Sunday, April 29, 2007

Mandat haram BN di Ijok

Assalamualaikum.
Beberapa hari sebelum hari pengundian ramai yang bertanya kepada saya tentang peluang dan harapan untuk PKR di Dun Ijok, namun begitu saya tidak berani nak bagi jawapan, dalam erti kata yang kata susah kita nak jangkakan keputusan yang akan keluar kerana beberapa hari di Ijok saya sudah menyaksikan bagaimana kotornya cara yang digunakan oleh BN yang dibantu oleh budak-budak suruhan mereka.
Dan semalam seperti yang dijangkakan BN menang dengan majoriti 1850 melebihi daripada majoriti yang diperolehi sebelumnya. Yang pasti kemenangan tidak bermaruah BN ini selain daripada faktor gelanggang yang tidak adil ianya juga dibantu oleh pengundi hantu yang telah dikesan oleh PKR seawal sebelum hari pengundian lagi. Namun apa boleh buat kerana SPR dan polis adalah sebahagian daripada budak suruhan BN.


Sakit hati apabila mendengar jawapan setiausaha SPR dalam berita TV semalam. Apabila ditanya tentang pengundi hantu beliau menjawab "kalau nak tahu ada hantu ke tidak kita lihat kakinya jejak ke bumi atau tidak." Satu jawapan yang benar-benar bodoh daripada seorang setiausaha SPR yang rela dirinya diperbudakkan oleh parti pemerintah. Kalau benar-benar tiada pengundi hantu masakan budak 8 tahun boleh tersenarai dalam daftar pemilih bagi Dun Ijok.
Malahan ketika saya menulis blog ini juga nama pengundi berumur 8 tahun ini masih ada lagi dalam senarai semakan SPR. Ini adalah bukti jelas bahawa terdapatnya pengundi hantu bagi memenangkan BN di sana. Jadi bagi pengundi khususnya di Ijok sana dan bagi kita pembayar cukai tidak akan sekali-kali redha dan halalkan duit kita pembayar cukai disalurkan untuk membayar elaun kepada wakil rakyat di sana kerana mandat yang diterima oleh mereka adalah mandat haram yang diperolehi secara penipuan dan ketidakadilan.

posted by Lidah Penghunus @ 2:09 PM   1 comments

Wednesday, April 25, 2007

Pengundi Ijok baca angka ini dahulu.

Assalamualaikum.

Kepada para pengundi Dun Ijok sebelum kalian membuat keputusan seterusnya sebelum kalian membuang undi memilih calon pilihan untuk dijadikan wakil rakyat sabtu ini, anda semua bacalah laporan akhbar di bawah ini, teliltilah angka-angka yang dikemukakan di bawah ini;

SELANGOR mencatatkan rekod kejadian jenayah paling banyak sepanjang tahun lalu dan secara keseluruhannya perbuatan jenayah kekerasan dan harta benda di seluruh negara meningkat kepada 198,622 kes, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan Ibu pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan jumlah kes jenayah yang dilaporkan tahun lalu jauh meningkat berbanding 157,459 dalam tahun 2005 dan 156,455 kes pada 2004.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Alexander Nata Linggi (BN-Kapit) pada persidangan Dewan Rakyat, semalam Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, berkata jenayah kekerasan tahun lalu ialah sebanyak 42,343 kes berbanding 22,133 dalam tahun 2005 manakala jenayah harta benda 156,279 kes berbanding 135,326 kes pada 2005.
Beliau berkata, Selangor mencatatkan jenayah kekerasan paling tinggi tahun lalu sebanyak 12,395 kes, diikuti oleh Johor (6,617) dan Kuala Lumpur (6,091). Berita Harian - 25 April 2006.

Selama ini BN sering mengutarakan soal pembangunan apabila meminta rakyat memilih mereka, bagi mereka apabila tidak memilih BN bermakna tiada pembangunan. Calon PKR juga tidak ketinggalan bercakap soal pembangunan, Tan Sri Khalid Ibrahim bertekad untuk membangunkan Ijok yang ketinggalan apabila beliau dipilih untuk menjadi wakil Dun itu.

Namun dalam membuat pertimbangan untuk memilih wakil rakyat, pengundi-pengundi Ijok sekalian tidak seharusnya hanya memfokuskan kepada pembangunan yang dijanjikan oleh kedua-dua pihak. Fikirkanlah sekali soal masa depan akhlak dan sosial keluarga anda sekali. Apa gunanya tempat anda membangun, jalanraya cantik dan selesa, peluang pekerjaan banyak dan pendapatan tinggi tetapi keruntuhan akhlak meruncing, persekitaran tidak selamat dan sentiasa berada dalam ketakutan.

Di sini tuan-tuan lihatlah pula kepada kedua-dua parti yang bertanding. Lihat kepada BN. Adakah selama ini BN berusaha untuk membenteras keruntuhan akhlak? Adakah selama ini BN berjaya membendung kadar jenayah? Jawapannya tidak. Mereka Umno, MIC dan MCA gagal untuk membendung kadar jenayah kerana mereka tidak mengikut cara penyelesaian yang dianjurkan oleh Islam. Tambahan lagi dengan kenaikan harga minyak, kadar tol dan seterusnya barangan keperluan menambahkan lagi himpitan kemiskinan yang seterusnya mewabakkan kegiatan jenayah dan keruntuhan moral.

Dan tuan-tuan lihat pula kepada PKR. Sebagai sebuah parti yang bekerjasama dengan Pas dan begitu rapat dengan Harakah Islam itu maka sudah tentulah pembangunan kerohanian menjadi salah satu agenda perjuangan mereka. Ini telah dibuktikan di Kelantan bagaimana seriusnya pemerintahan Pas berusaha untuk membangunkan akhlak rakyat mereka disamping pembangunan material.

Maka diharapkan kepada para pengundi di Ijok fikir-fikirkanlah sebelum membuang undi, seperti kata Tuan Guru Presiden Pas dalam ceramah kempennya di Ijok Isnin lepas, "Tepuklah dada, tanyalah iman"

posted by Lidah Penghunus @ 1:09 PM   0 comments

Tuesday, April 24, 2007

Pilihanraya hanya untuk kekalkan BN berkuasa sampai hari kiamat?

Assalamualaikum

Mengulas sedikit laporan akhbar hari ini tentang Datuk Seri Najib mengingatkan pengundi Ijok agar tidak menjadikan undi mereka sebagai protes.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pilihan raya kecil yang akan berlangsung Sabtu ini bukanlah masa untuk mengikut perasaan dengan membuang undi kerana meluahkan rasa marah.
‘‘Sekiranya kita membuang undi berdasarkan perasaan hati kita maka kita akan rugi. Saya katakan kita akan rugi kerana tidak berfikir dengan menggunakan akal.
Menurut beliau, pilihan raya kecil bukan untuk memilih kerajaan atau untuk menukar kerajaan.
Pilihan raya kecil, jelas Timbalan Perdana Menteri, diadakan untuk mengisi kekosongan wakil rakyat yang telah meninggal dunia. Utusan Malaysia – 24 April 2007.

Nampaknya Najib mahu rakyat Malaysia khususnya pengundi di Ijok terus menjadikan Barisan Nasional sebagai pemerintah hingga ke hari kiamat. Dalam erti kata yang lain pilihanraya tidak lebih daripada tempat untuk mengekalkan kekuasaan Barisan Nasional ataupun menggantikan wakil rakyat Barisan Nasional yang telah mati kepada yang masih hidup agar BN terus berkuasa hingga hari kiamat.

Persoalannya di sini adakah menolak parti yang menaikkan harga minyak, kadar tol yang menyebabkan kos hidup rakyat meningkat, menolak parti yang dicemari dengan rasuah yang hanya membuat pembangunan bila tiba pilihanraya dikatakan tidak berfikir mengunakan akal? Sedangkan apabila rakyat protes perkara ini melalui demonstrasi, mereka dilayan dengan kekerasan.

Sekarang rakyat khususnya pengundi Ijok hendak menterjemahkan protes mereka melalui undi maka itu adalah hak mereka sebagai pengundi berdaftar. Pada penghujung 2005 dahulu pun Najib dan BN beriya-iya untuk menawan Dun Pengkalan Pasir di Kelantan atas alasan pembangunan, sedangkan ianya tidak pun membolehkan mereka mengambil alih kerajaan negeri yang sedia ada.

Jika baru-baru ini ada cadangan agar kenderaan yang lebih usia 15 tahun dilupuskan maka begitulah juga dengan Barisan Nasional yang telah memerintah selama lebih 50 tahun maka parti berlambangkan dacing itu juga harus dilupuskan daripada tampuk pemerintahan negara.

posted by Lidah Penghunus @ 4:30 PM   0 comments

Monday, April 23, 2007

Tak salah pilih calon bukan Islam - Khir Toyo.

