Saturday, April 30, 2005

Selamat hari pekerja.

Assalamualaikum.

Pada 1 mei ini kita akan meyambut hari pekerja atau hari buruh sebagai menghargai pengorbanan golongan buruh. Peranan buruh sangat penting, dalam ilmu ekonomi sendiri terdapat bab teori permintaan dan penawaran buruh menunjukkan betapa mereka mempunyai peranan yang besar dalam menentukan jatuh dan bangunnya ekonomi sesebuah firma malahan negara. Dengan ketiadaan buruh sahaja boleh membuatkan sesebuah firma itu lumpuh, maka sebab itulah mogok adalah senjata yang paling ampuh bagi golongan buruh untuk mengajar golongan majikan yang angkuh. Tidak terbatas pada kegiatan ekonomi dan pengeluaran, sebenarnya golongan buruh juga berperanan besar dalam mengembeling tenaga dengan golongan intelek, golongan pelajar dan golongan petani dalam memperjuangkan keadilan dan menumpaskan penyelewengan oleh pemerintah.

Oleh itu kita tidak mahu 1 mei ni hanya menjadi sambutan semata-mata untuk memenuhi kelendar tahunan sedangkan banyak lagi isu pekerja yang masih belum selesai dan kita dan saya sendiri sebagai golongan buruh amat berasa betuah kerana kongress kesatuan sekerja (MTUC) yang memperjuangkan hak kita diterajui oleh Saudara Syed Shahir yang kita lihat begitu komited memperjuangkan hak-hak pekerja. Akhirul kalam selamat hari buruh, hidup buruh! hidup rakyat! hapuskan kezaliman dan penindasan!

posted by Lidah Penghunus @ 3:21 PM   0 comments

Islam, islam. Liberal, liberal

Assalamualaikum.

Akhir-akhir ini banyak pihak yang telah mula bimbang dengan apa yang dikatakan sebagai islam liberal yang menyusup dalam pemikiran umat islam khususnya di malaysia pada hari ini. Sebenarnya fenomena ini telah lama berlaku cuma ianya semakin menonjol dengan penampilan beberapa NGO yang diketuai oleh Sisters In Islam dan individu yang bangkit mempersoalkan usaha penjagaan akhlak, di sini saya lebih suka menggunakan istilah akhlak daripada moral kerana akhlak adalah garis panduan perilaku individu yang berdasarkan al quran dan sunnah, sedangkan moral adalah garis panduan perilaku individu yang berasal dari sistem barat khususnya demokrasi.

Berbalik kepada persoalan islam liberal, seperti juga kebanyakan pihak tidak bersetuju dengan penggunaan istilah islam hadhari, saya juga kurang setuju dengan penggunaan label islam liberal kepada golongan yang tertentu kerana islam adalah ad deen atau cara hidup yang lengkap yang diturunkan oleh Allah melalui rasulNYa dan ianya berbeza dengan liberalisme iaitu sistem ciptaan manusia, cetusan daripada revolusi di sekitar eropah pada sekitar kurun ke 18 yang bercita-cita untuk membebaskan diri dari kongkongan agama, sistem beraja yang mereka anggap sebagai penghalang kemajuan. Jadi islam adalah islam yang mempunyai sistem dan falsafahnya sendiri dan liberalisme adalah liberalisme yang juga mempunyai falsafah dan sistemnya sendiri dan kedua-dua nilai yang berbeza ini tidak mungkin dapat disatukan dalam satu pemikiran.

