Tuesday, October 31, 2006

Siapa yang kena aniaya?

Assalamualaikum.

Hari ini saya terpanggil untuk mengulas sedikit tentang satu laporan akhbar yang memaparkan dakwaan ahli Umno Bahagian Klang bahawa Datuk Zakaria yang terlibat dengan isu pembinaan banglo mewahnya telah dianiaya oleh parti pembangkang. Adalah suatu yang pelik apabila tindakan parti pembangkang mendedahkan kecurangan yang dilakukan oleh wakil rakyat yang tujuannya agar rakyat yang juga pengundi tidak teraniaya, didakwa ahli-ahli Umno sebagai menganiaya wakil rakyat yang berkenaan. Sedangkan sudah jelas bahawa Adun Pelabuhan Kelang itu begitu angkuh sehingga membelakangi umdang-undang dan ianya dikuatkan lagi oleh pengakuan daripada sultan Selangor sendiri.

Jadi adalah satu yang menyedihkan apabila ahli-ahli Umno Bahagian Kelang sanggup menutup kedua belah mata mereka sendiri terhadap kecurangan yang telah dilakukan oleh ketua mereka sendiri apabila terus berdiri teguh, memberi sokongan yang padu kepada ketua mereka yang korup itu malahan merayu pula kepada perdana menteri agar ketua mereka terus kekal sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK). Sepatutnya dengan sikap yang ditunjukkan oleh Datuk Zakaria ini beliau bukan sahaja harus melepaskan jawatannya dalam MPK, malahan beliau seharusnya melepaskan jawatannya sebagai Adun Pelabuhan Klang kerana telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh pengundi untuk kepentingan diri.

posted by Lidah Penghunus @ 9:51 PM   0 comments

Saturday, October 28, 2006

Kisah dua sultan di dua negeri.

Assalamualaikum.

Lihat kepada tajuk seperti kisah drama hikayat buat hiburan di kala Syawal. Tetapi sebenarnya ianya adalah sedikit coretan tentang isu semasa yang berlaku di kala kemeriahan Syawal ini, iaitu kisah teguran sultan Johor terhadapan kepedasan kritik Tun Dr Mahathir terhadap perdana menteri dan juga kisah kemurkaan sultan Selangor terhadap yang berhormat Pelabuhan Kelang yang membina mahligai yang terlampaulah mewahnya.

Cuma apa yang ingin saya sebutkan di sini ialah sebenarnya kemurkaan sultan Selangor terhadap YB Zakaria itu adalah kena pada tempatnya sedangkan teguran yang dibuat oleh sultan Johor terhadap Tun itu adalah tidak kena pada tempatnya. Saya berani mengatakan begini kerana kritikan Tun itu salah satu tujuannya ialah untuk membendung salahlaku-salahlaku seperti yang dilakukan oleh Dato' Zakaria itu.

Dan kemurkaan sultan Selangor terhadap Adun Pelabuhan Klang itu adalah untuk memastikan agar pentadbiran negeri Selangor bebas daripada amalan salahguna kuasa, korupsi yang selama ini menjadi amalan termasuk dalam pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri.

posted by Lidah Penghunus @ 2:48 PM   3 comments

Sunday, October 22, 2006

Sedikit perihal pertemuan Pak Lah - Tun Dr M.

Assalamualaikum.

Memandangkan bahawa hari minggu ini adalah penghujung puasa maka ramai yang telah mula cuti dan pulang ke kampung untuk berhari raya, tidak ketinggalan para bloggers juga sudah mula meninggalkan notis di blog tentang penutupan aktiviti blog mereka sempena musim perayaan. Namun begitu mungkin ramai diantara kita tidak menyedari bahawa hari ahad ini juga ada satu detik yang tidak kurang pentingnya dalam lakaran sejarah politik negara iaitu pertemuan empat mata (walaupun sepatutnya enam mata kerana Tun berkacamata) antara perdana menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir.

Menurut akhbar hari ini, pertemuan antara Pak Lah dan Tun ini kemungkinan diadakan di ibu pejabat Umno di Menara Datuk Onn, PWTC yang hanya dihadiri oleh Pak Lah dan Tun tanpa pihak ketiga. Pada pukul lapan malam tadi saya tidak berkesempatan untuk mengikuti perkembangan berita tentangnya kerana sudah hampir masuk waktu solat Isya' seterusnya Terawikh di surau. Namun begitu selepas sahaja selesai solat sunat terawikh saya sempat bertanyakan kepada adik kepada rakan yang kebetulan mengikuti berita jam 8 malam. Apa yang dimaklumkan kepada saya Pak Lah tidak mengulas tentang hasil pertemuan tersebut dan hanya Tun sahaja yang memberikan ulasan. Dalam ulasan tersebut Tun menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan pertemuan tersebut tetapi tidak gembira.

Di sini kita tidak pasti apakah maksud di sebalik kata-kata Tun itu. Jika beliau mengatakan bahawa beliau berpuas hati mungkin kerana melalui pertemuan itu beliau dapat meluahkan segala ketidakpuasan hatinya terhadap pentadbiran Pak Lah selama ini terus kepada Pak Lah sendiri. Namun begitu persoalannya di sini apa sebenarnya yang menyebabkan Tun masih lagi tidak gembira sedangkan pertemuan ini kita sedia maklum adalah sesuatu yang disambut baik oleh seluruh pimpinan serta ahli Umno di segenap peringkat dengan harapan agar Pak Lah dan Tun akan berbaik-baik semula.

Kunjungan saya ke laman web BERNAMA juga mendapati belum lagi dikemaskini berita berkenaannya. Nampaknya untuk memberi ulasan lanjut tentang isu ini kita tunggu sahajalah sejurus selepas raya nanti. Sama-samalah kita nantikan adakah pertemuan siang tadi detik permulaan kepada pemulihan hubungan antara PM dan bekas PM atau sebaliknya. Di sini saya tidak boleh mengulas lebih lama lagi kerana blog ini akan dihentikan operasinya tepat jam 12 malam nanti sempena cuti aidilfitri.

posted by Lidah Penghunus @ 11:05 PM   0 comments

Selamat hari raya aidulfitri.


Assalamualaikum.

Sedar tidak sedar kita sudah pun memasuki penghujung Ramadan dan akan menyambut kedatangan satu Syawal. Sekejap sahaja rasanya bulan yang penuh keberkatan rahmat ini singgah di kelendar tahunan kita. Seperti yang diperkatakan bahawa bulan Ramadan ini adalah bulan ujian atau perperiksaan untuk kita umat islam. Selama sebulan kita diuji lulus atau tidak lulusnya ujian kita ini mungkin dapat diukur selepas bulan Ramadan ini itu dari segi amalan kita, ibadah kita adakah amalan dan ibadah kita yang meningkat selama kita dibulan Ramadan ini dapat diteruskan dibulan-bulan yang lain.

