Sunday, May 29, 2005

Semuanya kerana dunia

Assalamualaikum.

Seringkali kita dengar seorang ibu memarahi anaknya, sering berleter terhadap anaknya kerana risaukan anaknya yang malas untuk belajar, malas untuk ke sekolah sehingga kadang kala membuatkan sang anak berasa tension dan malas untuk duduk di rumah. Semua itu adalah semata-mata kerana si ibu ingin melihat anaknya berjaya dalam pelajaran dan menjadi seorang yang berguna suatu hari nanti.
Namun begitu dalam perkara untuk memastikan agar anak itu terpelihara akhlak dan pegangan agamanya dan seterusnya terjamin hidupnya di akhirat tidak begitu diambil berat. Misalnya dalam pendidikan agama leteran yang diberikan oleh si ibu jika anaknya ponteng kelas agama atau mengaji al quran adalah tidak sehebat jika sang anak ponteng sekolah. Sedangkan dengan didikan agama akan menjamin kehidupan seseorang anak itu di dunia dan akhirat.

Seorang anak yang hanya cemerlang dalam dalam pendidikan keduniaan semata-mata mungkin akan dapat memberikan kebahagiaan dan kesenangan kepada ibu dan bapanya setakat di dunia sahaja. Namun begitu seorang anak yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan keduniaan namun cemerlang dalam pendidikan agama insya-Allah akan memberikan kebahagian bukan setakat di dunia, malahan membawa kepada kebahagiaan di akhirat kerana anak-anak yang soleh akan sentiasa mendoakan kebahagian ibu dan bapanya di dunia dan akhirat.

Seorang ibu yang kuat berleter kepada anaknya dalam soal pelajaran tiba-tiba seolah-olah mendiamkan diri bila melihat anaknya bebas ber’couple’ ke sana ke mari, lalai dari mengerjakan solat, tidak menutup aurat ketika keluar rumah dan terlampau fanatik dengan hiburan yang melalaikan. Si ibu tidak sanggup menegur perbuatan anaknya kerana tidak mahu dikatakan suka berleter dan tidak ‘sporting’ dan baginya itu semua tidak mengapa asalkan anaknya cemerlang dalam pelajaran.

Lain pula halnya kita sebagai seorang pekerja yang seboleh-bolehnya tidak mahu datang lewat ke tempat kerja, tidak mahu ‘punchcard’ merah kerana takut dimarahi oleh bos, dikenakan memo dan seterusnya di potong gaji. Namun begitu dalam soal solat fardu tiada pun sedikit rasa bersalah kerana melewat-melewatkannya dan tidak pun kita berasa takut bahawa ganjaran pahala solat fardu kita akan ‘dipotong’ dan menjadi kurang kerana melengah-lengahkan solat tanpa sebab yang munasabah.
Begitu juga dengan aktiviti jemaah seperti usrah, mesyuarat, ceramah dan sebagainya, ramai lagi ahli-ahli jemaah termasuk diri saya sendiri yang gagal untuk hadir ke program-program jemaah tepat pada waktunya. Sedangkan bila menghadiri mesyuarat, seminar, dan majlis menandatangani kontrak atau memorandum persefahaman yang berorientasikan keuntungan dunia, seboleh-bolehnya kita akan datang lebih awal sebelum majlis bermula. Dalam hal ini kita berpandukan kepada ungkapan “masa itu emas,” sesaat masa yang berlalu begitu sahaja akan membuatkan kita rugi jutaan ringgit. Dalam aktiviti jemaah sendiri di akhir program kita akan membaca surah al asr yang menekankan tentang masa sedangkan program tersebut berakhir lewat malam atas sebab sikap kita sendiri yang sampai lewat hingga program terpaksa dimulakan lewat dari masa yang ditetapkan.

Ini mungkin kerana kita menganggap bahawa kerja-kerja jemaah atau da’wah ini adalah kerja ‘part time’ yang tidak mendapat ganjaran dalam bentuk wang, jadi kita melakukannya dengan sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh tetapi sedarkah kita bahawa jika kita diterima bekerja di sesebuah syarikat, kita akan menandatangani surat perjanjian sebagai ikrar janji kita kepada syarikat untuk memberi komitmen yang sepenuhnya kepada kerja, maka bila kita ‘mengisi borang’ jemaah juga bermakna kita telah berbai’ah dan berikrar untuk komited sepenuhnya kepada jemaah yang kita dokong. Ganjaran hasil dari pengorbanan kita dalam kerja-kerja jemaah ini tidak kita dapat setiap hujung bulan melalui mesin ATM, ianya kita akan kecapi apabila kita ‘berehat’ dari perjuangan yang suci ini. Insya-Allah.

posted by Lidah Penghunus @ 5:37 PM   0 comments

Friday, May 20, 2005

Isu Guatanamo dan tindakbalas Muqtadar as Sadr

Assalamualaikum.

