Friday, May 30, 2008

Komen sedikit tentang cadangan untuk meminda AUKU.

Assalamualaikum.

Pindaan AUKU galak pelajar terlibat aktiviti membina.
PUTRAJAYA 29 Mei - Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mampu menggalakkan pembabitan pelajar dalam semua kegiatan yang membina dan konstruktif, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pindaan tersebut bagaimanapun masih diteliti oleh Peguam Negara dan akan diserahkan kepada Kabinet untuk diputuskan sebelum dibentang di Parlimen.
'Jika tidak ada apa-apa aral melintang, pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen pada sesi depan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ditanya sama ada kegiatan membina yang dimaksudkan itu termasuk bidang politik, Najib berkata, semua pihak perlu menunggu sehingga akta tersebut disiapkan.
''Saya bukannya kata tak ada politik. Yang saya maksudkan ialah (penglibatan) konstruktif kerana politik dan politik berparti adalah dua perkara berbeza," Utusan Malaysia - 30 Mei 2008.


Saya menyambut baiklah langkah kerajaan untuk meminda AUKU agar mahasiswa di negara ini dapat dibebaskan daripada kongkongan yang menyekat aktivisme mereka sebagai intelek. Di sini saya setuju bahawa mahasiswa tidak harus terlibat secara langsung dalam politik kepartian. Namun begitu golongan mahasiswa ini haruslah dibenarkan untuk terlibat dalam arus perdana politik negara. Mereka sepatutnya dibenarkan menyatakan apa jua pandangan tanpa rasa takut dicop atau dikaitkan dengan mana-mana parti politik dan mahasiswa ini haruslah digalakkan untuk menjadi penyemak dan pengimbang kepada parti pemerintah.

Ini penting kerana kaum mahasiswa adalah pewaris kepada kepimpinan negara. Maka mereka haruslah didedahkan dengan dunia politik sejak di bangku kuliah lagi. Kita tidak mahu 10 tahun lagi kepimpinan negara kita dipenuhi dengan mereka yang hanya menjadi pak turut tanpa mahu menyuarakan kebenaran di hadapan ketua. Sekarang ini pun kita sudah lihat kesannya apabila kepimpinan negara sekarang ini kebanyakannya takut untuk membuat perubahan dalam kepimpinan tertinggi walaupun sudah jelas kerosakan yang telah dilakukan oleh ketua mereka.

Bagi saya di sini juga bukan sahaja kaum mahasiswa harus dibebaskan daripada kongkongan, ahli akademik di negara ini juga harus bebas untuk menyatakan pendirian mereka dalam satu-satu isu termasuk isu politik tanpa takut dicop atau dikaitkan dengan parti politik tertentu. Ini penting kerana golongan ahli akademik ini menjadi pendidik kepada mahasiswa di dalam kampus. Oleh itu mereka berperanan untuk mencorak kepimpinan pelajar dan seterusnya menyediakan kepimpinan negara pada masa akan datang.

Untuk ini juga kita minta agar kerajaan dan pentadbiran universiti di negara ini memulihkan pilihanraya kampus di negara ini. Kita mahu pilihanraya kampus dikembalikan seperti mana zaman saya belajar dahulu di mana suasana pilihanrayanya menyamai pilihanraya umum di negara ini. Ini penting kerana pilihanraya ini adalah salah medium untuk mendedahkan mahasiswa kepada dunia politik dan kepimpinan. Kita tidak mahu sistem pilihanraya kampus yang sekarang ini yang tidak mengikut realiti pilihanraya yang sebenar.

posted by Lidah Penghunus @ 6:17 PM   0 comments

Thursday, May 29, 2008

Adakah mereka mahu Pas menggunakan pendekatan revolusioner?

Assalamualaikum.

Masih lagi berkenaan ruangan surat pembaca Utusan Malaysia. Akhir-akhir ini kita lihat Pas sering dipersalahkan kerana gagal menutup pusat hiburan dan kilang arak di negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Mereka menganggap Pas sudah membuang agenda Negara Islam mereka dan tunduk kepada DAP. Melihatkan kepada komen-komen pembaca dalam akhbar Utusan ini ianya seolah-oleh mereka adalah pengundi Pas yang mahukan agar Islam sepenuhnya dilaksanakan oleh Pas yang telah dapat mentadbir Negeri Selangor dan Perak setelah bergabung dengan PKR dan DAP.

Di sini saya ingin bertanya adakah mereka mahu Pas menggunakan pendekatan revolusi bersenjata dalam perjuangannya untuk menegakkan Negara Islam? Saya percaya dengan kemantapan tarbiah yang tinggi, ahli-ahli Pas bila-bila masa sahaja bersedia untuk mengangkat senjata jika Majlis Syura Ulama' Pas mengeluarkan arahan agar Pas mengubah pendekatan perjuangannya daripada demokrasi ke revolusi bersenjata. Pada masa itu tiada lagi kerjasama dengan PKR dan DAP. Kerajaan BN akan ditumbangkan dengan cara kekerasan dan Pas akan mengambil alih pemerintahan negara dan seterusnya melaksanakan Islam sepenuhnya.

Namun begitu jika Pas tidak sabar dan mengambil keputusan terburu-buru untuk menggunakan pendekatan sedemikian, sama ada gerakan Islam itu akan berjaya menubuhkan sebuah Negara Islam tetapi mendapat tekanan antarabangsa dan mengundang konflik yang berpanjangan atau Gerakan Islam itu akan gagal, Pas akan diharamkan, pemimpinnya akan ditahan bawah ISA dan
akibatnya Pas tidak dapat lagi menjalankan kerja-kerja dakwah seperti yang dapat dilakukan sekarang.

Oleh sebab itulah Pas terus percaya kepada pendekatan demokrasi dan pilihanraya. Walaupun pendekatan ini lambat namun Pas tetap dapat menjalankan kerja-kerja dakwah dan amal maaruf nahi mungkar di negara ini. Misalnya di Negeri Selangor walaupun Pas tidak dapat menutup pusat-pusat hiburan dan judi kerana tidak memerintah sepenuhnya Negeri Selangor namun melalui exco agama daripada Pas, Pendidikan Islam dapat dikembangkan di negeri itu dengan lebih berkesan. Penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan untuk menghalang orang Islam daripada mengunjungi tempat-tempat yang dilarang oleh Islam.

