Thursday, November 30, 2006

Rufaqa', Islam Hadhari, Sekularisme dan yang sewaktu dengannya.

Assalamualaikum.

Akhir-akhir ini setelah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan kira-kira 100 orang dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Seksyen 13 Shah Alam kerana dipercayai mengamalkan ajaran yang menyamai pegangan Al-Arqam, isu Rufaqa' telah menjadi hangat di dada akhbar yang memperkatakan tentang kesesatannya yang menyamai ajaran al Arqam yang telah diharamkan dahulu. Sedangkan setahu saya isu kesesatan Rufaqa' ini telah lama sebenarnya didedahkan dan telah wujud sebuah laman blog yang memperincikan secara ilmiah tentang kesesatan kumpulan Rufaqa' ini.

Akhbar hari ini juga turut menyentuh tentang kumpulan Rufaqa' termasuk fatwa daripada beberapa mufti tentang kesesatan kumpulan Rufaqa' ini. Cuma di sini saya tertarik tentang pandangan daripada menteri besar Kelantan yang juga mursyidul am Pas, Tok Guru Nik Aziz.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau sememangnya menyokong tindakan tegas kerajaan ke atas individu yang berusaha menghidupkan kembali Al-Arqam termasuk yang berselindung di sebalik perniagaan.
Walaupun Nik Aziz secara peribadi mengakui tidak mengetahui pergerakan Al-Arqam dengan terperinci, namun dari segi luaran, khususnya pakaian pengikut ajaran itu, beliau sudah boleh menilai sama ada mereka terpesong atau tidak.
Katanya, Islam tidak pernah menetapkan pakaian seragam hingga perlu berjubah dan berserban.
‘‘Islam tidak pernah ajar seperti itu. Nak pakai apa pun pakailah, nak berserban macam saya ke, nak pakai cara Melayu ke, Benggali ke, asalkan tutup aurat. Sebab itu saya kata Arqam ke, Rufaqa’ ke, sesat.
‘‘Sesat ini pun macam-macam, yang berfahaman nasionalis, memisahkan agama dengan politik juga sesat. Eloklah sama-sama bertaubat,” Utusan Malaysia - 30 November 2006.


Kita masih ingat lagi sebelum ini Ashaari Muhammad pernah menulis sebuah buku yang menyokong idea Islam hadhari kerajaan BN yang mendapat publisiti oleh media-media arus perdana kerana tajuk buku berkenaan yang menyebelahi kerajaan. Namun begitu rupa-rupanya kerajaan Pak Lah telah tertipu oleh Ashaari Muhammad yang tidak secara langsung telah menyemai idea kumpulannya melalui buku berkenaan.

Oleh itu benarlah seperti kata Tok Guru Nik Aziz jika Rufaqa' membawa ajaran sesatnya yang bersembunyi di sebalik Syarikat Rufaqa' maka Umno juga harus ditolak kerana telah membawa idea-idea yang bertentangan dengan Islam yang sebenar dengan menggunakan nama Islam hadhari.

posted by Lidah Penghunus @ 11:25 PM   3 comments

Wednesday, November 29, 2006

Lim Keng Yaik kata masih boleh pengaruhi parti walaupun sudah bersara.

Assalamualaikum.

Kenyataan Keng Yaik ini dibuat sebagai reaksi daripada cadangan penggabungan Gerakan-PPP oleh presiden PPP, Datuk M. Kayveas.

Menurut Keng Yaik, beliau akan memastikan cadangan Kayveas agar kedua-dua parti itu bergabung tidak akan menjadi kenyataan sekiranya ia dibuat untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak.
‘‘Jangan ingat jika saya tidak ada (telah lepaskan jawatan presiden), saya tidak boleh buat apa-apa yang mempengaruhi parti... saya akan pastikan perkara ini tidak berlaku Utusan Malaysia - 29 Nobember 2006.


Jika kita lihat senario dalam Umno, Tun Dr Mahathir yang telah bersara daripada jawatan presiden Umno bukan kata hendak mempengaruhi keputusan parti, tindakan beliau mengkritik presiden telah dibalas dengan serangan oleh pengampu-pengampu Pak Lah, malahan beliau juga gagal mendapatkan tempat sebagai perwakilan bahagian ke perhimpunan agung.

Dahulu semasa baru-baru Tun melepaskan jawatannya saya juga ingat yang Tun masih lagi mengawal pentadbiran kerajaan dan Pak Lah akan mengikut segala telunjuk Tun. Rupa-rupanya sangkaan saya itu meleset. Walau bagamanapun senario politik Umno dan Gerakan mungkin berbeza. Maka sama-samalah kita tunggu masanya Keng Yaik berundur nanti. Adakah ketika itu beliau masih mampu untuk mempengaruhi keputusan parti. Atau adakah beliau juga akan senasib dengan Tun ketika waktu ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:51 PM   1 comments

Lima lebuhraya naik Tol.

Assalamualaikum.

Setelah kita dibebankan dengan kenaikan harga minyak yang tak turun-turun, kenaikan tarif elektrik, kenaikan tarif air, kini kita dibebankan lagi dengan kenaikan Tol bagi lima buah lebuhraya di Lembah Klang. Apa yang disebut dalam akhbar hari ini bahawa kenaikan itu telah mengambil kira pelbagai aspek dan tidak membebankan pengguna. Nampaknya mereka terlupa bahawa pengguna telah terbeban dengan pelbagai kenaikan yang saya sebutkan tadi. Bayangkan jika sesuatu perniagaan dan pengeluaran itu menanggung kos daripada petrol, elektrik, air dan tol, maka berapa pula harga sesuatu barang atau perkhidmatan terpaksa dinaikkan bagi menampung kenaikan-kenaikan tersebut.

Jika kita menonton televisyen semasa diumumkan kenaikan tarif elektrik dahulu maka keluarlah iklan yang mengajar pengguna untuk menjimatkan elektrik dengan slogan "alah, bukannya susah kalau nak jimat." Dan kini setelah tarif air naik, iklan tentang penjimatan air pula dipaparkan di TV. Kononnya iklan-iklan ini mahu mengajar rakyat Malaysia yang tidak tahu berjimat. Ketika diumumkan kenaikan tarif air dahulu menteri besar Selangor, Dato' Seri Khir Toyo mengatakan bahawa kenaikan tersebut untuk mengajar pengguna-pengguna yang membazir air.

Namun dalam akhbar yang lain hari melaporkan tentang kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik yang mendakwa wujudnya penyelewengan dalam urusan pengeluaran bil air oleh syarikat pemegang konsesi dan Jabatan Bekalan Air (JBA) negeri-negeri.

Dengan menyifatkannya sebagai perbuatan ‘bisa diatur’, beliau berpendapat, gejala itu adalah punca ada syarikat konsesi dan JBA negeri yang merekodkan kerugian air tanpa hasil (NRW) sehingga mencecah lebih 50 peratus.
Katanya, penyelewengan tersebut banyak membabitkan syarikat gergasi yang menggunakan air sehingga bilnya mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.
“Ada kejadian air dicuri tidak dibilkan mengikut kadar yang sepatutnya dan ia diuruskan hanya secara ‘bisa diatur’ bukan di pejabat tetapi di kedai-kedai kopi. Utusan Malaysia - 29 November 2006.


Nampaknya pihak yang diberi amanah dan tanggungjawab yang menyeleweng, cuai, rakyat juga yang kena tanggung beban, dituduh pula membazir. Inilah nasib kita rakyat marhain bawah pemerintahan Barisan Nasional.

posted by Lidah Penghunus @ 11:20 PM   0 comments

Tuesday, November 28, 2006

Berkenaan salahlaku pelajar IPT.

Assalamualaikum.

Saya agak tertarik dengan laporan akhbar hari ini yang menyebut tentang beberapa salah laku pelajar IPTA dan IPTS di negara kita.

sepanjang 35 tahun iaitu daripada 1971 hingga 2006, hanya 3,818 kes salah laku membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dilaporkan.Beliau berkata, jumlah sebanyak 3,818 itu hanya menunjukkan purata sebanyak 100 kes setahun.
Daripada jumlah itu, katanya, kes khalwat di kalangan pelajar IPT paling tinggi iaitu 735 kes.
Selain itu, penyelewengan akademik sebanyak 632 kes, membawa nota sewaktu peperiksaan (270), kesalahan lalu lintas (212) dan penyalahgunaan dadah (107). Berita Harian - 28 November 2006.

Apa yang dapat kita perhatikan daripada kes-kes yang disebutkan itu tidak ada pun salahlaku yang berkaitan dengan kegiatan subversif, demonstrasi dan penglibatan dengan politik luar kampus. Sedangkan perkara-perkara berkenaanlah yang paling dibimbangi oleh pihak kerajaan dan juga pentadbir universiti. Mereka memandang pelajar yang aktif dan agresif ini seolah-olah lebih jahat daripada mat rempit dan penagih dadah hinggakah dalam pilihanraya kampus pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan pelajar-pelajar jenis ini tidak duduk dalam Majlis Perwakilan Pelajar.

