Sunday, July 31, 2005

Harga minyak dan hiburan.

Assalamualaikum.

Untuk kali ketiga harga minyak kita naik lagi. Nampaknya kuasa beli dan upah benar rakyat semakin menguncup kerana harga minyak inilah yang boleh beri impak yang besar kepada harga barang-barang keperluan harian.

Apabila kenaikan harga minyak diumumkan pada malam minggu yang lepas, saya menemani seorang sahabat mengisi minyak di sebuah stesyen minyak. Dapat saya perhatikan malam itu rakyat berpusu-pusu untuk mengisi minyak sebelum harga minyak naik pada tepat jam 12 tengah malam. Setelah lebih kurang 20 minit beratur panjang akhirnya tiba giliran kami untuk mengisi minyak. Dalam kesibukan pemilik kenderaan mengisi minyak, di sebelah pam tempat kami mengisi minyak, seorang wanita yang separuh umur rancak bercerita tentang peserta yang tersingkir dari Akademi Fantasia yang juga berlangsung pada malam itu.

Apa yang saya ingin perkatakan di sini, nampaknya hiburan seolah-olah menjadi seperti dadah atau alat penenang yang boleh meredakan fikiran manusia yang berserabut buat sementara waktu. Walaupun ianya hanya sementara waktu, tetapi ada banyak jenis hiburan lalai yang disajikan. Dari Akademi Fantasia hinggalah ke Malaysian Idol dan program hiburan sebegini tidak putus-putus ditayangkan di televisyen.

Saya pernah terbaca sebuah majalah yang menunjukkan bahawa industri hiburan di india khususnya bollywood menjadi alat untuk masyarakat miskin di negara tersebut untuk melupakan kesengsaraan yang sedang mereka hadapi. Malahan dalam majalah itu juga menyatakan bahawa golongan miskin ini sanggup menghabiskan pencarian mereka selama sehari semata-mata untuk menonton filem kegemaran mereka.

Maka tidak hairanlah mengapa di negara kita semakin banyak program-program berbentuk hiburan diwujudkan khususnya di televisyen. Tujuannya hanyalah supaya rakyat semua di lekakan dari memikirkan kezaliman yang dikenakan terhadap mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 11:50 PM   0 comments

Friday, July 22, 2005

Melayu Glokal?

Assalamualaikum.

Pada perhimpunan agung UMNO kali ini telah wujud satu istilah baru iaitu glokal yang diambil dari melayu glokal yang mana istilah glokal ini adalah akronim dari perkataan global dan lokal lalu membentuk istilah baru yang dinamakan glokal. Namun di sini saya tidaklah bermaksud untuk menyentuh isu ini dari sudut kebahasaan.

Melayu glokal yang diungkapkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Presiden UMNO mengambarkan sebuah bangsa melayu yang mempunyai akar nasional dan akal internasional. Sebenarnya konsep akar nasional, akal internasional ini pernah diungkapkan oleh Dr Firdaus Abdullah semasa beliau menjadi Naib Canselor UM seketika dahulu. Jika diselami konsep glokal ini ia amatlah cantik kerana mengajak kita supaya berfikiran global dan dalam masa yang sama tidak melupakan asal usul dan jatidiri kita. Malahan dalam islam sendiri kita umat islam diseru agar tidak berfikiran jumud, berfikiran secara global namun dalam masa yang sama tidak meninggalkan asas dan prinsip akidah yang kita pegang dan dengan akar dan akidah yang kita pegang inilah yang akan memandu pemikiran kita agar tidak terpesong dari ajaran islam.

Namun ironisnya sikap kebanyakan masyarakat kita adalah bertentangan dengan konsep Melayu Glokal yang diimpikan oleh Najib ini yang mana akar mereka adalah lebih global sedangkan akal mereka masih lagi ditahap lokal. Dapat kita lihat pada hari ini penampilan masyarakat kita dengan gaya hidup yang terikut-ikut dengan budaya barat dari segi fesyen dan penampilan yang tidak dapat lagi dibezakan mereka dengan orang bukan islam. Sedangkan dari segi pemikiran mereka masih lagi sempit dalam tempurung kemelayuan mereka. Sikap-sikap negatif seperti dengki, khianat, pemalas, suka mengumpat, mengadu domba, suka memfitnah masih lagi mengelambui pemikiran dan akal mereka.

