Wednesday, February 28, 2007

Pembangkang Dun Kelantan cuba jadi pengacau kepada kerajaan negeri.

Assalamualaikum.

Peranan pembangkang seperti yang kita maklum adalah penyemak dan pengimbang kepada tindak-tanduk parti pemerintah tidak kira sama ada parti yang memerintah itu BN atau pun Pas, kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. Pas sebagai pemerintah di negeri Kelantan juga memerlukan kehadiran Umno sebagai pembangkang untuk memastikan segala tindakan kerajaan negeri menguntungkan rakyat.

Namun semalam pembangkang di Kelantan cuba untuk menjadi pengacau kepada parti pemerintah apabila sengaja menggagalkan rancangan kerajaan negeri untuk meminda Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bertujuan mencetak semula Perlembagaan Negeri. Sedangkan pindaan tersebut adalah baik untuk melicinkan pentadbiran negeri malahan diakui sendiri oleh pembangkang. Namun oleh kerana alasan yang remeh mereka bertindak untuk menggagalkannya.

Tindakan kita itu sebagai isyarat bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai wibawa untuk meminda perlembagaan. Kita tidak menentang kandungan usul itu, tetapi memilih tidak mengundi kerana BN tidak diajak berunding sewajarnya.
"Kalau Pas sedar mereka tidak cukup wibawa, tidak cukup undi, harus ada perundingan. Saya hanya diberitahu oleh Exco berkenaan, beberapa minit sebelum usul itu dibentangkan," katanya. Berita Harian – 28 Febuari 2007.

Hanya kerana alasan yang remeh mereka sebenarnya telah membuang masa kerajaan negeri yang terpaksa membawa usul berkenaan ke persidangan yang seterusnya sedangkan banyak lagi perkara-perkara penting yang harus diselesaikan pada persidangan yang seterusnya. Jika mereka mendakwa kerajaan Pas Kelantan tidak berbincang dengan pembangkang sebelum membentang sesuatu usul adakah kerajaan pusat selama ini berbincang dengan pembangkang dalam membuat sesuatu keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat?

Di Dewan Rakyat pun Pas sebagai pembangkang tetap menyokong jika sesuatu usul yang dikemukakan oleh kerajaan pusat itu baik untuk rakyat dan Negara. Walaupun beza Pas dan Umno di negeri Kelantan hanya satu kerusi Dun namun Pas tetap pemerintah di negeri berkenaan dan Tok Guru Nik Aziz sebagai ketua negeri. Maka tidak sepatutnya mereka menjadi pengacau kepada pentadbiran negeri hanya semata-mata untuk menunjukkan bahawa mereka itu kuat dan kononnya kerajaan negeri sudah hilang kewibawaan.

posted by Lidah Penghunus @ 1:44 PM   0 comments

Monday, February 26, 2007

Dulu Iraq kini Iran.

Assalamualaikum.

Berkenaan krisis Amerika dan Iran yang melibatkan bahan nuklear ini kita ibaratkan dalam sebuah kampung terdapat sebuah keluarga yang meningkatkan sistem keupayaan bekalan elektrik rumahnya. Tiba-tiba sebuah keluarga yang lain yang berlagak seperti ketua kampung menegur tindakan keluarga berkenaan sebagai yang boleh mengancam keselamatan kampung. Kononnya keupayaan elektrik di rumah keluarga itu boleh digunakan untuk mengancam keselamatan jiran lain.

Atau pun sebuah keluarga yang lain membeli kelengkapan pertukangan untuk memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan di rumahnya disifatkan oleh keluarga yang bertindak sebagai ketua kampung itu tadi sebagai senjata yang boleh mengancam jiran-jiran yang lain. Ini adalah kerana kedua-dua keluarga ini tidak sehaluan dengannya sedangkan bagi keluarga lain yang sehaluan dengannya menyimpan senjata api di rumah pun tidak menjadi masalah kepadanya.

Begitulah gambarannya Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap program pengayaan uranium oleh negara Iran sebuah negara yang dari dahulu tidak di senangi oleh negara yang bertindak sebagai polis dunia itu. Apapun alasan serta bukti yang diberikan oleh Iran tetap tidak akan dipandang Amerika kerana dalam fikiran mereka hanya nampak Iran sebagai musuh yang akan mengancam mereka.

Sedangkan sejak tercetusnya revolusi Islam di Iran pada tahun 1979 tidak pernah pun negara berkenaan menyerang mana-mana negara. Yang kita pernah tercatat dalam sejarah ialah negara berkenaan di serang oleh Iraq yang dibantu oleh Amerika. Bagi saya tindakan Amerika untuk berperang dengan Iran hanya akan menambahkan satu lagi beban kepada negara itu khususnya kepada rakyatnya setelah mereka dilanda masalah di Iraq dan Afghanistan dan yang masih berlarutan hingga kini.

Mungkin semasa kempen perang di Afghanistan mereka berada dalam kekuatan yang maksima. Namun setelah berhadapan dengan Afghanistan dan Iraq kekuatan mereka mungkin tidak sehebat dahulu dan ianya termasuklah dalam aspek kewangan. Sedangkan kerajaan Iran setelah perang dengan Iraq belum pernah lagi terlibat dengan mana-mana perperangan. Maka tidak perlulah Amerika hendak menguji sejauh mana kekuatan ketenteraan mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 1:01 PM   0 comments

Sunday, February 25, 2007

Baru nak minta negara umat Islam putuskan hubungan dengan Israel?

Assalamualaikum.


Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mahu negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel memutuskan hubungan dan memanggil balik duta mereka segera.
Kita membuat cadangan itu kerana ingin menunjukkan kepada Israel bahawa kita serius dan bukan hanya bercakap kosong,” katanya selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir sumbangan Bank Rakyat, di sini, semalam. Berita Minggu - 25 Febuari 2007.

Rasanya telah sekian lama diharamkan bagi negara umat Islam mengadakan sebarang bentuk hubungan dengan negara haram Israel. Tidak setakat itu disenaraikan pula produk-produk yang berkaitan dengan rejim Zionis yang mesti dipulaukan oleh umat Islam. Malahan kita masih ingat lagi pada tahun 1997 bagaimana berlangsungnya demonstrasi membantah kedatangan pasukan kriket Israel yang datang ke negara ini walaupun hanya untuk bersukan. Menunjukkan begitu bersungguh-sungguhnya usaha untuk mengajar bangsa yang zalim ini dari dahulu hingga kini.

