Tuesday, September 30, 2008


posted by Lidah Penghunus @ 7:49 AM   1 comments

Monday, September 29, 2008

Hunusan menjelang raya

Assalamualaikum.

60 peratus ahli mahu Gerakan keluar BN.
Sentimen di kalangan akar umbi ahli Gerakan menunjukkan kira-kira 60 peratus daripada mereka mahu parti itu keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN).
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, walaupun majoriti ahli parti berkongsi sentimen seperti itu, namun ia bukan satu-satunya faktor yang dipertimbangkan pucuk pimpinan dalam menentukan perkara tersebut.
Kata beliau, sebaliknya analisis mendalam akan terus dijalankan dengan setiap sesuatu perkembangan politik semasa perlu diambil kira termasuk perkembangan tuntutan Gerakan yang dibuat sebelum ini. Utusan Malaysia - 29 September 2008.


Di sini cadangan saya kepada 60% daripada ahli Gerakan itu, jika hasrat dan suara hati mereka tidak dipenuhi, adalah lebih baik mereka keluar sahaja daripada parti komponen BN itu dan menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.


Sembilan digantung keahlian UMNO.
Lembaga Disiplin UMNO menggantung keahlian selama tiga tahun terhadap sembilan ahli parti kerana melakukan sabotaj dan rasuah politik.
Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata,
antaranya ialah bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi, A. Malek Daing A. Rahaman.
Beliau berkata, ahli perniagaan itu digantung keahlian parti selama tiga tahun berkuat kuasa 22 September lalu.
Keputusan itu dicapai melalui sidang Lembaga Disiplin yang berlangsung pada 22 dan 24 September lalu. Utusan Malaysia - 29 September 2008.


Nampaknya tidak sia-sia Lembaga Displin Parti ditubuhkan dalam Umno kerana Lembaga berkenaan benar-benar berfungsi dan digunakan secara optimum. Tidak seperti lembaga displin dalam parti politik yang lain terutamanya Pas yang dilihat kurang berfungsi. Ini kerana Pas tiada perebutan jawatan dan politik wang setiap kali pemilihan pucuk pimpinan parti Islam itu.


Habuan seks: Zul Hassan dipecat.
Kerajaan negeri Perak hari ini memecat serta merta Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan (gambar) yang mengaku menerima habuan seks wanita warga China berhubung skandal rasuah membabitkan projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar berkata, arahan melucutkan jawatan Zul yang juga seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikeluarkan pada Jumaat lalu.
‘‘Ini adalah keputusan kerajaan negeri setelah dia mengaku mendapat habuan seks wanita China menerusi seorang individu yang dikenali sebagai Mohamad Imran Abdullah pada 14 Ogos di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

‘‘Di samping itu individu yang menawarkan habuan seks itu akan didakwa secepat mungkin,”
Kita juga akan mengesyorkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menerima ataupun menawarkan habuan seks dan rasuah.
‘‘Mereka tidak lagi layak untuk menjadi ahli majlis di bawah kerajaan pakatan pembangkang dan kita mahu dia meletakkan jawatan secepat mungkin,” ujar beliau.
Mohammad Nizar berkata, tindakan itu juga merupakan amaran untuk semua ahli majlis yang membuat kesalahan sedemikian dengan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk bertindak.

Jika mereka sanggup melakukan perbuatan yang bertentangan dengan adat kesopanan dan kesusilaan, mereka tidak lagi layak untuk mewakili kerajaan pakatan pembangkang dalam mana-mana jawatan sama ada majlis bandaran atau majlis daerah di Perak,” Utusan Malaysia - 29 September 2008.

Di sini saya menyambut baiklah tindakan kerajaan negeri yang dipimpin oleh YAB Nizar memecat ahli majlis yang mengaku terlibat dengan skandal seks. Di sini bukan soal individu berkenaan diperangkap tetapi bekas ahli majlis ini telah terlibat dengan salah laku moral yang bertentangan dengan amalan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang turut disertai oleh Pas.
Kita tidak perlukan pemimpin yang mudah kalah dengan godaan.
Tahniah kepada Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar. Semoga Allah akan terus memberikan bantuan dalam menapis keluar mereka yang rendah akhlaknya daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 3:34 PM   0 comments

Wednesday, September 24, 2008

Siapa sebenarnya pembohong?

