Thursday, February 26, 2009

Rakyat dipermain-mainkan oleh kerajaan BN dan golongan kapitalis.

Assalamualaikum.

DAP puji kerajaan kerana hapus tol.
KUALA LUMPUR, 25 Feb. - DAP hari ini memuji tindakan kerajaan menghapuskan kutipan tol di dua plaza di Kuala Lumpur, dan langkahnya untuk mendeklasifikasi kebanyakan perjanjian konsesi tol lebuh raya.
Timbalan pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, yang juga anggota Parlimen Petaling Jaya Utara berkata: "DAP ingin mengucap tahniah kepada Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Mohd Zin Mohamed) atas usahanya untuk mendeklasifikasi (perjanjian) dan menghapuskan tol di dua plaza dalam dua minggu lepas".
Pua menyatakan ini kepada pemberita sebagai respon terhadap pengumuman Mohd Zin semalam yang kutipan tol di Plaza Salak Jaya di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), dihapuskan sejak tengah hari semalam.
Kutipan tol di plaza Petaling Jaya Selatan 2 (PJS 2) menghala ke Kuala Lumpur di New Pantai Expressway (NPE) telah dihapuskan pada 13 Feb. Pua berkata kerajaan juga perlu mengkaji keperluan menghapuskan kutipan tol di tempat lain seperti di Lebuhraya Utara-Selatan dan Butterworth-Kulim Expressway menjelang 2016. Utusan Malaysia – 26 Febuari 2009.

Kadar tol di lima lebuh raya dinaikkan bermula 1 Mac
KUALA LUMPUR 26 Feb. - Kadar tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kl Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Bestraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) akan dinaikkan bermula 1 Mac, kata Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamad.
http://www.utusan.com.my – 26 Febuari 2009.

Beberapa hari yang lepas saya melalui Lebuhraya NPE menghala ke Kuala Lumpur. Kelihatan pondok-pondok tol laluan ke Kuala Lumpur telah pun kosong, tiada lagi penghadang, tiada lagi yang meminta wang. Hanya laluan disebelahnya sahaja yang masih lagi beroperasi. Lepas sahaja plaza tol, jejantas di hadapannya terpampang sebuah kain rentang daripada Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan yang mengucapkan terima kasih kepada kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed kerana menutup tol di NPE.

Rupa-rupanya 1 Mac nanti kadar tol di lima lebuhraya akan dinaikkan dan salah satunya ialah lebuhraya NPE. Nampaknya rakyat telah dipermain-mainkan oleh kerajaan BN dan golongan kapitalis. Seolah-olahnya penutupan dua plaza tol di dua lebuhraya ini untuk meringankan beban rakyat, tetapi rupa-rupanya rakyat juga yang perlu menanggu beban penutupan ini.

posted by Lidah Penghunus @ 3:09 PM   1 comments

Tuesday, February 17, 2009

Ianya tetap isu moral dan akhlak.

Assalamualaikum.

Mengulas sedikit tentang isu penyebaran gambar yang mengaibkan yang melibatkan Adun Bukit Lanjan daripada PKR iaitu YB Elizabeth Wong. Di sini mungkin kita boleh menerima bahawa beliau adalah mangsa penganiayaan apabila beliau mengatakan bahawa gambar separuh bogelnya mungkin telah diambil secara tanpa izin oleh bekas teman lelakinya semasa beliau sedang tidur.

Namun begitu jika benar bekas teman lelaki beliau yang mengambil gambar beliau semasa sedang tidur maka sudah tentulah ianya berlaku ketika mereka sedang tidur bersama. Maka ianya sudah menjadi isu moral untuk seorang yang bergelar wakil rakyat.

Jika kita lihat isu DVD lucah bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, beliau juga boleh dikatakan mangsa penganiayaan kerana aksi seks beliau di sebuah bilik hotel telah dirakam secara curi-curi dan telah disebarkan pihak yang dipercayai musuh politik beliau. Namun begitu oleh kerana ianya adalah masalah moral oleh seorang menteri maka Dr Chua telah meletakkan jawatannya dalam Kabinet.