Namun begitu OIC yang diketuai oleh negara kita baru sekarang menyebut tentang memutuskan hubungan dengan Israel kepada beberapa negara anggotanya yang sekian lama bergelumang dengan negara haram itu. Dalam pada Kuala Lumpur menyeru kepada negara yang berkenaan untuk memutuskan hubungan dengan Israel, di negara kita sendiri produk-produk serta syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel masih lagi bebas mengaut untung. Agenda Zionis untuk menghancurkan umat Islam seperti hiburan melampau, gaya hidup bebas yang dipaparkan media terus berjalan.

Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai kuasa, mereka boleh sahaja terus menghentikan kemasukan produk-produk yahudi beserta agenda jahat yang mereka sedang jalankan.

posted by Lidah Penghunus @ 3:33 PM   0 comments

Thursday, February 22, 2007

Adakah dengan tidak menyanyi lagu Negaraku bererti tidak patriotik?

Assalamualaikum.

Semalam sebuah akhbar perdana telah mendedahkan tentang sekolah menengah agama negeri dan sekolah agama rakyat di Kelantan yang tidak menyanyikan lagu Negaraku dan lagu negeri pada perhimpunan sekolah. Akhbar yang sama pada hari ini memaparkan reaksi daripada Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO, Ahmad Ikmal Ismail yang menyifatkan tindakan sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) itu sebagai memalukan

Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO, Ahmad Ikmal Ismail berkata, tindakan sekolah di bawah pentadbiran Yayasan Kelantan itu seolah-olah mendidik para pelajar supaya tidak menghormati perlembagaan negara dan sultan sendiri.
Beliau berkata, tindakan tersebut juga menunjukkan Pas mahu mempolitikkan bidang pendidikan demi kepentingan parti mereka.
‘‘Saya pelik dengan tindakan tidak menyanyikan lagu Negaraku dan Selamat Sultan itu tetapi membenarkan pula lagu nasyid
Menurut sumber, para pelajar juga tidak ditanam dengan semangat patriotik terhadap bangsa dan negara, sebaliknya disemaikan dengan fahaman yang lebih menjurus ke arah pembentukan pegangan politik mereka pada masa depan.
Ahmad Ikmal berkata, Pergerakan Pemuda UMNO berpendapat tindakan seperti itu perlu dihentikan segera bagi mengelakkannya daripada memecahbelahkan masyarakat. Utusan Malaysia – 22 Febuari 2007.

Di sini saya tidak nampak bahawa jika tidak menyanyikan lagu kebangsaan bererti tidak patriotik, tidak cintakan tanah air jauh sekali boleh memecahbelahkan masyarakat. Jika kita lihat sekolah-sekolah kebangsaan bawah pentadbiran kerajaan pusat yang tiap-tiap minggu menyanyikan lagu Negaraku masalah displin dan jenayah di kalangan pelajar mereka juga amat membimbangkan. Kerana kecintaan kepada negara itu sebenar-benarnya adalah daripada hati setiap pelajar itu, bukan hanya dilafaz dibibir semata-mata melalui lagu Negaraku. Melalui didikan agama yang sempurna yang disemaikan oleh SAR ini juga secara automatik akan menyemai rasa cinta pelajar itu kepada negara kerana Islam juga mengajar penganutnya mencintai tanah airnya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Apa yang harus mereka tahu di sini, zaman sekarang ini penyakit sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan pelajar amat-amat membimbangkan dan ianya tidak terlepas sekali di kalangan pelajar-pelajar yang mengambil jurusan agama. Oleh itu apa yang dilakukan oleh sekolah-sekolah bawah YIK yang didedahkan oleh akhbar semalam adalah usaha bersungguh-sungguh mereka menerapkan Islam yang kukuh ke dalam diri pelajar sebelum mereka melangkah keluar dari alam persekolahan dan memasuki dunia luar yang penuh mencabar. Dalam erti kata lain itulah perjuangan terakhir mereka sebelum pelajar-pelajar ini kembali ke alam dan persekitaran yang tidak sihat, penuh kemungkaran yang diwujudkan oleh kerajaan BN sendiri. Jadi ianya sebenarnya bukanlah bertujuan politik.

Menyentuh tentang isu lagu kebangsaan di sekolah ini kita juga mahu mendengar apa reaksi Sdr. Ahmad Ikmal berhubung saranan agar doa tidak dibacakan oleh pelajar beragama Islam pada perhimpunan mingguan sekolah atas alasan perpaduan kaum.

posted by Lidah Penghunus @ 10:27 AM   1 comments

Wednesday, February 21, 2007

Mat Rempit ditatang oleh putera Umno, Diterajang pula oleh Datuk Seri Rais Yatim.

Assalamualaikum.

Saya tertarik untuk mengulas satu laporan akhbar tentang kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan seorang ahli bahasa agar tidak digunakan perkataan Mat Rempit kepada penunggang motorsikal yang menunggang secara melulu sebaliknya labelkan sahaja dengan sebutan dajal atau penyangak rempit. Alasannya kerana perkataan mat yang digandingkan kepada gejala rempit adalah terlalu sopan, tambahan lagi perkataan Mat adalah kependekan daripada nama Muhammad oleh itu ianya dianggap mencemari nama nabi junjungan Muhammad SAW.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, gelaran seperti ‘Penyangak Rempit’ atau ‘Dajal Rempit’ seharusnya diberikan untuk mencerminkan sikap buruk mereka.
Seorang budayawan, Prof. Dr. Siti Zainun Ismail berkata, istilah Mat Rempit bagi pelumba haram perlu ditukar kepada ‘Dajal Rempit’ atau ‘Jahal Rempit’.
“Gelaran ‘Mat’ bagi pelaku jenayah dan antisosial tidak praktikal dengan singkatan asalnya bermaksud ‘Muhammad’.
‘‘Muhammad itu sendiri mewakili nama mulia seorang nabi dan seharusnya ia ditukar kepada gelaran lain yang lebih sesuai,’’ Utusan Malaysia – 21 Febuari 2007.