Pengharaman Islam Hadhari adalah salah satu langkah Pas untuk menghentikan penyebaran fahaman yang menyeleweng daripada Islam yang sebenar. Sudah jelas bahawa Islam Hadhari yang dibawa oleh Umno adalah semata-mata untuk menyaingi Pas dan pendekatannya agar umat Islam di negara ini terus menyokong Umno. Penstrukturan semula pentadbiran masjid di seluruh Negeri Selangor pula adalah untuk memastikan program-program yang bertujuan memberikan pemahaman Islam yang sebenar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Ini semua adalah usaha jangka panjang agar satu hari nanti rakyat di Negeri Selangor ini benar-benar faham akan Islam dan seterusnya menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

Di akhir perenggan ini marilah kita renungi bersama kisah usaha dakwah Rasulullah SAW ke Taif. Dalam usaha dakwah baginda itu Rasulullah SAW telah dihalau dan dilempar dengan batu oleh penduduk Taif. Lantaran itu malaikat telah menawarkan untuk menimpa penduduk Taif dengan bukit uhud namun Rasulullah tolak kerana percaya bahawa generasi akan datang penduduk Taif akan menerima Islam.

posted by Lidah Penghunus @ 5:58 PM   2 comments

Wednesday, May 28, 2008

Mereka yang jahil dan dungu dalam ruangan surat pembaca Utusan Malaysia.

Assalamualaikum.

Surat pembaca 1.

SAYA dan mungkin umat Islam yang lain berasa kesal dengan tindakan Datuk Dr. Hassan Ali yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor mengharamkan segala aktiviti dan program yang bersangkutan dengan Islam Hadhari di Selangor. Aksi beliau semasa berhujah boleh disaksikan dalam Buletin Utama TV3. Begitu bersemangat sekali beliau memperjuangkan untuk mengharamkan apa yang tidak diharamkan. Sempat lagi membacakan ayat-ayat al-Quran untuk menguatkan lagi tindakan beliau itu. Pesanan saya biarlah Majlis Mufti yang mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan segala aktiviti yang berkaitan dengan Islam Hadhari.
Selepas sahaja saya menyaksikan aksi beliau di kaca televisyen, terlintas di fikiran saya mengapa aksi bersemangat begitu tidak ditunjukkan semasa isu projek ternakan babi di Sepang yang telah pun diluluskan oleh Kerajaan Selangor tempoh hari. Jika beliau ikhlas untuk menegakkan kebenaran Islam di negeri Selangor mengapa beliau tidak menentang sekeras-kerasnya kelulusan projek tersebut. Terdapat banyak ayat al-Quran yang memberitahu kepada semua umat manusia bahawa babi adalah tergolong dalam najis berat dan haram disentuh apa lagi untuk dijamah dagingnya. Mengapa tidak terbaca ayat-ayat tersebut sedangkan al-Quran itu untuk dibacakan kebenarannya kepada seluruh umat manusia tidak kira agama dan bangsa.

Antikhinzir Bayan Lepas, Pulau Pinang.

SMS 1.

DR.HASSAN ALI patut ambil iktibar agama lain. Tak sibuk pun hendak tukar ahli jawatankuasa kuil, tokong dan gereja mereka setiap kali selepas pilihan raya.- MALU.

SMS 2.

HAIRAN kenapa pusat hiburan makin banyak di Selangor di bawah kerajaan campuran PKR-DAP-Pas. Pemimpin Pas buat apa, takkan jadi boneka.- SILAP UNDI.

SMS 3.

KERAJAAN Selangor haramkan Islam Hadhari atas alasan Selangor sudah cukup Islam. Dengan ‘menghalalkan’ ladang babi dan pusat-pusat hiburan, Islam apakah namanya itu?- YEOP IPOH.

Utusan Malaysia sebagaimana yang kita tahu adalah haiwan politik kepada Barisan Nasional yang sehingga kini berusaha untuk memburuk-burukkan parti pembangkang dan juga kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat. Maka ruangan surat dan SMS pembacanya juga bertujuan untuk memburukkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Akibatnya Utusan Malaysia bukan sahaja sanggup memberikan ruang kepada mesej-mesej yang berunsur hasutan dan perkauman, malahan akhbar ini menjadi medan kepada mereka yang jahil dan dungu yang pendek akalnya memberi pendapat.
Lihatlah surat pembaca 2, adakah antiKHINZIR (baca babi) ini fikir Kerajaan Negeri Selangor hendak bagi umat Islam di negeri itu makan babi? Rasanya tidak perlulah dijelaskan lagi berkenaan isu ladang babi moden ini kerana hanya orang yang dungu sahaja yang tidak mengerti atau buat-buat tidak faham kerana menjadi haiwan politik kepada BN.

Sekarang kita lihat pula SMS 1. Adakah penghantar SMS ini mahu samakan Islam dengan agama Hindu, Budha dan Kristian? Islam adalah agama yang syumul yang menjadi cara hidup sedangkan Hindu dan Budha hanyalah ibadat ritual semata-mata. Belum ada lagi di dunia ini agama lain yang membentuk parti politik untuk menegakkan sebuah negara yang melaksanakan tuntutan agama tersebut. Sedangkan Islam di mana-mana seluruh dunia mesti ada sebuah parti politik Islam yang ditubuhkan dengan matlamat untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Begitulah dengan masjid. Ianya tidak terhad hanya kepada tempat ibadat ritual semata-mata seperti agama lain. Sebab itulah perlantikan AJKnya juga mestilah mereka yang benar-benar mampu untuk menjadikan sesebuah masjid itu hidup dengan pelbagai aktiviti.

Berkenaan SMS 2 dan SMS 3 pula saya sudah menyentuh sedikit berkenaannya semalam. Kita hairan ketika Barisan Nasional memerintah dahulu tiada pun suara daripada pembaca akhbar yang bising berkenaan kewujudan banyak pusat hiburan di Negeri Selangor dan juga Perak. Mengapa kini mereka baru hendak bising? Melihatkan kepada perangai buruk Utusan Malaysia ini tidak hairanlah 5 kerajaan negeri bawah Pakatan Rakyat sudah mula kempen untuk memulaukan akhbar-akhbar yang diperkudakan oleh Barisan Nasional ini.

posted by Lidah Penghunus @ 6:08 PM   3 comments

Tuesday, May 27, 2008

Bila Selangor haramkan Islam Hadhari.

Assalamualaikum.

