Wednesday, February 15, 2006

Dari manalah agaknya Pak Lah dapat 'ilham'?

Assalamualaikum.

Bila sahaja mendengar kenyataan bahawa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat ilham dalam merombak kabinet maka tergambarlah di fakulti minda kita bahawa rombakan tersebut sesuatu yang akan membawa kepada pembersihan kepada kabinet yang selama ini layaknya digelar sebagai kabinet dapur yang penuh dengan kotoran-kotoran degil yang harus disingkirkan.

Namun sedalam-dalam kecewa dibuatnya apabila kabinet yang dirombak masih mengekalkan mereka yang selama ini mencemarkan kabinet yang terbentuk. Alasannya kepakaran mereka masih diperlukan dalam memajukan ekonomi negara dan seterusnya menjayakan Rancangan Malaysia ke-9. Jelas di sini bahawa dalam mengejar matlamat kemajuan kebendaan semata-mata, seseorang itu mempunyai rekod salahlaku yang buruk pun tidak mengapa, asalkan dia mempunyai kepakaran dalam memajukan ekonomi.

Sedangkan mereka lupa bahawa antara faktor utama yang menghalang sesuatu program pembangunan ekonomi yang dirancang selama ini adalah kerana golongan-golongan yang diberikan amanah namun tidak menjalankan amanah dengan sempurna, sesuatu dasar pembangunan itu telah dirancang dengan begitu cantik sekali namun begitu tangan-tangan korup ini jugalah yang telah menggagalkannya, projek pembangunan yang dijalankan tidak sampai ke golongan sasaran, ianya terkandas ditangan-tangan korup pemimpin yang tidak amanah ini. Setinggi mana pun kepakaran yang dimiliki oleh sesebuah negara itu, namun jika dalam masa yang sama index rasuah negara tersebut juga tinggi, lambat laun sesebuah negara itu akan hancur juga.

Kembali kepada ilham Pak Lah tentang rombakan kabinet itu tadi, jika ilhamnya itu masih memandunya agar mengekalkan golongan-golongan yang korup, adakah boleh dikatakan ilham itu datang dari unsur-unsur yang baik?

posted by Lidah Penghunus @ 1:16 PM   0 comments

Wednesday, February 08, 2006

Rasulullah dihina, Hari Valentine disambut.

Assalamualaikum.

Ketika umat islam di seluruh dunia termasuk di negara kita berasa amat-amat tersinggung dengan perbuatan yang amat-amat biadab sebuah akhbar di Denmark menyiarkan karikatur mempersendakan nabi junjungan kita, di ruangan surat pembaca pada sebuah akhbar pula menyiarkan pendapat seorang pembaca berbangsa melayu yang beragama islam bersungguh-sungguh mempertahankan sambutan hari valentine atas alasan tuntutan berkasih sayang. Adalah menjadi satu yang janggal apabila orang islam sendiri beriya-iya sekali mempertahankan sambutan yang bukan sahaja berasaskan ajaran islam malahan ianya bukan dari budaya melayu

Apa yang saya nampak pembaca ni seolah-olah tidak pernah mengambil tahu tentang isu semasa dunia islam apabila mendakwa fatwa tentang haramnya sambutan Valentine tidak disertakan dengan hujah yang kukuh sedangkan sudah banyak artikel yang menjelaskan tentang pengharaman sambutan hari Valentine berpandukan quran dan hadis. Dalam surat tersebut penulis berkenaan mempersoalkan penggunaan hadis yang bermaksud orang yang menyerupai suatu kaum maka dia akan tergolong kedalam kaum tersebut dalam hujah mengharamkan sambutan hari Valentine. Pembaca berkenaan mengatakan jika menggunakan hadis tersebut maka kaum bukan islam yang memakai baju melayu atau tudung juga akan menjadi golongan melayu atau islam. Persoalannya sekarang kita mahu menjaga akidah umat islam, persoalan orang bukan islam ingin menyerupai mana-mana kaum pun itu mereka punya hak kerana mereka memang sudah kafir. Agama mereka sendiri pun tidak melarang penganutnya menyerupai mana-mana kaum.