Assalamualaikum.

Hairan rakyat tetap percaya pembohongan.
MELAKA 23 Sept. - Sikap rakyat negara ini yang terus mempercayai pembohongan demi pembohongan yang dilakukan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menampakkan ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat hari ini.
Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, kalau dahulu seseorang yang berbohong melebihi dua kali tidak lagi dipercayai oleh masyarakat tetapi kini ia tidak berlaku sedemikian.
''Orang ini berbohong berkali-kali dan masih ada yang mempercayainya. Dahulu dia kata nak memerintah negara 16 September tidak menjadi, ditangguhkan ke 23 September iaitu hari ini tetapi tiada apa yang berlaku.
''Tetapi pemimpin yang penuh tipu helah dan berbohong secara terang-terangan seperti ini masih boleh dipercayai juga oleh sebahagian rakyat," Utusan Malaysia - 24 September 2008.


Awal tahun yang lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah mengatakan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat, tetapi alih-alih parlimen dibubarkan keesokan harinya.
Dalam tahun yang sama jugak Najib pernah berjanji bahawa harga minyak tidak akan naik selepas pilihanraya, namun pada bulan Jun harga minyak telah dinaikkan secara mendadak.
Itu belum kira lagi pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional yang lain serta media yang dikawal oleh mereka. Jadi di sini siapa sebenarnya pembohong?

posted by Lidah Penghunus @ 11:15 PM   1 comments

Monday, September 22, 2008

Siapa sebenarnya agen Zionis?

Assalamualaikum.

Awas campur tangan Zionis.
KUALA LIPIS 21 Sept. - UMNO percaya pihak tertentu dari Amerika Syarikat (AS) yang mempergunakan pemimpin pembangkang di negara ini untuk memperkotak-katik dan menghuru-harakan Malaysia merupakan pemimpin yang disokong oleh zionis.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menegaskan, pemimpin zionis terbabit telah lama menyimpan perasaan dengki dengan kemajuan dan kemakmuran Malaysia sebagai sebuah negara Islam terbaik di dunia. Utusan Malaysia - 22 September 2008.


Di sini saya ingin terlebih dahulu menyentuh sedikit tentang perancangan jahat barat dan juga Zionis terhadap Islam di seluruh dunia. Sebagamana yang kita maklum sejak negara barat menerima kekalahan yang teruk dalam Perperangan Salib mereka giat mengkaji bagaimana untuk mengalahkan umat Islam dan seterusnya menakluki mereka. Setelah sekian lama membuat kajian akhirnya mereka mendapat jawapan bahawa umat Islam tidak boleh dikalahkan melalui perperangan kerana jihad yang disuburkan oleh keimanan dan ketaqwaan adalah benteng kekuatan umat Islam pada masa itu.

Maka bermulalah perancangan golongan Yahudi dan Nasara untuk menjauhkan umat Islam daripada agama mereka dan sekaligus memadamkan cahaya jihad daripada hati mereka. Antara strategi jahat mereka ialah merosakkan anak-anak muda Islam dengan menggalakan hiburan yang melampau dan melalaikan, menyemaikan pemikiran dan gaya hidup yang bertentangan dengan Islam seperti gaya hidup bebas dan berseronok-seronok, membawa fahaman atau ideologi yang bertentangan dengan Islam ke dalam pemerintahan negara.

Ini semua terkandung dalam Protokol Zionis yang bertujuan untuk memenuhi cita-cita jahat bangsa Yahudi. Sekarang kita lihat pula adakah semua ini sedah dilaksanakan di negara kita? Budaya hiburan, sebagaimana yang telah saksikan hiburan di negara kita tidak kira siang dan malam, tidak cukup dengan artis tempatan kita jemput pula artis luar negara. Akibatnya anak-anak muda Islam kita telah hanyut dengan dunia hiburan yang melampau dan seterusnya diresapi budaya berseronok-seronok yang menjauhkan mereka daripada agama.

Sistem pemerintahan di negara kita pula masih belum bebas sepenuhnya daripada ideologi penjajah daripada barat. Kita masih mengguna pakai sistem perundangan barat yang diwarisi oleh penjajah British. Walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka sistem Islam masih belum dilaksanakan dalam pentadbiran negara. Sebenarnya banyak lagi kandungan Protokol Yahudi yang telah pun berjalan di negara ini seperti sistem kewangan, sistem kehakiman dan politik.