Mungkin istilah islam liberal ini wujud memandangkan pemikiran liberalisme itu meresap kedalam pemikiran mereka yang beragama islam sendiri. Namun begitu perlu diingat bahawa islam hanya tinggal kepada mereka sebagai ibadah ritual semata-mata dan tidak sebagai satu cara hidup atau sistem yang lengkap dan dalam urusan politik, pemerintahan dan ekonomi mereka menggunakan sistem ciptaan manusia sebagai pedoman. Jadi adalah tidak tepat untuk menggunakan label islam liberal kepada golongan ini kerana bila sahaja disebut islam ianya perlulah terdiri daripada ibadat, muamalat, muanakahat dan jinayat.

posted by Lidah Penghunus @ 2:05 PM   0 comments

Friday, April 29, 2005

Keinginan kerajaan supaya bahasa mandarin dan tamil dijadikan subjek elektif di sekolah kebangsaan

Assalamualaikum.

Baru-baru sudah timbul pula cadangan kerajaan untuk memasukkan subjek bahasa tamil dan mandarin sebagai subjek elektif di sekolah kebangsaan. Melalui perlaksanaan ini pelajar yang berminat untuk mempelajari bahasa tamil atau mandarin boleh memilih subjek ini sebagai subjek elektif. Secara peribadinya saya tidak ada masalah dengan cadangan ini malahan adalah lebih baik jika pelajar melayu pun berminat untuk mempelajari bahasa ibunda kaum lain. Kerana banyak kelebihan jika kita dapat menguasai banyak bahasa selain bahasa melayu dan bahasa arab.

Dalam konteks dakwah itu sendiri, dengan menguasai bahasa tamil atau mandarin kita dapat memberi penerangan tentang islam kepada mereka yang beragama hindu atau buddha yang majoritinya bertutur dalam kedua-dua bahasa itu tadi. Memanglah dengan bahasa melayu pun sudah cukup untuk menyampaikan dakwah secara lisan atau penulisan kepada mereka, tetapi dengan menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri akan membuatkan mereka berasa berbesarhati dan sekaligus akan membuat mereka lebih tertarik kepada kita yang menyampaikan risalah islam. Setidak-tidaknya jika mereka tidak memeluk islam pun, mereka akan menyedari bahawa islam itu adalah syumul dan membawa kepada kebaikan kepada semua golongan manusia dan kita lebih mudah untuk mendekati mereka.

Namun kita tidak mahu cadangan ini dikemukakan semata-mata untuk menutup isu besar dalam isu bahasa sekarang iaitu perlaksanaan bahasa inggeris dalam subjek sains dan matematik. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa sejak keputusan peperiksaan SPM diumumkan, telah terbukti bahawa perlaksanaan ini telah membawa banyak masalah kepada prestasi pelajar terhadap subjek sains dan matematik dan pelbagai pihak telah membidas perlaksanaan ini dan meminta agar ianya dikaji semula. Namun begitu kerajaan tetap dengan pendirian mereka dan cuba mengalih perhatian rakyat dengan cadangan tersebut. Dapat juga dilihat di sini bahawa perlaksanaan ini juga adalah untuk mengambil hati kaum cina dan india kerana perlaksaan bahasa inggeris dalam subjek sains dan matematik ini bukan sahaja telah menafikan peranan bahasa melayu dalam pendidikan sains dan matematik, bahasa tamil dan mandarin juga terlibat sama.

Oleh itu dalam kerajaan berusaha untuk menjadikan bahasa mandarin dan bahasa tamil sebagai subjek pilihan dalam sekolah kebangsaan, amat perlulah dikembalikan peranan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar bidang ilmu sains dan matematik

posted by Lidah Penghunus @ 11:07 PM   1 comments

Sunday, April 24, 2005

Maulidur rasul

assalamualaikum

Mungkin belum terlewat lagi untuk saya memperkatakan tentang maulidur rasul dalam penulisan kali ini. Bukanlah bermaksud untuk memberi kuliah tentang maulidur rasul kerana saya bukanlah orang yang arif tentangnya dan saya pasti sehingga ke hari ini tentu masih ada majlis maulidur rasul yang mana surau atau masjid akan menjemput ustaz untuk memberi kuliah berkenaan dengannya. Cuma di sini saya ingin memperkatakan sambutan maulidur rasul ini dalam konteks kerajaan yang memerintah sekarang ni. Jika zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu apajua sambutan yang diadakan, tema sambutannya mesti akan ada perkataan bersyukur dan perpaduan.

