Kita juga boleh menerima cadangan ini dengan syarat kerajaan perlulah mengurangkan pengambilan jawatan kontrak dan menyerapkan mereka di jawatan kontrak sekarang ini ke jawatan tetap. Kerana ada yang terpaksa menunggu hingga 15 tahun untuk diserapkan ke jawatan tetap dan ini amat merugikan kakitangan awam itu sendiri dari segi tempoh perkhidmatan dan skim pencen.

Akhir sekali berkenaan VSS ini bagi saya orang yang pertama yang harus mengambil skim ini ialah Perdana Menteri sendiri iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kerana Pak Lah sekarang ini dilihat gagal menguruskan negara dengan baik malahan akhir-akhir ini terutamanya sejak berkahwin beliau dilihat sering bercuti dan melancong. Ini disebut sendiri oleh Ahli Majlis Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin dalam laman web Harakahdaily bertarikh 3 Ogos 2007. http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=9078&Itemid=85

Dan selepas Pak Lah, orang yang patut mengambil VSS ini ialah menteri-menteri kabinet beliau yang korup dan bermasalah itu. Ini seleras dengan saranan Raja Muda Perak, Dr Raja Nazrin Shah tempoh hari agar menolak pemimpin yang korup yang tercalar moralnya. Cumanya untuk mereka ini tidak perlulah membazir wang rakyat dengan membayar jumlah pampasan yang besar kerana selama ini pun mereka sudah cukup membazirkan wang rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 5:58 PM   0 comments

Khairy tidak fikir mahu jadi ketua pemuda?

Assalamualaikum.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak mahu memikirkan soal bertanding jawatan tertinggi pergerakan itu, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha menghadapi pilihan raya umum.
Menurutnya, pada masa ini beliau hanya mahu menumpukan tugasnya sebagai orang nombor dua dalam Pemuda UMNO dan meminta semua ahli Pemuda berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Kita belum menghadapi pilihan raya lagi. Sekarang kita hendak cakap soal pilihan raya umum. Saya sendiri mahu tumpu kepada kerja saya sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, itu lebih penting,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman di sini hari ini. Utusan Malaysia - 4 Ogos 2007.


Sebelum ini kita sudah maklum bagaimana peranan Khairy dalam mencampuri urusan pentadbiran bapa mertuanya iaitu Pak Lah. Jadi mungkinkah sebenarnya Khairy sedang berfikir untuk menjadi Presiden Umno dan seterusnya Perdana Menteri?

posted by Lidah Penghunus @ 5:40 PM   0 comments

Thursday, August 02, 2007

Harga minyak naik, pengusaha stesyen minyak pun turut terhimpit.

Assalamualaikum.

Semalam dalam Sidang Perwakilan Tahunan Ke-34 Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), satu resolusi telah dikeluarkan agar semua stesyen minyak mengehadkan operasi mereka hanya daripada 7 pagi hingga 10 malam sahaja. Keputusan ini mereka buat atas sebab peningkatan kos dan ancaman jenayah seperti rompakan, samun dan penculikan.

Dalam akhbar hari ini keputusan yang dibuat oleh PDAM itu ternyata tidak dipersetujui oleh pelbagai pihak termasuk daripada pihak kerajaan dan orang awam sendiri. Saya juga kurang bersetuju dengan cadangan ini lebih-lebih lagi bila dilaksanakan di kawasan bandar yang 'hidup' 24 jam. Mungkin ianya boleh dilaksanakan di kawasan yang sudah 'mati' menjelang pertengahan malam seperti di kawasan kampung dan pekan kecil. Kerana bagi kawasan bandar ini kita perlu tahu bahawa ada sebahagian mereka yang bekerja di sebelah malam.

Oleh itu stesyen minyak adalah satu keperluan bukan sahaja untuk bekalan bahan api pengangkutan tetapi juga untuk keperluan barangan runcit mereka kerana sebagaimana kita maklum dewasa ini stesyen minyak tidak terhad sebagai stesyen pembekal minyak sahaja, malahan sebagai kedai serbanika dan pelbagai lagi perkhidmatan.

Sebut tentang ancaman jenayah seperti yang di utarakan oleh PDAM itu tadi, timbul persoalan mungkinkah ini petanda bahawa keadaan negara kita semakin tidak selamat oleh kerana peningkatan kadar jenayah. Maka perkara ini juga perlulah diambil perhatian oleh pihak kerajaan sebagai langkah penyelesaian kepada permasalahan pengusaha stesyen minyak itu tadi.

posted by Lidah Penghunus @ 1:14 PM   1 comments

Wednesday, August 01, 2007

Utamakan integriti pilih pemimpin – Raja Nazrin

Assalamualaikum.

Pemimpin atau pihak berkuasa perlu dipilih berdasarkan integritinya terlebih dahulu sebelum melihat kepada kelayakan.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, mereka dengan latar belakang yang samar atau jelas mempunyai kepincangan moral tidak patut dibenarkan memegang jawatan tersebut.

‘‘Untuk itu, tidak boleh ada toleransi terhadap sikap tidak berakhlak (rasuah) yang menjadi penyakit sosial paling berbahaya terhadap manusia,” titah baginda.

Baginda menyampaikan syarahan sulung sempena Siri Syarahan Yayasan Albukhary 2007 bertajuk Ke Arah Susunan Sosial Yang Memuaskan Bagi Semua Warga Malaysia di sini hari ini.

Menurut baginda, pemimpin negara menjadi barisan hadapan dalam menentang rasuah melalui prinsip dan amalan mulia seperti yang ditekankan Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas. Utusan Malaysia - 1 Ogos 2007.

Andaikatalah ucapan Raja Dr. Nazrin Shah ini menjadi titah perintah, bagaimanalah nasib Umno dan kerajaan Barisan Nasional ye?

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   1 comments

Menteri ini lagi rasional dalam isu bloggers

Assalamualaikum.

Bloggers should exercise self-censorship over sensitive issues and not sensationalise issues just for the sake of gaining readers, Deputy Internal Security Minister Datuk Fu Ah Kiow said.
He said bloggers should be careful not to cause offence to any particular group or cause disharmony. The Star - 1 Ogos
2007.

Nampaknya menteri di atas ini lebih rasional dalam menangani isu bloggers di negara ini yang mereka dakwa kononnya keterlaluan. Memang benarlah rata-rata penulis blog yang memilih kategori politik dan isu semasa adalah mereka daripada golongan belia dan dewasa yang sudah pandai berfikir dan menilai sesuatu yang baik dan buruk. Maka seharusnyalah golongan ini menapis dahulu apa jua bahan sebelum keluar di laman blog mereka.

Ini berbeza dengan beberapa pemimpin Umno baik yang tua atau pun yang muda yang terus melenting dan melatah dengan isu bloggers terutamanya yang mengaitkan pengendali laman web Malaysia Today tanpa mahu mengetahui isu sebenar di sebalik perkara tersebut. Monyet, ISA, pengkhianat negara semuanya keluar daripada mulut pemimpin-pemimpin Umno terutamanya sayap pemuda yang terikut-ikut dengan pemimpin mereka yang boleh dikatakan jahil tentang ICT itu.

Maka jadilah mereka ini seperti orang yang takut kepada bayang-bayangnya sendiri yang akhirnya menampakkan lagi kebodohan mereka sendiri di mata masyarakat.

posted by Lidah Penghunus @ 11:24 PM   0 comments


Free Hit Counter