Di sini kita tidak lupa bagaimana negara kita yang ketika itu dipimpin oleh Tun Dr Mahathir membenarkan pasukan Kriket Israel masuk ke negara ini dan apabila umat Islam bangkit membantah mereka telah ditangkap dan dipenjarakan. Kita juga tidak boleh lupa bagaimana rejim Tun Dr Mahathir ketika itu menyekat bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat. Ini semua adalah kemahuan daripada Amerika dan Yahudi yang tidak mahu umat Islam mendapat pendidikan Islam yang sebenar.

Jadi persoalannya di sini siapa sebenarnya agen yahudi yang menjalankan agenda yahudi? Adakah logik dikatakan bahawa Israel dan Amerika sudah lama tidak senang dan dengki dengan negara Malaysia di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional sedangkan segala perancangan mereka berjalan lancar di bawah Umno dan Barisan Nasional. Dan adakah logik dikatakan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang diharapkan oleh Amerika dan Yahudi untuk menjalankan agenda jahat mereka?

sedangkan untuk Dato' Seri Anwar naik sebagai Perdana Menteri, bekas Timbalan Perdana Menteri itu perlukan dokongan daripada Pakatan Rakyat yang turut disertai oleh Pas. Sebagai Parti Islam, Pas tidak sekali-kali akan membenarkan agenda jahat Amerika dan Yahudi dijalankan oleh rakan dalam Pakatan Rakyat. Jika kita lihat selepas Pilihanraya Umum ke-12 walaupun Pas dalam kerajaan campuran namun pendidikan Islam dan kuliah agama tidak lagi disekat seperti mana pemerintahan Umno dan Barisan Nasional dahulu. Maka sudah tentulah Amerika dan Yahudi akan memikirkan bahawa pemerintahan Umno dan Barisan Nasional lebih memenuhi selera mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 5:57 PM   2 comments

Saturday, September 13, 2008

Ya Allah ya Tuhanku, kau hancurkanlah pengamal ISA.

Assalamualaikum.

Dari dahulu lagi kita tidak pernah setuju penggunaan ISA ke atas pemimpin-pemimpin PAS, para ulama' dan aktivis-aktivis gerakan Islam di negara ini. Kita juga tidak bersetuju dengan penggunaan ISA terhadap pemimpin Hidraf. Maka samalah juga kita tidak akan selamanya bersetuju dengan penahanan ISA terhadap Raja Petra, Teresa dan seorang wartawan akhbar cina yang ditahan semalam.

Jika benar pun ada antara mereka ini yang salah namun ISA bukanlah jalan yang terbaik. Perbuatan mungkar tidak boleh ditangani dengan cara yang mungkar. ISA adalah jelas zalim dan bertentangan dengan Islam. Jalan yang terbaik ialah membicarakan mereka ke mahkamah secara adil.

Sempena Ramadhan yang penuh berkat ini maka saya menyeru kepada umat Islam sekalian berdoa memohon kepada Allah agar dihancurkan Umno dan Barisan Nasional yang zalim itu dan dinaikkan mereka di kalangan orang yang beriman dan bertaqwa yang berniat untuk melaksanakan Islam sebagai pemimpin di negara ini. Teruskanlah berdoa kerana salah satu keistimewaan Ramadhan ini doa hamba-Nya tidak akan dihijab.

posted by Lidah Penghunus @ 5:39 AM   2 comments

Thursday, September 11, 2008

Silap-silap bukan Mahathir yang masuk Umno, Muhyiddin yang akan keluar Umno.

Assalamualaikum.

Berita TV jam lapan malam sebentar tadi, dalam satu sidang media Pak Lah telah meluahkan rasa terkejutnya dengan kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa peralihan kuasa dalam Umno amat terlalu perlahan dan beliau mahu ianya dipercepatkan.

Sebagaimana yang kita maklum Tan Sri Muhyiddin adalah orang yang bertanggungjawab mengadakan pertemuan dengan Tun yang akhirnya menyebabkan bekas Presiden Umno itu bersedia untuk kembali menyertai Umno. Maka di sini tahulah kita apa sebenarnya disebalik kesediaan Tun untuk kembali kepada Umno.

