Monday, December 26, 2005

Macam mana nak memerintah?

Assalamualaikum.

Seringkali bila timbul sesuatu kekurangan dalam parti politik pembangkang yang bernama Pas akan keluar soalan yang bunyinya seperti merendah-rendahkan atau memperlekehkan daripada masyarakat malahan ianya datang daripada ahli Pas sendiri. Misalnya "Bangunan sendiri pun tak mampu beli, macam mana nak memerintah?"

Saya kurang bersetuju jika persoalan ini ditimbulkan lebih-lebih lagi ianya datang dari ahli Pas sendiri. Sepatutnya mereka harus faham Pas adalah parti politik di posisi pembangkang atau oposisi yang mempunyai sumber kewangan yang terhad. Ianya tidak boleh disamakan dengan Umno yang memegang tampuk pemerintahan dan bila namanya sudah memegang tampuk pemerintahan, membentuk kerajaan, sudah tentulah akan ada sumber-sumber kewangan hasil dari pencukaian dan sebagainya.

Andaikata Pas menjadi parti pemerintah pun, sumber-sumber kewangan parti tersebut dalam menjalankan dan melicinkan pentadbiran juga adalah sama. Sepatutnya persoalan yang harus timbul dalam menghadapi kekurangan ini ialah Sejauh mana ahli-ahli Pas sanggup bekorban dalam menampung kekurangan yang ada iaitu dari segi wang ringgit, harta, tenaga dan sebagainya. Misalnya jika suatu cawangan itu tiada markaz, maka sejauhmanakah ahli-ahli Pas cawangan berkenaan sanggup menjadikan rumahnya sebagai tempat untuk bermesyuarat, usrah dan pelbagai aktiviti cawangan.

Kita lihat pula negeri Kelantan, satu-satunya negeri yang Pas mendapat mandat untuk menjadi kerajaan namun begitu sebagaimana yang kita maklum sebagai kerajaan negeri, apalagi dari parti pembangkang pada peringkat pusat, sumber kewangan pentadbiran negeri adalah sungguh terhad, salahsatu sebabnya ialah kerana kekangan yang diwujudkan sendiri oleh kerajaan pusat. Dalam menghadapi permasalahan ini kita telah saksikan bagaimana pengorbanan menteri besar sendiri yang tidak mengambil pelbagai elaun yang dikhaskan untuk dirinya sebagai menteri besar dan juga pengorbanan jemaah exco negeri yang sanggup elaun mereka dipotong agar duit-duit itu dapatkan disalurkan untuk kegunaan pentadbiran negeri. Jadi tidak timbul persoalan tidak mampu memerintah akibat kekurangan-kekurangan yang timbul semasa masih dalam pembangkang.

posted by Lidah Penghunus @ 2:54 PM   0 comments

Saturday, December 24, 2005

Kegembiraan pemerintah atas kejayaan formula sains dan matematik dalam bahasa inggeris

Assalamualaikum.

Beberapa minggu selepas konvensi dikeluarkan oleh beberapa badan NGO dan parti politik agar pembelajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa inggeris dikaji semula, keputusan PMR bagi tahun 2005 baru-baru ini seolah-olah telah membuktikan bahawa perlaksanaan tersebut telah berjaya sekaligus menangkis telahan bahawa perlaksanaan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris akan menjejaskan prestasi kedua-dua subjek penting tersebut.

Maka jadilah ianya tajuk utama akhbar-akhbar nasional untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa apa yang kerajaan laksanakan selama ini berjaya. Tidak setakat itu pelbagai kolum dalam akhbar memperkatakan tentang pencapaian yang mereka anggap luar jangkaan ini hinggakan sudah ada cadangan agar pada tahun 2008 dilaksanakan terus soalan peperiksaan dalam bahasa inggeris sepenuhnya.

Jadi tidak hairanlah bagi kita mengapa perlaksanaan tersebut tidak menjejaskan pestasi pelajar kerana bentuk soalan dan jawapannya dibuat dalam pilihan dwi bahasa iaitu soalannya dalam bahasa melayu dan bahasa inggeris dan pelajar boleh membuat pilihan sama ada menjawab dalam bahasa. Dan oleh kerana adanya pilihan maka di dapati hanya satu pertiga dari bilangan calon PMR memilih untuk menjawab dalam bahasa inggeris. Menunjukkan bahawa majoriti pelajar lebih selesa menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar. Tambahan lagi kebanyakan pelajar yang memilih untuk menjawab dalam bahasa inggeris adalah terdiri daripada pelajar-pelajar bukan melayu dan pelajar yang hidup dibandar-bandar besar berbanding majoriti pelajar melayu yang tinggal di desa yang belajar di sekolah yang serba kekurangan.

Jadi ianya kurang tepat untuk menunjukkan bahawa perlaksanaan ini sudah berjaya sedangkan ianya belum dilaksanakan sepenuhnya. Jika ianya dilaksanakan sepenuhnya iaitu seratus peratus soalan dalam bahasa inggeris, saya percaya prestasi pelajar dalam PMR dan peperiksaan yang lain akan merudum. Mengikut apa yang diceritakan sendiri oleh seorang guru yang terlibat dengan perlaksanaan ini, sebenarnya kebanyakan guru tidak mengajar dalam bahasa inggeris seperti yang diarahkan, malahan guru tersebut mengaku bahawa dia sendiri kurang mahir mengajar dalam bahasa inggeris.