Nampaknya sikap Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan ahli bahasa ini begitu berbeza sekali dengan sikap ketua Putera Umno sendiri yang dilihat begitu ‘sopan’ sekali melayan kerenah mat-mat rempit ini walaupun telah banyak kali mereka melampaui batas. Putera Umno begitu optimis bahawa mereka daripada kumpulan mat rempit inilah yang akan mengambil alih kepemimpinan negara di masa hadapan. Kalau boleh perkataan mat rempit itu juga hendak ditukar kepada putera rempit. Di sini saya lebih bersetuju dengan pandangan seorang lagi ahli bahasa;

Sementara itu, pensyarah Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Kamila Ghazali berkata, gelaran ‘Mat’ yang digunakan pada `Mat Rempit’ hanya satu nama dan tidak memberi apa-apa kaitan dengan nama mulia ‘Muhammad’.
“Perilaku ‘Mat Rempit’ sebenarnya yang menggambarkan baik atau buruknya tingkah laku dan bukan perkataan ‘Mat Rempit’ itu sendiri.
Jelas beliau, apa yang paling penting adalah usaha mengubah atau menghapuskan terus gejala ‘Mat Rempit’ daripada terlalu sibuk berfikir tentang gelaran mereka. Utusan Malaysia – 21 Febuari 2007.


Kerana jika mereka berpandangan sedemikian maka orang yang bernama Muhammad, Ibrahim atau Abu Bakar yang melakukan jenayah juga haruslah dilucutkan nama mereka pada kad pengenalan kerana mencemarkan nama para nabi dan sahabat.

posted by Lidah Penghunus @ 12:52 PM   1 comments

Tuesday, February 20, 2007

Pelatih kolej tentera didera

Assalamualaikum.

Seorang bapa kepada pelatih pegawai kadet tahun dua Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas di sini mendakwa anaknya didera teruk ala penjara Abu Ghraib di Iraq termasuk dipaksa minum air kencing dan berkumur menggunakan air mengandungi najis.

Satu daripada rakaman video menunjukkan sekumpulan pelatih memasukkan seorang pelatih lain dalam tong sampah berisi air najis sehingga paras pinggang, dipaksa menjilat sesuatu atas tanah selain dipukul serta ditendang pada kepala dan badan.
Ada juga pelatih dipercayai dari tahun tiga dilihat memijak kepala Mohd Hazim ketika dia melakukan tekan tubi, selain dipaksa memasukkan kepalanya dalam longkang serta disiram air kotor daripada longkang.

Rakaman kejadian di Wisma Kadet di Kem Tanah Merah, Jitra itu juga menunjukkan mangsa dipaksa minum banyak air termasuk air berwarna hitam yang dipercayai air kotor. Berita Harian - 20 Febuari 2007.

Di sini memang kita menerima bahawa latihan ketenteraan itu mestilah berbentuk fizikal yang agak keras bertujuan untuk menyediakan seorang bakal perajurit yang mampu untuk menghadapi segala cabaran di medan perang. Namun begitu apa yang dilaporkan di atas ini sememangnya adalah sesuatu yang luar di batas kemanusiaan apatah lagi di negara Malaysia yang penduduknya beragama Islam ini.

Persoalannya di sini adakah latihan-latihan yang melampau dan terlalu keras sebegini akan melahirkan seorang tentera atau pasukan tentera yang mampu menghadapi musuh? Kita telah lihat dalam sejarah bagaimana tentera Islam ketika dahulu pernah menakluk negara kuasa besar dunia. Namun tentera mereka dilatih tidaklah hingga dipaksa memakan sampah atau minum air najis. Yang lebih diterapkan kepada mereka adalah kekuatan iman dan roh jihad yang mendorong mereka untuk berjuang semata-mata kerana Allah.

Sebenarnya apa yang saya perhatikan walaupun institusi ketenteraan kita mempunyai Kor Agama atau KAGAT namun penerapan nilai Islam itu masih lagi kurang, masih banyak lagi perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak Islam terutamanya dalam aspek latihan ketenteraan. Kita masih lagi terikut-ikut dengan institusi ketenteraan di barat khususnya di Amerika Syarikat dan Britain. Memang benar dari segi teknik, taktik, kepakaran serta teknologi kita harus belajar daripada mereka namun tidak haruslah hingga ke sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

Kerana jika roh Islam dan jihad ini tidak disemaikan bersungguh-sungguh ke atas perajurit kita bagaimana jika suatu hari nanti mereka mahu berhadapan dengan musuh yang akan menyerang negara kita atas nama agama? Andaikata ditawan musuh, dengan latihan yang diterima mungkin mereka mampu berhadapan dengan penderaan fizikal tetapi bagaimana pula jika mereka disogok oleh musuh dengan kemewahan dan wanita? Maka pada masa itulah pentingnya kekuatan kerohanian pada diri mereka yang mampu menolak apa jua sogokan daripada musuh yang lebih kepada dorongan nafsu.

posted by Lidah Penghunus @ 2:48 PM   0 comments

Sunday, February 18, 2007

Harmoninya perlaksanaan Islam di Kelantan.

Assalamualaikum.

Sempena perayaan tahun baru cina yang disambut oleh kaum Tiong Hwa hari ini saya tertarik untuk mengulas paparan akhbar tentang seorang cina di Kelantan yang sudah memeluk Islam namun masih boleh bersama-sama dengan keluarga yang masih lagi beragama Buddha meraikan tahun baru cina.

Perbezaan agama bukan penghalang kepada ahli perniagaan, Mahadie Chan Abdullah, 55, bersama tujuh ahli keluarganya pulang ke Kampung Kulim, Wakaf Bharu di sini untuk meraikan ‘makan besar’ sempena Tahun Baru Cina.
Kepulangan Mahadie Chan dan isterinya, Rosnah Sadi, 44, serta enam anak mereka, Mohd Fadlie Chan, 24; Nor Fadhlina Chan, 23; Nor Azlina, 21; Nur Haslinda Chan 19; Mohd Hafifie Chan, 17 dan Mohd Adlie Chan, 14, ke rumah bapanya, Chan Jin Teng, 82, disambut seluruh adik beradik lain yang mengganut Buddha.Mahadie Chan berkata, kepulangannya menziarahi bapa dan adik beradiknya dianggap tradisi tahunan sejak memeluk Islam 30 tahun lalu dan tanggungjawabnya sebagai anak, selaras tuntutan Islam. Berita Harian - 18 Febuari 2007.