Tindakan tentera Amerika yang membuang kitab suci al quran ke dalam lubang tandas di kem tahanan tentera al qaida di Teluk Guantamo telah menimbulkan kemarahan umat islam di seluruh dunia. Isu ini telah meledakkan siri demonstrasi dan perhimpunan besar-besaran di kebanyakan negara umat islam termasuklah di Afghanistan yang diperintah sendiri oleh kerajaan boneka Amerika. Sebagai tindakbalas daripada penghinaan yang dilakukan oleh tentera Amerika ini seorang ulama' syiah di Iraq, Muqtadar as sadr telah menyarankan agar setiap masjid dilukiskan dengan bendera Amerika dan Zionis di setiap pintu masuk agar setiap jemaah yang memasuki masjid akan memijak bendera Amerika dan Zionis yang dilukiskan.

Apa yang menarik yang saya ingin ulaskan di sini ialah bagaimana sederhananya dan tidak melampaunya kita umat islam dalam berhadapan dengan serangan dan penghinaan oleh golongan kuffar. Kita umat islam telah dihina dengan sebegitu sekali apabila kitab suci kita dicampak ketempat yang kotor oleh musuh-musuh kita namun kita tidak sampai membalasnya dengan meletakkan lambang salib apalagi kitab injil di depan pintu masjid untuk dipijak oleh umat islam yang mengunjungi masjid. Ini adalah kerana kita dilarang untuk menghina kepercayaan golongan bukan islam, menghina dan memaki hamun berhala sembahan mereka. Oleh kerana itulah as sadr hanya menyarankan agar bendera Amerika dan Zionis sahaja yang lukiskan di depan masjid untuk dipijak kerana segala punca permasalahan yang berlaku adalah didalangi oleh kerajaan Amerika sendiri yang didalangi oleh gerakan Zionis.

posted by Lidah Penghunus @ 10:20 PM   0 comments

Thursday, May 19, 2005

Antara tudung dan apron

Assalamualaikum.

Pada tanggal hari guru yang lalu saya tertarik satu laporan akhbar di india yang mana guru-guru sekolah di sana akan diwajibkan memakai apron ketika waktu mengajar tidak kira guru lelaki atau wanita. Rasionalnya perlaksanaan ini adalah supaya apron yang dikenakan itu dapat menutup bahagian depan tubuh yang biasanya menarik perhatian mata yang memandang terutamanya bagi guru wanita. Ini kerana menurut laporan akhbar itu tadi, seringkali pelajar di india hilang tumpuan terhadap apa yang diajar oleh guru kerana lebih tertumpu kepada bentuk tubuh badan guru yang mengajar.

Nampaknya inilah antara bukti mengapa Allah memerintahkan dalam al quran kepada golongan muslimah supaya melabuhkan hijab mereka hingga ke bawah dada mereka. Antara tujuannya adalah untuk menahan dari pandangan-pandangan liar. Logiknya kita sudah nampak, bahawa wanita yang tidak menutup aurat bukan sahaja akan membawa kepada jenayah seksual, malahan boleh beri kesan kepada proses pembelajaran di sekolah.

Cumanya kerajaan india mungkin memandang masalah ini sebagai masalah prestasi pendidikan semata-mata sedangkan islam mewajibkan wanita muslim bertudung bukan sahaja semata-mata bertujuan untuk menghindari dari perkara yang merosakkan malahan lebih daripada itu ianya adalah sebagai lambang ketaqwaan seseorang muslimah itu yang mematuhi perintah Allah melalui al quran.

posted by Lidah Penghunus @ 11:41 PM   0 comments

Kesian Mahathir

Assalamualaikum

mahathir begitu kecewa apabila beliau ditahan dari memasuki baitul maqdis, tanah suci ketiga umat islam, malahan kekecewaan ini juga dilahirkan oleh media-media arus perdana tempatan seolah-olah israel telah menjatuhkan air muka 'perdana menteri' Malaysia.

Mengulas isu ini Dr Mahathir perlu ingat yang pertamanya beliau bukan lagi pemimpin negara. beliau sekarang ini hanyalah rakyat biasa dan tidak apa yang perlu marahkan apabila beliau dihalang memasuki baitulmaqdis.