Semalam dalam sidang Dun Selangor, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk mengharamkan terus sebarang program yang berkaitan Islam Hadhari. Seperti mana biasa tindakan kerajaan negeri bawah Pakatan Rakyat ini telah mendapat kritikan daripada pemimpin dan ahli Umno. Jika tuan-tuan lihat berita jam lapan malam sebentar tadi antara yang mengkritik ialah pengerusi Yadim Ustaz Nakhaie yang mengatakan bahawa tindakan kerajaan negeri itu adalah haram. Manakala Menteri Penerangan Ahmad Shabery Cheek pula berkata adalah lebih baik kerajaan Selangor mengharamkan perkara-perkara lain yang lebih utama daripada mengharamkan Islam Hadhari dan tidak ketinggalan mengulas tentang isu itu adalah Timbalan Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di sini sudah jelas bahawa perbuatan menambah Hadhari pada Islam itu adalah haram kerana Islam itu sudah cukup, tidak perlu ditambah-tambah. Jadi adakah tindakan untuk melarang penggunaan Islam Hadhari itu adalah haram? Siapakah sebenarnya yang melakukan perkara haram? Berkenaan kenyataan Menteri Penerangan pula, adakah Umno tidak wajib untuk mengharamkan tempat-tempat maksiat di negeri yang ditadbirkan oleh mereka dan hanya bila Pas mentadbir baru keluar cakap-cakap agar tempat-tempat maksiat di Selangor di tutup?

Yang pastinya mereka yang mengkritik ini tidak pun memberikan ayat-ayat quran atau hadis bagi mempertahankan Islam Hadhari mereka itu. Sedang Dato' Dr Hasan Ali semasa membentangkan cadangan untuk mengharamkan Islam Hadhari pada sidang Dun semalam telah menyertakannya dengan dalil al quran. Jika kita lihat di Terengganu sebaik sahaja Menteri Besar mereka bertukar Exco Islam Hadhari telah dimansuhkan oleh kerajaan negeri. Mengapa puak-puak Umno ini tidak bising?

posted by Lidah Penghunus @ 11:24 PM   0 comments

Monday, May 26, 2008

Untungnya pembangkang di Selangor.

Assalamualaikum.

Berita jam lapan malam sebentar tadi TV3 telah memaparkan ulasan ketua pembangkang bagi Dun Selangor berkenaan satu cadangan kerajaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor siang tadi. Sebelum ini Dr Khir Toyo telah diberi ruang oleh TV3 untuk mengulas apa sahaja yang berkaitan dengan sidang Dun di negeri yang pernah ditadbirnya itu. Nampaknya beruntung ketua pembangkang di Negeri Selangor ini kerana dapat menyuarakan kritikannya terhadap kerajaan negeri setiap kali selepas sidang Dun. Sedangkan pembangkang di negeri yang dikuasai oleh BN tidak berpeluang pun untuk memberikan pandangan mereka berkenaan sidang Dun mahupun tindak tanduk kerajaan di negeri mereka.

posted by Lidah Penghunus @ 10:05 PM   0 comments

Subsidi untuk kekang kenaikan harga barang keperluan.

Assalamualaikum.

Tarik balik subsidi minyak golongan berkemampuan.
KUALA LUMPUR 25 Mei – Kerajaan dicadangkan menarik balik subsidi minyak daripada golongan berkemampuan agar peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk memberi subsidi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ia adalah antara mekanisme yang boleh dilaksanakan bagi menangani kesan kenaikan harga minyak dunia yang semakin meruncing sekarang.
Dengan cara itu, katanya, golongan berpendapatan sederhana dan rendah tidak akan terjejas akibat situasi tersebut.
“Kerajaan tidak boleh berterusan memberi subsidi kepada semua golongan kerana ini akan menyebabkan negara menerima kesan ekonomi yang teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai skim subsidi baru yang akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat ini sebagai usaha menangani kesan kenaikan melambung harga minyak di pasaran dunia sekarang. Utusan Malaysia - 26 Mei 2008.


Secara umumnya saya bersetuju dengan cadangan untuk memberikan subsidi hanya kepada golongan yang berpendapatan rendah ini. Dengan cara ini kerajaan tidak perlu untuk menanggung jumlah subsidi yang terlalu besar akibat memberikan subsidi kepada semua golongan termasuk mereka yang pendapatannya jauh lebih tinggi. Dan yang wang terselamat daripada penarikan subsidi untuk golongan kaya ini boleh digunakan untuk kepentingan rakyat.

Cuma apa yang hendak saya beritahu di sini kenaikan harga minyak adalah faktor utama kepada kenaikan kebanyakan harga barangan keperluan di pasaran negara ini. Maka adalah amat penting untuk kerajaan memberikan subsidi agar kos pengeluaran barangan keperluan pengguna di negara ini dapat dikekang. Seterusnya ini akan memberikan faedah kepada rakyat umumnya.

posted by Lidah Penghunus @ 9:31 PM   0 comments

Sunday, May 25, 2008

Zaman Pak Lah banyak yang hilang.

Assalamualaikum.

Pada zaman Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, BN telah mengalami kemerosotan yang teruk pada pilihanraya umum ke-12 apabila hilang lima negeri dan dua pertiga majoriti. Kelmarin semasa zaman Pak Lah juga Malaysia telah kehilangan Pulau Batu Putih yang kini dimiliki oleh Singapura. Umno juga telah kehilangan tokoh bapa pemodenan negara apabila Tun keluar parti. Dan yang paling penting semasa kepimpinan Pak Lah kita rakyat telah kehilangan nikmat kemakmuran ekonomi apabila segalanya naik. Kita juga kehilangan jaminan keselamatan apabila berlakunya peningkatan kadar jenayah. Duit kita juga telah hilang berjuta-juta begitu sahaja akibat rasuah. Semua ini terjadi pada masa Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Barisan Nasional sebagai parti pemerintah. Maka adalah lebih baik sahaja Pak Lah melepaskan urus tadbir negara ini ke tangan Pakatan Rakyat yang sudah bersedia bila-bila masa sahaja untuk menjadi kerajaan di peringkat persekutuan.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Friday, May 23, 2008

Mereka yang tidak berhati perut.

Assalamualaikum.