Jadi perlaksanaan ini tidak memberi banyak manfaat melainkan berlakunya pembaziran dan kesulitan kerana banyak buku-buku teks dan buku-buku kerja latihan yang perlu ditukar sedangkan perlaksanaannya masih belum sempurna. Jika mahu dikatakan bahawa baiknya perlaksaan ini dalam jangka panjang adalah supaya pelajar dapat membiasakan diri dengan pembalajaran di universiti yang kebanyakan buku rujukannya dalam bahasa inggeris, ianya berbalik semula kepada kelemahan agensi perterjemahan negara yang masih gagal untuk menterjemahkan buku-buku dari pelbagai bidang ilmu ke bahasa melayu. Dan seperti yang selalu saya sebut sebelum ini kalaupun perlaksanaan ini benar-benar berjaya, ianya tetap tidak harus diteruskan kerana ini adalah soal kedaulatan bahasa melayu sebagai bahasa yang diiktiraf sebagai bahasa penyampai pelbagai bidang ilmu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

posted by Lidah Penghunus @ 12:11 AM   1 comments

Tuesday, December 20, 2005

Ada ke nama daerah Bentong di Kelantan?.?.?

Assalamualaikum.

Semalam bila tengok je rancangan Bersamamu terbitan TV3 saya menjadi terkejut dan hairan apabila siaran tersebut menyiarkan kisah kemiskinan sebuah keluarga di Daerah Bentong. Saya tertanya-tanya ada ke daerah bernama bentong di Kelantan? Bentong tu nama daerah baru ke di kelantan? Maka SMS diutuslah ke rakan-rakan, manalah tahu kalau mereka boleh merungkaikan segala persoalan yang tersimpul dalam fakulti minda. Namun begitu rakan-rakan juga tidak tahu, Benar-benar musykil saya dibuatnya. Tapi nyenyak juga lah tidur malam tu.

Keesokan harinya persoalan tersebut menjelma kembali dalam lubuk sanubari. Di tempat kerja persoalan ini cuba ajukan kepada rakan-rakan kerja dengan harapan dapat dirungkaikan terus namun sebaliknya makin serabut jadinya bila mereka memberitahu bahawa selain daripada bentong rancangan bersamamu TV3 juga pernah membuat membuat pendedahan tentang keluarga miskin di daerah mentakab, gombak dan pekan.

Aduh! makin berserabut dibuatnya. Makin banyak rupanya daerah saya tidak tahu ada di Kelantan. Kalau tidak pun mungkin ini adalah daerah-daerah baru yang diwujudkan di negeri Kelantan.

Mengapa persoalan ini timbul? jawapan dia senang sahaja. Ye lah kan orang-orang yang miskin ni wujud di negeri Kelantan sahaja, negeri di bawah pemerintahan Pas. Negeri-negeri bawah pemerintahan Umno-Barisan Nasional mana ada orang miskin. Mereka semua pandai mentadbir, orang-orang Pas, tok-tok guru tak pandai mentadbir.

Jadi persoalan yang sebenar-benarnya, adakah Daerah Bentong, Mentakab, Gombak, Petaling Jaya dan banyak lagi tempat-tempat yang pernah menjadi fokus oleh rancangan bersamamu TV3 ini daerah di bawah pentadbiran kerajaan negeri Kelantan? Adakah sebuah daerah di negeri Sabah yang tahap kemiskinan mereka hingga terpaksa berlaukkan siput babi itu ditadbir oleh tok guru Pas? Setakat sini sahajalah, saya tinggalkan persoalan ini untuk tuan-tuan fikir. biar fakulti minda tuan-tuan pula yang berserabut (:

Sekarang saya ingin mengulas sedikit tentang fenomena banjir di banjir di beberapa tempat di negeri Kedah dan Perlis. Tentu ada antara kita yang masih tidak dapat melupakan satu kenyataan Dato' Seri Najib yang sungguh angkuh dan takbur apabila mengatakan Negeri yang diperintah oleh Pas sahaja yang banjir, negeri-negeri yang diperintah oleh Umno dan BN tidak akan banjir. Dan lihatlah sekarang Allah dah berikan petunjuk kepada orang-orang yang angkuh dan takbur. Sepatutnya sebagai orang yang mengaku islam, beriman tidak patut mengeluarkan kenyataan seperti itu. Banjir adalah fenomena alam yang ditentukan Allah. Tiada satu kerajaan pun yang dapat menahan ianya berlaku walau sehebat manapun teknologi yang dimiliki. Cuma persoalannya sekarang ialah bagaimana sesebuah kerajaan prihatin terhadap rakyatnya yang menjadi mangsa banjir dan sejauh mana mereka dapat membantu mangsa-mangsa banjir ini untuk meringankan beban dan masalah mereka akibat daripada banjir yang melanda. Dan sekarang kerajaan Umno dan BN yang mengaku bahawa mereka ini bijak mentadbir, inilah masanya untuk mereka membuktikan bahawa kenyataan mereka itu bukan hanya omong kosong semata-mata.

Dan apa yang perlu mereka ingat, pusingan pertama tadi mereka sudah gagal, telah terbukti bahawa mereka juga tidak pandai mentadbir apabila terdapat begitu banyak orang miskin di negeri pentadbiran mereka. Narai takbeer!!!

posted by Lidah Penghunus @ 11:46 PM   0 comments

Sunday, December 18, 2005

Kibaran bendera Israel menyambut kehadiran rakyat Palestin sempena Forum Keamanan Sejagat




Assalamualaikum.

Macam tak percaya sahaja bila melihat gambar menunjukkan bendera negara haram Israel berkibar megah di bangunan parti melayu yang kononnya memperjuangkan islam hadhari yang selama ini memegang tampuk pemerintahan negara. Jika hendak dikatakan teknik tampalan atau 'super impose' mustahil kerana sudut gambar itu diambil tidak memungkinkan untuk gambar tersebut diolah dengan teknik sebegitu.