Apa yang hendak saya perkatakan di sini begitulah harmoninya perlaksanaan Islam di Kelantan bawah pentadbiran Tok Guru Nik Aziz. Masyarakat bukan Islam khususnya kaum cina hidup selesa tanpa rasa terancam, mereka bebas mengamalkan agama serta adat mereka sendiri tanpa rasa takut. Bagi yang sudah memeluk agama Islam pula mereka masih dapat diterima oleh keluarga mereka tanpa rasa sangsi. Ini menunjukkan betapa pentadbiran Tok Guru berjaya menunjukkan Islam yang sebenar yang memberi rahmat kepada sekalian alam. Pada waktu ini juga di Kelantan berlangsungnya kejohanan Nisa' Game iaitu kejohanan sukan yang dikhaskan untuk kaum wanita

Majlis perasmian Nisa’ Games 2007 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-1V dekat sini malam tadi dianggap hampir menyerupai pembukaan sukan berprestij lain di negara ini.
Perarakan masuk didahulukan enam anggota Nisa’ yang membawa bendera Malaysia diikuti 27 kontinjen mewakili 11 negeri dan 14 kawasan Parlimen di Kelantan. Apa yang membanggakan kontinjen dari Sabah dan Sarawak turut menyertai kejohanan Nisa’ Games yang berlangsung semalam dan hari ini.
Kehebatan tambah menyerlah lagi apabila perarakan masuk tiga kuda yang ditunggang tiga anggota Nisa’ dengan membawa bendera Malaysia, Kelantan dan Nisa’ Malaysia, kemudian diikuti kereta kuda juga membawa anggota Nisa’. Harakahdaily - 18 Febuari 2007.


Ini satu lagi bukti keterbukaan Islam yang diperjuangkan oleh Pas. Walaupun seorang wanita Islam itu diwajibkan menutup aurat tetapi mereka tidak dihalang untuk bersukan. Malahan apa yang lagi cantiknya Islam di sini sukan itu tidaklah membawa kepada tercemarnya maruah seseorang atlit wanita apabila terpaksa mendedahkan aurat di khalayak penonton.

posted by Lidah Penghunus @ 3:57 PM   1 comments

Friday, February 16, 2007

Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz cadang perkenalkan semula cawat besi?

Assalamualaikum.

Agak terkejut juga membaca saranan tokoh agama yang disegani Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz yang dipaparkan dalam akhbar hari ini agar pemakaian cawat besi perkenalkan kembali untuk mengelakkan jenayah rogol yang semakin menjadi-jadi.

Pemakaian cawat besi perlu dihidupkan kembali kerana wanita zaman kini banyak terdedah kepada jenayah rogol yang semakin berleluasa, kata tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz.
Beliau membuat saranan itu memandangkan berlaku peningkatan kes rogol dan mangsanya pula bukan setakat wanita muda, tetapi juga kanak-kanak dan warga tua.
“Mungkin ia (pakai cawat besi) janggal dan kurang seronok didengar, namun inilah saranan terbaik kepada wanita bagi mengelak diri mereka dari dirogol,” katanya. Utusan Malaysia - 16 Febuari 2007.


Di sini saya amat-amat menghormati Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz sebagai seorang tokoh ulama' namun mengenai saranan beliau itu bagi saya adalah lebih baik dan lebih utama jika beliau menyebut tentang kembali kepada perlaksanaan undang-undang syariah sepenuhnya serta pemakaian menutup aurat bagi wanita Islam dan pemakaian sopan bagi wanita bukan beragama Islam.

Adalah tidak kena apabila kita terus menyentuh tentang pakaian yang di dalam sedangkan pemakaian yang menutup aurat yang tidak menjolok mata seperti tudung yang terletak di luar tidak disentuh. Di sini saya tidak pasti jika pada majlis itu Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz ada juga menyebut tentang saranan menutup aurat dan juga berpakaian sopan. Tetapi jika ada kita amat kesallah dengan akhbar yang hanya menyebut tentang cawat besi tetapi tidak menyebut kenyataan beliau tentang tuntutan menutup aurat serta berpakaian sopan.

posted by Lidah Penghunus @ 4:19 PM   0 comments

Thursday, February 15, 2007

PTPTN mahu jadi Along?

Assalamualaikum.

Akhir-akhir ini perhatian ditumpukan kepada isu Along atau pemberi pinjaman wang tanpa lesen atas tindakan mereka yang semakin melampau ketika ini. Pelbagai cadangan yang diberikan untuk mengatasi masalah ini antaranya ialah turut mendakwa sekali mereka yang meminjam wang dengan Along.

Antara ciri-ciri Along yang bersikap cekik darah ini ialah mereka akan menaikkan kadar faedah kepada peminjam yang lewat membayar balik pinjaman. Dalam akhbar hari ini sebuah badan yang memberi pinjaman bagi tujuan pembiayaan pendidikan PTPTN menyatakan bahawa mereka akan menaikkan kadar faedah kepada para peminjam yang gagal menjelaskan hutang dehgan PTPTN.

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih gagal menjelaskan tunggakan hutang selepas disenarai hitam, boleh dikenakan kadar faedah tambahan sekali ganda berbanding tiga peratus sekarang.
“Tiada had siling ditetapkan, tetapi faedah tambahan itu mesti lebih daripada kadar tiga peratus kos pentadbiran yang dikenakan sekarang,” Berita Harian – 15 Febuari 2007.

Nampaknya PTPTN pun mahu mengikut jejak langkah Along yang menaikkan kadar feadah yang jelas haram serta menindas itu.

posted by Lidah Penghunus @ 12:59 PM   0 comments

Wednesday, February 14, 2007

Dua kementerian batal peraduan.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini menyifatkan keputusan menarik balik peraduan yang berkaitan dengan MyKad dan pesalah trafik sebagai keputusan yang jarang-jarang dibuat oleh seorang menteri.