Dalam surat itu juga pembaca berkenaan mempersoalkan fatwa yang membolehkan umat islam merayakan tahun baru cina kerana ianya perayaan budaya, bukan agama atas alasan semasa tahun baru cina kaum tiong hua akan bersembahyang di tokong dan melakukan upacara ritual yang berkaitan dengan agama anutan mereka. Ini sepatutnya tidak menjadi persoalan kerana kebetulan majoriti kaum cina adalah beragama budha, jadi tidak hairanlah mereka akan menjalankan sekali upacara keagamaan mereka, seperti juga perayaan hari menuai dalam budaya masyarakat melayu yang beragama islam, sudah tentulah mereka akan mengadakan sekali kenduri doa selamat sebagai tanda kesyukuran dalam sambutan yang menjadi resam kaum melayu itu.

Jadi inilah dia antara bukti yang kita nampak betapa kebanyakan umat islam di negara kita kurang sensitif tentang isu yang menyentuh agama islam, mereka telah dilekakan dengan perayaan-perayaan dari barat yang berselindung disebalik nama kasih-sayang bertujuan untuk merosakkan generasi muda islam. Sudah jelas kita lihat bahawa sambutan hari valentine ini banyaknya disambut oleh pasangan kekasih bukan muhrim yang masih belum berumahtangga, buktinya dalam satu serbuan oleh jabatan agama semasa perayaan tersebut, didapati begitu banyak pasangan yang ditangkap kerana berkelakuan sumbang. Dalam isu penghinaan terhadap nabi junjungan kita ini, adalah amat-amat malang sekali kita di negara yang kononnya negara islam namun pemimpinnya sendiri menyeru kepada rakyatnya agar tidak bertindak tegas terhadap golongan kufar yang menghina Rasulullah saw. Seorang menteri kabinet memberikan kenyataan bahawa tidak perlu berdemonstrasi, tidak perlu pulau-memulau atas isu penghinaan ini kerana ianya akan menutup isu yang dianggap besar iaitu pembunuhan dan penindasan terhadap umat islam. Adakah penghinaan terhadap rasul umat islam perkara kecil? sedangkan orang yang mati kerana mempertahankan islam dan maruah nabi Muhammad saw akan mendapat kelebihan syahid.

Sebenarnya ini tidak menjadi satu kehairanan bagi kita kerana sebelum ini pun islam dan rasulullah telah dihina dilembaran akhbar dan majalah yang diterbitkan di negara kita sendiri dan ianya dipandang sepi oleh pemimpin-pemimpin yang melaungkan islam hadhari ini.

posted by Lidah Penghunus @ 5:34 PM   0 comments

Tuesday, February 07, 2006

Berkuburnya sebuah akhbar jawi terakhir

Assalamualaikum.

Setelah 67 tahun berada persada media cetak tanah air, setelah hampir 40 tahun bergelut akibat penghapusan sistem tulisan jawi dalam perancangan Bahasa Melayu sehingga terpaksa dituruntarafkan kepada akhbar tabloid mingguan, akhirnya 2006 menyaksikan jasa kerajaan dalam mengubah tulisan jawi kepada sistem tulisan rumi hampir 40 tahun yang lalu akhirnya telah berjaya menamatkan riwayat sebuah akhbar tunggal bertulisan jawi akibat daripada tingginya tahap buta jawi dikalangan rakyat Malaysia khususnya orang melayu.