Itulah hakikatnya Umno, dulu, kini dan selamanya. Kita tidak dapat melupakan peristiwa kedatangan pasukan kriket Israel pada tahun 1995, walaupun pada masa itu saya sendiri di zaman kegelapan tetapi saya amat menyokong demonstrasi menghalau musuh islam itu. Sikap berbaik-baik dengan israel itu sudah jelas apabila para pencinta islam yang berdemonstrasi pada masa itu disepak, diterajang oleh FRU hampir sama seperti yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin. Dalam hal ini ulama' muktabar, Dr Yusof al Qardhawi pernah memberi kaedah jika mahu tahu bahawa sesebuah negara itu islamik atau tidak, iaitu dengan menganjurkan demonstrasi menentang kezaliman israel, dan jika demonstrasi itu disambut dengan 'hujan asid' maka jelaslah bahawa negara tersebut tidak islamik.

Sebenarnya jika tidak dengan kedatangan Israel atau tertegaknya bendera mereka pun sudah cukup dengan terlaksananya agenda-agenda yahudi di negara yang pernah diisytiharkan negara islam oleh perdana menteri yang terdahulu. Melalui budaya hedonisme atau yang lebih tepat budaya berseronok-seronok, hiburan yang melampau, pergaulan bebas, keruntuhan akhlak adalah antara agenda-agenda yahudi yang secara halus ingin menghancurkan umat islam yang hingga kini begitu pesat dijalankan oleh proksi mereka iaitu kerajaan Umno BN sendiri.

Dalam minggu ini berlangsungnya forum keamanan sejagat di PWTC yang mana forum tersebut banyak difokuskan kepada isu konflik Palestin-Israel. Apa yang ingin saya sentuh dalam forum keamanan di sini ialah kehadiran delegasi dari Palestin terutama seorang remaja perempuan Palestin, Najwa Jalamneh yang telah menyentuh perasaan peserta forum apabila menceritakan apa yang berlaku di negaranya (teringat saya kepada cerpen Lamaran dari Palestin). Sedangkan tidak jauh dari tempat dia meluahkan tentang penderitaan yang ditanggung oleh dia serta saudara-maranya di palestin, berkibar megah bendera negara yang selama ini bertanggungjawab terhadap apa telah berlaku.

Dalam forum keamanan ini juga kelihatannya bekas perdana menteri iaitu Tun Dr Mahathir tidak mahu melepaskan peluang untuk memberi ucapan beliau terutama dalam mengutuk kekejaman israel, sedangkan kita sudah maklum sikap beliau selama ini terhadap perjuangan rakyat palestin yang mana beliau menganggap mereka yang melakukan serangan berani mati sebagai pengganas. Namun begitu ucapan adik Najwa Jalamneh itu tadi seolah-olah ditujukan terus kepada Dr Mahathir apabila dalam ucapannya terdapat bentuk persoalan yang berbunyi "apakah kami yang mempertahankan diri ini dianggap pengganas?"

Sebenarnya inilah sikap bermuka-muka yang diamalkan oleh Umno dan BN, mereka seolah-olah menunjukkan simpati terhadap penderitaan rakyat palestin tetapi dalam masa yang sama seolah-olah mengiktiraf kewujudan negara haram Israel di bumi Palestin. Jika sudah namanya negara haram, negara yang tidak diiktiraf, bendera mereka juga tidak harus diiktiraf, apalagi hendak dipacakkan sebaris dengan bendera negara-negara lain yang berdaulat. Jika bendera mereka ada di negara kita pun tujuannya tidak lain tidak bukan iaitu untuk dibakar dalam siri demonstrasi menentang kekejaman mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 1:30 AM   0 comments

Wednesday, December 14, 2005

Isu tahanan wanita dipaksa ketuk ketapi

Assalamualaikum.

Bila sahaja mendapat berita bahawa wanita di dalam lokap tahanan yang dipaksa ketuk ketampi itu sebenarnya bukannya pelancong warga China seperti yang digembar-gemburkan tetapi sebaliknya adalah orang melayu, warganegara malaysia, beragama islam, maka melentinglah jurucakap Kelab Penyokong Kerajaan. Tetapi bukan kerana yang menjadi mangsa itu adalah rakyat Malaysia sendiri, saudara seagama, tetapi membidas sikap melulu ahli politik yang mengakibatkan negara mendapat malu lebih-lebih lagi kepada negara China dan juga telah mencalarkan imej polis.

Nampaknya benarlah kata-kata seorang sahabat bahawa isu ini mendapat perhatian kerajaan adalah semata-mata kerana ianya melibatkan seorang pelancong warga asing yang mana jika isu ini tidak ditangani maka akan menjejaskan hubungan dengan negara China dan sekaligus akan memberikan kesan kepada ekonomi negara kerana negara kehilangan pelancong dari negara China. Maka tidak hairanlah hingga mereka sanggup menghantar seorang menteri sebagai wakil untuk memohon maaf kepada kerajaan China.

Ini bermakna mereka mengambil berat tentang isu ni adalah lebih kepada kepentingan ekonomi dan kepentingan politik antarabangsa semata-mata bukan kerana kepentingan kemanusiaan dan maruah seorang wanita terutamanya wanita islam. Sedangkan bagi Ahli Parimen Seputeh yang mula-mula membangkit isu tersebut sendiri menyatakan bahawa isu yang dibawanya adalah bukan semata-mata kerana mangsa berketurunan cina tetapi ianya adalah isu hak asasi manusia. Ini mengingatkan kita kepada Lim Guan Eng yang sanggup merengkok dalam penjara kerana membela gadis melayu beragama islam. Jika benar mereka mengambil berat tentang maruah seseorang wanita sudah tentu mereka akan bertindak terhadap satu laporan seorang aktivis reformasi wanita yang juga telah diperlakukan sama seperti isu sekarang ini. Namun begitu oleh kerana wanita yang berkenaan hanyalah rakyat biasa yang pada mereka tiada kepentingan ekonomi, lebih-lebih lagi wanita tersebut tidak sehaluan dalam politik mereka maka kes tersebut hanya dipandang sepi sahaja.