Yang paling penting sekali yang perlu beliau ingat ialah, beliau pernah mengecop pejuang berani mati yang dipelopori sayap jihad Hamas sebagai pengganas. Mereka yang menggunakan kaedah meletupkan diri sendiri bagi tujuan untuk memerangi israel yang menceroboh bumi islam palestin dan diiktiraf oleh ulama sebagai syahid dikatakan pengganas oleh beliau sama seperti yang dilabelkan oleh kuasa-kuasa kuffar. Jadi sebenarnya beliau tidak layak untuk memijakkan kaki ke bumi baitul maqdis atas sebab penghinaan yang dilemparkannya terhadap mereka yang berjuang untuk membebaskan baitul maqdis daripada cengkaman zionis

posted by Lidah Penghunus @ 11:34 PM   0 comments

Monday, May 16, 2005

Belajarlah ekonomi

Assalamualaikum.

Kenaikan harga bahan api telah memberikan impak yang besar kepada harga kebanyakan barang keperluan harian kerana pengangkutan adalah salahsatu daripada proses pengeluaran sebelum sesuatu barang itu sampai kepada pengguna. Tidak kira sama ada peniaga itu mengambil kesempatan menaikkan harga lebih daripada kadar kenaikan petrol atau diesel atau seseorang peniaga itu menaikkan harga barangan sekadar untuk menampung kos kenaikkan, yang pasti kenaikkan harga bahan api petrol dan diesel ini ternyata telah memberikan kesan yang negatif kepada pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah, kuasa beli dan upah benar rakyat telah menurun sedangkan kadar upah tidak juga naik. Jika golongan peniaga menaikkan harga barangan jualan atas sebab kenaikan kos pengeluaran maka sepatutnya juga golongan pekerja harus dinaikkan kadar upah mereka kerana kos hidup mereka semakin tinggi.

Dalam mengulas isu ini timbalan presiden Persatuan Pemuda Negara telah menyarankan rakyat agar belajar dan memahami ilmu ekonomi agar mereka lebih faham dan tidak menyalahkan kerajaan. Di sini saya bersetuju dengan beliau agar rakyat belajar dan mendalami ilmu ekonomi tetapi tujuannya adalah supaya rakyat tidak lagi tertipu oleh kerajaan. Selama ini oleh kerana tidak faham tentang ekonomi maka rakyat senang ditipu oleh kerajaan. Bila sahaja indeks saham kita meningkat dengan lebih tinggi maka dihebahkan bahawa ekonomi negara telah meningkat, sedangkan hakikatnya pasaran saham bukanlah pentunjuk utama prestasi ekonomi negara kerana turun dan naiknya sesuatu indeks saham itu boleh dipengaruhi oleh belian dan jualan, dalam kata yang lain ianya terikat dengan hukum permintaan dan penawaran iaitu jika permintaan tinggi maka harga meningkat dan sebaliknya permintaan kurang maka harga akan jatuh. Jadi seperti juga matawang, indeks saham ini boleh dimanupulasikan oleh kuasa beli mereka yang bermodal besar. Jika kita lihat sebilangan besar pelabur-pelabur adalah terdiri daripada pelabur spekulatif yang bertujuan mengaut keuntungan jangka pendek berbanding mereka yang melabur untuk memperolehi dividen dalam jangka panjang.

Dalam ilmu ekonomi petunjuk prestasi ekonomi yang sebenar ialah peratus KDNK (keluaran dalam negara kasar) Peratus perubahan KDNK inilah yang disebut sebagai pertumbuhan ekonomi negara. Namun begitu dengan pertumbuhan KDNK yang positif ini belum tentu ianya membawa makna kepada peningkatan kesejahteraan rakyat keseluruhan kerana jika pertumbuhan KDNK sesuatu negara itu tinggi belum tentu lagi pendapatan perkapitanya tinggi dan jika pendapatan perkapitanya juga tinggi belum tentu ianya dapat dini'mati oleh keseluruhan rakyat. Realitinya yang dapat kita lihat sekarang ialah kekayaan negara hanya berlegar di sekelompok kecil sahaja. Maka tidak hairanlah prestasi ekonomi negara kita pada suku pertama 2005 menjangkau ke angka 8 peratus namun rakyat masih dihimpit oleh masalah ekonomi.