Akibatnya daripada kerisauan mereka terhadap mahasiswa yang mahukan Islam ini yang mereka cop sebagai propembangkang dan ekstrim maka lahirlah mahasiswa yang semakin tahun semakin menurun akhlak mereka pada era MPP dikuasai oleh pelajar proaspirasi. Seperkara lagi jika mereka sebut bahawa angka-angka yang disebutkan tidak membimbangkan, mereka perlu ingat bahawa itu adalah yang ditangkap dan yang masih bebas kita tidak tahu berapa angkanya. Silap-silap berkali ganda angkanya.

posted by Lidah Penghunus @ 10:02 PM   0 comments

Monday, November 27, 2006

Dekati Putera Umno boleh hindar gejala Mat Rempit?

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini juga Pengerusi Putera Umno Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim seolah-olah cuba membuat lawak apabila menyeru ibu bapa agar mendekati Putera Umno dalam usaha menangani penyakit sosial remaja khususnya mat rempit.

Gejala mat rempit yang menghantui golongan remaja boleh ditangani seandainya ibu bapa mendekati Putera Umno, kata Pengerusi Putera Umno Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim. Berita Harian - 27 November 2006.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini yang pertama sepatutnya golongan ibu bapa ini dinasihatkan agar mengunakan pendekatan Islam, mengajak anak-anak mereka agar mendekati Islam dan menjauhi serta tidak terikut-ikut dengan perkara-perkara yang negatif terutama sekali yang ditonjolkan oleh media terutamanya televisyen di negara ini.

Yang keduanya, Putera Umno sebenarnya yang harus dinasihatkan agar mendekati Islam serta menggunakan perdekatan Islam dalam usaha mereka mendidik anak-anak muda ini lebih-lebih lagi mereka yang telah terjerumus dalam kancah mat rempit.

posted by Lidah Penghunus @ 10:30 PM   0 comments

DAP sokong akta hasutan?

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini menteri penerangan, Dato' Seri Zainuddin Maidin mengatakan bahawa DAP menyokong akta hasutan atas sebab parti itu membuat laporan polis terhadap ucapan perwakilan di perhimpunan agung Umno yang berbau perkauman. Nampaknya menteri penerangan ini terus memberikan kesimpulan yang mudah atas tindakan DAP itu sedangkan parti hanya mahu siasatan serta tindakan diambil terhadap mereka yang cuba membakar api perkauman. Ini samalah dengan laporan yang dibuat terhadap mereka yang cuba menggugat keselamatan negara, ianya tidaklah bermaksud meminta agar suspek berkenaan terus dikurung di Kem Kemunting tanpa proses perbicaraan.

Satu lagi yang perlu diingat pembangkang menentang beberapa akta seperti ISA, OSA dan Akta Hasutan adalah kerana beberapa peruntukan dalam akta berkenaan yang tidak adil dan juga ianya disalahgunakan oleh pemerintah untuk kepentingan politik mereka. Memang kita tidak mahu sebarang unsur-unsur yang menggugat keselamatan negara, tetapi kita juga mahu mereka yang disyakki ini dibicarakan secara adil.

posted by Lidah Penghunus @ 9:59 PM   0 comments

Friday, November 24, 2006

Antara gerai sate Dato' Zakaria dengan perumahan setinggan di Ampang.

Assalamualaikum.

Setelah beberapa minggu terlibat dengan kontroversi berhubung banglo mewah milik Datuk' Zakaria. Akhirnya semalam gerai sate milik keluarga beliau yang dirobohkan oleh MPK. Walau bagaimanapun tidak mengapalah kerana yang penting undang-undang perlu dilaksanakan walaupun terhadap seorang wakil rakyat.

Kerja merobohkan kedai di Pandamaran yang bermula jam 9.50 pagi itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini. Kira-kira 100 anggota penguat kuasa terdiri daripada polis, MPK, Majlis Daerah Klang, pekerja Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan anggota Rela mengawasi lokasi gerai sejak jam 9 pagi sebelum merobohkan premis itu. Berita Harian - 24 November 2006.

Kelihatannya juga kerja-kerja meroboh berjalan lancar tanpa halangan serta gangguan berbeza dengan kerja-kerja meroboh penempatan setinggan di Ampang yang mendapat bantahan daripada penduduk. Hal yang demikian kerana tindakan merobohkan perumahan setinggan milik penduduk adalah sesuatu yang zalim kerana dijalankan secara paksa dan terburu-buru sedangkan perobohan terhadap gerai sate milik keluarga YB itu adalah kerana salah laku beliau sendiri yang membina gerai di kawasan larangan sedangkan beliau adalah seorang Adun yang patut menjadi contoh kepada rakyat.

Di sini juga saya agak tertarik dengan kenyataan pegawai daerah Klang, Dato' Bakhtiar Hussin seperti yang disiarkan pada akhbar di bawah ini;

Mengenai kemungkinan ia tidak dirobohkan jika tidak didedahkan media masa, Bakhtiar berkata, ia akan kekal kerana binaannya cantik di kawasan berkenaan.
Bakhtiar juga berkata, selain gerai haram yang dibina atas zon penampan dan kawasan lapang, kilang haram juga bakal mendapat nasib sama.
Bagaimanapun, katanya, ada beberapa isu yang perlu ditangani termasuk peluang pekerjaan dan masalah sosial yang mungkin wujud apabila kilang haram dirobohkan. Berita Harian - 24 November 2006.

Yang pertamanya di sini sudah jelaslah bahawa sikap mereka yang akan tutup sebelah mata jika salah laku wakil rakyat ini tidak dihebahkan dalam media. Yang keduanya pula timbul Persoalan adakah peluang pekerjaan dan masalah sosial boleh dijadikan alasan untuk mereka tidak merobohkan kilang haram sedangkan pelbagai risiko sudah pasti akan timbul bagi pekerja-pekerja kilang haram ini terutamanya sekali dari segi jaminan keselamatan dan jika benar mereka mengambil berat tentang masalah sosial seharusnyalah mereka merobohkan dahulu pusat-pusat hiburan 'haram' dan 'halal' yang tumbuh bagai cendawan di negeri Selangor maju ini.

posted by Lidah Penghunus @ 3:12 PM   0 comments

Thursday, November 23, 2006

Di sebalik lawatan Bush ke Indonesia

Assalamualaikum.

Di samping meneliti tentang isu-isu dalam negara terutama perhimpunan agung Umno kita juga tidak lupa tentang isu-isu luar negara khususnya yang menyentuh negara umat Islam. Cuma pada penulisan ini saya hanya ingin fokus sedikit tentang lawatan presiden Amerika Syarikat, George W. Bush ke Indonesia yang telah disambut dengan bantahan serta demonstrasi oleh hampir 50.000 rakyat Indonesia kerana sikap zalim Bush dan pentadbirannya terhadap umat Islam terutamanya di Iraq dan Afghanistan.

Bila baca akhbar hari ini apa yang kita dapati kemungkinan lawatan Bush ke Indonesia dan beberapa negara Asean lain adalah untuk memujuk negara-negara umat Islam menghantar tentera ke Iraq kononnya sebagai tentera pengaman. Dan nampaknya negara yang mempunyai umat Islam teramai itu sudah pun bersedia untuk menghantar tentera mereka ke Iraq malahan mengajak negara-negara umat Islam yang lain berbuat demikian.

Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda, berkata Jakarta bersedia menghantar pasukan pengaman ke Iraq dan bersedia menggalakkan negara Muslim lain menyusuli tindakan Jakarta.
Rumah Putih sebelum ini sudah berkata ia sememangnya bersedia menyenaraikan negara Muslim dalam usaha itu bagi mengurangkan beban ke atas askar Amerika. Berita Harian - 23 November 2006.

Bagi saya tindakan Indonesia dan juga negara umat Islam yang lain menghantar tenteranya ke negara teluk itu sebenarnya akan menjadikan tentera mereka sebagai benteng atau perisai bagi mengurangkan angka korban serta kecederaan tentera Amerika. Kerana kita sudah maklum bahawa pihak penentang di Iraq akan menentang sesiapa sahaja yang dilihat bekerjasama dengan tentera Amerika dan juga kerajaan Iraq. Tambahan lagi jika tentera dan Polis tempatan Iraq sendiri pun mereka akan bunuh, apatah lagi tentera asing.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Wednesday, November 22, 2006

Umno bersikap terbuka, tetapi bagaimana dengan pihak yang lain?

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini ketua penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyifatkan Langkah menyiarkan secara langsung Perhimpunan Agung UMNO di webtv dan Astro sebagai keterbukaan dalam Umn0. Persoalannya di sini jika benar pun Umno terbuka dalam ini adakah pihak-pihak lain khususnya parti komponen BN terbuka dalam menerima segala kandungan ucapan perwakilan Umno yang emosional itu?

Sedangkan dalam Umno sendiri dilihat tidak terbuka apabila terus melenting dengan kenyataan exco pemuda Umno iaitu Datuk Mukhriz Mahathir yang mengkritik ucapan dasar presiden parti. Sedangkan ianya bukan ucapan dalam perhimpunan agung Umno tetapi kenyataan beliau kepada media. Walaupun Dato' Mukhriz telah menyatakan kekesalan atas kenyataannya itu semalam namun ada pihak yang masih belum berpuas hati dan menuntut agar anak bekas presiden Umno itu memohon maaf secara terbuka.