Di kesempatan ini saya mendoakan agar kita semua selamat pergi dan balik ke destinasi yang dituju. Mulakanlah perjalanan anda dengan bacaan doa. Akhir sekali semoga ianya sebenar-sebenar aidulfitri iaitu sebagai hari kesyukuran serta hari kemenangan umat islam selama berada di bulan Ramadan dan tidak dicampur adukkan dengan perkara-perkara mungkar yang merosakkan sambutan aidulfitri itu sendiri. Untuk makluman tuan-tuan juga sempena hari raya blog ini akan menghentikan operasinya mulai esok sehingga waktu yang akan ditetapkan. HARAP MAKLUM


"Salam idulfitri, salam kemenangan umat islam sarwajagat. Semoga kita akan sentiasa merindui Ramadan yang akan berlalu walaupun kita berada di kemeriahan Syawal"

posted by Lidah Penghunus @ 2:27 PM   1 comments

Saturday, October 21, 2006

Pendapatan perkapita dijangka cecah RM20,000 - Adakah ianya akan dinikmati oleh semua rakyat?

Assalamulaikum.

Akhbar hari ini perdana menteri mengumumkan bahawa defisit imbangan keseluruhan Kerajaan Persekutuan juga dijangka dapat dikurangkan kepada 3.4 peratus dan dijangka tahun hadapan pendapatan perkapita rakyat akan melebihi RM20,000. Di sini saya cuma ingin menyentuh tentang pendapatan perkapita rakyat yang dijangkakan mencecah lebih RM20,000 itu. Melihat kepada angkanya sahaja seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa rakyat Malaysia ini cukup mewah kerana jika dibahagikan angka tersebut kepada 12 bulan maka pendapatan perkapitan rakyat mengikut bulanan adalah lebih RM1600.

Namun begitu persoalannya adakah pendapatan RM20,000 ini diagihkan secara sama rata kepada keseluruhan rakyat? Adakah jurang pendapatan di negara kita ini seimbang? Sedangkan apa yang kita lihat pengagihan pendapatan di negara kita masih lagi tidak seimbang. Yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus dihimpit kemiskinan. Tuntutan gaji minimum RM900 oleh kesatuan sekerja dan NGO juga masih lagi tidak dilaksanakan oleh kerajaan. Dan yang paling nyata baru-baru ini kita telah menyaksikan bagaimana seorang Adun di negeri Selangor mampu untuk membina sebuah rumah mewah yang tarafnya bolehlah dikatakan sebagai mahligai sedangkan pada masa yang sama ramai lagi rakyat di negeri Selangor yang dihimpit dengan kemiskinan.

Jadi adakah RM20,000 lebih ini hanya akan berlegar-legar dan dinikmati oleh sebilangan kecil kron-kroni, ahli-ahli korporat serta ahli keluarga yang rapat dengan pemerintah?

posted by Lidah Penghunus @ 2:38 PM   0 comments

Friday, October 20, 2006

Tindakan diambil hanya setelah rakyat tahu.

Assalamualaikum.

Berita akhbar semalam mnteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil tindakan maksimum terhadap Adun Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Deros kerana membina banglo tanpa kebenaran. Akhbar hari ini pula perdana menteri pula mahu tindakan undang-undang dikenakan terhadap terhadap Datuk Zakaria.

Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo untuk mengambil tindakan setimpal terhadap Zakaria mengikut peruntukan undang-undang.Katanya, perbuatan Zakaria yang juga Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), membina banglo tanpa kelulusan menimbulkan kemarahan rakyat yang memilihnya sebagai pemimpin, apa lagi memegang jawatan dalam parti yang memerintah. Berita Harian - 20 Oktober 2006.

Nampak begitu beriya-iya pemimpin Barisan Nasional mahu memastikan ahli-ahli mereka yang terlibat dengan salahlaku diambil tindakan yang sewajarnya. Itupun selepas perihal Datuk Zakaria membina 'mahligai' tanpa kebenaran MPK ini didedahkan sendiri oleh Adun pembangkang daripada DAP hingga menyebabkan isu ini menjadi panas. Andaikan isu ini tidak sampai ke pengetahuan wakil rakyat pembangkang dan tidak sampai ke pengetahuan rakyat. Mungkinkah Khir Toyo akan mengarahkan PBT mengambil tindakan terhadap salah laku Datuk Zakaria itu dan adakah PM juga akan mengumumkan di media meminta Datuk Zakaria didakwa?

Saya percaya andaikata perkara tersebut hanya oleh menteri besar dan perdana menteri sekalipun, paling kuat mereka hanya akan menasihatkan Datuk Zakaria agar berhati-hati dengan tindakannya kerana takut nanti rakyat akan tahu dan nama baik BN akan terjejas. Dalam kata lainnya "nak buat jahat pun pandai-pandailah cover." Ini mungkin ada kebenarannya berdasarkan kenyataan PM pada akhbar Utusan hari ini;

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, masyarakat tidak akan dapat menerima pemimpin yang didapati melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan.
Tegas Perdana Menteri, kesalahan seperti yang didakwa dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md. Deros sudah tentu boleh membangkitkan kemarahan rakyat. Utusan Malaysia - 20 Oktober 2006.


Di sini bolehlah kita tafsirkan bahawa Pak Lah hanya tidak mahu wakil-wakil rakyat bawahannya berbuat salah laku yang rakyat nampak kerana takut partinya akan ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya. Dalam erti kata yang lain hanya rakyat sahaja yang menolak pemimpin yang korup sedangkan bagi kalangan mereka yang berada dalam BN perkara sedemikian masih boleh diterima kerana memang sudah menjadi amalan mereka dari pimpinan peringkat akar umbi hingga ke peringkat tertinggi.

Bagi kita sebagai rakyat pula isu ini sebenarnya telah menjelaskan kepada kita betapa perlunya ada beberapa wakil pembangkang yang terdiri daripada Pas, PKR dan DAP dalam Dewan Undangan Negeri kerana wakil-wakil pembangkang inilah yang akan menyuarakan segala hasrat rakyat dan mendedahkan segala kepincangan yang berlaku. Maka dengan adanya barisan pembangkang yang kuat ini jugalah kerajaan negeri yang diperintah oleh BN tidak akan berani berbuat sesuka hati mereka seperti yang terjadi sekarang ini sejak mereka hampir berjaya merealisasikan matlamat pembangkang sifar dalam pilihanraya umum 2004.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Thursday, October 19, 2006

Kongsi perayaan tak bercanggah Islam - Pemimpin Islam Hadhari.

Assalamualaikum.

Akhbar hari ini pemimpin sebuah kerajaan Islam Hadhari, seorang lulusan sarjana muda Pengajian Islam, cucu kepada ulama' iaitu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengeluarkan 'fatwa' bahawa amalan menyambut perayaan secara berkongsi antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini, tidak bercanggah dengan tuntutan agama atau mencemarkan kesucian Islam.

Perdana Menteri berkata, tidak menjadi masalah untuk umat Islam meraikan kongsi Aidilfitri bersama dengan penganut agama lain asalkan tidak mencampuradukkan soal adat dengan agama masing-masing.“Bila sebut kongsi raya, ada orang sebut raya bersama. Bukan bermakna adat atau hukum agama Islam dan India nak dicampurkan. Ini tidak bermakna orang Islam kena pergi ke candi (kuil) atau orang Hindu pergi ke masjid.“Apabila Hari Raya, kita umat Islam dengan cara kita. Jadi hubungan sosial antara kaum ini tidak ada masalah. Dulu kita pergi juga untuk sama-sama sambut Deepavali atau dia datang rumah kita yang sedang sambut Aidilfitri. Berita Harian - 19 Oktober 2006.