Berbalik kepada persoalan harga minyak itu tadi, sebenarnya harga minyak dalam pasaran memang tinggi, cuma ianya dapat dikurangkan melalui subsidi kerajaan iaitu kerajaan menanggung separuh daripada kos pengeluaran untuk memastikan harganya dapat dikurangkan. Namun kerajaan ternyata tidak lagi mampu menampung subsidi minyak yang terlalu tinggi akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Sebenarnya ini berbalik kepada soal pengurusan ekonomi yang diamalkan oleh kerajaan selama ini. Nampaknya perbelanjaan yang membazir melalui pelbagai projek mega oleh kerajaan dahulu telah menampakkan kesannya kini, kerajaan telah kehilangan berbilion ringgit akibat dari projek-projek mega yang tidak menguntungkan ini, hanya gah dari sudut pandangan mata sahaja. Ini diburukkan lagi dengan amalan kronisme dan korupsi yang ternyata telah merugikan jutaan wang rakyat.

Andaikata semua amalan pengurusan ekonomi yang negatif ini dapat dihindarkan insya-Allah dengan kenaikkan harga pasaran minyak dunia ini pun tidak akan beri kesan yang buruk kepada ekonomi rakyat, ini tidak mustahil kerana tambahan lagi negara kita juga adalah pengeluar minyak.

posted by Lidah Penghunus @ 11:13 PM   0 comments

Wednesday, May 11, 2005

Satu lagi akta Drakonian oleh kerajaan Barisan Nasional.

Assalamualaikum.

Sayu rasanya mendengar berita mangsa pertama kezaliman Akta Khidmat Negara yang digari dibawa ke mahkamah, didakwa dan dijatuhkan hukuman semata-mata kerana gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Yang paling menyedihkan kerana remaja yang didakwa itu adalah dari keluarga yang miskin, ibunya adalah seorang ibu tunggal dan oleh kerana itu beliau tidak dapat menghadiri PLKN kerana perlu bekerja untuk menyara keluarganya.

Mahkamah pun sudah maklum tentang kesusahan yang dihadapi oleh adik Ahmad Hafizal yang menyebabkan beliau tidak hadir PLKN namun begitu hukuman tetap dijatuhkan atas alasan kepentingan umum mengatasi kepentingan individu. Di sini saya tertanya-tanya apakah dengan tidak hadirnya adik Hafizal ke PLKN akan menyebabkan negara menjadi huru-hara? adakah dengan gagal menghadiri PLKN akan menimbulkan suasana takut dan tidak tenteram di kalangan rakyat? Jadi sebenar tidak timbul sesuatu yang boleh mengugat kepentingan umum dengan gagalnya adik Hafizal menghadiri PLKN, kesan yang timbul ialah mungkin hanya diri hafizal sendiri iaitu beliau tidak dapat peluang untuk apa yang dikata memupuk patriotisme dalam diri.

Cerita tentang patriotisme pula, adakah tidak patriotik lagi adik Safizal yang sanggup bekorban untuk meringankan beban ibu dan adik-beradik? sedangkan remaja yang seusia beliau banyak yang membebankan ibu bapa dengan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat. Adakah beliau seorang remaja yang tidak bertanggungjawab sehingga perlu mengikuti program yang dikatakan bertujuan untuk mendidik remaja supaya bertanggungjawab? Saya percaya jika seseorang remaja itu sanggup mengambil tanggungjawab meringankan beban keluarga di usia muda, insya-Allah mereka juga mempunyai sifat patriotik dan cintakan negara.

Kita berasa bersyukur kerana tidak lama selepas itu adik Hafizal telah dibebaskan kerana ada pihak yang sanggup membayar denda yang dikenakan terhadap beliau. Tetapi adakah pembebasan itu dapat menebus maruah beliau dan keluarga beliau yang telah tercalar oleh tindakan mahkamah yang menggari beliau seolah-olah beliau adalah pesalah jenayah berat yang merbahaya kepada orang awam dan ianya dapat ditonton di seluruh negara. Jadi jika apa yang terjadi kepada adik Hafizal ini terus berulang maka tiadalah bezanya akta khidmat negara ini dengan akta-akta drakonian yang lain seperti ISA, OSA, Akta Mesin Cetak dan AUKU yang bersifat zalim, menindas dan menakut-nakutkan rakyat. Jika kezaliman ISA dengan memperuntukkan tahanan tanpa bicara kepada tertuduh, Akta Khidmat Negara pula bolehlah dianggap zalim kerana menjatuhkan hukuman kepada seorang yang tidak hadir PLKN tanpa memperdulikan sebab dan masalah yang menyebabkan seseorang itu gagal menghadiri PLKN.

posted by Lidah Penghunus @ 10:38 PM   0 comments

Sunday, May 08, 2005

Kerisauan kerajaan terhadap hiburan yang bertentangan dengan budaya timur.