Seorang daripada mereka, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad ketika menarik balik peraduan yang menawarkan hadiah kereta Perodua MyVi bagi orang ramai yang menukar MyKad menganggap ia sebagai ‘tidak perlu’.
Sementara seorang lagi menteri, Datuk Seri Chan Kong Choy yang baru melancarkan peraduan tangkap gambar pesalah trafik - empat hari lalu - menyifatkan peraduan itu ‘boleh disalah guna oleh sesetengah pihak untuk meraih untung’ Utusan Malaysia – 14 Febuari 2007.

Baguslah jika kedua-dua menteri ini membuat keputusan untuk menarik balik peraduan yang mereka anjurkan di kementerian masing-masing. Memang tidak perlu pun menganjurkan peraduan yang sebegini lebih-lebih yang bersangkutan dengan MyKad iaitu alat pengenalan diri yang amat penting bagi rakyat Malaysia. Adalah lagi baik wang itu disalurkan kepada mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi sesudah bencana banjir ini.

Berkenaan peraduan anjuran Kementerian Pengangkutan pula sebenarnya ianya telah lama dilaksanakan oleh DBP iaitu melalui program Pantau Tegur Bahasa yang juga menyediakan ganjaran bagi mereka yang memberikan maklumat tentang penyalahgunaan Bahasa Melayu di tempat awam namun ianya mungkin tidak disesuai untuk dilaksanakan bagi kesalahan yang berkaitan dengan lalu-lintas yang bersifat mobiliti.

Dalam akhbar perdana yang lain pula Putera Umno menawarkan ganjaran motosikal dan sejumlah wang tunai kepada mat rempit atau orang ramai yang bekerjasama dengan polis sehingga berjaya menahan peragut

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata usaha itu juga diharap dapat menggalakkan orang ramai, khususnya mat rempit yang selalu dipandang negatif dalam membantu menahan peragut daripada terus bermaharajalela."Ia adalah usaha terbaru Putera Umno menggalakkan masyarakat dan mat rempit membantu polis membendung gejala ragut yang semakin berleluasa.“Malah, usaha itu juga sebagai bukti komitmen Putera Umno untuk terus berusaha menjadikan mat rempit sebagai mata dan telinga polis," Berita Harian – 14 Febuari 2007,

Bagi saya cadangan Putera Umno ini juga perlu dikaji sedalam-dalamnya lebih-lebih lagi apabila mereka bercadang untuk menghadiahkan sebuah motorsikal. Ditakuti Mat Rempit yang sudah memiliki motorsikal ini akan lebih giat dengan kegiatan rempit mereka apabila menerima sebuah lagi motorsikal. Selain daripada itu kita juga bimbang jika ‘peraduan’ ini akan mewujudkan persaingan yang tidak sihat di kalangan mat-mat rempit ini dalam mencari ‘mangsa’ mereka.

Selain daripada dua peraduan yang dibatalkan oleh dua kementerian ini kita juga mahu peraduan-peraduan lain yang jelas tidak berfaedah dan juga berunsurkan judi serta penipuan yang sekarang ini semakin menjadi-jadi diberi perhatian. Ianya juga termasuk peraduan-peraduan bakat nyanyian yang sekarang ini semakin banyak serta melalaikan para remaja. kerana peraduan seumpama ini lebih memudaratkan masyarakat.

posted by Lidah Penghunus @ 4:28 PM   0 comments

Tuesday, February 13, 2007

Kisah sungai di negeri Selangor

Assalamualaikum.

Pada masa kerajaan negeri Selangor bercadang untuk mengenakan denda terhadap pengguna yang membazir air, akhbar hari ini mendedahkan lagi krisis air Selangor yang dijangka akan menjejaskan sejuta pengguna di Selangor.

Pencemaran di sungai-sungai berkenaan telah menyebabkan tiga loji rawatan air di Loji Sungai Selisik, Hulu Selangor, Loji Batu 11 Cheras dan Loji Bukit Tampoi, Sepang terpaksa ditutup sejak seminggu lalu berikutan kadar ammonia yang terlalu tinggi dalam air sungai berkenaan.
Pencemaran ammonia itu dikatakan berlaku kerana air kumbahan dibiarkan mengalir ke sungai-sungai itu.

Pencemaran seumpama ini pernah berlaku di sungai-sungai itu beberapa tahun lalu, tetapi kerana tiada pengawasan daripada pihak berkuasa ia berlaku sekali lagi,” dakwa seorang pemimpin tempatan yang tidak mahu namanya disiarkan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang Sungai Langat di Batu 11 Cheras dekat sini mendapati air sungai tersebut terlalu kotor dan keruh sehingga warnanya menyamai air teh susu.
Air Sungai Langat tercemar berikutan aktiviti perindustrian di sepanjang sungai tersebut termasuk dari kuari, pusat pemprosesan simen dan kilang papan.

Sampah sarap juga kelihatan berlonggok di tepi sungai itu sehingga menyempitkan aliran air sedangkan air sungai itulah yang digunakan sebagai sumber air penduduk Selangor.
Pokok-pokok di sepanjang sungai tersebut turut dicemari debu-debu simen dari kilang pemprosesan simen dan aktiviti kuari di kawasan berdekatan. Utusan Malaysia - 13 Febuari 2007.


Sebelum ini kita juga pernah mendengar kesedihan perdana menteri sendiri berkenaan sungai yang tercemar teruk. Nampaknya selepas berlakunya peristiwa air berbau najis beberapa tahun yang lalu kerajaan Selangor pimpinan Dato' Seri Khir Toyo rupanya masih lagi gagal untuk mendisiplinkan para 'kapitalis' yang mencari untung di bumi Selangor ini. Jika beginilah keadaannya amat tepatlah bantahan FOMCA terhadap cadangan kerajaan Selangor untuk mendenda pengguna yang membazir penggunaan air kerana yang perlu didisplinkan dahulu ialah perosak-perosak yang mencemarkan sungai yang menjadi sumber bekalan air ini.

posted by Lidah Penghunus @ 12:57 PM   1 comments

Monday, February 12, 2007

Samy Vellu kesal dituduh ‘orang jahat’

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samu Vellu menyatakan kekesalannya kerana dilabel sebagai ‘orang jahat’ yang menetapkan kadar Tol lebuhraya di negara ini. Sebaliknya beliau menjelaskan bahawa setiap kadar Tol di negara ini bukan diputuskan oleh kementeriannya tetapi di dalam kabinet.