Nampaknya di sini Pak Lah lupa bahawa akidah seseorang muslim boleh terjejas bukan sahaja oleh kerana perlakuannya secara zahir seperti pergi ke kuil ataupun rumah ibadat penganut agama lain untuk melakukan acara keagamaan. Tetapi akidah seseorang juga boleh terjejas dengan kata-kata dan pengakuan hatinya. Persoalan yang timbul sekarang bukanlah masalah orang islam pergi ke kuil untuk bersama-sama merayakan Deepavali, tetapi adalah tindakan kebanyakan mereka yang sedar atau tidak sedar cuba menyamakan agama islam dengan agama hindu dari segi perayaan melalui istilah 'deeparaya.'

Sedangkan Islam adalah agama Allah yang memiliki perayaannya sendiri iaitu aidulfitri yang tidak sama dengan perayaan Deepavali yang disambut oleh mereka. Saya juga pernah dijelaskan oleh seorang ustaz bahawa perayaan aidulfitri adalah kurniaan Allah kepada umat islam ketika itu agar mereka ada perayaannya sendiri dan tidak menyambut perayaan kaum atau agama yang lain. Memang kita tidak dinafikan lebih-lebih sebagai masyarakat yang hidup dengan masyarakat penganut agama yang lain perlu wujud sikap menghormati kepercayaan penganut agama lain sebagai masyarakat yang berlindung di negara umat islam yang juga jiran tetangga. Tetapi ianya setakat itu, bukannya kita terus mengiktiraf bahawa raya mereka adalah raya kita.

Contoh yang terbaik yang pernah ditunjukkan kepada kita ialah menteri besar Kelantan sendiri yang juga mursyidul am Pas, Tok Guru Nik Aziz. Bagaimana sikap beliau terhadap penganut-penganut Buddha serta masyarakat Tiong Hwa di negeri bawah pentadbiran beliau. Namun begitu tidak pula beliau menyebut tentang kongsi raya. Sepatutnya sebagai seorang pemimpin kepada umat islam di negara ini, Pak Lah sepatutnya memberi peringatan kepada rakyatnya dalam menyambut perayaan ini agar berhati-hati dan tidak sampai menjejaskan akidah. Sekarang ini bukan sahaja isu kongsi raya ataupun deeparaya malahan dalam masa yang sama ialah masalah sambutan aidulfitri itu sendiri yang dicampur adukkan dengan unsur-unsur hiburan melalaikan yang bercanggah dengan Islam hingga tidak menampakkan bahawa ianya adalah sambutan kesyukuran bagi umat Islam setelah selesai menjalani ibadah puasa. Namun adalah sesuatu yang dikesalkan apabila perkara-perkara sedemikian tidakpun diperingatkan oleh Pak Lah kepada rakyat sebaliknya isu-isu kongsi raya pula yang cuba diputarbelitkan oleh beliau.

posted by Lidah Penghunus @ 3:50 PM   0 comments

Wednesday, October 18, 2006

Tahanan ISA akhirnya dibebaskan.

Assalamualaikum.

Saya mendapat berita tentang pembebasan beberapa tahanan ISA termasuk anak Tok Guru Nik Aziz selepas berbuka puasa tadi melalui SMS yang dikirimkan oleh seorang sahabat. Sebaik sahaja selesai solat sunat Terawikh saya terus ke kafe siber untuk mengetahui berita seterusnya. Apabila buka sahaja Harakahdaily gembira dan terharu rasanya apabila membaca berita tentang pembebasan mereka yang telah lama ditahan kerana dituduh sebagai anggota kumpulan pengganas serta melihat gambar-gambar yang merakam detik-detik Nik Adli Nik Aziz pulang ke rumah, pulang ke pangkuan keluarga termasuk anak-anak serta isterinya.



Dan insan yang paling gembira sekali dengan berita ini tentulah ahli keluarga terdekat beliau sendiri termasuk anak-anak dan isteri yang hampir lima tahun telah dipisahkan dengan bapa atau suami mereka. Lebih-lebih seminggu lagi umat Islam akan menyambut hari raya aidulfitri maka akan bermaknalah aidulfitri tahun ini bagi keluarga mangsa tahanan ISA yang dibebaskan ini. Tidaklah lagi mereka sekeluarga terpaksa menyambut aidulfitri di Kem Kemunting dengan hanya diberi peluang bersua muka di tabir kaca beserta komunikasi yang terhad.

Dengan pembebasan mereka yang dituduh sebagai anggota Kumpulan Militan Malaysia yang sehingga saat ini belum lagi dibuktikan di mahkamah, maka bolehlah dikatakan bahawa penahanan mereka oleh kerajaan selama hampir enam tahun ini hanyalah sia-sia dalam erti kata yang lain ditahan dan dikurung saja-saja tanpa apa-apa motif dan dibebaskan ikut suka. Walaupun kita menyambut baik langkah pembebasan mereka ini namun ianya tidaklah membawa erti bahawa kerajaan telah pun berlaku adil sepenuhnya kerana yang pertama mereka sepatutnya sudah lama dibebaskan kerana tidak dibuktikan bersalah dan keduanya akta zalim ISA beserta peruntukannya yang membolehkan menahan tanpa bicara mana-mana individu yang dikehendaki masih lagi belum dihapuskan. Bila-bila masa sahaja kerajaan boleh menggunakan akta ini untuk menjaga survival politik mereka

Oleh itu perjuangan kita khususnya Gerakan Mansuhkan ISA atau GMI sebenarnya belum lagi berakhir dan haruslah diteruskan sehingga ISA ini dihapuskan atau sekurang-kurangnya beberapa perkara yang tidak adil tentangnya dikaji semula.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Mufti terus diperlekehkan di sepuluh akhir Ramadan.

Assalamualaikum.

Berita 1.30 TV3 siang tadi, ada satu berita yang permulaannya memetik kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menyebut soal sama ada acara program hiburan menyambut Aidilfitri bercanggah atau tidak dengan Islam perlu diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan bukannya oleh mana-mana individu. Bila sahaja disebut tentang mana-mana individu saya menyangka ianya ditujukan kepada orang-orang kebanyakan yang tidak arif tentang ilmu agama dan tidak mempunyai autoriti berkenaan dengan agama Islam. Rupa-rupanya kenyataan Dr Rais itu merujuk kepada Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria yang menegur tentang hiburan berunsur maksiat termasuk menggabung nama Aidilfitri dengan konsert telah mencemar kesucian Ramadan.

Saya kira kenyataan Rais ini adalah satu lagi bentuk penghinaan terhadap mufti apabila cuba menyamakan mufti Perak dengan individu-individu yang lain yang tidak tidak arif tentang Islam dan tidak mempunyai kuasa dalam memperkatakan tentang agama Islam. Ini ditambah lagi apabila beliau mempersoalkan tarian dan lagu mana yang bercanggah seperti yang diperkatakan oleh Datuk Seri Harussani itu. Rasanya bagi kita yang mempunyai akal yang waras ini, tidak dengan penjelasan daripada mufti pun kita dapat lihat betapa melampaunya bentuk-bentuk hiburan yang sekian lama menghiasi kaca TV negara kita setiap kali menjelang hari perayaan. Saat-saat akhir Ramadan kini pun stesyen TV telah pun menyusun beberapa rancangan hiburan untuk tatapan umat Islam bagi menyambut Aidulfitri tanpa mengambil kira adakah bentuk hiburan berkenaan dibolehkan atau tidak oleh Islam.

