Muktamar Pas kali ke-61 - Pastikan Umno kembali menangis.
Assalamualaikum.
Semalam telah pun berakhir sesi pemilihan sempena Muktamar Pas Pusat kali ke-61. Pemilihan pada kali ini bolehlah dianggap paling sengit dan mencabar kerana julung-julung kalinya setelah 55 tahun akhirnya jawatan presiden yang dahulunya disebut yang dipertua dicabar. Walau bagaimanapun kita amat-amat bersyukur kerana walaupun kelihatan seolah-olah ribut semasa kempen, sesi pemilihan semalam berjalan dengan penuh aman dan harmoni tanpa berlaku insiden yang tidak diingini. Itulah dia Parti Islam Se-Malaysia.
Sekarang keputusannya telah pun kita ketahui. Dengan isu perbalahan dalam Pakatan Rakyat dan kerajaan perpaduan (UG) yang segaja dimainkan oleh Umno serta media tunggangan mereka, ramai yang mengatakan bahawa sekarang ini Umno sedang ketawa, bergembira kerana pada sangkaan mereka dengan keputusan pemilihan ini, Pakatan Rakyat akan bubar dan mereka boleh mengambil alih semula Selangor seterusnya mengukuhkan kembali penguasaan mereka dalam kerajaan pusat.
Maka menjadi tanggungjawab mereka yang dipilih inilah yang perlu memastikan sangkaan Umno ini meleset dan Umno kembali menangis. Pulihkan dan Kukuhkan kembali kerjasama dengan rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat dan pada masa yang terus memperkasakan kelab penyokong Pas hingga mampu menembusi kerusi-kerusi majoriti pengundi bukan Islam. Kerana jika ditakdirkan suatu hari nanti tidak dapat dielakkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat, maka kelab penyokong inilah yang akan menjadi rakan strategik Pas untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi bukan Islam. Cuma untuk mencapainya bukanlah dalam masa yang singkat.
Kepada yang tewas dalam pemilihan diharapkan agar terus istiqamah dalam perjuangan Pas. Mahu tidak mahu sekarang ini Paslah wadah yang terbaik untuk mereka memperjuangkan Islam serta membela nasib rakyat. Ramai kalangan mereka yang tidak terpilih ini adalah tokoh-tokoh yang hebat dan telah memberikan khidmat yang baik semasa memegang amanah. Maka gunakanlah kelebihan ini untuk bersama-sama dengan pimpinan untuk memperkukuhkan Pas di persada politik nasional serta kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Bagi saya tubuhkan parti Islam yang baru bukanlah jalan yang baik malahan hanya memecahkan undi mereka yang menyokong perjuangan Islam.
Akhir sekali sama-samalah kita berdoa agar parti yang memperjuangkan Islam yang meletakkan Quran dan Sunnah sebagai rujukan tertinggi ini sentiasa dipelihara oleh Allah.