Penghapusan tulisan jawi dalam sistem ejaan Bahasa Melayu ini bukan sahaja memberi kesan kepada tahap celik jawi rakyat malahan tidak secara langsung ianya juga telah mengakibatkan ramai dikalangan rakyat terutamanya generasi muda muslim mengalami masalah buta al quran termasuklah diri saya sendiri. Amatlah malang sekali apabila sudah merdeka, sudah bebas dari cengkaman penjajah namun masih teruskan sistem penjajah, terus berbangga dengan apajua yang dibawa oleh penjajah atas alasan kononnya untuk kemajuan. Adakah benar tulisan rumi boleh membawa kemajuan dan pemodenan? adakah dengan menggunakan tulisan jawi kemajuan akan sukar dicapai? Kita lihat negara Jepun yang bukan sahaja bahasanya dipertahankan malahan tulisannya juga dikekalkan dalam sistem ejaan bahasa Jepun, namun terbukti negara matahari terbit itu lebih maju dari negara kita.

Jika dikaji dari sudut sistem ejaan, sistem tulisan jawi seperti juga tulisan rumi mempunyai sistem ejaan yang begitu sistematik dan bersifat mesra pengguna kerana proses untuk mengenalnya sebagai lambang atau simbol bahasa adalah bermula dengan mengenal simbol-simbol huruf yang mempunyai sistem ejaannya yang tersendiri dan melalui susunan simbol-simbol atau lambang huruf inilah yang membentuk lambang atau simbol bunyi dan makna sesuatu perkataan. Bila seseorang itu sudah benar-benar kenal akan huruf maka ianya bukan lagi dibaca dalam bentuk ejaan lagi, ianya akan dikenalpasti dalam bentuk lambang. Misalnya simbol 'ayam' yang mewakili perkataan atau rupa bagi haiwan yang bernama ayam, bagi yang sudah mahir membaca maka ianya bukan lagi melihat kepada ejaan a.y.a.m tetapi 'ayam' itu adalah simbol atau lambang bagi haiwan yang dipanggil ayam itu.

Ini berbeza bagi sistem yang hanya berasaskan simbol atau lambang misalnya sistem tulisan dalam bahasa Mandarin yang juga dikenal sebagai Han Yu Pin Yin, ianya tidak mempunyai simbol huruf, namun begitu hanya memiliki simbol bagi bunyi sebutan atau fonetik, suatu tulisan atau simbol itu mewakili satu perkataan dalam bahasa mandarin, misalnya perkataan sungai maka tulisan yang dapat kita lihat ialah satu bentuk lambang atau simbol menyerupai cabang sungai. Bayangkan ada beribu-ribu perkataan dalam bahasa mandarin, maka beribu-ribu lambang atau simbol yang perlu dihafal oleh punutur bahasa Mandarin. Saya sendiri pernah mencuba mengambil kursus bahasa Mandarin sebagai kursus elektif teras dalam pengajian linguistik di universiti, namun ianya ternyata begitu sukar bagi saya yang sudah biasa bermain dengan huruf. Akhirnya saya beralih kepada bahasa Tamil, sistem tulisan dalam bahasa Tamil pula mungkin agar mudah sedikit berbanding dengan sistem tulisan bagi bahasa Mandarin kerana simbol atau lambang perkataannya dibina dengan gabungan sukukata, maka penutur bagi bahasa ini hanya perlu menghafal setiap lambang atau simbol bunyi bagi setiap suku kata.

Berbalik kepada persoalan tulisan jawi itu tadi, saya amat kagum dengan pensyarah saya di Jabatan Bahasa Melayu dahulu bagaimana kesungguhan beliau bagi memastikan akhbar Utusan Melayu itu tidak terkubur begitu sahaja, setiap keluaran beliau akan langgan malahan beliau sering mengambil perkembangan bilangan jualan akhbar tersebut. Namun apakan daya, sudah sampai 'ajalnya' begitu. Dan ketika tibanya ajal akhbar jawi, kita sedang menunggu apakah kesannya 30 atau 40 tahun lagi apabila sekarang ini Bahasa Melayu pula dinafikan peranan dalam penyampaian bidang ilmu sains dan matematik.

posted by Lidah Penghunus @ 12:21 AM   0 comments


Free Hit Counter