Assalamualaikum.

Semalam media mendedahkan kononnya pembangkang menggunakan isu agama dan perkauman dalam kempen di kawasan kampung dengan mengatakan berdosa mengundi calon bukan Islam. Akhbar hari ini Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memberikan penjelasan tentang hal tersebut;

Pengundi Islam yang memilih calon bukan Islam tidak berdosa kerana Islam sendiri menggalakkan kerjasama dengan golongan bukan seagama demi kebaikan bersama.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata hukum mengundi calon pilihan raya atau menyokong sesiapa yang bukan Islam adalah haram, juga tidak benar.
Katanya, fahaman seperti itu datang daripada pihak yang tidak faham bahawa Islam sendiri mengajak umatnya membantu orang bukan Islam yang sedia bekerjasama.
“Pada zaman pemerintahan Muawiyah, pemerintah itu pernah melantik orang Kristian sebagai menteri. Berita Harian - 23 April 2006.

Adalah tidak benar jika kita pembangkang mengatakan sedemikian. Sedangkan dalam Pas sendiri sudah kedengaran cadangan untuk meletakkan calon bukan Islam dalam pilihanraya. malahan sebelum ini Pas telah pun mengadakan pakatan atas nama keadilan sejagat dengan DAP ketika Pilihanraya Umum 1999 dahulu. Soalnya sekarang ialah memilih pemimpin yang zalim atau pun mereka yang berada dalam sistem yang zalim. Kalau seseorang itu beragama Islam sekalipun tetapi jika dia menjadi calon untuk parti yang mengamalkan kezaliman, penindasan, rasuah dan menolak hukum Islam secara menyeluruh maka calon berkenaan juga tidak patut dipilih.

Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah Hud ayat 113 yang bermaksud "janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim, nanti kamu akan disambar oleh api neraka." Sudah jelas bahawa BN mengamalkan kezaliman, pakatan yang terbentuk didalamnya juga bukan seperti pakatan dalam BA yang berasaskan keadilan dan kemanusiaan tetapi lebih kepada kekuasaan semata-mata. Mereka bila-bila masa sahaja boleh bersatu dan bila-bila masa sahaja boleh berpecah atas kepentingan tertentu.

Maka dalam Pilihanraya Kecil Ijok ini pengundi di sana haruslah menolak Parthiban atas sebab beliau memilih parti yang mengamalkan kezaliman dan memilih Tan Sri Khalid atas dasar beliau bersama-sama dengan pendokong keadilan dan gerakan Islam.

posted by Lidah Penghunus @ 1:08 PM   0 comments

Sunday, April 22, 2007

Happy secretary's week Haji Mail

Assalamualaikum.

Tajuk di atas ini sebenarnya adalah tajuk untuk cerpen saya yang terbaru setelah hampir dua tahun tidak menghasilkan karya kreatif. Kisahnya tuan-tuan boleh ikutinya di blog Karyamuslim http://www.karyamuslim.blogspot.com

Kali ini saya berminat untuk memperkatakan tentang Minggu Setiausaha ini kerana apabila disebut sahaja minggu setiausaha maka tergambarlah suatu majlis yang gilang-gemilang di hotel-hotel mewah, diserikan dengan nyanyian oleh artis terkemuka bagi meraikan para setiausaha syarikat yang biasanya terdiri daripada wanita yang cantik bergaya.

Namun apa yang hendak saya bagitahu di sini, kita tidak saharusnya melupakan para setiausaha yang menjalankan amanah tanpa dibayar gaji. Mereka ini adalah terdiri daripada setiausaha surau, setiausaha bagi pertubuhan politik, setiausaha bagi NGO dan setiausaha bagi organisasi yang tidak bermatlamatkan keuntungan. Mereka ini benar-benar ikhlas bekerja kerana Allah dan tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Maka diharapkan agar mereka ini terus bekerja dan istiqamah semata-mata mengharapkan balasan daripada Allah dan tidak menjadi seperti sesetengah setiausaha khususnya setiausaha bagi pertubuhan politik tertentu yang bekerja dengan mengharapkan keuntungan duniawi dan keringat mereka hanya dibazirkan untuk memenangkan mereka yang zalim.

posted by Lidah Penghunus @ 11:23 PM   0 comments

Dari Lindunganbulan ke Ijok

Assalamualaikum.

Semalam saya berpeluang untuk menyaksikan sendiri suasana kempen di Dun Ijok dalam rangka bertugas untuk jentera Pilihanraya PKR di sana. Di awal perjalanan saya membayangkan perjalanan ke Ijok yang semestinya lancar dan selesa, almaklum sajalah jalan semua sudah diturap dengan yang baru, lagipun Samy Vellu dalam akhbar Khamis yang lalu berkata bahawa pembaikan jalan ini juga untuk keselesaan pembangkang untuk datang berkempen.

Namun apabila masuk sahaja simpang ke Ijok sudah kelihatan jentera-jentera berat yang digunakan untuk penurapan jalan, kerja-kerja penurapan sepanjang jalan ke Ijok, akibatnya jalan menjadi sesak, perjalanan menjadi perlahan, masa yang sepatutnya 45 minit menjadi hampir dua jam. Begitulah dahsyat dan terdesaknya mereka Barisan Nasional yang hanya menaburkan pembangunan apabila tiba pilihanraya. Bayangkan andaikata Parthiban menang, beliau masih lagi muda 38 tahun, belum berumah tangga, untuk menunggu beliau mati bayangkan berapa tahun lagi rakyat Ijok akan menikmati pembangunan seperti yang sekarang ini?

Sebelum ini kita pernah mendengar kata-kata bahawa calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mampu bawa pembangunan kerana walaupun beliau dahulunya ahli korporat yang terkenal tetapi kini beliau berada dalam pembangkang dan hanya dengan menjadi wakil rakyat parti yang memerintah iaitu BN sahaja mereka dapat menjalankan pembangunan. Ini kerana sikap mereka sendiri yang selalu menganaktirikan kawasan yang diwakili pembangkang sedangkan mereka lupa bahawa duit yang digunakan untuk pembangunan bukan duit mereka tetapi duit rakyat.

Jika mereka berkata begitu kita juga boleh mempersoalkan calon mereka Parthiban yang masih lagi belum berumahtangga walaupun sudah berusia 38 tahun. Sebab beliau membujang sampai hampir tua kerana menyara keluarga terutamanya adik-adiknya. Bagi saya jika beliau terlalu sibuk menyara keluarga hingga beliau gagal merancang untuk berumahtangga maka beliau bukanlah calon yang terbaik untuk menjalankan amanah menjaga Dun Ijok dengan baik. Tetapi ini bukanlah bermakna orang yang berumahtangga akan menjalankan tanggungjawab yang baik kerana kadangkala orang yang sudah bekeluarga juga sering dipengaruhi oleh isteri dan juga menantu.

Apapun yang pentingnya kemenangan PKR pada pilihanraya kecil kali ini bukan untuk penduduk di Ijok sahaja, lebih daripada itu agar ada wakil daripada pembangkang di Dewan Undangan Negeri untuk menyuarakan suara hati rakyat Selangor serta membawa masalah-masalah rakyat Selangor ke persidangan Dun Selangor untuk diperdengarkan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

posted by Lidah Penghunus @ 10:02 PM   0 comments

Thursday, April 19, 2007

Hak kerajaan laksana pembangunan bila-bila masa - Samy Vellu.

Assalamualaikum.

Akhir sekali untuk Edisi Malam Jumaat pada kali ini ialah berkenaan kenyataan Datuk Seri S. Samy Vellu seperti di bawah ini;

Kerajaan berhak melaksanakan kerja-kerja pembangunan, seperti pembaikan dan penurapan jalan pada bila-bila masa demi kepentingan rakyat, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.
Sambil mempertahankan kerja-kerja pembaikan, pembinaan jalan baru dan penurapan jalan yang sedang berjalan rancak di kawasan Dewan Undangan Negeri Ijok yang akan menyaksikan pilihan raya kecil pada 28 April ini, Presiden MIC itu berkata, ia adalah kerja-kerja rutin.
“Sebagai Menteri Kerja Raya, saya boleh pada bila-bila masa mengarahkan sebarang projek berkaitan kementerian saya, dan sekarang ini di sini, ia adalah kerja biasa menggunakan peruntukan yang lama disediakan. Utusan Malaysia - 19 April 2007.