Ini semua juga adalah akibat daripada suasana persekitaran yang diwujudkan oleh kerajaan sendiri. Media-media nasional terlampau menonjolkan budaya hedonisme, gaya hidup artis yang berkiblatkan cara hidup barat yang membuatkan kebanyakan anak-anak muda ini terpengaruh dengan artis pujaan mereka sedangkan dalam masa yang sama pemikiran kritis anak-anak muda ini disekat melalui akta-akta yang menyekatkan kebebasan bersuara rakyat, media-media yang mengajak rakyat supaya berfikiran kritis juga disekat dengan begitu hebat. Akibatnya lahirlah masyarakat yang dilekakan dengan hiburan, akademi fantasia, malaysia idol dan sebagainya daripada memikirkan tentang hal-hal yang berat yang menyentuh tentang penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah dan inilah yang dikehendaki oleh kerajaan sebenarnya kerana jika masyarakat sedar maka akan tergugatlah survival politik mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 10:04 PM   0 comments

Sunday, July 17, 2005

Kerajaan pun nak buat XPDC da'wah

Assalamualaikum.

Dalam usaha untuk memberi kesedaran kepada golongan muda tentang bahayanya dadah dan sekaligus untuk menangani masalah penagihan dadah, kerajaan di bawah kementerian dalam negeri bercadang untuk mewujudkan pasukan-pasukan yang akan masuk ke pusat-pusat hiburan seperti pub, disko dan sebagainya untuk memberi penerangan dan kesedaran kepada pengunjung kelab hiburan tentang betapa pentingnya mereka menghindari daripada menggunakan dadah.

Di sini saya teringat kepada program xpdc da'wah yang anjuran Dewan Pemuda Pas Pusat yang mana dalam usaha mereka untuk memberi kesedaran kepada anak-anak muda khususnya anak muda islam, mereka turun beramai-ramai ke tempat-tempat peleseran seperti di Bangsar dan Bukit Bintang, mengedarkan risalah-risalah yang mengajak anak-anak muda yang hanyut dengan budaya hedonisme atau budaya mengagung-agungkan keseronokan ini agar kembali kepada islam.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah, Pemuda Pas melakukan ikhtiar sedemikian kerana mereka hanyalah parti pembangkang yang tidak mempunyai kuasa dalam membenteras kegiatan-kegiatan maksiat. Sebagaimana sabda rasulullah yang bermaksud "jika kamu nampak kemungkaran maka cegahlah dengan tangan (kuasa) dan jika tidak cegahlah dengan lidah dan jika lidah maka cegahlah dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman." Jadi mereka yang tiada kuasa ini hanya mampu mencegah kegiatan-kegiatan mungkar ini dengan lidah dan XPDC da'wah adalah salahsatu kaedah yang mereka gunakan.

Namun begitu kerajaan yang kononnya telah diberi mandat oleh rakyat dalam pilihanraya, mempunyai kemampuan untuk membenteras kemungkaran dengan kuasa yang ada pada mereka, mengapa perlu lagi menggunakan kaedah ala XPDC da'wah Pemuda Pas untuk mencegah kemungkaran khususnya dadah? Sudah tidak dapat dinafikan lagi bahawa pusat-pusat hiburan seperti pub dan disko inilah yang menjadi sarang kepada pengedaran dan pengambilan dadah, malahan kegiatan jenayah yang lain, maka sepatutnyalah dengan kuasa yang ada kerajaan menutup terus tempat-tempat sebegini dalam usaha mereka untuk membenteras kegiatan dadah dan juga kegiatan jenayah yang lain.

posted by Lidah Penghunus @ 5:13 PM   0 comments

Saturday, July 09, 2005

Harga yang perlu dibayar untuk segumpal kezaliman

Assalamualaikum.

Belum pun sempat meraikan kejayaan kerana terpilihnya negara Britain menjadi tuan rumah sukan olimpik tiba-tiba kota london digegarkan dengan beberapa letupan dibeberapa tempat terutamanya sistem pengangkutan ibukota tersebut. Kejadian yang setakat ini mengorbankan 54 nyawa sedikit sebanyak telah menjejaskan reputasi negara tersebut sebagai bakal tuan rumah bagi sukan yang paling berprestij di dunia itu. Setidak-tidaknya sistem keselamatan negara kuasa besar dunia itu akan dipersoalkan terutamanya oleh negara-negara peserta sukan olimpik kelak.