Namun begitu di zaman Pak Lah perkataan hadhari pula sering digunakan, sebagai contoh sambutan maulidur rasul kali ini temanya ialah "islam hadhari menjana kemajuan ummah." Sebagaimana yang kita bahawa sambutan maulidur rasul adalah sebagai wahana untuk kita mengingati rasul junjungan kita dan bukan setakat mengingati sahaja, malahan agar kita menghayati perjuangan baginda dan mengikut sunnah baginda serta meninggalkan apa yang baginda SAW tegah. Namun begitu adalah amat malang sekali kerajaan yang kununnya ingin mengajak rakyat menghayati perjuangan rasulullah SAW tetapi menggunakan satu konsep yang tidak pernah pun digunakan oleh rasulullah SAW dalam tema sambutan. Rasulullah tidak pernah ajar bahawa islam itu mestilah bersandar kepada tamadun barulah kita boleh maju. yang rasulullah ajar kepada kita ialah apapun yang berkaitan dengan keduniaan termasuklah tamadun haruslah bersandarkan kepada islam.

Tetapi realitinya kita sudah lihat. Sudahlah konsep islam hadhari itu sendiri sudah salah, pengamalannya pun sudah jauh terpesong dari apa yang diajarkan oleh rasulullah SAW.

posted by Lidah Penghunus @ 2:16 PM   0 comments

Sunday, April 17, 2005

Ada pulak nanti dadah halal

Assalamualaikum.

Terkejut apabila membaca satu cadangan dari seorang ahli parlimen agar dibekalkan dadah secara percuma dalam usaha untuk menyekatkan kegiatan pengedaran dadah secara haram serta membasmi gejala ketagihan dadah. Rasional cadangan ini adalah supaya bekalan dadah secara percuma akan melumpuhkan kegiatan perdagangan dadah di negara ini dan bagi penagih dadah pula sebagai satu sindiran kepada mereka bahawa pemberian dadah secara percuma ini adalah supaya mereka cepat mati.

Di sini saya teringat satu kajian bahasa dalam masyarakat melayu yang dipanggil ragam bahasa terbalik yang mana sesuatu pernyataan yang dikeluarkan adalah bertentangan dengan maksud yang hendak disampai. Misalnya kita sering mendengar seorang ibu memarahi anaknya yang memanjat pokok dengan berkata "hah, panjatlah lagi, panjat tinggi lagi." Melihat terus kepada pernyataan seolah-seolah sang ibu menggalakkan anaknya supaya terus memanjat, namun sebaliknya ia adalah larangan kepada si anak yang memanjat itu. Fenomena ini adalah kerana betapa halusnya budi bahasa masyarakat melayu kita sehingga perasaan marah pun tidak boleh dinayatakan dengan terus terang dan maka tidak hairanlah pada hari ini golongan-golongan ini tidak bersetuju dengan golongan yang menentang penyelewengan dan kezaliman pemerintah secara terang-terangan.

Persoalannya dalam berhadapan dengan penagih dadah terutama penagih tegar adakah kaedah ini berkesan? Adakah golongan penagih yang sudah hilang pedoman, akal dan kewarasan ini sehingga pernah kita dengar mereka sanggup membunuh ibu sendiri untuk mendapat bekalan dadah akan termakan dengan 'sindiran' kerajaan ini. Dadah ini telah dikiaskan oleh jumhur ulama' dengan arak yang mengkhayalkan serta merosakkan kewarasan fikiran. Jadi jika cadangan ini dilaksanakan kerajaan akan bersubahat dengan dosa besar kerana membekalkan benda-benda haram kepada rakyat. Silap-silap bukan penagih dadah akan berkurangan malahan akan wujud penagih-penagih baru. Kita sudah sedia maklum bahawa kehidupan sekarang ini penuh cabaran dan tekanan dan ditambah dengan kurangnya kesedaran beragama dikalangan masyarakat, maka dengan adanya dadah 'free' dan 'halal' ini dengan tanpa berfikir panjang mereka akan menggunakannya sebagai keadah melarikan diri dari tekanan yang mereka hadapi kerana mereka tidak perlu lagi bersusah payah mengeluarkan belanja, pergi ke lorong-lorong sunyi untuk mendapatkan bekalan, tidur di semak-semak, rumah-rumah kosong, bawah jambatan untuk melepaskan gian.