Jika begitulah kata Datuk Seri Samy kita rakyat juga berhak untuk mendoakan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional ini agar mampus cepat kerana dengan mampusnya mereka ini maka akan cepatlah pembangunan di kawasan mereka ini maka barulah beruntungnya rakyat. Bak kata orang-orang lama kalau hidup nak menyusahkan rakyat elok mampus sahaja barulah rakyat senang sedikit.

posted by Lidah Penghunus @ 10:48 PM   1 comments

Apabila Tun Dr M mohon maaf kepada PM

Assalamualaikum.

Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengakui dakwaan kononnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai sebuah banglo mewah di Australia hanya khabar angin.
Berikutan itu, beliau meminta maaf kepada Perdana Menteri kerana turut membuat dakwaan berkenaan dalam satu ceramahnya di Kulai, Johor baru-baru ini.
“Saya tidak sepatutnya membuat kenyataan itu kerana saya menyatakan sesuatu berdasarkan khabar angin yang saya dengar dan khabar angin itu berulang kali menyatakan bahawa rumah itu milik beliau (Perdana Menteri). “Dan tentunya apabila kita sudah terbawa-bawa selepas memberikan ucapan seperti itu, kita tidak menapis diri kita dan kita tidak berhati-hati mengenai apa yang kita cakapkan, jadi saya menyatakannya dan saya minta maaf kerana memperkatakan sesuatu yang salah.
“Saya sepatutnya diperbetulkan dan saya sangat berbesar hati bahawa rakyat sememangnya memberi perhatian terhadap dakwaan saya dan mereka mendapat tahu bahawa orang yang memiliki rumah itu bukan PM, bukan anaknya, tetapi orang lain,” Berita Harian - 19 April 2007.

Apa yang kita dapat melalui berita ini, Tun hanya meminta maaf dan mengaku tersilap atas tuduhannya berkenaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai sebuah banglo mewah di Australia. Itu sahaja. Ini bermakna banyak lagi tuduhan-tuduhan Tun yang lain misalnya yang berkaitan dengan menantunya Khairy adalah benar.

posted by Lidah Penghunus @ 10:31 PM   0 comments

Anwar tanya tu jawablah Najib

Assalamulaikum.

Dalam akhbar Berita Harian diletakkan tajuk "Najib tidak takut dikait isu Altantuya" Dalam akhbar Utusan Malaysia pula tajuknya berbunyi "Najib jawab tohmahan -- TPM selar pembangkang kaitkan dirinya dengan kes Altantuya" Namun apabila kita membaca kedua-duanya bukannya penjelasan seperti yang dikehendaki oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau sebelum ini, sebaliknya ianya bolehlah dikatakan dolak-dalik daripada Najib yang cuba untuk laro daripada menjawab tuduhan;

“Kalau nak mengaitkan saya dengan Altantuya, tuduhlah...saya tidak takut. Polis, AG (Peguam Negara) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) tahu perkara sebenar,” katanya ketika berucap merasmikan jentera Pilihan raya Barisan Nasional (BN) di sini, malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak suka menyerang (balas) peribadi seseorang kerana tidak mahu mengaibkan anak dan isteri orang yang melemparkan pelbagai fitnah terhadapnya.
“Jangan tipu rakyat. Saya tidak sentuh soal peribadi dia. Kalau nak sentuh, saya boleh... tapi saya tidak mahu aibkan dia lagi kerana kita tahu dia ada anak bini.”
Tapi jangan tuduh sewenang-wenangnya, (kerana) kita lawan ikut cara politik,” Berita Harian - 19 April 2007.

Sepatutnya kalau benar tidak bersalah beliau kenalah beri penjelasan seperti yang dikehendaki, tidak usahlah nak berdolak-dalik. Kalau beliau kata Perdana Menteri dan Peguam Negara lebih mengetahui hal yang sebenar, kita rakyat Malaysia juga ingin tahulah hal yang sebenar. Ini bukan soal kita menyerang peribadi beliau tetapi kita mahu Najib beri penjelasan kepada rakyat lebih-lebih lagi beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri, orang nombor dua berkuasa di negara ini. Namun apa yang kita baca dalam akhbar berkenaan tiba-tiba pula isu lama dimainkan oleh Najib berkenaan Dato' Seri Anwar;

Menurutnya, Anwar yang pernah menjadi Menteri Kewangan, bertanggungjawab terhadap kejatuhan ekonomi negara pada tahun 1998 kerana mengikut telunjuk Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ekoran tindakan itu, tambahnya, kerajaan terpaksa campur tangan bagi mengelakkan daripada negara menjadi bangkrap.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, BN bukan sebuah parti yang memainkan politik perkauman seperti parti pembangkang.
Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletakkan calon Melayu di Ijok, jelasnya, mem- buktikan parti pembangkang itu secara terang-terangan memainkan politik perkauman. Utusan Malaysia - 19 April 2007.


Sedangkan isu berkenaan Dato' Seri Anwar sudah pun memberi penjelasan tentang isu berkenaan, beliau juga pernah mengkritik IMF atas dasarnya yang menindas negara-negara miskin. Berkenaan politik perkauman yang didakwa oleh Najib, ianya tidak timbul kerana itu adalah hak PKR untuk meletakkan mana-mana calon dalam Pilihanraya Kecil Dun Ijok. Kalau Najib katakan perkauman mengapa BN tidak letakkan calon Melayu yakni Umno dalam Pilihanraya Kecil Dun Machap yang lalu?

posted by Lidah Penghunus @ 10:00 PM   0 comments

Wednesday, April 18, 2007

Daripada 4.9 Juta, 500 Ribu adalah ahli Umno.

Assalamualaikum.

Semalam kita telah mendengar 4.9 Juta rakyat Malaysia belum mendaftar sebagai pengundi. Akhbar hari ini pula kita diberitahu bahawa 50 Ribu daripada 4.9 Juta itu adalah ahli Umno.

There are 500,000 Umno members yet to be registered as voters, and 11,000 of them are from Malacca, said Umno vice-president Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Mohd Ali, who is Malacca Chief Minister, was commenting on a newspaper report that 4.9 million Malaysians had yet to register as voters and this could jeopardise their right to vote in the next general election. The Star - 18 April 2007.

Di sini timbul persoalan bagi kita bagaimana seorang yang mendaftar dengan sebuah parti politik yang terlibat dengan pilihanraya tetapi tidak mendaftar mengundi? Kita juga tertanya-tanya apa sebenarnya matlamat mereka yang 500 ribu ini mendaftar sebagai ahli jika tidak menyumbangkan undi kepada parti berkenaan?

Di sini dapatlah kita simpulkan bahawa 500 ribu ahli Umno ini menyertai parti melayu tersebut sebenarnya hanyalah semata-mata kepentingan diri. Ini memang tidak boleh dinafikan kerana saya sendiri pernah berkawan dengan orang yang sebegini yang mula-mulanya kita maklum bahawa dia adalah ahli Umno dan mempunyai jawatan, lama kelamaan barulah kita tahu bahawa dia ini ada bisness rupanya dan penyertaannya dalam Umno adalah untuk memudahkannya mendapatkan projek. Bukan seorang dua yang saya jumpa tetapi ramai yang begitu.

Bukan sahaja untuk mendapatkan peluang perniagaan, spesis ini juga yang menyertai Umno untuk memudahkan mereka mendapatkan permohonan gerai dan lesen perniagaan, memudahkan mereka mendapatkan rumah dan pelbagai lagi kemudahan. Maka bagi mereka ini perjuangan dan mengundi bukanlah agenda utama mereka. Yang penting bagi mereka ialah lepas untuk hidup dan cari makan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:24 PM   0 comments

Tuesday, April 17, 2007

Sebutir permata dalam bekas yang penuh noda.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini calon yang baru diumumkan untuk berhadapan dengan pembangkang di Dun Ijok menyatakan keyakinan beliau bahawa rekod beliau yang bersih mampu untuk memberikan kemenangan yang besar kepada BN di Ijok.