Oleh itu jika presiden dikritik oleh ahli Umno sendiri pun mereka akan marah maka samalah juga dengan rakan-rakan parti komponen mereka yang mana jika pemimpin mereka dihentam dalam perhimpunan agung Umno juga akan mendapat reaksi yang sama. Maka jelaslah bahawa BN sebenarnya masih lagi belum terbuka.

posted by Lidah Penghunus @ 11:25 PM   0 comments

Kisah di negeri Selangor yang bebas setinggan.

Assalamualaikum.

Jika tuan-tuan masih ingat beberapa hari sebelum hari raya sebulan yang lepas kerajaan negeri Selangor telah mengiystiharkan dengan bangganya bahawa negeri itu telah bebas daripada penempatan setinggan sama seperti mereka mengisytiharkan negeri Selangor sebagai negeri maju. Namun begitu rupa-rupanya pengisytiharan itu hanyalah dusta semata-mata apabila baru-baru timbul kes perobohan secara paksa setinggan Kampung Berembang, Ampang.

Sebenarnya bukan sahaja di kawasan Ampang sana sahaja, malahan di beberapa tempat lagi di Selangor ini masih ada lagi penempatan setinggan dan melalui tinjauan saya sendiri didapati bahawa ianya didiami oleh orang tempatan sendiri. Mereka yang tercicir daripada program pemindahan ini adalah golongan yang berpendapatan rendah yang tidak mampu membayar tidak mampu membiayai kos pemindahan.

Namun begitu kerajaan pimpinan Khir Toyo nampaknya lebih ghairah untuk membersihkan negeri Selangor ini daripada penempatan setinggan tanpa mahu mempedulikan kesusahan serta kesulitan yang dihadapi oleh rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menemui Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan isu merobohkan setinggan Kampung Berembang, Ampang, di sini sehingga mencetuskan kekecohan, kelmarin.
pertemuan itu termasuk membincangkan soal dasar perumahan diamalkan Kerajaan Selangor terutama dalam usaha mencapai setinggan sifar 2006.
Perkara yang akan turut dibangkitkan ialah mengenai kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang bertindak keterlaluan sehingga menyebabkan kecederaan penduduk terbabit yang sifatkan sebagai salah guna kuasa.
Beliau hairan bagaimana penempatan setinggan itu dirobohkan sedangkan pemaju atau MPAJ tidak menyediakan kediaman baru sehingga persiapan dan emosi pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terjejas. Berita harian - 22 November 2006.

Apa yang dipaparkan dalam akhbar pada perenggan atas ini adalah salahsatu daripada episod kezaliman kerajaan negeri Selangor yang ghairah untuk membersihkan negeri itu daripada setinggan sedangkan gejala rasuah, pembalakan haram, kilang-kilang haram dan pusat-pusat hiburan serta judi haram masih lagi berleluasa.

posted by Lidah Penghunus @ 10:48 PM   0 comments

Tuesday, November 21, 2006

Hadharatul Madinah bukan Islam Hadhari

Assalamualaikum.

Hari ini saya cuma ingin menyentuh sedikit tentang kenyataan Dato' Seri Najib Tun Razak yang cuba menyamakan idea Ibn Khaldun iaitu Hadharatul Madinah atau Tamadun Bandar dengan Islam Hadhari ciptaan mereka.

Dalam pada itu, ketika berucap merasmikan persidangan antarabangsa itu, Najib berkata, antara idea penting yang diasaskan oleh Ibn Khaldun ialah ‘hadarah’ yang bermaksud tamadun bandar yang berkait dengan perkataan ‘hadhari’.
Islam Hadhari, ujarnya, merujuk kepada polisi dan pendekatan kerajaan untuk membangunkan Islam di negara ini.
‘‘Mungkin kita boleh membantu memberikan pemahaman yang lebih baik kepada rakyat Malaysia mengenai polisi Islam Hadhari melalui penulisan Ibn Khaldun,” katanya. Utusan Malaysia - 21 November 2006.


Jika hendak disebut tentang Hadhari Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga ada menyebut tentang perkataan Tajdid Hadhari dan Hadharah Islamiah, asy-Syahid Syed Qutb pun adalah menyebut perkataan Hadhari dalam bukunya yang bertajuk Petunjuk sepanjang jalan dan ramai lagi ulama' dan ilmuan Islam turut menyentuh tentang konsep Hadhari ini dalam diskusi ilmiah mereka. Namun bezanya perkataan Hadhari mereka dan juga Ibnu Khaldun dengan Hadhari oleh Umno ialah mereka meletakkan tamadun berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam sedangkan Umno jelas cuba membahagikan Islam itu kepada yang bertamadun dengan yang tidak bertamadun.

Kembali kepada idea Ibnu Khaldun itu tadi ianya jelas bahawa yang disebutnya adalah Tamadun Bandar kerana sesuatu bandar itu juga mempunyai tahap ketamadunannya yang tersendiri dan sesuai sebagai seorang ilmuan Islam saya percaya konsep ketamadunan yang cuba dibina untuk sebuah bandar itu tidak akan lari daripada landasan Islam. Maka ianya amat berbeza sekali dengan idea Islam Hadhari yang digunakan oleh Umno. Buktinya lihatlah bandar-bandar di negara kita sendiri adakah ianya terbina daripada tamadun yang berasaskan kepada Islam? Jika ada pun hanyalah bentuk-bentuk binaannya sahaja sedangkan roh Islamnya tiada.

posted by Lidah Penghunus @ 4:26 PM   2 comments

Monday, November 20, 2006

Berkenaan pasca perhimpunan agung Umno 2006

Cadangan untuk tidak menyiarkan perhimpunan agung Umno secara langsung.
Berita TV hari ini saya telah mendengar cadangan yang akan dibawa ke mesyuarat MT Umno agar perbahasan perhimpunan agung Umno tahun hadapan tidak disiarkan secara langsung di kaca TV. Cadangan tersebut dibuat ekoran daripada ucapan-ucapan perwakilan pada perhimpunan yang lalu yang didakwa telah menyinggung serta menimbulkan ketakutan kepada parti komponen serta masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Sepatutnya sebagai sebuah parti yang kononnya pemimpin bagi parti-parti komponen yang lain mereka seharusnya lebih tegas dalam mengawal perilaku ahli-ahli sidang perhimpunan lebih-lebih lagi dalam menyusun kata-kata ketika berucap. Tambahan lagi mereka adalah perwakilan yang terpilih telah melalui proses pemilihan di peringkat mesyuarat bahagian, mereka lebih beruntung daripada bekas presiden mereka ialah Tun Dr Mahathir yang tidak terpilih, seharusnyalah mereka ini benar-benar faham tentang adab-adab berucap, faham tentang sensitiviti sesuatu isu.

Nampaknya jelaslah di sini bahawa Pas sebuah parti yang selama ini dianggap memberi ancaman kepada kaum bukan Melayu di negara ini tidak pernah pun siri-siri muktamarnya menyinggung perasaan serta menimbulkan ancaman kepada kaum-kaum lain di negara ini. Jika Pas menimbulkan isu murtad dan IFC ianya hanyalah membabitkan pihak-pihak atau pertubuhan yang terbabit dengannya.


Permohonan KIMMA untuk jadi parti komponen BN ditolak.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Kamaruddin Ambok berkata, KIMMA perlu menerima hakikat bahawa peluang pertubuhan itu untuk menjadi sebuah parti politik semakin sukar memandangkan BN kini mempunyai 14 parti komponen termasuk UMNO.
Beliau sebaliknya mencadangkan KIMMA menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi meneruskan perjuangannya membela nasib kaum India muslim di negara ini. Utusan Melayu - 20 November 2006.


Mungkinkah ini menandakan bahawa BN sebenarnya tidak sanggup lagi untuk menampung bilangan-bilangan parti-parti komponen BN yang pelbagai latar dan ragam ini? Kerana selama ini pun kita telah saksikan pelbagai isu dan pertikaian telah timbul antara parti-parti dalam BN ini dan ianya lebih jelas lagi dalam perhimpunan agung Umno yang baru berlalu.

Rasanya KIMMA pun tidak perlulah terhegeh-hegeh untuk menyertai parti berlambang dacing yang berat sebelah ini kerana sudah jelas Umno sendiri pun gagal membela bangsa Melayu, pertikaian sering wujud di kalangan parti komponen yang memperjuangkan kaum masing-masing ini dan tidak sepatutnyalah KIMMA menjerumuskan diri dalam konflik yang mereka hadapi sekarang ini. Adalah lebih baik mereka menumpukan kepada perjuangan membela komuniti mereka melalui saluran NGO. Kerana saya percaya tidak semua kaum India-Muslim dalam KIMMA ini menyokong Barisan Nasional.