Saya teringat dengan komentar seorang ustaz terhadap cadangan pendidikan seks sebagai cara menangani jenayah seksual bahawa kerajaan sebenarnya tidak melihat dan mungkin tidak mahu melihat punca sebenar permasalahan yang timbul. Ianya sama juga dengan masalah penagihan dadah ini, sedangkan di akhbar perdana sendiri melaporkan bahawa gejala penagihan dan pengedaran dadah adalah lebih tinggi dipusat-pusat hiburan. Kita akan melihat setiap kali serbuan ke atas pusat-pusat hiburan ini maka majoriti pengunjungnya didapati positif menggunakan dadah. Jadi sepatutnyalah dalam usaha menangani masalah dadah ini, terlebih dahulu pusat-pusat hiburan yang menjadi sarang penagih dan pengedar ini harus diberhentikan terus operasinya. Tidak ada gunanya pihak penguatkuasa terus melakukan operasi serbuan tetapi gejala ini akan terus berulang kerana adanya tempat-tempat sebegini. Adalah lebih mudah jika ditutup sahaja tempat-tempat sebegini. Jika dahulu kerajaan mengambil tindakan dengan menutup terus pusat-pusat permainan video kerana tempat sebegini menjadi tempat remaja dan pelajar sekolah melepak, ponteng sekolah dan menghisap rokok tetapi mengapa tiada lagi cadangan agar ditutup sahaja pusat-pusat hiburan ini ia menjadi pusat segala kegiatan jenayah termasuklah dadah, seks bebas, gengterisme dan pelbagai lagi kegiatan yang tidak sihat ini.

Jadi masalah penagihan dadah ini tidak akan berakhir selagi kerajaan tidak mahu kembali kepada islam ini ditambah pula dengan penguatkuasa sendiri yang tidak amanah dan korupsi. Kita pernah mendengar laporan bahawa dipusat serenti sendiri terdapat kegiatan pengedaran dadah kepada pelatih pusat serenti.

posted by Lidah Penghunus @ 2:05 PM   0 comments

Sunday, April 10, 2005

Siti Nurhaliza model wanita solehah islam hadhari.

Assalamualaikum.

Beberapa hari yang lepas saya ada terbaca sebuah akbar yang melaporkan bahawa artis siti nurhaliza rajin membayar zakat. Di sini kita telah sedia maklum bahawa siti adalah artis yang banyak mendapat perhatian daripada media-media dan kerajaan. Ini adalah kerana penampilannya yang mereka anggap sederhana dan tidak keterlaluan seperti artis-artis yang lain dan tidak pernah ada laporan-laporan media tentang salahlaku artis yang berasal dari pahang ini. Maka tidak hairan juga siti pernah mendapat pujian daripada seorang ulama' indonesia.

Secara ringkasnya apa yang nak saya perkatakan di sini bahawa golongan islam hadhari ini menganggap seseorang itu sudah cukup baik dan cukup solehah dengan hanya mereka tidak berpakaian terlalu menjolok mata iaitu memakai baju kurung walaupun tidak bertudung, tidak mengumpat, tidak mencerca, bersopan santun, taat kepada pemimpin, cintakan negara, tidak melupakan adat resam orang melayu dan kebudayaan melayu.