Katanya, beliau adalah penduduk tempatan dan pernah berkhidmat sebagai guru di beberapa sekolah, yang memberi kelebihan kepada beliau kerana lebih dekat dengan penduduk tempatan.
Katanya, beliau mempunyai ramai kenalan di kalangan golongan muda pelbagai kaum dan tidak pernah rasa terpinggir kerana sering hadir pada majlis keraian yang diadakan masyarakat India, Cina dan Melayu.
"Ini kelebihan yang ada pada saya. Dengan pengalaman saya sebagai guru, saya berpeluang berjumpa dengan pelbagai bangsa. Saya yakin tiada masalah untuk BN menang malah mendapat undi majoriti lebih besar," katanya selepas majlis pengenalan calon BN di Dewan Harmoni, Ijok, di sini, semalam.
Parthiban, yang masih bujang dan memegang pelbagai jawatan dalam parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkata, beliau adalah calon ‘bersih’ kerana tidak pernah dikenakan tindakan undang-undang atau terbabit dalam gejala tidak sihat.
Katanya, beliau yakin pembangkang tidak dapat menggunakan isu peribadi untuk menyerangnya sepanjang tempoh berkempen selepas penamaan calon pada 19 April ini. Berita Harian - 17 April 2007.

Kita pernah mendengar kata-kata hikmah antaranya berbunyi "Orang yang berkawan dengan penjual minyak wangi akan turut berbau badannya, manakala orang yang berkawan dengan tukang besi akan turut berbau habuk besi." Dalam kata yang agak kasar pula berbunyi, "Orang yang badannya bersih apabila duduk dalam tong najis, bersama-sama mereka yang bergelumang najis akan ikut sama bermandi najis."

Begitulah halnya dengan Sdr Parthiban yang mendakwa dirinya bersih, suci dan pembangkang tiada modal untuk menyerangnya. Namun beliau lupa beliau telah memilih untuk berada dalam sistem yang korup. Memilih untuk menyertai BN bermakna beliau telah redha akan kezaliman serta penindasan yang dilakukan oleh BN seperti kenaikan harga minyak, kadar Tol dan banyak lagi penindasan yang dilakukan oleh BN. Jadi beliau sebenarnya lebih teruk daripada mereka yang terjun ke lubang najis kononnya mahu membersihkannya dari dalam.

posted by Lidah Penghunus @ 10:22 PM   0 comments

4.9 Juta 'boikot' pilihanraya?

Assalamualaikum.

Melihatkan kenyataan pengerusi SPR dalam akhbar hari ini;

Seramai 4.9 juta rakyat Malaysia akan menghadapi risiko tidak boleh mengundi pada pilihan raya umum ke-12 akan datang, jika mereka tidak mendaftar sebagai pemilih selewat-lewatnya Ogos ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, pihaknya terpaksa mengingatkan golongan itu kerana pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Menurut beliau, kerajaan yang memerintah tidak pernah membubarkan Parlimen genap lima tahun, sebaliknya lebih cepat daripada tempoh tersebut iaitu sekitar empat tahun. Utusan Malaysia - 17 April 2007.


Yang pertamanya mungkinkah itu petunjuk bahawa Pilihanraya Umum akan diadakan sekitar bulan 11 atau 12? Kerana jika dikira 3 atau 4 bulan daripada bulan Ogos ianya sudah tentulah jatuh pada bulan November atau Disember. Tambahan lagi kita juga maklum bahawa Perdana Menteri tidak akan membubarkan parlimen lewat daripada bulan empat tahun depan walaupun beliau sendiri menyatakan bahawa Anwar Ibrahim bukan faktor penentu pilihanraya awal.

Yang keduanya fenomena ini mungkin disebabkan oleh faktor pilihanraya di negara kita yang begitu hambar. Maksud saya hambar di sini ialah rakyat boleh jangka keputusan setiap kali pilihanraya yang hanya memihak kepada BN. Ini ditambah lagi dengan perjalanan kempen yang pilihanraya yang banyak memberikan keistimewaan kepada parti pemerintah misalnya BN bebas menggunakan media, televisyen dan sebagainya sedangkan ianya tidak bagi parti pembangkang. BN juga bebas mempergunakan segala yang ada pada mereka seperti agensi dan jabatan kerajaan.

Oleh itu jumlah 4.9 Juta rakyat Malaysia itu tadi merasakan bahawa tidak penting bagi mereka untuk menyertai pilihanraya kerana memang sudah maklum parti yang akan terus memerintah dan bagi mereka juga parti mana yang memerintah adalah sama sahaja.

posted by Lidah Penghunus @ 1:33 PM   0 comments

Monday, April 16, 2007

Dun Ijok - Perperangan dan perpecahan sudah bermula.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa melalui Pilihanraya Kecil Ijok ini Pemuda BN akan menjadikannya sebagai saluran untuk menangkis semua tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap parti dan pemimpin negara.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata jentera Pemuda BN itu bergerak ke seluruh pelosok kampung, estet dan rumah ke rumah bagi menerangkan kepada pengundi terutama golongan muda bahawa pembangkang tidak layak menjadi pemimpin di Ijok.
Beliau berkata, jentera Pemuda BN itu juga tidak sesekali dibenarkan menggunakan taktik kotor bagi menangkis tohmahan dan fitnah yang akan dilemparkan pembangkang sebaliknya dituntut supaya sopan santun, berbudi bahasa dan sentiasa menghormati penduduk tempatan. Berita Harian - 16 April 2007.

Sehari selepas Hishammuddin mengeluarkan kenyataan tersebut, dalam Berita Televisyen tadi sebaik sahaja diumumkan Setiausaha MIC bahagian Tanjung Karang, K. Parthiban sebagai calon MIC di Dun Ijok, Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor, Thirumoorthy meletakkan jawatannya atas sebab tidak puas hati berkenaan keputusan tersebut. Malahan apa yang lagi menyakit BN lebih-lebih lagi Khir Toyo dan Najib apabila beliau turut menarik 18 ketua cawangan MIC Ijok mengikut jejak langkahnya.

Nampaknya belum lagi penamaan calon, baru sahaja diumumkan calon BN khususnya MIC sudah pun berpecah. Jadi persoalannya siapa sebenarnya yang tidak layak untuk memimpin Dun Ijok? Bagi pembangkang khususnya pakatan BA sudah hampir pasti akan mengumumkan Ketua PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon PKR di Dun Ijok. Dengan meletakkan Tan Sri Khalid di Dun Ijok ini dilihat memberikan peluang yang besar kepada pembangkang khusus PKR untuk merampas kerusi yang dimenangi oleh BN dengan majoriti yang paking sedikit pada pilihanraya yang lepas.

Namun begitu kita menjangkakan pada pilihanraya kecil kali ini BN akan meningkatkan serangan dan taktik kotornya berlipatkali ganda lebih-lebih setelah melihat kemerosotan undi serta majoriti di Dun Machap pada minggu lepas. Sebelum ini pun kita telah melihat Khir Toyo telah memula 'menyuap' penduduk Ijok dengan apa yang dinamakan pembangunan versi pilihanraya. Oleh kerana itulah usaha mesti pertingkatkan di kalangan ahli-ahli Pas dan PKR dalam usaha menawan kerusi Ijok ini agar sokongan yang diraih mampu untuk mengatasi segala bentuk taktik kotor yang dilakukan.

posted by Lidah Penghunus @ 10:57 PM   0 comments

Friday, April 13, 2007

Berkenaan keputusan Pilihanraya Kecil Dun Machap

Assalamualaikum.

Semalam kita telah pun maklum tentang keputusan Pilihanraya Kecil bagi Dun Batu Talam yang telah memihak kepada BN. Ikutkan sebenarnya keputusan ini kita telah pun jangkakan lebih-lebih lagi melihat cara yang biasa BN amalkan iaitu mempergunakan segenap kekuatan untuk menghadapi calon pembangkang sedangkan dipihak pembangkang tiada pun peluang untuk itu.

Sebelum ini kita lihat BN begitu yakin akan menang lebih besar daripada pilihanraya sebelumnya. Namun apa yang dapat kita lihat disebalik keputusan pilihanraya kecil ini ini walaupun BN menang, jumlah undi yang mereka perolehi telah merosot sebanyak 314, majoriti yang dicatatkan merosot sebanyak 481 dan sebaliknya undi yang diperolehi oleh DAP meningkat sebanyak 167.

Sekarang kita tinggalkan sahaja Pilihanraya Kecil Machap yang penuh dengan pelbagai cerita ini dan selepas ini kita akan menyaksikan pula Pilihanraya Kecil Dun Ijok, Selangor yang juga akan berlangsung pada bulan April ini. Apa yang pasti BN sudah tentulah akan mempergunakan segala kekuatan yang ada untuk memenangkan calon mereka.

Saya mendapat maklumat bahawa Dun Ijok adalah Dun di Selangor yang paling sedikit majorotinya dimenangi oleh BN. Maka sama-samalah kita tunggu bagaimana pula senario di Dun Ijok nanti. kepada Datuk Seri Khir Toyo, adakah beliau masih lagi yakin untuk berhadapan dengan pembangkang lebih-lebih lagi memperlihatkan keputusan di Machap semalam?

posted by Lidah Penghunus @ 4:56 PM   0 comments

Thursday, April 12, 2007

Hari ini Dun Machap, akan datang Dun Ijok.