Begitulah yang terjadi kepada wanita yang di arah ketuk ketapi dalam keadaan tidak berpakaian sekarang ini, bila sahaja diumumkan bahawa mangsa bukan pelancong warga China maka seolah-olah mereka menganggap bahawa pihak kerajaan dan pihak polis sendiri sudah terlepas kesalahan tersebut dan bagi mereka kes wanita tersebut tidak akan menjejaskan kepentingan ekonomi negara. Tambahan pula bagi pihak polis ketuk ketapi dalam keadaan tidak berpakaian ini adalah prosedur biasa dalam siasatan polis untuk mengesan bahan bukti terutamanya dadah yang disembunyikan. Adakah itu cara yang diajarkan oleh islam? dengan memaksa seseorang untuk mendedahkan auratnya dan mencemarkan maruahnya atas alasan kononnya untuk mencari barang bukti.wajarkah prosedur ini dilaksanakan di negara yang kononnya mengamalkan islam?

Menyentuh tentang isu ini juga seorang pensyarah dari UIA telah memberi pandangan bahawa ini adalah soal darurat maka kaedah menelanjangkan tahanan untuk mencari bahan bukti adalah dibolehkan. Persoalannya bolehkan isu ini disebutkan sebagai darurat? sedangkan banyak lagi cara-cara lain yang lebih sopan untuk mencari bahan bukti yang disembunyikan dalam badan. Misalnya pada zaman moden ini kita ada mesin pengimbas dan pelbagai lagi kaedah yang canggih untuk mengesan barang-barang yang disyakki. Mengapa perlu lagi menggunakan kaedah yang bagi saya sesuai untuk zaman kuno ini? Jika pihak polis mengatakan bahawa cara tersebut adalah kaedah bagi mengesan tahanan-tahanan yang disyakki memiliki dadah, mengapakah pula mereka menggunakan kaedah tersebut terhadap seorang aktivis reformasi, sedangkan ianya ditahan bawah akta polis, bukan akta dadah, seorang yang ditahan atas sebab menyertai perhimpunan haram yang berunsur politik pihak polis akan mendapatkan apa-apa risalah yang berbentuk hasutan sebagai bahan bukti dan sudah tentulah rumah atau kediaman tahanan yang akan digeledah, mengapa pula tubuh badan tahanan yang digeledah? Adakah logik jika tahanan menyembunyikan 'molotov cocktail' ataupun senjata tajam bagi kegunaan merusuh di tempat-tempat yang berkenaan?

Sudah jelas prinsip matlamat menghalalkan cara yang diamalkan oleh mereka. Mereka sanggup melakukan apa sahaja, walaupun bercanggah dengan syarak untuk mencapai matlamat mereka. Lebih-lebih lagi jika matlamat tersebut adalah kebendaan semata-mata.

posted by Lidah Penghunus @ 11:06 PM   0 comments

Monday, December 12, 2005

Kesian wartawan Malaysia

Assalamualaikum.

Dalam berita perdana tadi setelah puas melaporkan tentang sidang kemuncak ASEAN campur tiga diselitkan sedikit luahan kecewa dan ketidakpuasan hati pihak wartawan Malaysia khususnya media arus perdana terhadap penganjur yang mengadakan terlalu banyak peraturan yang ketat dan menganaktirikan wartawan tempatan dengan mengutamakan wartawan asing.

Media arus perdana yang sebelum ini menjadi budak suruhan kerajaan rejim Umno dan BN dalam kempen mereka di pilihanraya kecil Pengkalan Pasir kini seolah-olah tidak dihargai dan dipinggirkan pada sidang yang dianggap berprestij ini. Sebaliknya media asing pula yang di beri keutamaan, diberi layanan istimewa oleh kerajaan Umno-BN selaku tuan rumah dan juga penganjur persidangan. Jika di Pengkalan Pasir kelihatan bilik gerakan media pengampu kerajaan bersebelahan dengan bilik gerakan pemuda BN namun pada sidang kemuncak ASEAN ini mereka 'dikandangkan' oleh penganjur.

Begitulah adatnya kalau dah sedia dipergunakan sebagai alat kepentingan politik kotor pemerintah. Mereka ini hanya diperlukan oleh pemerintah ketika pihak pemerintah mendambakan kuasa iaitu semasa ingin menang sesuatu kerusi Dun atau Parlimen. Bila tidak diperlukan lagi mereka akan dilayan seperti sampah sahaja. Dan selepas ini bila tiba pilihanraya negeri bagi Dun Serawak, sekali lagi media-media pengampu ini akan diperlukan oleh rejim Umno dan BN untuk menjadi budak suruhan mereka.

Jadi tidak perlulah pihak media alatan Umno-BN ini merungut tentang layanan yang diberikan terhadap mereka kerana mereka sendiri yang sedia untuk diperlakukan sebegitu.

posted by Lidah Penghunus @ 11:12 PM   0 comments

Kemarahan Dr Mahathir terhadap ahli Umno yang takut nyatakan kebenaran.

Assalamualaikum

Sedih betul mantan perdana menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr Mahathir dengan sikap ahli-ahli Umno yang tidak berani tampil untuk menyatakan kebatilan yang berlaku dalam Umno dan juga sikap membisu sayap wanita Umno yang tidak mahu menegur salah laku ketua mereka.