Nampaknya di sini mereka lebih menitikberatkan adat daripada syariat dalam memperkatakan soal akhlak. Kita seringkali mendengar apabila golongan ini menegur salahlaku yang berlaku, sudah tentu ayat yang keluar ialah "kita ni orang timur" "perkara tu bertentangan dengan adat budaya timur" jarang sekali mereka memberi penekanan tentang syariat. Sedangkan kita sebagai orang islam syariat itu lebih penting daripada adat dan banyak adat resam melayu yang bertentangan dengan islam. Contohnya tarian kebudayaan melayu yang ditarikan oleh wanita yang jelas bertentangan dengan islam namun begitu inilah yang lebih diperjuangkan oleh mereka, golongan-golongan veteran yang memperjuangkan budaya melayu begitu berbesarhati melihat semakin ramai artis wanita muda menyanyikan lagu berentak asli. Pada mereka artis-artis ini sudah cukup 'solehah' kerana tidak melupakan budaya dan adat resam melayu. Meraka lagi sedih melihat anak-anak muda melupakan senibudaya melayu kerana terikut-ikut dengan budaya barat.

Memang tidak di nafikan bahawa banyak adat budaya melayu ini yang secocok dengan islam bak kata Dr Firdaus Abdullah adat melayu dan islam ini mempunyai hubungan yang simbiosis iaitu bagai aur dengan tebing, namun mengapa tidak kita terus sahaja kepada islam kerana islam itu sudah lengkap dan tidak perlu lagi di sandarkan kepada perkara-perkara lain.

posted by Lidah Penghunus @ 4:13 PM   0 comments

Sunday, April 03, 2005

Kerisauan kerajaan terhadap orang tak pandai belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris.

Assalamualaikum

Kemerosotan pencapaian subjek sains dan matematik dalam UPSR dan SPM tahun lepas telah cukup membuktikan bahawa gagalnya eksperimen kerajaan dalam melaksanakan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris dan ekoran daripada itu telah timbul cadangan agar perlaksaannya dikaji semula. Nampaknya inilah yang dinamakan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Matlamat kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa inggeris melalui perlaksanaan ini tidak tercapai, ini ditambah pulak dengan merosotnya pencapaian kedua-dua subjek yang terlibat akibat dari perlaksanaan yang tidak masuk akal ini.

Saya menyatakan bahawa perlaksanaan ini tidak masuk akal kerana seperti yang kita sedia maklum bahawa matematik dan sains adalah dua subjek yang sukar dan kurang diminati oleh kebanyakan pelajar. Jadi bila ianya diajar dalam bahasa inggeris maka proses pemahaman kedua-dua subjek yang teknikal ini bertambah sukar dan ianya membunuh terus minat para pelajar terhadap kedua subjek yang dianggap penting ini.

Namun begitu masih ada lagi pihak yang ego dan angkuh yang masih mahu mempertahankan perlaksanaan yang terbukti gagal ini dengan mengatakan bahawa perlaksanaan ini perlu dilihat keberkesanannya dalam jangka panjang. Saya tidak nampak yang dalam jangka panjang senario ini akan berubah. Kita lihat sendiri pengajaran bahasa inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah-sekolah yang diajar sejak sebelum merdeka lagi. Apa yang kita dapati sehingga kini prestasi pelajar terutamanya pelajar luar bandar dalam subjek ini masih lagi rendah. Jika penggunaan bahasa inggeris bagi kebanyakkan pelajar masih lagi belum kukuh bagaimana ianya boleh dijadikan bahasa pengantar dalam subjek sains dan matematik yang juga masih lemah penguasaannya oleh kebanyakan pelajar. Pelajar dari luar Bandar terutamanya masih lagi lemah dalam bahasa inggeris, namun begitu adalah tidak patut peluang mereka untuk cemerlang dalam ilmu sains dan matematik juga seolah-olah disekat melalui perlaksanaan ini.