‘Kelab suka ria’ ancam keselamatan Parlimen.
KUALA LUMPUR 22 Mei – Tindakan pembangkang bersekongkol dengan pihak tertentu menggunakan Parlimen bagi mencapai kepentingan peribadi termasuk oleh pertubuhan haram Hindraf bukan sahaja mencemar kemuliaan institusi itu tetapi juga mengancam keselamatan para wakil rakyat yang bersidang.
Jika orang luar boleh keluar masuk dengan bebas melalui bantuan beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk menganjurkan sambutan hari jadi di lobi bangunan Parlimen semalam, menunjukkan tahap keselamatannya sangat rendah.
Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang kecewa dengan perkara itu berkata, selepas pilihan raya umum lalu, Dewan Rakyat seolah-olah terbuka kepada sesiapa sahaja.
“Orang luar seolah-olah boleh keluar masuk dan lakukan apa sahaja,” katanya ketika mencelah sesi penggulungan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazri Aziz di Parlimen hari ini.
Semalam, lobi Parlimen bertukar menjadi ‘kelab suka ria’ apabila beberapa anggota pembangkang membawa masuk sekumpulan 20 orang awam bagi mengadakan majlis hari jadi anak seorang pemimpin Hindraf. Utusan Malaysia - 23 Mei 2008.


Mereka pemimpin Barisan Nasional mengatakan bahawa Parlimen adalah tempat yaang mulia yang tidak sepatutnya dijadikan tempat bersukaria. Tetapi mereka tidak nampak bahawa insan yang menyambut hari lahir itu adalah seorang kanak-kanak yang bapanya telah ditahan bawah ISA. Majlis hari jadi itu sengaja diadakan di bangunan parlimen bagi memperlihatkan kepada wakil-wakil rakyat sekalian tentang seorang yang masih kanak-kanak yang kehilangan kasih sayang bapa angkara undang-undang ISA yang zalim. Namun mereka daripada Barisan Nasional ini nampaknya sungguh tidak berhati perut apabila tidak mempedulikan nasib keluarga tahanan ISA ini tetapi lebih mementingkan kononnya kemuliaan parlimen itu sendiri. Sedangkan parlimen itu tempat dimana keadilan itu diperjuangkan.

posted by Lidah Penghunus @ 9:48 PM   0 comments

Wednesday, May 21, 2008

Hishammuddin Tun Hussein tempelak bapa dan datuknya sendiri.

Assalamualaikum.

Tindakan Dr M keluar parti tak beri manfaat.
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti tidak akan memberi sebarang manfaat termasuk kepada bekas Perdana Menteri itu sendiri seperti dilakukan datuknya, Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan bapanya Allahyarham Tun Hussein Onn yang mengambil tindakan serupa.
Beliau berkata, tindakan Dr Mahathir itu tidak wajar dan mengeruhkan lagi keadaan serta mengelirukan ahli yang mahu membina semula kekuatan parti dan bersemangat untuk bergerak ke depan.
"Secara peribadi saya sudah lalui keadaan yang sama apabila datuk saya, Datuk Onn keluar parti dan bapa saya keluar parti. Saya tengok ia tidak memanfaatkan sesiapa pun termasuk tuan punya badan. Berita Harian - 21 Mei 2008.


Nampaknya Ketua Pemuda Umno ini dalam memperkatakan tentang tindakan keluar Umno oleh Tun Dr Mahathir sanggup menemplak tindakan al marhum datuk dan bapanya yang keluar daripada Umno suatu ketika dahulu. Hishammuddin mendakwa bahawa tindakan mereka yang keluar parti ini adalah sesuatu yang sia-sia dan tidak bermanfaat. Adakah beliau tidak pernah berfikir apa sebabnya datuk dan bapanya dahulu bertindak keluar parti? Sudah tentulah mereka sudah nampak bahawa Umno tidak lagi memberikan manfaat kepada perjuangan bangsa Melayu, jauh sekali agama Islam.

posted by Lidah Penghunus @ 9:13 PM   0 comments

Monday, May 19, 2008

Apabila Tun Dr Mahathir keluar Umno.

Assalamualaikum.

Tarikh hari ini sudah pun 9 hari berlalu ulangtahun penubuhan Umno yang ke-62. Namun pada hari ini telah berlaku sesuatu yang amat mengejutkan bukan sahaja kepada ahli Umno, bahkan kepada seluruh rakyat Malaysia apabila Tun Dr Mahathir mengambil keputusan untuk keluar daripada Umno. Saya kira ini adalah satu lagi titik kearah kehancuran Umno apabila bekas presiden sendiri menolak Umno atas dakwaan parti itu bukan lagi pembela orang Melayu.
Ini bukan kali pertama berlaku dalam Umno. Pengasas Umno dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama juga pernah meninggalkan Umno. Namun tindakan Tun ini di kala Umno mengalami kemerosotan dalam pilihanraya yang paling teruk dalam sejarah. Ditambah pula berlakunya krisis kepimpinan dalam Umno. Maka tindakan keluar Umno oleh Tun ini tidak mustahil akan menyumbang kepada tumbangnya Umno dan Barisan Nasiomal di peringkat pusat. Walaupun Tun dikatakan tidak mahu ahli parlimen yang ikut jejak langkahnya menyertai mana-mana parti yang lain. Namun jika yang keluar itu bilangannya besar dan menyebabkan BN hilang majoriti mudah maka BN akan tumbang juga dan Pakatan Rakyat tetap akan ambil alih pemerintahan negara.

posted by Lidah Penghunus @ 11:06 PM   2 comments

Saturday, May 17, 2008

Antara Amy Search dan Faizal Tahir.

Assalamualaikum.

Pada cuti hari Sabtu ini saya ingin menyentuh sedikit tentang dunia artis masa kini namun ianya ada berkaitan dengan dunia politik hari ini. Di sini saya tertarik dengan berita yang disiarkan oleh Harakahdaily pada awal Mei yang lepas berkenaan kunjungan Mursyidul Am Pas Tok Guru Nik Abdul Aziz ke restoran milik Amy Search di Wangsa Maju.



Siapa tidak kenal dengan Amy Search seorang vokalis kumpulan rock yang mula mencipta nama bermula era 80-an dan kemantapan vokalnya masih tidak luntur hingga ke hari ini. Kumpulan Search yang disertai beliau pernah menjadi antara kumpulan rock gergasi yang menggegarkan persada muzik rock tanah air. Saya dahulunya juga adalah antara penggemar muzik kumpulan Search yang amat bertenaga itu.

Jika sebut pula tentang pakaian dan penampilan, saya percaya tuan-tuan juga tidak akan lupa bagaimana penampilan Amy pada mula-mula kemunculannya dan sepanjang beliau berada dalam kumpulan Search. Dengan rambut yang panjang mengerbang, dengan seluar getah yang ketat dan pelbagai aksesori diri seperti rantai Hippies, subang telinga dan pelbagai lagi. Melihat penampilan yang sebegitu kita tidak akan terfikir yang Amy Search akan boleh duduk bersama-sama tokoh ulama' yang terkemuka dalam Pas iaitu Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Bagi saya inilah hasilnya keterbukaan Pas yang mula membuka pintu hubungan dengan artis tanah air beberapa tahun yang lalu. Tindakan Pas ini tidak sampai menjadikan kita terikut-ikut dengan mereka, sebaliknya golongan artis pula yang telah mula mendekatkan diri dengan keindahan Islam. Buktinya sekarang ini Amy Search yang dahulunya rock kini telah mula berjinak-jinak dengan lagu berunsurkan dakwah.