Contoh yang paling jelas yang boleh saya sebutkan ialah rancangan roadshow Syoknya raya terbitan TV3 yang memaparkan peserta-peserta yang menari di khalayak umum tanpa rasa segan silu. Apakah relevannya dengan sambutan Aidulfitri? Adakah itu tanda kesyukuran kita umat islam selepas sebulan berjaya menjalani ibadah puasa? Dan adakah perkara-perkara sebegini yang jelas berunsur maksiat perlu lagi diperjelaskan oleh Mufti? Apakah Datuk Seri Harussani Zakaria yang dilantik sebagai Mufti Perak oleh sultan itu tiada hak untuk menegur tentang kepincangan yang berlaku? Jika hendak menunggu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan teguran jawabnya tiada apalah yang boleh diharapkan kerana mereka yang sepatutnya menjadi pembela kepada usaha amal maaruf nahi mungkar selama ini hanya diam membisu kerana kepentingan duniawi.

Di sini bukanlah bermaksud Islam menolak terus hiburan. Malahan sempena menyambut perayaan bagi umat islam ini, hiburan adalah sesuatu yang diperlukan untuk memberikan kegembiraan kepada umat islam setelah sebulan diuji dengan ibadah puasa. Cumanya masyarakat Islam di negara ini setiap masa terlalu disajikan dengan hiburan termasuk hiburan yang jelas bercanggah dengan Islam hingga tidak nampak akan keperibadian Islam yang sepatutnya di bawa. Akibat daripada terlampau dengan budaya hedonisme ini jugalah masyarakat kita telah ditimpa dengan pelbagai penyakit sosial dan pelbagai lagi permasalahan yang melanda umat Islam masa kini. Apatah lagi dalam masa yang sama pandangan ulama' dikesampingkan.

posted by Lidah Penghunus @ 10:34 PM   1 comments

Tuesday, October 17, 2006

Isu tuntutan Gerakan - Kenyataan Pak Lah mengiyakan kenyataan menantunya dahulu.

Assalamualaikum.

Nampaknya pergolakan dalam BN yang selama ini diwar-warkan sebuah pakatan politik yang kukuh dan harmoni masih lagi tidak kesudahan. Selesai satu isu, timbul pula isu yang baru. Yang terkini gesaan Lim Keng yaik daripada Gerakan yang mahu Unit Perancang Ekonomi mendedahkan kaedah kajian yang merekodkan bahawa penguasaan Bumiputera dalam ekuiti ekonomi negara hanya sebanyak 18.9 peratus.

Hinggakan dalam berita TV3 tadi memapar E-mel daripada penonton yang kecewa dengan tindakan parti-parti komponen BN yang telah mengambil alih peranan pembangkang sebagai pengkritik kerajaan. Bagi saya apa salahnya jika parti-parti komponen BN ingin jadi pengkritik bagi sesebuah kerajaan yang tujuannya untuk memperbetulkan segala kesilapan serta mewujudkan ketelusan dalam pentadbiran. Adalah tidak patut jika sesebuah parti komponen yang sepatutnya bertanggungjawab dalam usaha pengukuhan parti dan kerajaan hanya menjadi pak turut dan hanya mendiamkan segala kepincangan yang berlaku. Berkenaan dengan isu ini juga saya tertarik dengan salah satu kenyataan perdana menteri dalam memberikan reaksi kepada isu ini;

Sambil menyifatkan memang lumrah manusia gemar mengambil kesempatan, beliau berkata kerajaan sekarang perlu bersedia menghadapi semua kritikan, cabaran dan pertikaian yang diketengahkan pelbagai pihak. Berita Harian - 17 Oktober 2006.

Jika dahulu menantunya Khairy pernah mengeluarkan kenyataan tentang sikap parti komponen BN yang suka mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan apabila Umno dilanda pergolakan. Kenyataan Khairy ini telah menimbulkan kemarahan di kalangan parti-parti komponen BN khususnya MCA dan Gerakan. Namun begitu hari ini Pak Lah melalui kenyataannya itu telah mengiyakan kenyataan menantunya ketika dahulu yang telah menimbulkan kontroversi.

posted by Lidah Penghunus @ 10:53 PM   0 comments

Sunday, October 15, 2006

Lagi kisah di negeri Selangor maju.

Assalamualaikum.

Beberapa hari lalu kita telah mendengar kisah yang boleh dikatakan antara dua darjat iaitu kedaifan melampau perkampungan orang asli dan kemewahan melampau rumah seorang Adun di Pelabuhan Klang. Kisah wakil rakyat di negeri maju ini tidak terhenti setakat itu. Rupa-rupanya tiga orang anak wakil rakyat Pelabuhan Klang ini juga telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK). Jika tuan-tuan masih ingat september lalu dalam satu perbahasan dewan rakyat salah seorang ahli parlimen BN telah mempertikaikan dua orang anak menteri besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz yang bekerja dengan PKINK dan MPKB. Walau bagaimanapun ianya telah terjawab. Dalam isu tiga orang anak YB Pelabuhan Klang ini pula cuma saya tertarik dengan kenyataan menteri besar kepada sebuah negeri maju, seperti di bawah ini;

Dr Mohamad Khir dilaporkan berkata, kedudukan Zakaria, anak dan menantunya dalam PBT berkenaan tidak terjejas selagi mereka tidak menyalahgunakan kuasa. Berita Harian - 15 Oktober 2006.

Persoalannya sekarang jika pun anak-anaknya itu tidak membuat kesalahan, bapanya pula yang terlibat dengan skandal iaitu pembinaan rumah yang layaknya digelar istana dan kes ini juga berkaitan dengan Majlis Perbandaran Klang yang diduduki oleh ketiga-tiga anaknya sebagai ahli majlis. Jadi mungkinkah kerana adanya ketiga-tiga anak YB ini dalam MPK maka sehingga kini tiada tindakan tegas diambil keatas beliau?

Lagi kisah dalam sebuah negeri Selangor maju yang ingin saya sentuh ialah tentang kenaikan kadar tarif bekalan air di Lembah Klang, Selangor sebanyak 15 peratus yang akan dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri Selangor pada bila-bila masa sahaja. Setelah kita dibebankan dengan kenaikan harga petrol, tarif elektrik, diikuti dengan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan, kini ketika rakyat akan menyambut perayaan, kita akan dibebankan pula dengan kenaikan tarif air. Di sini juga kita tertanya-tanya adakah ini kelebihan yang wajib dini'mati oleh masyarakat marhain di negeri Selangor maju? Selepas ini kita tidak tahu apa lagi yang akan terjadi di negeri Selangor yang hampir mencapai matlamat pembangkang sifar ini.

posted by Lidah Penghunus @ 12:09 PM   0 comments

Friday, October 13, 2006

Pak Lah ke Mekah meninggalkan tahanan ISA yang masih terkurung.