Cadangan untuk menggabungkan PPP dan Gerakan.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas mencadangkan supaya PPP dan Gerakan bergabung bagi mempercepatkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan bangsa Malaysia.
Menurutnya, gabungan itu boleh memberi peluang penyertaan lebih luas kepada semua kaum dan tidak hanya bertumpu perjuangan menjaga kepentingan satu kaum sahaja.
“Perbincangan boleh dilakukan selepas April ini, tetapi jangan kacau kerusi saya di Taiping,” katanya tanpa menjelaskan rasional di sebalik tarikh yang ditetapkan itu. Utusan Malaysia - 20 November 2006.

Jika benar-benar mereka ingin bergabung membentuk parti yang matlamatnya adalah bangsa Malaysia, bukan kaum, bagaimana pula parti-parti yang memperjuangkan kaum masing-masing seperti Umno, MCA dan MIC? Adakah mereka juga harus bergabung? Atau adakah gabungan daripada PPP dan Gerakan ini harus keluar daripada BN untuk memperjuangkan agenda bangsa Malaysia mereka?

posted by Lidah Penghunus @ 5:38 PM   0 comments

Saturday, November 18, 2006

Berkenaan hari terakhir perhimpunan agung Umno.

Diminta letak jawatan kerana tidak bersungguh-sungguh martabatkan Islam Hadhari.
Hari terakhir perhimpunan agung Umno semalam Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin telah diminta untuk meletakkan jawatannya sebagai menteri penerangan kerana dikatakan gagal memartabatkan Islam Hadhari.

Ketika membahaskan usul Agama dan Sosial pada Perhimpunan Agung Umno, beliau mempersoalkan tindakan Zainuddin memendekkan tempoh siaran program agama di Klasik Nasional yang disifatkan tidak selari dengan usaha kerajaan menerapkan konsep Islam Hadhari di semua peringkat."Kalau tengok, radio Malaysia dulu program agama mulai jam 6 petang hingga 8 malam berikutan Kabinet menyerahkan dua jam kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Berita Harian - 18 November 2006.

Bagi saya tidak guna jika disiarkan rancangan berbentuk agama hingga 3 jam sekalipun di RTM jika waktu yang sama stesyen TV swasta yang lain termasuklah juga stesyen RTM milik kerajaan sendiri menyiarkan bentuk-bentuk hiburan yang jelas bercanggah dengan Islam, melalaikan serta lebih mengagung-agungkan kehidupan artis yang tidak bermoral. Ini jelas seperti yang diperkatakan oleh seorang wakil puteri Umno;

Wakil Pergerakan Puteri UMNO, Siti Azizah Omar berkata, beliau keliru kerana garis panduan itu hanya mencakupi penyiaran dan penerbitan berunsur Islam, sedangkan orang Islam masih bebas melihat, menonton dan membaca bahan dan program yang tidak berunsur Islam.
Katanya, tidak guna kerajaan menghabiskan banyak wang mengadakan pelbagai kempen termasuk budi bahasa dan kesedaran, sedangkan media cetak dan elektronik tidak bersama-sama memainkan peranan meningkatkan kesedaran rakyat. Utusan Malaysia - 18 November 2006.


Sebut juga tentang kempen kesedaran oleh wakil puteri Umno di atas ini saya tertarik dengan satu kempen yang disiarkan oleh RTM iaitu menggalakkan anak-anak belajar tiga Jam sehari. Persoalannya adakah kempen ini akan berjaya sedangkan kita lihat program hiburan di semua stesyen TV di negara ini hampir 24 jam. Tambahan lagi jika kita teliti program-program agama yang disiarkan juga seolah-olah melepaskan batuk di tangga apabila masa siarannya bukan waktu perdana tetapi pada tengah malam, waktu-waktu hampir senja dan awal pagi.


Cegah kemungkaran hanya untuk bersaing dengan Pas.
Abdullah turut mengingatkan bahawa tugas menghapuskan kemungkaran adalah tanggungjawab bersama seperti terkandung dalam hadis Nabi.
Beliau juga mahu orang Umno menjadi `hero' mempertahankan agama dan maruah umat Islam, bukannya tugas Pas atau parti pembangkang lain. Berita Harian - 18 November 2006.

Jika dahulu kita dengar salah seorang pemimpin mengatakan bahawa Umno melaksanakan Islam khususnya Islam Hadhari untuk bersaing dengan Pas yang memperjuangkan Islam dan sikap memperalatkan Islam untuk kepentingan politik ini ditegaskan lagi melalui ucapan Pak Lah semalam.

Adalah lebih molek jika Pak Lah selaku presiden Umno dan juga perdana menteri menyeru agar ahli-ahli Umno berganding bahu dan bekerjasama dengan Pas dan pertubuhan Islam yang lain dalam usaha mempertahankan Islam serta mencegah kemungkaran.


Ahli digesa perjuangkan bahasa dan jawi tetapi isu Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris tidak mendapat perhatian.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekwa), Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata setiap bahagian dan cawangan perlu memainkan peranan memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi dengan menggunakannya dalam program dianjurkan."Masalah kita bangsa Melayu ialah tidak membudayakan bahasa dan tulisan kita. Kalau bukan kita memperjuangkannya, siapa lagi? Berita Harian - 18 November 2006.

Hari pertama perhimpunan agung tempoh hari wakil Johor telah mengemukakan kebimbangan mereka terhadap perlaksanaan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang telah mendatangkan masalah kepada pelajar. Namun begitu adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila isu berkenaan tidak pun mendapat perhatian daripada sidang perwakilan termasuklah presiden sendiri.

Mungkin mereka menganggap Bahasa Melayu ini hanya layak digunakan di majlis-majlis peringkat Umno cawangan sahaja sedangkan pada perhimpunan agung ini kelihatannya ramai juga yang tidak memartabatkan Bahasa Melayu.


Penutup dan kesimpulan.
Demikianlah tadi perhimpunan agung bagi sebuah parti melayu yang berakhir semalam. Walaupun tidak mengikuti sepenuhnya, hanya melalui media sahaja tetapi apa yang saya perhatikan ada juga sebenarnya perkara-perkara baik yang disentuh oleh perwakilan misalnya kebimbangan tentang penubuhan IFC, keruntuhan moral, pengaruh negatif siaran TV, isu bahasa dan pelbagai lagi.

Cuma persoalannya sekarang selepas perhimpunan ini adakah apa yang mereka perkatakan, yang mereka laung-laungkan, jerit-jeritkan semasa perhimpunan hampir empat hari yang lalu akan terus dipegang, dilaksanakan dan diambil tindakan terutama sekali oleh pimpinan negara? Atau perhimpunan hanya tinggal perhimpunan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:04 PM   0 comments

Friday, November 17, 2006

Berkenaan hari kedua perhimpunan agung Umno.

Tiada bapa anak pun berbisa.
Jika dengan kegagalan Tun Dr Mahathir mendapatkan tempat sebagai perwakilan bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno dahulu adalah satu kelegaan bagi pemimpin tertinggi Umno terutama sekali presidennya dan kegembiraan ini bertambah-tambah lagi apabila Tun tidak dapat hadir ke perhimpunan kali ini atas sebab kesihatan. Namun begitu suara kritikan Tun ini rupa-rupanya masih lagi tidak dapat ditutup apabila anaknya pula iaitu Datuk Mukhriz Mahathir mengeluarkan kenyataan pedas terhadap presiden Umno.

Dalam kenyataan yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, Mukhriz dilaporkan sebagai berkata beliau ‘sedikit’ kecewa dengan ucapan dasar Abdullah yang disifatkannya bukan perkara baru.Mukhriz berkata, kandungan ucapan berkenaan sudah disampaikan Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu dan beliau mengharapkan sesuatu yang baru daripada Presiden. Berita Harian - 17 November 2006.

Kenyataan anak Tun Dr Mahathir yang juga exco pemuda Umno ini jelas telah menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin Umno terutama sekali pemimpin pemuda.

Beliau yang sedih dan kecewa dengan kenyataan Mukhriz mengkritik ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, berkata tindakan itu keterlaluan, memalukan dan berlawanan dengan ketetapan Pemuda yang menyokong Perdana Menteri.
Sementara itu, Bernama melaporkan beberapa pemimpin Umno membidas Mukhriz dan menganggap kenyataan Exco Pemuda itu tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan kepentingan parti. Berita Harian - 17 November 2006.

Sebelum ini pada perhimpunan wanita juga ketuanya, Dato' Seri Rafidah dilihat menghentam Tun secara tidak langsung walaupun sebelum itu dinasihatkan oleh presiden agar tidak menghentam peribadi seseorang dan ianya tidak pula menjadi isu oleh mereka. Dalam berita pagi tadi disiarkan ucapan salah seorang exco pemuda Umno yang memberi reaksi terhadap kenyataan yang dibangkitkan oleh Mukhriz Mahathir itu. Exco berkenaan menyebutkan bahawa jika Mukhriz mendakwa bahawa ucapan presiden bukan perkara yang baru, kita umat islam juga menganut agama yang sama, kitab yang sama dan tuhan yang sama dari dahulu hingga sekarang dan bukan sesuatu yang baru.

Jika benar seperti yang dikata mengapa undang-undang kita menggunakan undang-undang ciptaan manusia, warisan penjajah, bukan undang-undang daripada kitab al quran? Dan mengapa perlu adanya Islam Hadhari sedangkan Islam itu sudah ada sejak dahulu lagi?


Apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Pas, dituntut dalam perhimpunan agung Umno.
Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, diminta mempertimbang semula keputusan menolak cuti bersalin 90 hari yang dikemukakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Wakil Wanita Umno, Dr Azizah Johor, berkata kepemimpinan parti dan kerajaan seharusnya menghargai pengorbanan wanita yang mengandung dan membesarkan anak hingga berjaya menjadi modal insan berkualiti. Berita Harian - 17 November 2006.


Permintaan wakil wanita Umno ini telah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir oleh Pas yang selama ini mereka dakwa sebagai meminggirkan kaum wanita. Maka apalagi yang mereka tunggu dalam Umno yang selama ini terbukti gagal membela bangsa Melayu, kaum wanita, apatah lagi agama Islam secara menyeluruh. Adalah lebih baik sahaja mereka menyertai Pas bersama-sama memperjuangkan Islam yang syumul ini.

posted by Lidah Penghunus @ 2:52 PM   2 comments

Thursday, November 16, 2006

Berkenaan hari pertama perhimpunan agung Umno.

Adakah negara ini, melayu ini hak orang-orang Umno sahaja?
Cadangan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikepalai oleh orang-orang Umno sebelum ini bergema lagi semalam oleh wakil Umno Pulau Pinang, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir yang mendesak agar profesional muda dalam Umno diberi jawatan dalam GLC.

Kita dah 60 tahun Umno ditubuh, 49 tahun merdeka, kita tidak ketandusan pemimpin atau calon untuk jadi CEO GLC. “Kita ada Puteri, Wanita, Pemuda, kalau tak nak bagi pada orang tua macam saya tak apa sebab kita yang melahirkan generasi ini, kita patut bagi, jangan cemburu dan jangan lupa orang Umno sendiri," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan. Berita Harian - 16 November 2006.

Di sini kita mempersoalkan adakah di negara ini hanya orang Umno sahaja yang ada hak, adakah hanya ahli-ahli Umno sahaja merupakan orang melayu di negara ini dan adakah hanya orang-orang Umno sahaja yang mempunyai kelayakan akademik, kepakaran serta profesionalisme hinggakan hanya mereka sahaja yang berhak memiliki jawatan penting dalam GLC? Adakah orang-orang bukan ahli Umno, orang-orang Pas, Keadilan bukan orang melayu kerana tidak menyertai Umno?


Kerajaan bertanggungjawab lahirkan masyarakat ulul al-bab
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan prasarana dan membekalkan kemudahan untuk melahirkan masyarakat ulul al-bab, iaitu masyarakat yang mampu menghadapi dunia moden.
Menurutnya, program pembangunan akal untuk membangunkan masyarakat ulul al-bab – barisan insan yang berupaya menganalisis, menguasai sains, memahami falsafah dan menguasai teknologi – adalah satu kewajipan untuk membolehkan ummah mendaki tangga kemajuan hingga sampai ke puncak kejayaan. Utusan Malaysia - 16 November 2006.


Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila dalam hasrat melahirkan masyarakat yang mampu menghadapi dunia moden Pak Lah hanya memikirkan persediaan-persediaan kebendaan semata-mata sedangkan bila sahaja disebut tentang dunia moden terdapatnya di sana pelbagai jenis gejala atau penyakit sosial serta pengaruh negatif daripada dunia luar yang perlunya pembangunan kerohanian dan pendekatan Islam dalam usaha menanganinya.


Dulu timbalan preseiden selalu datangkan masalah, kini presiden.
Tertarik dengan ucapan wakil Pahang, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail yang menyatakan bahawa sejarah Umno menunjukkan bahawa orang yang sentiasa memberi masalah kepada Presiden adalah Timbalan Presiden tetapi timbalan presiden hari ini, Dato Seri Najib Tun Razak memberikan sokongan padu dan tidak membawa masalah kepada presiden.

Jika benarlah seperti yang dikatakan, mungkinkah pada hari ini presiden pula sebenarnya yang mendatangkan masalah kepada parti iaitu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi? Apapun sama-sama kita lihat berapa penggalkah beliau boleh bertahan sebagai PM dan juga presiden Umno.

posted by Lidah Penghunus @ 4:25 PM   1 comments

Wednesday, November 15, 2006

Berkenaan perhimpunan agung pemuda dan wanita.

Pentas yang dahulunya Rafidah melutut kepada Tun Dr Mahathir kini menjadi tempat Rafidah untuk menyerang Tun.
Kita masih ingat dahulu ketika Tun Dr Mahathir yang ketika itu masih presiden Umno menyatakan hasrat untuk berundur, Dato' Seri Rafidahlah insan yang paling hebat menangisi hasrat Tun untuk berundur itu. Kini segalanya sudah berubah Rafidah Aziz makin selesa bawah Pak Lah, kedudukan beliau tidak tergugat.

Tetapi rupa-rupanya bekas bos yang beliau sanjung dan tangisi dahulu pula yang kini mengancam karier politik beliau. Maka semalam di pentas yang sama juga Rafidah menghentam tindakan Tun yang beliau anggap sebagai pemecah belah parti. Walaupun kepada media beliau beritahu bahawa kenyataan itu secara umum tetapi siapa lagi kalau bukan kepada Tun.


Syor lucut hak istimewa jika murtad
Tertarik dengan syor daripada salah seorang perwakilan wanita Umno agar hak istimewa orang Melayu Islam seseorang itu ditarik jika ianya murtad atau keluar daripada Islam. Yang kita tahu seseorang yang keluar daripada Islam akan putus haknya sebagai seorang Islam tetapi status kaum atau warna kulitnya tetap tidak berubah . Nampaknya mereka masih berpegang bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Satu lagi saya tidak pasti jika ianya sudah ditambah menjadi hak istimewa orang Melayu Islam kerana sebelum ini kita hanya dengar hak istimewa orang Melayu sahaja.

Jika begitulah cadangannya mereka juga perlu mencadangkan agar dikurniakan hak istimewa orang Melayu Islam kepada mereka yang memeluk Islam tidak kira apa jua kaum. Sentuh juga pasal cadangan ini kita tertanya-tanya juga bagaimana pula status orang-orang Melayu yang bukan beragama Islam yang tinggal di pendalaman dan Sabah Serawak sana?


Tidak mahu status Puteri dan Putera disamatarafkan.
sesetengah pihak yang sering 'menyamatarafkan' Puteri Umno dengan Putera Umno mencetuskan rasa kurang senang di kalangan ahli Puteri.
Wakil Puteri Melaka, Azlieza Azizan, berkata tindakan sesetengah pihak 'menyamatarafkan' Puteri dengan Putera Umno tidak wajar kerana peranan Puteri kini setanding Pemuda dan Wanita.Puteri Umno adalah satu daripada sayap parti dan setaraf Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno, sedangkan Putera Umno hanya biro di bawah Pergerakan Pemuda. Berita Harian - 15 November 2006.

Mungkinkah antara sebabnya kerana ahli-ahli puteri Umno berasa jijik dengan Putera Umno yang sebilangan ahlinya terdiri daripada mat-mat rempit yang belum insaf?


Akhbar jawi tidak boleh dibiar berkubur – Hishammuddin.
Akhbar jawi Utusan Melayu yang satu ketika dulu menjadi lidah perjuangan bangsa tidak boleh dibiarkan terkubur kerana ia adalah lambang sejarah gemilang tradisi persuratan Melayu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penutupan akhbar itu untuk seketika sebelum ini merupakan satu tragedi. Utusan Malaysia - 15 November 2006

Sentuh pula tentang isu ini, rasanya ramai yang telah maklum bahawa berkuburnya akhbar bertulisan jawi Utusan Melayu yang asal pada awal tahun ini puncanya adalah bermula beberapa dekad yang lalu apabila tulisan jawi telah dimansuhkan oleh kerajaan Umno sendiri daripada sistem aksara Bahasa Melayu.

Dan kini Umno jelas cuba untuk mewujudkan sindrom awal yang akan menyebabkan berkuburnya pula Bahasa Melayu beberapa dekad akan datang apabila terus melaksanakan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.


Kritikan terhadap parti komponen lain terus bergema.
Nampaknya perhimpunan agung yang dimulakan dengan pemuda dan wanita ini terus bergema dengan kritikan terhadap parti komponen BN iaitu Gerakan khususnya yang melibatkan masalah orang Melayu Pulau Pinang.

Wakil Pulau Pinang, Shahaedan Ayob Hussein ketika membahaskan usul Pemuda mendesak Ketua Pemuda Umno dan Kerajaan Pusat membantu membela nasib orang Melayu di negeri itu kerana Kerajaan Pulau Pinang didakwa gagal mengagihkan ekonomi secara sama rata.“Walaupun ada 1,200 kilang di Kawasan Perusahaan Bebas di Pulau Pinang, usahawan Melayu tidak diberi peluang membekalkan walau sehelai kertas.“Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri dari parti Gerakan bukan setakat tidak menghiraukan nasib bangsa Melayu, malah mendakwa Pemuda Umno bertindak secara kurang beradab apabila menggantung kain rentang mengkritik kepemimpinannya. Berita Harian - 15 November 2006.