Sudah terlambat wahai Dr Mahathir. Kalau 25 tahun dahulu beliau menyatakan begini insya-Allah perkara negatif ini tidak akan berlaku dalam Umno sekarang ini, namun begitu pada masa zaman beliau memegang jawatan percana menteri, beliau jugalah yang menyuburkan budaya 'bisu' atau 'yes man' dalam kerajaan mahupun parti. Lihatlah apa sudah jadi pada timbalan-timbalan beliau. Yang paling nyata Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri dan banyak lagi insan-insan yang cuba hendak berani mengkritik pemimpin namun begitu kecundang atas sikap tidak demokratik beliau.

Masa sekitar pilihanraya kecil Pengkalan Pasir dahulu Annuar Musa menyatakan bahawa Dr Mahathir ada contoh pemimpin yang tidak melenting, tidak berkecil hati bila di kritik sebagai mengulas Menteri Besar kelantan yang kecil hati dengan sikap pemimpin Umno yang minta kerajaan negeri membubarkan Dun. Nampaknya Anuuar Musa lupa bahawa setiap kritikan tajam yang dikenakan terhadap beliau akan dijawab dengan ISA, OSA, Akta mesin cetak, penamatan permit akhbar dan sebagainya


Dan sekarang tiada gunanya lagi sebab beliau bukan ada kuasa dan budaya ini akan terus disuburkan pula oleh pengganti beliau iaitu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Jika Dr Mahathir benar-benar ikhlas mahu membenteras amalan penyelewengan, dari masa beliau jadi perdana menteri lagi beliau akan bertindak kerana begitu banyak salahlaku dan penyelewengan menteri-menteri kabinet dilaporkan semasa beliau menjadi perdana menteri. Namun begitu sudah jelas kritikan beliau baru-baru ini bukan kerana kepentingan rakyat, ianya lebih kepada kepentingan peribadi beliau sendiri yang masih lagi tamak dan iri hati walaupun tidak lagi bergelar perdana menteri.

posted by Lidah Penghunus @ 3:05 PM   0 comments

Sunday, December 11, 2005

Bagaikan sebuah rumah

Assalamualaikum.

Bayangkan sebuah rumah yang lengkap dengan segala kelengkapan asas, dengan bilik tidurnya, dengan dapurnya, dengan bilik setor dan bilik membacanya. Dengan bilik airnya. Bilik airnya pula begitu lengkap dengan segalanya, begitu sempurna. Kesimpulannya sesiapa sahaja yang memiliki rumah tersebut akan rasa puas hati. Namun begitu bila mahu mandi pemilik rumah tersebut menggunakan bilik air rumah orang lain pula, sedangkan bilik mandi di rumahnya adalah lebih sempurna.

Begitulah juga dengan segelintir umat islam yang menganut satu agama yang cukup lengkap dengan ibadahnya, dengan sistem ekonominya, dengan sistem kekeluargaannya, dengan sistem perundangannya namun begitu dalam hal perundangan mereka masih menggunapakai sistem perundangan yang dibuat oleh manusia yang telah terbukti gagal dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan tingkah laku manusia.

Bila sebut sahaja islam, dalamnya akan terangkum kesemua kaedah dan cara hidup yang amat-amat lengkap, tidak perlu lagi sistem lain. Misalnya tidak perlu lagi kita sebut memperjuangkan islam dan keadilan, sebut memperjuangkan islam sahaja dah cukup kerana di dalamnya sudah tentu terdapat keadilan, dalam erti kata yang lain bila kita memperjuangkan islam, bermakna kita juga memperjuangkan keadilan, hak asasi manusia, kebebasan bersuara, kebebasan media, hak-hak wanita, keadilan ekonomi, penjagaan alam sekitar dan pelbagai lagi aspek yang berdasarkan kepada islam.

posted by Lidah Penghunus @ 2:53 PM   0 comments

Friday, December 09, 2005

Pengkalan Pasir yang gerhana.

Assalamualaikum.

Setelah bertungkus-lumus pekerja-pekerja Pas bagi memenangkan Calon Pas, Setelah sekian banyak duit, sogokkan, dan janji manis BN taburkan kepada pengundi dan setelah Pas berhadapan dengan gerombolan jentera pilihanraya BN termasuk sekutu-sekutu mereka seperti media, jentera kerajaan, polis, SPR dan pengundi hantu akhirnya kerusi Pengkalan Pasir jatuh juga ke tangan BN dengan hanya majoriti 134 undi. Tidak perlulah diulas lagi tentang sebab kekalahan Pas ini kerana kita sudah maklum tentang penggunaan pengundi hantu, pengundi pos dan rasuah pilihanraya yang akan digunakan oleh BN setiap kali pilihanraya. Yang pastinya kemenangan BN ini adalah kemenangan yang tidak bermaruah dan calon yang menang tidak layak digelar yang berhormat.

Seperti yang pernah disebut dahulu, dengan keputusan pilihanraya kecil yang tidak memihak kepada Pas ini, Pas tetap mendapat mandat sebagai kerajaan negeri dan BN tetap kekal sebagai pembangkang, maka tiada sebab untuk Pas membubarkan kerajaan negeri dalam masa yang terdekat. Jika dilihat kepada majoriti kemenangan BN yang kurang dari dua peratus dan kelebihan itu pun hanya kerana undi pos, maka ianya tidak boleh menjadi ukuran bahawa rakyat Kelantan sudah menolak Pas.

Dengan keputusan yang agak mengecewakan bagi kita yang cintakan islam ini di harapkan tidak mematahkan semangat kita untuk terus bekerja untuk islam dengan lebih tersusun lagi. Seperti yang telah dibincangkan dalam usrah, kekalahan ini juga harus dijadikan ruang untuk kita bermuhasabah kembali tentang gerak kerja kita dalam jemaah islam, adakah ianya memenuhi prasyarat kemenangan yang telah ditetapkan oleh Allah. Dan untuk diri saya sendiri, semoga terus istiqamah untuk menulis.

posted by Lidah Penghunus @ 5:55 PM   0 comments

Monday, December 05, 2005

Hendak pilih ahli sukan pun kena yang berakhlak.