Assalamualaikum.

Petang tadi di Masjid Negara selepas solat Jumaat telah diadakan satu perhimpunan aman keluarga-keluarga mangsa tahanan ISA beserta para pencinta keadilan bagi bersama-sama menyuarakan rasa derita mereka terhadap kezaliman yang berlaku terhadap keluarga mangsa tahanan ISA ini. Perhimpunan anak-anak serta isteri mangsa akta zalim ini diadakan ketika lebih kurang sepuluh hari lagi umat Islam akan menyambut kedatangan satu syawal, ketika umat islam yang lain sedang mula sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari raya. Namun begitu bagi mereka yang bapa atau suaminya telah ditahan hampir enam tahun tanpa perbicaraan mahkamah ini walaupun sudah pun masuk hari ke dua puluh Ramadhan tiada pun tanda-tanda yang menunjukkan bahawa bapa atau suami mereka akan dibebaskan.

"Bebaskan bapa kami, kami menanti sejak dari empat tahun lalu dari satu Ramadan hinggalah ke malam raya.Kami rundukan belaian, kucupan dan pelukan ayah kami.Tetapi harapan kami hampa.Dalam doa kami kami sentiasa mendoakan agar yang menzalimi akan dibalas di akhirta nanti," kata salah seorang anak tahanan yang meyampaikan rasa hatinya ketika perhimpunan aman anti ISA di hadapan Masjid Negara hari ini. Harakahdaily - 13 Oktober 2006.

Ketika tahanan-tahanan tanpa bicara ini masih terkurung di Kem Kemunting dan ketika anak-anak serta isteri mereka masih menunggu dengan penuh harap agar raya tahun ini dapat bersama-sama dengan bapa atau suami mereka, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga menteri dalam negeri dengan senang hatinya, tanpa rasa bersalah pergi menunaikan ibadah umrah di Mekah. Di sini kita bukan bermaksud untuk mempertikaikan atau menghalang Pak Lah menunaikan ibadah umrah. Tetapi adalah lebih baik sebelum beliau berangkat ke tanah suci, beliau membebaskan dahulu tahanan-tahanan ISA yang ternyata dizalimi itu. Hentikan dahulu kezaliman yang telah dilakukan terhadap keluarga mereka.

Memang benar kelebihan menunaikan ibadah umrah di bulan Ramadhan menyamai pahala menunaikan ibadat haji, namun adakah ianya memberikan makna dengan tahanan-tahanan ISA serta keluarga mereka terus dibiarkan menderita lebih-lebih lagi menjelang hari lebaran ini? Kita juga dimaklumkan bahawa Pak Lah akan balik dari menunaikan ibadah umrah pada hari isnin minggu depan. Ini bermakna ada lebih kurang tujuh hari lagi masa untuk Pak Lah membebaskan mereka agar anak-anak tahanan ISA ini dapat menyambut Aidulfitri bersama bapa mereka. Jadi kita masih lagi mengharap agar keberkatan ibadah umrah dan puasa di tanah suci Mekah dapat membuka pintu hati Pak Lah untuk membebaskan mereka yang teraniaya ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   1 comments

Thursday, October 12, 2006

Selangor maju - Untuk siapa?

Assalamualaikum.

Beberapa hari yang lalu saya agak terperanjat dengan satu pendedahan oleh berita televisyen bahawa di kawasan Tanjung Pengharapan, Pelabuhan Klang masih lagi terdapat perkampungan orang asli di tepi laut yang begitu daif. Dilaporkan bahawa hasil pencarian mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil laut dan kesemua anak-anak mereka langsung tidak mendapat pendidikan formal seperti anak-anak yang lain.

Tidak terlintas di fakulti minda kita bahawa di negeri Selangor yang telah diisytiharkan sebagai negeri maju oleh menteri besarnya, masih lagi terdapat perkampungan orang asli yang tiada bezanya dengan penempatan pada zaman prakemerdekaan dahulu. Pada laporan akhbar hari ini pula didedahkan pula tentang kisah rumah mewah terlampau milik seorang Adun Pelabuhan Klang yang tidak pun jauh daripada penempatan orang asli itu tadi.

Menteri Besar Selangor akan meneliti laporan mengenai pembinaan banglo mewah empat tingkat milik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Deros yang dikatakan keterlaluan dan menjolok mata. Utusan Malaysia - 12 Oktober 2006.

Di sini kita tertanya-tanya. Adakah Selangor maju yang di gembar-gemburkan oleh Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo selama ini hanya milik wakil-wakil rakyat Barisan Nasional beserta kroni-kroni mereka hinggakan Adun mereka mampu untuk membina sebuah banglo yang begitu mewah pada masa masih ramai lagi sebilangan rakyat yang terpinggir?

posted by Lidah Penghunus @ 11:04 PM   0 comments

Wednesday, October 11, 2006

Muhasabah - Wujudkah keberkatan dalam negara?

Assalamualaikum.

Sempena seruan perdana menteri pada akhbar hari ini yang meminta umat islam di negara ini mengambil kesempatan bulan Ramadhan untuk bermuhasabah dan berusaha membaiki kelemahan diri, saya ingin mengajak tuan-tuan untuk kita bermuhasabah pula tentang keadaan di negara kita. Adakah ianya dilimpahi keberkatan dan rahmat seperti yang didakwa oleh perdana menteri tidak lama dahulu.

Sebagaimana yang telah diberitahu oleh ustaz-ustaz bahawa kelebihan Ramadhan ini salah satunya adalah rahmat. Namun begitu pada bulan Ramadhan inilah di negara kita terjadinya kejadian jerebu yang sekarang ini masih lagi tidak menentu tentang tahapnya. Malahan ekoran daripada jerebu ini pula dijangkakan harga barangan sayuran akan naik 20 peratus dan ianya juga akan menjejaskan kempen tahun melawat Malaysia 2007. Ketika umat Islam negara ini menjalankan ibadah puasa juga terjadinya tanah runtuh di flet kos rendah Seksyen 10 Wangsa Maju yang membabitkan seramai 700 penduduk. Tidak setakat itu bulan Ramadhan ini juga kita telah menyaksikan semakin melampaunya kelakuan kumpulan mat rempit yang sedang ditarbiah oleh Putera Umno ini hingga ke tahap berbunuhan serta bertikaman sesama mereka.