Ramai yang ingat saya orang jahat kerana mereka ingat saya yang membuat keputusan menetapkan harga tol dan memberi masalah kepada orang ramai.
“Segala keputusan berkaitan kadar tol dibawa dalam mesyuarat Kabinet dan bukan saya yang menetapkannya,” tegas beliau
Samy Vellu menjelaskan, keputusan yang dibuat oleh Kabinet mengenai kadar tol di sesebuah lebuh raya akan diserahkan kepada kementeriannya untuk dilaksanakan.
Beliau berkata, pihaknya juga turut mengambil kira pandangan masyarakat jika kerajaan ingin menaikkan harga tol di lebuh raya tertentu. Utusan Malaysia – 12 Febuari 2006.

Jelasnya di sini bahawa bukan Samy sahaja yang jahat, malahan orang-orang dalam kabinet Pak Lah pun turut jahat kerana membuat keputusan yang membebankan rakyat. Persoalannya lagi benarkah pihak kerajaan mengambil kira pandangan masyarakat sebelum melaksanakan sesuatu kadar Tol? Sedangkan kita tidak fikir bahawa rakyat akan menerima keputusan yang melibatkan duit poket mereka ini. Bantahan rakyat terhadap kadar Tol melalui siri-siri demonstrasi juga mendapat layanan yang buruk daripada mereka. Jadi adakah boleh dikatakan bahawa keputusan mereka ini mengambil kira pandangan rakyat?

Samy juga menyelar tindakan segelintir pihak terutamanya parti pembangkang yang disifatkan seperti kanak-kanak apabila setiap keputusan kerajaan dibantah oleh mereka.
“ Mereka berkata seperti kanak-kanak kerana tidak memahami mengapa kerajaan membuat keputusan itu dan kerajaan juga mengambil kira pandangan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan,” Utusan Malaysia – 12 Febuari 2006.

Biarlah Tok Samy ini hendak kata pembangkang ini seperti kanak-kanak atau apa juga label kerana yang pastinya apa yang kita suarakan ini datangnya dari rintihan serta suara hati rakyat yang banyak menerima kesan daripada siri-siri kenaikan ini.

posted by Lidah Penghunus @ 12:47 PM   0 comments

Sunday, February 11, 2007

Nilai dagangan Malaysia mencecah 1 trilion.

Assalamualaikum.

Apabila diumumkan tentang jumlah dagangan Malaysia yang mencecah paras 1 trilion maka akhbar-akhbar perdana memaparkan perkembangan ini sebagai petunjuk positif dalam prestasi ekonomi negara dan juga petanda prestasi kepimpinan perdana menteri yang cemerlang.

Dengar sahaja angka 1 trilion ianya adalah satu angka yang besar dan menggambarkan kepada kita betapa makmur dan mewahnya ekonomi negara kita termasuklah rakyatnya. Namun kita hairan, jika nilai dagangan Malaysia pada tahun lepas mencecah 1 trilion mengapa sejak tahun lepas hingga kini rakyat kita tidak henti-henti dihimpit dengan pelbagai kenaikan seperti harga minyak, tarif elektrik, tarif air serta kadar Tol dan pelbagai barangan keperluan? Mengapa masih ada lagi kes rakyat yang hidup daif di kawasan luar bandar mahu pun bandar?

Dan kita lihat yang mengecapi kemewahan ini hanyalah menteri-menteri bersama suku-sakat serta kroni-kroni mereka sahaja. Jadi tiada nilai sebenarnya angka 3 trilion itu untuk rakyat jika mereka masih lagi ditindas oleh pemerintah serta golongan kapitalis.

posted by Lidah Penghunus @ 5:23 PM   0 comments

Friday, February 09, 2007

Lagi bukti kelemahan serta kelembapan kepimpinan Pak Lah.

Assalamualaikum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata beliau belum memikirkan soal pilihan raya umum kerana sedang menumpukan perhatian terhadap pelaksanaan janji dibuat pada pilihan raya umum lalu.
Apa yang saya fikir ialah kerja, banyak kerja ni... janji pilihan raya dulu kita buat, kita akan penuhi,” katanya ketika ditanya sama ada perkembangan positif petunjuk ekonomi sekarang, termasuk pengukuhan nilai ringgit akan memberinya idea untuk mengadakan pilihan raya umum pada tahun ini. Berita Harian - 9 Febuari 2007.

Melihatkan kepada kenyataan Pak Lah di atas ini menunjukkan kepada kita satu lagi bukti betapa lemah dan lembabnya Pak Lah sebagai perdana menteri Malaysia. Bayangkan pilihanraya umum ke-11 sudah hampir tiga tahun berlalu dan sekarang ini semua parti politik sudah pun memfokuskan kepada pilihanraya umum ke-12. Namun Pak Lah masih lagi terkial-kial untuk menunaikan janji pilihanraya umum yang lepas.

Sudah pasti akan ada yang mengatakan bahawa tempoh 3 tahun itu adalah tidak cukup untuk menunaikan semua janji-janji pilihanraya yang dibuat. Namun kita masih ingat semasa Pas mengambil alih pemerintahan negeri Terengganu dahulu, belum pun cukup setahun memerintah Umno dan media sudah memfokuskan kepada kelemahan di Terengganu terutamanya soal kemiskinan.

Sebenarnya ini bukan sahaja membuktikan kelemahan Pak Lah sendiri sebagai perdana menteri malahan ianya juga menunjukkan betapa korupnya sekitar pemerintahan beliau yang menjadi punca terbantutnya program-program pembangunan untuk rakyat.

posted by Lidah Penghunus @ 11:46 AM   1 comments

Berkenaan kediaman rasmi perdana menteri

Assalamualaikum.

Saya ingin mengulas sedikit tentang akhbar hari ini yang memaparkan tentang Tunku Abdul Rahman yang ketika itu menjadi Ketua Menteri hanya diberikan rumah yang tarafnya untuk kerani sahaja sebagai kediaman rasmi.

Layanan British terhadap Tunku Abdul Rahman ketika mula memegang jawatan Ketua Menteri selepas pilihan raya pertama pada 1955 sebagai ‘menyedihkan’ apabila penjajah hanya mahu memberikannya ‘rumah kerani’.
Akhirnya, mereka memberi rumah bekas Menteri Besar, tetapi pada satu malam hujan lebat dan ia bocor teruk. Jadi malam itu saya bersumpah, untuk menuntut merdeka dalam masa dua tahun dan bukan lagi empat tahun seperti saya janjikan sebelum ini.” Berita Harian – 9 Febuari 2006.