Begitu juga dengan seorang Ahli Majlis Daerah Perak Tengah daripada PKR yang mendakwa beliau telah diperangkap dengan tawaran seks oleh seorang perempuan. Oleh kerana ini adalah masalah moral, maka Kerajaan Negeri Perak ketika itu telah memecat beliau sebagai ahli majlis.

Begitulah juga dengan YB Elizabeth Wong, maka kita menyambut baiklah kenyataan beliau hari ini yang menawarkan diri untuk melepaskan jawatan sebagai exco dan Adun di Selangor;

Foto bogel: Elizabeth tawar letak jawatan.
Exco Kelangor Negeri Selangor, Elizabeth Wong akan menawar diri untuk meletakkan jawatan exco dan ahli dewan undangan negeri (Adun) ekoran penyebaran foto bogelnya kepada umum.
Beliau ijangka membuat pengumuman tersebut dalam sidang akhbar pada jam 11 pagi ini di ibupejabat PKR di Tropicana.

Kelmarin, Elizabeth membuat aduan polis berhubung penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum itu. Selain foto, difahamkan satu klip video juga turut disebarkan.
Beliau juga merupakan Adun PKR di Bukit Lanjan dan exco pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar sejak 11 bulan lalu.

Difahamkan foto-foto itu dirakam tanpa kebenarannya - kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya - sewaktu beliau sedang tidur. http://www.malaysiakini.com - 17 Januari 2009.

Berkaitan kontroversi ini juga saya tertarik untuk mengulas reaksi pantas daripada BN Selangor yang diketuai oleh Dato' Seri Khir Toyo;

BN S'gor desak Elizabeth letak jawatan.
Jimadie Shah Othman Feb 16, 09 12:54pm
Ketua pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendesak ahli exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong supaya meletak jawatan exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, ekoran penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum.

"Ini adalah masalah moral. Dulu Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pun letak jawatan," katanya kepada Malaysiakini.
Katanya, apabila perkara yang sama berlaku kepada Dr Chua, pemimpin Pakatan Rakyat mendesaknya supaya meletak jawatan.
"Sekarang mengapa tidak (Elizabeth letak jawatan). Jangan dwi-standard. (Bila) berlaku pada orang tak boleh... (tapi) pada kita tak apa," katanya lagi.
Dr Mohd Khir mendesak supaya Elizabeth meletak jawatan "secepat yang boleh". http://www.malaysiakini.com - 16 Januari 2009.

Nampaknya Khir Toyo hendak bercakap soal moral sedangkan beliau lupa bahawa ketika era pemerintahan BN di Selangor telah tersebar gambar kontroversi Timbalan Ketua Wanita Umno Selangor, anak kepada Speaker Dun Selangor, Senator Datin Paduka Norhayati Onn bersama dengan Ahli Parlimen Gombak ketika itu, Datuk Dr Rahman Ismail. Namun begitu tiada pula soal moral dibangkitkan oleh beliau sebagai Menteri Besar dan juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri ketika itu. Malahan sekarang ini Datin Paduka Norhayati Onn ini telah dilantik semula sebagai Senator pada Oktober 2008 yang lalu.

posted by Lidah Penghunus @ 12:14 PM   1 comments

Tuesday, February 10, 2009

Tunjukkan protes anda di Parlimen Bukit Gantang.

Assalamualaikum.

IPOH: Pakatan Rakyat yang kehilangan kuasa di Perak minggu lalu, kini berdepan dua pilihan raya kecil apabila Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal dunia manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, Kedah, V Arumugam meletak jawatan.
Ketika pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dilihat menjadi medan bagi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) menilai tahap sokongan rakyat berikutan krisis kepemimpinan di Perak, peletakan jawatan Arumugam, menimbulkan persoalan kemungkinan perkembangan serupa turut akan menular di Kedah.
Sementara pemimpin BN menyifatkan pilihan raya kecil Bukit Gantang akan menyelesaikan kesangsian yang timbul berikutan kejayaannya mengambil alih pentadbiran Perak, Pakatan Rakyat tentunya berazam untuk mempertahankan kerusi berkenaan bagi membuktikan sokongan terhadapnya di negeri itu masih kuat.
Roslan, 50, wakil Pas yang memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya umum lalu selepas menewaskan calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi, meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 12 tengahari semalam di Batu Gajah, selepas terjatuh ketika mengayuh basikal ke farmasi bagi membeli ubat. Berita Harian - 10 Febuari 2009.