Namun melihatkan perkembangan yang berlaku ketika ini silap-silap bukan Tun yang akan menyertai Umno, sebaliknya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula yang akan keluar daripada Umno.

posted by Lidah Penghunus @ 10:47 PM   3 comments

Wednesday, September 10, 2008

Mahathir ingin kembali ke pangkuan Umno.

Assalamualaikum.

Mahathir sedia kembali sertai UMNO.
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersedia untuk menyertai semula UMNO selepas mengambil keputusan keluar daripada parti itu Mei lalu.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, Dr. Mahathir menyuarakan hasrat tersebut selepas beliau mengadakan pertemuan atas jemputan bekas Perdana Menteri itu, Sabtu lalu.

"Pada pertemuan itu, saya telah minta beliau memikirkan semula dan menimbang untuk kembali menjadi ahli UMNO.
"Saya amat gembira apabila Dr. Mahathir bersetuju menyerahkan semula borang keahlian UMNO, tetapi beliau tidak pasti sama ada Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan menerima permohonannya," Utusan Malaysia - 10 September 2008.


Pelik, ketika Umno berada dalam kekalutan bawah kepimpinan Abdullah Ahmad badawi, ketika ura-ura mengatakan bahawa Pakatan Rakyat akan mengambil alih pemerintahan negara di tangan Barisan Nasional, tiba-tiba bekas Perdana Menteri yang merangkap bekas ahli Umno, Tun Dr Mahathir menyatakan kesediaannya untuk menyertai kembali Umno.

Sedangkan kita pernah dengar Tun berkata bahawa beliau tidak akan kembali masuk Umno selagi Pak Lah memimpin parti itu. Baru-baru ini juga Tun pernah menyatakan bahawa beliau akan tinggal di luar negara jika Malaysia ini diterajui oleh Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Jadi kita tertanya-tanya apakah sebenarnya permainan politik Tun Dr Mahathir ini? Apakah muslihat disebalik tindakan beliau ini? Namun begitu bagi Pakatan Rakyat kemasukan semula Tun ke dalam Umno ini tidak akan menggugat gabungan parti-parti pembangkang itu kerana sejak Tun menjadi Presiden Umno lagi Pas, PKR dan DAP telah berhadapan dengan Umno.

Tambahan pula kita lihat Tun masih lagi belum insaf atas kezaliman yang dilakukannya. Maka Umno mungkin adalah tempat yang terbaik untuk beliau.

posted by Lidah Penghunus @ 11:37 PM   1 comments

Tuesday, September 09, 2008

Jangan ada istilah buang masa untuk rakyat.

Assalamualaikum.

Media didakwa putar belit isu MB.
Pakatan Rakyat Selangor pertahan komen Khalid.
SHAH ALAM: Selepas dikecam hebat kerana menganggap melawat mangsa ribut di Klang sebagai membuang masa, Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor menuduh media sengaja memutarbelitkan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung perkara itu.
Dalam kenyataan akhbar semalam, Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar mendakwa media sengaja mengabaikan banyak isu penting, sebaliknya lebih suka memutarbelitkan kenyataan Menteri Besar yang ditemu bual selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa pada Sabtu lalu.
Sekretariat menegaskan, kerajaan negeri tidak mahu meneruskan amalan lapuk kerajaan negeri terdahulu yang didakwa hanya menguntungkan sesetengah pihak saja. "Walaupun sokongan moral penting, mangsa sebenarnya lebih memerlukan bantuan daripada kehadiran pemimpin yang hanya datang untuk berjabat tangan dan menghulurkan sedikit wang yang bertujuan gimik politik murahan.
Pakatan Rakyat Selangor juga menggunakan alasan tidak mahu berlaku bantuan tidak sampai seperti dialami mangsa tsunami di Kedah walaupun kehadiran pemimpin tinggi kerajaan ketika tragedi berkenaan. "Laporan audit mengesahkan bantuan Kerajaan Pusat kepada mangsa tsunami di Kedah tidak sampai kepada mangsa walaupun dengan kehadiran menteri," Berita Harian - 9 September 2008.