Namun begitu sedang Amy Search menuju ke arah hiburan Islam, kita sedih dengan Faizal Tahir yang dahulunya seorang anggota kumpulan nasyid Mirwana kini meninggalkan lagu-lagu dakwah dan menyanyikan lagu-lagu berunsurkan rock. Malahan yang amat menyedihkan beliau yang telah meninggalkan hiburan nasyid telah melakukan tingkah laku sumbang ketika persemabahannya yang menyebabkan beliau digantung daripada membuat persembahan.

Apa yang hendak saya sebutkan di sini, inilah dia kemuliaan yang dijanjikan jika memilih Islam dan kehinaan jika meninggalkan Islam. Amy Search yang dahulunya rock kini mendapat kemuliaan apabila dapat duduk bersama-sama dengan ulama' kerana beliau telah mula cenderung kepada Islam. Sedangkan Faizal Tahir yang telah beralih daripada irama nasyid ke irama rock walaupun kebelakangan ini sering mendapat anugerah dalam industri muzik tetap mendapat kehinaan apabila ulama' iaitu Mufti Perlis sendiri menolak beliau daripada membuat persembahan di Negeri yang dipanggil Darul Sunnah itu.

Walau bagaimanapun bagi kita Pas tidak seharusnya meninggalkan artis bernama Faizal Tahir ini. Saya percaya masih ada lagi ruang untuk Pas mendekati artis yang berimejkan Superman ini.

posted by Lidah Penghunus @ 10:48 AM   1 comments

Thursday, May 15, 2008

Bloggers bersedia untuk menegur kerajaan Pakatan Rakyat.

Assalamualaikum.

Dalam pada itu, Nizar turut meminta para blogger yang dahulunya lantang mengkritik kelemahan BN agar berbuat serupa terhadap kelemahan yang dilakukan Pakatan Rakyat.
"Kalau dulu saudara-saudara kritik dengan begitu hebat BN, maka sekarang untuk mengkritik Pakatan Rakyat juga perlu diteruskan, dalam menyatakan kebenaran," tegas beliau lagi, sambil menerima tepukan gemuruh daripada para blogger dan hadirin.
Majlis makan malam itu diadakan sebagai tanda penghargaan PAS kepada para media, termasuk blogger yang memainkan peranan besar dalam memberikan keputusan pilihan raya umum, 8 Mac lalu.
Majlis tersebut turut dihadiri Lajnah Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh; Timbalan Ketua Muslimat, Wan Hasrina Wan Hassan; ahli-ahli Parlimen PAS; Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu; pimpinan PAS di peringkat negeri, pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan isteri; blogger Sang Kelembai, dan beberapa blogger lain.

Di petik dari pada laman web http://www.harakahdaily.net - 14 Mei 2008.

Sebagai blogger saya menyambut baik seruan YAB Nizar itu demi untuk kepentingan rakyat khususnya di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Selepas sahaja pilihanraya umum ke-12, penulis-penulis blog politik di negara ini khususnya yang cenderung kepada parti pembangkang telah memasuki suatu dimensi dalam penulisan blog. Mereka bukan lagi hanya menjadi pengkritik kepada kerajaan Barisan Nasional khususnya di peringkat persekutuan.

Penulis-penulis blog kini bertanggungjawab mempertahankan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat daripada tohmahan oleh Barisan Nasional yang dibantu oleh media perdana. Dan mereka juga bertanggungjawab untuk mengkritik dan menegur segala kesalahan dan kecurangan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sepanjang mereka memerintah. Kerana sebagai manusia biasa mereka daripada Pas, PKR dan DAP ini juga tidak akan sunyi daripada melakukan kesilapan. Oleh itu selain daripada pembangkang yang ada, mereka juga perlukan kritikan yang membina daripada penulis blog.

posted by Lidah Penghunus @ 1:18 PM   0 comments

Tuesday, May 13, 2008

Kursuskan dahulu wartawan RTM, TV3, Utusan, Berita Harian dan yang sewaktu dengannya.

Assalamualaikum.

UiTM sedia tawar kursus penulisan blog.
SHAH ALAM 12 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia memperkenalkan kursus berkaitan pengajian blog dalam usaha membantu pengendali laman blog lebih berwibawa dalam penulisan mereka.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, kebebasan media alternatif kini menakutkan kerana mereka boleh menulis tanpa kepakaran dalam bidang pemberitaan, tidak tertakluk kepada etika dan jarang sekali didakwa di mahkamah.
''Penulisan blog adalah terbuka dan boleh diceburi oleh sesiapa sahaja berbanding pengamal media tradisional yang memerlukan kelayakan, pengalaman dan latihan.
"Saya menyokong sepenuhnya cadangan ini (kursus berkaitan blog). Ia amat kena pada masanya. Kita tahu mereka (penulis blog) sudah pandai tetapi ia perlu bagi membantu mereka menjadi blogger yang profesional dan beretika," Utusan Malaysia - 13 Mei 2008.


Sebelum UiTM yang diketuai Dr Ibrahim Abu Shah berhasrat untuk memberikan kursus kepada bloggers khususnya penulis blog politik di negara ini, adalah lebih baik mereka kursuskan dahulu akhbar-akhbar dan media elektronik perdana di negara ini seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3, RTM dan pelbagai lagi yang selama ini jelas tidak melaksanakan etika kewartawanan dan tanggungjawab sosial akhbar dan media. Mereka tidak tahu membezakan antara akhbar parti dan akhbar umum. Hingga saat selepas pilihanraya umum ke-12 media-media ini masih lagi memberikan laporan yang berat sebelah terhadap parti pembangkang dan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Oleh itu para wartawan dan ketua pengarang media-media ini perlu masuk semula kelas untuk kursus kewartawanan dari peringkat asas hingga lanjutan. Kursus untuk media-media yang sedia ada ini adalah lebih patut kerana mereka mendapat keuntungan daripada industri media yang mereka ceburi. Berita yang disiarkan oleh mereka akan dibayar oleh pembaca. Sedangkan penulis blog tidak mendapatkan apa-apa bayaran daripada penulisan mereka. Masyarakat bebas untuk membaca penulisan mereka tanpa perlu membuat sebarang bayaran kepada penulis blog.

posted by Lidah Penghunus @ 6:32 PM   3 comments

Monday, May 12, 2008

Umno lebih risaukan ahli politik yang lompat parti daripada orang Islam yang keluar agama.