Ketika Pas dan Pakatan Rakyat diuji dengan rampasan kuasa kerajaan negeri oleh Barisan Nasional, sekali lagi mereka khususnya Pas telah diuji apabila Allah telah mentakdirkan pemergian seorang Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada Pas yang meninggal dunia pada hari semalam. Ini bermakna akan ada lagi pilihanraya kecil malahan dua pilihanraya kecil dalam masa terdekat kerana dalam masa yang sama Adun Selambau, Kedah yang diperintah oleh Pas juga baru sahaja meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Namun di sini saya hanya akan memfokuskan kepada Parlimen Bukit Gantang sahaja. Jika tuan-tuan perhatikan salah satu Dun yang berada bawah Parlimen Bukit Gantang ialah Dun Changkat Jering yang telah menimbulkan kontroversi baru-baru ini manakala Dun Trong pula masih di bawah BN. Maka kepada rakan Pakatan Rakyat dan rakyat Perak khususnya di Parlimen Bukit Gantang marilah kita jadikan Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang yang akan tiba tidak lama lagi sebagai medan untuk kita memprotes tindakan keji Umno dan Barisan Nasional merampas pentadbiran negeri Perak secara pintu belakang. Kita buktikan bahawa Barisan Nasional kembali berkuasa di Perak bukan kerana mandat rakyat, tetapi kerana taktik kotor.

KITA TIDAK SEKALI-SEKALI AKAN MENYEMBAH KEPADA MAKHLUK, KETAATAN MUTLAK HANYA KEPADA ALLAH, KETAATAN KEPADA MAKHLUK HANYA BERSYARAT.

posted by Lidah Penghunus @ 1:02 PM   0 comments

Thursday, February 05, 2009

Allah telah menapis keluar mereka yang tidak ikhlas berjuang.

Assalamualaikum.

Melihatkan situasi politik di Perak mutakhir ini, kita berasa agak dukacita apabila kerajaan negeri yang baru berusia 11 bulan ini telah tumbang angkara perancangan jahat Umno dan Barisan Nasional yang diketuai oleh Dato' Seri Najib Tun Razak.

Mungkin sekarang Najib sedang tersenyum riang kerana dendamnya terhadap Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu Januari yang lalu telah terbalas. Namun harus beliau ingat! Berapa lama sangat beliau hendak hidup di muka bumi Allah ini. Kelak beliau akan kembali mengadap Allah Ta'ala yang maha adil bersama-sama dengan segala kejahatan beliau selama ini.

Kepada Dato' Seri Nizar dan rakan-rakan Pakatan Rakyat Negeri Perak, kita janganlah terlalu sedih dengan kejadian ini kerana hikmahnya Allah telah menunjukkan kita siapa sebenarnya yang ikhlas dalam perjuangan, siapa yang tidak tahan diuji dengan ugutan dan Allah telah menunjukkan kepada kita orang yang sebenarnya melompat parti untuk keuntungan peribadi semata-mata.

Dengan insiden ini Pakatan Rakyat khususnya Pas tidak akan terjejas kredibilitinya kerana Pas bukan parti yang diresapi oleh rasuah dan penyelewengan seperti Umno. Tumbangannya Pas dan Pakatan Rakyat bukan kerana parti itu mengamalkan rasuah, sebaliknya naiknya Umno dan Barisan Nasional bersama-sama dengan amalan rasuah dan kerja jijik parti itu dalam mendapatkan kuasa. Mudah-mudahan hanya Allah sahaja yang akan membalas kezaliman mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 10:38 AM   1 comments


Free Hit Counter