Dan pada permulaan ini juga nampaknya hampir tiadapun disentuh tentang parti pembangkang khususnya Pas. Yang disentuh pun hanyalah berkaitan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sungguh hairan apabila ketua pemuda Umno pusat mengeluarkan kenyataan menolak sekeras-kerasnya penyertaan kembali Anwar kedalam Umno. Masakan Anwar akan menyertai Umno sedangkan beliau sendiri yang mengalu-alukan Tun untuk menyertai gerakan pembangkang di negara ini.


Walau bagaimanapun sama-samalah kita menanti detik-detik perhimpunan agung Umno 2006 tanpa Tun Dr Mahathir ini seterusnya.

posted by Lidah Penghunus @ 4:27 PM   0 comments

Tuesday, November 14, 2006

Susah nak cari ahli Umno yang sebegini

Assalamualaikum.

Saya tertarik dengan paparan akhbar hari ini yang mendedahkan tentang seorang ketua pemuda Umno cawangan di Kedah yang sanggup hidup hidup dalam kedaifan asalkan penduduk di cawangannya dapat menikmati kehidupan yang selesa.

Tiada siapa tahu, dalam kesibukannya membantu masyarakat dan juga partinya, rumah seorang Ketua Pemuda UMNO cawangan di sini turut terpinggir daripada arus pembangunan tanpa bekalan air dan elektrik.
Khairul Nizat Bakar, 36, yang telah hampir 12 tahun memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO cawangan Kampung Bukit, sanggup mengetepikan dirinya sendiri apabila diminta mencari atau membuat bancian penduduk yang layak untuk menerima bantuan.
“Saya sembunyikan kesempitan hidup saya dan setiap kali ada pihak-pihak yang ingin menyalurkan sumbangan, saya turut ditugaskan untuk mencari penduduk tempatan yang layak,” katanya dalam nada yang agak hiba.
Namun bagi Khairul Nizat, itulah pengorbanan yang harus diberikan kepada penduduk di kampungnya dengan mengabaikan dirinya sendiri, walaupun beliau berhak menerimanya melihatkan dari keadaan kehidupannya masa kini.
Selepas berkahwin dengan isterinya Nurlela Tahir, 26, mereka terus membina dan mendiami rumah yang ada sekarang dengan bantuan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang menyediakan bahan binaan.
Selain tiada bekalan air, rumah tempat tinggal suami isteri itu bersama empat anak yang berusia antara dua dan enam tahun itu, juga tiada bekalan elektrik. Utusan Malaysia - 14 November 2006.


Bagi saya memang payah hendak cari ahli-ahli Umno yang berjawatan yang sanggup berkorban seperti yang dipaparkan dalam akhbar ini. Itu pun kita lihat ianya hanya terdapat di peringkat cawangan sahaja dan dalam sayap pemuda sahaja. Tapi saya percaya bukan seorang ahli-ahli Umno yang bersikap seperti beliau ini, malahan saya percaya masih ada ramai lagi yang benar-benar berjuang untuk masyarakat. Tetapi adalah sungguh kasihan apabila hanya segelintir mereka ini sahaja yang sanggup hidup sederhana demi untuk kebajikan rakyat sedangkan pemimpin-pemimpin mereka daripada ketua bahagian hingga ke pemimpin tertinggi hidup mewah tanpa menghiraukan kesusahan rakyat.

Sepatutnya mereka inilah yang diangkat untuk menjadi calon wakil rakyat. Tetapi nampaknya Umno ternyata hanya mahu memilih mereka yang pandai membina rumah banglo untuk menjadi Adun ataupun ahli parlimen. Barangkali untuk menjaga status Umno sebagai parti pemerintah. Jadi adalah lebih baik sahaja mereka tinggalkan Umno yang sudah rosak ini dan sertai perjuangan mendaulatkan Islam.

posted by Lidah Penghunus @ 4:34 PM   0 comments

Satu penggal pun sudah cukup menyeksakan.

Assalamualaikum.

Berkenaan dengan kenyataan perdana menteri tempoh hari bahawa beliau bukan PM satu pengggal, memang tidak dinafikan bahawa untuk membuat sesuatu perubahan itu masa yang diambil itu bukanlah singkat lebih-lebih bagi level pemimpin seperti Pak Lah itu. Jika kita singkap kembali sirah Rasulullah SAW baginda memerintah negara Islam Madinah hampir 10 tahun dan jika ditambah lagi dengan tempoh kerasulan baginda maka lebih kurang 23 tahun masa diambil oleh baginda untuk membebaskan tanah arab daripada jahiliyah kepada penyembahan hakiki kepada Allah.

Namun begitu hasil daripada 10 tahun pemerintahan baginda itu kita telah lihat beberapa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat khususnya di negara Madinah terutama sekali dalam aspek penyatuan puak-puak yang bertelagah dan juga pembebasan daripada amalan-amalan jahiliyah serta penindasan. Malahan hasil daripada usaha baginda SAW ini jugalah Islam dapat sampai hingga ke alam Melayu ini. Sedangkan Pak Lah setakat ini kita tidak nampak bahawa beliau akan melaksanakan Islam yang diajar oleh baginda SAW secara menyeluruh dalam pemerintahan beliau. Yang hanya beliau pentingkan untuk terus berkuasa adalah lebih kepada pembangunan kebendaan semata-mata.

Islam hadhari yang disebut-sebut jelas hanyalah omongan kosong yang kita tidak nampak pun perlaksanaannya dan untuk menyebut tentang perpaduan pula sudah ketara bahawa dalam parti pimpinan beliau sendiri berlakunya siri-siri perpecahan yang silih berganti. Jadi adalah lagi bahaya sebenarnya membiarkan Pak Lah terus memegang tampuk pemerintahan untuk beberapa penggal lagi dan bukan sahaja Pak Lah, Umno dan BN itu sendiri juga haruskan ditamatkan tempoh penggal pemerintahan mereka dalam kerajaan.

posted by Lidah Penghunus @ 3:45 PM   0 comments

Sunday, November 12, 2006

Menjelang Perhimpunan Agung Umno 2006.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini ketika bahagian-bahagian, sayap-sayap atau pergerakan Umno yang lain menyatakan hasrat untuk menyentuh tentang isu yang melibatkan kepentingan nasional dalam perhimpunan agung Umno minggu hadapan, misalnya pergerakan Puteri Umno yang akan menyentuh tentang isu masalah sosial khususnya yang melibatkan remaja perempuan. Pemuda Umno Melaka sebaliknya datang dari bumi Melaka sana hanya mahu memfokuskan kepada sokongan padu kepada Presiden parti yang dipilih suara majoriti dan pentingnya perpaduan dalam parti.

Nampaknya pemuda Umno Melaka mahu kembali menghidupkan budaya mengampu, memuja serta menyanjung pemimpin seperti kebiasaan yang terjadi pada setiap perhimpunan agung Umno khususnya ketika era Tun Dr Mahathir. Tun sendiri pun sudah mengamalkan kembali mengamalkan budaya mengkritik pemimpin. Sepatutnya dalam keadaan masyarakat negara kita yang amat tenat ketika ini, sebagai sebuah sayap dalam parti politik mereka harus gunakan kesempatan di perhimpunan sebegitu untuk membangkit soal-soal masyarakat. Bukannya mengikut seperti pahlawan lagenda di negeri mereka iaitu laksamana Hang Tuah yang hanya tahu mengampu sultan membuta tuli.

Sedangkan dalam akhbar hari ini juga orang sama negeri dengan mereka, Tan Sri Rahim Tamby Chik yang juga Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) mahukan para perwakilan agar membahaskan sesuatu isu dengan ikhlas dan telus;

Pada masa sama, katanya, perwakilan tidak seharusnya memberikan pandangan yang memuji dan memuja pelaksanaan projek ekonomi atau kepemimpinan negara semata-mata."Kita mahukan pandangan yang ikhlas, teguran yang jujur, memaklumkan di mana sebenarnya kita masih lemah dan di mana kita perlu perbetulkan. Berita Harian - 12 November 2006.


Menyentuh pula tentang permintaan Tan Sri Rahim ini, jika benar-benar timbul kritikan-kritikan tentang isu ekonomi atau pun kepimpinan negara nanti. Persoalannya adakah kritikan-kritikan yang akan menghujani pemimpin tertinggi Umno ini akan dapat diterima dengan hati terbuka oleh mereka? Sedangkan seorang bekas PM yang mengkritik kepimpinan PM pun telah 'dibelasah' dengan begitu teruk oleh orang-orang 'kuat' PM. Apatah lagi perwakilan-perwakilan bahagian yang selama ini pun memang mudah dibeli oleh orang-orang 'kuat' Umno ini.

Walau bagaimanapun mungkin presiden Umno dan orang-orang kuatnya boleh menarik nafas lega apabila Tun Dr mahathir diarahkan oleh Doktor yang merawatnya agar berehat selama tiga minggu termasuk daripada menghadiri perhimpunan agung Umno.

posted by Lidah Penghunus @ 11:49 PM   0 comments

Friday, November 10, 2006

Kerajaan yang menzalimi rakyat negara lain juga ditolak oleh rakyat.