Assalamualaikum.

Bila sahaja Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa ramai ahli Parlimen BN akan melompat parti menyertai Pakatan Rakyat bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan pada bila-bila masa. Kita lihat Barisan Nasional agak gelabah. Walaupun mereka seolah-olah mahu menafikan dengan mengatakan kenyataan Dato’ Seri Anwar itu hanyalah kenyataan politik namun cadangan untuk mewujudkan apa yang dinamakan undang-undang anti lompat jelas menunjukkan bahawa mereka sebenarnya gelabah dengan kenyataan Anwar itu.

Apa yang saya hendak sebut berkenaan isu ini ianya menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional lebih risaukan ahli politik yang melompat parti daripada orang Islam yang keluar agama. Gejala murtad ini telah menular di negara ini sejak sekian lama lagi namun hingga kini tiada pun undang-undang di peringkat persekutuan untuk mencegah daripada orang Islam meninggalkan agama. Akibatnya pengkhianat kepada agama ini semakin berani memohon tukar agama mereka di mahkamah secara terbuka tanpa pemerintah di negara ini mampu untuk mengambil tindakan.

Tiba-tiba apabila ada ura-ura bahawa ahli parlimen mereka ingin keluar parti, mereka sibuk hendak mewujudkan undang-undang bagi menghalang mana-mana ahli parlimen melompat parti. Sedangkan tindakan melompat parti bukanlah sesuatu kesalahan yang besar berbanding perbuatan murtad yang jelas diharamkan dalam Islam ini. Tambahan lagi kita tahu bahawa niat pemimpin BN itu hanyalah semata-mata kepentingan politik kerana dahulu semasa wakil rakyat daripada parti pembangkang lompat ke parti mereka tiada pun berbangkit berkenaan undang-undang anti lompat.

posted by Lidah Penghunus @ 10:37 PM   1 comments

Sunday, May 11, 2008

Kain kafan dan keranda buat hadiah hari jadi Umno.

Assalamualaikum.

Semalam Perdana Menteri yang juga Presiden Umno mengumumkan bahawa pencen kakitangan awam akan dinaikkan kepada umur 58 tahun. Ini bermakna mereka yang telah berumur 56 tahun ada tambahan dua tahun lagi untuk memberikan khidmat kepada negara. Bagi mereka yang masih komited terhadap kerja, lanjutan ini amat-amat dialukan kerana sektor awam masih memerlukan tenaga, buah fikiran dan pengalaman mereka. Namun bagi mereka yang sudah mula luntur semangat kerjanya apabila menjangkau usia awal 50-an, lanjutan ini adalah suatu yang merugikan duit rakyat.

Apa yang hendak saya sebutkan di sini Umno sudah pun genap 62 tahun, sudah melebihi umur persaraan bagi perkhidmatan awam. Parti ini telah terbukti gagal memberikan khidmatnya dalam arena politik orang Melayu. Ketika parti Melayu ini di ambang kemerosotan dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu tiba-tiba mereka sibuk tentang survival orang Melayu. Kononnya mereka risau tentang nasib orang Melayu bawah pemerintahan parti bukan Umno. Sedangkan sudah jelas bahawa orang Melayu sudah lama tertindas semasa pemerintahan Umno.

Mereka sibuk hendak mempertahankan institusi kesultanan Melayu yang kononnya telah dihina oleh seorang tokoh pembangkang. Sedangkan sudah jelas bahawa merekalah yang sebelum ini bertanggungjawab mengurangkan kuasa imuniti raja-raja Melayu. Umno kini berumur 62 tahun, kurang setahun dari umur kewafatan Rasulullah SAW. Ketika ini parti ini sedang menghadapi pelbagai kesakitan. Parti yang pernah diharamkan ini tidak lagi relevan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Jauh lagi hendak memperjuangkan Islam. Maka sempena hari jadi Umno yang ke-62 ini hanya kain kafan dan keranda sahajalah hadiah yang paling sesuai untuk parti yang sedang nazak ini.

posted by Lidah Penghunus @ 3:32 PM   1 comments

Saturday, May 10, 2008

Blog politik mencemar nama baik bloggers tempatan?

Assalamualaikum.

Blogger politik cemari nama baik blog tempatan.
KUALA LUMPUR 9 Mei – Kewujudan penulis blog politik yang tidak bertanggungjawab di negara ini hanya mencemarkan imej dan nama baik penulis blog dalam bidang-bidang lain.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili bagaimanapun memuji penulis blog dalam bidang alam sekitar, kesihatan, pendidikan dan sukan yang dianggap lebih bagus dan bertanggungjawab selain meningkatkan pengetahuan rakyat.
Katanya, ramai penulis blog dalam bidang politik tidak mempunyai tanggungjawab untuk mengawal diri sendiri dan mereka tidak berusaha untuk menulisnya dengan sebaik mungkin.
‘‘Ini golongan yang tidak berusaha sedangkan banyak lagi penulis blog yang boleh menulis dengan bagus seperti dalam bidang penjagaan kesihatan, komuniti, gaya hidup dan sebagainya. Tindakan mereka dianggap mencemar nama baik penulis blog yang lain. Utusan Malaysia - 10 Mei 2008.


Nampaknya pandangan serong mereka khususnya kerajaan Barisan Nasional ini terhadap penulis blog yang berorientasikan politik lebih daripada terhadap blog-blog lucah dan negatif yang menjadi punca kepada keruntuhan akhlak di negara ini. Bayangkan mereka menganggap bloggers politik ini mencemar nama baik bloggers di Malaysia ini.

Sedang kebanyakkan ahli politik bloggers ini menulis tujuannya adalah untuk membetulkan apa yang tidak betul berlaku dalam pentadbiran negara. Apa yang mereka buat selama ini adalah untuk kepentingan rakyat dan negara.

Namun begitu oleh kerana penulis blog politik ini terbukti menjadi ancaman kepada survival politik BN dalam pilihanraya umum yang lalu mereka menganggap penulis blog politik ini sebagai perosak kepada bloggers di Malaysia. Sedangkan bloggers lucah dan berunsurkan negatif mereka tidak anggap sebagai pencemar kepada bloggers di negara ini.

posted by Lidah Penghunus @ 11:01 AM   0 comments

Friday, May 09, 2008

Isu Karpal - Pas tidak perlu layan.