Assalamualaikum.

Hari ini adalah hari pembuangan undi bagi Pilihanraya Kecil Dun Machap, walaupun DAP diletakkan sebagai calon bagi menentang calon BN, namun kita tetap juga ingin tahu apakah keputusannya, adakah BN akan menang besar pada kali ini setelah mengerahkan segala kekuatan mereka di sana? Atau adakah DAP yang akan merampas kerusi Dun Machap setelah memainkan isu peyokong mereka dipukul oleh penyokong BN? Dan kita juga ingin tahu sejauhmanakah isu kenaikan harga minyak dan tol yang dianggap BN sebagai tiada kena-mengena dengan kepentingan tempatan boleh mengurangkan undi bagi BN di sana? Apapun ianya akan diketahui selewat-lewatnya tengah malam ini.

Saya tinggalkan dahulu berkenaan Pilihanraya Kecil Machap ini. Dalam pada berjalannya proses membuang undi di Dun Machap, akhbar hari ini Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menyatakan bahawa BN negeri itu sedia dicabar serta mengalu-alukan mana-mana parti pembangkang yang ingin bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Selangor pada 28 April ini.

Menurut Menteri Besar Selangor itu, BN sudah bersiap sedia menghadapi pertandingan dengan semangat dan keyakinan tinggi untuk memenangi pilihan raya tersebut dengan majoriti yang lebih tinggi.
Pada masa sama katanya, calon BN yang akan diumumkan diyakini dapat terus membangunkan kawasan Ijok yang mempunyai seramai 12,272 pemilih itu.
“Kita akan menghadapi mana-mana parti pembangkang yang hendak bertanding. Begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). “Kita mengalu-alukan pertandingan dan akan berdepan dengan mereka, Utusan Malaysia - 12 April 2007.


Terdetik di fakulti minda saya bahawa kenyataan dan keyakinan itu ditunjukkan oleh Khir Toyo di kala dalam fikirannya telah terbayang bantuan-bantuan daripada BN Pusat, kerajaan pusat serta beberapa kementerian, beberapa agensi kerajaan dan tidak ketinggalan media-media yang akan membantu jentera BN di Ijok kelak. Cuba jika tiada semua itu, saya tidak fikir yang Datuk Seri Khir Toyo akan seyakin begini lebih-lebih lagi apabila tokoh korporat ternama, Tan Sri Khalid Ibrahim antara yang tersenarai sebagai calon PKR untuk menentang calon BN di sana.

posted by Lidah Penghunus @ 4:48 PM   0 comments

Wednesday, April 11, 2007

Suara budak suruhan BN di Dun Machap.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini memetik pandangan salah seorang ahli akademik berkenaan pilihanraya Dun Machap. Pada pemulaannya kenyataan Prof Madya daripada UiTM ini menunjukkan bahawa beliau memberikan ulasan sebagai ahli akademik. Namun apabila membaca peranggan yang seterusnya jelaslah ahli akademik ini juga adalah jentera Barisan Nasional di kalangan ahli akademik universiti yang dipergunakan untuk memenangkan BN di sana. Ini diperkuatkan lagi apabila pandangan Prof ini dimuatkan bawah tajuk "Najib yakin BN menang besar"

Pada masa yang sama, katanya, parti politik yang bertanding tidak seharusnya bersikap sambil lewa sebaliknya perlu berusaha kuat memastikan sokongan daripada pengundi.
Norhayati berkata, bahawa dalam sesuatu pilihan raya kecil, parti yang mengetengahkan isu luar dan bukan masalah tempatan semasa berkempen, menunjukkan ketidakmatangannya daripada segi mendapatkan sokongan pengundi.
“Seperti jugalah, kalau ada masalah dalam rumah tangga kita, kenapa kita nak bawa masalah lain dalam rumah tangga kita,” Utusan Malaysia - 11 April 2007.


Di sini saya ingin mengulas sedikit tentang kenyataan Prof ini yang mengaitkan isu di Machap dengan masalah dalam rumah tangga, di sini beliau tidak boleh menolak bahawa dalam sesuatu permasalahan dalam rumah tangga juga berpunca daripada masalah luaran. Misalnya permasalah penyakit sosial di luar rumah boleh mempengaruhi kelakuan sesebuah anggota dalam keluarga, masalah kenaikan harga barangan keperluan dan kos hidup juga boleh menjejaskan kehidupan sesebuah keluarga. Maka untuk menjadikan sesebuah keluarga yang hormoni persekitaran di luar itu juga harus diperbaiki. Begitulah juga di Dun Machap.

Jika benar-benar ahli akademik yang berpangkat Prof itu ingin memberikan pandangan beliau secara akademik maka beliau juga harus menegur sikap parti pemerintah yang mempergunakan segala macam kekuatan untuk berhadapan dengan pembangkang di Dun Machap. Ibarat sebuah keluarga yang ingin menghapuskan seekor tikus di rumah mereka, adalah tidak patut jika habis segala pasukan kawalan serangga, jabatan haiwan, bomba dan penyelamat, polis, tentera, JPA3 termasuk FRU dikerahkan untuk membunuh tikus yang seekor itu.

posted by Lidah Penghunus @ 12:56 PM   1 comments

Tuesday, April 10, 2007

Bukan Perdana Menteri sahaja yang tidak perlu turun di Dun Machap.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini Datuk Seri Najib memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu turun berkempen dalam mana-mana pilihanraya kecil termasuk di Machap kerana rakyat sudah yakin dengan kepimpinan beliau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu turun berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Khamis ini kerana rakyat sudah yakin dengan kepemimpinan Perdana Menteri.
Beliau berkata, menjadi dasar Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri tidak perlu turun berkempen pada pilihan raya kecil dan rakyat pula yakin dengan dasar yang sudah diumumkan termasuk Misi Nasional serta Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
“Bagi (pilihan raya kecil) kawasan Batu Talam baru-baru ini, Perdana Menteri tidak perlu turun, kita menang besar dan yang lawan kita hilang deposit, sebab keyakinan kepada kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri itu cukup kuat, tidak perlu Perdana Menteri sendiri turun,” Berita Harian - 10 April 2007.

Jika benar mereka yakin bahawa BN sentiasa diterima oleh rakyat dan kepimpinan Pak Lah cukup diyakini oleh rakyat bukan Perdana Menteri sahaja tidak patut turun di Dun Machap, Najib selaku Timbalan Perdana Menteri juga tidak sepatutnya menampakkan mukanya di Dun Machap. Biarkan sahaja Umno di sana berhadapan dengan DAP di Dun Machap.

Namun apa yang kita lihat di Machap, bukan sahaja kekuatan BN pusat di gerakkan ke sana, malahan media perdana, agensi kerajaan hinggakan IPTA juga turut dipergunakan untuk memenangkan calon mereka di sana. Jelaslah di sini bahawa mereka sebenarnya masih belum yakin untuk berhadapan dengan pembangkang secara 'anak jantan'

posted by Lidah Penghunus @ 1:09 PM   0 comments

Monday, April 09, 2007

Keng Yaik kata tidak akan masuk campur.

Assalamualaikum

Sebelum ini di Blog Lindunganbulan saya pernah menyebut tentang kemungkinan Keng Yaik akan mengikut menyertai Tun Dr Mahathir mengkritik kerajaan dan parti. Seolah-olah tahu akan spekulasi yang ditimbulkan, semalam semasa tarikh pengundurannya sebagai Presiden Parti, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik memberi jaminan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam urusan parti.

Katanya, walaupun telah dilantik menjadi penasihat nasional parti itu, bukan bermakna beliau boleh mengganggu atau membuat kritikan sesuka hati tetapi peranannya lebih kepada membantu serta memberi nasihat sekiranya diminta berbuat demikian.
Ujarnya, sebagai ketua parti yang baru memangku jawatan Presiden, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon wajar diberi peluang seluas-luasnya untuk memimpin serta menentukan hala tuju parti dan beliau yakin Tsu Koon mampu melakukannya. Utusan Malaysia - 9 April 2007
.

Kita masih ingat dahulu ketika Tun Dr Mahathir menyerahkan amanah sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden Parti kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau juga memberikan jaminan bahawa tidak akan masuk campur dalam urusan pentadbiran negara dan parti. Namun apa yang kita lihat sekarang adalah sebaliknya. Berkenaan dengan Keng Yaik ini sama-samalah kita tunggu adakah beliau juga akan hilang sabar dengan kepincangan yang berlaku dalam kerajaan atau akan terus beku dalam zon yang selesa.

posted by Lidah Penghunus @ 5:31 PM   0 comments

Friday, April 06, 2007

Pendaftaran yang dikenakan ke atas laman blog adalah wajar sekiranya...