Kita juga tertanya-tanya mengapakan perkara-perkara yang tidak diingini ini boleh berlaku di negara kita pada bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini. Kembali kepada muhasabah yang disebutkan oleh perdana menteri itu tadi, sama-sama kita renungi kembali adakah kedatangan Ramadhan ini penghayatan dan pengamalan Islam semakin bertambah dikalangan rakyat. Adakah terdapatnya usaha yang bersungguh-sungguh terutamanya daripada media di negara ini dalam usaha menyuburkan penghayatan Islam kepada rakyat. Dan adakah segala kemungkaran dan maksiat termasuk perkara-perkara yang melalaikan yang semakin subur sebelum ini dikurangkan di bulan yang mulia ini. Atau adakah ianya sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain. Saya rasa tidak perlu untuk saya sebutkan jawapannya kerana tuan-tuan juga sudah sedia maklum tentang hal ini. Oleh itu sebagai penyelesaiannya kita ikutilah seperti apa yang disarankan oleh mufti dalam akhbar yang sama pada hari ini;

Umat Islam diingatkan tidak membazir ketika membuat persiapan Aidilfitri serta terlalu ghairah menyambutnya selepas mendengar lagu raya hingga melalaikan mereka daripada mencapai matlamat sebenar ibadat puasa yang diwajibkan.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata mereka seharusnya meningkatkan ibadat sepanjang bulan mulia ini dan mengelak ianya dirosakkan dengan perkara atau tindakan dilarang.“Bulan puasa adalah bulan ibadat dan kita mesti berpuasa bersama lima perkara iaitu mata, telinga, lidah serta anggota badan iaitu tangan dan kaki seperti disebut dalam Hadis Rasulullah.“Jadi dalam konteks telinga ini, kita tidak boleh mendengar perkara yang boleh melalaikan kita daripada melakukan ibadat. Utusan Malaysia - 11 Oktober 2006.

Selama ini pun salah satu penyebab masalah di negara kita adalah kerana kita sendiri yang tidak mengikut nasihat serta panduan daripada mufti malahan mencabar dan mempersendakan apa yang mereka perkatakan. Jadi bermula dengan bulan Ramadhan yang berkat ini adalah elok agar kita umat islam terutama pemerintah sendiri mengambil berat dengan apa sahaja yang dinasihat oleh para mufti yang sudah tentu nasihat yang dikeluarkan oleh mereka itu adalah untuk kesejahteraan ummah.

posted by Lidah Penghunus @ 11:19 PM   1 comments

Tuesday, October 10, 2006

Kempen hanya dibenarkan satu hari - Bukti bahawa Umno semakin teruk.

Assalamualaikum.

Sebagai membuktikan lagi bahawa Umno semakin teruk dan makin terdesak, akhbar hari ini Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Pindaan Perlembagaan UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar kempen bagi calon yang bertanding pemilihan Umno hanya dibenarkan sehari sahaja. Jika cadangan memendekkan tempoh berkempen bagi pilihanraya kampus adalah tindakan terdesak pihak pro-Umno bagi menghalang kemaraan calon yang tidak sehaluan dengan mereka, cadangan memendekkan tempoh berkempen bagi pemilihan Umno ini sudah tentulah bagi menghalang kegiatan tidak sihat terutamanya politik wang yang sekian lama telah berakar umbi dalam parti mereka.

Selain kempen, kita juga telah bersetuju untuk menukar perkataan politik wang kepada rasuah politik di dalam kod etika ini. ‘‘Dengan menggunakan perkataan rasuah politik, pengertiannya adalah luas berbanding istilah politik wang. Rasuah bukan wang semata-mata tetapi ia lebih daripada itu sebagai contoh janji pergi rombongan,’’ Utusan Malaysia - 10 Oktober 2006.

Selain daripada dilihat terdesak, cadangan ini memperlihatkan kepada kita betapa celarunya Umno sekarang ini yang dipimpin oleh Pak Lah. Dalam masa MT telah membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan sehingga selepas pilihanraya umum sepatutnya kerisauan tentang kempen serta pemilihan parti tidak lagi timbul. Namun begitu itulah bagaimana degil dan keras kepalanya ahli-ahli bagi parti yang memperjuangkan assabiah ini. Ianya dapat dikuatkan lagi melalui perenggan akhbar di bawah ini;

‘‘Sebelum ini kempen tidak dibenarkan tetapi orang tetap berkempen. Oleh itu saya telah mengesyorkan supaya kempen dibenarkan tetapi dalam bentuk yang lebih terbatas dan terurus. Tempohnya hanya sehari. Utusan Malaysia - 10 Oktober 2006.

Sebenarnya buatlah apa sahaja peraturan saya percaya masalah dalaman Umno ini tidak akan dapat diselesaikan dengan mudahnya. Dalam soal mengehadkan tempoh berkempen misalnya, kalau dah politik wang atau rasuah politik ini berdarah daging dalam tubuh badan mereka maka pelbagai cara lagi akan digunakan oleh mereka untuk tujuan itu. Oleh itu sempena Nuzul Quran iaitu hari turunnya al quran yang menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa maka adalah lebih baik Umno itu dikembali dasarnya kepada al quran dan sunnah yang memandu manusia ke arah kebaikan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Monday, October 09, 2006

Berikan peringatan kepada rakyat dan laksanakan Islam sepenuhnya.

Assalamualaikum.

Sempena Ramadhan yang penuh keberkatan ini kita sebagai rakyat Malaysia teramatlah beruntung kerana berpeluang mendengar pemimpin negara kita iaitu perdana menteri sendiri menyampaikan tazkirah Ramadhannya di Masjid Putrajaya. Sememangnya itulah yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang pemimpin bagi umat islam iaitu memberi tazkirah atau peringatan kepada rakyat tentang perkara-perkara kebaikan yang diajarkan oleh Allah dan rasulNya dalam menuju kehidupan abadi di negeri akhirat. Jangan asyik-asyik bercerita tentang perkara-perkara keduniaan semata-mata sahaja kepada rakyat.

Namun begitu sebagai seorang pemimpin dan pemerintah bagi sebuah kerajaan yang mempunyai autoriti dalam membuat serta mengubah dasar ianya tidak sepatutnyalah terhenti setakat memberi tazkirah serta peringatan di mimbar-mimbar masjid. Lebih daripada itu dengan kuasa yang ada maka mereka sebagai kerajaan wajiblah melaksanakan Islam sepenuhnya dalam pemerintahan serta mengingatkan kepada rakyat agar patuh kepada Islam yang dilaksanakan. Jika yang memberi tazkirah itu hanya seorang ustaz atau penda'wah maka kemampuannya hanyalah memnyampaikan ilmu serta memberikan peringatan kepada rakyat termasuklah kepada kerajaan yang memerintah. Tetapi ini adalah seorang pemimpin yang mampu untuk menterjemahkan apa yang ditazkirahkannya dalam bentuk pemerintahan.

Dalam tazkirahnya, antara lain, Abdullah mahu umat Islam menjadikan al-Quran sebagai inspirasi untuk menimba ilmu sebagaimana umat terdahulu hingga membuatkan mereka mampu membangunkan hadharah atau tamadun.
‘‘Kita dibekalkan ilmu dalam bentuk al-Quran yang menjadi panduan kepada manusia, jadi kita wajib menuntut ilmu pengetahuan dan wajib juga mengajar ilmu.
Perdana Menteri berkata, umat Nabi Muhammad s.a.w mendapat banyak rahmat dan manfaat berbanding umat terdahulu kerana diturunkan al-Quran sebagai mukjizat.
‘‘Ia merupakan panduan dan ada ilmu daripada Allah sendiri. Juga banyak ayat yang mengisahkan tentang para anbia dalam menyebarkan agama Islam dan mengatasi pelbagai cabaran dengan sabar dan istiqamah.
Abdullah mengingatkan bahawa dengan ilmu membolehkan ibadah seorang muslim itu menjadi lebih sempurna dan dapat membezakan antara perkara yang baik dan tidak baik. Utusan Malaysia - 9 Oktober 2006.