Assalamualaikum.


Di petik daripada Utusan Malaysia - 9 Mei 2008.

Bagi saya tindakan Pas mendiamkan diri dalam isu ini adalah satu jalan yang terbaik. Pas tidak perlu melayan tentang isu yang sedang dibangkitkan oleh mereka khususnya Umno kerana Umno hanya menggunakan isu ini untuk kepentingan politik mereka sahaja.
Mereka sebenarnya tiada berniat untuk mempertahankan institusi beraja kerana Umnolah yang menyebabkan imuniti kuasa sultan di negara ini berkurangan.
Contoh yang terbaru ketika kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu beberapa bulan yang lalu, tiada pun laporan polis dibuat oleh Umno dan pihak yang kononnya ingin mempertahankan institusi istana.

posted by Lidah Penghunus @ 6:18 PM   1 comments

Wednesday, May 07, 2008

Tun dalam Buletin Utama TV3.

Assalamualaikum.

Buletin Utama TV3 pukul lapan tadi menyiarkan sidang media bersama Tun Dr Mahathir yang menarik perhatian saya untuk dikongsikan di sini. Ada dua perkara yang disentuh dalam sidang tersebut yang disiarkan dalam berita pukul 8 malam sebentar tadi. Yang pertama ialah berkenaan amaran Tun kepada Umno berkenaan kenyataan penasihat PKR, Dato' Seri Anwar bahawa tidak lama lagi Pakatan Rakyat akan memerintah negara.

Di situ saya tertarik dengan kenyataan Tun yang mengatakan bahawa jika pembangkang menunjukkan tadbir urus yang baik, prihatin terhadap rakyat, tidak tamak, tidak rasuah, maka pada pilihan raya umum akan datang, sesiapa yang telah mengundi mereka akan terus mengundi Pembangkang. Bagi saya jika benar-benar Tun mengutamakan kepentingan rakyat beliau sepatutnya mengalu-alukan kerajaan yang baik walaupun bukan daripada parti yang selama ini memerintah. Dan tidak perlu lagilah beliau hendak mengharapkan lagi kepada parti yang sudah rosak yang dipimpin oleh penggantinya itu.

Perkara kedua yang disentuh dalam sidang media yang disiarkan oleh Buletin Utama itu ialah berkenaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor YB Karpal Singh yang didakwa mencabar sultan dan Yang Dipertuan Agong. Nampaknya dalam isu ini Tun juga tidak mahu ketinggalan untuk mengulas berkenaannya. Beliau berkata bahawa inilah bencananya jika parti pembangkang terus diberi kuasa. Nampaknya Tun lupa bahawa beliaulah yang bertindak mengurangkan kuasa imuniti raja-raja Melayu ketika beliau Perdana Menteri dahulu. Mungkin benarlah ungkapan Tun dahulu bahawa Melayu mudah lupa. Apatah lagi apabila menyentuh kezaliman dan salahlaku yang dilakukannya ketika dahulu.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Adakah salah guna kuasa namanya jika untuk kepentingan rakyat?

Assalamualaikum.

Lim Kit Siang tersipu, isu salah guna kuasa makan diri.
KUALA LUMPUR 6 Mei – Peribahasa ‘meludah ke langit jatuh ke muka sendiri’ barang kali menepati situasi yang berlaku ke atas Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).
Sikapnya yang gemar menjolok ‘sarang tebuan’ setiap kali berhujah di Dewan Rakyat, hari ini menyebabkan beberapa ‘tebuan’ menyengatnya semula dan sengatan daripada Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Tiong King Sing menyebabkan Kit Siang terpaku.
Kit Siang yang membahaskan usul menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada perasmian persidangan minggu lalu, membangkitkan beberapa isu yang didakwanya menunjukkan unsur korupsi dan salah guna kuasa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), selain mempertikaikan keikhlasan wakil rakyat BN memperjuangkan masalah rasuah.
King Sing kemudian bangun meminta laluan dan bertanya sama ada isu kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengeluarkan arahan merobohkan halangan yang menutup laluan masuk ke Bandar Mahkota Cheras dari arah Lebuh Raya Kajang-Cheras baru-baru ini tidak tergolong sebagai salah guna kuasa. Utusan Malaysia - 7 Mei 2008.


Jika sebut tentang salah guna kuasa ianya menerangkan tentang pihak atau individu yang menggunakan kedudukan atau kuasa yang ada pada mereka untuk berbuat sesuatu demi kepentingan diri mereka. Contohnya menggunakan kedudukan untuk mendapatkan tanah, saham dan pelbagai lagi untuk faedah diri.

Namun Kerajaan Negeri Selangor yang mereka kata kononnya menyalahgunakan kuasa mengeluarkan arahan merobohkan halangan yang menutup laluan masuk ke Bandar Mahkota Cheras dari arah Lebuh Raya Kajang-Cheras demi kepentingan rakyat khususnya penduduk Bandar Mahkota Cheras yang sekian lama menghadapi kesulitan akibat tindakan yang mementingkan diri-sendiri oleh syarikat Grand Saga.

Adakah ianya sama dengan salah guna kuasa yang diamalkan oleh BN demi kepentingan diri mereka yang akhirnya membawa kerugian kepada rakyat?

posted by Lidah Penghunus @ 6:30 PM   0 comments

Tuesday, May 06, 2008

Isu cukai taksiran di Selangor.

Assalamualaikum.

Selangor tidak turun cukai taksiran tahun ini - Menteri Besar.
SHAH ALAM 5 Mei - Kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak akan menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus kepada rakyat Selangor seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat kerana keadaan ekonomi Selangor ketika ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan bagi membolehkan janji tersebut dilaksanakan.
Selain itu, beliau bimbang langkah menurunkan cukai taksiran akan menambah beban kerajaan negeri dan mengurangkan hasil.
Menurut Abdul Khalid, jika kerajaan negeri menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus untuk kediaman dan 10 peratus untuk premis komersial sebagaimana yang diikrarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12, ia akan menyebabkan peruntukan untuk pembangunan-pembangunan lain di negeri ini tidak mencukupi.
"Berdasarkan kajian yang kita buat, rakyat (di Selangor) membayar cukai pintu yang tinggi kerana kadar yang dikenakan mengikut nilai hartanah yang mereka duduki yang sememangnya tinggi. Malah, ada sesetengah hartanah nilainya telah meningkat lebih 10 kali ganda.
"Bagaimanapun, kita tetap akan meneliti langkah ini (menurunkan cukai taksiran) pada tahun depan melalui Bajet 2009 termasuklah cara-cara bagaimana kita hendak melakukannya," kata beliau. Utusan Malaysia - 6 Mei 2008.