Assalamualaikum.

Di sini kita andaikan bahawa;

1. Media-media cetak dan elektronik bebas daripada penguasaan parti pemerintah.
Laporan seimbang tanpa berat kepada parti memerintah mahupun pembangkang.

2. Tiada amalan pembohongan dalam laporan-laporan berita terutamanya yang melibatkan isu politik.

3. Para wartawan bebas melaporkan segala kepincangan yang berlaku tanpa rasa takut akan ancaman serta tekanan daripada pihak-pihak tertentu.

4. Parti pembangkang bebas menerbitkan akhbar harian mereka sendiri dan jangkamasa penerbitan tidak dihadkan kepada jangkamasa tertentu.

5. Media-media elektronik memberikan peluang yang samarata kepada parti pembangkang dan pemerintah berkempen semasa musim pilihanraya.

Maka pada masa itu agak wajarlah jika kerajaan mengenakan pendaftaran kepada pemilik-pemilik laman blog ini. Ini kerana pada masa itu pihak kerajaan telah memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada parti pembangkang untuk menyampaikan mesej mereka kepada rakyat.

Namun begitu bagi saya jika sesebuah kerajaan itu telah bersedia untuk melaksanakan perkara-perkara di atas maka sudah tentulah mereka juga tidak akan sanggup untuk menyekat kebebasan bersuara melalui internet khususnya lama blog.

posted by Lidah Penghunus @ 4:37 PM   0 comments

Thursday, April 05, 2007

Catatan malam jumaat

WATAK SAMSENG DI DUN MACHAP.
Sentuh sedikit tentang insiden pergaduhan pada hari penamaan calon Dun Machap kelmarin, akhbar hari ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam mengulas insiden tersebut menyifatkan para penyokong DAP sebagai tidak bermoral.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan tindakan segelintir penyokong DAP mengejek serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) sehingga tercetus pergaduhan penyokong semalam sebagai tidak bermoral.Beliau yang diminta mengulas pergaduhan di Tebong selepas penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap berkata, tindakan penyokong pembangkang di luar batasan dan sering melakukan provokasi parti BN sehingga menyebabkan penyokong Pemuda MIC berang. Berita Harian - 5 April 2007

Sepatutnya orang yang paling layak mendapat gelaran tidak bermoral adalah penyokong MIC sendiri yang menyerang penyokong DAP. Kerana sudah jelas mereka penyokong MIC ini yang tidak tahu menahan sabar lalu bertindak melulu kepada para penyokong DAP yang mengejek. Perbuatan mengejek dalam majlis penamaan calon ini adalah perkara biasa kerana memang ada segelintir penyokong parti yang agak nakal tidak kira parti pembangkang mahupun pemerintah. Sepatutnya mereka harus sabarlah.

Kalau hendak dikirakan parti pembangkang khususnya Pas bukan sahaja pernah diejek, poster-poster pilihanraya kita pernah dikoyakkan, pemimpin-pemimpin kita pernah dihina melalui poster karikatur, malahan hingga ke tahap petugas-petugas parti pernah dipukul. Tetapi kita tetap sabar dan tidak bertindak melampau. Tetapi mereka baru sahaja diejek terus hendak menyerang. Kalau hendak dikatakan pembangkang menyerang peribadi, pada Pilihanraya Kecil Batu Talam dahulu Datuk Seri Najib sendiri terang-terang menyerang peribadi calon bebas yang dianggap terlalu muda dan mentah.


EKSPEDISI TERJUN KUTUB UTARA USAHA UBAH MAT REMPIT?
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan ekspedisi terjun bebas Kutub Utara oleh 12 anggota Putera UMNO sebagai satu usaha untuk mengubah nasib mat rempit di negara ini.
Beliau berkata, walaupun tidak semua mereka dapat dipulihkan tetapi sekurang- kurangnya penyertaan sebahagian besar mat rempit dalam projek itu merupakan bukti bahawa kumpulan terbabit boleh dibentuk menjadi wira negara.

Sementara itu, bapa kepada Mohd. Irwan, Shaari Ismail, 54, dari Baling Kedah ketika ditemui berbangga dengan pemilihan anaknya sebagai salah seorang peserta ekspedisi.
‘‘Diharap selepas ini dia menjadi anak yang berguna. Sebelum ini memang anak saya terkenal sebagai seorang mat rempit tetapi akhirnya Putera UMNO berjaya mengubahnya,’’ ujarnya. Utusan Malaysia - 5 April 2007.


Di sini kita lihat kes T. Ravichandran, antara pendaki Gunung Everest yang kini dikehendaki pihak polis atas kes penipuan. Sebagaimana yang kita maklum beliau pernah mengharumkan nama negara dan sekarang beliau sekali lagi dalam usaha mengharumkan negara melalui pendakian solonya. Orang-orang seperti beliau inilah yang menjadi kebanggaan negara melalui slogan Malaysia Boleh, cemerlang, gemilang dan terbilang. Namun kecemerlangan semata-mata bukanlah benteng untuk mencegah kita daripada berbuat kejahatan.

Saya tidak nampak yang ekspedisi penerjunan Kutub Utara itu boleh mengubah nasib dan kelakuan mat rempit dan nilainya juga tidaklah sama dengan mereka yang pergi berjihad menentang musuh-musuh Allah terutamanya di Palestin. Sepatutnya dalam usaha memulihkan mereka adalah melalui acuan al quran dan sunah, bukannya melalui akal semata-mata. Akibat mengambil kaedah akal semata-mata inilah masalah ini tidak pernah reda hinggakah mereka sudah berani menyerang anggota keselamatan.


IRAN MENANG LAGI PERANG PROPAGANDA.
Setelah hampir 4 minggu ditahan, akhirnya semalam kerajaan Iran telah membebaskan 15 anggota tentera laut Britain

Stesen televisyen Iran menyiarkan sedutan rakaman yang menunjukkan Presiden Mahmoud Ahmadinejad berbual-bual dengan para tahanan rakyat Britain tersebut di Istana Presiden sejurus selepas pengumuman pembebasan mereka dibuat oleh Presiden itu.

Mahmoud kelihatan bersalaman dengan mereka dalam keadaan santai sewaktu ‘proses pembebasan itu berlangsung’ dan mereka berbual dengan menggunakan seorang penterjemah.

“Kami menghargai semua ini, rakyat anda begitu baik dan kami sangat terharu,’’ kata seorang kelasi dalam bahasa Inggeris kepada Mahmoud.

Seorang daripada mereka mencelah: “Kami sangat terhutang budi kerana anda sanggup memaafkan kami.’’

Mahmoud pada sidang media sebelum itu mengumumkan bahawa Iran bersedia membebaskan tahanan berkenaan selepas berunding dengan London dan menganggapnya sebagai ‘hadiah Iran untuk rakyat Britain’.

Presiden itu bagaimanapun turut meluahkan kemarahannya terhadap Britain kerana ‘tidak cukup berani’ untuk mengakui bahawa mereka telah berbuat salah dengan menceroboh perairan Iran.

Mahmoud berkata, beliau bukan sahaja membebaskan tahanan tersebut tetapi akan turut menganugerahkan pingat kepada komander Tentera Laut Iran dan anggota tentera yang berjaya menahan 15 askar dan kelasi Britain itu. Utusan Malaysia 5 April 2007.


Bagi saya tindakan Iran ini adalah satu lagi kemenangan perang propaganda dan juga kemenangan moral mereka terhadap Britain dan juga rakannya Amerika Syarikat. Mereka yang sebelum ini begitu berang dengan tindakan Iran ini tentu akan menyangka bahawa mustahil negara berkenaan akan membebaskan 15 anggota tentera penceroboh ini dan tidak mustahil juga episod ini akan berakhir dengan perperangan. Namun dalam keadaan Britain dan Amerika sedang berkira-kira sama ada hendak berperang atau tidak, tiba-tiba kelima belas-lima belas tentera mereka dibebaskan, malahan disifatkan hadiah oleh kerajaan Iran sebagai kepada Britain.

Sekaligus menunjukkan kepada dunia bahawa inilah Islam yang sedia memaafkan kesalahan orang lain walaupun berbeza agama, walaupun mempunyai hubungan hubungan politik yang kurang baik. Walaupun kita sedia maklum bahawa Iran bermazhab syiah tetapi Amerika Sekutunya tidak akan memandang sama ada mereka itu syiah atau sunni, bila nama sahaja melaksanakan Islam secara keseluruhan negara itulah yang akan dimusuhi.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Wednesday, April 04, 2007

Siapa sebenarnya pembohong?