Apa yang kita nampak di sini begitulah keadaannya pemimpin kita dahulu di bawah penjajahan British yang diperlakukan sesuka hati oleh mereka sedangkan kita adalah tuan punya milik negara yang dikenali sebagai Tanah Melayu ketika dahulu. Namum begitu negara sudah pun mencapai kemerdekaan. Malahan sudah masuk usia ke 50 tahun pun. Namun adalah sesuatu yang menyedihkan apabila perdana menteri kita ketika ini bermewah-mewah dengan kediaman rasmi yang bernilai 200 Juta sedangkan rakyat jelata ada yang duduk di rumah yang serba daif.

posted by Lidah Penghunus @ 11:41 AM   0 comments

Thursday, February 08, 2007

Kesedihan Pak Lah tentang sungai yang tercemar

Assalamualaikum.

Saya tertarik untuk mengulas sedikit pendedahan akhbar hari ini berkenaan sebuah sungai yang dahulunya begitu indah dan seringkali menjadi tempat bermandi-manda perdana menteri pada zaman kanak-kanaknya dan kini keindahannya lenyap dek pencemaran.

Ketika itu, kolam takungan di kaki air terjun di kampung kelahiran Perdana Menteri itu mencecah kedalaman paras dada lelaki dewasa.
Namun itu cerita lama. Perubahan masa dan ketamakan manusia menodai kehijauan alam sekitar menyebabkan keindahan air terjun itu kini hanya tinggal memori.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan air terjun itu hari ini mendapati walaupun alirannya masih ada, namun kedalaman kolam takungannya hanya pada paras buku lali kanak-kanak, manakala warna airnya lebih pekat daripada teh susu, selain kawasan persekitaran yang kotor.

Malahan, Abdullah sendiri pernah beberapa kali membuat teguran berhubung kualiti air sungai di negara ini dengan yang terbaru ketika melancarkan program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies Tanaman Sesuai di persisiran Pantai Negara di Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah, Jumaat lalu.
Perdana Menteri menyuarakan rasa sakit hatinya dengan keadaan air sungai yang berubah kepada warna teh susu akibat sikap manusia membuang sampah ke dalam sungai dengan memberikan analogi: “Dulu ada ikan dan udang tetapi sekarang dua minit anak buaya pun boleh mati." Utusan Malaysia - 8 Febuari 2007.


Memanglah, dahulu semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih kanak-kanak mungkin belum ramai lagi insan-insan yang tamak, pemimpin-pemimpin yang korup yang hanya memikirkan soal kesenangan tanpa mempedulikan kesusahan rakyat dan kesannya kepada alam sekitar. Namun negara yang dari dahulu diperintah oleh Barisan Nasional ini makin membangun. Maka seiring dengan itu lahirlah golongan-golongan kapitalis yang tamak haloba berganding pula dengan pemimpin yang korup memeras segala kekayaan alam tanpa mempedulikan masa hadapan generasi akan datang apatah lagi nostalgia silam perdana menteri mereka. Malahan ada kalangan pemimpin di bawah Pak Lah ini yang boleh tidak tahu ada kemusnahan alam semula jadi di depan mata ataupun buat-buat tidak nampak. Maka tidak hairanlah di bawah pemerintahan BN semakin lama semakin banyak yang rosak termasuklah alam sekitar.

posted by Lidah Penghunus @ 1:08 PM   0 comments

Tuesday, February 06, 2007

SPR cadang imbas cap jari sebelum mengundi.

Setelah berlangsungnya pemboikotan pilihanraya kecil yang pertama yang dibuat oleh pembangkang pada pilihanraya kecil Dun Batu Talam yang lalu barulah SPR bercadang untuk menggunakan alat pengimbas cap jari bertujuan untuk mengelakkan penipuan dalam pengundian.

Kamarulzaman berkata, SPR sedang mengkaji kesesuaian penggunaan alat pengimbas cap jari itu, terutama dari segi kos kerana ia perlu disediakan di semua tempat pembuangan undi.
Katanya, cadangan penggunaan pengimbas atau buku daftar itu sekali gus menolak syor pihak tertentu, terutama pembangkang supaya SPR menggunakan dakwat pada jari pengundi seperti diamalkan di India. Berita Harian – 6 Febuari 2007.

Sama ada teknik mengimbas atau dakwat pada cap jari yang penting bagi kita teknik-teknik berkenaan dapat menghalang daripada pihak-pihak tertentu yang dianugerahkan ‘keistimewaan’ untuk mengundi dua kali. Tetapi jika Setiausaha SPR menyebut tentang kos untuk mesin pengimbas bagi setiap tempat pembuangan undi bagi saya adalah lebih elok mereka menggunapakai saranan pembangkang iaitu dakwat pada jari pengundi seperti diamalkan di India.

Apa juga yang ingin saya sebutkan di sini cadangan SPR yang terbaru ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa tindakan boikot pilihanraya oleh pembangkang tempoh hari telah menunjukkan tanda kejayaannya. Walau bagaiamanpun itu hanyalah salahsatu daripada perkara-perkara yang dituntut oleh pembangkang berkenaan perjalanan pilihanraya dan banyak lagi perkara-perkara yang perlu ditunai oleh SPR bagi memastikan pilihanraya di negara ini berjalan secara adil antaranya yang berkaitan dengan penguasaan media, penyalahgunaan jentera kerajaan, rasuah pilihanraya dan sebagainya. Kerana jika satu itu sahaja yang dilaksanakan sedangkan perkara yang lain masih lagi tidak dilaksanakan maka ianya masih lagi belum memenuhi impian sebuah pilihanraya yang bebas dan adil.

posted by Lidah Penghunus @ 2:57 PM   0 comments

Monday, February 05, 2007

Hentikan siasatan dokumen konsesi tol – Majlis Peguam

Assalamualaikum.