Berdasarkan isi tazkirah yang disampaikan oleh perdana menteri ini, sama-samalah kita teliti sejauh manakah ianya dilaksanakan sepenuhnya dalam pemerintahan beliau. Atau adakah ianya hanya semata-mata tazkirah tanpa diamalkan sepenuhnya.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Sunday, October 08, 2006

Ragut: penjara 14 tahun dan sebatan; Alahai ringannya

Assalamualaikum.

Bila terbaca tentang berita akhbar hari ini iaitu cadangan untuk menaikkan hukuman bagi kesalahan peragut daripada tujuh tahun kepada maksimum 14 tahun dan sebatan apabila jenayah itu diklasifikasikan sebagai jenayah merompak, saya teringat tentang kisah dua orang banduan yang paling lama dipenjarakan iaitu lebih 30 tahun yang dibebaskan baru-baru ini yang kisahnya masih lagi menjadi perhatian pihak akhbar pada hari ini. Mereka menceritakan bagaimana kekoknya dan tidak selesanya mereka menjalani kehidupan di luar setelah 30 tahun terkurung di penjara.

Apa yang ingin saya sebutkan inilah sebaik-baiknya hukuman yang diturunkan oleh Allah kepada manusia berbanding hukuman yang dicipta oleh manusia sendiri. Andaikan jika 30 tahun dahulu hukum hudud dilaksanakan dan kedua-dua banduan ini menerima hukuman potong tangan daripada mahkamah yang adil. Yang pertama mereka tidak perlu dipenjara dan dipisahkan dengan keluarga dengan sebegitu lama dan yang keduanya hukuman ini akan menjadi pengajaran kepada orang ramai tentang akibat melakukan jenayah. Tidaklah jadi seperti hari ini yang mana kejidian jenayah semakin meningkat kerana manusia tidak takut untuk melakukan jenayah atas sebab hukumannya yang tidak menggerunkan.

Yang paling penting sekali ialah tujuan melaksanakan hukuman yang diturunkan oleh Allah ini bukan kerana bentuk hukumannya sahaja tetapi adalah tanda taat pemerintah kepada suruhan Maha Pencipta yang memerintahkan kita untuk berhukum dengan hukum yang diturunkan-Nya. Seberat mana pun hukuman yang dilaksanakan tetapi jika tidak bersumberkan al quran dan hadis pun adalah tidak berguna kerana tiada keberkatan yang diperolehi.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Friday, October 06, 2006

Tidak pun disentuh tentang perlaksanaan subjek sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

Assalamualaikum.

Dalam akhbar semalam, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan akan memberikan kuasa kepada DBP bagi menghukum pihak-pihak yang terlibat mencemarkan bahasa kebangsaan. Sebagai menyambut pengumuman Rais Yatim itu, akhbar hari ini pula menteri pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan 3 langkah dalam usaha untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Namun begitu meneliti perkembangan berita berkenaannya daripada semalam, adalah sesuatu yang amat mengecewakan apabila tidak sedikit pun menyebut tentang usaha untuk mengembalikan hak Bahasa Melayu itu sendiri sebagai penyampai kepada subjek sains dan matematik di sekolah-sekolah. Apatah lagi ianya diumumkan oleh menteri pelajaran sendiri yang terlibat dengan perlaksanaan itu.

Adalah amat menghairankan mengapa begitu payah untuk kerajaan menarik balik perlaksanaan yang telah terbukti gagal dan mendatangkan pelbagai masalah itu? Adakah kerana kuatnya sifat ego dalam diri mereka selaku pemerintah? Sebagaimana yang kita maklum bahawa pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris ini diilhamkan pada zaman Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri dahulu.

Mengapa pada zaman Pak Lah menerajui kepemimpinan negara sekarang ini ianya tidak boleh diubah sebagaimana projek Jambatan Bengkok yang juga diilhamkan pada zaman Tun sebagai perdana menteri yang dibatalkan atas alasan kepentingan rakyat? Adakah kerana Pak Lah tidak sanggup untuk menyemarakkan lagi kemarahan Tun Dr Mahathir setelah beberapa projek yang diilhamkannya gagal?

posted by Lidah Penghunus @ 3:31 PM   0 comments

Thursday, October 05, 2006

DBP akan jadi penguatkuasa bahasa.

Assalamualaikum.

Laporan akhbar hari ini memaparkan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka atau DBP akan diberi kuasa untuk mendenda pihak yang didapati bersalah mencemar bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu sebaik sahaja peruntukan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda oleh pejabat Peguam Negara dan diluluskan Parlimen.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Kabinet bersetuju supaya ‘pencemar bahasa kebangsaan’ itu didenda RM1,000.
“Bagaimanapun denda itu akan hanya dikenakan selepas pihak terbabit gagal membuat pembetulan setelah teguran dibuat oleh Ketua Pengarah DBP.
“Tindakan (denda) tersebut boleh dikenakan kepada mereka yang enggan membetulkan kesalahan penggunaan bahasa pada papan tanda, notis, papan kenyataan dan juga kandungan bahan-bahan penyiaran. Utusan Malaysia - 5 Oktober 2006.


Sebagai seorang graduan dalam bidang Linguistik dan Bahasa Melayu, saya amat-amat menyambut baiklah perlaksanaan tersebut kerana selama ini kita hanya menyaksikan bahasa kebangsaan kita diperlakukan sesuka hati tanpa pembelaan yang sewajarnya oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya daripada DBP sendiri. Lebih malang lagi penghinaan sebegini dilakukan sendiri oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada rakyat dalam soal memartabatkan bahasa Kebangsaan.

Jadi diharapkan juga penguatkuasaannya kelak akan dilakukan secara menyeluruh tanpa mengira kedudukan seseorang itu. Jangan nanti hanya 'ikan bilis' sahaja yang didakwa sedangkan 'si jerung' yang selama ini begitu rajin mencemarkan bahasa terlepas begitu sahaja. Sebut juga tentang penguatkuasaan bahasa kebangsaan, saya masih tetap dengan pendirian saya bahawa hak Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi subjek sains dan matematik mestilah dikembalikan. Jika tidak hanya sia-sia sahajalah kenyataan menteri berkenaan dalam perenggan di bawah ini;

“Dalam jangka masa panjang, kita mahu melihat bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu, bukannya sekadar bahasa sampingan sahaja. Utusan Malaysia - 5 Oktober 2006.

Seperti yang pernah saya sebutkan dahulu bahawa sejak dari dahulu lagi Bahasa Melayu telah terbukti kemampuannya dalam mengungkap pelbagai bidang ilmu termasuk ilmu yang teknikal seperti sains dan matematik. Tetapi jika dalam menyampaikan kedua-kedua bidang ilmu yang penting ini pun peranannya dinafikan, maka tidak perlulah sebut tentang penguatkuasaan bahasa.

posted by Lidah Penghunus @ 11:29 PM   0 comments

Wednesday, October 04, 2006

Operasi syahid mula rancak di bulan Ramadhan.

Assalamualaikum.