Assalamualaikum.

Mengulas sedikit tentang kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam akhbar hari ini yang mengatakan pembangkang bohong;

"Pada pilihan raya kecil DUN Batu Talam, mereka menarik diri tidak bertanding, tetapi secara senyap menyokong kempen calon Bebas. Di Machap, lain pula ceritanya apabila mereka meletakkan calon berdepan dengan Barisan Nasional (BN).
"Apakah kita ingin memilih parti ini yang nyata sudah membohongi rakyat, terutama pengundi," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Pemuda BN di Bukit Bulat di sini semalam.
Sejarah membuktikan mereka (DAP dan Keadilan) pernah mewujudkan pakatan serta rakan karib pada 1999, tetapi berpecah pada pilihan raya 2004. Kini mereka bergabung semula di Machap.“

Apakah kita boleh menerima mereka yang berbohong sesama sendiri demi kepentingannya, tetapi itulah yang berlaku dengan DAP," katanya. Beliau berkata, ia berbeza dengan amalan BN apabila sentiasa bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan parti komponen lain. Berita Harian – 4 April 2007.

Di sini kita ingin bertanya siapakah yang sebenarnya pembohong? Sudah jelas pada Pilihanraya Kecil Dun Batu Talam yang lalu mereka menyebarkan kononnya surat arahan daripada pimpinan Pas kepada penyokong parti berkenaan agar menyokong dan mengundi calon bebas yang betanding menentang calon BN. Tetapi malangnya sudahlah mereka berbohong tetapi pembohongan mereka itu dilakukan dengan cara yang kurang bijak apabila tidak mendalami terlebih dahulu pentadbiran dan organisasi dalam Pas.

Sebenanya tidak timbul soal DAP berbohong apabila tidak bertanding di Batu Talam sebaliknya meletakkan calon di Machap kerana mereka masih lagi sebuah parti politik yang berdaftar. DAP dan parti pembangkang yang lain tidak pernah berkata kepada rakyat bahawa mereka akan terus memulaukan pilihanraya selama-lamanya, jauh sekali hendak bertukar daripada pertubuhan politik ke badan bukan kerajaan atau NGO. Apabila Khairy mengatakan bahawa parti komponen BN sentiasa bekerjasama dan berkongsi kuasa, ini juga adalah pembohongan kepada rakyat kerana baru sahaja timbul pertikaian serta perebutan kerusi yang melibatkan Parti Gerakan dan PPP malahan isu perbalahan dalam parti komponen BN ini wujud sejak dahulu lagi.

Maka sudah jelas bahawa Umno dan Barisan Nasional sebenarnya pembohong, malahan mereka mengheret sama jentera dan agensi kerajaan termasuk SPR dalam siri-siri pembohongan yang mereka lakukan

posted by Lidah Penghunus @ 4:39 PM   0 comments

Tuesday, April 03, 2007

Kementerian Pengajian Tinggi pula diperkudakan dalam Pilihanraya Kecil Machap.

Assalamualaikum.

Sebelum ini kita telah mendengar tentang Kementerian Penerangan yang sedia untuk diperkudakan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Kecil Dun Machap, kali ini Kementerian Pengajian Tinggi yang diketuai Datuk Mustapa Mohamed juga turut bersedia untuk menjadi budak suruhan parti pemerintah dalam pilihanraya kecil berkenaan.

Kementerian Pengajian Tinggi akan membuat penerangan tentang isu-isu berkaitan pendidikan yang ditimbulkan pembangkang menjelang pilihan raya kecil Machap.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, beliau sendiri akan turun ke Machap bagi menjelaskan kepada penduduk di sana terutama remaja dan belia tentang peluang pendidikan disediakan oleh kerajaan kepada mereka.
“Masih banyak peluang pendidikan terbuka kepada mereka, saya yakin segala kekeliruan yang cuba ditimbulkan pembangkang akan dapat kita jelaskan kelak,” Utusan Malaysia - 3 April 2007.


Kalau benar-benar ingin menjelaskan kepada penduduk tentang peluang pendidikan kepada masyarakat sepatutnya bukan setakat masa pilihanraya sahaja, sebelum itu juga sepatutnya mereka sudah turun ke masyarakat menjalankan tanggungjawab mereka yang berkaitan dengan pendidikan. Ini menunjukkan betapa terdesaknya Barisan Nasional sehingga secara terang-terang memperkudakan dua buah kementerian untuk berkempen di Dun Machap.

Sedangkan sebelum ini dalam akhbar mereka begitu yakin akan menang besar dan seringkali menyebut bahawa pembangkang ketandusan isu. Jika benar pembangkang ketandusan isu mengapa sehingga mempergunakan Kementerian Penerangan dan Kementerian pendidikan dalam menjawab segala isu yang ditimbulkan oleh pembangkang?

posted by Lidah Penghunus @ 1:32 PM   0 comments

Gerakan dah 'ikat' Keng Yaik dahulu

Assalamualaikum.

Ahad yang lepas di bawah tajuk 'Ahlan washlan Keng Yaik' saya telah menyebut bahawa tidak mustahil Keng Yaik yang bersara ahad ini akan mengikut jejak langkah Tun dalam mengkritik kerajaan dan parti yang memerintah.

Rupa-rupanya tajuk Ahlan wasahlan Keng yaik yang saya gunakan tempoh hari menimbulkan rasa kurang senang kepada salah seorang pembaca yang tidak diberitahu siapakah dia. Beliau menghantar mesej memberitahu bahawa tajuk yang gunakan amat-amat tidak sesuai kerana jelas beliau ahlan wasahlan bermaksud selamat datang.

Biarlah saya perjelaskan sedikit di sini. Yang pertamanya ini adalah penulisan politik yang penuh spekulasi dan jangkaan. Yang keduanya maksud ahlan washlan di sini ialah mengalu-alukan jika Keng Yaik akan turut bertindak seperti Tun Dr Mahathir yang menegur kepimpinan negara yang didapati tidak betul. Dan saya yakin ianya tidak menyentuh sensitiviti umat Islam. Melainkan jika saya memberi ucapan Assalamualaikum kepada pemimpin parti Gerakan yang baru-baru ini telah mengguris perasaan umat Islam. Apapun saya tetap mengharapkan teguran daripada pembaca blog Lindunganbulan ini jika ada sesuatu yang tidak betul.

Kembali kepada tajuk di atas tadi, akhbar hari ini Gerakan akan melantik Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik sebagai penasihat kebangsaan parti berkenaan setelah beliau berundur kelak. Nampaknya seolah-olah Gerakan dapat menghidu dan khuatir jika Keng Yaik cenderung untuk mengikut jejak langkah rakan seperjuangan dalam BN dahulu iaitu Tun Dr Mahathir. Maka untuk langkah keselamatan, bekas presiden mereka ini akan dilantik menjadi penasihat. Cumanya kita tidak tahu sejauh mana kuasa penasihat yang akan dilantik nanti, sejauh mana kata-kata tuan penasihat akan didengari oleh mereka yang memegang kepimpinan gerakan kelak.

posted by Lidah Penghunus @ 1:05 PM   0 comments

Monday, April 02, 2007

Antara teguran Sultan Kelantan dan Kemurkaan Sultan Selangor.

Assalamualaikum.

Hari ini kedua-dua akhbar perdana meletakkan perihal teguran Sultan Kelantan yang bersangkutan dengan isu Lojing serta beberapa isu lain di muka hadapan akhbar mereka. Sebagaimana yang kita maklum akhir-akhir ini isu Hutan Simpanan Lojing telah dijadikan bahan propaganda BN dan Umno Kelantan untuk memburukkan kerajaan negeri. Sedangkan ianya sudah jelas adalah puterbelit fakta yang telah dimainkan oleh mereka yang diketuai oleh Dato' Seri Annuar Musa sendiri.

Namun ianya adalah teguran daripada seorang sultan sebuah negeri bagi memastikan kesejahteraan negeri yang dinaungi baginda. Sedangkan di Selangor sultannya telah pun di tahap murka dan beberapa kali memberikan teguran terhadap beberapa isu yang berkaitan dengan penyelewengan, salahguna kuasa, kelemahan PBT dan sudah semestinya isu 'Istana' Dato' Zakaria Deros.