Saya amat tertarik dengan jawapan balas yang diberikan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar seperti di atas ini berhubung dengan kenyataan Menteri Besar Selangor tidak mahu turun melawat mangsa banjir kerana dianggap membuang masa. Bagi saya jawapan mereka ini benar-benar 'memukul' kembali pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Namun begitu saya seperti juga pihak yang lain tidak setuju dengan kenyataan bahawa melawat mangsa banjir adalah suatu yang membuang masa. Di sini kita memang faham bahawa sebagai Menteri Besar jadual Tan Sri Khalid amat-amat ketat dan maka dengan itu beliau tidak berkesempatan untuk ke kawasan bencana.

Di sini kita juga setuju bahawa kalau tidak Menteri Besar pun memadai dengan lawatan dan bantuan daripada ahli parlimen dan Adun di kawasan yang terlibat. Sebenarnya awal-awal lagi Adun dan ahli parlimen di kawasan terlibat telah turun dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir ini malahan pasukan Unit Amal di bawah Pemuda Pas juga turut turun memberikan bantuan.

walau bagaimanapun sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, bagaimana sibuk pun beliau adalah tidak patut untuk Tan Sri Khalid mengeluarkan kenyataan yang sebegitu kepada rakyat. Kerana rakyat yang dalam kesusahan mereka tidak semata-mata mengharapkan bantuan dalam bentuk wang ringgit tetapi mereka juga mengharapkan perhatian dan belas kasihan daripada pemimpin yang mereka sayangi.

Jika Tan Sri Khalid berpendirian sedemikian kita mahu tanya mengapa pada pilihanraya yang lalu beliau sibuk turun ke setiap dan ceruk kawasan berjumpa sendiri dengan pengundi? Sedangkan sudah cukup dengan poster yang tersebar di segenap penjuru kawasan yang merayu kepada pengundi agar mengundi beliau.

Dan mengapa pula tiap sekali pilihanraya terutama pilihanraya kecil perlu semua pemimpin tertinggi sesebuah parti yang bertanding turun? Sedangkan sudah cukup hanya calonnya sahaja yang turun berkempen. Tidakkah ini semua membuang masa dan gunatenaga? Jawapannya tidak kerana inilah yang dipanggil sebagai sentuhan terus daripada calon dan pemimpin daripada parti yang bertanding yang akan membuatkan rakyat atau pengundi merasakan bahawa diri mereka dihargai.

Maka dalam hal ini Yang Amat Berhormat Tan Sri Khalid Ibrahim harus mencontohi Menteri Besar Kedah dan Ketua Menteri Pulau Pinang yang sanggup meluangkan masa menziarahi mangsa banjir. Kita percaya mereka juga tidak kurang sibuknya dengan Tan Sri Khalid.

posted by Lidah Penghunus @ 9:40 PM   0 comments

Monday, September 08, 2008

Kisah lawatan sambil belajar ahli parlimen Barisan Nasional.

Assalamualaikum.

Dalam berita TV jam lapan malam sebentar tadi telah disiarkan berkenaan rombongan 49 ahli parlimen daripada Barisan Nasional yang bertolak ke Taiwan kononnya dalam rangka lawatan sambil belajar. Bagi saya adalah sesuatu yang menarik apabila persiapan berlepas mereka ini mendapat paparan dalam berita. Seolah-olah rombongan pelajar darjah enam anggur ke Zoo Negara.

Ada spekulasi yang mengatakan bahawa rombongan yang dijangka pulang pada 17 atau 18 September ini ada kaitan dengan tarikh 16 September yang diwar-warkan sebagai tarikh Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan. Namun begitu ianya dengan pantas disangkal oleh pemimpin Barisan Nasional sendiri.

Dalam berita sebentar tadi pun Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Bung Mokhtar Radin memberitahu bahawa tujuan lawatan diadakan agar ahli parlimen Barisan Nasional ini dapat belajar tentang teknologi pertanian yang diamalkan oleh Taiwan.

Jika benar seperti yang dikata mengapa mesti semua ahli parlimen Barisan Nasional yang pergi? Mengapa tidak hanya dilibatkan ahli parlimen yang dalam Kementerian Pertanian sahaja? Jika mereka mengatakan bahawa ahli-ahli parlimen ini boleh membawa pengetahuan tentang teknologi pertanian ini ke kawasan parlimen masing-masing, mengapa pula tidak dilibatkan sekali ahli parlimen daripada pembangkang?