Assalamualaikum.

Kekalahan Parti Rupublikan yang dipimpin oleh Presiden Bush beberapa hari yang lepas telah membuktikan kepada kita bahawa rakyat bukan sahaja akan menolak sesebuah pemerintah atau kerajaan yang menzalimi rakyat mereka sendiri, malahan rakyat sesebuah negara itu juga akan menolak kerajaannya yang didapati menzalimi rakyat di negara lain. Ianya merujuk kepada dasar luar Bush yang kita tahu selama ini telah banyak mendatangkan penderitaan kepada rakyat di negara yang mereka campurtangan dalam aspek ketenteraan atas alasan kononnya untuk memulihkan demokrasi serta mengekang keganasan terutamanya di negara Iraq yang sekarang ini masih lagi belum pulih.

Sebenarnya rakyat Amerika Syarikat menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan mereka kepada negara lain juga adalah disebabkan kepentingan juga keselamatan mereka sendiri. Kerana dasar luar Amerika yang terlalu keras ini jugalah yang akan mengundang serangan-serangan daripada mereka yang dizalimi terhadap rakyat Amerika sama ada di dalam ataupun di luar negara. Maka dengan itu Selasa yang lepas rakyat Amerika telah pun memberi pengajaran kepada kerajaan mereka daripada Parti Republikan.

Jadi apa yang perlu kita renungkan di sini jika rakyat Amerika boleh mengubah parti pemerintah mereka atas sebab dasar pemerintah mereka yang zalim terhadap rakyat negara lain, mengapa rakyat di negara kita yang sekarang ini jelas dizalimi kerajaan BN sendiri dengan kenaikan harga minyak, tarif elektrik dan yang terbaru tarif air tidak boleh membuat perubahan dalam pilihanraya akan datang?

posted by Lidah Penghunus @ 4:12 PM   0 comments

Wednesday, November 08, 2006

Mengapa pencapaian subjek Bahasa Melayu merosot?

Assalamualaikum.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar dalam akhbar hari ini menyatakan bahawa sebab kemerosotan pencapaian pelajar dalam matapelajaran Bahasa Melayu adalah kerana sikap pelajar sendiri yang mengambil mudah kerana menganggap Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan mereka. Bagi saya di sini kerajaan tidak boleh menyalahkan pelajar sepenuhnya atas apa yang berlaku. Salah kerajaan juga yang telah melaksanakan pembelajaran subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris yang memberikan gambaran seolah-olah Bahasa Melayu itu tidak mempunyai peranan yang penting dalam menyampaikan kedua-dua subjek yang penting itu. Sepatutnya pemikiran para pelajar di negara ini haruskan disematkan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang mampu untuk mengungkap pelbagai bidang ilmu.

Salah satu lagi sebab adalah menularnya penggunaan bahasa rojak di media-media. Ini jelas melalui penyampaian ucapan melalui SMS yang sering berputar di skrin-skrin TV yang sewenang-wenangnya menggunakan bahasa melayu yang rojak serta rancu. Memang saya tidak dinafikan bahawa bila namanya sistem pesanan ringkas maka kependekan itu adalah perlou untuk menjimatkan ruang serta masa. Namun begitu ianya tidak sepatutnya dipaparkan di skrin TV yang menjadi tontonan umum. Sepatutnya sebagai sebuah media penggunaan bahasa melalui SMS ini haruslah dikawal terlebih dahulu.

Menyentuh tentang Bahasa Melayu ini juga saya ucapkan syabas kepada Umno Johor kerana pendirian mereka menentang perlaksanaan subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Ini selaras dengan negeri Johor yang pernah menjadi pusat pengembangan Bahasa Melayu ketika waktu dahulu yang mana Dewan Bahasa dan Pustaka dahulunya dikenali sebagai Balai Pustaka dan Pakatan Belajar dan Mengajar Pengetahuan Bahasa yang bertujuan untuk memperjuangkan Bahasa Melayu telah ditubuhkan di negeri Johor. Akhbar hari ini juga seorang tokoh pejuang Bahasa Melayu yang juga Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Dr. Awang Sariyan menyarankan agar nama Palace of Justice bagi kompleks mahkamah di Putrajaya diberi nama Melayu.

Semasa membentangkan kertas kerjanya pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini, Awang berkata, Perbadanan Putrajaya perlu memberi citra pusat pentadbiran negara dengan nama yang bercirikan kebangsaan. Utusan Malaysia - 8 November 2006.

Jika tuan-tuan masih ingat Prof. Dr. Awang Sariyan juga adalah antara tokoh bahasa yang menuntut agar hak Bahasa Melayu yang penyampaian subjek Sains dan Matematik dikembalikan.

posted by Lidah Penghunus @ 10:17 PM   2 comments

Tuesday, November 07, 2006

Biarkan mereka dengan persoalan bangsa mereka.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar hari ini dilaporkan tentang ucapan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada Konvensyen Umno Johor 2006 yang telah meminta agar konsep Bangsa Melayu dikaji semula kerana dikatakan mengancam survival bangsa Melayu dan juga bertentangan dengan perlembagaan. Dan seperti biasa pandangan dan permintaan Datuk Abdul Ghani yang juga menteri besar Johor ini telah mendapat reaksi yang bertentangan daripada pelbagai termasuk daripada Umno sendiri. Bagi saya biar mereka dengan pertikaian bangsa mereka. Bagi kita dalam jemaah Parti Islam Se-Malaysia sekarang ialah mewujudkan serta meperkukuhkan konsep Ummah dalam negara kita iaitu sebuah negara yang dalamnya tertegak nilai-nilai Islam dalam semua aspek dan bila namanya Islam sudah tentulah ianya membawa rahmat serta kebaikan kepada semua kaum serta agama.

Inilah alternatif bagi kita dalam usaha mewujudkan sebuah Malaysia yang adil dan saksama pada masa hadapan kerana kita telah saksikan bagaimana gagalnya konsep kebangsaan yang telah digunapakai oleh Barisan Nasional tidak kira dalam apajua bentuknya. Gunalah konsep Bangsa Melayu ke, Bangsa Malaysia ke, Malaysian Malaysia ke ianya tidak akan berjaya jika tidak diterapkan nilai-nilai iman dan taqwa dalam diri perlaksana dasar itu. Akibatnya kita dapat lihat baru-baru ini bahawa dalam pada Dato' Seri Abdullah menonjolkan dasarnya memerangi rasuah, Malaysia merosot dalam tranparensinya seperti yang dilaporkan oleh Transparency International melalui Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006. Namun seperti kebiasaannya inilah yang akan mereka perkatakan;

Mengikut CPI itu, Malaysia berada di kedudukan 10 daripada 25 negara Asia Pasifik, lebih baik daripada Thailand, China, India, Vietnam, Filipina dan Indonesia.“Nampaknya penilaian CPI tidak menjadi faktor penting untuk pelaburan asing di sesuatu negara seperti yang disangkakan. Berita Harian - 7 November 2006.

Jadi sekarang contohnya kita telah lihat di Kelantan yang diperintah oleh Pas bagaimana bersihnya pemerintahan di negeri pimpinan ulama' itu. Tiada pun pernah kita dengar wakil-wakil rakyat dan exco kerajaan negeri daripada ahli-ahli Pas didakwa atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. . Sedangkan ianya adalah biasa bagi wakil rakyat BN. Kaum bukan Melayu yang bukan beragama Islam juga hidup selesa di sana. Jadi adalah lebih baik tampuk pemerintahan di Malaysia ini diserahkan sahaja kepada Pas agar Islam sebagai ad deen dapat dilaksanakan dengan sempurna.

posted by Lidah Penghunus @ 11:33 PM   0 comments

Monday, November 06, 2006

Kisah YB yang dirompak.

Assalamualaikum.

Saya tertarik dengan laporan akhbar hari ini tentang kejadian rompakan di rumah banglo Ahli Parlimen Hulu Langat Markiman Kobiran. Dalam laporan berita TV semalam pun menyebutkan bahawa akhir-akhir ini rumah golongan kenamaan sering menjadi sasaran perompak. Apa yang kita lihat kejadian sebegini berlaku selepas pendedahan tentang Adun Pelabuhan Klang Dato' Zakaria Daros yang mempunyai kemampuan untuk membina banglo yang begitu mewah walaupun bukan seorang exco.

Jadi mungkinkah perompak-perompak ini sudah mengetahui bahawa wakil-wakil rakyat ini khususnya wakil rakyat BN di Selangor begitu kaya maka mereka menjadikan golongan yang berhormat ini sebagai sasaran? Kembali kepada berita rompakan di banglo Ahli Parlimen Hulu Langat itu tadi, nampaknya sasaran perompak itu agak berbaloi apabila berjaya melarikan barangan milik YB Markiman yang bernilai hingga RM40,000.