Baru-baru ini dalam akhbar nasional JAKIM akan mengambil langkah untuk membuat garis panduan tentang pertunjukkan hiburan yang diadakan dalam negara. Lihat sahaja kepada kenyataan saya secara peribadi amat-amat menyambut baik langkah jakim itu. Tetapi bila diteliti kandungan kenyataan rupa-rupanya jakim yang bertanggungjawab keatas kemajuan islam di negara ini juga seperti apa yang saya sebut dahulu bahawa mereka lebih mementingkan budaya timur daripada hukum syarak bila mana mereka akan membuat garis panduan pertunjukkan hiburan agar tidak bertentangan dengan budaya ketimuran.

Ianya terdiri dari garis panduan pemakaian dan juga bentuk persembahan. Seperti yang telah saya sebut dalam penulisan terdahulu bila sahaja disebut tentang garis panduan pakaian seseorang artis yang tidak bertentangan dengan budaya, bagi mereka artis itu sudah cukup sopan apabila tidak memakai pakaian yang terlalu kebaratan dan lagi baik jika memakai baju kurung melayu. Sedangkan mengikut hukum syarak persembahan hiburan yang melalaikan itu sendiri sudah bertentangan dengan nilai-nilai islam.

Di sini saya suka mengambil contoh isu pengharaman konsert sure heboh suatu masa dahulu, baru-baru ini dato' Harussani Zakaria, Mufti Perak dalam ceramahnya sempena maulidur rasul menjelaskan bahawa pengharaman konsert itu bukan semata-mata kerana pemakaian artis yang membuat persembahan itu sahaja, malahan yang paling penting jelas beliau konsert tersebut telah melalaikan masyarakat dari mengerjakan solat dan dikhuatiri ini akan membawa mereka kepada kekufuran. Memang tidak boleh dinafikan kerana walaupun kebiasaan suatu konsert itu bermula pada jam 9 malam iaitu selepas isya' tetapi saya tak fikir bahawa mereka yang mengunjungi konsert ini akan solat dahulu sebelum ke konsert kerana mereka sudah tentu ingin datang awal untuk mendapat tempat paling hadapan dan paling dekat dengan artis kesayangan mereka. Malahan ada yang sanggup datang seawal sebelum maghrib untuk memastikan tiket-tiket masuk tidak kehabisan. Fenomena inilah yang membuatkan mereka sanggup meninggalkan solat semata-mata untuk menonton persembahan artis. Mungkin mereka akan bagi alasan bahawa waktu isya' panjang, tetapi adakah kerena semata-mata untuk sesuatu yang melalaikan mereka akan melewatkan solat mereka? Satu lagi kita lihat kepada artis yang akan membuat persembahan. Sebelum membuat persembahan mereka akan disolekkan seawal pukul 7 malam lagi dan jika muka mereka sudah tertampal dengan solekkan saya tak fikir mereka sanggup rosakkan solekkan mereka itu dengan air wudhu'

Tidak terbatas kepada konsert, persembahan hiburan di televisyen juga kita dapati banyak melalaikan masyarakat islam dari kewajiban solat. Banyak rancangan hiburan dibuat pada waktu maghrib. Tidak dinafikan bahawa mereka akan menghentikan siaran untuk menyiarkan azan. Tetapi nampak seperti ianya melepaskan batuk di tangga kerana selepas sahaja disiarkan azan terus disiarkan iklan-iklan yang berkumandang dengan lagu-lagu yang rancak sedangkan dalam waktu yang sama azan di masjid-masjid dan surau belum habis lagi. Seketika dahulu ada yang menyarankan agar ibu bapa sendiri berperanan dengan menutup terus TV pada sekitar maghrib iaitu pukul 7 hingga lapan malam. Namun begitu kita mahu kerajaan melalui kementerian penerangan juga harus berperanan dengan tidak membenarkan stesyen TV dan radio menyiarkan sebarang bentuk hiburan pada sekitar waktu maghrib hingga isya' kerana kita sudah sedia maklum bahawa dalam zaman yang penuh dengan budaya hedonisme atau budaya mengagungkan keseronokan ini, tidak semua anak-anak yang akan mendengar cakap ibu bapa mereka dan dari situ perlunya peranan kerajaan sebagai pihak yang mempunyai kuasa.

posted by Lidah Penghunus @ 2:59 PM   0 comments


Free Hit Counter