Jika dalam teguran Sultan Kelantan semalam turut menyentuh tentang sungai-sungai yang berlumpur serta berkeladak di Negeri Kelantan, di Negeri Selangor sungainya sudah pun di tahap berbau najis. Dalam akhbar hari ini Kerajaan Negeri Selangor meletakkan kesalahan kepada syarikat pengurusan sisa kumbahan iaitu IWK sebagai punca kepada air sungai di negeri maju itu berbau najis. Jika benar pun dakwaan Dato' Seri Khir Toyo itu ianya juga memperlihatkan kepada kita satu lagi bahana penswastaan kepada rakyat.

Kembali kepada isu teguran baginda Sultan Kelantan itu tadi, bukanlah bermaksud untuk menutup isu di Kelantan apabila saya mengalihkan perhatian pembaca ke Negeri Selangor. Walau bagaimanapun teguran-teguran daripada baginda sultan itu tetap diperlu diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri Kelantan agar tidak sampai terjadi macam Negeri Selangor.

posted by Lidah Penghunus @ 10:19 PM   0 comments

Sunday, April 01, 2007

Catatan hujung minggu

CEMERLANG, GEMILANG, TEMBERANG.
Begitulah tajuk yang paling sesuai untuk berita di bawah ini

Polis akan menyoal siasat seorang anggota kumpulan pendaki negara ke Gunung Everest kerana didakwa menggunakan kad pengenalan kakak dan abang iparnya untuk tujuan menipu dengan menubuhkan 22 syarikat, termasuk membawa masuk pelajar asing ke negara ini.
Lelaki berusia 42 tahun itu yang menjadi antara rakyat Malaysia pertama tiba di puncak Everest melalui Tibet dan meletakkan Jalur Gemilang di puncak gunung itu pada 15 Mei tahun lalu, dikehendaki polis Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan dan Pendaftar Syarikat (ROC) berikutan dakwaan penipuan sejak tahun lalu.

Suspek kini berada di Kathmandu untuk misi keduanya menguasai Gunung Everest. Kami akan tahan dia sebaik kembali ke negara ini. Polis serius dengan perkara ini. Berita Minggu - 1 April 2007.

Sebagaimana yang kita maklum kerajaan begitu menyanjung dan mengiktiraf individu-individu yang berjaya mencatat rekod-rekod luar biasa dan seterusnya mengharumkan nama negara di mata dunia. Individu-induvidu sebeginilah yang memenuhi slogan cemerlang, gemilang terbilang yang sering berkumandang sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil amanah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima.

Namun rupa-rupanya mereka yang cemerlang, gemilang dan menjadi harapan negara ini juga rupa-rupanya menjadi si temberang demi kepentingan diri. Kita masih ingat lagi dahulu ketika seorang rakyat Malaysia cuba untuk mencipta sejarah berenang merentasi lautan Selat Melaka, apabila diajukan persoalan berkenaan solat individu tersebut ketika sedang berenang, salah seorang tokoh agama mereka mengatakan tidak mengapa meninggalkan solat demi mengharumkan nama negara.

Jelas di sini kerajaan kita lebih memandang kecemerlangan duniawi seseorang tanpa mengambil peduli akhlak mereka. Tidak mengapa bagaimana pun akhlak mereka yang penting mereka dapat merealisasikan slogan cemerlang, gemilang, terbilang kerajaan Barisan Nasional. Akibatnya ketika mereka sedang mencipta satu lagi kegemilangan untuk negara dalam masa yang sama mereka juga telah menjadi si temberang yang akhirnya akan memalukan negara.


BARISAN NASIONAL TERANG-TERANG PERGUNA KEMENTERIAN PENERANGAN.
Kementerian Penerangan akan memperjelaskan segala isu yang dibangkitkan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Machap, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk memberi penerangan kepada pengundi di kawasan Machap agar mereka tidak terpengaruh dengan isu-isu yang dibangkitkan pembangkang termasuk isu peribadi pemimpin tertentu.
‘‘Yang paling tidak menyenangkan hati ialah isu peribadi yang melibatkan beberapa tokoh nasional, negeri dan tempatan. Saya menyeru pengundi di Machap supaya tidak terpengaruh dengan isu peribadi yang dibawa oleh penceramah DAP,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pilihan raya kecil DUN Machap di sini, malam tadi.
Ahmad Zahid yakin pengundi di kawasan itu tidak akan terpengaruh dengan isu nasional dan tempatan yang dibangkitkan DAP kerana mereka telah memperoleh maklumat tepat. Mingguan Malaysia - 1 April 2007.


Nampaknya pada Pilihanraya Kecil Dun Machap ini Umno dan Barisan Nasional terang-terang memperalatkan jentera kerajaan iaitu kementerian penerangan dalam perang kempen mereka di Dun Machap. Sedangkan ini adalah pertarungan antara Barisan Nasional dan parti pembangkang, bukannya antara Kerajaan Malaysia dengan musuh negara. Sepatutnya dalam menjawab segala isu dalam pilihanraya mereka sepatutnya mereka menggunakan Biro Penerangan dalam parti mereka.

Oleh itu jika benar-benar SPR mendakwa mereka masih lagi berwibawa kita mahu lihat adakah mereka akan menghalang tindakan tidak beretika Barisan Nasional ini.


AHLAN WASAHLAN KENG YAIK
Setelah 26 tahun memegang amanah sebagai Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik akan melepaskan jawatannya minggu depan. Dalam akhbar hari ini Datuk Seri Keng Yaik memberitahu wartawan bahawa beliau akan meneruskan kegiatan politiknya dalam parti walaupun tidak lagi memegang jawatan presiden.

Jika mengambil kira 26 tahun sebagai presiden parti, beliau sudah tentulah sebaris dengan Tun dan juga Datuk Seri Samy Vellu. Maka kita harap Datuk Seri Keng juga akan mengikut jejak langkah Tun, bersama-sama bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden Umno itu dalam mengkritik dasar-dasar dan tindak-tanduk kerajaan yang tidak betul.


IRAN MEMENANGI PERANG PROPAGANDA - PENGANALISIS ANTARABANGSA.
Sentuh sedikit berkenaan isu antarabangsa. Sebagaimana yang kita maklum Negara Iran sedang dalam perhatian Amerika dan sekutunya apabila negara berkenaan dikatakan memperkayakan bahan uraniumnya bagi tujuan persenjataan. Belum pun reda isu ini 13 Mac yang lalu Pasukan Elit Pengawal Revolusi Iran telah menahan lima belas anggota Tentera Britain di Teluk Parsi kerana menceroboh wilayah negara berkenaan secara haram. Perkembangan terbaru ini menambahkan lagi ketegangan Tehran dengan sekutu rapat Amerika itu. Dalam akhbar hari ini pula disiarkan kenyataan daripada penganalisis antarabangsa bahawa Iran telah pun memenangi apa yang dinamakan perang propaganda;

Sementara itu, penganalisis antarabangsa berkata, Teheran nampaknya memenangi perang propaganda, ketika Britain bertungkus lumus meminta kalangan antarabangsa mengenakan tekanan lebih keras ke atas negara itu.
Walaupun London mengkritik tindakan Iran sebagai satu manipulasi yang tidak boleh diterima, penyiaran gambar askar yang ditahan dan rakaman video seorang anggota tentera wanita, Faye Turney, 26, mendominasi laporan media sejak beberapa hari lalu.
Mereka mendapat perhatian semua pihak. Mereka secara jelas memenangi propaganda dengan menggunakan tentera wanita kerana mereka tahu ia adalah satu kelebihan.
Saya tidak sukakannya, tetapi mereka memang berjaya melakukannya, kata Paul Beaver seorang pakar pertahanan.
Faye mendapat perhatian umum terutama cara dia digambarkan dalam siaran televisyen itu dengan memakai tudung dan pengakuannya bahawa semua 15 anggota tentera Britain itusecara jelas memasuki perairan Iran.Tiga surat yang didakwa ditulis oleh Faye sudah disiarkan setakat ini dan ia secara jelas dilihat umum berjaya mengukuhkan kedudukan Iran. Berita Minggu - 1 April 2007.

Bagi saya jika Amerika Syarikat dan sekutunya bebas untuk menceroboh negara lain, bebas untuk mengheret pemimpin negara berkenaan ke mahkamah dan bebas untuk menjatuhkan hukuman mati kepada pemimpin negara yang diceroboh, maka mereka tiada hak untuk mempertikaikan tindakan Kerajaan Iran untuk menangkap serta mendakwa di mahkamah mereka yang menceroboh negara Iran sendiri. Mereka ada hak untuk bertindak demi kedaulatan negara mereka sendiri.

posted by Lidah Penghunus @ 5:12 PM   0 comments


Free Hit Counter