Fungsi bahasa itu sendiri salah satunya adalah untuk memudahkan penyampaian dan penerimaan sesuatu ilmu. Jika kita lihat di sekolah-sekolah malahan sekolah agama sendiri, ilmu tafsir quran yang asalnya dari bahasa arab itu pun diajar dalam bahasa melayu dan jika kita tinjau zaman bahasa melayu klasik pula terdapat banyak kitab-kitab yang dikarang oleh ulama-ulama terkemuka, antaranya ialah siyar al salikin, sabil al muhtadin, aqidatus sufiyyah, dengar tajuknya sahaja kita akan menjangkakan bahawa kitab ini adalah dalam bahasa arab, tetapi sebenarnya ianya menggunakan bahasa melayu. Kerana dalam konteks dakwah itu sendiri sesuatu yang hendak disampaikan itu mestilah mudah diterima dan difahami oleh kelompok sasaran. Kalau tidak masakan kitab-kitab diturunkan melalui para nabi dan rasul mengikut bahasa kaum mereka.

Jika kita lihat asal ilmu sains dan matematik itu sendiri bukanlah dari bahasa inggeris, ianya telah dibawa oleh ilmuan-ilmuan muslim melalui bahasa arab malahan istilah-istilah sains juga bukan dari bahasa inggeris, tetapi ianya berasal dari bahasa latin. Jadi tidak ada sebab untuk bahasa inggeris dijadikan bahasa pengantar dalam penyampaian ilmu sains dan matematik kerana Bahasa Melayu sudah mampu untuk mengungkap istilah-istilah sains dan matematik. Dari awal abad ke-14 lagi Bahasa Melayu sudah mampu mengungkap bidang falsafah sedangkan pada masa itu bahasa-bahasa lain di nusantara masih belum mampu lagi ke arah itu. Sesuai dengan peredaran zaman, Bahasa Melayu kita telah banyak menerima kata-kata pinjaman dari pelbagai bahasa di dunia yang disesuaikan dengan sistem Bahasa Melayu. Tambahan lagi adanya satu organisasi yang tersusun diperingkat nasional yang mengumpul istilah-istilah dalam pelbagai bidang ilmu bagi memastikan Bahasa Melayu itu sendiri mampu untuk mengungkap pelbagai bidang ilmu. Di peringkat serantau pula telah wujud kerjasama dalam usaha untuk menyelaras istilah-istilah Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang. Jadi tidak ada sebab untuk Bahasa Melayu itu dipinggirkan dalam arus kepesatan ilmu yang makin pantas ini. Seorang ahli bahasa menyatakan bahawa jika seseorang itu tidak mahu menggunakan Bahasa Melayu, bukanlah kerana Bahasa Melayu itu tidak mampu, tetapi orang itu sendiri sebenarnya yang tidak mampu.

Ini tidaklah bermakna saya menolak bahasa inggeris sebagai bahasa global malahan tidak dinafikan bahawa di era globalisasi pasca modenisasi ini bahasa inggeris memainkan peranan yang penting diperingkat antarabangsa. Cuma dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa inggeris ini dikalangan rakyat, kaedah pengajaran dan pembelajarannya harus dikaji dan diperbaiki dan jika suatu hari nanti tahap penguasaan bahasa inggeris di kalangan rakyat begitu baik termasuk di luar bandar. saya tetap tidak setuju ianya dijadikan bahasa pengantar kedua-dua bidang ilmu tersebut krn ini adalah soal kedaulatan Bahasa Melayu. Kepentingan bahasa inggeris sebenarnya adalah sebagai bahasa perhubungan antarabangsa. dalam soal bahasa pengantar bidang ilmu ianya sebenarnya terletak kepada bangsa yang menerima ilmu itu. Oleh sebab itulah antara ciri yang perlu ada pada sesuatu bahasa itu, ianya mestilah dinamik iaitu boleh menerima pinjaman dari bahasa asing dan ciri-ciri ini ada pada Bahasa Melayu kita

posted by Lidah Penghunus @ 12:01 PM   0 comments


Free Hit Counter