Jika sebelum ini kerajaan mempergunakan Akta Rahsia Rasmi untuk menutup segala kesilapan yang mereka lakukan, dalam akhbar hari ini tindakan kerajaan itu telah dikritik oleh majlis peguam yang meminta agar kerajaan menghentikan siasatan ke atas mereka yang memiliki salinan perjanjian konsesi Tol

Majlis Peguam menggesa kerajaan menghentikan usaha untuk menyiasat dan bertindak ke atas mereka yang membekalkan atau menerima salinan perjanjian konsesi tol.
Pengerusinya, Yeo Yang Poh berkata, perjanjian itu sepatutnya dibuka kepada orang ramai untuk mereka mengetahui keadaan sebenar dan seterusnya memahami serta menyokongnya.
‘‘Sekiranya kesilapan dilakukan dan sesetengah bahagian perjanjian itu melibatkan kepentingan orang awam, kesilapan itu sepatutnya diumumkan dan tindakan untuk mengatasinya perlu diambil.
‘‘Satu kesilapan akan menjadi masalah besar sekiranya ia terus dirahsiakan Utusan Malaysia - 5 Febuari 2006.


Memang benarlah kata Majlis peguam itu kerana perjanjian konsesi Tol ini melibatkan duit poket rakyat maka rakyat berhak mengetahui kandungan perjanjian berkenaan dan jika terbukti terdapat beberapa kesilapan yang akan merugikan rakyat maka sepatutnyalah ianya diperbetulkan semula bukan dibiarkan sehingga terus-menerus membebankan rakyat. Jika perjanjian Royalti Minyak Terengganu yang ditandatangani oleh menteri kewangan boleh bertukar menjadi MOU semasa pemerintahan Pas di Terengganu mengapa perjanjian konsesi Tol ini tidak boleh dikaji semula?

posted by Lidah Penghunus @ 4:06 PM   0 comments

Sunday, February 04, 2007

Permit ceramah Anwar Ibrahim dibatalkan di Taman Medan, rompakan nekad berlaku di Subang Jaya.

Assalamualaikum.

Setelah beberapa tahun tiada ceramah umum secara terbuka oleh parti pembangkang di sekitar Kg. Medan, semalam telah dirancang satu ceramah umum oleh Dato' Anwar Ibrahim sendiri. Bila dengar sahaja tentang ceramah berkenaan dan bila melihat poster ceramah di merata-rata, gembira rasanya kerana sudah tentulah kita akan menyangka bahawa ceramah di tempat umum sudah mula dibenarkan. Rupa-rupanya ceramah berkenaan tidak diluluskan permohonan permitnya.

Kebetulan malam itu saya tidak dapat menghadiri ceramah berkenaan kerana ada program cawangan. Walaupun hati ini teringin sebenarnya nak pergi sebab lama tidak menghadiri ceramah yang di adakan di padang awam. Apa yang saya diberitahu seawal petang lagi pasukan polis daripada pelbagai peringkat beserta FRU telah berkawal di sekitar Taman Medan, sebanyak 3 sekatan jalanraya telah diletakkan oleh PDRM seolah-olah akan ada rusuhan di sana. Akhirnya Anwar hanya dapat berucap 20 minit sahaja.

Nampaknya beginilah demokrasi serta kebebasan bersuara serta berhimpun di negara kita yang masih lagi terkebelakang. Kerajaan masih lagi takut untuk membenarkan parti pembangkang bersuara di Khalayak ramai kerana takut lebih banyak lagi kecurangan mereka akan terbongkar. Lebih-lebih sekarang ini pelbagai isu yang boleh diketengahkan kepada rakyat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri. Saya juga dimaklumkan bahawa walaupun dihalang dengan 3 roadblock tidak menghalang ribuan rakyat untuk menghadiri ceramah berkenaan. Ini menunjukkan betapa rakyat dahagakan maklumat serta informasi yang tulus daripada mereka yang memperjuangkan Islam serta keadilan ini.

Pada malam yang sama juga tidak berapa jauh daripada Taman Medan telah berlaku satu rompakan nekad yang boleh dikatakan menggemparkan kerana dilakukan secara terang-terang di pusat membeli-belah Subang Parade. Kejadian ini berlaku ketika pasukan PDRM sedang sibuk bertumpu di Taman Medan untuk menghalang ceramah Anwar.

posted by Lidah Penghunus @ 10:25 PM   3 comments

Thursday, February 01, 2007

KIsah MB Selangor membenteras maksiat di rumah urut.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini memaparkan usaha kerajaan negeri Selangor mengadakan operasi bagi menggempur rumah-rumah urut yang didapati melakukan kegiatan yang tidak bermoral.

Kerajaan Selangor mengadakan operasi menggempur semua rumah urut di negeri ini selama dua minggu mulai malam tadi bagi menangani masalah kegiatan tidak bermoral di rumah urut berlesen dan tidak berlesen.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata beliau mahu tindakan tegas terhadap rumah urut jika wujud kegiatan tidak bermoral. Berita Harian - 1 Febuari 2007.

Sebagaimana yang kita maklum bahawa usaha pembenterasan ini timbul hanya setelah terbongkarnya operasi judi tanpa lesen berdekatan balai polis di daerah Sabak Bernam beberapa minggu yang lalu. Cuma persoalan di sini jika hendak menggempur mengapa mesti dihebohkan di akhbar? Adakah mereka tidak maklum bahawa taukeh-taukeh rumah ini licik-licik belaka. Sedangkan operasi mengejut pun mereka masih mampu memikirkan sesuatu untuk melepaskan diri. Apatah lagi jika sudah dimaklumkan dalam akhbar.

Menurut akhbar berkenaan operasi yang akan berjalan selama dua minggu itu telah pun bermula semalam. Baru mula operasi semalam hari ini sudah heboh dalam akhbar. Alamatnya selepas ini silap-silap ada rumah urut yang bertukar menjadi perpustakaan. Bagi saya kalau benar-benar ingin elak kegiatan tidak bermoral ini tidak perlu sebenarnya perniagaan rumah urut ini. Jika setakat mahu meredakan lenguh-lenguh di badan rasanya cukup dengan bantuan ahli keluarga atau sahabat andai. Adalah baik ditutup sahaja tempat-tempat yang membuka pintu kepada kegiatan maksiat ini.

posted by Lidah Penghunus @ 3:59 PM   3 comments


Free Hit Counter