Selepas hampir sejam, empat perompak terbabit melarikan wang tunai, telefon bimbit, pelbagai barangan kemas, komputer riba serta kamera digital bernilai kira-kira RM40,000 dengan sebuah kereta yang menunggu di tepi jalan. - Berita Harian - 6 November 2006

Di sini bukanlah bermaksud saya menyokong perompak juga jenayah-jenayah yang dilakukan. Cuma apa yang ingin saya bagitahu inilah akibatnya jika tidak menurut hukum Islam khususnya hukum Hudud dan inilah juga balasan kepada golongan YB yang diberi amanah tetapi menggunakan kekayaan untuk mengkayakan diri sendiri, keluarga dan kroni.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Saturday, November 04, 2006

Pelawaan Anwar kepada Dr M - Tiada lagi ruang untuk Umno.

Assalamualaikum.

Sebelum ini Dato' Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja dibebaskan daripada hukuman penjara pada tahun 2004 tidak kurang ramainya juga yang menyatakan kemungkinan bahawa bekas timbalan perdana menteri yang dipecat pada era Tun Dr Mahathir itu akan menyertai semula Umno untuk membalas jasa Dato' Seri Abdullah dan juga untuk menyambung usaha membersihkan Umno dari dalam.

Kemungkinan ini dikuatkan lagi apabila bermulanya era kritikan Tun Dr Mahathir yang dianggap musuh ketat Anwar ke atas kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini. Ramai yang menganggap bahawa Anwar akan masuk Umno menyertai Pak Lah lebih-lebih lagi melihatkan Anwar pada masa itu agak kurang vokal terhadap kepimpinan Pak Lah.

Namun begitu apabila baru-baru ini Dato' Seri Anwar dengan hati yang terbuka mempelawa Tun Dr Mahathir menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), bersama-sama dengannya memperjuangkan nasib rakyat. Maka sudah jelaslah kini bahawa lorong untuk menyertai semula Umno telah ditutup serapat-rapatnya oleh Anwar dan tidak mungkin lagi untuk anwar menyertai Umno dikala beliau membuka ruang untuk Tun menyertai PKR.

Saya amat-amat bersetuju dengan pandangan Sdr RoslanSMS dalam Blognya http://n32.blogspot.com bahawa tindakan Anwar ini sebagai sesuatu yang berjiwa besar sama seperti Tok Guru Nik Aziz yang masih sudi menghadiri majlis yang dihadiri oleh Tun walaupun ketika itu anaknya Nik Adli masih dikurung oleh ISA. Dan besarnya jiwa Anwar ini tidaklah sama seperti yang diperkatakan oleh Setiausaha agung Umno terhadap Pak Lah dan Umno dalam akhbar hari ini.

Memang benar Pak Lah dan Umno mengambil keputusan untuk tidak mengambil tindakan disiplin terhadap Tun Dr M tetapi dengan kuasa yang ada mereka boleh sahaja menyekat segala suara dan kritikan Tun seperti mana yang mereka lakukan kepada pembangkang selama ini. Lagipun mereka juga sebenarnya khuatir jika tindakan diambil terhadap Tun maka ianya akan memburukkan lagi keadaan. Mereka tidak mahu lagi mengulangi tindakan Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim dahulu yang akhirnya menyebabkan mereka kehilangan banyak kerusi parlimen dan dun serta hilang satu negeri dalam pilihanraya tahun 1999.

Sebagaimana yang kita maklum bahawa apabila masuknya tahun 2007 maka pilihanraya umum sudah makin hampir. Maka dengan sebab itulah MT Umno ini mengambil keputusan untuk 'menangguhkan' tindakan disiplin terhadap Tun sebagaimana mereka menangguhkan pemilihan dalam perhimpunan agung Umno.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   1 comments

Thursday, November 02, 2006

Di utara paras air naik, di Lembah Klang tarif air yang naik

Assalamualaikum.

Beberapa hari raya yang lepas semasa mengumumkan rancangan untuk menaikkan tarif air di sekitar Lembah Klang, menteri besar Selangor telah mengemukakan alasan bahawa kenaikan itu adalah untuk mengajar rakyat agar berjimat cermat dalam soal penggunaan bekalan air. Dan kenaikan tarif air ini telah pun dikuatkuasakan semalam dan maka dengan itu bertambah-tambahlah beban rakyat khususnya di negeri berstatus maju ini setelah dibebankan dengan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.

Namun begitu kenaikan ini sebenarnya bukan sahaja akan mengajar kita rakyat marhain agar berjimat cermat, mengubah gaya hidup malahan kenaikan ini juga akan menyebabkan para pengusaha dan para peniaga menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka sebagai menampung kos kenaikan kerana golongan pengusaha ini perlu menggunakan air lebih daripada golongan isi rumah.

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dalam akhbar hari ini yang menjangkakan bahawa harga barangan serta perkhidmatan dijangka akan naik ekoran daripada kenaikan tarif air.

Katanya, pengusaha juga mendakwa kenaikan harga tidak dapat dielakkan kerana mereka sebelum ini terpaksa menanggung peningkatan kos berikutan pertambahan harga petrol dan elektrik.Beliau berkata, antara produk yang dijangka mengalami kenaikan harga ialah barangan berasaskan makanan, kosmetik, ubat-ubatan serta produk pemprosesan seperti keluli dan kimia. “Kita sudah lama cuba bertahan terutama sejak kenaikan harga petrol dan elektrik tetapi kami tidak menolak kemungkinan harga terpaksa dinaikkan selaras peningkatan tarif air,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas kemungkinan peningkatan tarif air di Lembah Klang yang diumumkan kelmarin akan menyebabkan peniaga serta pengusaha menaikkan harga Berita Harian - 2 November 2006.

Kenyataan PPIPBM ini juga disambut oleh kenyataan daripada Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma)

pengusaha restoran kini dibebani masalah kos yang terus meningkat dan terpaksa mencari alternatif menyelesaikan masalah itu.Presidennya, Jamarul Khan Kader, berkata sebagai contoh, tandas yang disediakan di restoran bukan saja digunakan pelanggan restoran, malah orang ramai sekali gus meningkatkan kos penggunaan air di premis perniagaan.“Kita akan bermesyuarat untuk membincangkan perkara ini. Mungkin kita akan menswastakan tandas di restoran dan mengenakan kadar bayaran untuk penggunaan tandas seperti tandas awam lain,” katanya. Berita Harian - 2 November 2006.

Nampaknya dalam isu kenaikan tarif air ini rakyat jugalah yang menjadi mangsa. Kerana isi rumah adalah rakyat, peniaga khususnya peniaga kecil-kecilan yang bukan kroni juga adalah rakyat yang menerima kesan daripada kenaikan tarif air ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   1 comments

Wednesday, November 01, 2006

Adakah pemimpin Islam terdahulu bina istana mewah untuk dekati rakyat?

Assalamualaikum.

Hari ini saya sekali lagi terpanggil untuk mengulas sedikit tentang isu Adun Pelabuhan Kelang, Datuk Zakaria Daros yang dalam akhbar hari ini beliau telah menjelaskan tentang banglo mewah miliknya. Antara penjelasan beliau yang boleh kita dapati ialah;

Zakaria menjelaskan, tapak di Lot PT9 Kampung Idaman itu sesuai untuk dibina rumah baru keluarganya kerana mereka mahu sentiasa dekat dengan masyarakat setempat yang membantunya selama ini.Katanya, pada 2002 sebidang tanah pendudukan sementara (TOL) telah didaftarkan atas nama isterinya sebelum memperoleh geran hak milik kekal pada 2004.“Dengan 11 anak, tujuh menantu dan 12 cucu dan insya-Allah bertambah, adalah munasabah untuk kami membina sebuah rumah yang bukan empat tingkat tetapi hanya dua setengah tingkat, bersesuaian dengan jumlah ahli keluarga kami.Zakaria menjelaskan, tapak di Lot PT9 Kampung Idaman itu sesuai untuk dibina rumah baru keluarganya kerana mereka mahu sentiasa dekat dengan masyarakat setempat yang membantunya selama ini.Katanya, pada 2002 sebidang tanah pendudukan sementara (TOL) telah didaftarkan atas nama isterinya sebelum memperoleh geran hak milik kekal pada 2004.“Dengan 11 anak, tujuh menantu dan 12 cucu dan insya-Allah bertambah, adalah munasabah untuk kami membina sebuah rumah yang bukan empat tingkat tetapi hanya dua setengah tingkat, bersesuaian dengan jumlah ahli keluarga kami. Berita Harian - 1 November 2006.

Di sini kita ingin mempersoalkan adakah para pemimpin atau khalifah dunia islam dahulu yang kita sedia maklum begitu prihatin dan dekat dengan rakyat seperti khalifah ar asyidin dan Khalifah Umar Abdul Aziz membina istana atau rumah yang besar dan hebat dalam usaha untuk membantu serta berbakti kepada rakyat? Melihat kepada rekabentuk binaan banglo itu sahaja sudah jelas terpancar riak-riak keangkuhan dalam pembinaannya. Jika benar-benar wakil rakyat ini ingin mendekati rakyat tidak perlu membina rumah yang sebegitu rupa kerana melihatkan keadaan rumah yang begitu mewah sahaja rakyat sudah takut untuk masuk dan jika rumah sebesar itu sudah tentulah ianya akan dilengkapi dengan pengawal keselamatan. Maka ianya akan menyulitkan juga rakyat untuk berjumpa wakil rakyat mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments


Free Hit Counter