Assalamualaikum
Pagi tadi dalam rancangan pagi sebuah stesyen TV, dalam kehujanan ucapan tahniah dan pujian oleh para pemanggil terhadap seorang atlit sukan yang menjadi juara, tiba-tiba ada seorang pemanggil berbangsa india, beragama hindu mempertikaikan sikap masyarakat yang terlampau menyanjung dan memuji seseorang atlit sukan yang berjaya melakar kecemerlangan dalam sukan tanpa mengambil kira latar belakang akhlak dan keperibadian atlit tersebut misalnya atlit yang kaki botol, kaki disko, perangai buruknya ditutup oleh kecemerlangan yang dilakarnya. Yang paling menarik perhatian saya apabila pemanggil tersebut turut menyebut tentang sensitiviti umat islam bila menyentuh perkara tersebut.

Nampaknya pandangan pemanggil yang bukan beragama islam ini begitu berbeza dengan sikap segelintir umat islam sendiri khususnya dalam soal memilih pemimpin. Mereka tidak mengambil kira tentang akhlak dan peribadi seseorang pemimpin, biarlah seburuk mana pun akhlak seseorang pemimpin itu asalkan dia boleh menjanjikan pembangunan material kepada mereka. Maka lahirlah kenyataan UNDI TIADA KENA-MENGENA DENGAN HUKUM-HAKAM

posted by Lidah Penghunus @ 6:45 PM   0 comments

Sunday, December 04, 2005

Pengundi hantu suatu khayalan?

Assalamualaikum.

Nampaknya pada saat-saat hampir dengan hari pembuangan undi di Pengkalan Pasir, media-media alatan BN begitu hebat sekali melancarkan serangan media terhadap Pas. Kebetulan pagi minggu ni saya beli akhbar sebab Komuniti siber yang saya sertai iaitu portal ukhwah.com mendapat liputan dalam ruangan remaja pada akhbar tersebut, namun apa yang saya perhatikan seolah-olah akhbar tersebut sudah menjadi lidah rasmi umno (Jika lidah rasmi Pas adalah Harakah, mungkin Serakah adalah nama yang paling sesuai untuk lidah rasmi Umno)

Cuma ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya yang ingin saya ulas di sini. Yang pertama tentang Naib Presiden Umno Dato' Seri Najib yang mengatakan dakwaan Pas bahawa terdapat pengundi hantu di pengkalan pasir hanyalah imaginasi atau khayalan parti tersebut. Dalam kenyataan tersebut Najib mengatakan bahawa isu wujudnya pengundi hantu adalah alasan Pas bila parti tersebut kalah dalam sesuatu pilihanraya. Nampaknya Najib lupa bahawa mereka juga pernah berimiginasi apabila menuduh Pas menggunakan pengundi hantu apabila mereka kalah dalam pilihanraya kecil arau pada tahun 1998 hingga perkara ini dibawa ke mahkamah dan akhirnya terbukti bahawa ianya adalah imaginasi atau khayalan mereka semata-mata apabila Pas dibuktikan tidak menggunakan pengundi hantu oleh mahkamah.

Namun begitu dalam akhbar yang sama juga Najib pula berimaginasi apabila meminta pengundi di pengkalan pasir berhati-hati kerana ada pihak-pihak tertentu yang akan mengambil kad pengenalan mereka untuk mengurangkan undi terhadap BN. Sedangkan apalah kuasa Pas untuk merampas kad pengenalan rakyat, berapa sangatlah duit Pas hingga mampu membayar kepada mereka yang menyerahkan kad pengenalan? sedangkan mereka tiada jentera kerajaan yang kuat, mereka tidak menguasai jabatan pendaftaran hingga membolehkan mereka melakukan hal tersebut. Ini berbeza dengan Umno dan BN, mereka menguasai Jabatan Pendaftaran malahan SPR yang membolehkan mereka memindahkan nama-nama pengundi yang berdaftar bila-bila masa sahaja. Mereka juga menguasai jabatan polis yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja terhadap penduduk kampung termasuk merampas kad pengenalan mereka. Dana yang mereka ada bukan setakat mampu 'membeli' kad pengenalan pengundi, malahan mereka mampu untuk 'membeli' pengundi.

Di sini juga saya ingin mengulas sedikit tentang kenyataan Dato' Mashitah dalam kempennya di Pengkalan Pasir yang mengatakan bahawa kerajaan Pas Kelantan sudah berubah, tidak seperti dahulu lagi, Tok guru Nik Abdul Aziz juga sudah berubah apabila sudah mula menjemput artis untuk membuat persembahan di Kelantan. Isu artis atau yang lebih tepatnya Isu Mawi ini tidak perlulah diperjelaskan lagi kerana ianya sudah banyak kali diperjelaskan sebelum ini. Cuma saya bersetuju bahawa Pas Kelantan sudah berubah, namun ianya adalah perubahan yang positif yang membawa kebaikan iaitu keterbukaan kerajaan Pas Kelantan di bawah pimpinan tok guru Nik Abdul Aziz terhadap hal-hal hiburan yang tidak melanggar syarak.