Kawasan parlimen mereka juga perlu dimajukan dengan teknologi pertanian. Nampaknya cerita rombongan ahli parlimen BN ke Taiwan ini benar-benar menghairankan kita kerana ianya melangkau tarikh ambang 16 September iaitu tarikh yang menjadi igauan pemimpin Barisan Nasional.

posted by Lidah Penghunus @ 10:35 PM   0 comments

Thursday, September 04, 2008

Al Fatihah untuk Allahyarham Pak Samad Ismail.

Assalamualaikum.

Marilah kita sama-sama menyedekahkan al-Fatihah untuk Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail yang meninggal dunia petang tadi. Sebagamana yang kita maklum Alahyarham adalah seorang tokoh wartawan yang tidak asing lagi di negara ini yang sepatutnya dijadikan contoh oleh para wartawan pada masa kini khususnya media perdana. Apa yang saya tertarik dan baru sahaja tahu rupa-rupanya Allahyarham Pak Samad pernah dipenjarakan kerana terlibat dengan kes Natrah pada tahun 1951. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh beliau lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:56 PM   0 comments

Tuesday, September 02, 2008

Ini baru merdeka.

Assalamualaikum.

Kedah larang penyanyi wanita.
Seperti di Kelantan yang dikuasai PAS, kini tiada lagi persembahan penyanyi perempuan dibenarkan di Kedah, kata exco kerajaan negeri Dr Ismail Salleh hari ini.
"(Penyanyi) perempuan memang kita tidak terima 100 peratus (untuk kelulusan permit hiburan).
"Tetapi kalau persembahan itu khas untuk orang perempuan sahaja tidak mengapa," kata Dr Ismail, pengerusi jawatankuasa tetap kesihatan, penerangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangunan insan Kedah.
Keputusan itu, tambahnya, antaranya berdasarkan garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disifatkannnya "cukup cantik" dan bersetuju sepenuhnya dengan isi kandungannya.
Acara persembahan pentas lain seperti tarian pula digalakkan untuk kanak-kanak sekolah bagi menggantikan penari dewasa kerana belum akil baligh, kata Adun PAS itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan menulis surat kepada Menteri Besar Kedah, Azizan Razak berhubung pengharaman itu, esok.
"Kita ingin berbincang dengan kerajaan negeri tentang keputusan itu," kata pengurusnya Ahmad Abdullah.
Karyawan juga menggesa kerajaan Kedah memperhalusi lagi larangan tersebut. Ia juga mencadangkan sebarang keputusan berhubung isu-isu seni dan hiburan mestilah melibatkan kumpulan seniman. http://malaysiakini.com - 2 September 2008.

Saya menyokong keputusan kerajaan Pas Kedah dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri itu atas keputusan mereka mengharamkan bentuk persembahan yang bertentangan dengan Islam antaranya persembahan atis wanita di khalayak ramai. Ini barulah benar-benar merdeka apabila kita bebas untuk melaksanakan sesuatu yang dituntut oleh Islam tanpa rasa takut ancaman dan kecaman daripada pihak lain.

Tambahan lagi Kedah adalah sebuah lagi negeri yang ditadbir sepenuhnya oleh Pas maka adalah sesuatu yang tepat untuk negeri itu melaksanakan apa yang telah dilaksanakan di Kelantan.
Cumanya dalam hal ini kita tetap perlu melaksanakannya secara berhemah, tidak tergesa-gesa. Yang penting pendidikan harus diberikan terlebih dahulu kepada rakyat.

Kepada Persatuan Karyawan dan kaum artis, tidak perlulah hendak bising-bising dengan keputusan kerajaan Pas itu kerana sebelum ini kebanyakan daripada mereka tidak pernah pun merujuk kepada ulama' sebelum berbuat sesuatu. Tambahan lagi keputusan ini hanya melibatkan artis wanita yang menyanyi di khalayak ramai sedang golongan artis yang selain daripada itu masih lagi boleh berkarya asalkan mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh syariat.

posted by Lidah Penghunus @ 11:07 PM   2 comments

Monday, September 01, 2008

Salam Ramadhan.


posted by Lidah Penghunus @ 2:14 PM   0 comments


Free Hit Counter