Wednesday, August 20, 2008

Jalur Gemilang dan Hari Kebangsaan.

Assalamualaikum.

Berita jam lapan malam sebentar tadi telah mendedahkan tentang cadangan seorang blogger untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik sempena ulangtahun kemerdekaan negara atas alasan bahawa negara berada dalam keadaan tidak menentu bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Saya sendiri juga tidak setuju dengan cadangan berkenaan kerana Jalur Gemilang adalah bendera kebangsaan negara bukan hanya milik parti yang tertentu dan ianya tidak sepatutnya dilibatkan dalam kemelut politik yang melanda negara ini.

Tambahan lagi perjuangan kita selama ini tujuannya juga adalah untuk kesejahteraan negara kita yang tercinta. Kita bukan anti kerajaan sebaliknya kita mahu menggantikan parti yang korup dengan parti yang lebih baik sebagai parti pemerintah. Maka sempena ulangtahun kemerdekaan yang ke-51 ini bendera kebangsaan Jalur Gemilang akan tetap dikibarkan dengan sempurna dan sambutan ulangtahun kemerdekaan akan terus disambut dengan harapan agar Malaysia bebas daripada kezaliman, korupsi dan seterusnya Islam menjadi dasar utama negara.

Cerita juga tentang Jalur Gemilang dan Hari Kebangsaan ini, apa yang saya perhatikan kurang dua minggu lagi hendak sambut Hari Kebangsaan namun bendera kebangsaan masih lagi kurang dikibarkan di jalanraya dan premis-premis. Ada yang mengatakan bahawa fenomena ini ada kaitan dengan sentimen rakyat yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan menaikan harga minyak. Walaupun disebutkan tadi bahawa bendera kebangsaan tidak patut dilibatkan dalam sentimen kemarahan kita kepada parti pemerintah namun kerajaan khususnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus memandang perkara ini sebagai protes senyap daripada rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional.

Sekurang-kurangnya ini adalah lebih baik daripada mengibarkan bendera tetapi dalam keadaan yang terbalik sebagai tanda protes.

posted by Lidah Penghunus @ 11:59 PM   0 comments

Tuesday, August 07, 2007

Kibaran Jalur Gemilang yang masih lagi layu.

Assalamualaikum.

Hari sudah pun masuk 7 Ogos. Ada 24 hari lagi untuk kita manyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-50. Di peringkat kerajaan pusat kita sudah mengetahui bagaimana besarnya persiapan mereka untuk menyambut hari yang dilihat penuh bermakna bagi rakyat Malaysia ini.

Semalam semasa di jalanan saya dapati tidak banyak kenderaan yang menaikkan bendera kebangsaan. Malahan boleh dikatakan amat susah untuk jumpa kereta yang berkibar dengan Jalur Gemilang. Begitulah juga dengan bangunan-bangunan dan premis terutamanya milik persendirian atau swasta. Malahan sebuah plaza Tol juga kelihatan tidak menampakkan kemeriahan menyambut kemerdekaan ke-50. Yang ada hanya banner dan bendera yang biasa dikibarkan di tiang sahaja.

Maka di sini kita tertanya-tanya mengapa boleh jadi begini? Mengapa agak dingin sambutan yang diberikan? Sedangkan kerajaan memberikan galakan kepada rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan menyediakan peruntukkan untuk membeli bendera. Malahan amaran juga diberikan kepada premis yang gagal mengibarkan bendera akan disiarkan di media massa (Tak tahulah kalau mereka juga minta bantuan bloggers untuk perkara sebegini). Apapun kita akan dapatkan juga jawapan kepada persoalan ini sedikit masa lagi. Sama-sama kita tunggu.

posted by Lidah Penghunus @ 8:10 PM   0 comments

Sunday, August 22, 2010

Dari arkib Lindunganbulan

Jalur gemilang dan hari kebangsaan.

posted by Lidah Penghunus @ 6:38 PM   0 comments


Free Hit Counter