Yang betul-betul berubahnya sekarang ini sebenarnya adalah Dr Mashitah sendiri. Dahulunya beliau adalah seorang ahli akademik yang agak dihormati di UIA, malahan beliau pernah ditemuramah dalam majalah al-Wasilah (arwah) yang mana dalam temuramah tersebut beliau begitu prihatin terhadap gejala keruntuhan akhlak yang berlaku terutamanya pengaruh daripada artis tempatan. Namun kini beliau sendiri berada dalam kerajaan yang memberi lesen kepada keruntuhan akhlak masyarakat, lebih malang sekali apabila beliau sendiri yang membenarkan wanita yang kesempitan hidup untuk melacurkan diri. Jadi sebenarnya Dr Mashitah tidak layak untuk bercakap tentang hiburan yang melanggar syarak di Kelantan sedangkan dalam kerajaan yang disertainya sendiri, hiburan yang melalaikan yang melanggar batas syarak begitu diberi lesen yang besar.

posted by Lidah Penghunus @ 2:35 PM   0 comments

Undi tiada kena mengena dengan hukum hakam?

Assalamualaikum.

Umpama ulama’ dan ilmuan islam, tanpa rasa bersalah Dato’ Seri Najib membuat kenyataan bahawa undi yang diberikan dalam pilihanraya tiada kena-mengena dengan hukum hakam. Rasanya saya bukanlah orang yang layak untuk menjawab isu ini kerana yang lebih layak untuk menjawab isu ni secara tuntas adalah golongan bijak pandai agama sendiri. Cuma apa yang ingin saya sentuh di sini, jika najib mengatakan undi tiada bersangkutan dengan hukum hakam, mengapa pula mereka boleh mempertikaikan undi para penjawat awam khususnya guru terhadap pembangkang? Sedangkan undi juga tiada kena mengena dengan soal profesyen perguruan yang mereka pegang. Sama ada seseorang guru itu memilih Pas atau Umno atau Ibrahim Ali sekalipun, mereka tetap akan kembali kepada tugas dan tanggungjawab mereka sebagai warga pendidik dan malahan jika berubah suatu tampuk pemerintahan akibat satu undi yang mereka beri, mereka tetap akan terus menjadi guru yang berkhidmat kepada sekolah kerajaan yang memerintah. Dalam erti kata yang lain, parti politik adalah parti politik, kerajaan adalah kerajaan, parti politik yang memegang tampuk pemerintahan akan berubah, namun kerajaan tetap akan menjadi kerajaan. Yang bertukar mungkin adalah dasar yang berdasarkan ideologi parti politik yang mendapat mandat

posted by Lidah Penghunus @ 12:12 AM   0 comments

Saturday, December 03, 2005

Dari Lindunganbulan ke Pengkalan Pasir

Assalamualaikum.

Sejak dari tulisan ucapan selamat hari raya dahulu sebulan lamanya saya tidak menulis. mungkin yang inilah dinamakan dengan raya sakan, puasa sebulan, raya pun sebulan. Benarlah kata seorang sahabat bahawa spiderman sama juga seperti kita manusia, ada perasaan, ada keinginan yang pada satu-satu masa akan ‘down.’ Ada yang ‘down’ kerana kecewa, sedih, ada yang yang ‘down’ kerana dihujani kegembiraan, ada yang ‘down’ kerana ditimpa kemiskinan, kesempitan hidup dan ada juga yang ‘down’ kerana dilimpahi oleh kemewahan. Semoga kita dikurniakan istiqamah dalam menjalankan kerja-kerja islam.

Jika bermulanya raya idulfitri dahulu terhentinya saya menulis dan kini raya idulfitri sudah berlalu dan seperti kata seorang sahabat akan tiba ‘raya’ yang lagi satu iaitu pilihanraya kecil N12 Pengkalan Pasir, biarlah ianya menjadi permulaan untuk saya menulis kembali. Jika di dengar dari nama pilihanraya kecil Pengkalan Pasir bunyinya tiadalah penting sangat, sama ada Pas atau BN yang menang tidak memberi impak kepada pentadbiran kerajaan negeri. Jika Pas yang menang, parti yang menerajui kerajaan negeri itu tetap tidak akan dapat mengembalikan mandat 2/3 dalam dewan undangan negeri dan jika BN pula yang berjaya merampas kerusi Pengkalan Pasir dari Pas, parti yang bertaraf pembangkang di negeri Kelantan tersebut tetap akan kekal sebagai pembangkang dalam dewan undangan negeri Kelantan. Hatta jika calon bebas iaitu Dato’ Paduka Ibrahim Ali menang sekalipun tidak mungkin Kelantan akan ditadbir oleh kerajaan ‘payung’ kerana Pas masih lagi memiliki majoriti kerusi yang melayakkan parti yang menjadikan islam sebagai dasar itu memerintah negeri kelantan.

Sebenarnya apa yang penting bagi kedua-dua parti yang bertanding, pilihanraya kecil ini adalah sebagai pengukur tahap sokongan rakyat kepada mereka di era pasca raya idulfitri dan pra tahun baru 2006 ini yang mana masuknya tahun 2006, ada 2 atau 3 tahun lagi sebelum menjelang pilihanraya umum ke-12. Untuk Umno dan BN, kemenangan dalam pilihanraya kecil ini amat-amat diburu oleh mereka sebagai membuktikan kepada rakyat bahawa propaganda mereka selama ini yang Pas sudah kehilangan sokongan di kelantan dan Umno semakin mendapat sokongan dari rakyat kelantan adalah benar. Bagi Pas pula kemenangan perlu dipertahankan untuk kewibawaan pemerintahan ulama’ di negeri tersebut dan juga untuk menutup segala keangkuhan dan Umno dan BN.