Melihatkan akhbar hari ini yang melaporkan tentang siri-siri serangan diikuti kematian anggota tentera Amerika di Iraq memperlihatkan kepada kita bahawa pada bulan Ramadhan yang mulia ini tentera-tentera Allah akan sentiasa berusaha untuk mengulangi sejarah kemenangan perang Badar dan beberapa kejayaan umat islam terdahulu.

Sekurang-kurangnya enam lagi tentera Amerika Syarikat maut dalam beberapa kejadian serangan di Baghdad dan barat Iraq dalam tempoh 48 jam lalu.
Tentera Amerika dalam satu kenyataan berkata, seorang askarnya mati di barat daya Baghdad selepas konvoinya diserang.Dua yang lain pula ditembak mati dalam serangan berasingan di utara ibu negara Iraq, kelmarin.
“Seorang lagi anggota mati akibat kecederaan yang dialaminya dalam satu letupan bom ke barat Baghdad,” kata tentera penceroboh itu.Dua askar Marin Pasukan Rejimen 7 Amerika yang beroperasi di barat berhampiran wilayah Al-Anbar, juga mati akibat cedera sewaktu bertempur dengan kumpulan penentang.
Ini menjadikan korban terbaru tentera penceroboh itu di Iraq kepada 2,718 orang sejak pencerobohan mereka pada 2003, berdasarkan kiraan agensi berita Agence France-Presse dan maklumat Pentagon. Berita Harian - 4 Oktober 2006.

Bagi kita umat islam di negara ini pula, bulan Ramadhan yang mana makbulnya doa kita yang berpuasa ini maka pada masa inilah kita harus memperbanyakkan doa untuk saudara-saudara kita di sana. Kita ambil kesempatan dalam bulan Ramadhan yang berkat ini untuk menghulurkan doa Qunut Nazilah untuk saudara-saudara kita yang sedang dilanda pergolakan di negara mereka. Semoga kejayaan perang Badar akan terus berulang.

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Tuesday, October 03, 2006

Permohonan maaf Kuan Yew seperti juga permohonan maaf Pope Benedict XVI.

Assalamualaikum.

Melalui surat yang diutuskan oleh Pak Lah kepada Lee Kuan Yew beserta bantahan kerajaan Republik Indonesia akhirnya menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew telah mengutuskan permohonan maaf kepada kerajaan Malaysia khususnya perdana menteri atas kenyataan biadabnya tempoh hari.

“Saya minta maaf kerana apa yang saya katakan telah menyebabkan ketidakselesaan. Selepas sedekad hubungan bermasalah dengan pemimpin sebelum anda, perkara seperti ini tidak diingini langsung,” katanya dalam suratnya bertarikh 29 September yang diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T. Jasudasen hari ini. Utusan Malaysia - 3 Oktober 2006.

Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew (gambar) dalam surat penjelasan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dakwaan beliau bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, meminta maaf kerana kenyataannya itu menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri. Berita Harian - 3 Oktober 2006.

Jika kita perhalusi perenggan daripada dua akhbar perdana di atas, permohonan maaf Lee Kuan Yew ini sebenarnya tiada bezanya dengan permohonan sambil lewa oleh Pope Benedict atas kebiadabannya yang mengguris hati umat islam beberapa minggu yang lalu. Permohonan maaf yang diungkapkan tanpa bersungguh-sungguh dan hanya sekadar syarat untuk memuaskan hati Pak Lah sahaja dan lebih malang lagi ianya disifatkan oleh pelbagai pihak lebih untuk mempromosikan kemenangan Singapura ke atas Malaysia dalam beberapa isu. Jika benar pun menteri mentor Singapura itu memohon maaf dan akui akan kesalahannya, ianya tidak cukup dengan hanya sekadar permohonan maaf dan kita mahu bekas ketua menteri Singapura ini memastikan bahawa ketelanjurannya tidak diulangi lagi pada masa akan datang.

Tidak perlu Lee Kuan Yew masuk campur dalam urusan negara jiran. Bagi saya adalah lebih baik jika Kuan Yew jadi seperti bekas rakan sejawatannya, Tun Dr Mahathir yang sekarang bertindak seperti nyamuk yang membingit terhadap kepincangan yang berlaku dalam kerajaan. Sebut pula tentang permasalahan dengan pemimpin yang terdahulu yang merujuk kepada Tun Dr Mahathir yang disebut dalam surat Lee Kuan Yew itu, jika tuan-tuan masih ingat Dato' Nazri Aziz pernah menyarankan kepada Tun Dr Mahathir mencontohi Lee Kuan yew sebagai menteri mentor Singapura. Tetapi sekarang ini sudah ternyata bahawa adalah lebih baik lagi Tun yang hanya menumpukan soal-soal pentadbiran dalam negaranya sendiri tanpa mahu bertindak melukakan hati negara jiran.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Monday, October 02, 2006

Tabiat akhbar perdana - Kalau tak baca sepenuhnya memang akan terkeliru

Assalamualaikum.

Nak cerita sedikit tentang satu tabiat buruk akhbar-akhbar perdana di negara kita yang suka sangat mengelirukan rakyat terutamanya berkenaan berita-berita yang berkaitan dengan parti pembangkang. Ianya jelas seperti tertera dalam tajuk akhbar edisi internet seperti di bawah ini.

Kelantan anjur konsert artis wanitaKOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan akan menganjurkan konsert penyanyi wanita tempatan pertama di negeri ini pada 18 November depan, selepas diharamkan sejak mula mentadbir Kelantan lebih 15 tahun lalu. berita penuh Berita Harian - 2 Oktober 2006.

Dengan hanya membaca tajuk berita di bawah ini menggambarkan seolah-olah bahawa kerajaan Pas Kelantan sudah pun melonggarkan enakmen kawalan hiburan dengan menghalalkan persembahan nyanyian oleh wanita di tempat-tempat terbuka seperti yang diamalkan dalam pemerintahan Umno dan Barisan Nasional. Bagi mereka yang jenis rajin membaca tajuk berita sudah tentu akan menganggap bahawa Pas telah hilang prinsip apabila membenarkan wanita menyanyi di negeri tersebut.

Tetapi apabila kita membaca berita sepenuhnya, rupa-rupanya konsert penyanyi wanita seperti yang dimaksudkan hanyalah dilaksanakan untuk pendengaran kaum wanita dan hanya dilakukan di tempat tertutup dan dikendalikan sepenuhnya oleh kaum wanita. Saya sendiri pun apabila terbaca sahaja tajuk berkenaan, saya sudah dapat agak bahawa tajuk berkenaan sahaja disensasikan untuk menimbulkan kekeliruan.

Ini bermakna pendirian kerajaan Pas Kelantan tetap lagi seperti 15 tahun dahulu iaitu wanita dilarang memperlunakkan suaranya di khalayak ramai. Cumanya baru hari ini mereka mendapat satu mekanisma bagaimana persembahan artis wanita ini boleh disampaikan hanya kepada kaum wanita sendiri. Bagi saya ini adalah satu perkembangan yang positif bagi kerajaan di bawah pemerintahan ulama' yang membawa cara hidup islam kepada masyarakat.

posted by Lidah Penghunus @ 10:59 PM   0 comments


Free Hit Counter