Di sini mereka harus teliti bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh melaksanakan penurunan kadar cukai taksiran untuk masa ini atas sebab himpitan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri yang terdahulu telah meninggalkan bebanan kewangan yang besar kepada kerajaan negeri akibat salah urus dan tadbir kewangan yang dilakukan oleh mereka ketika memegang pentadbiran negeri.

Akibatnya kerajaan yang sekarang ini yang menanggung beban kewangan. Namun kita percaya dengan amalan berhemah yang dipraktikkan oleh kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Rakyat bebanan kewangan ini akan dapat juga di atasi kelak dan faedahnya akan dapat dinikmati oleh rakyat keseluruhannya.

Apa yang perlu kita tahu juga di sini walaupun buat masa ini kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak bercadang untuk menurunkan cukai pintu namun kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh YAB Tan Tri Khalid sedia untuk berkorban dengan memberikan air percuma sebanyak 20 meter padu yang pertama kepada rakyat. Sebagaimana yang kita tahu air adalah keperluan asas bagi pelbagai lapisan rakyat dan pemberian 20 meter padu air percuma ini amat bermanfaat kepada rakyat khususnya di negeri Selangor ini.

posted by Lidah Penghunus @ 6:22 PM   1 comments

Friday, May 02, 2008

Tun Dr Mahathir - Daripada PM ke bloggers.

Assalamualaikum.

Dr Mahathir miliki blog sendiri.
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kini mempunyai laman blog sendiri iaitu www.chedet.com untuk memberi peluang kepada orang ramai berinteraksi secara dua hala berkongsi pandangan, kritikan atau pendapat.
Dr Mahathir berkata, laman blog yang diwujudkan secara rasmi mulai semalam membolehkan beliau memaparkan pelbagai pandangan dan pendapat peribadinya terhadap isu tertentu untuk dikongsi dengan seluruh masyarakat.
Malah, beliau turut mengalu-alukan semua pihak termasuk media untuk menghasilkan semula atau memetik bahan yang dipaparkan dalam laman blog terbabit dengan syarat memberi kredit kepada alamat laman blognya.
Bagaimanapun, semua komen dan pandangan yang disalurkan ke laman blog itu mesti disertakan dengan nama atau nama samaran masing-masing, bagi mengelakkan ‘posting’ mereka ditolak. Harian Metro - 2 Mei 2008.

Selepas sahaja Pilihanraya Umum ke-12 dan melihatkan banyak perubahan besar yang berlaku terutama sekali yang melibatkan prestasi parti pembangkang. Kita lihat ramai sudah mula hendak memiliki blog sendiri terutama sekali di kalangan pemimpin Barisan Nasional dan ada antara mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan. Malahan yang terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga tidak mahu ketinggalan untuk memiliki blog sendiri. Blog beliau ini boleh diikuti melalui alamat berikut http://www.chedet.com/

Kunjungan saya ke blog Tun mendapati baru sahaja dua hari beroperasi beliau telah berjaya mengumpulkan pengunjung 100 ribu lebih. Dan posting pertama Tun mendapat komen sebanyak 1002. Blog saya yang telah beroperasi selama tiga tahun belum pun mencecah jumlah pengunjung 100,000. Malahan saya percaya blog-blog daripada penulis yang terkenal yang lain pun akan mengambil masa untuk laman blog mereka mencecah pengunjung 100,000.

Namun inilah kelebihan Tun yang pernah menjadi Perdana Menteri kita, yang sentiasa menggegarkan politik tanah air kerana mengkritik penggantinya. Apapun selamat datang kepada Tun ke dunia blog. Semoga beliau akan menjadikan blognya ini sebagai ruang untuk terus mengkritik kepimpinan yang sekarang.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Thursday, May 01, 2008

Hari untuk kaum pekerja.

Assalamualaikum.

Kaum pekerja di negara ini sudah sekian lama dihimpit oleh kenaikan kos hidup dengan sebahagian daripada mereka masih pada tangga gaji yang rendah. Jeritan rintihan mereka golongan yang tertindas ini tidak mendapat perhatian daripada kerajaan yang memerintah. Sekarang ini Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk kerajaan di lima negeri dan berjaya menempatkan 82 wakil di Dewan Rakyat. Harapan kita agar kerajaan Pakatan Rakyat ini dapat mendengar keluhan golongan pekerja ini seterusnya dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh sebahagian besar mereka.

Abdullah minta pekerja tingkatkan komitmen majukan negara.
KUALA LUMPUR 30 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pekerja di negara ini memberi komitmen yang tinggi ke arah merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Justeru Perdana Menteri berkata, setiap pekerja perlu bekerja keras, memperkayakan diri dengan sikap masyarakat yang berminda kelas pertama serta berazam menjadi pekerja berinovatif dan kreatif.
Ujar beliau, selain itu, kejayaan Misi Nasional juga memerlukan setiap pekerja mempunyai sifat-sifat sedemikian kerana hanya melaluinya sahaja, segala usaha kerajaan untuk membangun serta memajukan negara ini mampu dicapai.
"Sesungguhnya aspirasi negara untuk menjadi negara maju memerlukan komitmen setiap lapisan masyarakat dan semua pihak termasuk para pekerja.
"Oleh itu, kita hanya akan berjaya sekiranya kita terus berusaha dengan penuh keazaman dan iltizam untuk membangunkan negara ke arah menjadikan Malaysia yang makmur, progresif, adil, berdaya tahan dan berdaya saing," Utusan Malaysia - 1 Mei 2008.


Berkenaan perutusan rasmi Perdana Menteri sempena Hari Pekerja seperti yang disiarkan dalam akhbar di atas ini, sebagai Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jangan hanya mengharapkan golongan pekerja di negara ini meningkat komitmen untuk memajukan negara. Beliau dan pentadbirannya juga haruslah berusaha untuk memastikan golongan pekerja di negara ini tidak terus terhimpit terutama sekali oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Akhir sekali semoga sambutan Hari Pekerja pada kali ini yang paling bermakna untuk kaum pekerja di negara ini.

Selamat Hari Pekerja, hidup rakyat! makkal sakhti! Takbeer! Allahu akhbar!!!

posted by Lidah Penghunus @ 4:11 PM   0 comments


Free Hit Counter