Bagi saya inilah harga yang perlu dibayar oleh London atas sebab kezaliman negara tersebut terhadap umat islam khususnya umat islam Iraq. Namun tidaklah bermaksud bahawa ini adalah angkara gerakan jihad islam. Belum ada bukti kukuh lagi untuk mengaitkan pejuang islam dalam insiden tersebut. Namun seperti yang telah diduga kerajaan Britain di bawah Blair terus menuding jari terus kepada kumpulan pejuang jihad islam khususnya rangkaian Al qaida. Persoalannya adakah hanya umat islam sahaja yang memusuhi mereka? Adakah mereka lupa bahawa dalam isu mazhab agama kristian mereka bermusuh dengan Republik Ireland, sebuah permusuhan yang tiada penghujungnya hingga ke hari ini. Berkemugkinan juga dengan terpilihnya London sebagai tuan rumah sukan olimpik telah melahirkan rasa cemburu di kalangan negara-negara calon dan akhirnya mewujudkan permusuhan dan dendam. saya percaya bukan sedikit wang yang perlu dikeluarkan untuk melobi agar dipilih menjadi tuan rumah. Jika dalam pemilihan UMNO pun boleh sampai jutaan ringgit, apalagi melobi untuk menjadi tuan rumah kepada sukan yang bertaraf dunia.

Jika kita lihat balik sejarah negara britain juga pernah menjadi penindas kepada orang kulit hitam yang majoritinya tinggal di benua Afrika. Kita telah saksikan bagaimana orang kulit putih dari britain menghalau kaum peribumi kulit hitam afrika ke kawasan-kawasan yang gersang dan mereka pula menduduki kawasan yang kaya dengan mineral khususnya batu permata di sebelah selatan benua afrika. Dasar apartheid yang diamalkan mereka telah banyak menindas kaum-kaum peribumi Afrika dan kesannya kita lihat hingga ke hari ini. Jadi adalah tidak munasabah britain terus menuding jari terus ke bahu umat islam sedangkan dalam masa yang sama dasar negara itu yang angkuh sebenarnya telah menimbulkan permusuhan dan dendam dari pelbagai pihak.

Saya melihat reaksi dan ulasan dari orang islam sendiri juga mencerminkan pemikiran mereka bahawa insiden tersebut adalah angkara umat islam khususnya gerakan jihad. Ianya nyata sekali apabila dalam memberikan komen mereka terus membuat kenyataan bahawa islam menghalang keganasan terhadap orang awam dan ianya bukan ajaran islam. Seolah-olah minda mereka juga telah disetkan bahawa setiap letupan yang berlaku adalah angkara rangkaian al qaida. Saya tertarik dengan reaksi dari pemimpin Pas sendiri bahawa mereka menolak keganasan terhadap orang awam dan dalam masa yang sama meminta agar tuduhan tidak terus ditujukan kepada umat islam. Memang kita Pas menolak keganasan dan dalam masa yang sama juga Pas menolak tuduhan-tuduhan liar terhadap gerakan islam. Saya juga tertarik dengan kenyataan dari jurucakap Taliban yang juga menafikan pembabitan mereka dalam insiden tersebut. Apa yang menariknya dalam kenyataan oleh jurucakap taliban itu, mereka tidak berasa gembira dengan insiden tersebut walaupun ianya terkena kepada kerajaan yang mereka musuhi dan tidak pula sedih dengan kejadian tersebut dan menurutnya taliban hanya akan berasa gembira apabila insiden tersebut mengenai tentera negara tersebut.

Secara peribadinya saya juga tidak berasa gembira apabila mendengar berita serangan berani mati di Iraq yang membunuh tentera-tentera dan polis kerajaan iraq apalagi orang awam namun saya akan bertakbir apabila serangan berani mati tersebut membunuh tentera penceroboh.

posted by Lidah Penghunus @ 2:53 PM   0 comments


Free Hit Counter