Sebagaimana yang kita maklum seperti kebiasaan BN akan menggunakan pelbagai cara untuk memenuhi cita-cita politik kotor mereka. Antaranya ialah memperalatkan jentera kerajaan, politik ugut, mengerahkan gerombolan samseng untuk menakut-nakutkan petugas-petugas Pas dan pengundi, menabur fitnah terhadap Pas dan kerajaan negeri, menabur janji-janji palsu dan janji-janji yang tidak masuk akal dan pelbagai lagi taktik kotor yang terlintas di fikiran mereka. Dapat kita saksi sepanjang kempen pilihanraya, Umno dan BN begitu angkuh dan takbur dalam menghadapi Pas. Mereka terlalu yakin bahawa mereka akan menang dan akan dapat merampas mandat pentadbiran negeri daripada Pas sehingga mereka mendesak kerajaan negeri membubarkan Dun Kelantan. Adalah tidak masuk akal apabila Umno dan BN berjanji untuk mewujudkan sebuah universiti di kelantan dan seterusnya menjadikan kelantan negeri maju setaraf negeri Selangor. Seolah-olah dengan berjayanya mereka berjaya mendapat satu kerusi di Pengkalan Pasir mereka akan mendapat mandat untuk mentadbir negeri.
Jika janji untuk membina universiti ini adalah janji dari kerajaan persekutuan setelah rakyat di Pengkalan Pasir memberi kemenangan kepada BN, ini bolehlah dikatakan sebagai rasuah pilihanraya dan jika mereka kalah di Pengkalan Pasir maka janji untuk membina universiti itu ditarik balik, maka jelaslah ia adalah ugutan pilihanraya daripada Umno dan BN yang memperalat nama kerajaan persekutuan yang dikuasai mereka. Berkenaan dengan janji untuk menjadikan kelantan setaraf dengan negeri maju selangor, mereka perlu membuktikan dahulu di negeri-negeri yang diperintah oleh Umno dan BN sebelum menabur janji di kelantan. Seolah-olah jika Umno perintah kelantan maka dengan sekelip mata kelantan akan pesat membangun dan mencapai status negeri maju seperti selangor sedangkan negeri-negeri lain seperti terengganu, kedah dan pahang masih lagi di tahap lama. Perlu kita lihat di sini bahawa status negeri maju yang diisytiharkan oleh kerajaan negeri selangor adalah pembohongan semata-mata, mungkin maju yang dimaksudkan ialah maju dalam hal-hal maksiat dan keruntuhan akhlak.

Di sini juga kita perlu lihat kepada negeri terengganu, suatu ketika dahulu bila Pas berjaya menawan negeri yang berjiran dengan kelantan itu, tidak pun sampai setahun Pas memerintah terengganu, media alatan Umno dan BN terus menabur propaganda seolah-olah bila Pas tadbir terengganu sahaja, rakyat negeri tersebut terus jatuh miskin dan papa. Namun begitu bila Umno dan BN berjaya merampas semula negeri terengganu dan kini sudah hampir dua tahun Umno memerintah terengganu tiada pula kita nampak terengganu terus maju seperti selangor, kononnya.

Saya baru sahaja pulang dari Pasir Mas, Kelantan. Pertama kali dalam hidup saya menjejaki bumi serambi mekah yang ditadbir bawah pemerintahan ulama’ ini. Jika sebelum ini saya dengar propaganda daripada media alatan BN bahawa kelantan ini mundur, miskin dan tidak membangun dan ianya dijawab oleh media-media milik Pas dan media alternatif yang lain. Namun kini saya dapat saksikan sendiri bahawa kelantan bukanlah seperti yang digambarkan, jika sebelum ini pun saya tetap percaya bahawa kelantan ini bukanlah teruk sangat. Apa yang saya perhatikan ianya sama sahaja seperti negeri kelahiran saya iaitu Negeri Sembilan, di pusat pentadbirannya pembangunan agak pesat dan di desa-desa pula keadaannya seperti di desa-desa yang lain, jika di kelantan ada orang miskin, Negeri Sembilan juga ada orang miskin, jika kelantan ada masalah bekalan air, Negeri Sembilan, malahan selangor pun apa kurangnya, jika kelantan ada masalah siswazah menganggur, di Kuala Lumpur pun sama sahaja. Cuma bezanya masalah siswazah menganggur di kelantan, Umno akan menyalahkan kerajaan negeri yang tidak menyediakan peluang pekerjaan dan masalah siswazah menganggur di seluruh negara pula Umno akan menyalahkan siswazah sendiri yang terlalu memilih pekerjaan. Jika adapun kekurangan-kekurangan di negeri tersebut, ianya berbalik kepada sikap kerajaan persekutuan yang menganaktirikan bantuan kepada setiap negeri, menyekat pelaburan asing ke negeri Kelantan.

Sepanjang saya berada di Pasir Mas khususnya Pengkalan Pasir, saya dapati banyak juga rumah-rumah banglo dan rumah-rumah mewah yang tersergam indah dan dilihat daripada bendera dan poster yang dipasang di rumah mereka, rata-rata penghuni rumah tersebut penyokong dan ahli Umno. Apa yang boleh saya katakan di sini ianya menunjukkan bahawa kerajaan Pas tidak mengamalkan kronisme dalam pembahagian projek khususnya projek kerajaan negeri. Kalau Pas mengamalkan kronisme sudah tentulah golongan-golongan yang saya percaya ada di antara mereka ini terdiri daripada kontraktor ini akan menyokong Pas supaya mudah untuk mereka mendapatkan tender daripada kerajaan Pas kelantan.

Sekarang ada beberapa hari sahaja lagi sebelum bermulanya hari pembuangan undi. Sudah tentu kempen semakin hebat dijalankan oleh setiap parti yang bertanding. Untuk petugas-petugas Pas yang berada di kelantan di harapkan dapat memberi komitmen yang tinggi ke arah kemenangan Pas dalam pilihanraya kecil ini, kepada yang tidak berkesempatan untuk ke kelantan, sama-samalah kita solat hajat agar Allah memberikan kemenangan kepada Pas dan sekaligus memberi pengajaran kepada mereka yang angkuh dan zalim ini.

posted by Lidah Penghunus @ 2:25 PM   0 comments


Free Hit Counter